SLIDER

kelas
Showing posts with label kelas. Show all posts

10 Nasihat Padu Buat Isteri Yang Tekad Dengan Keputusan Berhenti Kerja, Rugi Kalau Tak Amal

5 Oct 2024




Keputusan berhenti kerja bukan satu tindakan yang mudah. Terutama bagi isteri yang selama ini bekerja dengan niat untuk membantu suaminya. Andai berhenti bekerja jalan terakhir, dengarlah nasihat ini agar ibu berhenti dengan tenang dan bahagia.

Menarik sekali nasihat Dr Hasiba Kamaruddin mengenai ibu-ibu yang mahu, bakal dan sudah berhenti kerja. Apa yang perlu mereka praktikkan agar sentiasa berasa yakin dengan keputusan yang diambil.

Lagipun, wahai isteri kita takkan pernah tahu masa depan yang akan berlaku selepas keputusan berhenti kerja diambil. Namun, usaha dan tindakan itulah yang menentukan kejayaan seorang suri.

Jika aku bertemu dengan para ibu yang berhenti kerja walau apa jua alasan pun demi menjaga anak – anak sendiri walhal mereka punya pendidikan tinggi dan pernah berkerjaya sebelum ini, aku tumpang gembira buat mereka.

“Pertamanya aku gembira kerana si suami berani menyahut cabaran mencari nafkah keluarga di era ‘seorang bekerja tak cukup’ masakini. Aku tumpang gembira juga kerana para ibu ini sanggup mengorbankan cita – cita dan bakat yang mereka ada dalam membina kerjaya demi menjaga keluarga.

“Ini bermakna lebih ramai ibu–ibu yang ber’isi’ mindanya dalam membina peradaban bangsa yang kian kosong kini.”

Gunakan 10 Nasihat Ini Sebaik Berhenti Kerja

Bagi ibu-ibu yang masih tersimpan ketidakpastian dan kerisauan dengan keputusan yang diambil, ini yang ibu boleh lakukan:

1. Bersyukur sebab ada suami yang sanggup jaga kita seadanya. Terima apa saja yang mampu disediakan oleh suami walau kita sendiri mampu untuk hasilkan lebih dari itu.

2. Always feel good about yourself walaupun kita rasa lebih bagus semasa belajar dan berkerjaya dulu.

3. Jaga anak, jaga urusan rumah tangga pun kerjaya juga.

4. Jangan risau akan rezeki kerana Allah SWT janjikan cukup untuk hambaNya hidup di bumi ini. Cukup, bukan mewah.

5. Sentiasa doa moga Allah SWT mudahkan urusan suami, murahkan rezeki berkat buat dia. Semasa solat atau bila – bila masa saja. Percayalah yang ini akan berlaku.

6. Kalau dulu bekerja tak sempat solat Dhuha, sekarang mesti sudah sempat. Solat Dhuha.

7. Tingkatkan nilai diri. Sambil jaga anak dan rumah, cari aktiviti yang boleh menambah nilai diri dan orang sekeliling.

Contohnya:

a) Baca buku – buku yang baik untuk buka minda. Sekejap pun takpa.

b) Hadiri kuliah-kuliah Dhuha di surau-surau, bawa anak sekali kerana kuliah Dhuha ni kebanyakannya ustazah yang deliver dan mak – mak serta nenek – nenek yang hadir. InsyaAllah tak kena sound kalau anak lasak. Muslimin pun tak ada kalau perlu lebih proaktif dalam mengawal anak – anak.

c) Hadiri kelas – kelas bersiri Bahasa Arab atau Quran, makhraj dan tajwid kerana biasanya kelas – kelas begini percuma di surau2 dan waktunya juga pendek sekitar 2 jam saja. Kelas bersiri begini akan jadikan kita lebih berdisiplin dan terancang.

d) Buat aktiviti yang bermakna dengan anak – anak. Belajar cara berkomunikasi yang sesuai dengan umur anak untuk bantu pembangunan diri mereka.

e) Elakkan menonton rancangan TV yang lagha atau buat aktiviti yang kurang bermanfaat kerana anak – anak ada bersama kita 24/7. Jangan biarkan mereka belajar aktiviti tak bermanfaat itu.

f) Bila anak – anak dah capai umur 5 atau 6 tahun, hantar dia ke tadika atau playschool. Sekejap pun tak apa. Dua tiga hari seminggu pun tak apa. Ini untuk membantu pembangunan sosial dan kendiri mereka.

Walau kita berhenti bekerja untuk jaga dia, anak ini perlu juga belajar berinteraksi dengan masyarakat luar supaya lebih berdikari dan tidak terlalu self-engrossed.

