KWSP Lancar Akaun Ketiga Akaun Fleksibel, Boleh Keluar Simpanan Ini, Bila-Bila Masa Diperlukan
28 Apr 2024
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan dipecahkan kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
(1) Akaun Persaraan(Akaun 1) untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan
(2) Akaun Sejahtera(Akaun 2) untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan
(3) Akaun Fleksibel(Akaun 3) sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam Akaun Fleksibel itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli. Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan akaun Fleksibel yang mana membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50. Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.
Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut iaitu :
(i) 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan
(ii) 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera
(iii) 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel
Pada tarikh kuat kuasa struktur akaun baharu iaitu 11 Mei 2024, Akaun Fleksibel ahli akan bermula dengan baki sifar. Bagaimanapun, ahli diberikan pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan yang ada dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini akaun 2) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.
Tempoh bagi ahli KWSP yang ingin membuat pindahan tersebut bermula pada 11 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024. Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu kali saja bermula daripada tarikh kuat kuasa sehingga 31 Ogos 2024, di mana selepas ini pilihan ini tidak boleh dibatalkan.
Tujuan diberikan pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu.
Bagaimanapun, sekiranya ahli tidak mahu membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan di Akaun Fleksible, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.
Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan itu boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau 'Self-Service Terminal' yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk di www.kwsp.gov.my atau aplikasi KWSP i-Akaun.



