SLIDER

puasa
Showing posts with label puasa. Show all posts

Puasa Sunat Arafah : NIAT, TATA CARA, WAKTU, KEUTAMAAN, KELEBIHAN

30 Jun 2022

 


TARIKH HARI ARAFAH 2022, KELEBIHAN & NIAT PUASA SUNAT

Esok kita akan sampai ke bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam. Terdapat beberapa amalan yang sunnah dapat kita lakukan di dalam bulan Zulhijjah yang istimewa ini.

Istimewanya Bulan Zulhijjah

Antaranya adalah puasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah. Tiada kelebihan khusus dari hari 1 hingga 8 Zulhijjah namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah kerana pada hari tersebut merupakan Hari Arafah dimana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Seterusnya melaksanakan ibadah Korban pada Hari Raya AidilAdha atau pada hari Tasyriq. Bagi sesiapa yang berkemampuan, hendaklah mereka merebut peluang ini kerana ganjarannya amatlah besar disisi Allah SWT.

Dan yang terakhir, kita digalakkan mengagungkan kebesaran Allah dengan berzikir melalui bertahmid, bertasbih, bertahlil dan bertakbir.

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

[HR al-Bukhari, hadis sahih]

Tarikh Hari Arafah Di Malaysia 2022

Hari Arafah jatuh pada 9 Zulhijjah iaitu bersamaan dengan 9 Julai 2022 bagi umat Islam di Malaysia.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai 2022, menurut pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 29 Jun 2022.

Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah adalah hari di mana Allah Taala sendiri mendekati hamba-hambanya.

Perkara ini disebutkan dalam hadis yang sahih. Sabda Rasulullah ﷺ:

ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة، وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة فيقول: ما أراد هؤلاء؟

“Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya dari neraka seperti Hari Arafah. Pada hari tersebut Allah mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hambanya) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (Sahih Muslim)

Kelebihan Puasa Sunat Arafah

Antara kelebihan puasa Arafah adalah:

  1. Puasa Arafah adalah satu jalan / ruang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar.
  2. Peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadat haji supaya mereka merebut fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
  3. Hari 9 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dikerjakan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding apabila dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
  4. Digalakkan juga perbanyakkan doa menurut riwayat Imam Malik, Rasulullah bersabda : “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

“Puasa hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya.”

(Sunan al-Tirmizi, no. 680, hadis hasan)

Niat Puasa Sunat Hari ‘Arafah

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى

“Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.”

Waktu Berdoa

Timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?

Nabi S.A.W bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah..”

Jika diteliti hadis Nabi s.a.w ini, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.

Bilakah hari Arafah?

Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.

Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.

Sabda Nabi s.a.w:

الحج عرفة

Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”

Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.

Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.

Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.

Nabi S.A.W bersabda:

ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..

Maksudnya: ” Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”

Kesimpulannya, tidak perlulah kita bersusah payah untuk menyesuaikan atau convert waktu wukuf di padang Arafah dengan waktu di Malaysia kerana masing-masing ada keistimewaan masing-masing.

Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.

Kredit : ecentral


Nafsu Berahi Membuak Ketika Berpuasa ? Doktor Menjelaskan Ini Ada Kaitan Dengan KALORI!

18 Apr 2022


Selain menahan lapar dan dahaga, ibadat puasa juga memerlukan individu untuk menundukkan syahwat. Apa yang pelik, ketika ini juga nafsu naik dengan agak tinggi.

Ya, memang benar bahawa yang dilarang itulah menggoda. Pun begitu, peningkatan nafsu lelaki dan nafsu perempuan pada waktu yang spesifik mungkin ada penjelasan lain.

Untuk tahu apa punca nafsu naik ketika berpuasa, jom terus baca artikel ini dengan lebih lanjut! 

 

Banyak nafsu kena jaga di bulan Puasa!

Ramadan adalah bulan mulia yang mendambakan semua manusia untuk lebih banyak buat amal dan ibadat. Dan sudah tentu, berpuasa adalah kewajipan paling utama.

Ramai orang yang mungkin hanya mengaitkan puasa itu dengan ketahanan diri dalam mengawal nafsu makan dan minum sahaja tanpa menyelitkan tentang nafsu seksual.