8) Berinteraksi dengan jiran – jiran kerana semasa bekerja dulu, kita tak ada masa. Masak lebih kemudian share dengan jiran juga.

9) Plan aktiviti dengan SAHM (Stay At Home Mom) lain seperti baca Yaasin, usrah etc. Kalau tak boleh deliver sendiri, cari ustazah datang rumah.

10) Kalau rajin menulis, tulislah apa – apa yang bermanfaat. Jika pandai melukis, lukis lah apa – apa yang menenangkan. Andai minat menjahit, jahitlah apa – apa yang berguna.

Cara Mengisi Kekosongan Jiwa

Seorang SAHM (Stay At Home Mom) pernah bertanya pada saya, “Patutkah saya sambung belajar macam akak?” setelah dia menyatakan kekosongan jiwa dek berada di rumah sepanjang masa.

Jawapan saya, “Boleh kalau awak nak dan rasa mampu. Tapi sebenarnya banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat untuk mengisi kekosongan jiwa itu. Awak sebenarnya hanya ingin keluar sebentar saja dari rutin harian itu. ‘Me-time’ itu ada, kita cuma perlu jadikan ia, fleksibelkan ia dan pelbagaikan ia.

Dan sebenarnya yang jauh lebih penting adalah, pandangan kita terhadap diri kita. Do you feel good about yourself?

Kredit : Facebook Dr Hasiba Kamaruddin

Kredit : Mingguan Wanita





Coretan Mengenai Silibus Persekolahan Anak-Anak Di Luar Kemampuan Usia

28 Jul 2017




SEJAK akhir-akhir ini timbul perbincangan mengenai hala tuju pendidikan anak kita. Sekali- kali saya tidak bermaksud untuk mengkritik, kerana saya mempunyai ramai sahabat-sahabat dari kalangan guru, dan saya amat menyanjungi tugasan mereka dalam mendidik anak-anak kita, sebagaimana saya amat menyanjungi guru-guru saya yang mengajar berbagai konsep dari mula membaca, mengira sehingga ke peringkat lebih tinggi. Cuma saya berharap diberi peluang untuk memberi sedikit maklum balas tentang silibus anak -anak, dari kacamata seorang ibu dan ahli masyarakat.

Saya melihat baru-baru ini anak saya di tingkatan 1 telah pun didedahkan dengan sistem reproduksi. Dia tidak dapat menjawab dengan baik. Saya masih ingat, 2 atau 3 tahun yang lepas si abang belajar topik ini ketika di tingkatan 3, dan ada soalan percubaan PT3 telahpun bertanyakan pelajar tentang konsep perancang keluarga menggunakan senario pesakit yang mempunyai sista ovari (ovarian cyst).

Saya melihat buku sains tingkatan 1 anak saya, dan penerangan tentang sistem reproduksi amat ringkas, menyebabkan sukar bagi anak seusia 13 tahun memahami apa yang berlaku dalam kitaran haid seorang wanita.

Sebagai pensyarah fisiologi perubatan, saya memang faham tentang topik ini. Namun, para pelajar perubatan yang saya ajar, memerlukan lebih dari sekadar kuliah. Mereka ada sesi tutorial dan diperkayakan dengan sesi diseksi/bedah mayat bagi melihat organ reproduksi dan diambil pula tisu rahim untuk dilihat di bawah mikroskop. Baru mereka dapat memahami dan menggambarkan kitaran haid secara penuh dan kaitannya dengan hormon.

Saya faham tanggung jawab ibubapa harus turut membantu anak-anak dalam pencapaian akademik mereka. Maka bagi anak saya yang tingkatan 1, saya dapat menerangkan secara ringkas di mana kesalahan beliau, walaupun melihat matanya yang terkebil-kebil, dia belum memahami lagi apa yang sebenarnya membentuk dinding rahim, apa itu proses ovulasi dan lain-lain.

Saya terfikirkan ibu yang bukan dari latar belakang sains atau perubatan, keluarga yang tiada akses internet, bagaimana mereka dapat membantu anak-anak mereka?

Sewaktu soalan percubaan PT3 mengenai perancang keluarga keluar 2-3 tahun dulu, sahabat saya yang merupakan doktor pakar perbidanan dan sakit puan, menyatakan hanya anak beliau yang mendapat markah penuh. Sahabat saya ini mengendalikan klinik kesuburan dan perancang keluarga.

Soalan peperiksaan penggal sains bagi si adik ketika beliau didalam darjah empat adalah tentang “perubahan kadar pernafasan, ketika inhalasi (menyedut udara)”. Saya memang terkejut.

