SLIDER

masak
Showing posts with label masak. Show all posts

(Resepi : Video) Tauhu Goreng Telur Masin

7 Apr 2022


Hai Semua,

PERNAHKAH ANDA MERASA TAUHU GORENG TELUR MASIN?  Mungkin ada di kalangan anda yang tidak pernah merasa resepi TAUHU GORENG TELUR MASIN.

HIDANGAN tauhu yang dipotong berbentuk kiub cukup menyelerakan.. Apatah lagi dicelup dalam adunan khas campuran TELUR MASIN dan kemudian digoreng sehingga rangup. 

Kesegaran tauhu cukup terasa dan aroma daun bawang membangkitkan selera.  Ajom...Di waktu berbuka hari ini, apa kata anda cuba resepi ini pula... Untuk bersahur pun sesuai juga ni...boleh menambahkan selera sewaktu makan bersahur . 

Resepi yang sangat mudah dan cepat untuk disediakan ..




RESEPI TAUHU GORENG TELUR MASIN

Bahan-Bahan:

• 5 ketul tauhu dipotong berbentuk kiub
• 2 sudu besar tepung ubi
• 2 biji telur ayam
• 3 biji kuning telur masin
• Serbuk roti
• Minyak
• Daun bawang

Cara-Cara:

1) Salut tauhu dengan telur ayam, tepung ubi dan serbuk roti.
2) Panaskan minyak
3) Goreng tauhu tersebut sehingga kekuningan dan toskan minyak.
4) Kemudian lenyekkan kuning telur masin dengan sedikit minyak sayur.
5) Panaskan kuali semula
6) Masukkan kuning telur masin dan daun bawang.
7) Akhir sekali, masukkan tauhu yang telah ditos tadi dan gaulkan sehingga rata.

Senang saja kan?? Selamat menjamu selera! Selamat Berbuka Puasa.


(Resepi : Video) Serawa Durian Dan Pulut Kukus

31 Mar 2022



Ohh my .... Ya Allah, sedapnyaaa. Ada peminat-peminat durian kat sini tak ?Sekarang macam dah dekat musim durian dah ni. Macam -macam boleh makan dengan durian ni. Cendol durian, durian crepe dan boleh jugak buat serawa durian. Sape suka serawa durian, kita geng :)

Tengok resepi, mudah je rupanya nak buat. Selama ni kalau nak makan, beli siap je ataupun suruh mak masak hehe. Lepas ni bolehlah try sendiri. Makan petang-petang cam ni, sejuk-sejuk, wallah tak terkatalahh...ok ajomm try, kang gigit jari je tengok gambar :)


RESEPI SERAWA DURIAN & PULUT KUKUS 

Bahan-bahan untuk serawa durian:
10-15 ulas isi durian, bersama biji
2 cawan santan cair
1/2 cawan gula pasir
seketul kecil gula melaka
1 helai daun pandan, carik dan simpul
2 cawan santan pekat
1 1/2 sudu kecil garam
1 cawan air, jika perlu

Bahan-bahan untuk pulut kukus:
500 gram pulut
1 cawan santan cair
1/2 sudu kecil garam



Cara-cara:

Cara-cara untuk serawa durian:
Masukkan ulas durian, santan cair dan daun pandan di dalam periuk. Masak sehingga isi durian hancur dan menjadi kuah yang pekat sebati. 

Masukkan santan pekat, gula pasir, gula melaka dan garam. Teruskan didih di atas api yang perlahan dan kacau sebati.
Tambahkan sedikit air jika kuah terlalu pekat. Angkat dan hidangkan bersama pulut kukus. 

Cara-cara untuk pulut kukus:
Rendam pulut selama beberapa jam (anggaran 2-3 jam).
Panaskan kukusan dan kukus pulut selama 15-20 minit. 

Angkat pulut dari kukusan dan masukkan ke dalam mangkuk.
Bancuh santan cair bersama garam. 

Tuangkan santan cair kedalam pulut yang panas tadi dan rehatkan supaya pulut menyerap kuah santan. 


Tip:
Jika pulut masih keras selepas anda gaul bersama santan cair, masukkan kembali ke dalam kukusan selama 5 minit, kemudian angkat dan sejukkan.




