SLIDER

fadhilat
Showing posts with label fadhilat. Show all posts

Tak Sempat Ganti Puasa ? Dah Bayar Fidyah ? Begini Caranya

9 Mar 2022

 


PENGERTIAN FIDYAH

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melibatkan pelanggaran terhadap hukum puasa, haji dan yang berkaitan. Jika ia melibatkan hukum mengenai ibadah puasa, fidyah dikenakan kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada) bulan Ramadhan.

HUKUM FIDYAH

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

 

Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam Al-Baqarah ayat 184:

 

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

KIRAAN FIDYAH
Untuk memahami kaedah kiraan fidyah, sebagai contoh Fatimah meninggalkan puasa selama 7 hari kerana haid pada bulan Ramadan 1438H (2017). Berikut adalah contoh kiraan berdasarkan situasi:

Situasi 1

Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadan berikutnya pada tahun 1439H (2018).
Formula Kiraan: [Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah]

7hari x RM4.00 = RM28.00


Situasi 2
Fatimah belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Beliau tidak berpuasa pada Ramadan 1438H (2017) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1441H (2020). Fatimah berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah beliau.

Formula Kiraan: [(Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah) X Bilangan Tahun Yang Ditinggalkan]

(7hari x RM4.00) x 3 Tahun = RM84.00

Keterangan :

Justeru kiraan akan bermula dari tahun 1439H hingga 1441H = 3 tahun.  Tahun pertama yang bermula dari 1438H hingga 1439H tidak termasuk dalam kiraan fidyah kerana masih dalam tempoh puasa boleh digantikan dan belum memasuki Ramadan yang berikutnya.



GOLONGAN YANG WAJIB MEMBAYAR FIDYAH

1. Uzur menunaikan puasa wajib

 Terdiri daripada golongan menghidapi penyakit yang tiada harapan untuk sembuh, atau orang tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Fidyah boleh dibayar bermula masuknya Ramadan tahun semasa.

 Contoh:
Haji Karim pengidap Diabetes yang menjalani dialisis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. Maka, fidyahnya dikira seperti berikut:

Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah
30hari x Rm4.00 = RM120.00


2.Perempuan yang mengandung atau sedang menyusukan anak yang khuatir keselamatan bayi yang dikandung atau anak yang sedang disusukan.

 Tidak berpuasa kerana bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini wajib membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada) puasa yang ditinggalkan. Jika puasa belum digantikan sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah yang lain kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh:
Sepanjang kehamilan anaknya, Puan Rina tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan pada tahun itu selama 7 hari. Beliau bimbang keadaan bayi yang dikandungnya. Maka sebaik sahaja Ramadan, Puan Rina dikenakan fidyah pada kadar :

 Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

 7 hari X RM4.00 = RM28.00

 *Fidyah ini disebabkan oleh Puan Rina meninggalkan puasa kerana khuatir keselamatan anaknya.

**Puan Rina perlu menggantikan puasanya sebelum tiba Ramadan berikutnya.

*** Jika Puan Rina masih belum menggantikan puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya maka beliau akan dikenakan fidyah kerana lewat menggantikan puasa.


3.Perempuan yang mengandung atau sedang menyusukan anak namun khuatir akan keselamatan dirinya ketika berpuasa

 Puasa yang ditinggalkan perlu digantikan. Jika masih tidak berganti sehingga tiba Ramadan berikutnya barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.

Contoh :

Puan Maria tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Maria dapat menggantikan puasa tersebut.

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah (cupak)

10 hari X RM4.00 = RM40.00 (FIDYAH)


 4.Orang yang telah meninggal dunia

Fidyah meninggalkan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan oleh waris-warisnya jika bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.

Contoh:

Puan Rahmah ialah seorang warga emas yang telah terlantar sakit bertahun-tahun dan tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Pada 13 Ramadan beliau telah meninggal dunia. Maka, fidyah beliau dikira:

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.

