SLIDER

baik
Showing posts with label baik. Show all posts

Mak Ayah, Bila Mereka Sudah Tiada Lagi Di Dunia Ini, Hilanglah Sumber Doa Mustajab

16 Jul 2025



Mak ayah, bila mereka sudah tiada lagi di dunia ini, hilanglah sumber doa mustajab. Doa mustajab, itulah doa terbaik mak ayah untuk anak-anak. Sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak.

Mak Ayah, Bila Mereka Sudah Tiada Lagi Di Dunia Ini

Tanpa mak dan ayah, siapalah kita. Tanpa mereka kita tak akan ada di dunia ini. Jangan sesekali sombong atau hilang hormat pada mak ayah. Kejayaan kita hari ini adalah doa mustajab daripada mereka yang tidak pernah putus untuk melihat kita gembira dan berjaya.

Ikuti perkongsian daripada Khairul Anuar Basri ini. Sehebat mana kita, tanpa mak ayah dan doa mustajabnya kita tak akan hidup senang. Jangan sesekali derhaka, sayangilah mereka.

Kita ada seorang saja ayah dan seorang ibu. Kalau ada orang yang tak ada ayah sebab dia tak tahu siapa ayah dia pun, dia mesti ada seorang saja ibu.

Pergilah ke mana-mana masa kita hidup ni, kita akan bawa nama ayah kita bersama-sama kita. Bila kita mati, imam yang baca talkin akan sebut nama kita dan ibu kita.

Besar dan hebatnya pengaruh ayah dan ibu pada hidup kita. Tanpa mereka berdua, tak adalah kita.

Tak ada orang yang boleh sayang kita lebih daripada ayah dan ibu kita sayang kita. Walau kita pernah jumpa orang yang sayang kita lebih daripada mereka berdua, hakikatnya tak akan ada orang yang boleh sayang kita macam ayah dan ibu kita sayang kita.

Kita wajib sayang ayah dan ibu kita. Ini perintah Allah dalam Al-Quran. 6 kali Allah sebut suruh kita sayang dan buat baik dekat ayah dan ibu kita.

Masa mereka hidup, kita sayang mereka dengan cara taat dan berbuat baik kepada mereka. Tak boleh mengherdik mereka, meninggi suara dengan mereka, jangan sesekali kata ‘uh’ atau ‘ah’ pun pada mereka, merendah diri dengan mereka dan mesti cakap hanya dengan perkataan yang mulia saja dengan mereka.

Hilanglah Sumber Doa Mustajab

Bila mereka meninggal, kita juga mesti sayang mereka dengan cara kita buat amalan kebaikan demi mereka, cuba kita hubungkan silaturahim dengan kawan-kawan baik mereka dan kita berdoa mohon Allah ampunkan dosa mereka.

Rasulullah SAW sebut, ada ketikanya di dalam syurga, darjat ayah dan ibu ditinggikan oleh Allah sampai mereka pun jadi pelik. Lalu mereka bertanya kepada Allah, kenapa jadi begitu?

Allah SWT beritahu, darjat ayah dan ibu diangkat di dalam syurga setiap kali ada doa minta ampun untuk mereka daripada anak-anak. Jadi jangan jemu berdoa untuk mereka kebaikan di dunia dan keampunan di akhirat.

Jika ayah dan ibu kita masih hidup, selalulah minta mereka doakan kita. Ingat, sekali mereka dah mati, maka tamatlah riwayat sebuah sumber doa yang mustajab.

Sayangilah mak ayah selagi mereka masih ada. Doakan kebaikan mereka dunia akhirat.

Kredit: Khairul Anuar Basri

Kredit : Mingguan Wanita


Dalam Dilema Apabila Digelar Anak Emak

12 Jan 2023



Aku telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak. Aku tidak tahu samada aku ini “anak emak” atau tidak. Rakan-rakan sekeliling ada menggelarkan aku sebagai anak emak sebab mereka melihat dalam segenap hal aku lebih mementingkan ibu berbanding isteriku dan anak-anak. Bagi aku, ibu adalah segala -galanya, konsep yang aku pegang sejak kecil lagi adalah ibu ku syurga ku.


Apa sahaja perkara yang menggembirakan hati ibu ku, akan aku lakukan dengan segera tanpa memikiran apa kepentingan orang lain walaupun isteri sendiri dan ahli keluarga yang lain. Sekecil-kecil perkara sebagai contoh pergi ke kedai membeli barangan dapur sehingga ke sebesar-besar perkara akan saya lakukan demi menjaga dan menggembirakan hati seperti menunaikan permintaan ibu untuk melancong keluar negara walaupun saya sendiri tidak pernah merasa bercuti ke luar negara.

Aku harus bagaimana agaknya?

Ahli Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Md. Zain menerangkan bahawa mengikut teori yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud secara semulajadinya, anak lelaki sememangnya lebih cenderung untuk rapat dengan ibu manakala anak perempuan pula lebih senang untuk bersama bapa.

Anak emak biasanya merujuk kepada seorang anak lelaki yang mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ibunya. Hubungan kuat ibu dan anak itu terbina sejak dari kecil lagi sehingga meningkat dewasa. Perwatakan dan personaliti mereka banyak dipengaruhi oleh ibu mereka. Ada di antara anak emak kekal perwatakan mereka sehingga meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.