Bukan Mengeluh Dan Merungut, Hanya Ibu Sahaja Memahami Penat Lelahnya

4 Oct 2017



Bagi golongan yang belum berkahwin atau sesetengah lelaki bergelar suami, mungkin tidak faham betapa besarnya tanggungjawab seorang wanita bergelar ibu. Saban hari melalui perkara yang sama, lebih-lebih lagi golongan isteri yang menjadi surirumah sepenuh masa. 

Lebih mencabar dan berlipat kali ganda pula bagi golongan isteri yang berkerjaya. Siang hari sibuk di pejabat, malam hari sibuk menguruskan anak, suami dan rumah tanpa henti. 

Andaikata suami memahami, alangkah bahagianya dan tenangnya hati isteri yang berpeluang untuk berehat seketika. Namun, berapa peratus yang memahami keadaan sebenar seorang ibu? Semoga luahan dari ibu ini, membuka mata golongan suami yang seringkali membiarkan isteri melakukan segala-galanya seorang diri. 

TENGAH sidai kain tadi di ampain, terdengar jiran menangis sambil cakap dengan anak dia. Mungkin dia letih menguruskan anak-anak. Baru kemas, anak dah sepahkan. Baru sapu, anak dah makan terabur. Mana nak sidai kain, basuh kain, masak, basuh pinggan, kemas rumah, urus anak kecil.
Aku faham sebab aku hari-hari melalui perkara yang sama. Memang menangis kalau terlalu letih. Baru nak baring, anak dah menjerit;

"Ibuuu!! Ahmad makan terabur, habis semua makanan."

"Ibuuuu! Caca berak!!"

"Ibuuuu! Arasy bergaduh!!

"Ibuuuu! Ahmad berdarah, jatuh."

"Ibuuuu! Ibuuuu! Ibuuuu!"

Hanya ibu sahaja yang memahami situasi seperti ini. Bila kita cerita, orang akan kata kita mengeluh. Tetapi bila kita tak cakap, orang tak akan memahami. 

Bukan senang menjadi seorang ibu. Mental emosi semua kena kuat. Lain anak, lain perangainya. Rezeki siapa yang dapat anak yang baik dari kecil sampai besar. Siapa yang dapat anak kus semangat perangainya, Allah sahaja yang tahu betapa letihnya kita nak mendidik dan mengajar anak-anak. 

Sakit tekak, sakit hati, sakit jiwa kadang-kadang. Tetapi itulah tanggungjawab dan amanah yang kita kena jaga.

Tak minta banyak, cuma minta seseorang yang memahami keadaan kita itu sahaja. 

Sumber: Mimi Koji

Aku Pandai Masak Tapiii ...

17 Sept 2017


Jadi perempuan ni memang kena rajin memasak. Nanti dah kahwin mak mertua tanya, pandai masak tak? Kita jawab tak pandai. Dapat mak mertua okey, xpela. Dapat mak mertua cerewet? Haa tak ke kena bebel hehe. 

Macam aku, dari sekolah rendah aku dah start masuk dapur. Belajar goreng nasik, goreng maggi, goreng telur. Itu je la..simple2. Masuk sekolah menengah aku up skill, masak ayam goreng, sup, tomyam pulak. Pastu reka2 makanan tu, makanan ni. Dan yang best semua family aku suka. Abah dan kakak aku adalah peminat setia maggi goreng aku. Pakai perencah maggi la jugak buat rencah goreng, letak ayam akit, lada sulah sikit. Kes tu sedap. 

Masuk zaman belajar ngan kerja haa lagi hebat. Ayam masak tiram. Ayam kunyit. Sambal ayam. Ikan asam pedas, nasik ayam. Eh macam2 la. Masa tu raaa hebat gila tak hengat. Bila bakal husband tanya masa tu pandai masak ke x. Harusssssss aku jawab pandai. Bagi je apa pun. Boleh masak. 

Tapi…… lepas dah kahwin. Baru aku sedar. Aku ni sebenarnya tak pandai masak. Mana taknya, masak tomyam pakai pes, masak nasik ayam pakai pes, asam pedas pakai pes. Masak apa2 pun aku kena pakai MSG. Yang paling aku favourite adalah Maggi Cukup Rasa. Peh. Takda ni tak hidup dapur aku masa tu. Mula2 aku sembang dengan mak mertua, dia tanya, pandai masak tak. Aku jawab jawapan selamat, taknak berlagak sangat. Aku jawab boleh masak tapi takdela pandai. Haa mak mertua lega la dengar. Satu hari tu tengah memasak dengan mak mertua aku cari laa MSG dalam peti ais mertua. Masa ni aku tinggal rumah mertua. Apa2 jenis MSG la. 

