Madu Meroyan Suami Bawa Saya Bercuti
BUKAN mudah
hendak menyesuaikan diri dengan hidup bermadu, tetapi jika reda pasti
ada hikmahnya. Ini semua ketentuan Allah. Bukan kita untuk menidakkan
ketentuan Allah.
Namun kesabaran akan mengajar kita reda dan menerimanya dengan positif, tambahan pula jika suami boleh berlaku adil.
Inilah kisah catatan saya minggu ini,
kiriman seorang isteri yang mahu dikenali sebagai Mazni (bukan nama
sebenar). Ingin tahu kisah Mazni selanjutnya, jom kita baca.
Ini kisahnya.
“Saya seorang pesara kerajaan, berusia lewat 50-an, bersuami dan bermadu dengan seorang wanita muda berusia lewat 30-an. “Kami dikurniakan tiga orang anak yang kesemuanya sudah berumah tangga
dan mempunyai tujuh orang cucu. Saya hidup bahagia walaupun lima tahun
lalu, saya diuji dengan pernikahan kedua suami. Sejak itu, saya hidup
bermadu.
“Saya bersikap profesional
dalam perkara ini, saya anggap ia jodoh suami. Walau dia tidak minta
izin tapi saya terima dengan lapang dada, meskipun saya dapat tahu
seminggu setelah mereka selamat diijabkabulkan.
“Saya tidak terkejut,marah dan mengamuk sebab saya tahu mesti ada sebab
suami berbuat demikian. Kenapa dia melanggar janji kami untuk sehidup
semati, saya tidak mahu tahu sebab saya tahu, janji manusia tidak sama
dengan janji Allah.
“Lima tahun saya
belajar tentang hidup bermadu, tentang giliran bermalam, tentang
berkongsi suami dan menerimanya dengan reda. Alhamdulillah Allah
makbulkan segala doa-doa saya.
“Madu
saya masih muda, cantik orangnya. Saya tidak pernah berjumpa tetapi
hanya melihat gambar. Orangnya memang menjaga penampilan berbanding saya
yang lebih sederhana.
“Perempuan
kampung. Walau bekerja, saya tidak hebat dalam menjaga penampilan diri.
Sebab saya mahu jadi diri saya, bukan orang. Saya tidak mahu jadi isteri
dan ibu ‘plastik’ di mata suami dan anak-anak.
“Syukur suami tetap sayang kepada saya di sebalik kekurangan yang saya
miliki. Kasihnya tetap sama, giliran saya diutamakan. Saya bangga ada
suami macam dia.
“Sayangnya ujian untuk
saya tidak berhenti. Madu saya agak pelik perangainya. Dia sangat
cemburu dengan saya. Kalau suami balik rumah saya, dia akan ganggu.
Telefon berdering macam pejabat saham.
“Ada-ada sahaja yang dia hendak minta suami buat. Suruh baliklah. Nak makan itulah, nak makan inilah. Mengalahkan orang muda.
“Sampaikan
kadangkala saya suruh suami balik sahaja, tidak payah bermalam di rumah
saya. Biar lebihkan dia dalam segala hal. Saya tidak mahu suami stres
dengan masalah madu saya yang suka meroyan itu.
“Baru-baru
ini, suami bawa saya bercuti ke luar negara sebab dia dapat hadiah
cabutan bertuah. Kata suami dia beritahu madu saya tentang perkara itu.
“Apa lagi mengamuklah dia. Memaki hamun suami saya, siap dengan amaran
lagi, kalau pergi juga, dia akan balas dendam. Tapi suami buat tak
kisah, sebab dia sudah nekad hendak bawa saya bercuti.
“Hendak tahu apa terjadi. Seminggu kami di luar negara, seminggu dia
meroyan. Telefon bimbit suami penuh dengan mesej, WhatsApp dan
berderingnya tidak tahu berapa ratus kali. Naik bingit telinga kami.
“Suami tidak layan, angkat pun tidak. Saya tidak tahu apa yang dia rasa
ketika itu. Akhirnya kami nekad tutup telefon. Nak jadikan ceritakan,
sebaik sahaja kami sampai di rumah, dia sudah menunggu. Cekak pinggang
bagai, macam orang hilang akal.
“Dituduhnya saya buat ubat guna-guna sampai suami tidak ingatkan dia.
Tidak layan dia. Dia tidak sedar, dia datang serang rumah saya. Jiran
keliling yang tidak tahu hujung pangkal, semua tahu saya dimadukan
suami.
“Malunya saya hanya Allah sahaja
yang tahu, tapi nak buat macam mana, perkara sudah berlaku. Suami bawa
dia balik ke rumah yang mereka sewa di taman bersebelahan.
“Belum hilang penat bercuti, saya diuji lagi. Itulah pertama kali saya
melihat wajah madu saya. Sayang sekali rupanya yang cantik, tidak sama
dengan hatinya yang buruk sangka dengan saya.
“Sepatutnya, saya yang tuduh dia rampas suami saya tetapi lain pula
yang berlaku. Bagaimanapun, saya bangga dengan suami, berulang kali dia
minta maaf kepada saya dengan sikap isterinya itu.
“Selepas kejadian itu, suami nampak murung. Saya tahu masalah dengan
isteri keduanya yang jadi punca. Dia bagi tahu saya dia hendak ceraikan
isteri keduanya. Mulanya saya bantah.
“Tetapi suami ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Katanya, isteri
keduanya itu ada hubungan dengan lelaki lain. Lama sudah dia tahu, tapi
belum ada bukti kukuh untuk tuduh dia. Sekarang semuanya telah
menyerlah. Dia nekad.
“Suami akhirnya
menjatuhkan talak satu kepada madu saya. Saya tidak bertepuk tangan
dengan keputusan suami tetapi saya sedih kerana perkahwinan suami
berakhir seperti ini.
“Mungkin ada
hikmahnya untuk kami. Saya terus reda dan pasrah. Semoga selepas ini,
hidup kami bahagia sampai ke akhir hayat,”kata Mazni menamatkan
ceritanya.
Itulah lumrah hidup berumah tangga. Kesabaran akan berakhir dengan kebahagiaan. Saya kagum dengan sikap Mazni.
Tidak
semua hidup bermadu itu pahit, semuanya bergantung kepada bagaimana
setiap pasangan terbabit menerimanya. Dalam kes Mazni, beliau reda dan
menyifatkan semua itu sudah takdir Allah kepadanya.
Semoga rumah tangga Mazni sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.
Mengundur diri, pesanan saya, kehidupan hanyalah sebuah perjalanan, Allah dan syurgaNya tujuan sebenar kita.
Salam
No comments
Post a Comment