13 hari X RM4.00 = RM52.00 (FIDYAH)


 5.Orang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhan

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

 Contoh:
En Jamal telah tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana corak pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun. Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah:

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah ( cupak )

3 hari X RM4.00 = RM12 (FIDYAH)


Boleh guna KALKULATOR ini untuk kira kadar FIDYAH . Klik Here

Ingin Kekal Cantik, Sihat Dan Cergas di Bulan Ramadhan. Amalkan Tips-Tips Ini

26 May 2017



Alhamdulillah, insyaallah esok kita akan menyambut bulan Ramadhan , bulan di mana seluruh umat Islam diwajibkan untuk berpuasa sebulan, menahan lapar, dahaga dan pantang larang dalam berpuasa selama kurang lebih 12-13 jam. Bulan Ramadhan memang merupakan bulan yang penuh barakah dan kemuliaan. Kita disarankan untuk mempertingkatkan amalan kita di bulan yang penuh berkat ini. Menyusuri sebulan bulan Ramadhan, selain untuk mendekatkan diri kepada Allah, kita juga menjadi insan yang lebih sihat kerana berpuasa mempunyai banyak manfaatnya. Bulan Ramadhan ini juga boleh dijadikan sebagai detox untuk menjaga kesihatan dan menjaga cara pemakanan kita. Selepas hampir setahun, perut kita penat bekerja, bulan Ramadhan ini boleh digunakan untuk merehatkan perut serta mangamalkan diet yang baik dan seimbang untuk tubuh yang lebih sihat. Admin nak kongsikan tips-tips yang sangat berguna di bulan Ramadhan yang mulia ini.

-Admin-




1.    TIPS BERBUKA PUASA

1.    Pengambilan makanan di bulan puasa tidak seharusnya berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pemakanan kita sepatutnya dapat membekalkan tenaga, vitamin dan mineral yang sepatutnya agar dapat menjalankan tugas-tugas harian seperti biasa. Makan secara sihat di bulan puasa adalah penting untuk menghindar beberapa masalah kesihatan yang biasa berlaku di bulan puasa seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, pedih ulu hati dan kandungan gula rendah dalam darah. Ia juga penting untuk membolehkan seseorang itu berpuasa dengan selesa dan mendapat fadhilat yang sewajarnya di bulan puasa. Oleh itu, makanlah secara sederhana dan pastikan pengambilan makanan yang seimbang untuk kekal sihat di bulan puasa.
 
2.    Walaupun berpuasa, kita tetap perlu mengamalkan asas makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia. Ini kerana tidak ada satu makanan yang dapat membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita. Makanan kita mestilah mengandungi kumpulan-kumpulan makanan berikut:
§  Nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin.
§  Buah-buahan dan sayur-sayuran
§  Ikan, ayam, daging dan kekacang
§  Susu dan produk tenusu
§  Sedikit minyak, lemak, gula dan garam.
 
3.    Jangan makan secara berlebihan sewaktu berbuka puasa. Ini kerana setelah seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun pada tahap yang minimum. Apabila kita mengambil makanan semasa berbuka puasa, aktiviti gastrik akan meningkat. Kebiasaannya kita akan mengambil makanan yang banyak sewaktu berbuka puasa. Ini akan menyebabkan peningkatan asid yang terlalu mendadak. Keadaan ini akan mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, makanlah makanan yang ringan terlebih dahulu sewaktu berbuka puasa untuk mengelakkan peningkatan aktiviti gastrik yang mendadak. Ia juga dapat mengurangkan masalah semasa berpuasa dan kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
 
4.    Mengikut Sunnah, adalah digalakkan mengambil 3 biji buah kurma sebagai makanan pertama sewaktu berbuka puasa. Kurma bukan sahaja kaya dengan tenaga, tetapi juga mengandungi serat, vitamin dan mineral. Kemudian diikuti dengan ½ cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil 1 mangkuk kecil sup sayur berserta dengan 1 atau 2 keping roti. Pengambilan makanan ini dalam kuantiti yang betul boleh mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras normal. Walau bagaimanapun, hadkan pengambilan makanan yang manis seperti kuih-muih manis, kek dan air manis dalam kuantiti yang berlebihan sewaktu berbuka puasa. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula secara berlebihan, boleh mengakibatkan peningkatan berat badan walaupun di bulan puasa.
 