Tak jumpa.. aku tanya ke mak mertua. Ada tak Cukup Rasa ke, Ajinomoto ke, Knorr Pasti Sedap ke. Mak mertua aku cakap dia tak pernah pakai benda tu. Dia pakai garam gula je. Orang dalam rumah mak mertua aku ni memang tak makan apa segala jenis MSG pun….. mak mertua aku cakap, kalau ada je masakan berMSG dia mesti akan dapat detect and dia akan pening kepala… jeng jeng jeng. Terkedu aku. Kelu lidah berkata2. 

Aku memang tak pandai perasakan masakan pakai garam gula. Takut gila aku masatu. Dah la aku tengah masak lunch untuk the whole family mertua. Aku masak lauk hidangan utama plak tu. Astaghfirullahalazim. Macam mana aku nak buat ni. Aku pun terpaksa la capai garam gula segala. Ya Allah. Huduh benar rasa masakan aku haritu. Orang makan diam ja. Aku rasa mesti dorang dah cop aku tak reti masak tapi nak tunjuk pandai masak depan mertua. Malunya aku masatu. 

Lepas tu, aku google cara seimbangkan masakan dengan garam dan gula. Aku pun experiment kat dapur masa mertua kelas mengaji malam. Pun tak sedap. Last2 aku buang masakan aku. Sejak tu, aku stress gila nak masuk dapur. Bila mertua aku memasak, aku buat2 busykan diri. Aku buat tak paham. Berkurung dalam bilik. Stress kalau aku ingat balik masa tu. Hidup aku dalam pelarian aku rasa. Aku jadi susah hati kalau mak mertua aku memasak. Last2, aku masuk jugak dapur. 

Aku tolong potong sayur, bawang untuk mertua masak. Tapi paham tak perasaan tu, rasa menyusahkan mertua kena masak untuk aku dan laki aku. Sedangkan anak lelaki dia dah kahwin. Tapi mak jugak masak. Apa guna ada isteri kan. Mak mertua aku pulak jenis, kalau nampak aku potong sayur ke apa ke. Pastu dia akan suruh aku masak apa yang aku potong tu. Makin la berserabut aku nak masuk dapur. Aku takut nak tolong mak mertua aku. Dulu dapur la tempat kegemaran aku. Sekarang? Macan tengok rumah hantu pulak aku rasa. 

Adui.. aku tak sangka dah boleh masak macam2 pun still dikira tak pandai masak sebab masak pakai MSG dan pes. Last2 aku come clean ngan mertua aku. Aku selama ni masak kena pakai MSG. Takda tu, masakan aku kelaut. Mak mertua aku paham. Dia tak banyak bunyi. Cuma. Aku rasa tercabar nak improve diri dalam masakan. Aku kumpul kekuatan masuk dapur balik. Aku baca tips2 kat facebook. Google. Aku join group masakan. Aku call mama aku tanya macam mana nak masak itu, masak ini. Aku cuba guys aku cuba. Demi masa depan suami dan anak2 aku. 

Sekarang ni Alhamdulillah. Aku dah boleh masak tanpa MSG. Cuba kadang masih kelaut rasa masakan aku. Aku masih mencuba. Ada hari sedap. Ada hari tak sedap. Doakan aku guys.. kalau ada pakar masakan kat sini boleh bagi tips cara seimbangkan rasa pakai gula, garam, asam jawa etc etc tu mohon komen dan bagi pendapat. Hehe. Assalamualaikum. 

– Yana




Berkat ? Rezeki Tanpa Di Sangka ...

25 Aug 2017


Isnin lepas, saya buat keputusan untuk balik ke Bangi awal pagi selasa. Isteri pun minta saya rehat secukupnya sebelum balik nanti. Saya pun tulislah dalam grup WhatsApp keluarga yang saya akan balik ke-esokkan harinya dan selang beberapa minit abang saya menjawab, “bolehlah masak lagi,”

Saya ok sahaja.

