Coretan Mengenai Silibus Persekolahan Anak-Anak Di Luar Kemampuan Usia
SEJAK akhir-akhir ini timbul perbincangan mengenai hala tuju pendidikan anak kita. Sekali- kali saya tidak bermaksud untuk mengkritik, kerana saya mempunyai ramai sahabat-sahabat dari kalangan guru, dan saya amat menyanjungi tugasan mereka dalam mendidik anak-anak kita, sebagaimana saya amat menyanjungi guru-guru saya yang mengajar berbagai konsep dari mula membaca, mengira sehingga ke peringkat lebih tinggi. Cuma saya berharap diberi peluang untuk memberi sedikit maklum balas tentang silibus anak -anak, dari kacamata seorang ibu dan ahli masyarakat.
Saya
melihat baru-baru ini anak saya di tingkatan 1 telah pun didedahkan
dengan sistem reproduksi. Dia tidak dapat menjawab dengan baik. Saya
masih ingat, 2 atau 3 tahun yang lepas si abang belajar topik ini ketika
di tingkatan 3, dan ada soalan percubaan PT3 telahpun bertanyakan
pelajar tentang konsep perancang keluarga menggunakan senario pesakit
yang mempunyai sista ovari (ovarian cyst).
Saya
melihat buku sains tingkatan 1 anak saya, dan penerangan tentang sistem
reproduksi amat ringkas, menyebabkan sukar bagi anak seusia 13 tahun
memahami apa yang berlaku dalam kitaran haid seorang wanita.
Sebagai
pensyarah fisiologi perubatan, saya memang faham tentang topik ini.
Namun, para pelajar perubatan yang saya ajar, memerlukan lebih dari
sekadar kuliah. Mereka ada sesi tutorial dan diperkayakan dengan sesi
diseksi/bedah mayat bagi melihat organ reproduksi dan diambil pula tisu
rahim untuk dilihat di bawah mikroskop. Baru mereka dapat memahami dan
menggambarkan kitaran haid secara penuh dan kaitannya dengan hormon.
Saya faham
tanggung jawab ibubapa harus turut membantu anak-anak dalam pencapaian
akademik mereka. Maka bagi anak saya yang tingkatan 1, saya dapat
menerangkan secara ringkas di mana kesalahan beliau, walaupun melihat
matanya yang terkebil-kebil, dia belum memahami lagi apa yang sebenarnya
membentuk dinding rahim, apa itu proses ovulasi dan lain-lain.
Saya
terfikirkan ibu yang bukan dari latar belakang sains atau perubatan,
keluarga yang tiada akses internet, bagaimana mereka dapat membantu
anak-anak mereka?
Sewaktu
soalan percubaan PT3 mengenai perancang keluarga keluar 2-3 tahun dulu,
sahabat saya yang merupakan doktor pakar perbidanan dan sakit puan,
menyatakan hanya anak beliau yang mendapat markah penuh. Sahabat saya
ini mengendalikan klinik kesuburan dan perancang keluarga.
Soalan
peperiksaan penggal sains bagi si adik ketika beliau didalam darjah
empat adalah tentang “perubahan kadar pernafasan, ketika inhalasi
(menyedut udara)”. Saya memang terkejut.
Pertamanya
soalan itu salah, kerana menarik nafas dalam dan kadar pernafasan
adalah variabel/pembolehubah yang sama. Yang sebetulnya ialah kadar
denyut nadi yang berubah apabila seseorang menarik nafas dalam. Dan
konsep ini amat sukar difahami hatta oleh pelajar perubatan sekalipun
kerana ia melibatkan pemahaman tentang banyak lagi sistem sirkulasi
(venous return, end diastolic volume etc) dan pernafasan (intrathoracic,
intrapleural, transpulmonary pressure), sehingga mereka memerlukan 3
jam praktikal bagi menguji dan memahami konsep perubahan ini.
Bagi budak
berusia 10 tahun, bagaimana menerangkan konsep ini selain menghafal
sahajalah? Soalan adalah berbentuk pilihan objektif.
Lantas
saya titipkan nota pada guru beliau menerangkan bagaimana soalan itu
salah. Sekembalinya anak saya dari sekolah, saya tanyakan tentang nota
saya, katanya hanya jawapan beliau dibetulkan. Saya rasa saya faham
dilema guru anak saya dan saya tidak ingin “pressure” mereka. Saya
berharap teguran saya sampai ke pihak panitia.
Saya juga
masih belajar tentang Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) atau
Higher Order Thinking Skill (HOTS), dan meraikan konsep ini kerana kita
tidak mahu rote-learning atau pelajar yang hanya memuntahkan hafalan
pelajaran mereka. Namun saya berpendapat KBAT bukan bermaksud
konten/kandungan pelajaran yang lebih tinggi dari usia pelajar, tetapi
bagaimana pelajar berupaya mengaplikasikan apa yang mereka belajar
dengan masalah semasa, sesuai dengan usia mereka.