5.    Makan malam yang lebih berat adalah digalakkan sebaik sahaja selepas mengerjakan solat Maghrib. Hidangan makan malam yang disarankan ialah 1 ½ cawan nasi putih, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur. Jika boleh, elakkan makanan yang berminyak dan bersantan. Ambil buah-buahan serta lebihkan minum air kosong. Hidangan lewat malam atau moreh, boleh di ambil jika perlu. Elakkan mengambil makanan yang berat, cukuplah sekadar snek ringkas seperti kacang, sandwic, yogurt, roti, biskut, 1 atau 2 ketul kuih dan 1 gelas susu . Lebihkan mengambil air kosong. Pengambilan makanan yang berat seperti mi atau nasi mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu tidur anda.
 
6.    Sembelit di bulan puasa merupakan masalah yang mungkin boleh berlaku di bulan puasa. Ia berlaku disebabkan kita kurang minum air, kurang mengambil makanan yang berserat serta makan banyak makanan terproses. Sekiranya anda mengalami masalah ini, tingkatkan pengambilan air, buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan anda mengambil 6-8 gelas air, 3 hidangan sayur-sayuran dan ½ cawan sayur-sayuran serta 2 biji buah sehari. Pengambilan air juga boleh di ambil dalam bentuk jus buah-buahan ataupun sup sayur-sayuran. Untuk mengelakkan kehilangan air dari badan, kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafein seperti teh, kopi atau minuman berkarbonat. Kurangkan kekerapan mengambil makanan segera yang tinggi kandungan lemak dan garam. Selain daripada itu, lakukan juga senaman ringan seperti regangan dan berjalan. Ini adalah penting untuk kelancaran sistem penghadaman.

 
 2.    TIPS MENGURANGKAN BERAT BADAN DI BULAN PUASA

Ramadhan merupakan satu peluang untuk mengurangkan berat badan bagi mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan. Amalan pemakanan sihat yang disarankan bagi mengurangkan berat badan ialah:
o    Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula, minyak serta lemak. Makanan ini mengandungi tinggi kalori. Jika anda tidak dapat menahan diri daripada mengambil makanan ini, ambillah dalam kuantiti yang sedikit.
o    Hadkan pengambilan air manis seperti air sirap atau kordial. Utamakan pengambilan air kosong dan jus buah-buahan yang tidak ditambah gula. Susu rendah lemak juga merupakan pilihan minuman yang baik.
o    Beri perhatian pada saiz hidangan anda. Kebiasaannya, kita akan makan dengan banyak apabila terlalu lapar. Oleh itu sentiasa ingat untuk mengekalkan saiz hidangan yang kecil, walaupun mengambil makanan yang rendah lemak.
o    Lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan ini bukan sahaja mengenyangkan, malah boleh meningkatkan pengambilan serat harian anda.
o    Jangan lupa untuk melakukan senaman ringkas. Berpuasa bukan alasan untuk anda tidak melakukan senaman.
 

 3.    TIPS UNTUK KEKAL CERGAS DI BULAN PUASA

Berikut adalah beberapa panduan untuk anda kekal cergas di bulan puasa.
o    Ambil makanan yang berkhasiat iaitu mengandungi karbohidrat, protein, vitamin, mineral serta sedikit lemak.
o    Lakukan aktiviti fizikal untuk meningkatkan metabolisme. Waktu yang sesuai untuk anda melakukan aktiviti fizikal ialah ½ jam sebelum berbuka ataupun selepas makanan yang dimakan hadam.
o    Minum banyak air terutama air kosong. Ini untuk mengelakkan dehidrasi kerana badan kita memerlukan air yang banyak.
o    Elakkan mengambil minuman yang berkafein kerana ia boleh menghalang penyerapan zat-zat makanan oleh badan.
 