Dari Temerloh nak ke Mentakab, saya duk berkira-kira nak masak apa. Duit sudah tinggal RM30 di dalam dompet. Saya pun kenyit-kenyit mata ke orang rumah, dan dia pinjamkan RM100. Saya melenggang sahaja masuk ke pasar dan cari apa yang sesuai untuk dimakan bersama sekeluarga. Ya, kali ini tujuh-tujuh beradik balik. Campur tolak lebih kurang ada 20 orang tidak termasuk yang dalam perut. Kikikiki.

Sudah semalamnya makan rendang ayam, ikan patin tempoyak, udang masak lemak bagai, jadi saya pun belilah tulang lembu dalam empat kilo campur sedikit ekor dan dapatlah sedikit daging tak sampai satu kilo. Dalam kepala saya, adik-beradik saya tak adalah suka bebenor makan malam. Semua kaki TV dan kaki sembang kalau malam-malam buta ni. Jadi, duit yang ada tu bolehlah cukup-cukup. Alhamdulillah.

Dalam perjalanan balik ke rumah emak, isteri saya memberi penerangan luar biasa. Katanya macam tak cukup jumlah tulang dan daging yang saya beli. Dia kata kalau keluarga dia, itu memang tak cukup. Ok saya sudah tak keruan.

Sampai sahaja di rumah, saya buat-buat tak beli kentang. Ha ha ha, jadi pesanlah kata Abang yang kurang kacak dari saya belikan. Kemudiannya beliau belikan roti. Oh hoi, masa tu saya sudah berdebar-debar. Lain macam aura nak masak sup malam ini. Cukup ke idak ni?

Saya pun punggahlah periuk emak yang paling besar. Didihkan air. Siapkan semua bahan dan masukkan dalam periuk. Ya Tuhan, hanya ada ¼ sahaja isi di dalam periuk tersebut. Tambah dengan kentang pun masih nampak sedikit. Saya kool sahaja masak sampai siap, terkumat kamit baca selawat bagai, ha ha dalam hati ini duk berdoa yang penting semua dapat merasa seorang sedikit pun oklah.

Sambil tunggu sup masak, Abang saya ajak solat sama-sama. Kami pun solatlah Jemaah beramai-ramai. Waktu ini Tuhan sahajalah yang tahu saya berdoa bagaimana. Macam nak ambil keputusan SPM, setiap sujud saya duk mohon Ya Tuhan, cukupkanlah sup aku malam ini. Ha ha ha.

Siap sahaja masak, Abah saya ambil semangkuk besar. Menggunung tinggi. Katanya dia dah lama mengidam. Saya telan air liur. Anak-anak saudara yang dah besar panjang pun mengulang-ulang ambil. Isteri juga boleh tahan menambah-nambah, abang kakak yang dah berkahwin kemain kongsi mangkuk cicah roti sama-sama. Saya sudah berdebar-debar. Takkan nak sound yang tulang tu sikit je?

Kakak ipar saya yang berbadan dua juga ambil, bertambah-tambah. Makan pula dengan kicap cili, fuh meletup. Saya relak dan kool bertahan jangan ambil lagi. Konon-konon badi orang masak tak berapa lalu nak makan. Saya perhati sahaja semua dah ambil dan siap tanya semua dah makan ke belum.

Saya pun ke dapur. Ambil senduk dan ceduk. Eh kenapa banyak lagi? Saya pun tanya dua tiga kali pada semua orang, betul ke semua dah makan? Ya semua angguk.

Saya pun cakap dengan emak, satu-satunya yang duk tengok jumlah yang saya beli masa saya membasuh tulang dan daging tadi. “Kenapa banyak lagi eh mak? Macam pelik pulak, Kan semua orang ambil banyak-banyak.”

Emak jawab relak je macam tak ada apa-apa,

“Berkat,”

Saya pun terdiam. Hirup sup perlahan-lahan, jadi orang terakhir yang menjamah masakan sendiri. Tuhan tolong saya dengan cukup bergaya malam itu. Cukup sekadar memberi gembira kepada perut sekeluarga. Jika pada malam itu mereka tidak tahu cerita ini, hari ini mereka bakal tahu.

Saya tidaklah banyak wang ringgit nak bantu keluarga dengan menabur-nabur kekayaan, tetapi ada sedikit kemahiran memasak bolehlah untuk beri gembira emak abah melihat anak-anaknya berkumpul makan sama-sama.