Apabila
konten yang diberikan lebih tinggi, maka teepaksa ibubapa mendapatkan
bantuan tambahan seperti tuisyen. Kerana itu ramai yang masih memerlukan
kaedah latihtubi seperti diamalkan KUMON bagi subjek seperti matematik
dan bahasa. Bagi keluarga yang mampu, bolehlah. Bagaimana dengan mereka
dari keluarga yang berpendapatan rendah?
Di
Kulliyyah Perubatan UIA dahulu, terdapat posting kesihatan masyarakat di
Ulu Tembeling. Saya pernah, sewaktu menunggu bot penambang dari Kuala
Tahan, berbual dengan seorang ibu dari Kampung Bantal. Beliau
memindahkan anaknya ke sekolah kebangsaan di Kuala Tahan, sedangkan ada
sekolah Ulu Tembeling di Kampung Bantal tersebut. Anaknya yang darjah 1,
terpaksa duduk di asrama kerana jarak Kg Bantal ke Kuala Tahan melalui
bot adalah 3 jam. Tak rindukah pada anak, tanya saya, kecil-kecil lagi
duduk di asrama. Sedih dan rindu katanya, tapi sekolah di Kg Bantal
ketika itu, kekurangan guru. Di Kuala Tahan, guru – guru mencukupi. Saya
sendiri tak pandai nak ajar anak saya doktor, katanya.
Begitulah
pengorbanan ibu ayah bagi membantu anak2 mereka mendapat yang terbaik.
Justeru itu, apabila silibus kita direka dengan suatu bentuk yang
memerlukan ibubapa turut sedikit sebanyak harus mempunyai latar belakang
sains, matematik, english, physic, chemistry agar dapat membantu anak2,
atau terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi menghantar anak2 ke kelas
tuisyen, saya sentiasa terfikir ibubapa yang kurang berkemampuan, yang
bertungkus lumus mencari sesuap nasi, pelajar-pelajar yang “average”
yang asas mereka masih belum mantap. Mungkinkah minat mereka terkubur
kerana sukarnya mengikuti silibus yang ‘skew/ condong kepada pelajar2
bijak?
Saya
berharap pihak kementerian pelajaran dapat mengambil coretan saya ini
sebagai maklum balas yang positif dari seorang ibu yang melihat
perkembangan dan respon berbeza anak-anaknya melalui perubahan silibus,
dan sedikit pedagogi pendidikan sains/biologi perubatan.
RUJUKAN
– Gambar di atas adalah soalan sains tingkatan 1
– Gambar
di bawah adalah soalan sains darjah 4, yang pada hemat saya mempunyai
lebih dari 1 jawapan betul kerana perkumuhan dalam badan manusia bukan
sahaja usus, bahkan oleh buah pinggang, hati dan kulit.
TAMBAHAN NOTA GAMBAR KE 2:
Terima
kasih kepada yang memberi pandangan terutama guru- guru. Seperti yang
saya katakan dalam posting asal, saya memahami tugasan guru dan
keperluan mereka mematuhi silibus, justeru itu tulisan saya adalah lebih
ditujukan kepada penggubal silibus. Saya juga hanya menumpukan kepada
beberapa permasalahan melibatkan soalan2 berunsur perubatan dan
kesihatan (selain dari 1 contoh soalan matematik).
Dalam
soalan perkumuhan di atas, saya kurang faham kenapa diasingkan
perkumuhan dari penyahtinjaan. Perkumuhan (excretion) adalah terma
payung meliputi:
Perkumuhan oleh buah pinggang : pembuangan air kencing (urination)
Perkumuhan oleh usus : penyahtinjaan (defeacation)
Perkumuhan oleh kulit : perpeluhan (sweating)
Perkumuhan oleh hati: detoksifikasi
Oleh
kerana itu, pemisahan perkataan perkumuhan dan penyahtinjaan tidak
berapa tepat kerana penyahtinjaan adalah satu proses dibawah perkumuhan.
Sebab itu maklum balas ini adalah untuk penggubal, bukannya guru2 yang berdedikasi dan mengikut silibus yang diberikan.
Keduanya,
bagi anak2 semuda 10 tahun, ada baiknya penekanan diberikan kepada
PROSES perkumuhan, dibandingkan dengan terus memastikan mereka menghafal
penyakit2 dibawah 2 kategori tersebut seperti yang ditanya dalam
soalan.
Ini hanyalah maklumbalas. Saya menerima penerangan guru – guru dengan besar hati. Terima kasih.
-Gambar
ketiga adalah soalan matematik darjah 4 anak kepada sahabat saya, yang
kesalahannya hanyalah kerana sususan nombor kumpulan dan bilangan
kumpulan yang salah, walaupun jawapannya betul.
Semoga kita semua dapat berbincang dengan berhemah dan mencari penyelesaian terbaik insya Allah demi generasi anak-anak kita.
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Timbalan Dekan dan Pensyarah Fisiologi USIM
No comments
Post a Comment