SLIDER

ilmu
Showing posts with label ilmu. Show all posts

Hadis 40 Imam al-Nawawi : Penghayatan Kepada Pengenalan, Keistimewaan & Ringkasan Isi Kandungan Diperluas Di Kalangan Pelajar

13 May 2024


Untuk makluman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi diperluaskan sebagai modul pembelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan. 

Program ini memberi fokus kepada  guru dan murid beragama Islam di sebanyak 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara. 


Selain itu, Kurikulum Pendidikan Islam di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara juga akan dimantapkan dengan modul pembelajaran Hadis 40 Imam Nawawi yang dijangka bermula Jun 2024 ini. 


Modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi ini juga seiring dengan inisiatif Program Tabika Pra Tahfiz yang dilaksanakan KKDW bermula tahun ini. Oleh itu, pada Jun ini guru-guru KEMAS yang terlibat dengan program Tabika Pra Tahfiz yang akan menjalani kursus dan latihan dapat merangkumi sekali modul pembelajaran Hadis 40 ini dalam program tersebut.






Bagi yang pertama kali mengetahui mengenai hadis ini, sudah tentu terdapat banyak persoalan-persoalan yang berlegar di fikiran berkaitan hadis ini.  Di bawah dikongsikan serba sedikit penerangan ringkas mengenai Hadis 40.



PENGENALAN HADIS 40


Hadis 40 adalah merujuk kepada himpunan senarai 42 hadis-hadis Nabi Muhammad SAW oleh Imam Al-Nawawi. Hadis-hadis ini mencakupi pelbagai aspek , antaranya tentang iman, moraliti, tingkah laku dan sebagainya yang dijadikan panduan cara hidup menurut agama Islam. 


Imam al-Nawawi telah mengumpul sebanyak 42 hadis sahih ini yang sebahagian besarnya terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.


Beliau menghimpunkan hadis-hadis yang menjadi prinsip-prinsip asas agama dan memilih hadis-hadis yang disifatkan oleh para ulama sebagai separuh daripada Islam atau sepertiga Islam atau seumpamanya. 


Terdapat sebuah riwayat tentang kelebihan menghafal 40 hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas:


مَنْ حَفِظَ عَلَى أُمَّتِي أَرْبَعِينَ حَدِيثًا مِنْ أَمْرِ دِينِهَا يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَقِيهًا عَالِمًا

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz untuk umatku 40 hadis berkenaan urusan agamanya, dia akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang faqih dan berilmu.”


APA ITU HADIS


Hadis adalah kata-kata dan jawapan Nabi Muhammad dalam menjawab pertanyaan umat Islam pada masa lampau. Hadis diinterpretasikan bersama dengan Al-Quran dan merupakan sumber penting dalam agama Islam. 


Berbeza dengan Al-Quran yang ditulis selama hidup Nabi Muhammad, hadis disampaikan secara lisan dan kemudian dirakam sebagai sejarah lisan berdasarkan apa yang didengar oleh mereka yang hidup pada masa Nabi.

Terdapat beberapa jenis hadis seperti hadis sahih, hadis hasan, hadis qudsi hadis palsu dan sebagainya.  


TEMA HADIS 40

Tema yang disentuh dalam himpunan hadis 40 ini ialah berkaitan niat, ibadat, iman, ihsan, ketentuan takdir, halal, haram, nasihat, jihad, ketaatan, keyakinan, kasih sayang,  kehormatan diri, menghargai orang lain, akhlak mulia,  mengikut  sunnah, bersederhana, penghakiman,  mencegah  kemungkaran, persaudaraan  dan  taubat.  


KEISTIMEWAAN


Terdapat banyak keistimewaan Hadis 40 karya Imam al-Nawawi ini. Antara keistimewaannya ialah:

1. Mencakupi semua hadis berkaitan kehidupan manusia.

2. Selari dengan ajaran islam

3. Hadis-hadisnya menjadi asas kepada kaedah agama yang penting.

4. Hadis-hadis dalam kumpulan ini memiliki sanad (rantai perawi) yang kuat dan diakui oleh para ulama hadis. 

5. Salah satu sumber pengajaran yang paling popular dalam Islam. Hadis-hadis ini sering dipelajari dan diajarkan oleh para ulama dan pendidik Islam di seluruh dunia.

