SLIDER

gembira
Showing posts with label gembira. Show all posts

Duit Raya Beri Motivasi, Didik Amalan Sedekah

14 Apr 2024



AIDILFITRI disambut hari ini, menjadi kemuncak kepada ibadat puasa sebulan pada Ramadan. Lazimnya, Aidilfitri diraikan penuh kemeriahan.

Daripada deretan persiapan serba baharu seperti pakaian dan kuih-muih hingga aneka juadah makanan terhidang. Golongan paling gembira tentulah kanak-kanak kerana inilah peluang menziarahi sanak-saudara dan jiran tetangga, di samping peluang mendapat duit raya dari tuan rumah.

Namun, wujud polemik dalam masyarakat mengenai pemberian duit raya kepada kanak-kanak ketika sambutan Aidilfitri.

Dari aspek positif, amalan ini sebahagian ibadah bersedekah disulami dengan tradisi baik atau uruf sahih dalam bentuk pemberian duit raya. Bersedekah adalah lanjutan amalan dilakukan dalam Ramadan.

Ia juga dapat membuka ruang interaksi kanak-kanak dengan komuniti kejiranannya. Pada hari biasa, rutin mereka hanya dalam lingkungan rumah-sekolah sahaja dan tidak terdedah jiran sekeliling.

Pemberian duit raya turut menggembirakan kanak-kanak ketika hari raya. Ketika sebelum era pandemik COVID-19, masing-masing berlumba membuat kutipan terbanyak.

Duit diterima biasanya dibelanjakan di kedai berhampiran, sekali gus secara tidak langsung menggerakkan ekonomi setempat. Selain itu, ada juga menyimpan duit diterima.

Namun, aspek negatif yang menjadi pertimbangan golongan menolak amalan ini adalah ia sebahagian didikan bersifat materialistik. Kanak-kanak diajar mengharapkan duit daripada tuan rumah, bukannya menziarahi jiran untuk saling mengenali dengan ikhlas.

Malah, pemberian ini dikatakan membuka ruang kepada gejala rasuah kemudian hari kerana mereka dididik mengharapkan ganjaran orang lain disebabkan berpuasa.

Ibaratnya, ia proses sosialisasi rasuah dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, terdapat dakwaan amalan ini menambah beban kewangan pemberi kerana seolah-olah menjadi kewajipan memberi duit raya ketika sambutan Aidilfitri.

Ada juga mempertikaikan sedekah selepas Ramadan yang kurang fadilatnya berbanding Ramadan. Mereka memilih untuk memberi duit raya ketika Ramadan.

Di samping itu, tradisi ini juga didakwa meniru budaya kaum lain, iaitu tradisi angpau masyarakat Cina ketika menyambut Tahun Baharu Cina. Peniruan ini dikaitkan unsur tasyabbuh (penyerupaan) dilarang dalam Islam.

Pada pandangan penulis, tradisi sampul raya atau pemberian duit raya sebahagian amalan sedekah digalakkan dalam Islam.

Anjuran amalan ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT: "Dan belanjakanlah sebahagian apa Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang antara kamu; lalu ia berkata, "Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) aku sampai waktu dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang soleh." (Al-Munafiqun: 10)

Begitu juga hadis Nabi SAW: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, sedekah apakah paling besar pahalanya?"

Baginda menjawab: "Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menunda-nundanya hingga tiba ketika nyawamu berada di tenggorakanmu. Lalu kamu berkata, si fulan begini (punya ini) dan si fulan begini. Padahal harta itu milik si fulan. (HR Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis itu, jelas amalan bersedekah dianjurkan dalam Islam, tanpa terikat masa atau bulan tertentu. Setiapnya ada ganjaran ditentukan Allah SWT.

Selain itu, pemberian duit raya tujuannya tidak lain untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak berpuasa dan menziarahi rumah jiran. Ia membuka ruang kepada saling kenal-mengenali.

Tradisi ini biasanya dilakukan hingga pada usia tertentu sahaja. Apabila meningkat remaja, mereka akan rasa malu menziarahi jiran bagi mendapatkan duit raya.

Dalam dakwaan sosialisasi rasuah, tiada bukti jelas menunjukkan hubungan antara pemberian duit raya ketika zaman kanak-kanak dengan penerimaan rasuah apabila dewasa.

