SLIDER

bahasa
Showing posts with label bahasa. Show all posts

Resepi Homemade Pretzels

4 Apr 2022



Pernah tak uolls masuk shopping mall, dari jauh dah bau roti wangiii dan menyelerakan ... Yesss..bau pretzel kan....kalau pergi mall tak beli pretzel rasa menyesal pulak bila balik rumah. Tapi tapi tapi ...harganya mahallah sikit bagi orang yang tak mampu. Lagi lagi kalau beli yang ada caramel sos tu. Mampu ambik bau je lah ...hihi :)

Okay, kalau gitu apakata try resepi Homemade Pretzels yang tak mengecewakan ni. Boleh bagi anak-anak dan seisi rumah makan-makan waktu petang sambal layan tv. 

Untuk hidangan berbuka puuasa atau lepas solat terawih pun sangat-sangat sesuai.... Sure tak cukup punya ... minta dibuatkan lagi adalah....ajomm...

Uolls nak pakai manual ke, nak pakai mixer ke, nak pakai TM6 ke, mana-mana pun OK, Jangan rasa rigid sangat, Yang penting rasa sedap dan happy cooking .. Bismillah...



RESEPI HOMEMADE PRETZELS

Bahan-Bahan

  • 2 cawan susu segar
  • 1 1/2 sudu besar yis
  • 6 sudu besar gula perang
  • 4 sudu besar mentega (lembut pada suhu bilik)
  • 4 1/2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu kecil garam halus
  • 1/3 cawan baking soda
  • 3 cawan air suam
  • 1/4 cawan garam kasar
  • 8 sudu besar mentega (dicairkan)


Cara-Cara

  1. Suamkan susu dengan microwave atau dapur gas lebih kurang 1 minit. (Jangan terlalu panas, biar boleh sentuh dengan jari)
  2. Masukkan yis dan kacau, biarkan lebih kurang 3 minit.
  3. Masukkan mentega dan gula.
  4. Masukkan tepung secawan demi secawan, dan tambahkan garam halus.
  5. Uli dengan mixer dan dough hook, atau dengan tangan lebih kurang 10 minit.
  6. Masukkan doh ke dalam mangkuk yang bergris dengan minyak. Tutup dan biarkan mengembang selama 1 jam.
  7. Apabila doh mengembang kepada dua kali ganda, tumbuk-tumbuk sedikit supaya udara yang terperangkap keluar.
  8. Preheat oven ke 230ºC.
  9. Bahagi doh kepada 12 bahagian. Uli supaya doh memanjang.
  10. Satukan baking soda dan air suam ke dalam bekas.
  11. Pintalkan doh kepada bentuk pretzel dan celup ke dalam bekas air baking soda. Letakkan ke dalam dulang beralas parchment paper.
  12. Renjis dengan garam kasar.
  13. Bakar lebih kurang 7 ke 10 minit atau sehingga keperangan.
  14. Celup ke dalam mentega cair semasa masih panas.
  15. Sedap dihidangkan dengan dipping sos: Sos Karamel, sos Coklat, serbuk kayu manis bergula, sos butterscotch, garlic cream cheese dan sebagainya.





Bahasa kurang sopan ubah cara komunikasi remaja masa kini

7 Jan 2022

 


BILA sebut bahasa kurang sopan, tergambar perkataan kotor, mencarut dan ayat-ayat maki hamun yang keluar daripada percakapan seseorang atau tulisan mereka di media sosial.

Bagi mereka yang diajar sejak kecil mengamalkan bahasa yang baik dan beradab, mungkin kurang senang jika ada yang berkomunikasi dengan bahasa yang kurang sopan dan tidak beradab.

Namun sejak akhir-akhir ini ramai yang seakan selesa berkomunikasi menggunakan bahasa yang kurang sopan dan tidak berhemah di tempat awam, dan di media sosial. Ia seolah-olah trend komunikasi masa kini.

Penggunaan ayat-ayat dan perkataan yang kurang sopan dan tidak berhemah ini semakin berleluasa menjadi perbualan santai dalam kalangan masyarakat khususnya remaja.

Ia seakan diterima pakai dalam masyarakat bila perkataan yang kurang sopan itu menjadi biasa dalam perbualan harian atau ketika bergurau.