Pertamanya soalan itu salah, kerana menarik nafas dalam dan kadar pernafasan adalah variabel/pembolehubah yang sama. Yang sebetulnya ialah kadar denyut nadi yang berubah apabila seseorang menarik nafas dalam. Dan konsep ini amat sukar difahami hatta oleh pelajar perubatan sekalipun kerana ia melibatkan pemahaman tentang banyak lagi sistem sirkulasi (venous return, end diastolic volume etc) dan pernafasan (intrathoracic, intrapleural, transpulmonary pressure), sehingga mereka memerlukan 3 jam praktikal bagi menguji dan memahami konsep perubahan ini.

Bagi budak berusia 10 tahun, bagaimana menerangkan konsep ini selain menghafal sahajalah? Soalan adalah berbentuk pilihan objektif.

Lantas saya titipkan nota pada guru beliau menerangkan bagaimana soalan itu salah. Sekembalinya anak saya dari sekolah, saya tanyakan tentang nota saya, katanya hanya jawapan beliau dibetulkan. Saya rasa saya faham dilema guru anak saya dan saya tidak ingin “pressure” mereka. Saya berharap teguran saya sampai ke pihak panitia.

Saya juga masih belajar tentang Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) atau Higher Order Thinking Skill (HOTS), dan meraikan konsep ini kerana kita tidak mahu rote-learning atau pelajar yang hanya memuntahkan hafalan pelajaran mereka. Namun saya berpendapat KBAT bukan bermaksud konten/kandungan pelajaran yang lebih tinggi dari usia pelajar, tetapi bagaimana pelajar berupaya mengaplikasikan apa yang mereka belajar dengan masalah semasa, sesuai dengan usia mereka.

Apabila konten yang diberikan lebih tinggi, maka teepaksa ibubapa mendapatkan bantuan tambahan seperti tuisyen. Kerana itu ramai yang masih memerlukan kaedah latihtubi seperti diamalkan KUMON bagi subjek seperti matematik dan bahasa. Bagi keluarga yang mampu, bolehlah. Bagaimana dengan mereka dari keluarga yang berpendapatan rendah?

Di Kulliyyah Perubatan UIA dahulu, terdapat posting kesihatan masyarakat di Ulu Tembeling. Saya pernah, sewaktu menunggu bot penambang dari Kuala Tahan, berbual dengan seorang ibu dari Kampung Bantal. Beliau memindahkan anaknya ke sekolah kebangsaan di Kuala Tahan, sedangkan ada sekolah Ulu Tembeling di Kampung Bantal tersebut. Anaknya yang darjah 1, terpaksa duduk di asrama kerana jarak Kg Bantal ke Kuala Tahan melalui bot adalah 3 jam. Tak rindukah pada anak, tanya saya, kecil-kecil lagi duduk di asrama. Sedih dan rindu katanya, tapi sekolah di Kg Bantal ketika itu, kekurangan guru. Di Kuala Tahan, guru – guru mencukupi. Saya sendiri tak pandai nak ajar anak saya doktor, katanya.

Begitulah pengorbanan ibu ayah bagi membantu anak2 mereka mendapat yang terbaik. Justeru itu, apabila silibus kita direka dengan suatu bentuk yang memerlukan ibubapa turut sedikit sebanyak harus mempunyai latar belakang sains, matematik, english, physic, chemistry agar dapat membantu anak2, atau terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi menghantar anak2 ke kelas tuisyen, saya sentiasa terfikir ibubapa yang kurang berkemampuan, yang bertungkus lumus mencari sesuap nasi, pelajar-pelajar yang “average” yang asas mereka masih belum mantap. Mungkinkah minat mereka terkubur kerana sukarnya mengikuti silibus yang ‘skew/ condong kepada pelajar2 bijak?

Saya berharap pihak kementerian pelajaran dapat mengambil coretan saya ini sebagai maklum balas yang positif dari seorang ibu yang melihat perkembangan dan respon berbeza anak-anaknya melalui perubahan silibus, dan sedikit pedagogi pendidikan sains/biologi perubatan.


RUJUKAN – Gambar di atas adalah soalan sains tingkatan 1
– Gambar di bawah adalah soalan sains darjah 4, yang pada hemat saya mempunyai lebih dari 1 jawapan betul kerana perkumuhan dalam badan manusia bukan sahaja usus, bahkan oleh buah pinggang, hati dan kulit.