Ini kerana kanak-kanak hanya memikirkan keseronokan mengumpul duit untuk membuat simpanan dan perbelanjaan. Perbuatan menerima sampul rasuah bukanlah kebiasaan umum orang Islam masa kini. Sebaliknya motivasi penerimaan rasuah atau sampul ini dipengaruhi pelbagai faktor lain.

Dalam dakwaan peniruan dengan budaya kaum lain, asasnya terdapat perbezaan jelas antara kedua-duanya. Dalam amalan pemberian angpau, ia dikaitkan beberapa cerita legenda Cina.

Antaranya, azimat melindungi kanak-kanak daripada gangguan hantu Sui ketika menjelang Tahun Baharu Cina. Tidak semua orang boleh memberi angpau. Hanya orang sudah berkahwin boleh memberi kerana dianggap sudah dewasa.

Bagi yang sudah dewasa tetapi belum berkahwin tetap boleh menerima angpau. Ini kerana angpau juga menjadi lambang pembawa kebaikan termasuk jodoh. Duit diberikan mesti baharu dengan jumlah genap, selain daripada angka empat.

Masyarakat Cina menganggap pemberian sampul merah untuk mendapat kebaikan dan nasib baik sepanjang tahun. Jelasnya, kedua-dua amalan pemberian duit raya ini disandarkan pada latar berbeza.

Polemik juga ditimbulkan berkaitan tradisi ini berkaitan dengan fadilat bersedekah. Ini kerana ganjaran pahala berlipat kali ganda bagi amalan bersedekah pada Ramadan berbanding Syawal. Justeru, pemberian duit raya dilakukan dalam Ramadan.

Hakikatnya, boleh saja duit raya diberi pada Ramadan, tetapi kanak-kanak hanya menziarahi jiran tetangga pada 1 Syawal. Malah, amalan pemberian sedekah ini kesinambungan daripada apa diamalkan dalam Ramadan.

Ini kerana amalan bersedekah bukan hanya terhad dilakukan pada Ramadan semata-mata.

Begitu juga pandangan menganggap pemberian duit raya sebagai kewajipan selepas tradisi itu semakin subur dibudayakan dalam masyarakat setiap kali hari raya.

Bagi mereka pemberian ini membebankan. Jika dilihat dalam pengamalannya, tiada batas pemberian minimum dan maksimum ditetapkan asalkan seikhlas hati dan dapat menghiburkan hati penerima.

Sifat berkira ini bertentangan dengan galakan sedekah dianjurkan Islam. Tidak perlu rasa terbeban jika tidak mampu disebabkan tiada paksaan.

Bagaimanapun, dalam suasana meraikan sambutan Aidilfitri dengan pembudayaan norma baharu ketika pandemik COVID-19, amalan pemberian duit raya boleh memanfaatkan pelbagai teknologi ditawarkan terutama berbentuk tanpa sentuhan.

Antaranya, aplikasi DuitNow dan QRPay ditawarkan pihak bank, pemindahan terus ke dalam bank akaun penerima dan kredit e-dompet.

Justeru, amalan pemberian duit raya selari dengan Islam kerana walaupun ia bernuansakan tradisi, ia bertitik tolak daripada amalan sedekah. Tegasnya, tidak semua tradisi masyarakat setempat itu tidak baik (fasid). Bahkan selain dapat memperoleh ganjaran pahala, ia juga dapat menceriakan pihak menerima duit raya terutama kanak-kanak.

Kredit : Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

Dalam Dilema Apabila Digelar Anak Emak

12 Jan 2023



Aku telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak. Aku tidak tahu samada aku ini “anak emak” atau tidak. Rakan-rakan sekeliling ada menggelarkan aku sebagai anak emak sebab mereka melihat dalam segenap hal aku lebih mementingkan ibu berbanding isteriku dan anak-anak. Bagi aku, ibu adalah segala -galanya, konsep yang aku pegang sejak kecil lagi adalah ibu ku syurga ku.


Apa sahaja perkara yang menggembirakan hati ibu ku, akan aku lakukan dengan segera tanpa memikiran apa kepentingan orang lain walaupun isteri sendiri dan ahli keluarga yang lain. Sekecil-kecil perkara sebagai contoh pergi ke kedai membeli barangan dapur sehingga ke sebesar-besar perkara akan saya lakukan demi menjaga dan menggembirakan hati seperti menunaikan permintaan ibu untuk melancong keluar negara walaupun saya sendiri tidak pernah merasa bercuti ke luar negara.

