SLIDER

bangsa asing
Showing posts with label bangsa asing. Show all posts

Tertipu, Pengalaman Ngeri Menjadi Pekerja Pemetik Buah Di Australia

2 Mar 2022



Anda pernah terbaca di Twitter atau Facebook tak dimana seorang ejen dari Malaysia menawarkan pekerjaan yang sangat menarik. Anda boleh mendapat ribuan ringgit dalam masa seminggu dengan hanya memetik buah di Australia. Wahh, kerja senang macam tu siapa yang tak nak beb. 

Kerja kat negara sendiri bagai nak rak pun sampai ke sudah tak kaya-kaya. Huhu. Tapi sebelum anda berangan untuk menjadikan memetik buah sebagai kerja tetap anda, anda kena baca kisah yang dikongsikan insan yang bernama Kayla ni. Kami baca luahannya terus tak jadi nak pindah Australia. Seramnya..

Jangan terpedaya dengan iklan kerja pemetik buah gaji lumayan

Kisah ini dilaporkan oleh Sinar Harian, dimana wanita bernama Kayla menceritakan pengalaman sebenar memetik buah di Australia. Pada mulanya Kayla bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji sekitar RM5, 000. Tetapi dia terpaksa berhenti kerana ingin menjaga ibunya yang sakit. 

Antara adik-beradik, hanya saya yang masih bujang, jadi tugas menjaga ibu jatuh di bahu saya. 

Selepas ibunya pulih, Kayla ambil keputusan untuk pindah ke Australia dan mencari ‘lubang’ serta berusaha untuk mencari orang tengah supaya dia dapat bekerja sebagai pemetik buah. Iya lah, siapa yang tak rambang mata jika nampak iklan pekerjaan di Facebook yang menawarkan gaji RM12, 000 sebulan dengan kerja yang senang macam tu. 

Dengan restu ibu, Kayla nekad mengeluarkan semua duit simpanan serta menjual motor kesayangannya. Kayla juga ketika itu meminjam duit adik beradik yang lain serta rakan-rakan demi untuk cukupkan modal. 

Pada waktu itu, saya meletakkan keyakinan kepada ejen dengan harapan saya tidak akan ditipu, malangnya ia sia-sia sahaja.
Sampai ladang, ejen ‘ghaib’ 

Selepas semua persiapan dah buat, Kayla pun meninggalkan bumi Malaysia dan dalam perjalanan ke Australia, pelbagai persoalan bermain di fikiran Kayla. Kata ejen yang memperkenalkan diri sebagai Mie (berasal dari pantai timur) tidak putus-putus memberitahu Kayla supaya jangan bimbang kerana semuanya sudah diuruskan. 

Saya nekad, saya teruskan. Saya sudah tidak boleh berpatah balik, lagipun tujuan utama saya untuk menjadi pemetik buah di Australia ialah mahu melangsaikan hutang dan pinjaman. 

Bila sampai sahaja di sebuah ladang di Victoria, Kayla pun memulakan pekerjaannya sebagai pemetik buah. Tapi perasaan curiga bermula apabila ada pemetik buah yang lebih lama di sana merungut tidak dibayar gaji. 

Apabila saya cakap kontraktor ladang tidak bayar gaji kepada ejen yang menguruskan saya, ejen berkenaan terus ‘ghaib’ tanpa jejak. Dia terus lepas tangan begitu sahaja. 

Merasakan sesuatu yang tak kena.. 

Di situ bermula lah mimpi ngeri Kayla sebagai pemetik buah. Selepas dirinya ditipu kontraktor ladang, Kayla diarahkan oleh ejen lain supaya ke sebuah pekan kecil yang bernama Robinvale, Victoria. 

Ejen itu hanya memberikan saya satu nombor telefon yang dia sendiri tidak pasti siapa, tetapi mendakwa ia milik kontraktor yang akan memberikan saya pekerjaan. 

Malangnya saya tak dapat menghubungi ejen berkenaan dan dari situlah bermulanya siri penipuan demi penipuan oleh beberapa individu yang rata-ratanya mendakwa sudah mendapat taraf penduduk tetap di Australia. 