6. Terdapat penjelasan ringkas berkaitan setiap hadis untuk memberikan pemahaman tambahan tentang pesanan yang terkandung dalam hadis tersebut.



RINGKASAN ISI KANDUNGAN


Hadis 1: Setiap amalan bergantung pada niat. Apa yang diniatkan, itulah yang akan kita dapat. Individu yang beramal dengan niat ikhlas kepada Allah akan dibalas berdasar apa yang diniatkannya.

Hadis 2: Mengenai maksud Islam, iman dan ihsan dan tanda kiamat. 

Hadis 3: Mengenai bagaimana Islam terbina di atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji di Baitullah jika berkemampuan.

Hadis 4: Menceritakan tentang peringkat kejadian manusia dan penentuan rezeki, ajal, qada’ dan qadar selepas roh ditiupkan ke janin.

Hadis 5: Menggalakkan umat Islam agar menjauhi amalan bid’ah, mereka-reka amalan baharu dalam urusan agama tanpa rujukan sumber sahih. 

Hadis 6: Mengenai halal haram. Islam menyeru umatnya meninggalkan perkara syubhah (tidak pasti) kerana dibimbangi terjatuh kepada perkara haram. Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.

Hadis 7: Menjelaskan Islam sebagai agama nasihat yang mengandungi ketaatan kepada Allah, Rasul-Nya, beriman serta beramal dengan kitab dan sunnah Rasul-Nya. Selain itu, tanggungjawab menasihati pemimpin dan membantu pemerintah dalam perkara yang wajib dibantu. Nasihat bagi kaum muslimin pula dengan menyeru kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar.

Hadis 8: Menyatakan keizinan memerangi golongan musyrikin Makkah yang memusuhi Islam dan orang yang memerangi umat Islam. Hadis ini juga bermaksud larangan memerangi atau menyakiti bukan Islam secara semberono.

Hadis 9: Larangan umat Islam melakukan perkara haram dan galakan supaya melaksanakan arahan nabi dengan sedaya-upaya. Umat terdahulu dibinasakan kerana terlalu banyak menyoal dan perselisihan dengan nabi mereka.

Hadis 10: Syariat Islam menganjurkan umatnya makan dan minum daripada sumber halal. lslam menuntut umatnya menjaga diri dari semua aspek; kebersihan diri dan hati, keelokan berpakaian, kebersihan amalan perbuatan juga budi pekerti.

Hadis 11: Rasulullah menyeru umatnya meninggalkan perkara meragukan, sebaliknya berpegang pada sesuatu yang yakin.Keyakinan adalah asas amalan dalam lslam. Amalan yang dilakukan dengan yakin dikira sah dan diberikan ganjaran pahala. Sebaliknya amalan yang dilakukan secara ragu-ragu, tidak memadai dan mesti diulangi.

Hadis 12: Menyeru seseorang agar meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengan keperluannya atau perbuatan sia-sia, sama ada urusan dunia atau akhirat. Seseorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

Hadis 13: Kasih sayang dan persaudaraan adalah antara tuntutan iman. lman seseorang mukmin tidak akan sempurna sekiranya dia ada menyimpan perasaan benci terhadap mana-mana saudaranya yang seagama. Hadis ini menyeru kepada individu agar mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai diri sendiri kerana ia sebagai tanda kesempurnaan iman.

Hadis 14: Memberi amaran mengenai haram menumpahkan darah seseorang kecuali tiga jenis pesalah syariah iaitu janda atau duda yang berzina, pembunuh dan individu murtad. Menurut hukum Allah seorang mukmin adalah terjamin keselamatan nyawanya, darahnya dan harta bendanya daripada sebarang pencerobohan dan kezaliman. Apabila berlaku pencerobohan terhadap darah, harta dan maruahnya dia berhak menuntut balas mengikut peruntukan syara’.

Hadis 15: Hadis ini menerangkan beberapa tuntutan lman, antaranya ialah berkata hanya perkara benar dan berfaedah, kurang bercakap, menghormati jiran tetangga dan memuliakan tetamu.