Aku harus bagaimana agaknya?

Ahli Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Md. Zain menerangkan bahawa mengikut teori yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud secara semulajadinya, anak lelaki sememangnya lebih cenderung untuk rapat dengan ibu manakala anak perempuan pula lebih senang untuk bersama bapa.

Anak emak biasanya merujuk kepada seorang anak lelaki yang mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ibunya. Hubungan kuat ibu dan anak itu terbina sejak dari kecil lagi sehingga meningkat dewasa. Perwatakan dan personaliti mereka banyak dipengaruhi oleh ibu mereka. Ada di antara anak emak kekal perwatakan mereka sehingga meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.

Perwatakan dan Keperibadian Anak Emak

Seorang anak lelaki yang digelar sebagai ‘anak emak’ kebiasaanya dilihat sebagai seorang yang sangat rapat dengan ibunya, bersifat penyayang, pengasih, berbudi bahasa, sopan santun, mengambil berat terhadap ahli keluarga, menghormati orang tua serta pandai menjaga hati ibu bapa.
Wanita melihat lelaki ‘anak emak’ ini adalah calon suami yang baik kerana berpendapat bahawa lelaki ‘anak emak’ akan menjaganya sebagai seorang isteri sebagaimana dia menjaga ibunya. Tetapi ada juga wanita berpandangan bahawa lelaki ‘anak emak’ sukar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isterinya dalam memberikan kasih sayang yang adil.


Gaya Keibu–bapaan yang Mempengaruhi Perkembangan Anak Emak

1.    Ibu Aktif – Gaya keibubapaan secara tidak langsung mempengaruhi pembinaan karakter dan personaliti anak emak. Kajian Maccoby, E.E. (1992) mendapati bahawa Ibu yang terlalu dominan dalam membesarkan anak-anak akan mempengaruhi perkembangan psikologi dan emosi kanak-kanak tersebut. Begitu juga dengan sifat Ibu yang terlalu bersifat pelindung (protective) kepada anaknya juga dapat memberi kesan kepada pembentukkan peribadi serta emosi anak tersebut.
2.    Bapa Pasif – Ikatan perhubungan antara anak dan ibu terlalu kuat sehingga setiap perkara si anak lelaki akan merujuk kepada ibu berbanding ayah dalam memberikan pendapat dan menjawab persoalan yang timbul. Di dalam hal ini si ayah mungkin tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut.
3. Kadang kala karakter Si ayah yang terlalu garang sehingga membuatkan anak lelaki takut untuk berdampingan dengan ayah dan lebih selesa berinteraksi bersama ibunya.


Adakah Anda Anak Emak?

Ya jika anda:
  • Berhubungan dengan ibu lebih rapat berbanding bapa
  • Lebih selesa menceritakan segala hal peribadi dengan ibu
  • Bergantung sepenuhnya kepada ibu dari segi membuat keputusan dan perancangan
  • Mempunyai emosi yang lebih sensitif jika ada isu berkaitan dengan ibu

Dilema ‘Anak Emak’

1. Dilema Tingkahlaku:Anak emak setengahnya lebih pasif dalam tingkahlaku serta perhubungan sosial. ‘Anak emak’ akan merujuk kepada ibunya untuk apa jua tindak tanduk yang mereka akan lakukan. Mereka ini agak sukar untuk berdikari.
2. Dilema Pemikiran: sukar dalam membuat keputusan dan perancangan dengan baik, ini kerana jjika sebelum ini segala perancangan dan tindakan yang diambil adalah bergantung sepenuhnya oleh pengaruh ibu.
3.    Dilema Emosi Anak Emak:Emosi ‘anak emak’ mudah tersinggung dan sensitif dengan isu-isu yang remeh. Mereka lebih peka kepada emosi ibunya berbanding isterinya sendiri. Emosi dalam menyalurkan kasih sayangnya kepada antara ibu dan isteri.

