SLIDER

masa depan
Showing posts with label masa depan. Show all posts

Sakit Kronik : Jangan Terpengaruh Dengan Ubat Ajaib

27 Jun 2022




Penulis adalah bekas pesakit buah pinggang kronik. Pernah menjalani rawatan cuci darah (C.A.P.D). Sembuh daripada sakit ini selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada tahun 2010, menerima buah pinggang ibu saudaranya. 

“Kalau buah pinggang kecut masih boleh diubati! Produk kami ni mampu menghidupkan kembali sel-sel buah pinggang awak. Nanti selepas beberapa ketika buah pinggang awak akan kembang balik.” Itu antara janji seorang penjual produk ajaib kepada saya dahulu. Setahu saya buah pinggang adalah anggota kekal seperti tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Adakah tangan yang putus akan tumbuh balik setelah makan produk ajaib itu? Adakah anggota tubuh manusia seperti ekor cicak? Boleh tumbuh semula apabila putus?

Pernah isteri saya bertembung dengan seorang peguam yang turut mempromosi ubat perawat sel yang didakwa sangat ajaib dan mampu mengubati segala penyakit atas “planet bumi.” Isteri saya menolak dengan sopan dan mengatakan tarikh pembedahan buah pinggang sudah ditetapkan pihak Hospital Selayang. 

Si penjual ubat ajaib dengan yakin berkata:
“JANGAN BUAT PEMBEDAHAN ITU DAHULU! Makan produk ini dahulu! Sebabnya apabila dah buat pembedahan maka tiada harapan lagi untuk sembuh!”

Apabila isteri saya berkeras tak mahu mendengar ceramah ubat ajaibnya, si penjual mula menyerang peribadi setelah melihat wajah isteri saya pada waktu ada sedikit jerawat: “Kenapa muka awak tu berjerawat? Jerawat pun boleh diubati dengan produk saya ini!” Pernah seorang kawan Ustaz mencadangkan agar saya mengambil perubatan Sunnah seperti madu dan sebagainya. Saya tolak dan mengatakan fisiologi tubuh pesakit buah pinggang bukan lagi seperti orang normal yang mampu memproses apa sahaja yang masuk ke dalam badan. 

Kawan saya lantas berkata:
“Itulah masalah anta! Percaya sangat dengan perubatan moden.”
Saya hanya senyum sambil berkata dalam hati: “Anda boleh cadangkan apa sahaja, tapi tubuh saya yang menanggung derita atau duka atas cadangan spekulasi anda. Bukan saya tidak percaya dengan perubatan nabawi tapi ia masih terbuka untuk perbincangan oleh para ulama’ hadith.”

Lalu pengalaman tahun 2009 menjengah minda. Pada waktu itu saya baru memulakan rawatan Dialisis Air atau dipanggil C.A.P.D. Dalam bulan Ramadhan tahun itu, saya mengimamkan solat terawih di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. 

Ketika dalam solat, “DADA SAYA BERASA SANGAT TIDAK SELESA. JANTUNG BERDEBAR DENGAN TIDAK TERATUR.” Dalam kalangan Jemaah kami ada seorang murid dewasa saya yang juga seorang Doktor pakar. Beliau adalah Mejar Jeneral (b) Datuk Dr. Zin bin Bidin. Selepas solat beliau memeriksa rentak nadi saya dan menasihatkan saya agar mengurangkan pengambilan kurma. Mengapa kurma? Bukankah kurma bagus untuk orang yang berpuasa? Rasulullah SAW sendiri pun berbuka puasa dengan kurma? 

Lain halnya dengan pesakit buah pinggang. Kurma, pisang dan beberapa buah-buahan yang lain mempunyai kandungan potassium yang sangat tinggi. Bagi tubuh yang normal, buah pinggang bertindak menstabilkan paras potassium dalam darah. Bagi pesakit buah pinggang, kandungan potassium tidak mampu diimbangi tubuh, lalu potassium berlebihan akan menggangu rentak jantung. Pesakit buah pinggang yang tidak mengawal kandungan potassium boleh mendapat “serangan sakit jantung!”