Amat menyedihkan Kayla ialah apabila yang menipunya adalah orang dari negara kita sendiri. 

Seperti berada di ‘neraka’, sering kena tipu 

Demi untuk meneruskan hidup di sana, Kayla terpaksa tempuhi rintangan dan cabaran yang datang. Sehingga kan dia tak sedar pun dia sudah sebulan bekerja keras di Australia. Kontraktor pula semakin galak membuat tipu helah kononnya upah akan dibayar mengikut jam kerja, namun semua hanya janji sekadar janji. 

Setiap kali tiba hari bayaran, kontraktor akan gunakan alasan untuk memotong upah kononnya kotak buah hilang, buah rosak dan pelbagai lagi alasan. Potong punya potong, dapatlah AU$5.4 (RM16), lepas tolak duit sewa rumah AU$80 (RM245). 

Kena ingat, di Australia sebanyak 10 peratus GST ditolak daripada gaji. 

Mungkin lebih baik jadi penjual nasi lemak atau goreng pisang di Malaysia daripada kerja seperti saya di sana. 

Menurut Kayla kadang-kadang dia merasakan diri dia dipergunakan tapi tak boleh buat apa-apa mengenai perkara tersebut. 

Cuma saya kesal ramai mangsa yang sudah ditipu tidak mendedahkan kisah mereka, kalau ia diuar-uarkan setidaknya mungkin dapat mengelak saya daripada melalui azab seperti itu. 

Inilah pengajaran berurusan dengan penipu. Nasihat saya seboleh-bolehnya kalau ada sesiapa yang berminat untuk bekerja sebagai pemetik buah, dapatkan ‘working holiday visa’ untuk tempoh setahun, tidak mahal pun lebih kurang RM1,000. Cari kenalan yang boleh dipercayai dan boleh tawarkan kerja sepanjang musim, bukannya ejen. 

Banyak beri pengajaran 

Kehidupan Kayla sebagai pemetik buah selama dua bulan di Australia beri banyak pengajaran kepadanya. Wang poket yang dibawa sebanyak RM9, 000 habis digunakan untuk menampung perbelanjaan di sana termasuklah tiket penerbangan balik ke Malaysia. 

Kesusahan hidup sebagai pekerja dan dengan hanya menggunakan visa pelawat juga membuatkan hidup Kayla tidak tenteram, kerana setiap kali sedang memetik buah, dia bimbang akan ditangkap oleh pihak berkuasa. 

Oleh kerana tidak tahan dengan pelbagai kos serta wang yang telah digunakan, Kayla buat keputusan untuk terus berhenti menjadi pemetik buah dan meninggalkan ladang tersebut. Dengan Visa yang hampir tamat tempoh, Kayla akhirnya balik ke Malaysia. Bagi Kayla, cukup lah dua bulan yang amat memeritkan tu. 

Suami Jadi Rebutan Dan Kegilaan Wanita Seberang. Hati-hati !!

26 Sept 2017



Sebenarnya saya langsung tak sangka bekas suami saya, Kas sanggup pergi ke seberang untuk nikah, sebab kalau orang luar tengok wajah Kas mereka tak akan sangka Kas sanggup tinggalkan saya, sebab wajahnya macam orang baik. Tetapi perangai sebenarnya macam neraka. 

“Sebab saya tak sangka, dia beri belanja makan minum untuk kami anak beranak setiap bulan walaupun tak sebanyak mana, sebab gajinya kecil. Saya tak kisah, asalkan dia boleh membantu sudah memadai. Selepas dapat dua orang anak rezekinya bertambah, apabila saya mencadangkan dia bekerja dengan saudara jauh saya. Tentulah gajinya bertambah. 

“Pada awalnya saya masih lagi kelabu dengan aktivitinya, selalunya saya berfikir baik, kalau balik lambat tentulah kerja banyak, kalau balik malam tentu ada urusan lebih penting. Yang mustahak kepada saya dia bekerja dan beri sumbangan makan minum kepada keluarga. Namun kerja busuk ni berapa lama boleh bertahan, akhirnya terhidu juga baunya. Maka saya mula ternampak aktiviti songsangnya. 