Masalah yang dihadapi Anak Emak

1. Konflik dalam perhubungan: Menurut pandangan Kaunselor Berdaftar , Tuan Hj Hushim bin Hj. Salleh berkata, karakter yang dimiliki oleh  ‘anak emak’ adalah positif seperti hubungan rapat dengan ibu, mengambil berat dan bertanggungjawab. Akan tetapi konflik mungkin timbul bagi ‘anak emak’ jika karakter itu terbawa-bawa ke alam rumahtangga.
2.   Berkongsi kasih:Ianya dapat dilihat apabila suami ‘anak emak’ tidak dapat memberikan kasih sayang yang adil antara ibu dan isterinya, segala hal urusan rumahtangga akan di kongsi bersama ibunya serta takut untuk mengambil keputusan dan tindakan sendirinya.
3. Bimbang jatuh hukum derhaka kepada ibu: patuh dan tunduk kepada ibu bapa  merupakan satu tuntutan dalam agama manakala keseimbangan kasih sayang dalam perhubungan suami isteri juga adalah sesuatu yang perlu untuk menjamin keharmonian rumah tangga.

Saranan kepada ‘Anak Emak’

1. Sedar Diri – menyedari dan mengakui bahawa anda ada memiliki perwatakan sebagai ‘anak emak’ dan menerima keadaan tersebut dengan hati yang terbuka.
2. Ubah cara hidup – lakukan perubahan keatas persepsi diri dan perwatakan ‘anak emak’ yang dibawa demi kesejahteraan emosi dan tingkahlaku.
3. Positif mental dan emosi  sentiasa positif untuk melakukan perubahan agar hidup anda lebih harmoni untuk kedua-dua belah pihak terutamanya dalam perhubungan suami isteri.
4.    Memahami kepentingan antara dua pangkat ibu & isteri – ibu dan isteri masing-masing  mempunyai hak terhadap anak dan suaminya, adalah menjadi tanggungjawab anak/suami untuk berlaku adil terhadap keduanya. Perlu faham keutamaan sepertimana tuntutan agama yang menggariskan bahawa ibu perlu diberi keutamaan. Suami perlu membantu isteri faham hiraki ini dari perspektif agama.
5.   Perbincangan antara kedua belah pihak – jadikan kebiasaan untuk suami isteri berbincang akan hal rumahtangga bersama-sama dan tidak menyerahkan segala keputusan pada ibu.
6.  Belajar berdikari dan matang – cubalah untuk berdiri diatas kaki sendiri dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Jangan risau dengan keputusan yang di ambil, jika salah; belajar dari kesilapan tersebut.

Rujukan:
1.  Maccoby, E.E. (1992). The Role Of Parents In The Socialization of Children: An Historical Overview. Developmental Psychology, 28, 1006-1017
2. Ustazlove (2011). Soal Jawab: Antara Ibu dan Isteri. Retrieved November 4, 2014, from http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/”>http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/
3.   Jaya, Dr.Juanda (2011, Oktober 6). Rumah Tangga: Suami Anak Emak, Lupa Hak Isteri. Retrieved November 5, 2014, from http://www.drjuanda.com/?p=572″>www.drjuanda.com/?p=572
4.    Naim, Muhammad (2013). Renungan Mukmin: Apa Pandangan Anda Mengenai Lelaki Anak Emak?. Retrieved November 6, 2014, from http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/”>http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/
5.    Narayanan, Jagatheswary (2010, May 2010).  Pesona: Melayan Suami ‘Anak Emak’. Akhbar KOSMO. Retrieved from http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Semakan Akhir
:
6 Januari 2017
Penulis
:
Fauzie bin Musa
Akreditor
:
Ruhana binti Mahmod

Kredit : PortalMyHealth



Esok Dah Puasa...Ini 5 Moment Lucu Yang Anda Boleh Relate Dalam Bulan Ramadan…

2 Apr 2022



Bulan Ramadan merupakan bulan suci yang dinantikan umat Islam seluruh dunia. Pada bulan inilah kita diajak untuk memperbanyak amal ibadat selain menahan lapar dan dahaga. Nak kejar keberkatan bulan yang mulia ni. Bukan senang, tahun depan belum tentu jumpa!

Tapi disebabkan bulan puasa ni hanya setahun sekali, selalu terjadi moment lucu sama ada anda terlupa sedang berpuasa atau tak tahan sangat nak berbuka puasa. Kami nak share 5 ragam yang anda boleh relate bila tibanya bulan Ramadan. 