Pernah seorang penjual ubat ajaib yang lain mengesyorkan saya mengambil produk soya yang dia jual. Apabila saya maklumkan bahawa pesakit buah pinggang kronik tak boleh makan soya kerana ia akan membebankan buah pinggang yang sudah rosak, ini jawapannya dengan penuh yakin mengalahkan para doktor pakar:
“Produk soya kami ni lain! Ia sudah ditapis halus dan tak akan memberi kesan pada buah pinggang awak.”

Alhamdulillah! Allah memberikan saya kesabaran serta kecerdikan untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam “fakta auta” si penjual ubat ajaib. Setelah lama menderita sakit buah pinggang sejak tahun 2001, saya mulai menghargai kesihatan dan menghormati profesyen perubatan. 

Pengorbanan mereka selama bertahun mempelajari ilmu perubatan adalah jihad yang sangat hebat. Setelah lama berdamping rapat dengan para doktor sebagai “ahli kelab paksa hospital selayang” dengan rawatan susulan setiap 2 atau 3 bulan, saya semakin memahami firman Allah ini:
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Ertinya: Dan Kami tidak mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); MAKA BERTANYALAH KAMU KEPADA ORANG BERILMU JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI (al-Anbiya’ [21:7]).

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli kitab tentang “KEMANUSIAAN PARA RASUL.” Ia berpunca daripada sikap penduduk Mekah yang tidak percaya bahawa manusia seperti Rasulullah SAW boleh menjadi utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul dari spesis malaikat. Ternyata orang Yahudi dan Nasrani mengakui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah SAW sebagai utusan Allah kepada mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Perkataan “أهل الذكر” atau orang berilmu dalam ayat ini jika diterjemahkan kepada bahasa moden adalah “PAKAR BIDANG.” Beginilah cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan di akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahlinya dan bukan percaya cakap sebarang orang. Tanyalah orang yang menghabiskan usia mengkaji atau mempelajari sesuatu bidang. 

Jangan ditanya cara membuat bangunan dari seorang nelayan, kelak runtuh bangunan kerana kiraan besi dan simen yang tidak cukup. Jangan juga ditanya hukum hakam berkaitan agama dari seorang pakar Matematik, kerana agama bukan subjek berkaitan nombor. Jangan juga ditanya pak ustaz tentang cara memproses petroleum, kelak rosak enjin dan tangki kereta anda. Kesimpulannya, hormatilah pakar bidang! 

Usahkan para penjual ubat ajaib, para doktor pun memiliki pengkhususan bidang yang berbeza. Setahu saya, tiada doktor yang serba tahu atau pakar semua bidang perubatan. Jika kita jumpa seorang doktor yang pakar semua aliran dan bidang perubatan (nefrologi, urologi, bedah, radiologi, telinga, mata, hidung, otak, saraf, jiwa dan semuanya), sudah pasti doktor itu adalah jelmaan nabi Isa AS atau berasal dari planet lain. 

Malangnya, semua kepakaran para doktor perubatan yang bertahun mengkaji perihal tubuh manusia langsung diatasi oleh para penjual ubat ajaib yang hanya “bermodal air liur, andaian dan spekulasi.” Testimoni mereka pun masih terlalu jauh untuk menyaingi dapatan kajian dalam perubatan moden.

Tambah parah sesetengah penjual ubat ajaib ini berani menunggang agama dengan mendakwa ubat mereka adalah ubat yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Ertinya: Bagi setiap penyakit mempunyai ubatnya. Apabila sesuatu ubat menyentuh sesuatu penyakit, maka ia akan memberikan penyembuhan dengan izin Allah (Sahih Muslim).