Sebenarnya, banyak nafsu kena jaga di bulan puasa dan ia bukan sekadar selera makan malahan juga hawa nafsu. Jika ia gagal dikawal, maka akan rosak ibadat anda itu.

Apa yang lebih menarik adalah ramai mungkin percaya bahawa syahwat akan lebih tinggi di bulan puasa berbanding bulan lain. Kepercayaan ini mungkin juga ada asasnya.

Persoalannya, kenapa? Adakah nafsu lelaki dan nafsu perempuan ini akan meningkat dengan mendadak pada ketika ia dilarang untuk dipuaskan? Atau ada faktor yang lain?

 

Kenapa nafsu naik tinggi di bulan puasa ?

Kita tidak boleh kata bahawa akan ada ketika di mana nafsu syahwat individu itu tiba-tiba sahaja melonjak dengan begitu mendadak, contohnya di bulan puasa, Ramadan.

Ini kerana peningkatan tahap libido individu itu bukan akibat faktor waktu atau masa yang tertentu sahaja tetapi ada kaitan juga dengan perbuatan atau persekitaran mereka sendiri.

Ada sebuah video yang membincangkan perkara ini dimuat naik oleh seorang doktor di TikTok:

https://vt.tiktok.com/ZSdh14hJT/

 

Menurut Doktor Perubatan dan Pakar Estetik, Dr Aizul Hafizi, pengambilan kalori yang mungkin lebih rendah di bulan puasa akan menyebabkan rangsangan pada hormon seksual sekali gus meningkatkan libido.

Dalam erti kata yang lebih mudah, semakin rendah pengambilan kalori, maka semakin tinggi rangsangan pada hormon seksual. Akibatnya, nafsu naik tanpa anda dapat duga.

 

Selain kalori , apa lagi punca libido tinggi ?

Seperti mana yang telah diperkatakan oleh Dr Aizul Hafizi di dalam video tular itu tadi, nampaknya pengambilan kalori rendah adalah punca naiknya libido yang paling utama.

Namun demikian, ia mungkin bukan satu-satunya sebab perkara ini berlaku kerana ada beberapa lagi faktor risiko yang lain meskipun ia tidak begitu besar atau ketara.

Makanan afrosidiak

Ketika bersahur dan berbuka, ada banyak juadah yang boleh anda pilih. Maka tidak mustahil juga jika ada antara menu anda itu adalah jenis afrosidiak yang juga boleh jadi punca nafsu naik.

Perilaku anda dan pasangan

Secara tidak sengaja, anda mungkin telah menggunakan pakaian, bunyian, wangian atau perbuatan yang boleh menggoda pasangan sekali gus meningkatkan syahwat di bulan puasa.

Suasana di dalam rumah

Ketika berpuasa, sudah tentu tidak banyak aktiviti yang anda boleh buat di dalam rumah. Jadi, akan banyak fantasi yang terlintas terutama jika anda hanya berdua-duaan dengan pasangan.

Akan tetapi, ketiga-tiga ini cuma faktor risiko yang ringan dan ia tidak wajar dijadikan sebagai alasan untuk membatalkan puasa hanya kerana anda gagal kawal nafsu!

 

Apa yang individu boleh buat tentangnya ?

Konklusinya, nafsu lelaki dan nafsu perempuan ada potensi untuk meningkat dengan mendadak di bulan Ramadan angkara pengubahsuaian pengambilan kalori harian.

Jadi, apa yang individu boleh buat jika nafsu naik ketika sedang berpuasa? Adakah perlu untuk puasa dibatalkan?

TIDAK! Ini kerana puasa itu ibadat wajib dan bukan pilihan.

Sebaliknya, anda boleh menggunakan peluang ini sebagai masa untuk melatih diri dalam menahan dan mengawal bukan sahaja nafsu makan dan minum malahan seksual.

“Apa yang pasangan suami isteri boleh buat untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan cara ‘tunda’ rancangan untuk melakukan hubungan seks kepada waktu maghrib dan malam ketika di mana anda telah berbuka puasa,” jelas Dr Aizul Hafizi lagi.