Dalam dunia ni, kalau dapat kau kongsi kemahiran yang kau ada dengan adik beradik dan keluarga, itulah syurga yang kau dapat semasa kau hidup. Mereka ini adalah manusia yang pernah berkongsi rahim dalam perut emak. Mendapat segala zat dan makanan dari mulut emak dan kemudiannya dapat didikan dan asuhan dari tangan emak bapak kita sendiri. Itulah namanya adik beradik.

Walau Tuhan beri seribu kepelikan dan banyak perbezaan kita sesudah kita dewasa, adik beradik tetap adik beradik. Keluarga tetap keluarga.

Malam itu Tuhan tolong saya, mungkin sebab saya tolong emak gembirakan semua anak-anaknya.

Kawan-kawan,
Bila balik kampung, boleh sahaja kita tolong mana yang kita tahu. Jika hanya tahu masak air, boleh tengok-tengokkan air dalam peti ais, boleh juga perhatikan ada air panas ke tidak. Jika kita hanya tahu mengemas, boleh sahaja kita ringan-ringankan tulang mengemas sana sini. Semua itu akan jadi kesayangan dalam pandangan Tuhan.

Jika nampak ada pinggan di dalam singki belum berbasuh, lalu sekejap basuhlah sebentar.

Tolong emak, tolong bapak banyak-banyak. Tuhan pula akan tolong kita banyak-banyak. Tak secara cash, mungkin Tuhan akan beri kita anak-anak yang rajin, atau Tuhan beri kita rezeki yang kita tak sangka-sangka.

Khairul Hakimin. Muhammad
Anak ke-lima, paling kacak. Nak jugak tak kira.


Kredit : Fb Khairul Hakimin Muhammad




Takdir Saya Berkahwin Dengan Gadis Yang Tak Pandai Masak

14 Jun 2017



Saya mengenalinya isteri saya sudah agak lama iaitu sejak tahun 2004 semasa di matrikulasi UIA lagi. Walaupun jurusan berlainan tetapi kami berpeluang mengenali disebabkan dia antara pelajar yang menyertai kelas Bahasa Arab saya.

Saya mengambil jurusan kejuruteraan manakala isteri saya pula mengambil jurusan Bahasa Arab. Peliknya saya merupakan pelajar jurusan kejuruteraan yang mengajar Bahasa Arab kepada pelajar Bahasa Arab. Pelik bukan?






Kelas Bahasa Arab
Suasana Kelas Bahasa Arab yang saya anjurkan.

Lebih kurang 40 orang pelajar telah menyertai kelas tambahan saya di mana kebanyakannya daripada jurusan Bahasa Arab dan Ilmu Wahyu. Boleh dikatakan kelas ini majoritinya disertai oleh kumpulan ustazah.

Berazam Untuk Berkahwin Awal

Semasa di matrikulasi lagi saya sudah memasang matlamat untuk berkahwin awal apabila memasuki kampus utama. Saya hendak berkahwin semasa masih belajar lagi. Calon isteri semasa itu belum ada, cuma angan-angannya sahaja. Saya tidak memikirkan sangat berkenaan hal kewangan disebabkan yakin dengan asbab perkahwinan Allah akan bagi rezeki.

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.
Jika mereka miskin, Allah akan “Memberi Kekayaan” kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
Surat An-Noor : 32

Saya mula mengumpul duit sedikit demi sedikit dengan hasil jualan prepaid telefon bimbit di matrikulasi. Alhamdulillah perniagaan agak maju. Disitulah saya dapat mengumpul sedikit duit. Apabila masuk ke kampus utama di Gombak, saya bekerja mengajar pelbagai subjek untuk tuisyen di rumah.

Saya mula dengan meminjam motor kawan untuk pergi mengajar. Lama jugak saya meminjam motornya, sehinggakan kadang-kala rasa bersalah takut dimarahi disebabkan asyik meminjam. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli sebuah motorsikal terpakai dan kereta kemudiannya.

Mula Mencari Calon Isteri

Apabila pendapat bulanan sudah agak banyak dan stabil, saya mula mencari calon isteri. Calonnya banyak disebabkan geng-geng “ustazah pilihan” ramai yang menyertai kelas saya. Ini memudahkan saya senang untuk mendapatkan maklumat. Akhirnya saya telah memilih seorang yang terbaik pada pandangan saya.
Tetapi saya tidak mahu membuat keputusan sendirian. Saya meminta pendapat adik perempuan saya yang turut belajar di UIA sama ada pilihan saya baik ataupun tidak. Alhamdulillah adik saya menyatakan ianya baik.