Hadith ini bukan semudah itu boleh diambil untuk menjadi “MASKOT ATAU DUTA” ubat ajaib anda. JAUH BEZANYA ANTARA UBAT SEBENAR DENGAN SPEKULASI UBAT TANPA BUKTI YANG CUKUP! Apa yang saya faham dari hadith ini adalah baginda Rasulullah SAW menyarankan kita agar mengkaji dan mencari ubat bagi penyakit yang dihidapi manusia. Tidak cukup hanya dengan mendakwa!

Pesan saya kepada para penjual ubat ajaib. Takutlah Allah! Jangan mencipta fakta palsu serba ajaib untuk ubat anda. Jika ada pesakit yang semakin parah atas auta anda, Allah pasti membalasi dengan setimpal di akhirat kelak. Jangan reka fakta! Ingat amaran Rasulullah SAW ini:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
Ertinya: Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) AKAN MENJERUMUSKANNYA SEMAKIN DALAM KE DALAM NERAKA SEJAUH ANTARA TIMUR DAN BARAT (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Itulah nasib kami yang menghidap sakit kronik. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sakit kami memang meresahkan jiwa. Ketika para doktor berusaha merawat kami, para penjual ubat ajaib pun muncul kerana melihat kami adalah “LUBUK EMAS” bagi mereka. Kasihanilah kami! Apa yang kami fikirkan hanya kesembuhan! Derita yang kami lalui saban hari sangat memeritkan jiwa. Jika dikata “makanlah tahi lembu yang dicampur dengan tongkat ali dan madu hutan Amazon untuk penyembuhan”, jangan terkejut jika ada yang sanggup buat untuk sebuah ni’mat penyembuhan! 

Tidak dinafikan, ada sesetengah penjual ubat ajaib ini ikhlas mahu membantu kami, tapi bantuan yang mahu diberikan biarlah berpada dan ada batasannya. Jika bantuan anda boleh menjadi kapak yang akan membunuh kami, maka simpanlah kapak itu. Fisiologi tubuh kami sudah berbeza daripada orang yang sihat. Biarlah para doktor yang bertauliah merawat kami. Cukuplah kalian sekadar mendoakan kami sahaja. 

Jangan pandang kami sebagai lubuk emas, sebaliknya lihatlah kami sebagai manusia yang perlu dikasihani. Hidup ini bak roda! Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah. Ada masa kita sihat dan ada masa kita sakit. Apa agaknya perasaan anda wahai penjual ubat ajaib jika anak anda mati akibat salah makan ubat ajaib yang dijual oleh penjual yang lain? Fikirkan!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
(5 Februari 2017)

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/…/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-…/
http://pts.com.my/…/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-ji…/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/…/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-…/

Kredit : Fb Abdullah Bukhari Abdul Rahim 




Kekayaan Boleh Hancurkan Kehidupan Anak-Anak, Jika Tidak Dididik Dengan Betul

19 Apr 2022

 


“KEPADA ibu bapa muda zaman sekarang, suka saya mengingatkan mereka supaya belajar jimat berbelanja dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Bagaimana pun bukan maksud saya anda mesti `ikat perut,’ memadailah berbelanja ikut keperluan terutama dalam menyediakan  pakai untuk anak-anak. Baju cantik tak semestinya mahal. “Kerana saya dapati ramai golongan ibu bapa muda suka berbelanja mewah untuk anak-anak, tambah tambah golongan bekerja, bukan setakat diri sendiri berbelanja mewah, malah anak-anak mereka turut ajar hidup mewah  dan bergaya sejak kecil lagi.

“Perbuatan berbelanja mewah ini menjadi lebih teruk bila ada rakan-rakan suka bandingkan anak-anak rakan mereka supaya kelihatan lebih cantik bergaya dengan pakaian mewah dan berjenama. ‘’ Itu cerita Noor Adriyani ketika melahirkan pendapatnya tentang gaya hidup orang muda sekarang sanggup bergaya hingga berhutang.