“Tetapi setiap kali saya tanya dia menafikan, dengan alasan banyak kerja dan nasihatkan saya jangan suka dengar cakap orang jika mahu keluarga hidup aman bahagia. Jadi kerana sayang suami dan fikirkan yang terbaik maka saya percaya dengan kata-katanya. 

“Tetapi dalam pada itu saya terdengar juga cerita dia buat hubungan dengan pekerja wanita yang di bawah pengawasannya. Dia ambil kesempatan daripada permasalahan wanita tersebut. Tetapi kerana fikirkan yang baik, saya tutup telinga. Sebab Kas beri duit belanja makan minum kami. Tetapi tak banyak walaupun gaji dah bertambah, alasannya banyak urusan nak dibereskan. Peliknya saya boleh diam, sebab selama berkahwin sayalah yang banyak menguruskan hal keluarga, sebab gajinya kecil. Pada saya asalkan dia bekerja itu sudah baik. 

“Kalau nak ikutkan perbelanjaan keluarga tentulah banyak, pembaca sendiri tentu boleh kira sendiri  kalau kita ada dua orang anak kecil, kita perlukan pengasuh untuk jaga anak, perlu susu, lampin pakai buang, sewa rumah, bil utiliti, ansuran kereta, cukai jalan, petrol dan sebagainya.  Jadi untuk melicinkan pengurusan rumah tangga supaya nampak bersih dan beres, tentulah saya terpaksa turun padang menyelesaikan semua benda tersebut. 

“Oleh sebab Kas sudah terbiasa memberi wang ikut kemampuan dia, maka kalau saya minta lebih jawapannya sudah pasti, “Aku tak ada duit dan tak cukup duit.’’ Sebab itu saya terpaksa uruskan semua urusan keluarga. Syukur saya ada kelulusan dan mendapat gaji yang memuaskan. Kalau tidak tentu hidup kami lebih huru-hara. 

“Saya tak boleh marah apa lagi mengamuk, sebab Kas calon suami pilihan saya. Sejak kami berkawan lagi emak sudah larang, kata emak kalau boleh carilah bakal suami yang ada pekerjaan tetap, ada pelajaran supaya tidak menyusahkan saya bila berkahwin. 

“Tetapi kerana cinta punya pasal, kerana berkawan sejak sekolah, maka saya tetap berpegang kepada kata hati saya, jodoh pertemuan di tangan Allah. Dan Allah tidak akan sia-siakan hidup saya. Tetapi kata emak, usaha dulu, cari yang sesuai dulu, kalau tak boleh baru berserah kepada Allah demi masa depan saya. Tetapi kerana cinta membuat saya terikat dengan janji setia, maka saya ikutkan kata hati kahwin dengan lelaki yang saya cintai. Hah! sekarang baru saya tahu langit itu tinggi atau rendah. Dan cinta itu tak boleh beri saya kebahagiaan, tanpa diiringi dengan rasa tanggungjawab dari pihak yang kita cintai. Cinta semata-mata tidak boleh beri kita makan apa lagi keselesaan hidup. 

Kesilapan
“Kerana menyedari kesilapan sendiri, maka saya banyak mendiamkan diri dan terima apa juga kerenah Kas. Barulah kini saya tahu apa yang dikatakan oleh emak itu ada benarnya cuma saya yang degil dan tak makan nasihat. 

“Timbul sedikit rasa kesal di hati bila pendapatan Kas sudah bertambah dari usaha saya carikan dia kerja, tetapi Kas masih kata tak cukup duit. Sedangkan boleh kira dengan kerja baru pendapatannya tiga kali ganda. Tentu dia ada duit. Tetapi setiap kali saya minta duit katanya duit dah habis, ataupun dia perlu simpan sedikit untuk bayar hutang. Hutang apa pun saya tak tahu. 

“Tetapi apa yang saya pasti, aktiviti songsangnya menjadi-jadi, terlalu banyak cerita buruk saya dengar diceritakan orang, konon Kas jadi rebutan ramai wanita seberang. Ada yang bergaduh konon berebut Kas. Akhirnya terbongkar Kas ada hubungan dengan gadis remaja anak orang seberang yang sudah lama menetap di negeri ini. Bila ditanya Kas nafikan. 