 4.    TABIAT MAKAN YANG PERLU DI ELAKKAN DI BULAN PUASA

Penjagaan kesihatan di bulan puasa adalah penting agar kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Berikut adalah beberapa tabiat makan yang perlu dielak di bulan puasa.
o    Jangan makan berlebihan terutama sewaktu berbuka puasa. Ini untuk mengelak kejadian kembung perut atau ketidakhadaman makanan.
o    Kurangkan pengambilan makanan yang bergoreng dan berlemak.
o    Kurangkan makanan tinggi gula.
o    Kurangkan minum minuman berkafein seperti kopi, teh dan air berkarbonat. Minuman ini boleh menghalang penyerapan vitamin dan mineral penting yang diperlukan oleh badan. Ia juga boleh menyebabkan kita kerap membuang air kecil.
o    Elakkan makanan yang diproses terutamanya yang mengandungi perisa dan pewarna tiruan serta pengawet. Biasanya makanan terproses adalah tinggi garam walaupun tidak terasa masin.
o    Kurangkan makanan yang terlalu berempah dan pedas.

 
 5.    TIPS MEMBELI MAKANAN DI BAZAR RAMADHAN

Memang tidak dinafikan, di bulan puasa pasar Ramadhan akan tumbuh bagai cendawan. Di sini anda boleh dapat pelbagai jenis makanan untuk juadah berbuka puasa. Bayangkan dalam keadaan yang lapar, pelbagai kuih-muih serta lauk-pauk yang enak dijual. Ini boleh menyebabkan anda rambang mata membuat pilihan. Sudah pastinya, segala prinsip atau amalan makan secara sihat senang saja diketepikan pada saat itu. Sebagai panduan, pastikan anda membuat catatan senarai makanan yang perlu sahaja untuk di beli. Senarai makanan ini boleh mengelakkan kita daripada membeli makanan yang tidak diperlukan. Buatlah pilihan yang lebih sihat semasa membeli juadah berbuka puasa. Utamakan makanan yang dimasak tanpa menggunakan santan ataupun menggunakan minyak secara minima. Kurangkan membeli kuih-muih yang manis serta bubur. Jika boleh, elakkan membeli air minuman yang dijual dan sediakan sendiri air minuman di rumah. Ini membolehkan anda mengawal kandungan gula dalam minuman tersebut.

 


 6.    TIPS MENGAWAL NAFSU MAKAN DI BULAN PUASA

Untuk mengelakkan pengambilan makanan atau minuman secara berlebihan, kita perlulah bersederhana semasa menghidang juadah terutamanya ketika berbuka puasa. Sudah tentulah sukar untuk mengawal apa yang dimakan sekiranya juadah daripada pelbagai jenis sudah ada di depan mata. Oleh itu, kita harus mengambil peluang di bulan puasa ini untuk berjimat cermat khususnya bagi perbelanjaan ke atas makanan. Rancang dan hidangkan makanan untuk berbuka pada kadar yang berpatutan. Begitu juga dengan air minuman. Sediakan air minum dari bahan semula jadi seperti daun pandan. limau nipis dan serai. Elakkan penggunaan gula berlebihan, sirap, pewarna dan perasa tiruan. Selain daripada itu, anda juga harus ingat tujuan berpuasa adalah untuk mendapatkan pahala dan keberkatan. Oleh itu, elakkan pembaziran di bulan puasa kerana ini boleh mengurangkan pahala amalan puasa itu sendiri.

 
7.    TIPS MENYEDIAKAN HIDANGAN SIHAT UNTUK BERBUKA PUASA

Laungan azan maghrib adalah waktu yang paling ditunggu-tunggu bagi mereka yang menjalani ibadah berpuasa. Sudah tentulah, pelbagai juadah disediakan untuk berbuka puasa. Bagi sesetengah keluarga, mereka lebih menggemari masakan yang disediakan di rumah berbanding yang di beli di pasar Ramadhan. Sudah tentulah masakan yang disediakan di rumah oleh ibu akan lebih menyelerakan. Tambahan pula, bagi anak-anak, inilah masanya mereka boleh meminta si ibu memasakkan apa saja makanan kegemaran mereka untuk santapan berbuka puasa. Namun begitu, sebagai ibu, adalah penting untuk menyediakan hidangan yang bukan sahaja lazat, tetapi juga sihat untuk keluarga. Gunakanlah panduan berikut bagi menyediakan hidangan sihat untuk berbuka puasa.
o    Rancanglah menu dengan mengambil kira 5 kumpulan asas makanan iaitu bijirin, hasil bijirin dan ubi-ubian, buah dan sayur, ikan, daging, ayam dan kekacang, susu dan hasil tenusu serta minyak, lemak, garam dan gula.
o    Gunakan bahan-bahan yang segar untuk menyediakan makanan dan elakkan makanan yang dijeruk atau diawet.
o    Gabungkan pelbagai jenis sayuran yang beraneka warna dan bentuk untuk mendapat hidangan yang lebih sihat dan kelihatan lebih menarik.
o    Pelbagaikan kaedah masakan dengan cara memanggang, mengukus, merebus dan menggoreng tanpa minyak. Kurangkan hidangan bergoreng terutamanya yang disaluti tepung.
 