“Saya tak cakap pasal orang lain, tetapi melihat gaya hidup saudara mara sekeliling saya sendiri yang amalkan sikap `biar papa asalkan bergaya.’ Setiap kali balik menghadiri majlis kenduri  kahwin apatah lagi kalau Hari Raya. Baju-baju mahal tersedia bergantungan dalam kereta, macamkan almari bergerak. Itu belum tengok dalam beg lagi. Lepas tu bersungut kalau pakaian kotor, mulalah menjerit marahkan anak jangan rosakkan baju mahal mereka.

“Kalau kita rajin tanya mulalah keluar cerita mereka beli baju tu di butik2 terkenal atau berjenama yang mahal[1]mahal harganya.  Itu belum masuk cerita pakaian mereka sendiri yang sentiasa ikut trand. Bila cerita pasal tudung, lagi terngangah kita dengar, ada yang berharga lebih dua tiga ratus ringgit sehelai.

“Dulu anak-anak saya kecil juga, dan saya juga bekerja, tetapi bergaya dengan pakaian mahal dan berjenama bukan cita rasa saya. Saya tak ajar anak-anak mewah bergaya. Cukup dengan pakaian di beli di mall. Kerana pada saya beli pakaian mahal untuk anak-anak kecil cuma membazir, sebab mereka cepat besar, pasti pakaian tadi tak boleh digunakan lagi. “Bayangkan bayi baru setahun dua sudah dikenakan pakaian mahal, paling lama 6 bulan pakaian tersebut tidak boleh digunakan lagi, lepas itu terpaksa beli baru. Jadi buat apa membazir?

“Demikian juga kalau anak-anak berumur 3 atau 5 tahun, untuk apa mereka bergaya mewah, budak budak tak kenal jenama pakaian tersebut, hanya si ibu yang menggayakan dan mengajar anaknya berpakaian mahal. Bila sudah besar memang sukar menolak permintaan anak-anak yang  mahukan pakaian up to date. Malah mereka malu kalau pakaian tidak berjenama dan out dated. Jadi siapa yang susah terpaksa sediakan wang banyak untuk pakaian anak-anak?

“Namun kepada yang mampu mungkin itu bukan masalahnya, tetapi `penyakit’ boros berbelanja untuk berpakaian mahal ini akan terbawa-bawa dalam kehidupan anak-anak apabila mereka dewasa nanti. Kalau mereka bekerja dan bergaji sendiri itu tidak ada masalah, bagaimana pulak ada anak-anak zaman sekarang ada yang tak mahu bekerja, memilih kerja, suka bertukar-tukar kerja dan cepat bosan dengan kerja yang mereka anggap semua kerja menyusahkan dan mengikat kebebasan mereka?

“Mungkin belum ada kajian dari pihak university dan sebagainya, tetapi kita boleh lihat sendiri masalah anak-anak zaman sekarang. Tidak keterlaluan kalau saya katakana ibu bapa miskin boleh melahirkan anak-anak yang rajin berusaha, kuat bekerja dan akhirnya berjaya dalam pelajaran dan kerjaya mereka.

“Berbanding anak-anak orang senang yang hidup mereka serba serbi tersedia depan mata. Celik sahaja mata mereka sudah boleh lihat emak ayah ada kereta, rumah besar, berbelanja mewah, pakaian berjenama. Bila besar mereka cuma pandai minta dan ibu bapa akan sediakan.

Kerana sejak kecil  mereka sentiasa dimajakan.  Kekayaan dan kemewahan bergelumang di depan mata. Untuk siapa jika bukan untuk anak-anak? Kata mereka! “Pendek kata untuk apa anak-anak perlu bersusah payah belajar semata mata untuk cari kerja, mungkin gaji yang mereka dapat tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup mereka sehari-hari.