“Bila saya ajak pindah rumah kerana saya dah tak tahan dengan cerita buruk tentang perangai Kas, dia tak mahu alasannya dia tak suka duduk rumah flat. Saya kata pangsapuri lain daripada flat. Tetapi dia tetap tak setuju, dia lebih suka duduk rumah atas tanah, walaupun rumah sewa. Kecuali jika saya beli tanah dan buat rumah, kecil pun tak apa katanya. Bila saya setuju dan minta dia simpan duit untuk tujuan itu, alasannya tetap sama tak cukup duit. 

“Akhirnya tahap kesabaran saya sampai ke penghujungnya, saya cerita dapat tahu  hubungan dia dengan ramai wanita seberang yang bekerja di bawah seliaannya. Kas  nafikan. Tetapi akhirnya dia mengamuk bila saya sebutkan nama wanita itu seorang demi seorang. 

“Saya hilang sabar setelah terbaca mesej terbaru yang saya tengok dalam telefonnya. Kalau sebelum ini saya salin mesej yang dia terima untuk jadi bukti, tetapi gambar terbaru yang saya terima membuat saya naik darah. Kami bertengkar, seminggu dia tak balik rumah, akhirnya dia balik juga dan minta maaf, katanya dia telah putuskan hubungan dengan wanita tersebut. Maknanya secara tidak langsung dia mengaku ada buat hubungan. 

“Saya tak terima pengakuannya bulat-bulat, saya rasa tentu ada udang sebalik batu. Tentu dia ada buat perangai lain. Benar lepas sebulan Kas beritahu, dia terpaksa pergi kerja luar lima hari. Bila balik nanti dia akan bawa saya bersama anak-anak bercuti ke Langkawi. Pelik sungguh saya rasa macam ada yang tidak betul dengan pengakuan Kas ini. Itu kata hati seorang isteri. 

“Tepat seperti yang diduga, ada pulak wanita seberang yang patah hati tak dapat pikat Kas menelefon dan beritahu saya bahawa Kas tak pergi kerja luar, tetapi pergi seberang sebab nak nikah. Dia siap beri nama wanita tersebut, kampungnya, bila balik, berapa umur wanita tersebut dan apa kerjanya. Lebih berani dia beri alamat rumah yang Kas sewakan untuk wanita tersebut dan di situlah mereka menginap bila balik nanti. 

“Cerita itu memang menyakitkan hati saya. Dengan saya kata tak cukup duit, tetapi boleh pulak pergi buat kenduri kahwin ke seberang, sewa rumah dan beli peralatan perabut rumah. Sedangkan di rumah sendiri, saya yang kena beli. Sebab Kas memanjang tak cukup duit. 

“Walaupun dalam keadaan marah, tetapi setelah tenang saya berfikir cinta saya kepada Kas selama ini langsung tidak bermakna. Akhirya saya buat keputusan muktamad bahawa saya mesti mengakhiri perkahwinan ini. Tidak ada gunanya saya bersabar setelah hampir sembilan tahun berkahwin kerana saya sentiasa ditipu untuk kepentingan dirinya sendiri. 

“Sanggup dia hancurkan cinta kami. Di manakah letaknya nilai pengorbanan saya selama ini.  Saya tak sanggup lagi ditipu, sedangkan dia berseronok berkahwin dua. Cukuplah sampai di sini saja perkahwinan kami, saya rasa tidak ada faedahnya saya pertahankan cinta yang sia-sia ini. 

“Kas tetap nafikan dia sudah nikah dengan wanita seberang. Tetapi saya tak marah, saya katakan itu memang jodohnya yang terbaik. Jadi lebih baik kita berpisah sahaja. Sebab selama ini sayalah yang tanggung keluarga, kerana dia tak mampu, jadi bila berkahwin dua sudah tentu dia tak mampu berpoligami. Kerana itu baik dia bercerai dengan baik. 