TAMBAHAN NOTA GAMBAR KE 2:
Terima kasih kepada yang memberi pandangan terutama guru- guru. Seperti yang saya katakan dalam posting asal, saya memahami tugasan guru dan keperluan mereka mematuhi silibus, justeru itu tulisan saya adalah lebih ditujukan kepada penggubal silibus. Saya juga hanya menumpukan kepada beberapa permasalahan melibatkan soalan2 berunsur perubatan dan kesihatan (selain dari 1 contoh soalan matematik).

Dalam soalan perkumuhan di atas, saya kurang faham kenapa diasingkan perkumuhan dari penyahtinjaan. Perkumuhan (excretion) adalah terma payung meliputi:

Perkumuhan oleh buah pinggang : pembuangan air kencing (urination) Perkumuhan oleh usus : penyahtinjaan (defeacation)  Perkumuhan oleh kulit : perpeluhan (sweating) Perkumuhan oleh hati: detoksifikasi

Oleh kerana itu, pemisahan perkataan perkumuhan dan penyahtinjaan tidak berapa tepat kerana penyahtinjaan adalah satu proses dibawah perkumuhan.

Sebab itu maklum balas ini adalah untuk penggubal, bukannya guru2 yang berdedikasi dan mengikut silibus yang diberikan.

Keduanya, bagi anak2 semuda 10 tahun, ada baiknya penekanan diberikan kepada PROSES perkumuhan, dibandingkan dengan terus memastikan mereka menghafal penyakit2 dibawah 2 kategori tersebut seperti yang ditanya dalam soalan.

Ini hanyalah maklumbalas. Saya menerima penerangan guru – guru dengan besar hati. Terima kasih.

-Gambar ketiga adalah soalan matematik darjah 4 anak kepada sahabat saya, yang kesalahannya hanyalah kerana sususan nombor kumpulan dan bilangan kumpulan yang salah, walaupun jawapannya betul.


Semoga kita semua dapat berbincang dengan berhemah dan mencari penyelesaian terbaik insya Allah demi generasi anak-anak kita.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar Timbalan Dekan dan Pensyarah Fisiologi USIM

Takdir Saya Berkahwin Dengan Gadis Yang Tak Pandai Masak

14 Jun 2017



Saya mengenalinya isteri saya sudah agak lama iaitu sejak tahun 2004 semasa di matrikulasi UIA lagi. Walaupun jurusan berlainan tetapi kami berpeluang mengenali disebabkan dia antara pelajar yang menyertai kelas Bahasa Arab saya.

Saya mengambil jurusan kejuruteraan manakala isteri saya pula mengambil jurusan Bahasa Arab. Peliknya saya merupakan pelajar jurusan kejuruteraan yang mengajar Bahasa Arab kepada pelajar Bahasa Arab. Pelik bukan?






Kelas Bahasa Arab
Suasana Kelas Bahasa Arab yang saya anjurkan.

Lebih kurang 40 orang pelajar telah menyertai kelas tambahan saya di mana kebanyakannya daripada jurusan Bahasa Arab dan Ilmu Wahyu. Boleh dikatakan kelas ini majoritinya disertai oleh kumpulan ustazah.

Berazam Untuk Berkahwin Awal

Semasa di matrikulasi lagi saya sudah memasang matlamat untuk berkahwin awal apabila memasuki kampus utama. Saya hendak berkahwin semasa masih belajar lagi. Calon isteri semasa itu belum ada, cuma angan-angannya sahaja. Saya tidak memikirkan sangat berkenaan hal kewangan disebabkan yakin dengan asbab perkahwinan Allah akan bagi rezeki.

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.
Jika mereka miskin, Allah akan “Memberi Kekayaan” kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
Surat An-Noor : 32

Saya mula mengumpul duit sedikit demi sedikit dengan hasil jualan prepaid telefon bimbit di matrikulasi. Alhamdulillah perniagaan agak maju. Disitulah saya dapat mengumpul sedikit duit. Apabila masuk ke kampus utama di Gombak, saya bekerja mengajar pelbagai subjek untuk tuisyen di rumah.

Saya mula dengan meminjam motor kawan untuk pergi mengajar. Lama jugak saya meminjam motornya, sehinggakan kadang-kala rasa bersalah takut dimarahi disebabkan asyik meminjam. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli sebuah motorsikal terpakai dan kereta kemudiannya.

Mula Mencari Calon Isteri

Apabila pendapat bulanan sudah agak banyak dan stabil, saya mula mencari calon isteri. Calonnya banyak disebabkan geng-geng “ustazah pilihan” ramai yang menyertai kelas saya. Ini memudahkan saya senang untuk mendapatkan maklumat. Akhirnya saya telah memilih seorang yang terbaik pada pandangan saya.
Tetapi saya tidak mahu membuat keputusan sendirian. Saya meminta pendapat adik perempuan saya yang turut belajar di UIA sama ada pilihan saya baik ataupun tidak. Alhamdulillah adik saya menyatakan ianya baik.





