SLIDER

duit poket
Showing posts with label duit poket. Show all posts

Duit Raya Beri Motivasi, Didik Amalan Sedekah

14 Apr 2024



AIDILFITRI disambut hari ini, menjadi kemuncak kepada ibadat puasa sebulan pada Ramadan. Lazimnya, Aidilfitri diraikan penuh kemeriahan.

Daripada deretan persiapan serba baharu seperti pakaian dan kuih-muih hingga aneka juadah makanan terhidang. Golongan paling gembira tentulah kanak-kanak kerana inilah peluang menziarahi sanak-saudara dan jiran tetangga, di samping peluang mendapat duit raya dari tuan rumah.

Namun, wujud polemik dalam masyarakat mengenai pemberian duit raya kepada kanak-kanak ketika sambutan Aidilfitri.

Dari aspek positif, amalan ini sebahagian ibadah bersedekah disulami dengan tradisi baik atau uruf sahih dalam bentuk pemberian duit raya. Bersedekah adalah lanjutan amalan dilakukan dalam Ramadan.

Ia juga dapat membuka ruang interaksi kanak-kanak dengan komuniti kejiranannya. Pada hari biasa, rutin mereka hanya dalam lingkungan rumah-sekolah sahaja dan tidak terdedah jiran sekeliling.

Pemberian duit raya turut menggembirakan kanak-kanak ketika hari raya. Ketika sebelum era pandemik COVID-19, masing-masing berlumba membuat kutipan terbanyak.

Duit diterima biasanya dibelanjakan di kedai berhampiran, sekali gus secara tidak langsung menggerakkan ekonomi setempat. Selain itu, ada juga menyimpan duit diterima.

Namun, aspek negatif yang menjadi pertimbangan golongan menolak amalan ini adalah ia sebahagian didikan bersifat materialistik. Kanak-kanak diajar mengharapkan duit daripada tuan rumah, bukannya menziarahi jiran untuk saling mengenali dengan ikhlas.

Malah, pemberian ini dikatakan membuka ruang kepada gejala rasuah kemudian hari kerana mereka dididik mengharapkan ganjaran orang lain disebabkan berpuasa.

Ibaratnya, ia proses sosialisasi rasuah dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, terdapat dakwaan amalan ini menambah beban kewangan pemberi kerana seolah-olah menjadi kewajipan memberi duit raya ketika sambutan Aidilfitri.

Ada juga mempertikaikan sedekah selepas Ramadan yang kurang fadilatnya berbanding Ramadan. Mereka memilih untuk memberi duit raya ketika Ramadan.

Di samping itu, tradisi ini juga didakwa meniru budaya kaum lain, iaitu tradisi angpau masyarakat Cina ketika menyambut Tahun Baharu Cina. Peniruan ini dikaitkan unsur tasyabbuh (penyerupaan) dilarang dalam Islam.

Pada pandangan penulis, tradisi sampul raya atau pemberian duit raya sebahagian amalan sedekah digalakkan dalam Islam.

Anjuran amalan ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT: "Dan belanjakanlah sebahagian apa Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang antara kamu; lalu ia berkata, "Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) aku sampai waktu dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang soleh." (Al-Munafiqun: 10)

Begitu juga hadis Nabi SAW: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, sedekah apakah paling besar pahalanya?"

Baginda menjawab: "Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menunda-nundanya hingga tiba ketika nyawamu berada di tenggorakanmu. Lalu kamu berkata, si fulan begini (punya ini) dan si fulan begini. Padahal harta itu milik si fulan. (HR Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis itu, jelas amalan bersedekah dianjurkan dalam Islam, tanpa terikat masa atau bulan tertentu. Setiapnya ada ganjaran ditentukan Allah SWT.

Selain itu, pemberian duit raya tujuannya tidak lain untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak berpuasa dan menziarahi rumah jiran. Ia membuka ruang kepada saling kenal-mengenali.

Tradisi ini biasanya dilakukan hingga pada usia tertentu sahaja. Apabila meningkat remaja, mereka akan rasa malu menziarahi jiran bagi mendapatkan duit raya.

Dalam dakwaan sosialisasi rasuah, tiada bukti jelas menunjukkan hubungan antara pemberian duit raya ketika zaman kanak-kanak dengan penerimaan rasuah apabila dewasa.