Umpamanya di kedai kedai makan dan di tempat awam kita biasa mendengar mereka bergurau sesama rakan sebaya dengan mengucapkan perkataan, seperti bodoh, sial, babi, mampus, anjing, sundal dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain yang mendengarnya.

Lebih menghairankan ramai dalam kalangan remaja beranggapan perkataan perkataan itu adalah satu bentuk komunikasi yang dilafazkan pada kawan kawan rapat sahaja dan ianya sekadar bergurau dan sebagai satu bentuk "mesra rakan".

Ia bukan bertujuan menjatuhkan maruah atau menghina.

Gurauan dan komunikasi santai yang menggunakan bahasa tidak sopan dan mencarut ini boleh diterima oleh rakan-rakan mereka selain ianya sebagai satu cara komunikasi menjalin persahabatan yang lebih akrab.

Tidak dinafikan adakalanya ayat-ayat yang disebut sangat memalukan khususnya di tempat awam, namun remaja masa kini seolah-olah sudah tebal dan kebal perasaan malu mereka.

Tanpa memikirkan perasaan orang sekeliling yang pelbagai kelompok umur mereka sewenang-wenangnya bergurau menggunakan bahasa yang sukar diterima halwa telinga.

Jika zaman penulis dulu memang sudah dicili mulut mereka atau merasa penampar sulung.

Selain itu di media sosial juga berlaku perkara yang sama.

Mengutuk dan menjatuhkan maruah orang yang tidak dikenali dengan perkataan kasar dan memalukan seakan budaya baharu masyarakat kita.

Lebih banyak perkataan mencarut dan lucah yang ditulisnya, lebih ramai yang komen dan memberi respons. Ianya seperti memeriahkan komunikasi di maya.

Sebagai orang lama yang sangat kagum pada kehalusan budi dan tutur cara berkomunikasi masyarakat dulu yang sentiasa berlapik dan berhati-hati bila bercakap, perkembangan budaya bahasa kasar dan kurang sopan ini amat terkesan dalam jiwa penulis.

Sejujurnya penulis tidak dapat menerima budaya bahasa kurang sopan dan mencarut yang semakin berleluasa dipertuturkan dan ditulis dalam media sosial.

Penulis membuat kajian rambang mengenai isu ini dan seramai 30 remaja dalam lingkungan umur 17 hingga 22 tahun ditemuduga untuk mendapatkan pandangan mereka.

Dapatan kajian merumuskan mereka bersetuju penggunaan bahasa kasar dan tak beradab sesuatu yang tidak baik untuk dipraktikkan, namun mereka berpendapat perkataan sedemikian tidak ada motif lain, ianya hanya digunakan dalam kalangan kawan-kawan dan sebagai satu bentuk gurauan dan merapatkan hubungan persahabatan antara mereka.

Sebahagiannya juga memberitahu mereka hanya guna bahasa kasar dan kurang sopan dalam kalangan rakan-rakan sebaya yang rapat sahaja.

Mereka tidak akan gunakan bahasa tidak bersopan pada ahli keluarga dan guru-guru mahu pun orang yang lebih tua dari mereka.

Kebanyakannya tahu kepentingan berbahasa dengan berhemah, kerana mereka diajar oleh ibu bapa, guru dan pendidik yang lain.

Namun bila berjumpa rakan-rakan sebaya mereka terikut trend berbahasa zaman ini yang banyak dilihat dan ditiru daripada media sosial dan televisyen.

Ada juga remaja yang berpendapat mereka tidak faham mengapa orang tua ada lesen besar untuk mencarut dan memaki hamun sedangkan orang muda perlu lebih banyak berhemah dalam perbualan dan komunikasi mereka.

Bagi mereka orang tua perlu beri contoh baik untuk mereka ikut dan bukan menyalahkan mereka yang muda.

Dalam kajian yang sama pula golongan dewasa berpendapat bahasa dan gaya pertuturan remaja masa kini adalah berdasarkan pengaruh keluarga mereka dan persekitaran mereka membesar.

Ada ibu bapa yang menunjukkan contoh yang kurang baik dengan mencarut dan bercakap perkara-perkara yang tidak sopan di depan anak-anak.

Berdasarkan konsep kepimpinan melalui teladan, contoh yang diberi ibu bapa adakalanya membuatkan anak-anak ini merasa selesa untuk mencarut bila ibu bapa mereka begitu ringan mulut memaki hamun dan mencarut.