Hadis 16: Hadis ini menerangkan betapa sifat marah itu perlu dihindari oleh setiap mukmin, kerana marah membawa banyak keburukan terhadap diri sendiri juga terhadap orang lain.

Hadis 17: Menggalakkan bersikap ihsan kepada semua makhluk termasuk haiwan korban dengan menajamkan mata pisau.

Hadis 18: Taqwa dituntut walaupun di mana seorang mukmin berada, sama ada di khalayak ramai mahupun di ketika keseorangan. lni adalah tanda iman dan taqwa.

Hadis 19: Pesanan Rasulullah kepada sahabat Abdullah Abbas agar memperkukuh iman dengan mematuhi dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dia dalam kesenangan. Dengan ini dia akan dijaga dan dipelihara Allah sepanjang masa, terutamanya ketika ditimpa kesusahan hidup.

Hadis 20: Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat.

Hadis 21: Hadis menuntut agar seorang mukmin sentiasa mengambil berat soal lman, tauhid dan aqidahnya, selalu memperbaharui imannya kepada Allah, dan istiqamah atas jalan yang diperintahkan oleh-Nya.

Hadis 22: Hadis menerangkan betapa apabila seorang mukmin benar-benar menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna, menghalalkan perkara yang halal dan mengharamkan perkara yang haram, dia akan masuk syurga walaupun dia tidak melakukan amalan- amalan sunat yang lain. lni adalah kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambaNya.

Hadis 23: Menyatakan tentang kelebihan amalan soleh seperti bersuci, zikir (bertasbih, bertahmid serta bertakbir), mengerjakan solat dan bersedekah.

Hadis 24: Hadis panjang yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Dzar al-Ghifari mengenai keluasan kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Hadis 25: Mengenai galakan Rasulullah supaya sekumpulan sahabatnya berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan termasuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir yang dianggap sedekah.

Hadis 26: Hadis ini menerangkan bahawa setiap amal perbuatan mukmin walaupun kadang- kadang dianggap biasa atau sedikit, akan mendapat pahala sedekah.

Hadis 27: Mengenai Rasulullah menjawab pertanyaan sahabat tentang perkara baik dan dosa. Baginda berkata kebaikan menenangkan jiwa tetapi dosa meresahkannya.

Hadis 28: Rasulullah SAW berwasiat dalam hadis ini beberapa perkara penting, antaranya; supaya bertaqwa kepada Allah SWT, patuh dan taat kepada pemerintah biarpun dia adalah orang yang berasal dari keturunan bawahan atau hamba ‘abdi, kerana yang penting apa yang diperintahkan, bukan orang yang memerintah. Serta, mengikut sunnah Nabi dan menjauhi bid’ah.

Hadis 29: Berdasarkan hadis ini, amalan yang boleh memasukkan seseorang hamba ke dalam syurga ialah menunaikan rukun-rukun lslam, iaitu benar-benar beriman kepada Allah tanpa syirik dan beriman kepada Rasulullah SAW, sembahyang, zakat, puasa Ramadhan dan ibadat haji.

Hadis 30: Berkaitan larangan mengabaikan syariat Allah yang difardukan dan haram melanggar batasan.

Hadis 31: Pesanan Rasulullah kepada seorang sahabat agar mengamalkan sikap zuhud yang mengundang cinta Allah dan manusia kepada seseorang.

Hadis 32: Hadis ini menjelaskan suatu prinsip utama dalam kehidupan lslam, iaitu jangan mencari mudharat dan menyebabkan kemudharatan terhadap orang lain. la adalah suatu prinsip yang agung demi kesejahteraan umat manusia semuanya sama ada muslim atau bukan muslim.

Hadis 33: Hadis ini menerangkan sikap dan tabiat buruk kebanyakan manusia di mana mereka gemar mendakwa sesuatu yang bukan milik mereka. Sekiranya semua dakwaan mereka dituruti, nescaya akan kecohlah sistem kehidupan manusia. Secara tidak langsung ia membayangkan bahawa banyak persengketaan, pergaduhan malah pembunuhan dan peperangan yang berlaku di kalangan manusia membabitkan soal harta benda dan kekayaan.