Mula Mencari
Kita tidak boleh bersendirian dalam mencari calon isteri.

Tekad dengan pilihan hati, saya meminta bantuan orang tengah untuk memberitahu niat saya untuk menjadikan Widyana Ali sebagai isteri. Jika sang dia suka, maka dia kenalah bersetuju untuk berkahwin dalam masa setahun.

Kalau tidak bersetuju berkahwin dalam masa setahun, maka saya akan mencari calon lain. Alhamdulillah dia suka dan bersetuju. Saya menelefon maknya dan berbincang mengenai hal ini beberapa kali. Akhirnya maknya pun setuju. Maka kami pun bertunang.
Selepas bertunang barulah saya tahu bahawa dia sudah lama berdoa supaya dapat jodoh dengan insan yang bernama Mohd Yazid Ismail. Sejak matrikulasi lagi rupa-rupanya. Patutlah dari banyak-banyak calon, sayalah menjadi pilihanya. Inilah berkat doa.

Sedihnya, Isteri Tidak Pandai Memasak!

Tetapi alangkah sedihnya, selepas bertunang barulah saya tahu dia tidak pandai masak langsung. Dahulu semasa merisik tidak semak betul-betul. Aduhai nasib-nasib.

Risau juga pada awalnya disebabkan tidak pandai memasak biasanya mempunyai kaitan dengan sifat yang lain iaitu kekurangan sifat keibuan dan urusan rumah tangga. Tetapi saya cuba positifkan fikiran bahawa semua benda boleh dipelajari. Tidak semestinya seseorang itu kena pandai sebelum berkawin.

Kalau begitu semua yang hendak jadi isteri kenalah pandai mengandung dan pandai menjaga anak sendiri sebelum berkahwin. Jadi saya tetapkan minda untuk terima dirinya seadanya dan bersedia untuk memberi sokongan.

Kami berkahwin semasa tahun dua di UIA Gombak. Apabila sudah berkahwin barulah saya tahu bahawa kemahiran memasak ini tidak perlu pandai. Semua perkara ini boleh di cari menerusi enjin carian Google seperti resepi dan cara-cara memasaknya. Cuma sediakan bahan-bahan yang diperlukan dan ikutkan sahaja langkah-langkah yang diberi. Akhirnya siap satu hidangan.

Tak Pandai Atau Malas Memasak?

Jadi zaman sekarang istilah tidak pandai masak ini lebih bermaksud kepada malas memasak. Seseorang itu sebenarnya malas memasak dan bukanlah disebabkan tidak pandai masak. Boleh sahaja memasak dengan bantuan tutorial dari telefon bimbit dengan meletakkan di tepi dan mengikutnya. Mudah!





Bekalan Makanan Anak
Lihat bagaimana rupa bekal makanan anak-anak yang disiapkan oleh isteri saya.

Sekarang, pelbagai resipi telah dicuba dan jauh lebih sedap daripada tukang masak pakar di restoran. Tahun lepas, banyak telah dikongsi di FaceBook resepi masakannya, tips-tips mengurus rumah tangga dan tips keibubapaan.

Kalau di lihatkan inbox Facebooknya, seolah-olah dirinya yang pakar memasak disebabkan ramai yang PM bertanyakan resipi dan nasihat tunjuk ajar. Walhal sampai masa sekarang pun kadang-kala dia masih memasak menggunakan telefon bimbit.

Malah cara mengemas rumah dan susun atur perkakas dan perabot pun di carinya di Google. Banyak juga group Facebook disertainya mengenai hal menguruskan rumah tangga. Terima kasih Dyana sebab rajin dan tabah mengurus hal rumahtangga dan minta maaf juga sebab kadang-kala abang tidak banyak menolong.

Jangan Jadikan Alasan Tidak Pandai Memasak

Jadi peringatan kepad para isteri, jangan jadikan alasan tidak pandai memasak untuk tidak memasak. Alasan begitu sudah tidak logik. Adik-adik yang masih di universiti, jikalau hendak berkawin silalah memasang matlamat betul-betul. Stabilkan ekonomi diri dulu. Tidak perlu kaya tetapi stabil.