Ibu bapa yang terlalu sibuk mencari rezeki dan nafkah hidup adakalanya tidak sempat mengajar nilai murni pada anak-anak mereka.

Disebabkan itu anak-anak tidak mendapat didikan yang betul tentang berbahasa dan berkomunikasi.

Adakalanya anak-anak seawal umur enam atau tujuh tahun sudah pandai mencarut dan memaki hamun rakan-rakan sekolah dengan perkataan yang hanya biasa diucapkan oleh orang dewasa.

Selain itu konsep kejiranan juga semakin longgar. Untuk menegur anak-anak jiran seperti anak-anak sendiri juga sudah tidak dipraktikkan lagi zaman ini. Silap tegur pasti buruk padahnya.

Sikap individualistik juga semakin tinggi. Jiran sebelah rumah pun kadang tidak bertegur sapa.

Mendidik anak-anak diberikan pada pihak sekolah yang terlalu banyak tanggungjawab lain. Akhirnya anak-anak ini membesar dengan cara mereka sendiri.

Mereka tidak harus dipersalahkan seratus peratus, mereka perlu dibimbing.

Selain itu pengaruh besar media sosial dalam kehidupan remaja juga menjadi punca bahasa kurang sopan ini dipraktikkan tanpa rasa bersalah.

Bila media setiap hari memomokkan bahasa kurang sopan dalam rancangan TV di youtube dan media sosial yang lain, para remaja beranggapan ianya sesuatu yang biasa dan diterima masyarakat.

Mereka terikut perkembangan berbahasa masa kini yang sudah tidak mementingkan kesantunan bahasa.

Kesimpulannya, trend bercakap kurang sopan dan mencarut dalam kalangan remaja harus diberi perhatian yang lebih serius oleh ibu bapa, masyarakat, pendidik dan pihak berkuasa.

Peranan ibu bapa harus digandakan dan mereka adalah role model terbaik untuk dicontohi oleh anak-anak.

Pihak sekolah perlu lebih banyak memberi peluang kepada pelajar mempelajari adab dalam berkomunikasi di sekolah dan memberi panduan yang betul untuk mengamalkan komunikasi berhemah.

Jiran-jiran dan masyarakat sekeliling perlu lebih peka terhadap masalah ini dan membantu remaja supaya mereka boleh mengamalkan bahasa yang baik dan bersopan.

Sayangi anak-anak jiran seperti kita sayangi anak-anak kita sendiri.

Sudah tiba masanya masyarakat kita memperkasakan kesantunan bahasa dalam kehidupan.

Masyarakat Melayu memang kaya dengan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang sentiasa menjadi pegangan masyarakat sejak dulu.

Jika dibiarkan budaya mencarut dan bahasa kurang sopan menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita ia bakal menjadi barah yang merosakkan keharmonian komunikasi dalam masyarakat kita.

Pepatah mengatakan “ bahasa menunjukkan bangsa” jelas memperlihatkan kaitan bahasa yang baik dengan ketamadunan bangsa. Justeru bila zaman berubah manusia juga perlu berubah sejajar perkembangan peradaban manusia.

Namun nilai nilai murni tidak seharusnya hilang dan lenyap ditelan kepesatan teknologi. Apa pun tepuk dada tanya akal boleh kah kita menjadi generasi maju bila sesuatu yang baik seperti kesantunan bahasa dan nilai kemanusiaan digadaikan.


KREDIT :

*Hariyati Ariffin Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/57798/KHAS/Pendapat/Bahasa-kurang-sopan-ubah-cara-komunikasi-remaja-masa-kini

LINK : SINAR HARIAN


Bagaimana Seorang Guru Memperkenalkan Tulisan Jawi Kepada Pelajar Jepun

18 Sept 2017


1. Hari ini ada lebih kurang 45 orang pelajar dari Jepun melawat ke sekolah saya. Saya ditugaskan untuk menjaga seksyen tulisan dan demontrasi kaligrafi khat jawi. So, untuk demontrasi khat saya guide mereka untuk menulis nama 'Muhammad'. Saya terangkan kepada mereka bahawa 'Muhammad' adalah 'one of most influential people in the world', then saya sarankan mereka search semula nama 'Muhammad' ini bila free. Mereka nampak berminat dan bersungguh nak tahu walaupun bidang kaligrafi ini agak asing bagi mereka. Sikap bersungguh-sungguh seperti ini seharusnya menjadi ikutan pelajar-pelajar kita. 