“Mati-mati Kas nafikan. Tetapi saya tetap minta cerai dan gunakan kuasa saya kata kepada Kas jika dia tidak ceraikan, saya akan bawa dan tunjuk semua gambar-gambar lucah yang dia ambil sendiri bersama wanita tersebut di Mahkamah Syariah, biar semua orang tahu siapa Kas yang sebenarnya yang selama ini tunjuk muka syurga. 

“Terkejut beruk Kas. Dia tak sangka saya dapat gambar-gambar lucah dirinya dan dia tak boleh nafikan lagi.  Kalau tak percaya saya akan print semua gambar tersebut untuk saya tunjukkan di Mahkamah Syariah. Saya terpaksa ugut Kas sebab saya sudah tidak tahan lagi dipermain dan diperbodohkan. Kas ambil kesempatan daripada kebaikan, dan kesabaran saya untuk kepentingan dirinya sendiri. 

“Akhirnya kerana malu, Kas terpaksa ceraikan saya, sebab saya tak mahu bermadu kerana saya tahu dia memang tak mampu dan tidak adil. Saya tak sangka ini balasan pengorbanan saya terhadap dia selama ini. Akhirnya saya terpaksa ucapkan selamat jalan.  

“Dan saya doakan mungkin wanita seberang itu boleh tunjuk ajar dia jadi suami yang bertanggungjawab dan terima kedatangan keluarga dari seberang yang silih berganti.’’ Itu cerita Mas Hanisah panjang lebar, pahitnya ditipu suami kerana kelemahan dirinya terlalu percayakan suami seratus peratus.

Bagaimana Seorang Guru Memperkenalkan Tulisan Jawi Kepada Pelajar Jepun

18 Sept 2017


1. Hari ini ada lebih kurang 45 orang pelajar dari Jepun melawat ke sekolah saya. Saya ditugaskan untuk menjaga seksyen tulisan dan demontrasi kaligrafi khat jawi. So, untuk demontrasi khat saya guide mereka untuk menulis nama 'Muhammad'. Saya terangkan kepada mereka bahawa 'Muhammad' adalah 'one of most influential people in the world', then saya sarankan mereka search semula nama 'Muhammad' ini bila free. Mereka nampak berminat dan bersungguh nak tahu walaupun bidang kaligrafi ini agak asing bagi mereka. Sikap bersungguh-sungguh seperti ini seharusnya menjadi ikutan pelajar-pelajar kita. 

2. Sekolah saya mengambil pendekatan untuk memperkenalkan tulisan jawi kepada pelajar-pelajar Jepun tersebut. Mengapa kami mengambil pendekatan ini? Ini kerana tulisan jawi pernah memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam semua urusan satu ketika dahulu, tapi itulah sekarang ini tulisan jawi kian terpinggir ditelan arus kemodenan. Jadi, sekolah kami ingin memperkenalkan sub-budaya yang semakin hilang tersebut kepada pelajar Jepun dan apa yang menariknya mereka nampak teruja dengan seni halus budaya kita ini. 'Wow' dan 'amazing' terpacul secara spontan daripada salah seorang murid Jepun bila mereka melihat contoh tulisan khat jawi yang kami pamerkan. Dan kami juga menjemput mereka untuk sama-sama menulis nama mereka dalam tulisan jawi. 

3. Sebahagian pelajar Jepun ni tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Hanya sebilangan mereka yang mampu bertutur secara 'fluent english'. Walaupun tidak fasih bertutur bahasa Inggeris namun teknologi Jepun jauh meninggalkan negara kita, mungkin 10 tahun terkehadapan. Kita perlu sedar bahawa bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa yang digunakan untuk subjek sains dan teknologi. Banyak penemuan saintifik seperti Teori Relativiti Einstein ditemui dan diterbitkan dalam Bahasa Jerman dan bukannya bahasa Inggeris. Baru-baru ini pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri dikritik nitizen kerana tidak fasih berbahasa inggeris sedangkan Faiz Subri mendapat pujian daripada ikon-ikon bolasepak dunia kerana bakat beliau. Apa yang menariknya tentang pelajar Jepun ini ialah mereka tetap mencuba untuk memahami dan bertutur dengan cara komunikasi bahasa isyarat yang mereka faham dan saya faham. Cukup sekadar memperagakan 'bahasa tubuh' pun mampu untuk membuatkan saya faham apa yang mereka cuba sampaikan. Tak perlu nak fluent-fluent english sangat. 