Sebenarnya, perkara ini bukan satu isu besar kerana nafsu seksual adalah satu perkara yang boleh dilatih dan dikawal dengan baik jika anda tahu caranya. Sekiranya anda ada masalah tentang perkara ini, segera rujuk dengan doktor pakar.

Kredit : Hellodoktor


(Resepi : Video) Tauhu Goreng Telur Masin

7 Apr 2022


Hai Semua,

PERNAHKAH ANDA MERASA TAUHU GORENG TELUR MASIN?  Mungkin ada di kalangan anda yang tidak pernah merasa resepi TAUHU GORENG TELUR MASIN.

HIDANGAN tauhu yang dipotong berbentuk kiub cukup menyelerakan.. Apatah lagi dicelup dalam adunan khas campuran TELUR MASIN dan kemudian digoreng sehingga rangup. 

Kesegaran tauhu cukup terasa dan aroma daun bawang membangkitkan selera.  Ajom...Di waktu berbuka hari ini, apa kata anda cuba resepi ini pula... Untuk bersahur pun sesuai juga ni...boleh menambahkan selera sewaktu makan bersahur . 

Resepi yang sangat mudah dan cepat untuk disediakan ..




RESEPI TAUHU GORENG TELUR MASIN

Bahan-Bahan:

• 5 ketul tauhu dipotong berbentuk kiub
• 2 sudu besar tepung ubi
• 2 biji telur ayam
• 3 biji kuning telur masin
• Serbuk roti
• Minyak
• Daun bawang

Cara-Cara:

1) Salut tauhu dengan telur ayam, tepung ubi dan serbuk roti.
2) Panaskan minyak
3) Goreng tauhu tersebut sehingga kekuningan dan toskan minyak.
4) Kemudian lenyekkan kuning telur masin dengan sedikit minyak sayur.
5) Panaskan kuali semula
6) Masukkan kuning telur masin dan daun bawang.
7) Akhir sekali, masukkan tauhu yang telah ditos tadi dan gaulkan sehingga rata.

Senang saja kan?? Selamat menjamu selera! Selamat Berbuka Puasa.


Esok Dah Puasa...Ini 5 Moment Lucu Yang Anda Boleh Relate Dalam Bulan Ramadan…

2 Apr 2022



Bulan Ramadan merupakan bulan suci yang dinantikan umat Islam seluruh dunia. Pada bulan inilah kita diajak untuk memperbanyak amal ibadat selain menahan lapar dan dahaga. Nak kejar keberkatan bulan yang mulia ni. Bukan senang, tahun depan belum tentu jumpa!

Tapi disebabkan bulan puasa ni hanya setahun sekali, selalu terjadi moment lucu sama ada anda terlupa sedang berpuasa atau tak tahan sangat nak berbuka puasa. Kami nak share 5 ragam yang anda boleh relate bila tibanya bulan Ramadan. 


1. TERLAJAK NAK SAHUR, SEDAR JE DAH AZAN SUBUH.

Disebabkan waktu bersahur adalah pada awal pagi, kami yakin anda mesti pernah terlajak tidur sampai tak bersahur. Lagi sedih kalau sedar masa tengah azan Subuh. Rasa sedih tu tak boleh nak cakap la.

Bagi anda yang dah biasa berpuasa, mungkin anda rasa takde hal pun kalau tak bersahur. Tapi kalau jenis yang berpuasa masa bulan Ramadan je, mesti rasa nak berguling tunggu waktu berbuka kan?  Nasiblaaa…


2. DAH PLANNING AWAL NAK BERBUKA APA

Baru pukul 10 pagi dah fikir nak masak ke beli je untuk berbuka. Hmmm.. Perangai apa ni? Mungkin setakat planning awal takpe lagi, tapi kalau sampai pengaruh orang untuk sama-sama usha makanan untuk berbuka puasa, sampai anda pon lapar.

Lagi menyakitkan hati kalau anda tengok makanan lepas tu mengadu lapar. Ni boleh bawak gaduh… Baik mengaku anda ada buat tak perangai macam ni?