Yazid Ismail
Gambar saya bersama isteri tersayang. [FB Yazid Ismail]

Terima seadanya apa saja kekurangan pasangan kita.

Kredit : Tazkirah.Net



Adakah Penawar Untuk Isteri Pemalas?

13 Jun 2017


RUMAH tangga dan persekitaran yang bersih bagaikan taman bunga yang segar dan menjanjikan ketenangan kepada penghuninya. Pun begitu tanpa kerajinan segala yang diingini tidak akan berlaku. Tambahan pula bagi mereka yang bekerja dan tidak punya waktu untuk membersih dan menghias rumah agar sentiasa sedap dipandang mata.

Saiz rumah juga bukan ukuran tetapi kebersihan akan membezakan segalanya. Ramai yang impikan ketenangan di dalam rumah setelah penat berada di luar tetapi tidak semua kita yang berpeluang untuk mengecapinya. Tugas menguruskan rumah tangga adalah amanah yang dianugerahkan kepada suri rumah atau pembantu ramah.

Tetapi adakah semua isteri sanggup berbuat demikian?

Jawapannya ada pada kisah yang ingin diceritakan Zaidi (bukan nama sebenar) yang kini makan hati dengan sikap isteri yang tidak pandai mengurus rumah tangga. Kata Zaidi, isteri orang lain juga bekerja dan penat tetapi mereka ada masa untuk mengurus rumah dan menjaganya supaya bersih sentiasa.

Sayang sekali isterinya seorang yang pemalas dan ini menjadi masalah besar kepada Zaidi sehingga dia melabelkan isterinya Aida (bukan nama sebenar) sebagai seorang yang pemalas. Saya telah mendirikan rumah tangga dengan Aida sejak 10 tahun lalu. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 7, 8 dan 9 tahun. Rumah kami sederhana sahaja luasnya. Kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana anak-anak dihantar ke rumah ibu mentua saya selepas mereka balik sekolah.

Isteri pula bekerja dan balik ketika hari menjelang senja. Saya mengharapkan isteri mempunyai masa untuk mengemas rumah atau memasak setiap kali balik kerja. Bukan masakan yang hebat-hebat yang saya perlukan, cukup sekadar mengalas perut kami anak beranak. Sayangnya apa yang saya harapkan tidak berlaku. Setiap hari keadaan rumah tidak berkemas, pakaian yang dibasuh bersepah-sepah tidak berlipat. Pinggan mangkuk penuh sinki. Pendek kata kesemuanya menunggu hujung minggu untuk dibersihkan.

Bayangkan dalam tempoh itu bagaimana keadaan rumah dan baunya yang busuk setiap kali saya balik kerja. Hendak melangkah rasanya berat kaki. Hendak minum air juga tidak tertelan. Hendak mengharapkan anak-anak mereka masih kecil. Isteri pula asyik mengadu penat dan mahu berehat. Makanan setiap malam dibeli dari restoran berhampiran. Saya mampu mengambil pembantu rumah tetapi dihalang oleh isteri dengan alasan tidak perlu sebab dia boleh lakukan.

Sayangnya dia hanya berkata tetapi tidak disertakan dengan tindakan. Sudahnya keadaan rumah tetap begitu juga. Apabila ditegur, dia melenting dan merajuk. Saya sudah puas menasihatinya tetapi dia tetap macam itu, tidak ada perubahan. Sikap malasnya semakin menjadi-jadi. Rumah kami sudah seperti sebuah setor barangan terpakai. Masa yang berkualiti di rumah tidak dimanfaatkan untuk membereskan kerja-kerja rumah yang sepatutnya tetapi lebih banyak meluangkan masa di rumah ibunya dan anak-anak juga dibawa ke sana.

Saya tidak menghalang mereka ke sana tetapi saya berharap dia akan tolong kemas rumah dan sempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu terlebih dahulu. Saya amat malu dengan sikap malas isteri saya itu sehinggakan kami menjadi bahan ejekan jiran-jiran dan saudara mara yang datang. Keadaan itu menjadikan saya malu untuk menjemput saudara mara atau kawan-kawan ke rumah. Saya seorang yang pembersih dan suka rumah yang cantik dan bersih. Saya telah dididik menjaga kebersihan rumah sejak kecil. Ibu seorang yang rajin mengemas rumah.