1. TERLAJAK NAK SAHUR, SEDAR JE DAH AZAN SUBUH.

Disebabkan waktu bersahur adalah pada awal pagi, kami yakin anda mesti pernah terlajak tidur sampai tak bersahur. Lagi sedih kalau sedar masa tengah azan Subuh. Rasa sedih tu tak boleh nak cakap la.

Bagi anda yang dah biasa berpuasa, mungkin anda rasa takde hal pun kalau tak bersahur. Tapi kalau jenis yang berpuasa masa bulan Ramadan je, mesti rasa nak berguling tunggu waktu berbuka kan?  Nasiblaaa…


2. DAH PLANNING AWAL NAK BERBUKA APA

Baru pukul 10 pagi dah fikir nak masak ke beli je untuk berbuka. Hmmm.. Perangai apa ni? Mungkin setakat planning awal takpe lagi, tapi kalau sampai pengaruh orang untuk sama-sama usha makanan untuk berbuka puasa, sampai anda pon lapar.

Lagi menyakitkan hati kalau anda tengok makanan lepas tu mengadu lapar. Ni boleh bawak gaduh… Baik mengaku anda ada buat tak perangai macam ni?


3. HANTU BAZAR RAMADAN

Puasa dan bazar merupakan 2 perkara yang tak boleh dipisahkan. Setiap kali tibanya bulan puasa, bazar Ramadan lah yang paling dinantikan. Kat sinilah anda boleh jumpa kuih-muih tradisional, ayam bakar, ayam golek, nasi ayam penyek dan pelbagai jenis air kat satu tempat. Harga yang dijual pon berpatutan.

Alang-alang bulan puasa ni mengajar kita erti kesabaran dan menahan nafsu, anda jangan la membazir semasa berbelanja. Beli ala kadar je, sekadar kenyangkan perut jangan nak over lak ye..


4. ASYIK TENGOK JAM… MACAM BARU BELAJAR PUASA

Jangan ingat dah besar tak buat perangai. Makin tua la kadang-kadang perangai  berpuasa mengalahkan budak-budak. Asyik tengok jam je, sebab tak sabar nak tunggu waktu nak berbuka.

Paling parah bila tinggal sejam dua sebelum berbuka, asyik tanya pukul berapa. Lepas tu, gaya lapar macam sebulan tak makan. Siapa ada kawan macam ni? Anda memang perlukan kesabaran yang tinggi nak layan mereka.


5. PERANGAI BILA TEGUK AIR WAKTU BERBUKA, KALAU BOLEH SATU JAG NAK HABISKAN..

Lepas seharian berpuasa, waktu berbuka pastinya dinantikan semua. Dapat pula air manis dan berais, pastinya dapat memberikan rasa lega. Dapat pula minum air favourite memang layan laaa. Kalau boleh nak ada 5-6 jenis air depan mata sewaktu berbuka....Kemudian bersiap-sedialah senak perut dan nak makan nasi pun dah tak dapat masuk..




Adab Ketika Ziarah Pesakit Kanser, Jangan Sampai Mengguris Perasaan !!

7 Feb 2022

Mendengar ahli keluarga atau rakan dilanda musibah penyakit kanser memang membuatkan hati kita turut bersedih. Ia penyakit yang mengerunkan kerana mungkin saja tiada rawatan untuk menanganinya. Meski bersimpati dan mahu menziarah tapi dalam masa yang sama ramai yang tak tahu bagaimana untuk berdepan dengan pesakit kanser ini. Bimbang perbuatan atau tutur kata kita menyentuh hati pesakit kanser yang sememangnya sedang berduka. Supaya apa yang kita ucap atau lakukan tidak membuatkan mereka terasa berikut adalah cadangan yang dikongsi oleh cancer survivor sendiri yang juga aktivis Cancer Survivor Malaysia, Zuraini Kamal.


Bagaimana Menyantuni Pesakit Kanser 

Saya ingin berkongsi sedikit `cadangan’ Bagaimana Nak `menyantuni’ Pesakit Kanser. Apa yang nak diperkatakan apabila menziarahi saudara atau sahabat kita yang kena kanser? Bagaimana kita dapat membantu sahabat & keluarga pesakit kanser? 


1. Niat Ukhuwah 

Ziarah dengan niat ukhuwah `lillahita’ala’ (untuk mendapat redha ALLAH SWT) – jangan menjadi doktor (walaupun anda seorang doktor perubatan) 

~Juz Be A Friend! 