3. HANTU BAZAR RAMADAN

Puasa dan bazar merupakan 2 perkara yang tak boleh dipisahkan. Setiap kali tibanya bulan puasa, bazar Ramadan lah yang paling dinantikan. Kat sinilah anda boleh jumpa kuih-muih tradisional, ayam bakar, ayam golek, nasi ayam penyek dan pelbagai jenis air kat satu tempat. Harga yang dijual pon berpatutan.

Alang-alang bulan puasa ni mengajar kita erti kesabaran dan menahan nafsu, anda jangan la membazir semasa berbelanja. Beli ala kadar je, sekadar kenyangkan perut jangan nak over lak ye..


4. ASYIK TENGOK JAM… MACAM BARU BELAJAR PUASA

Jangan ingat dah besar tak buat perangai. Makin tua la kadang-kadang perangai  berpuasa mengalahkan budak-budak. Asyik tengok jam je, sebab tak sabar nak tunggu waktu nak berbuka.

Paling parah bila tinggal sejam dua sebelum berbuka, asyik tanya pukul berapa. Lepas tu, gaya lapar macam sebulan tak makan. Siapa ada kawan macam ni? Anda memang perlukan kesabaran yang tinggi nak layan mereka.


5. PERANGAI BILA TEGUK AIR WAKTU BERBUKA, KALAU BOLEH SATU JAG NAK HABISKAN..

Lepas seharian berpuasa, waktu berbuka pastinya dinantikan semua. Dapat pula air manis dan berais, pastinya dapat memberikan rasa lega. Dapat pula minum air favourite memang layan laaa. Kalau boleh nak ada 5-6 jenis air depan mata sewaktu berbuka....Kemudian bersiap-sedialah senak perut dan nak makan nasi pun dah tak dapat masuk..




Tak Sempat Ganti Puasa ? Dah Bayar Fidyah ? Begini Caranya

9 Mar 2022

 


PENGERTIAN FIDYAH

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melibatkan pelanggaran terhadap hukum puasa, haji dan yang berkaitan. Jika ia melibatkan hukum mengenai ibadah puasa, fidyah dikenakan kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada) bulan Ramadhan.

HUKUM FIDYAH

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

 

Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam Al-Baqarah ayat 184:

 

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

KIRAAN FIDYAH
Untuk memahami kaedah kiraan fidyah, sebagai contoh Fatimah meninggalkan puasa selama 7 hari kerana haid pada bulan Ramadan 1438H (2017). Berikut adalah contoh kiraan berdasarkan situasi:

Situasi 1

Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadan berikutnya pada tahun 1439H (2018).
Formula Kiraan: [Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah]

7hari x RM4.00 = RM28.00


Situasi 2
Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Beliau tidak berpuasa pada Ramadan 1438H (2017) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1441H (2020). Fatimah berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah beliau.

Formula Kiraan: [(Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah) X Bilangan Tahun Yang Ditinggalkan]

(7hari x RM4.00) x 3 Tahun = RM84.00

Keterangan :

Justeru kiraan akan bermula dari tahun 1439H hingga 1441H = 3 tahun.  Tahun pertama yang bermula dari 1438H hingga 1439H tidak termasuk dalam kiraan fidyah kerana masih dalam tempoh puasa boleh digantikan dan belum memasuki Ramadan yang berikutnya.



GOLONGAN YANG WAJIB MEMBAYAR FIDYAH

1. Uzur menunaikan puasa wajib

 Terdiri daripada golongan menghidapi penyakit yang tiada harapan untuk sembuh, atau orang tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Fidyah boleh dibayar bermula masuknya Ramadan tahun semasa.

 Contoh:
Haji Karim pengidap Diabetes yang menjalani dialisis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. Maka, fidyahnya dikira seperti berikut:

Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah
30hari x Rm4.00 = RM120.00


2.Perempuan yang mengandung atau sedang menyusukan anak yang khuatir keselamatan bayi yang dikandung atau anak yang sedang disusukan.

 Tidak berpuasa kerana bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini wajib membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada) puasa yang ditinggalkan. Jika puasa belum digantikan sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah yang lain kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh:
Sepanjang kehamilan anaknya, Puan Rina tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan pada tahun itu selama 7 hari. Beliau bimbang keadaan bayi yang dikandungnya. Maka sebaik sahaja Ramadan, Puan Rina dikenakan fidyah pada kadar :

 Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

 7 hari X RM4.00 = RM28.00

 *Fidyah ini disebabkan oleh Puan Rina meninggalkan puasa kerana khuatir keselamatan anaknya.