Ini kerana kanak-kanak hanya memikirkan keseronokan mengumpul duit untuk membuat simpanan dan perbelanjaan. Perbuatan menerima sampul rasuah bukanlah kebiasaan umum orang Islam masa kini. Sebaliknya motivasi penerimaan rasuah atau sampul ini dipengaruhi pelbagai faktor lain.

Dalam dakwaan peniruan dengan budaya kaum lain, asasnya terdapat perbezaan jelas antara kedua-duanya. Dalam amalan pemberian angpau, ia dikaitkan beberapa cerita legenda Cina.

Antaranya, azimat melindungi kanak-kanak daripada gangguan hantu Sui ketika menjelang Tahun Baharu Cina. Tidak semua orang boleh memberi angpau. Hanya orang sudah berkahwin boleh memberi kerana dianggap sudah dewasa.

Bagi yang sudah dewasa tetapi belum berkahwin tetap boleh menerima angpau. Ini kerana angpau juga menjadi lambang pembawa kebaikan termasuk jodoh. Duit diberikan mesti baharu dengan jumlah genap, selain daripada angka empat.

Masyarakat Cina menganggap pemberian sampul merah untuk mendapat kebaikan dan nasib baik sepanjang tahun. Jelasnya, kedua-dua amalan pemberian duit raya ini disandarkan pada latar berbeza.

Polemik juga ditimbulkan berkaitan tradisi ini berkaitan dengan fadilat bersedekah. Ini kerana ganjaran pahala berlipat kali ganda bagi amalan bersedekah pada Ramadan berbanding Syawal. Justeru, pemberian duit raya dilakukan dalam Ramadan.

Hakikatnya, boleh saja duit raya diberi pada Ramadan, tetapi kanak-kanak hanya menziarahi jiran tetangga pada 1 Syawal. Malah, amalan pemberian sedekah ini kesinambungan daripada apa diamalkan dalam Ramadan.

Ini kerana amalan bersedekah bukan hanya terhad dilakukan pada Ramadan semata-mata.

Begitu juga pandangan menganggap pemberian duit raya sebagai kewajipan selepas tradisi itu semakin subur dibudayakan dalam masyarakat setiap kali hari raya.

Bagi mereka pemberian ini membebankan. Jika dilihat dalam pengamalannya, tiada batas pemberian minimum dan maksimum ditetapkan asalkan seikhlas hati dan dapat menghiburkan hati penerima.

Sifat berkira ini bertentangan dengan galakan sedekah dianjurkan Islam. Tidak perlu rasa terbeban jika tidak mampu disebabkan tiada paksaan.

Bagaimanapun, dalam suasana meraikan sambutan Aidilfitri dengan pembudayaan norma baharu ketika pandemik COVID-19, amalan pemberian duit raya boleh memanfaatkan pelbagai teknologi ditawarkan terutama berbentuk tanpa sentuhan.

Antaranya, aplikasi DuitNow dan QRPay ditawarkan pihak bank, pemindahan terus ke dalam bank akaun penerima dan kredit e-dompet.

Justeru, amalan pemberian duit raya selari dengan Islam kerana walaupun ia bernuansakan tradisi, ia bertitik tolak daripada amalan sedekah. Tegasnya, tidak semua tradisi masyarakat setempat itu tidak baik (fasid). Bahkan selain dapat memperoleh ganjaran pahala, ia juga dapat menceriakan pihak menerima duit raya terutama kanak-kanak.

Kredit : Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

Jangan Hina Minah Kilang , Mat Kilang

10 Apr 2018


Nama aku Ana, aku berumur 25 tahun dan sudah bekerja di Sebuah kilang di Utara Tanah Air. Aku bukan graduan dari IIUM , tapi aku tergerak hati nak share satu cerita dengan korang semua.

Dulu masa aku habis SPM, aku duduk rumah sahaja tengok tv dan tunggu keputusan UPU keluar. Aku contact kawan-kawan aku masa sekolah dulu tanya khabar mereka, ternyata mereka baik-baik sahaja dan sementara menunggu tawaran sambung belajar; kebanyakan mereka bekerja di kilang-kilang dan pasaraya. Aku tak tahu apa yang merasuk fikiran, lantas mempersendakan mereka dalam hati aku. selamba sahaja aku cakap mereka tiada masa depan. Ya aku tahu, teruk nya aku.