Rumah kami sentiasa bersih. Ibu seorang yang sangat mementingkan kebersihan dan saya bangga mempunyai ibu yang rajin dan pembersih. Namun semua itu tinggal kenangan kerana saya telah berkeluarga dan sayangnya suasana sebegitu tidak lagi dapat saya kecapi. Saya kesal kerana isteri tidak mengambil berat teguran saya malah sepatah saya kata sepuluh yang dia jawab sehinggakan saya ada kala hilang sabar.

Paling saya malu kerana kami tinggal di kawasan perumahan mewah yang sepatutnya menjadi teladan kepada orang lain. Ini tidak, dibandingkan dengan rumah orang lain, rumah saya paling buruk dan tidak terurus. Bukan saya tidak berusaha ke arah itu tetapi jika saya seorang yang beria-ia, isteri buat tidak kisah, buat apa?

Sekarang keadaan semakin runcing. Isteri asyik berjalan makan angin, sekejap dalam negeri sekejap luar negara. Dia lebih suka melayan kawan-kawan kerjanya daripada saya dan anak-anak. Tidak salah pergi berjalan tetapi mesti ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Uruskan rumah tangga dulu, susun atur perabot yang lintang pukang dalam rumah agar saya yang ada dalam rumah boleh bernafas!

Sesekali fikir saya merasa pelik kenapa isteri saya berperangai macam itu. Rupanya dalam dunia ini ada juga perempuan yang pemalas dan tidak suka mengemas. Sekarang saya lebih banyak pulang ke rumah ibu daripada di rumah. Saya penat dan mahu ketenangan. Di rumah ibu, saya merasa tenang dan aman. Pernah juga ibu menegur isteri saya tetapi dia langsung tidak peduli.

Jangan kata mengemas, memasak juga jarang dia buat. Yang dia tahu makan, tidur dan berjalan. Kasihan anak-anak kami yang terpaksa makan makanan di luar atau di rumah ibu. Entah di mana silapnya sehinggakan Aida jadi pemalas begitu sekali. Ramai yang hairan bagaimana saya masih boleh bersabar dengan perangai isteri macam itu. Jika diturutkan naluri seorang lelaki, saya layak untuk mencari pengganti dan telah lama berbuat demikian.

Tetapi saya sayangkan anak-anak yang tidak berdosa, malang bagi mereka kerana mempunyai ibu yang malas. Anak sulung saya seorang perempuan dan masih di bangku sekolah rendah sering bertanya kepada ibunya, kenapa rumah kita tidak secantik rumah jiran. Anda tahu apa jawapan ibunya, Mama penat!.. Sepatutnya jawapan yang paling tepat adalah mama malas!.

Saya mahu dia faham falsafah kehidupan dalam suasana persekitaran yang bersih dan sihat. Semoga Allah akan membuka pintu hati Aida untuk berubah. Saya juga mengharapkan saya boleh bersabar dengan kerenah Aida. Jika tidak saya pasrah kepada ketentuan Allah SWT," keluh Zaidi menamatkan ceritanya.

Saya mengucapkan syabas kepada Zaidi kerana berani meluahkan perasaannya ke ruangan ini. Saya percaya ramai lagi suami yang menghadapi masalah seperti Zaidi tetapi enggan berkongsi masalah mereka. Saya berharap Zaidi akan terus bersabar dan membimbing isterinya untuk kembali kepada tanggungjawabnya. Anggaplah ini juga sebagai ujian dalam rumah tangga.

Masih belum terlambat untuk anda membetulkan keadaan. Berterus terang dan membimbing adalah cara terbaik menangani masalah ini. Anda harus menerima diri Aida seadanya, ertinya segala kelemahan dan kekurangan dirinya hendaklah diterima dengan reda. Itu sudah ketentuan jodoh anda.

Pada masa yang sama, sebagai suami anda perlu bertindak lebih tegas. Cadangan saya ambil cuti panjang dan bergotong royong mengemas dan membersihkan rumah bersama anak-anak.

Menamatkan catatan, pesanan saya seorang suami akan merasa tenang andai isterinya menjadi seorang yang penurut dan boleh menyejukkan hatinya di kala dia gundah. Realitinya, kehadiran wanita di dalam hidup seorang lelaki, ibarat matahari yang tidak pernah terbenam.

Kredit : UtusanMalaysia




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.