**Puan Rina perlu menggantikan puasanya sebelum tiba Ramadan berikutnya.

*** Jika Puan Rina masih belum menggantikan puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya maka beliau akan dikenakan fidyah kerana lewat menggantikan puasa.


3.Perempuan yang mengandung atau sedang menyusukan anak namun khuatir akan keselamatan dirinya ketika berpuasa

 Puasa yang ditinggalkan perlu digantikan. Jika masih tidak berganti sehingga tiba Ramadan berikutnya barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh :

Puan Maria tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Maria dapat menggantikan puasa tersebut.

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah (cupak)

10 hari X RM4.00 = RM40.00 (FIDYAH)


 4.Orang yang telah meninggal dunia

Fidyah meninggalkan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan oleh waris-warisnya jika bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.

Contoh:

Puan Rahmah ialah seorang warga emas yang telah terlantar sakit bertahun-tahun dan tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Pada 13 Ramadan beliau telah meninggal dunia. Maka, fidyah beliau dikira:

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

13 hari X RM4.00 = RM52.00 (FIDYAH)


 5.Orang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhan

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

 Contoh:
En Jamal telah tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana corak pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun. Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah:

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah ( cupak )

3 hari X RM4.00 = RM12 (FIDYAH)


Boleh guna KALKULATOR ini untuk kira kadar FIDYAH . Klik Here

Berpuasa Dibuktikan Dapat Mencegah Barah Oleh Saintis Jepun Yoshinori Ohsumi

30 Dec 2021

 
Oktober 2016 yang lalu, seorang saintis daripada Jepun, Yoshinori Ohsumi telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Nobel Perubatan yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM3.9 juta. Anugerah tersohor itu dianugerahkan kepada beliau atas penemuan beliau mengenai bagaimana proses pemecahan oleh sel-sel badan berlaku dan mengitar semula komponen-komponennya yang dikenali sebagai "autophagy".


Penemuan itu yang dinamakan "mechanism for autophagy", adalah mengenai proses asas dalam sel-sel yang mana para saintis mempercayai bahawa boleh dimanfaatkan untuk melawan barah dan dementia

Autophagy berasal dari perkataan Greek iaitu auto (sendiri) dan juga phagein (memakan), yang membawa maksud memakan diri sendiri. Ia adalah satu proses pengitaran semula sel dalam badan. Sel-sel di dalam badan kita sememangnya telah diprogramkan mempunyai jangka hayat tertentu. Setelah sel-sel ini rosak dan menjadi tua di mana tiada lagi tenaga untuk mengekalkan fungsinya, ia perlu dibuang dari badan.

Bagaimana barah boleh berlaku?


Barah boleh terjadi sekiranya sel-sel lama tidak mati. Bagaimana? Jika sel-sel yang telah lama dan tua tidak mati dan tidak digantikan dengan sel-sel baru, sel-sel lama ini akan terus berkembang dan bertambah. Ia akan menghasilkan sel-sel yang tidak normal yang tidak melakukan fungsi asal mereka. Lebih buruk lagi, sel-sel ini akan berkembang tanpa henti seterusnya mengganggu fungsi sel-sel lain di sekitar mereka. Perkara ini akan merangsang mutasi sel dan akan memberikan kesan buruk kepada sistem organ. 


Apabila sel-sel ini termutasi dan berkembang diluar kawalan, ia akan membentuk satu tisu yang besar yang dikenali sebagai tumor atau ketumbuhan (sebagai contoh leukemia). Ini lah merupakan titik permulaan terjadinya barah, yang dibahagikan kepada lima kategori utama, iaitu karsinoma, sarkoma, leukemia, limfoma dan CNS, bergantung kepada di kawasan di mana terjadinya pertumbuhan sel-sel tidak normal ini.