Tak lama selepas itu, selang beberapa bulan, aku dapat tawaran masuk ke sebuah universiti Swasta di Selangor. Uni aku tu agak well known lah jugak. Di sana , aku ambil program Asasi setahun. Selesai sahaja program asasi aku itu, aku balik bercuti di rumah selama 3 bulan. Mak aku bising-bising sebab aku duduk sahaja, menghabiskan beras katanya. haha. lalu aku pun mengambil keputusan untuk bekerja.

Merata aku cari kerja, tapi semua reject aku atas alasan aku nak bekerja sekejap sahaja. Memang lah, aku cuma mahu kerja untuk 3 bulan sahaja. Aku hampa, tetapi masih lagi mahu mencari duit poket. Sekurang-kurangnya ada jugak la benda nak dibuat.

Satu petang, aku balik rumah dan mak cakap kat aku , “kilang tempat siti anak pak cik mail tu ada nak pakai operator.. cuba kamu mintak situ.. dapat la jugak duit untuk topup handphone..”

aku pun macam.. “eh… kilang?? apa kelas kerja kilang??” . Lalu mak aku berikan jelingan menusuk kalbu dia tu. aku pun pasrah je lah. Esoknya aku pergi ke kilang tu. Tak jauh dari rumah aku, 5 KM sahaja. Lalu aku jumpa siti di pondok guard, dan siti bawa aku menuju ke HR. di sini bermula cerita aku.

Aku perhati mereka yang duduk di dalam ofis, semua berpakaian segak. cantik. Mata masing-masing menghadap skrin monitor dan tangan ligat menaip tanpa peduli siapa pun yang lalu lalang. tak apa, ini baru first impression sahaja.

ketika di-interview, aku ditanya sama ada mahu bekerja sekejap sahaja atau lama ; dan pelbagai soalan diajukan. Selesai interview dan ujian . aku dibawa turun ke shopfloor. tempat dimana semua operator bekerja. Untung nasib aku kerana kilang aku ni ambil semua orang melayu bekerja, tiada satu pun orang asing. kebanyakannya Makcik-makcik.

aku dihantar ke Leader untuk dilatih selama 3 hari. Oh, kilang aku ni kilang automotif. selesai 3 hari latihan, baru aku dimasukkan ke dalam Team aku yang diketuai oleh En Nizam (supervisor aku) . Team aku ni ramai orang muda. katanya orang muda ini rajin dan cepat tangkap apa yang diajar. So aku rasa selesa lah.

Sepanjang bekerja di sana, aku berkenalan dengan beberapa orang kawan baru. Kebanyakan mereka graduan yang sedang menganggur dan menunggu pekerjaan tetap. kos mereka di universiti bukan biasa-biasa, ada yang civil engineering, medic, account, dan beberapa kos lagi aku tak ingat. dah mereka baru sahaja habis belajar. kebanyakan makcik2 dalam tu pulak saja je nak kerja sebab boring duduk rumah, anak takde ; masuk poli , Uni, etc.

3 bulan aku kerja kilang, hidup aku berubah 360. kalau selama ni aku pandang rendah kat orang, Tuhan warning aku. Dia jadikan aku dikalangan orang-orang yang aku pandang rendah tu. Hebat Allah Taala. 3 Bulan berlalu, aku berhenti kerja, sambung belajar masuk Degree. Lepas habis degree, setahun aku menganggur. cari kerja sana sini tak dapat-dapat. last-last aku buat keputusan untuk masuk balik dalam industri kilang-kilang ni.

Alhamdulillah, rezeki aku diterima masuk company sekarang ni. aku antara eksekutif termuda la dalam kilang ni. Umur 24 (2016). eksekutif lain2 semua macam berusia sikit. hehe. Team aku, bawah aku ada 40 orang perempuan Malaysia yg kerja dengan aku. 30 orang daripadanya budak-budak lepasan SPM. baru-baru ini, kan result SPM keluar. so Team aku terpaksa tutup kedai lah sebab 30 orang cuti hari result keluar tu. 

dan teka apabenda. 

esoknya diorang datang kerja, muka berseri je masing-masing. aku tanya apahal senyum-senyum ni. nak kahwin dah ker?? lepas tu diorang bagitahu lah result SPM diorang kat aku. mostly 4 A keatas wei. hahahah. apsal lah engkorang ni kerja kilang. diorang macam aku lah masa muda-muda dulu. kerja sebab nak cari duit poket je. bukan nak komited sangat pun.