4. Orang Jepun terkenal dengan adab dan kesopanan yang tinggi. Contohnya masa saya suruh mereka sain buku pelawat, elok je mereka beratus ikut siapa sampai dahulu. Mereka juga tidak pernah putus dengan senyuman. Budaya positif ini sewajarnya diikuti oleh pelajar-pelajar kita. 

5. Masa pelajar-pelajar Jepun ini naik tangga menuju ke tempat saya, salah seorang pelajar Jepun tersebut mengutip plastik kuning(yang terbang entah dari mana) dan memasukkannya ke dalam tong sampah. Tahukah anda negara Jepun sangat terkenal dengan kebersihannya. Sesiapa yang pernah pergi ke Jepun pasti kagum dengan disiplin rakyatnya berbanding dengan sikap dan perangai pengotor sesetengah daripada masyarakat kita. 

6. Mereka juga amat menghormati guru dan orang yang lebih tua. 'First impression' bila mereka berjumpa saya, mereka menundukkan kepala sambil mengucapkan hai pada saya. Kualiti ini sebenarnya semakin terhakis daripada pelajar kita kat Malaysia. Kadang-kadang pelajar kita ni jumpa cikgu kat 'shopping complex' pun buat tak tau je. 

7. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri cukup kagum dengan kejayaan Jepun yang bangkit daripada Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia setanding dengan Amerika, Rusia dan Jerman. Tun pernah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh dalam etika bekerja dan ia memberikan impak positif kepada masyarakat kita sebenarnya. 

8. Kedatangan pelajar Jepun ini mengingatkan saya kepada novel Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Dato Anwar Ridhwan yang menjadi teks Kesusasteraan Melayu Elektif (KME) bermula tahun 2015. Novel ini adalah teks wajib baca bagi setiap pelajar mahupun rakyat Malaysia. Ia menceritakan tentang hubungan budaya masyarakat Malaysia-Jepun. Pergilah cari novel Sasterawan Negara ini dan hadam.

Kredit : Fb Muhammad Yusof


 

Isteri Mualaf Ditinggal Semasa Pantang

25 Jul 2017


MASA belum dapat macam-macam ‘diayat’, sampai tergoda dan tinggalkan keluarga kerana cinta dengan harapan orang yang dicintai akan melindungi hingga ke hujung nyawa.

Belum pun hilang wangi bunga rampai dan bunyi kompang dari telinga, dia mula buat perangai. Alasan tidak mahu menghampakan permintaan ibu. Mudahnya lelaki buat keputusan.

Begitulah habis madu sepah dibuang. Demikian mukadimah saya minggu ini. Nak tahu kisah lanjut, kita ikuti cerita Efa (bukan nama sebenar).

Ini ceritanya.

“Saya berusia awal 30-an, seorang mualaf yang berkahwin dengan Asnan (bukan nama sebenar) sejak tiga tahun lalu. Kami dikurnia­kan seorang anak lelaki berusia dua tahun.

“Saya hanya seorang kerani di sebuah syarikat kecil yang berurusan dengan kontraktor. Gaji pun tidak seberapa. Saya berkahwin dengan Asnan setelah jatuh cinta dengannya sebab dia selalu datang berurusan di tempat kerja saya.

“Pada mulanya, saya risau juga sebab kami berlainan agama dan adat tetapi dia menyakinkan saya yang dia akan menjaga saya sampai ke hujung nyawanya.

“Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik dan penyayang. Itu di awal perkahwinan kami. Namun ujian rumah tangga untuk saya sangat hebat.

“Kami berkahwin tanpa restu ibu bapa dan keluarga Asnan. Ibunya membantah keras hajat dia memperisterikan saya. Tapi dia nekad mengahwini saya ke­rana tidak mahu berpisah dengan saya.

“Kami bernikah di pejabat agama sebulan selepas saya memeluk Islam. Alhamdulillah, bos tempat kerja saya juga membantu urusan tersebut untuk kami.