 8.    TIPS MENINGKATKAN PENGAMBILAN SERAT DI BULAN PUASA

Kesesuaian makanan yang mengandungi tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, roti atau biskut wholemeal dan kekacang kurang diambil di bulan puasa. Ini kerana, makanan ini biasanya kurang mendapat perhatian kita jika dibandingkan dengan makanan-makanan lain yang dijual di pasar Ramadhan. Namun begitu, pengambilan serat adalah penting untuk mencegah masalah sembelit terutamanya di bulan puasa. Sayur juga boleh memberi rasa kenyang dan boleh membantu mengawal berat badan. Buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dijadikan sebagai hidangan yang berkhasiat di bulan puasa. Berikut adalah panduan untuk meningkatkan pengambilan serat di bulan puasa.
o    Ketika berbuka puasa, makan 3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah tanpa gula, 1 mangkuk sup sayur campur serta 1 atau 2 keping roti tinggi serat.
o    Ketika makan malam, ambil sayur campur dan sebiji buah berserta makanan yang lain.
o    Ambil buah-buahan sebagai makanan lewat malam.
o    Bersahurlah dengan bijirin sarapan seperti oats, sup sayur ataupun buah-buahan.
o    Tambah kekacang seperti kacang dhal, kacang kuda, kacang soya atau kacang pis ke dalam masakan.

 
9.    TIPS MENINGKATKAN PENGAMBILAN AIR DI BULAN PUASA

Walaupun berpuasa, kita perlu mengambil 6-8 gelas air sehari. Air adalah penting untuk fungsi badan yang sempurna. Pengambilan air yang mencukupi juga perlu untuk mencegah sembelit. Kekurangan pengambilan air boleh mengakibatkan kita keletihan. Jika boleh, utamakan air kosong. Namun begitu, kita juga boleh mengambil air dalam bentuk jus buah-buahan ataupun susu rendah lemak. Elakkan pengambilan air manis yang mengandungi pewarna dan perisa tiruan. Bagi berbuka puasa, adalah digalakkan menyediakan sendiri air minuman di rumah kerana ia lebih terjamin kebersihannya. Selain daripada minum air, kita juga boleh meningkatkan pengambilan cecair dengan mengambil sup sayur atau jus buah-buahan. Berikut adalah beberapa cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengambilan air:
o    Minum 2 gelas air sewaktu berbuka. Ini termasuklah jus buah-buahan ataupun susu rendah lemak.
o    Minum 2-3 gelas air sebelum tidur.
o    Minum 2 gelas air sewaktu bersahur.