2. Sekolah saya mengambil pendekatan untuk memperkenalkan tulisan jawi kepada pelajar-pelajar Jepun tersebut. Mengapa kami mengambil pendekatan ini? Ini kerana tulisan jawi pernah memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam semua urusan satu ketika dahulu, tapi itulah sekarang ini tulisan jawi kian terpinggir ditelan arus kemodenan. Jadi, sekolah kami ingin memperkenalkan sub-budaya yang semakin hilang tersebut kepada pelajar Jepun dan apa yang menariknya mereka nampak teruja dengan seni halus budaya kita ini. 'Wow' dan 'amazing' terpacul secara spontan daripada salah seorang murid Jepun bila mereka melihat contoh tulisan khat jawi yang kami pamerkan. Dan kami juga menjemput mereka untuk sama-sama menulis nama mereka dalam tulisan jawi. 

3. Sebahagian pelajar Jepun ni tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Hanya sebilangan mereka yang mampu bertutur secara 'fluent english'. Walaupun tidak fasih bertutur bahasa Inggeris namun teknologi Jepun jauh meninggalkan negara kita, mungkin 10 tahun terkehadapan. Kita perlu sedar bahawa bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa yang digunakan untuk subjek sains dan teknologi. Banyak penemuan saintifik seperti Teori Relativiti Einstein ditemui dan diterbitkan dalam Bahasa Jerman dan bukannya bahasa Inggeris. Baru-baru ini pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri dikritik nitizen kerana tidak fasih berbahasa inggeris sedangkan Faiz Subri mendapat pujian daripada ikon-ikon bolasepak dunia kerana bakat beliau. Apa yang menariknya tentang pelajar Jepun ini ialah mereka tetap mencuba untuk memahami dan bertutur dengan cara komunikasi bahasa isyarat yang mereka faham dan saya faham. Cukup sekadar memperagakan 'bahasa tubuh' pun mampu untuk membuatkan saya faham apa yang mereka cuba sampaikan. Tak perlu nak fluent-fluent english sangat. 

4. Orang Jepun terkenal dengan adab dan kesopanan yang tinggi. Contohnya masa saya suruh mereka sain buku pelawat, elok je mereka beratus ikut siapa sampai dahulu. Mereka juga tidak pernah putus dengan senyuman. Budaya positif ini sewajarnya diikuti oleh pelajar-pelajar kita. 

5. Masa pelajar-pelajar Jepun ini naik tangga menuju ke tempat saya, salah seorang pelajar Jepun tersebut mengutip plastik kuning(yang terbang entah dari mana) dan memasukkannya ke dalam tong sampah. Tahukah anda negara Jepun sangat terkenal dengan kebersihannya. Sesiapa yang pernah pergi ke Jepun pasti kagum dengan disiplin rakyatnya berbanding dengan sikap dan perangai pengotor sesetengah daripada masyarakat kita. 

6. Mereka juga amat menghormati guru dan orang yang lebih tua. 'First impression' bila mereka berjumpa saya, mereka menundukkan kepala sambil mengucapkan hai pada saya. Kualiti ini sebenarnya semakin terhakis daripada pelajar kita kat Malaysia. Kadang-kadang pelajar kita ni jumpa cikgu kat 'shopping complex' pun buat tak tau je. 

7. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri cukup kagum dengan kejayaan Jepun yang bangkit daripada Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia setanding dengan Amerika, Rusia dan Jerman. Tun pernah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh dalam etika bekerja dan ia memberikan impak positif kepada masyarakat kita sebenarnya. 

8. Kedatangan pelajar Jepun ini mengingatkan saya kepada novel Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Dato Anwar Ridhwan yang menjadi teks Kesusasteraan Melayu Elektif (KME) bermula tahun 2015. Novel ini adalah teks wajib baca bagi setiap pelajar mahupun rakyat Malaysia. Ia menceritakan tentang hubungan budaya masyarakat Malaysia-Jepun. Pergilah cari novel Sasterawan Negara ini dan hadam.

Kredit : Fb Muhammad Yusof


 
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.