“Setelah bernikah, kami menyewa sebuah rumah berhampiran tempat kerja saya sementara Asnan berulang alik ke tempat kerjanya kira-kira 25 kilometer dari rumah kami.

“Di peringkat awal, Asnan sa­ngat penyayang. Saya kagum dengan sikap penyayang yang dia tunjukkan kepada saya. Janjinya, tidak akan sia-siakan saya, saya pegang sampai hari ini.

“Keadaannya mula berubah selepas anak sulung kami lahir. Semasa saya dalam pantang, dia tidak pedulikan saya. Dia kerap balik ke rumah ibunya yang mana sebelum ini, dia tidak pernah buat kerana keluarganya tidak terima saya.

“Masih saya ingat kata-katanya yang dia tidak akan balik ke rumah ibunya sehingga mereka semua menerima saya. Tapi keadaan menjadi sebaliknya. Saya tidak mahu cerita kenapa kerana saya tidak mahu berburuk sangka dengan dia dan keluarganya.

“Semasa saya dalam pantang sebulan, sampai ke telinga saya khabar sedih. Suami kahwin lagi atas permintaan ibunya. Hancur hati saya. Sedihnya hanya Allah yang tahu. Saya menangis berminggu-minggu, memeluk bayi kami yang tidak tahu apa-apa.

“Ketika saya sedang bergelut dengan anak yang masih belum habis pantang dan keadaan kesihatan yang belum sihat sepenuhnya, Allah uji saya. Mujur ada seorang kawan, Nasha namanya yang prihatin dengan saya membantu.

“Setelah lebih dua bulan Asnan tinggalkan rumah dan tinggal bersama isteri baharu di rumah ibunya, saya mula memikirkan masa depan saya. Apa akan jadi dengan saya dan bayi yang tidak berdosa ini.

“Bagaimana saya hendak te­ruskan hidup. Suami tidak balik, makan minum saya tidak diberi, nafkah entah di mana. Akhirnya saya mengambil keputusan tinggalkan rumah sewa kami dan menumpang tinggal bersama Nasha, ibu tunggal kepada dua orang anak. Walaupun saya tahu berdosa tinggalkan rumah tanpa izin suami, tapi saya terpaksa. Itu sahaja jalan terbaik untuk masa depan saya.

“Sejak itu, Asnan tidak pernah mencari saya dan anaknya. Kini, telah dua tahun lebih berlalu. Asnan tidak muncul lagi dalam hidup saya. Dia bahagia dengan isteri pilihan ibunya. Saya terus memendam rasa membesarkan anak kami yang kini berusia dua tahun.

“Kasihan anak saya, dia tidak tahu siapa bapanya. Dia membesar bersama anak Nasha seperti adik beradiknya. Dan saya de­ngan Nasha seperti adik beradik kandung, saling bantu membantu, mana yang perlu.

“Saya terus bekerja untuk menyambung hidup. Gaji saya campur kerja lebih masa cukup untuk kami dua beranak, bayar sewa rumah berkongsi dengan Nasha dan belanja dapur dan susu anak. Walaupun Nasha tidak mahu ambil, saya bagi juga sebab tidak mahu membebankan dia.

“Saya telah memfailkan perceraian di mahkamah. Saya ada alasan kukuh untuk berbuat demikian, lengkap dengan buktinya sekali. Saya harap kes ini akan dipermudahkan. Jika dia tidak mahu ceraikan, saya akan tuntut fasakh.

“Saya tidak akan kembali kepada keluarga asal saya kerana mereka juga telah membuang saya sebab berkahwin dengan Asnan dahulu. Insya-Allah saya akan kekal dengan Islam, begitu juga dengan anak saya yang diberi nama Muhammad Azhar.

“Saya sangat terhutang budi dengan Nasha yang mengambil berat akan kami dua beranak dan mendoakan agar dia sentiasa dalam rahmat dan perlin­dungan Allah. Kami telah mengaku saudara dunia akhirat dan berjanji akan mengharungi hidup ber sama walau dalam susah atau senang.

“Dalam masa yang sama, saya mendalami agama Islam, mengaji dan belajar solat dengan seorang ustazah yang sudi mengajar saya secara sukarela.