 
 10.TIPS MENYEDIAKAN MAKANAN SEWAKTU BERSAHUR

Kebiasaannya lebihan makanan sewaktu berbuka puasa akan dihidangkan sebagai hidangan untuk bersahur. Amalan ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga menyenangkan kaum ibu yang terpaksa bangun awal untuk menyediakan hidangan sahur. Ini boleh dilakukansekiranya makanan tersebut disimpan dengan cara yang betul dan selamat. Namun begitu, adalah lebih baik sekiranya kita menyediakan makanan yang segar dan baru dimasak untuk bersahur. Ini kerana, sekiranya lebih makanan sewaktu berbuka dihidang, dikhuatiri ia telah tercemar dan akan mengakibatkan keracunan makanan. Makanan yang telah terdedah di suhu bilik melebihi 4 jam adalah tidak selamat untuk dimakan. Tambahan pula, menggoreng semula makanan akan menyebabkan tambahan kalori kerana penggunaan minyak yang berulang. Makanan untuk bersahur tidak perlu terlalu rumit untuk disediakan. Makanan seperti sandwic, bubur nasi, oat, bijirin sarapan pagi, roti bersalut telur, makaroni goreng, spageti, buah-buahan serta sup seperti sup sayur ataupun sup bebola ikan yang ringkas boleh dijadikan hidangan bersahur yang sihat. Selain daripada itu, pastikan juga buah-buahan dihidangkan sewaktu bersahur. Bagi minuman pula, lebihkan pengambilan air kosong dan kurangkan penggunaan gula atau susu pekat manis. Pengambilan teh dan kopi tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan melalui air kencing.
 

 11. TIPS MENGGALAKKAN ANAK MAKAN SEWAKTU BERSAHUR

Amalan berpuasa bagi anak-anak perlu dipupuk sejak kecil lagi. Sesetengah anak-anak begitu teruja untuk menjalani ibadah puasa. Namun begitu, apa yang menjadi masalah adalah apabila bangun bersahur. Ini kerana kebanyakan kanak-kanak memang susah untuk bangun bersahur di awal pagi. Ada juga anak-anak yang susah untuk makan kerana biasanya mereka kurang berselera untuk makan di waktu pagi. Bagi mengatasi masalah ini, beberapa tip berikut boleh dijadikan panduan:
o    Sediakan masakan panas untuk bersahur. Biasanya, masakan panas boleh menambahkan selera anak-anak.
o    Masakkan makanan kegemaran anak-anak. Jika boleh, tanya dahulu apa yang anak-anak anda ingin makan sewaktu bersahur.
o    Pelbagaikan jenis masakan. Anak-anak cepat merasa jemu dengan masakan yang sama setiap hari.
o    Sediakan masakan berkuah seperti sup kerana ianya lebih mudah dimakan dan mengenyangkan
o    Elak menyediakan masakan yang pedas dan berempah. Ini boleh mengakibatkan ketidakselesaan sewaktu berpuasa di siang hari.
o    Galakkan anak-anak mengambil buah-buahan dan minum banyak air sewaktu bersahur.
 

 12.TIPS BERSAHUR BAGI ORANG BUJANG

Bagi orang bujang, waktu sahur mereka adalah sebelum tidur. Kebanyakan daripada mereka suka mengambil makanan lewat malam sebelum tidur sebagai makanan untuk bersahur. Makanan seperti burger, nasi goreng dan mee segera sering kali menjadi pilihan utama bagi mereka. Ini kerana ia senang didapati, ringkas dan mudah didapati. Kebanyakan orang bujang juga susah untuk bangun bersahur di awal pagi. Oleh itu makanan yang diambil sebelum tidur akan dianggap sebagai sahur. Walau bagaimanapun, makanan ini tidak dapat membekalkan cukup tenaga untuk kita berpuasa keesokan harinya. Waktu sahur yang paling baik adalah sekurang-kurangnya ½ jam sebelum waktu imsak. Oleh itu, jika boleh pastikan anda bangun sahur di awal pagi. Ini kerana,. Bersahur di awal pagi boleh mengurangkan keletihan dan kehilangan tenaga sewaktu berpuasa. Anda boleh mengambil makanan ringkas seperti roti, sandwic, ban, oats, telur rebus, bijirin sarapan pagi ataupun buah-buahan sewaktu bersahur. Jika terlalu malas untuk memasak dan ingin makan mi segera pastikan mi tersebut ditambah dengan sumber protein seperti telur atau ikan bilis dan sayur-sayuran seperti sawi atau kobis. Pastikan anda mengambil air yang mencukupi untuk mengelakkan kekeringan.

Semakan Akhir : 09 Ogos 2010 
Penulis : Zalma bt. Abdul Razak
               Surainee bt. Wahab
               Yuhanis Auri bt. Abd. Kasim

Kredit : PortalMyHealth




          
    










Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.