Mula Mencari
Kita tidak boleh bersendirian dalam mencari calon isteri.

Tekad dengan pilihan hati, saya meminta bantuan orang tengah untuk memberitahu niat saya untuk menjadikan Widyana Ali sebagai isteri. Jika sang dia suka, maka dia kenalah bersetuju untuk berkahwin dalam masa setahun.

Kalau tidak bersetuju berkahwin dalam masa setahun, maka saya akan mencari calon lain. Alhamdulillah dia suka dan bersetuju. Saya menelefon maknya dan berbincang mengenai hal ini beberapa kali. Akhirnya maknya pun setuju. Maka kami pun bertunang.
Selepas bertunang barulah saya tahu bahawa dia sudah lama berdoa supaya dapat jodoh dengan insan yang bernama Mohd Yazid Ismail. Sejak matrikulasi lagi rupa-rupanya. Patutlah dari banyak-banyak calon, sayalah menjadi pilihanya. Inilah berkat doa.

Sedihnya, Isteri Tidak Pandai Memasak!

Tetapi alangkah sedihnya, selepas bertunang barulah saya tahu dia tidak pandai masak langsung. Dahulu semasa merisik tidak semak betul-betul. Aduhai nasib-nasib.

Risau juga pada awalnya disebabkan tidak pandai memasak biasanya mempunyai kaitan dengan sifat yang lain iaitu kekurangan sifat keibuan dan urusan rumah tangga. Tetapi saya cuba positifkan fikiran bahawa semua benda boleh dipelajari. Tidak semestinya seseorang itu kena pandai sebelum berkawin.

Kalau begitu semua yang hendak jadi isteri kenalah pandai mengandung dan pandai menjaga anak sendiri sebelum berkahwin. Jadi saya tetapkan minda untuk terima dirinya seadanya dan bersedia untuk memberi sokongan.

Kami berkahwin semasa tahun dua di UIA Gombak. Apabila sudah berkahwin barulah saya tahu bahawa kemahiran memasak ini tidak perlu pandai. Semua perkara ini boleh di cari menerusi enjin carian Google seperti resepi dan cara-cara memasaknya. Cuma sediakan bahan-bahan yang diperlukan dan ikutkan sahaja langkah-langkah yang diberi. Akhirnya siap satu hidangan.

Tak Pandai Atau Malas Memasak?

Jadi zaman sekarang istilah tidak pandai masak ini lebih bermaksud kepada malas memasak. Seseorang itu sebenarnya malas memasak dan bukanlah disebabkan tidak pandai masak. Boleh sahaja memasak dengan bantuan tutorial dari telefon bimbit dengan meletakkan di tepi dan mengikutnya. Mudah!





Bekalan Makanan Anak
Lihat bagaimana rupa bekal makanan anak-anak yang disiapkan oleh isteri saya.

Sekarang, pelbagai resipi telah dicuba dan jauh lebih sedap daripada tukang masak pakar di restoran. Tahun lepas, banyak telah dikongsi di FaceBook resepi masakannya, tips-tips mengurus rumah tangga dan tips keibubapaan.

Kalau di lihatkan inbox Facebooknya, seolah-olah dirinya yang pakar memasak disebabkan ramai yang PM bertanyakan resipi dan nasihat tunjuk ajar. Walhal sampai masa sekarang pun kadang-kala dia masih memasak menggunakan telefon bimbit.

Malah cara mengemas rumah dan susun atur perkakas dan perabot pun di carinya di Google. Banyak juga group Facebook disertainya mengenai hal menguruskan rumah tangga. Terima kasih Dyana sebab rajin dan tabah mengurus hal rumahtangga dan minta maaf juga sebab kadang-kala abang tidak banyak menolong.

Jangan Jadikan Alasan Tidak Pandai Memasak

Jadi peringatan kepad para isteri, jangan jadikan alasan tidak pandai memasak untuk tidak memasak. Alasan begitu sudah tidak logik. Adik-adik yang masih di universiti, jikalau hendak berkawin silalah memasang matlamat betul-betul. Stabilkan ekonomi diri dulu. Tidak perlu kaya tetapi stabil.





Yazid Ismail
Gambar saya bersama isteri tersayang. [FB Yazid Ismail]

Terima seadanya apa saja kekurangan pasangan kita.

Kredit : Tazkirah.Net



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.