Duit Raya Beri Motivasi, Didik Amalan Sedekah
AIDILFITRI disambut hari ini, menjadi kemuncak kepada ibadat puasa sebulan pada Ramadan. Lazimnya, Aidilfitri diraikan penuh kemeriahan.
Daripada deretan persiapan serba baharu seperti pakaian dan kuih-muih hingga aneka juadah makanan terhidang. Golongan paling gembira tentulah kanak-kanak kerana inilah peluang menziarahi sanak-saudara dan jiran tetangga, di samping peluang mendapat duit raya dari tuan rumah.
Namun, wujud polemik dalam masyarakat mengenai pemberian duit raya kepada kanak-kanak ketika sambutan Aidilfitri.
Dari aspek positif, amalan ini sebahagian ibadah bersedekah disulami dengan tradisi baik atau uruf sahih dalam bentuk pemberian duit raya. Bersedekah adalah lanjutan amalan dilakukan dalam Ramadan.
Ia juga dapat membuka ruang interaksi kanak-kanak dengan komuniti kejiranannya. Pada hari biasa, rutin mereka hanya dalam lingkungan rumah-sekolah sahaja dan tidak terdedah jiran sekeliling.
Pemberian duit raya turut menggembirakan kanak-kanak ketika hari raya. Ketika sebelum era pandemik COVID-19, masing-masing berlumba membuat kutipan terbanyak.
Duit diterima biasanya dibelanjakan di kedai berhampiran, sekali gus secara tidak langsung menggerakkan ekonomi setempat. Selain itu, ada juga menyimpan duit diterima.
Namun, aspek negatif yang menjadi pertimbangan golongan menolak amalan ini adalah ia sebahagian didikan bersifat materialistik. Kanak-kanak diajar mengharapkan duit daripada tuan rumah, bukannya menziarahi jiran untuk saling mengenali dengan ikhlas.
Malah, pemberian ini dikatakan membuka ruang kepada gejala rasuah kemudian hari kerana mereka dididik mengharapkan ganjaran orang lain disebabkan berpuasa.
Ibaratnya, ia proses sosialisasi rasuah dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, terdapat dakwaan amalan ini menambah beban kewangan pemberi kerana seolah-olah menjadi kewajipan memberi duit raya ketika sambutan Aidilfitri.
Ada juga mempertikaikan sedekah selepas Ramadan yang kurang fadilatnya berbanding Ramadan. Mereka memilih untuk memberi duit raya ketika Ramadan.
Di samping itu, tradisi ini juga didakwa meniru budaya kaum lain, iaitu tradisi angpau masyarakat Cina ketika menyambut Tahun Baharu Cina. Peniruan ini dikaitkan unsur tasyabbuh (penyerupaan) dilarang dalam Islam.
Pada pandangan penulis, tradisi sampul raya atau pemberian duit raya sebahagian amalan sedekah digalakkan dalam Islam.
Anjuran amalan ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT: "Dan belanjakanlah sebahagian apa Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang antara kamu; lalu ia berkata, "Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) aku sampai waktu dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang soleh." (Al-Munafiqun: 10)
Begitu juga hadis Nabi SAW: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, sedekah apakah paling besar pahalanya?"
Baginda menjawab: "Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menunda-nundanya hingga tiba ketika nyawamu berada di tenggorakanmu. Lalu kamu berkata, si fulan begini (punya ini) dan si fulan begini. Padahal harta itu milik si fulan. (HR Bukhari)
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis itu, jelas amalan bersedekah dianjurkan dalam Islam, tanpa terikat masa atau bulan tertentu. Setiapnya ada ganjaran ditentukan Allah SWT.
Selain itu, pemberian duit raya tujuannya tidak lain untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak berpuasa dan menziarahi rumah jiran. Ia membuka ruang kepada saling kenal-mengenali.
Tradisi ini biasanya dilakukan hingga pada usia tertentu sahaja. Apabila meningkat remaja, mereka akan rasa malu menziarahi jiran bagi mendapatkan duit raya.
Dalam dakwaan sosialisasi rasuah, tiada bukti jelas menunjukkan hubungan antara pemberian duit raya ketika zaman kanak-kanak dengan penerimaan rasuah apabila dewasa.
Ini kerana kanak-kanak hanya memikirkan keseronokan mengumpul duit untuk membuat simpanan dan perbelanjaan. Perbuatan menerima sampul rasuah bukanlah kebiasaan umum orang Islam masa kini. Sebaliknya motivasi penerimaan rasuah atau sampul ini dipengaruhi pelbagai faktor lain.
Dalam dakwaan peniruan dengan budaya kaum lain, asasnya terdapat perbezaan jelas antara kedua-duanya. Dalam amalan pemberian angpau, ia dikaitkan beberapa cerita legenda Cina.
Antaranya, azimat melindungi kanak-kanak daripada gangguan hantu Sui ketika menjelang Tahun Baharu Cina. Tidak semua orang boleh memberi angpau. Hanya orang sudah berkahwin boleh memberi kerana dianggap sudah dewasa.
Bagi yang sudah dewasa tetapi belum berkahwin tetap boleh menerima angpau. Ini kerana angpau juga menjadi lambang pembawa kebaikan termasuk jodoh. Duit diberikan mesti baharu dengan jumlah genap, selain daripada angka empat.
Masyarakat Cina menganggap pemberian sampul merah untuk mendapat kebaikan dan nasib baik sepanjang tahun. Jelasnya, kedua-dua amalan pemberian duit raya ini disandarkan pada latar berbeza.
Polemik juga ditimbulkan berkaitan tradisi ini berkaitan dengan fadilat bersedekah. Ini kerana ganjaran pahala berlipat kali ganda bagi amalan bersedekah pada Ramadan berbanding Syawal. Justeru, pemberian duit raya dilakukan dalam Ramadan.
Hakikatnya, boleh saja duit raya diberi pada Ramadan, tetapi kanak-kanak hanya menziarahi jiran tetangga pada 1 Syawal. Malah, amalan pemberian sedekah ini kesinambungan daripada apa diamalkan dalam Ramadan.
Ini kerana amalan bersedekah bukan hanya terhad dilakukan pada Ramadan semata-mata.
Begitu juga pandangan menganggap pemberian duit raya sebagai kewajipan selepas tradisi itu semakin subur dibudayakan dalam masyarakat setiap kali hari raya.
Bagi mereka pemberian ini membebankan. Jika dilihat dalam pengamalannya, tiada batas pemberian minimum dan maksimum ditetapkan asalkan seikhlas hati dan dapat menghiburkan hati penerima.
Sifat berkira ini bertentangan dengan galakan sedekah dianjurkan Islam. Tidak perlu rasa terbeban jika tidak mampu disebabkan tiada paksaan.
Bagaimanapun, dalam suasana meraikan sambutan Aidilfitri dengan pembudayaan norma baharu ketika pandemik COVID-19, amalan pemberian duit raya boleh memanfaatkan pelbagai teknologi ditawarkan terutama berbentuk tanpa sentuhan.
Antaranya, aplikasi DuitNow dan QRPay ditawarkan pihak bank, pemindahan terus ke dalam bank akaun penerima dan kredit e-dompet.
Justeru, amalan pemberian duit raya selari dengan Islam kerana walaupun ia bernuansakan tradisi, ia bertitik tolak daripada amalan sedekah. Tegasnya, tidak semua tradisi masyarakat setempat itu tidak baik (fasid). Bahkan selain dapat memperoleh ganjaran pahala, ia juga dapat menceriakan pihak menerima duit raya terutama kanak-kanak.
Kredit : Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli
No comments
Post a Comment