Lagi pun mereka boleh dapat lebih daripada ibu bapa masing-masing. “Kerana itu tidak keterluan jika saya simpulkan anak-anak orang miskin lebih berjaya daripada anak-anak orang berduit, sebab anak orang kaya tidak perlu bekerja untuk dapatkan duit, semuanya disediakan oleh ibu bapa. Lainlah anak orang miskin dan susah, mereka terpaksa bekerja berhempas pulas cari duit bagi keperluan hidup mereka dan membantu keluarga yang susah di kampung.

“Apa yang saya katakan ini apabila melihat kehidupan  saudara mara saya, yang ibu bapa mereka ada hidup mewah dan ada yang sederhana seperti saya. Saya perhatikan ibu bapa mewah ini sering mengeloh kerana anak-anak tak mahu bekerja dan kalau ada pun yang bekerja sentiasa meminta duit daripada mereka untuk memenuhi kehidupan sehari-hari.

“Anak mewah ini kalaupun sudah berumahtangga dia masih ligat dengan aktiviti luar rumah hingga memaksa si isteri bekerja keras menanggung keluarga. Bila mengadu kepada mertua masalah suami mereka, mertua tidak berani nasihati anak-anaknya kerana itu jelas kesalahan mereka mendidik anak[1]anak sejak kecil lagi. “Bukan hendak membandingkan, tetapi nak beritahu masalah ibu bapa yang berlagak mewah ini tentang cara mereka mendidik anak-anak gaya hidup mewah.

Anak-anak dapat SPM tak seberapa dihantar belajar ke kolej swasta dengan harapan mereka boleh sambung belajar, malangnya, bertahun tahun belajar tak lulus, tukar kolej lain pun gagal juga. “Akhirnya tentulah tak bekerja. Sebab majikan mana nak ambil bekerja kalau tak ada kelulusan. Akhirnya jadi pemandu peribadi emak ayah. Lepas kahwin mak bapak terpaksa tanggung makan minum anak isterinya. Tapi sampai bila? Selagi emak ayah ada mereka selamat, bila emak ayah sudah meninggal macam mana? Tentu susah!

“Akhirnya sudah pasti harta pusaka tinggalan emak ayah jadi rebutan anak[1]anak untuk menyara kehidupan mereka. Cuma mereka akan diam selepas semua harta pusaka tinggalan emak bapak kaya habis digunakan untuk perbelanjaan keluarga yang terhimpit. “Dalam isu ini siapa patut disalahkan.

Bukan guru sekolah, tetapi emak ayah yang terlalu manjakan anak-anak hingga mereka tak tahu keperluan belajar, kerana tanpa pelajaran dan hidup sentiasa bermewah-mewah akan menyusahkan diri mereka bila dewasa dan berkeluarga nanti. “Berbanding kehidupan anak-anak saudara yang hidup ibu bapa mereka tak seberapa. Nak kata berduit tidak, tak berduit pun tidak, sebab mereka bekerja. Tetapi pendapatan ala kadar sahaja. Cukup untuk beri makan anak isteri. Apa yang menariknya anak-anak mereka cerdik belajar, dapat masuk sekolah berasrama dan seterusnya ke university. Memanglah kerajaan tangguang, kerana ketika itu tak ada PTPTN, habis belajar mereka dapat kerja’ dan mereka rajin bekerja walaupun di hantar jauh ke pendalaman. Mereka bekerja dengan gigih.

“Hasilnya sudah pasti mereka dapat membina keluarga terbaik untuk anak- anak. Tetapi ada juga kalangan mereka ini yang tersalah mendidik anak. Falsafah mereka, “jika aku masa kecil dulu miskin dan susah, bila ada bekerja dan ada duit, maka aku akan beri segala  kemewahan kepada anak-anak aku, apa salahnya mereka enjoy dengan kemewahan aku?” “Di sinilah timbulnya kesilapan mereka ajar anak-anak hidup mewah, yang akhirnya nanti akan menyusahkan diri sendiri.