Tak perlu bagi Nasihat – tak perlu bagi cadangan tentang pemakanan ataupun rawatan (kecuali jika pesakit minta pandangan dan nasihat anda. Adakalanya kami dah letih mendengar `medical advice’ dari Onko so bila datang berziarah secara santai please talk about something else, sembang santai je. 

~Be A Shoulder To Cry On 

Kalau dah tak de idea nak sembang .. juz LISTEN to us! Berilah ruang kepada Pesakit Kanser bercerita meluahkan perasaan. Dan anda hanya perlu mendengar dengan senyuman.


JANGAN TANYA TAHAP BERAPA TAHAP 1 – TAHAP 2 – TAHAP 3 – TAHAP 4! BAGI KAMI PESAKIT KANSER … TAHAP ATAU STAGE SEMUA SAMA. SEMUA STAGE MENAKUTKAN., KANSER IS STILL CANCER! 


2. Bawalah Buah Tangan Atau Pun Buah-Buahan 

Bila datang ziarah moleklah jangan datang hanya dengan senyum & doa. Bawaklah sesuatu utk mengembirakan hati pesakit dan keluarga mereka. Siapa tak suka menerima hadiah? Pemberian itu adalah tanda `ingatan & kasih sayang kita’. In sha ALLAH dapat Pahala tau.


3. Seeloknya Buatlah `Tabung Prihatin’ 

Kutiplah sedikit sumbangan Bantulah kewangan pesakit kanser dan keluarga mereka. Cancer is very expensive illness tau. Kalau ada rakan Wassap grup – 30 org kalau sorang menyumbang RM10 dah kumpul RM300 kan. Apa guna ada Grup Whatsaap kalau ahli dalam kumpulan sakit kita tak boleh pakat bantu sorang sikit kan. 


4. Nak Bergambar? 

Seeloknya adab berziarah SILA mohon izin sebelum mbik gambar dan maklumkan jika gambar ingin di Upload di FB/IG. Berilah ruang pesakit untuk `bersiap dan jagalah aurat mereka’. Saya dulu tak suka `gambar sakit diambil’ Saya sentiasa mahu dilihat `cantek & ceria’


5. Sebagai Jiran: Sentiasa Ambil Berat 

Jika jiran adalah pesakit kanser tanyakan keperluan mereka. Pengurusan anak-anak & pemakanan pesakit kanser. Pernah seorang sahabat terpaksa meninggalkan isterinya terlantar sakit di rumah seharian kerana beliau terpaksa pergi bekerja.


6. Jangan Jadi Ustaz/ Ustazah 

Tolong jangan kata kanser itu kifarah dosa. Tidak usahlah dok bercakap tentang dosa/pahala. Kanser bukan satu hukuman dari Tuhan. Nabi Ayob a.s juga Sakit berpuluh tahun – adakah Baginda ditimpa musibbah penyakit kerana beliau berdosa? Ingatlah kanser bukan hukuman Tuhan. Kanser bukan kematian kerana ramai kami yang `survive’ dan menjalani hidup normal seperti anda semua. Ketahuilah ramai antara kami yang sembuh setelah menjalani pembedahan dan rawatan Radio & Kimo. Me … i m ONE of them!


7. Kanser Bukanlah Kematian

Mati merupakan pertemuan dengan ALLAH SWT. Semua kita bercerita tentang Nak masuk Syurga. Bagaimana kita akan masuk syurga jika kita tidak melalui Kematian. La Tahzan .


Kredit: Zuraini Kamal, Founder Cancer Survivor Malaysia 

Kredit: VanillaKismis


Sebaiknya Tinggal Bersama Mertua Atau Berasingan ?

2 Dec 2021



Soalan

Assalamualaikum SS Dato' Mufti. Saya sudah dua tahun lebih berkahwin namun suami masih gagal menyediakan tempat tinggal.