“Semasa bersama Asnan, dia tidak menjadi imam dan keluarga yang baik dan sempurna untuk saya. Semoga Allah buka pintu hati saya dan pancarkan nur 
di hati saya untuk menjadi seorang wanita dan ibu solehah. Amin.

“Doakan saya dan anak saya. Tentang Asnan, saya mendoakan dia sedar akan perbuatannya dan menjalankan tanggungjawabnya terhadap Muhammad Azhar walaupun saya tidak begitu mengharap. Jika tidak, berjawablah di akhirat nanti,” kata Efa menamatkan ceritanya.

Apa lagi yang mampu saya katakan. Simpati saya yang teramat sangat untuk Efa, tapi saya tahu Efa seorang wanita yang tabah dan cekal. Allah tidak akan me­nguji hambanya yang dia tahu tidak mampu menerima ujianNya.

Semoga Allah permudahkan urusan hidup Efa dan 
kurniakan kebaikan kepadanya dan anaknya di dunia dan akhirat.

Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, lupakan kesedihan kerana hidup tidak akan tenang andai kita selalu memikirkan perkara negatif. Bangkit dan cipta kebahagiaan dengan kembali kepada Allah SWT.

Salam

IbuBapa Tidak Setuju Bakal Menantu Bangsa Asing

22 Apr 2017


Saya lelaki berusia 30 tahun dan masih belajar di luar negara dalam jurusan engineering. Saya berkenalan dengan seorang classmate saya yang sebaya, tapi dia warga negara luar(berbangsa asing). Saya menjalinkan hubungan dengan dia dah 3 tahun, dan saya memang benar-benar jatuh cinta kepada wanita ini.Saya jatuh cinta terhadap sikapnya yang sangat lemah lembut, prihatin dan tidak terlalu bersosial seperti rakan-rakannya yang lain. Saya sangat selesa bila bersama dengan dia.
Untuk mengelakkan dia salah faham, saya berterus terang dan meluahkan perasaan saya kepada die, namun kami memegang ajaran agama yang berbeza. Bermakna kami tidak boleh bersama sekiranya dia bukan beragama Islam. Sedikit sebanyak saya bercerita kepada dia tentang ajaran agama Islam. Dia memahami maksud yang saya cuba sampaikan dengan tenang, cuma tidak pasti dia sudi menerima saya atau tidak jika saya ingin serius dengannya. Kiranya kami masih di peringkat mengenal hati budi masing-masing. Namun sikap dia yang suka mengambil berat, menyenangkan hati saya, apatah lagi bila berada di luar negara.
Naluri hati saya, ingin serius dengan hubungan ini, sesuai dengan umur kami sekarang. Jadi saya berhubung dengan kedua ibu bapa saya dan menyatakan hasrat hati saya. Tapi malangnya ibubapa saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya. Kata mereka, ramai lagi calon-calon lain yang senegara dan seagama, kenapa saya perlu memilih wanita berbangsa asing. Saya jadi serba salah. Bukan saya tak pernah cuba mencari calon senegara tapi hati dan perasaan saya dah jatuh hati kepada rakan wanita saya ini. Saya tidak memandang rupa paras atau harta, tetapi melihat keserasian dan kesuaian  sikap dan sifat apabila bersama. 
Kata ibu, berat cabarannya berkahwin dengan pasangan berbeza negara dan yang baru memeluk Islam. Semuanya perlu dibimbing dari bawah. Dan kalau berlaku sedikit kesilapan yang tak boleh ditoleransi, berat nak menanggungnya. Saya cuba menjelaskan, yang saya bersedia dengan semua jangkaan tersebut , namun ibu berkeras tidak bersetuju dengan keputusan saya.
Bantahan mereka menyebabkan saya patah semangat dan berat untuk meneruskan hubungan dengan si dia. Saya terlalu menyayanginya dan mencintai die sepenuh hati saya. Sesiapa boleh bantu saya , bagi idea bagaimana untuk saya meyakinkan kedua ibu bapa saya tentang pilihan hati saya . Saya pasti, mesti ada pembaca yang pernah menghadapi situasi begini

-Razi-
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.