Melihat masalah  ini kami mula khuatir mereka mungkin tersilap langkah dalam mendidik anak-anak. Dan kami tidak mahu melihat masalah yang sama  berulang. Dengan inisiatif beberapa orang saudara kami cuba menasihati mereka supaya menggubah cara dan gaya hidup mewah dalam membimbing anak-anak mereka anak. Tetapi ada juga kalangan mereka ini yang tersalah mendidik anak.

Falsafah mereka, “jika aku masa kecil dulu miskin dan susah, bila ada bekerja dan ada duit, maka aku akan beri segala  kemewahan kepada anak-anak aku, apa salahnya mereka enjoy dengan kemewahan aku?” “Di sinilah timbulnya kesilapan mereka ajar anak-anak hidup mewah, yang akhirnya nanti akan menyusahkan diri sendiri.

Melihat masalah  ini kami mula khuatir mereka mungkin tersilap langkah dalam mendidik anak-anak. Dan kami tidak mahu melihat masalah yang sama  berulang. Dengan inisiatif beberapa orang saudara kami cuba menasihati mereka supaya menggubah cara dan gaya hidup mewah dalam membimbing anak-anak mereka.

“Masalahnya bukan semua yang “makan nasihat’ ada pulak yang menjauhklan diri daripada kami,  bila kami cuba beri pandangan. Mereka anggap kami mencampuri urusan mereka.  Kami dapati tidak banyak masalah timbul jika berbincang dengan saudara perempuan, tetapi sukar berbincang dengan saudara lelaki, mungkin mereka terima nasihat kami, tetapi isteri mereka menolak mentah-mentah sambil menyifatkan usaha kami sebagai mahu mengawal kehidupan mereka. Niat kami supaya `pisang tidak berbual dua kali,’ tetapi hampa. Mereka anggap kami cuba campur kehidupan mereka.

“Kerana itulah walaupun kalangan adik beradik kami ramai, tapi kami masih boleh berbincang, tidak ada masalah, tetapi bila campur ipar duai, kebanyakan mereka buat hubungan kekeluargaan kami menjadi genting dan retak malah sering `tidak setuju angin.’ Akhirnya ada yang kecil hati dan membenci antara satu sama lain. “Masalah ini tidak berakhir di situ sahaja, sebaliknya menjarakkan hubungan baik antara adik beradik. Ini adalah punca yang berlaku dalam keluarga besar kami.

Namun saya tak bercakap tentang keluarga kami sahaja, tetapi meliputi keluarga ibu ibu saudara atau sepupu kami yang lain yang juga terdiri dari adik[1]beradik yang ramai. “Perselisihan faham sering terjadi, semuanya berpunca daripada kegagalan para suami bimbing keluarga masing-masing. Kerana ada antara saudara lelaki yang menjadi pak turut mengikut telunjuk isteri dalam mendidik anak-anak, akhirnya keluarga mereka hancur.

“Ramai adik beradik tak semestinya membawa kebaikan kepada keluarga, sebaliknya ada yang memusnahkan malah menghancurkan hati ibu bapa kerana keciwa melihat ragam anak-anak yang sukar diatur. “Namun lebih teruk kehidupan orang kaya kalangan saudara mara kami, ada yang tidak kenal antara satu sama lain, ada yang menjauhkan diri, lebih menyedihkan tidak kenal anak saudara terdekat, kerana keegoan dan kekayaan yang mereka perolehi.

Tetapi kami tahu mereka tidak bahagia apabila kehidupan anak-anak sendiri kucar kacil. Kerana kekayaan mereka tidak menjamin kebahagiaan kehidupan anak-anak mereka hingga ke akhir hayat.’’ Itu cerita  Noor Adriayani tentang kekayaan boleh menghancurkan masa depan anak-anak.