Kami tinggal di rumah ibu mertua (ibu tunggal), bersama adik ipar perempuan dan suaminya. Saya sentiasa kena menutup aurat kecuali dalam bilik saya. Isunya kami cuba mencari rumah sewa tapi tak dapat. Apakah boleh kami keluar rumah untuk tinggal berasingan dari ibu?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan jawapan ini dengan mengertikan hakikat perkahwinan seperti nas Ilahi:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb berkata: Islam memandang rumah tangga sebagai tempat kediaman, keamanan dan kedamaian dan memandang kepada hubungan suami isteri sebagai hubungan kasih mesra dan menegakkan hubungan ini di atas pilihan yang bebas supaya ia dapat berlangsung di atas asas saling mengerti, saling bersimpati dan saling berkasih sayang. Maka Islam inilah juga yang berkata kepada para suami:

فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّـهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya“Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Ini adalah supaya mereka mengekalkan hubungan suami isteri mereka dan tidak terus memutuskannya dengan sekali fikir sahaja atau dengan desakan keinginan yang pertama sahaja, malah ia harus memelihara kepentingan yayasan insaniyyah yang agung ini agar tidak terdedah kepada ledakan keinginan sentimen yang berubah-ubah dan kepada ketololan nafsu yang terbang di sana-sini. (Rujuk Tafsir fi Zilal al-Quran, 3/234)

Berkenaan dengan permasalahan Puan, saya amat bersimpati dan saya ringkaskan jawapan dalam beberapa poin berikut:

  • Sepatutnya, apabila pasangan sudah berkahwin dan mempunyai kemampuan untuk hidup bersama selain daripada ibubapa dan keluarga, maka inilah yang terbaiknya. Ini kerana dengan hanya berpasangan, hak privasi dan membina kehidupan dengan lebih selesa akan terwujud. Tambahan pula, tanpa campur tangan mana-mana pihak.
  • Antara makna kemampuan itu adalah mampu menyediakan tempat tinggal khusus bagi isteri sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ

MaksudnyaTempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

(Surah al-Talaq: 6)

  • Pepatah Melayu menyebut: “Biar banyak rumah daripada banyak orang dalam rumah,” dengan maksud dengan ramainya anggota dalam sebuah rumah, maka ragam dan juga perangai akan berbeza yang boleh membawa kepada pertelingkahan jika tidak ditangani dengan sebaiknya.
  • Oleh kerana ibu sudah ada anaknya yang menjaganya, maka tidak lagi menjadi masalah untuk anak yang lain keluar daripada rumah tersebut. Yang penting, sentiasa memberi perhatian dan kecaknaan sama ada dari segi nafkah atau kasih sayang melalui ziarah serta hadiah dan juga nafkah. Bahkan dengan cara ini, perasaan kasih sayang dan penghormatan akan jadi lebih tinggi berbanding tinggal sebumbung di rumah.
  • Suami sewajarnya memahami hak isteri untuk ditempatkan, yang munasabah dengan status keisterian agar peranan masing-masing dapat dijelmakan dengan lebih baik dan jelas. Ini akan menatijahkan bahtera rumahtangga lebih bahagia.
  • Layanilah isteri dengan seterbaik mungkin. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya“Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh a-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

  • Kepada isteri hendaklah patuh dan berkhidmatlah kepada suami dengan seterbaik mungkin kerana dengan sifat isteri solehah dan pelaksanaan ibadat kepada Allah akan menatijahkan syurga buat isteri. Benarlah hadis daripada Abdul Rahman bin ‘Auf, Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya“Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya maka dikatakan kepadanya: “Masuklah syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1661), al-Tabarani dalam
al-Mu’jam al-Awsat (4598) dan Ibn Hibban (4237)

  • Elakkan daripada menjadi nusyuz kerana akibatnya amat buruk. Sebuah hadis Nabi SAW menyebut:

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى تُؤَدِّىَ حَقَّ زَوْجِهَا

Maksudnya“Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-Nya, seorang perempuan yang belum menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya.”

Riwayat Ahmad (4/381) dan Ibn Majah (1853)

  • Sentiasalah bermesyuarat dan berbincang antara suami isteri dalam membuat sebarang keputusan. Ini akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak. Bermesyuaratlah dengan cara yang baik. Benarlah firman Allah SWT:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”

(Surah Ali-Imran: 159)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.

Akhir kalam, sentiasalah berdoa antara satu sama lain agar rumahtangga Puan akan merasa harmoni dan elakkan daripada memberi tekanan kepada suami sehingga akhirnya niat yang baik boleh membawa akibat yang buruk. Lazimilah qiamullail serta berdoalah sepertimana yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Kredit: muftiwp

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.