Autophagy vs Apoptosis


Terdapat satu lagi proses yang sama seperti autophagy iaitu "apoptosis" yang juga dikenali sebagai proses sel mati. Bunyi macam tidak enak, namun untuk mengekalkan kesihatan yang baik, proses ini amat penting bagi badan kita. Setelah beberapa kali melalui proses pembahagian, sel-sel badan diprogramkan untuk mati. Jika proses apoptosis ini tidak berlaku, ia juga akan menyebabkan kemungkinan berlakunya barah. 


Sebagai contoh mudah, jika anda mempunyai sebuah kereta, dan anda menggunakannya untuk beberapa ketika. Setelah berlalunya masa, kereta anda pasti akan mengalami kerosakan. Setelah berkali-kali diperbaiki, akhirnya anda perlu menukar kepada kereta baru kerana kos-kos membaiki akan menjadi semakin mahal jika kereta anda sudah berumur dan melalui pelbagai kerosakan. Jika anda tidak membeli kereta baharu, pasti wang anda akan melayang kerana dihabiskan untuk membaiki kereta.

Apa kaintan proses autophagy dan berpuasa?

Namun, jika kereta anda rosak, anda tidak lah perlu membeli kereta baharu serta-merta sebaliknya hanya menukarkan bahagian yang rosak, sebagai contoh bateri. Ia juga sama kepada sel-sel ini. Daripada membunuh kesemua sel (proses apoptosis), badan kita hanya perlu membunuh sel-sel yang lama dan rosak sahaja. Inilah yang dinamakan proses autophagy, di mana organel sub-selular dimusnahkan dan yang baru dibina semula untuk menggantikannya.

Pada tahun 1962, proses autophagy ini dinyatakan apabila saintis menyedari pertambahan jumlah lysosomes iaitu bahagian sel yang menghancurkan sel lain) di dalam hati tikus setelah disebatikan dengan glucagon.


Kekurangan nutrisi dan zat adalah pengaktif utama proses autophagy. Apabila kita makan, insulin dalam badan akan meningkat, dan ini menyebabkan penurunan glucagon, dan apabila kita tidak makan (berpuasa) maka insulin akan menurun dan glucagon akan meningkat. Peningkatan glucagon inilah yang merangsang proses autophagy ini. Jadi, untuk mengaktifkan proses autophagy, kita perlu berpuasa!


Berpuasa bukan sahaja memberikan badan kita peluang untuk membuang "barang lama", ia malah merangsang pertumbuhan hormon, yang memberitahu badan kita supaya mula untuk menghasilkan "barang baru". Jadi dengan berpuasa dapat membenarkan badan kita untuk menjalani pengubahsuaian yang lengkap.

Islam mewajibkan puasa

Sebagai ringkasan, jika kita berpuasa, badan kita akan kekurangan nutrisi dan zat, ini akan merangsang proses autophagy. Apabila proses autophagy berlaku, ia akan menggantikan sel-sel yang lama dan jahat, kepada sel-sel yang baru dan baik. Ini sekaligus menjadikan badan kita dapat berfungsi dengan lebih baik serta tidak terdedah kepada penyakit berbahaya.

Kerana itulah Islam mewajibkan umatnya untuk berpuasa sebulan di dalam setahun iaitu ketika tibanya bulan Ramadan. Bukan di bulan Ramadan sahaja, malah ia adalah sunnah Rasulullah S.A.W untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta hari-hari tertentu. Dengan berpuasa, badan kita akan menjadi lebih sihat dan lebih terjaga daripada dijangkiti penyakit berbahaya seperti barah. Ini amatlah penting untuk menjalani kehidupan yang berkualiti dan yang masih panjang. Jadi, berpuasa bukanlah untuk orang Islam sahaja, ia diperlukan oleh semua manusia di muka bumi ini.

Contoh mudah, setiap 3 bulan atau 5000 kilometer (mengikut jenis kenderaan), kereta kita perlu diservis bagi mengekalkan prestasinya. Sama seperti badan kita, ia juga memerlukan "servis", iaitu dengan berpuasa.

Jika bagi anda yang belum pernah mencuba berpuasa, dan baru mengetahui manfaat berpuasa, cuba lah melatih diri anda untuk berpuasa. Lihat apa kesannya pada diri anda.

Semoga bermanfaat.

Sumber : 

Kredit : Iluminasi 
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.