Ternyata tanggapan aku terhadap pekerja kilang yang muda-muda ini bodoh belaka Tu SALAH SEKALI. tidak. mereka tidak bodoh. Mencari duit poket itu tidak bodoh. aku yang bodoh kerana terlalu awal judge diorang. Mungkin ini mindset yang orang2 tua selalu terapkan pada anak-anak yang kalau kau kerja kilang = kau bodoh. Pesan aku pada semua orang, tolong sangat-sangat jangan pandang rendah pada pekerja-pekerja kilang ni. Ya betul tempat kerja diorang tak se-Gah tempat kerja korang, tapi apa beza kau dengan dia? Makhluk Tuhan jugak.

coretan ni untuk motivasi semua pelajar lepasan SPM, penganggur dan pekerja kilang. aku pun pekerja kilang, tak ada apa yang dimalukan. Aku pernah jadi orang bawah, dan juga orang atas. Rezeki itu Tuhan yang tentukan. Usaha lebih, bersyukur, nanti Tuhan bagi lebih. insyaAllah. aku doakan semua pekerja (tak kisah la kerja apa pun) semoga terus sukses dan kental hidup di zaman Najib ni…

Assalamualaikum.

– Ana

Kredit : IIUMC



Jangan Letak Nama Anak Bawah Umur Sebagai Penama Atau Penerima Hibah Polisi Takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji

17 Aug 2017


Jangan letak nama anak yang masih bawah umur sebagai penama atau penerima hibah polisi takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji. Kalau anda bukan peguam syarie, bukan hakim syarie, bukan pegawai bicara pusaka, bukan pekerja di Amanah Raya, anda mesti tidak pernah terfikir akan siapa yang akan menjaga atau mengurus harta anak-anak anda jika ditakdirkan anda meninggal dunia ketika usia anak-anak masih di bawah 18 tahun. 

Atau suami secara spontan mengatakan isterilah yang akan menjaga harta anak-anak anda kerana mereka yang akan menjaga anak-anak anda nanti jika anda pergi dahulu. Jaga anak-anak, mungkin Ya. Tetapi menjadi penjaga harta bagi anak bawah umur mungkin tidak dari sudut undang-undang syarak. 

Sepintas perbualan dengan seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah kematian suaminya kira-kira 10 tahun yang lalu. Suaminya seorang guru di sebuah sekolah di Pontian, Johor, telah meninggal dunia kerana sakit pada ketika usia anak mereka masih kecil. Tanpa sempat membuat apa-apa perancangan harta pusaka. 

Oleh kerana Puan Imah seorang yang berkerjaya, biasa dengan urusan-urusan pejabat, Puan Imah telah menguruskan segala urusan harta pusaka arwah suaminya dari permohonan surat kuasa mentadbir, pembayaran hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang kad kredit dan hutang rumah sehinggalah pertukaran milik rumah dan kereta arwah atas nama waris diselesaikan. Lebih setahun juga urusan pusaka itu baru dapat diselesaikan. 

Namun Puan Imah agak terkejut dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah yang mengarahkan harta pusaka yang berhak diterima oleh anak perempuan mereka yang merangkumi wang simpanan, KWSP, ASB, Takaful dan sebagainya dari arwah suami diserahkan kepada Amanah Raya. Mahkamah tidak memberikan hak penjagaan harta anak tunggalnya yang ketika itu baru berusia enam tahun, ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu kandung anak tersebut yang melahirkan dan membesarkan, sihat akal dan tubuh badan, serta berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya. Tetapi kenapa mahkamah memutuskan dia tidak berhak menjaga harta pusaka yang sepatutnya diterima oleh anaknya? 

Disebabkan keputusan mahkamah itu, selama 10 tahun ini Puan Imah membesarkan anak dengan duit gajinya. Mujur dia bekerja dan duit gajinya hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas sara hidup mereka dua beranak. Walau bagaimanapun, ada masa-masa tertentu pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan dan perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan wang anaknya yang di bawah jagaan Amanah Raya.

Jadi Puan Imah perlu pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor Bahru untuk dikeluarkan sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan dijaga di syarikat tersebut untuk menampung kos perbelanjaan anaknya. Dalam dua minggu, biasanya permohonan akan diluluskan dan Puan Imah perlu kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil perbelanjaan yang telah diluluskan tersebut yang mana jarak rumah ke syarikat tersebut lebih kurang 80 kilometer. Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri ke Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga mahu menaiki pengangkutan awam ke Johor Bahru. 