Kredit : dcckmona


Jangan Letak Nama Anak Bawah Umur Sebagai Penama Atau Penerima Hibah Polisi Takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji

17 Aug 2017


Jangan letak nama anak yang masih bawah umur sebagai penama atau penerima hibah polisi takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji. Kalau anda bukan peguam syarie, bukan hakim syarie, bukan pegawai bicara pusaka, bukan pekerja di Amanah Raya, anda mesti tidak pernah terfikir akan siapa yang akan menjaga atau mengurus harta anak-anak anda jika ditakdirkan anda meninggal dunia ketika usia anak-anak masih di bawah 18 tahun. 

Atau suami secara spontan mengatakan isterilah yang akan menjaga harta anak-anak anda kerana mereka yang akan menjaga anak-anak anda nanti jika anda pergi dahulu. Jaga anak-anak, mungkin Ya. Tetapi menjadi penjaga harta bagi anak bawah umur mungkin tidak dari sudut undang-undang syarak. 

Sepintas perbualan dengan seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah kematian suaminya kira-kira 10 tahun yang lalu. Suaminya seorang guru di sebuah sekolah di Pontian, Johor, telah meninggal dunia kerana sakit pada ketika usia anak mereka masih kecil. Tanpa sempat membuat apa-apa perancangan harta pusaka. 

Oleh kerana Puan Imah seorang yang berkerjaya, biasa dengan urusan-urusan pejabat, Puan Imah telah menguruskan segala urusan harta pusaka arwah suaminya dari permohonan surat kuasa mentadbir, pembayaran hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang kad kredit dan hutang rumah sehinggalah pertukaran milik rumah dan kereta arwah atas nama waris diselesaikan. Lebih setahun juga urusan pusaka itu baru dapat diselesaikan. 

Namun Puan Imah agak terkejut dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah yang mengarahkan harta pusaka yang berhak diterima oleh anak perempuan mereka yang merangkumi wang simpanan, KWSP, ASB, Takaful dan sebagainya dari arwah suami diserahkan kepada Amanah Raya. Mahkamah tidak memberikan hak penjagaan harta anak tunggalnya yang ketika itu baru berusia enam tahun, ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu kandung anak tersebut yang melahirkan dan membesarkan, sihat akal dan tubuh badan, serta berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya. Tetapi kenapa mahkamah memutuskan dia tidak berhak menjaga harta pusaka yang sepatutnya diterima oleh anaknya? 

Disebabkan keputusan mahkamah itu, selama 10 tahun ini Puan Imah membesarkan anak dengan duit gajinya. Mujur dia bekerja dan duit gajinya hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas sara hidup mereka dua beranak. Walau bagaimanapun, ada masa-masa tertentu pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan dan perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan wang anaknya yang di bawah jagaan Amanah Raya.

Jadi Puan Imah perlu pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor Bahru untuk dikeluarkan sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan dijaga di syarikat tersebut untuk menampung kos perbelanjaan anaknya. Dalam dua minggu, biasanya permohonan akan diluluskan dan Puan Imah perlu kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil perbelanjaan yang telah diluluskan tersebut yang mana jarak rumah ke syarikat tersebut lebih kurang 80 kilometer. Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri ke Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga mahu menaiki pengangkutan awam ke Johor Bahru. 

Begitulah rutinya saban tahun selama 10 tahun ini dan rutin ini terpaksa diteruskan sehingga anak itu mencapai umur 18 tahun, hanya tinggal beberapa tahun saja lagi. 

"Ketahuilah suami bahawa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak-anak bawah umur secara automatik"

Kenapa isteri tidak mendapat hak penjagaan harga anak bawah umur secara terus?

Merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam:
"Bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada datuk lelaki di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah mertua isteri). Jika datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi yang dilantik oleh bapa kanak-kanak tadi."

Jika bapa tidak meninggalkan wasiat pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan diserahkan kepada Amanah Raya untuk dijaga sehingga anak mencapai umur dewasa. 