Hadis 34: Rasulullah mengingatkan tentang kewajipan cegah kemungkaran melalui tiga tahap kekuatan iman: tangan (kuasa), lisan (teguran) dan hati (dianggap selemah-lemah iman).

Hadis 35: Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.

Hadis 36: Hadis ini menganjurkan sikap tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain.

Hadis 37: Menjelaskan sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang amat adil lagi amat pemurah. Dia membalas satu perbuatan baik dengan sepuluh kebajikan dan hanya membalas satu maksiat dengan satu dosa. Satu kebajikan yang terlintas di hati seseorang tanpa dilaksanakan, Allah tetap mengurniakannya satu pahala, sedangkan kalau seseorang berniat mahu melakukan maksiat, dia tidak akan diberi dosa sehingga dia benar-benar melaksanakan lintasan dan niat hatinya itu.

Hadis 38: Kemuliaan para wali Allah dan kelebihan mereka. Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan fardhu yang Dia fardhukan ke atas hamba-hambaNya.

Hadis 39: Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT terhadap hambaNya. Dia hanya mempertanggungjawabkan mereka dosa yang dilakukan secara sedar, sengaja dan dengan kemahuan sendiri tanpa paksaan.

Hadis 40: Rasulullah menasihati umat Islam agar memanfaatkan peluang semasa hidup tanpa tabiat menangguh-nangguhkan amalan kebaikan.

Hadis 41: Hadis ini menerangkan salah satu daripada tuntutan lman, iaitu mestilah hawa nafsunya tunduk dan menurut ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sekiranya dia mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran lslam, mencintai maksiat daripada amal kebajikan, maka lmannya tidak sempurna.

Hadis 42: Imam Nawawi mengakhiri susunan hadis dengan mengkhabarkan pintu keampunan Allah sangat luas, maka Dia pasti akan mengampunkannya. Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT yang tidak terbatas bagaikan lautan tidak berpantai. 

Kredit Sumber : astroawani
Kredit Sumber : eCentral

Bagaimana Seorang Guru Memperkenalkan Tulisan Jawi Kepada Pelajar Jepun

18 Sept 2017


1. Hari ini ada lebih kurang 45 orang pelajar dari Jepun melawat ke sekolah saya. Saya ditugaskan untuk menjaga seksyen tulisan dan demontrasi kaligrafi khat jawi. So, untuk demontrasi khat saya guide mereka untuk menulis nama 'Muhammad'. Saya terangkan kepada mereka bahawa 'Muhammad' adalah 'one of most influential people in the world', then saya sarankan mereka search semula nama 'Muhammad' ini bila free. Mereka nampak berminat dan bersungguh nak tahu walaupun bidang kaligrafi ini agak asing bagi mereka. Sikap bersungguh-sungguh seperti ini seharusnya menjadi ikutan pelajar-pelajar kita. 

2. Sekolah saya mengambil pendekatan untuk memperkenalkan tulisan jawi kepada pelajar-pelajar Jepun tersebut. Mengapa kami mengambil pendekatan ini? Ini kerana tulisan jawi pernah memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam semua urusan satu ketika dahulu, tapi itulah sekarang ini tulisan jawi kian terpinggir ditelan arus kemodenan. Jadi, sekolah kami ingin memperkenalkan sub-budaya yang semakin hilang tersebut kepada pelajar Jepun dan apa yang menariknya mereka nampak teruja dengan seni halus budaya kita ini. 'Wow' dan 'amazing' terpacul secara spontan daripada salah seorang murid Jepun bila mereka melihat contoh tulisan khat jawi yang kami pamerkan. Dan kami juga menjemput mereka untuk sama-sama menulis nama mereka dalam tulisan jawi. 

