KWSP Lancar Akaun Ketiga Akaun Fleksibel, Boleh Keluar Simpanan Ini, Bila-Bila Masa Diperlukan


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan dipecahkan kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. 

(1) Akaun Persaraan(Akaun 1) untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan

(2) Akaun Sejahtera(Akaun 2) untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan

(3) Akaun Fleksibel(Akaun 3) sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam Akaun Fleksibel itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli. Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan akaun Fleksibel yang mana membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50. Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. 



Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut iaitu : 

(i) 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan 

(ii) 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera  

(iii) 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel

Pada tarikh kuat kuasa struktur akaun baharu iaitu 11 Mei 2024, Akaun Fleksibel ahli akan bermula dengan baki sifar. Bagaimanapun, ahli diberikan pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan yang ada dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini akaun 2) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.

Tempoh bagi ahli KWSP yang ingin membuat pindahan tersebut bermula pada 11 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024. Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu kali saja bermula daripada tarikh kuat kuasa sehingga 31 Ogos 2024, di mana selepas ini pilihan ini tidak boleh dibatalkan.

Tujuan diberikan pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu. 

Bagaimanapun, sekiranya ahli tidak mahu membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan di Akaun Fleksible, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.




Untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) , ia adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli. Kaedah pindahan adalah mengikut dua pecahan iaitu :

(A) Baki Akaun Sejahtera ahli mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas 
(i)   10 per 30 daripada baki dalam itu akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel   
(ii)   5 per 30 dipindahkan ke Akaun Persaraan
(iii) 15 per 30 akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera

(B) Baki Akaun Sejahtera ahli adalah kurang dari RM3,000
(i)   Baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
(ii)  Baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan  ke Akaun                     
               Fleksibel adalah RM1,000 sahaja , dan baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera
(iii) Tiada pindahan akan dibuat ke Akaun Persaraan bagi simpanan dalam Akaun Sejahtera yang                   
               kurang dari RM3,000.




Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan itu boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau 'Self-Service Terminal' yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk di www.kwsp.gov.my atau aplikasi KWSP i-Akaun.


Kredit Sumber : KWSP

Kredit Sumber : Berita Harian

Kredit Sumber : Sinar Harian



Soalan Lazim Penstrukturan Semula Akaun KWSP

1. Mengapakah KWSP melaksanakan penstrukturan semula akaun KWSP?
Penjelasan :
Penstrukturan semula akaun ini dibuat bertujuan untuk:
(i)  Meningkatkan kecukupan simpanan untuk menjamin pendapatan persaraan yang bermakna untuk ahli;
(ii) Mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang selaras dengan keperluan kitaran hidup dan jangka hayat ahli;
(iii)Membangunkan Skim KWSP yang relevan dengan perubahan lanskap pekerjaan, perubahan demograft dan keperluan ahli di masa kini dan masa hadapan; dan
(iv) Memenuhi keperluan kewangan jangka pendek yang boleh menjejaskan kesejahteraan semasa persaraan sekiranya tidak dipenuhi.


2. Adakah penstrukturan semula akaun KWSP yang baharu melibatkan semua ahli KWSP?
Penjelasan :
Penstrukturan semula akaun KWSP terpakai kepada semua Ahli KWSP termasuk bukan warganegara Malaysia yang belum mencapai umur 55 tahun pada 11 Mei 2024.


3. Adakah Akaun 55 dan Akaun Emas masih wujud selepas penstrukturan semula akaun KWSP ini dilaksanakan?
Penjelasan :
Ya, bagi ahli yang telah mencapai umur 55 tahun, kesemua baki simpanan dalam ketiga-tiga akaun akan dipindahkan ke Akaun 55. Caruman baharu yang diterima mulai umur 55 tahun akan dikreditkan ke Akaun Emas.


4. Apakah yang akan berlaku sekiranya ahli tidak membuat pilihan pindahan amaun permulaan?
Penjelasan :
(i) Sekiranya ahli tidak memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan, baki dalam Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel sedia ada akan kekal.
(ii) Manakala, caruman baharu akan dikreditkan ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Pengeluaran daripada akaun tersebut adalah tertakluk kepada terma dan syarat pengeluaran semasa.


5.Bilakah pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel akan diluluskan?
Penjelasan :
Pilihan pindahan amaun permulaan akan berkuat kuasa apabila tindakan pindahan ke Akaun Fleksibel dibuat dalam tempoh 3-5 hari.


6. Bagaimanakah kaedah permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel?
Penjelasan :
Ahli boleh memohon Pengeluaran Akaun Fleksibel melalui saluran berikut:
(i) Secara online melalui KWSP i-Akaun; atau
(ii) Kunjungi mana-mana kaunter KWSP


7. Adakah ahli boleh membatalkan permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel?
Penjelasan :
Permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel tidak boleh dibatalkan apabila permohonan telah diluluskan. Ahli disarankan untuk membuat keputusan yang tepat sebelum mengemukakan permohonan.


8. Apakah jenis-jenis pengeluaran yang dibenarkan selepas pelaksanaan penstrukturan semula akaun KWSP?
Penjelasan : 
Jenis-jenis pengeluaran yang dibenarkan adalah seperti berikut:
(A) Sebelum Umur 55 Tahun:
(i) Akaun Persaraan: Skim Pelaburan Ahli
(ii) Akaun Sejahtera: Pengeluaran Perumahan, Pendidikan, Kesihatan, Haji, 50 tahun dan Pelan Perlindungan Ahli (PPA
(iii) Akaun Fleksibel: Pengeluaran Akaun Fleksibel (baharu)
(iv) Kesemua Akaun: Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Meninggalkan Negara dan Pengeluaran Pekerja Berpencen
(v)Pengeluaran Melebihi RM1 Juta

(B) Selepas Umur 55 Tahun:
(i) Akaun 55: Pengeluaran 55 Tahun
(ii) Akaun Emas: Pengeluaran 60 Tahun
(iii) Kesemua Akaun: Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Meninggalkan Negara


9. Adakah ahli beragama Islam diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas Pengeluaran Akaun Fleksibel?
Penjelasan :
(i) Sekiranya Pengeluaran Akaun Fleksibel dibuat oleh ahli yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi atau yang terjejas sumber pendapatannya bagi menampung keperluan hidup asasi diri dan tanggungannya seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan, maka zakat tidak diwajibkan.
(ii) Selain daripada sebab-sebab di atas, Pengeluaran Akaun Fleksibel yang dibuat tertakluk kepada zakat pada kadar 2.5% tanpa perlu menunggu haul setahun, sekiranya mencapai nisab (setelah mengambil kira semua pendapatan dalam tempoh haul setahun).
(iii) Ahli beragama Islam dinasihatkan untuk merujuk pihak berkuasa zakat negeri masing-masing berhubung apa-apa perkara berkaitan zakat.


10. Adakah ahli beragama Islam diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas baki simpanan di dalam Akaun Fleksibel yang tidak dikeluarkan?
Penjelasan :
(i) Ya. Baki simpanan di dalam Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada zakat simpanan pada kadar 2.5% setiap tahun berdasarkan Haul sekiranya mencapai Nisab setelah diambil kira semua baki simpanan ahli yang lain.
(ii) lni adalah kerana simpanan di dalam Akaun Fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa telah memenuhi salah satu syarat wajib zakat iaitu pemilikan sempurna.
(iii) Ahli beragama Islam dinasihatkan untuk merujuk pihak berkuasa zakat negeri masing-masing berhubung apa-apa perkara berkaitan zakat.


No comments

Responsive Advertisement

ONLINE

Total Pageviews

544387

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

© 2025 mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.