Begitu juga halnya bagi wang hasil polisi takaful, KWSP, ASB dan sebagainya yang mengamalkan konsep penamaan. Ramai yang meletakkan penama anak yang masih bawah umur dengan anggapan sekiranya berlaku kematian pada si ayah (pemegang polisi/pencarum/pemilik harta), wang dari sumber tersebut akan dapat kepada anak untuk mereka survive nanti. 

Namun berdasarkan undang-undang jika penama atau penerima hibah masih di bawah umur kompeten berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan diserahkan kepada Amanah Raya, bukannya diserah terus kepada anak yang masih bawah umur ataupun kepada isteri atau ibu anak tersebut. Boleh rujuk jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. 

Jadi, bagaimana isteri mahu survive membesarkan anak-anak bila suami tiada nanti? 

Semua sedia maklum, bahagian isteri dalam faraid suami adalah sebanyak 1/8 berbanding bahagian anak yang mengambil asobah (baki) faraid suami. Jadi sebagai isteri dan juga ibu kepada anak-anak, dengan 1/8 bahagian pusaka itulah ditambah dengan pendapatan isteri (jika ada) digunakan secara berjimat oleh si isteri untuk menampung perbelanjaan sara hidup anak-anak, perbelanjaan sekolah anak-anak, perbelanjaan hari raya anak-anak, menampung kos perubatan anak-anak dan sebagainya. 

Belum dikira lagi sara hidup isteri itu sendiri lagi. Tidakkah suami kasihan akan isteri anda yang terus setia mengorbankan diri dmei anak-anak anda bersendirian tanpa suami di sisi? Meletak ke tepi keinginannya untuk berhiasa dan bermewah-mewa demi mengutamakan keperluan anak-anak. Sehinggakan isteri sendiri tidak merasa 1/8 haknya dari pusaka suaminya. 

Oleh itu suami jangan alpa, jangan leka dan jangan ambil mudah. Islam telah menggariskan keperluan berwasiat untuk melantik penjaga harta bagi anak yang masih bawah umur. Rujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang jelas menyatakan bahawa:

"Bapa adalah sentiasa mempunyai kuasa paling luasu ntuk membuat melalui wasiat apa-apa perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan penjagaan anak-anaknya yang masih kanak-akank dan berhubung dengna hal memperlindungi kepentingan-kepentingan mereka."

"Suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiat."

Kepada suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta bagi anak-anak anda agar isteri dan anak-anak anda tidak terbeban jika ditakdirkan anda pergi dahulu ketika usia anak-anak masih kecil. Bila suami melantik isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiatnya, selepas kematian suami, bahagian pusaka yang diterima oleh anak-anak akan diserahkan kepada isteri untuk digunakan secara berhemah sebagai pemegang amanah atau penjaga harta bagi manfaat anak-anak tersebut sehingga cukup umur. Dengan itu, anak-anak anda membesar dengan hasil titik peluh yang telah anda usahakan selama hayat anda.

Bukannya tidak percaya kepada datuk tetapi jika datuk juga ditakdirkan pergi dahulu. Pakcik makcik kepada anak-anak anda pula, walaupun menerima pusaka anda, tetapi tiada peruntukan undang-undang yang jeas mengatakan mereka wajib menanggung nafkah anak-anak anda sehingga mencapai umur dewasa. 

Juga bukan bermaksud Amanah Raya tidak bagus dalam menjaga harta anak-anak tetapi prosedur dan jarak tempat tinggal yang menjadi kekangan. Dan akhirnya isteri anda yang merupakan ibu kepada anak-anak anda juga yang akan berhempas pulas bekerja siang malam menampung nafkah membesarkan anak-anak anda sendirian. 

Suami, faham dan buatlah perancangan terbaik untuk isteri dan anak-anak anda. 

Sumber: Qaseh Shan Nizam

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.