3. Sebahagian pelajar Jepun ni tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Hanya sebilangan mereka yang mampu bertutur secara 'fluent english'. Walaupun tidak fasih bertutur bahasa Inggeris namun teknologi Jepun jauh meninggalkan negara kita, mungkin 10 tahun terkehadapan. Kita perlu sedar bahawa bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa yang digunakan untuk subjek sains dan teknologi. Banyak penemuan saintifik seperti Teori Relativiti Einstein ditemui dan diterbitkan dalam Bahasa Jerman dan bukannya bahasa Inggeris. Baru-baru ini pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri dikritik nitizen kerana tidak fasih berbahasa inggeris sedangkan Faiz Subri mendapat pujian daripada ikon-ikon bolasepak dunia kerana bakat beliau. Apa yang menariknya tentang pelajar Jepun ini ialah mereka tetap mencuba untuk memahami dan bertutur dengan cara komunikasi bahasa isyarat yang mereka faham dan saya faham. Cukup sekadar memperagakan 'bahasa tubuh' pun mampu untuk membuatkan saya faham apa yang mereka cuba sampaikan. Tak perlu nak fluent-fluent english sangat. 

4. Orang Jepun terkenal dengan adab dan kesopanan yang tinggi. Contohnya masa saya suruh mereka sain buku pelawat, elok je mereka beratus ikut siapa sampai dahulu. Mereka juga tidak pernah putus dengan senyuman. Budaya positif ini sewajarnya diikuti oleh pelajar-pelajar kita. 

5. Masa pelajar-pelajar Jepun ini naik tangga menuju ke tempat saya, salah seorang pelajar Jepun tersebut mengutip plastik kuning(yang terbang entah dari mana) dan memasukkannya ke dalam tong sampah. Tahukah anda negara Jepun sangat terkenal dengan kebersihannya. Sesiapa yang pernah pergi ke Jepun pasti kagum dengan disiplin rakyatnya berbanding dengan sikap dan perangai pengotor sesetengah daripada masyarakat kita. 

6. Mereka juga amat menghormati guru dan orang yang lebih tua. 'First impression' bila mereka berjumpa saya, mereka menundukkan kepala sambil mengucapkan hai pada saya. Kualiti ini sebenarnya semakin terhakis daripada pelajar kita kat Malaysia. Kadang-kadang pelajar kita ni jumpa cikgu kat 'shopping complex' pun buat tak tau je. 

7. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri cukup kagum dengan kejayaan Jepun yang bangkit daripada Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia setanding dengan Amerika, Rusia dan Jerman. Tun pernah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh dalam etika bekerja dan ia memberikan impak positif kepada masyarakat kita sebenarnya. 

8. Kedatangan pelajar Jepun ini mengingatkan saya kepada novel Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Dato Anwar Ridhwan yang menjadi teks Kesusasteraan Melayu Elektif (KME) bermula tahun 2015. Novel ini adalah teks wajib baca bagi setiap pelajar mahupun rakyat Malaysia. Ia menceritakan tentang hubungan budaya masyarakat Malaysia-Jepun. Pergilah cari novel Sasterawan Negara ini dan hadam.

Kredit : Fb Muhammad Yusof


 

Isterikah Nusyuz Atau Suami Yang Derhaka ?

6 Jul 2017


Dalam bahasa kita nusyuz ni ingkar atau derhaka. Persoalannya bila sebut sahaja nusyuz atau derhaka ni selalunya "macam" terfokus kepada isteri. Isteri derhaka, tak taat suami tak hormat suami tak nak layan suami dan macam-macam lagi kesalahan diletakkan ke atas wanita yang bergelar isteri. Kesian orang perempuan ni dah la buat kerja macam-macam, siang, malam, pagi, petang nak cuti pun susah sebab kerja tak pernah selesai. Yang lagi hebat, kalau anak 5,6,7,8,9 dan keatas lepas tu tak ada pembantu...

Ya Allah ... faham-faham sahajalah. Tapi orang perempuan ni dicipta oleh Allah walaupun fizikalnya nampak lemah tapi kekuatan dalamannya memang hebat lebih-lebih lagi jika untuk suami dan anak-anak yang sangat-sangat dikasihi. Sebab itulah berkorban terkorban pengorbanan sangat sinonim di dalam diari kehidupan seorang wanita.