Begitulah rutinya saban tahun selama 10 tahun ini dan rutin ini terpaksa diteruskan sehingga anak itu mencapai umur 18 tahun, hanya tinggal beberapa tahun saja lagi. 

"Ketahuilah suami bahawa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak-anak bawah umur secara automatik"

Kenapa isteri tidak mendapat hak penjagaan harga anak bawah umur secara terus?

Merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam:
"Bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada datuk lelaki di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah mertua isteri). Jika datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi yang dilantik oleh bapa kanak-kanak tadi."

Jika bapa tidak meninggalkan wasiat pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan diserahkan kepada Amanah Raya untuk dijaga sehingga anak mencapai umur dewasa. 

Begitu juga halnya bagi wang hasil polisi takaful, KWSP, ASB dan sebagainya yang mengamalkan konsep penamaan. Ramai yang meletakkan penama anak yang masih bawah umur dengan anggapan sekiranya berlaku kematian pada si ayah (pemegang polisi/pencarum/pemilik harta), wang dari sumber tersebut akan dapat kepada anak untuk mereka survive nanti. 

Namun berdasarkan undang-undang jika penama atau penerima hibah masih di bawah umur kompeten berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan diserahkan kepada Amanah Raya, bukannya diserah terus kepada anak yang masih bawah umur ataupun kepada isteri atau ibu anak tersebut. Boleh rujuk jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. 

Jadi, bagaimana isteri mahu survive membesarkan anak-anak bila suami tiada nanti? 

Semua sedia maklum, bahagian isteri dalam faraid suami adalah sebanyak 1/8 berbanding bahagian anak yang mengambil asobah (baki) faraid suami. Jadi sebagai isteri dan juga ibu kepada anak-anak, dengan 1/8 bahagian pusaka itulah ditambah dengan pendapatan isteri (jika ada) digunakan secara berjimat oleh si isteri untuk menampung perbelanjaan sara hidup anak-anak, perbelanjaan sekolah anak-anak, perbelanjaan hari raya anak-anak, menampung kos perubatan anak-anak dan sebagainya. 

Belum dikira lagi sara hidup isteri itu sendiri lagi. Tidakkah suami kasihan akan isteri anda yang terus setia mengorbankan diri dmei anak-anak anda bersendirian tanpa suami di sisi? Meletak ke tepi keinginannya untuk berhiasa dan bermewah-mewa demi mengutamakan keperluan anak-anak. Sehinggakan isteri sendiri tidak merasa 1/8 haknya dari pusaka suaminya. 

Oleh itu suami jangan alpa, jangan leka dan jangan ambil mudah. Islam telah menggariskan keperluan berwasiat untuk melantik penjaga harta bagi anak yang masih bawah umur. Rujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang jelas menyatakan bahawa:

"Bapa adalah sentiasa mempunyai kuasa paling luasu ntuk membuat melalui wasiat apa-apa perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan penjagaan anak-anaknya yang masih kanak-akank dan berhubung dengna hal memperlindungi kepentingan-kepentingan mereka."

"Suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiat."

Kepada suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta bagi anak-anak anda agar isteri dan anak-anak anda tidak terbeban jika ditakdirkan anda pergi dahulu ketika usia anak-anak masih kecil. Bila suami melantik isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiatnya, selepas kematian suami, bahagian pusaka yang diterima oleh anak-anak akan diserahkan kepada isteri untuk digunakan secara berhemah sebagai pemegang amanah atau penjaga harta bagi manfaat anak-anak tersebut sehingga cukup umur. Dengan itu, anak-anak anda membesar dengan hasil titik peluh yang telah anda usahakan selama hayat anda.

Bukannya tidak percaya kepada datuk tetapi jika datuk juga ditakdirkan pergi dahulu. Pakcik makcik kepada anak-anak anda pula, walaupun menerima pusaka anda, tetapi tiada peruntukan undang-undang yang jeas mengatakan mereka wajib menanggung nafkah anak-anak anda sehingga mencapai umur dewasa. 

Juga bukan bermaksud Amanah Raya tidak bagus dalam menjaga harta anak-anak tetapi prosedur dan jarak tempat tinggal yang menjadi kekangan. Dan akhirnya isteri anda yang merupakan ibu kepada anak-anak anda juga yang akan berhempas pulas bekerja siang malam menampung nafkah membesarkan anak-anak anda sendirian. 

Suami, faham dan buatlah perancangan terbaik untuk isteri dan anak-anak anda. 

Sumber: Qaseh Shan Nizam

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.