Hukum nusyuz atau derhaka ni memang jelas haram, bila dah haram bila dilakukan maka berdosa. Sebagai seorang yang beriman bila sebut dosa tentu kita takut sebab bila dah berdosa kalau tak bertaubat hadiahnya adalah neraka Nauzubillahi min zalik.

Oleh itu berhati-hati dalam tindak tanduk kita supaya tidak dikategorikan sebagai isteri yang derhaka. Kalau ada minta maaf cepat2 sebab kematian itu datang tak tentu masa bila-bila sahaja.

Bila sebut tentang nusyuz atau derhaka ni, adakah isteri sahaja yang nusyuz, bagaimana pula suami?

Isteri dikatakan nusyuz jika tidak mentaati suami sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah Taala. Isteri wajib mentaati suami tapi bersyarat iaitu sebagaimana yang diwajibkan oleh hukum syarak. Kalau suami tak bagi tutup aurat tak bagi belajar ilmu fardhu ain maka bukanlah nusyuz jika tidak dipatuhi. Ketaatan yang dituntut oleh Islam ada panduan sebagai rujukan dan bukan sewenang-wenangnya.

Suami juga dikatakan nusyuz, jika berlaku zalim seperti tidak menunaikan hak nafkah atau bercakap atau bertindak kasar terhadap isteri atau tidak menunakan hak isteri dalam pembahagian giliran bermalam. (rujuk kitab terjemahan Al-fiqh Al-Manhaji jilid 4 ms 849)

Tak beri nafkah, tak nak bercakap dengan isteri, pukul isteri, tak nak balik rumah isteri tua bila dah dapat isteri muda dan sebagainya...itu perbuatan derhaka dari pihak suami terhadap isteri.

Isteri juga berhak menasihati suami sebagaimana suami berhak menasihati isteri. Jika peringatan dan nasihat yang diberikan oleh isteri tidak berkesan, masalah tersebut wajar dibawa ke Mahkamah bagi isteri untuk mendapatkan haknya. Ini kerana hakim di Mahkamah dilantik untuk mengembalikan hak kepada empunya hak khususnya bagi isteri- isteri yang tidak mampu mendapatkan haknya secara perundingan.

Suami berduit tapi tak nak bagi kat isteri katanya isteri bekerja jadi tanggunglah diri sendiri, adakah itu juga kategori derhaka ya, tak berani nak declare. Tapi yang jelas itu suami yang kedekut Sabda Rasulullah "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik kepada ahli keluarganya dan saya adalah orang yang paling baik di kalangan kamu kepada ahli keluarga saya"

Tak salah jika Isteri bekerja dengan izin suami, ditambah pula perkerjaan isteri memang tak bercanggah dari hukum syarak tapi tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri tetap tidak gugur...

Satu penyakit yang menular dalam masyarakat kita ialah masalah komunikasi antara suami dan isteri, kadang-kadang seminggu tak bercakap alasannya tak ada apa yang nak dibualkan, tapi yang peliknya ditempat kerja masing-masing diiktiraf kaki sembang, pandai bercerita, hebat dihadapan rakan sekerja tapi bila balik rumah out..bercakap tak nak, senyum pun susah, telefon pun tak nak masing-masing bawa diri masing-masing sorang gi timur dan sorang di barat, anak-anak pun jadi confius arah tuju keluarga yang hendak dibina oleh ibu bapa mereka. Masing-masing lebih prihatin dan ambil berat hal-hal orang luar dari keluarga sendiri sedangkan hadis diatas jelas menyatakan siapakah "sebaik-baik kamu"....

Kesimpulannya nusyuz atau derhaka, bukan sahaja dari pihak isteri bahkan suami juga, oleh itu muhasabah diri dari masa ke semasa. Semua orang nak hidup bahagia bersama orang yang dikasihi. Pada pendapat saya corak atau warna kehidupan dalam keluarga yang kita bina adalah pilihan kita sendiri... bahagia atau derita tanya diri sendiri.. Allah beri aqal untuk berfikir dan gunakan sebaik mungkin jangan disebabkan keegoan diri sendiri menghancurkan kebahagian diri sendiri dan insan-insan yang berada disekeliling kita...

Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua..


Oleh :


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.