Perwatakan dan Keperibadian Anak Emak

Seorang anak lelaki yang digelar sebagai ‘anak emak’ kebiasaanya dilihat sebagai seorang yang sangat rapat dengan ibunya, bersifat penyayang, pengasih, berbudi bahasa, sopan santun, mengambil berat terhadap ahli keluarga, menghormati orang tua serta pandai menjaga hati ibu bapa.
Wanita melihat lelaki ‘anak emak’ ini adalah calon suami yang baik kerana berpendapat bahawa lelaki ‘anak emak’ akan menjaganya sebagai seorang isteri sebagaimana dia menjaga ibunya. Tetapi ada juga wanita berpandangan bahawa lelaki ‘anak emak’ sukar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isterinya dalam memberikan kasih sayang yang adil.


Gaya Keibu–bapaan yang Mempengaruhi Perkembangan Anak Emak

1.    Ibu Aktif – Gaya keibubapaan secara tidak langsung mempengaruhi pembinaan karakter dan personaliti anak emak. Kajian Maccoby, E.E. (1992) mendapati bahawa Ibu yang terlalu dominan dalam membesarkan anak-anak akan mempengaruhi perkembangan psikologi dan emosi kanak-kanak tersebut. Begitu juga dengan sifat Ibu yang terlalu bersifat pelindung (protective) kepada anaknya juga dapat memberi kesan kepada pembentukkan peribadi serta emosi anak tersebut.
2.    Bapa Pasif – Ikatan perhubungan antara anak dan ibu terlalu kuat sehingga setiap perkara si anak lelaki akan merujuk kepada ibu berbanding ayah dalam memberikan pendapat dan menjawab persoalan yang timbul. Di dalam hal ini si ayah mungkin tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut.
3. Kadang kala karakter Si ayah yang terlalu garang sehingga membuatkan anak lelaki takut untuk berdampingan dengan ayah dan lebih selesa berinteraksi bersama ibunya.


Adakah Anda Anak Emak?

Ya jika anda:
  • Berhubungan dengan ibu lebih rapat berbanding bapa
  • Lebih selesa menceritakan segala hal peribadi dengan ibu
  • Bergantung sepenuhnya kepada ibu dari segi membuat keputusan dan perancangan
  • Mempunyai emosi yang lebih sensitif jika ada isu berkaitan dengan ibu

Dilema ‘Anak Emak’

1. Dilema Tingkahlaku:Anak emak setengahnya lebih pasif dalam tingkahlaku serta perhubungan sosial. ‘Anak emak’ akan merujuk kepada ibunya untuk apa jua tindak tanduk yang mereka akan lakukan. Mereka ini agak sukar untuk berdikari.
2. Dilema Pemikiran: sukar dalam membuat keputusan dan perancangan dengan baik, ini kerana jjika sebelum ini segala perancangan dan tindakan yang diambil adalah bergantung sepenuhnya oleh pengaruh ibu.
3.    Dilema Emosi Anak Emak:Emosi ‘anak emak’ mudah tersinggung dan sensitif dengan isu-isu yang remeh. Mereka lebih peka kepada emosi ibunya berbanding isterinya sendiri. Emosi dalam menyalurkan kasih sayangnya kepada antara ibu dan isteri.

Masalah yang dihadapi Anak Emak

1. Konflik dalam perhubungan: Menurut pandangan Kaunselor Berdaftar , Tuan Hj Hushim bin Hj. Salleh berkata, karakter yang dimiliki oleh  ‘anak emak’ adalah positif seperti hubungan rapat dengan ibu, mengambil berat dan bertanggungjawab. Akan tetapi konflik mungkin timbul bagi ‘anak emak’ jika karakter itu terbawa-bawa ke alam rumahtangga.
2.   Berkongsi kasih:Ianya dapat dilihat apabila suami ‘anak emak’ tidak dapat memberikan kasih sayang yang adil antara ibu dan isterinya, segala hal urusan rumahtangga akan di kongsi bersama ibunya serta takut untuk mengambil keputusan dan tindakan sendirinya.
3. Bimbang jatuh hukum derhaka kepada ibu: patuh dan tunduk kepada ibu bapa  merupakan satu tuntutan dalam agama manakala keseimbangan kasih sayang dalam perhubungan suami isteri juga adalah sesuatu yang perlu untuk menjamin keharmonian rumah tangga.

Saranan kepada ‘Anak Emak’

1. Sedar Diri – menyedari dan mengakui bahawa anda ada memiliki perwatakan sebagai ‘anak emak’ dan menerima keadaan tersebut dengan hati yang terbuka.
2. Ubah cara hidup – lakukan perubahan keatas persepsi diri dan perwatakan ‘anak emak’ yang dibawa demi kesejahteraan emosi dan tingkahlaku.
3. Positif mental dan emosi  sentiasa positif untuk melakukan perubahan agar hidup anda lebih harmoni untuk kedua-dua belah pihak terutamanya dalam perhubungan suami isteri.
4.    Memahami kepentingan antara dua pangkat ibu & isteri – ibu dan isteri masing-masing  mempunyai hak terhadap anak dan suaminya, adalah menjadi tanggungjawab anak/suami untuk berlaku adil terhadap keduanya. Perlu faham keutamaan sepertimana tuntutan agama yang menggariskan bahawa ibu perlu diberi keutamaan. Suami perlu membantu isteri faham hiraki ini dari perspektif agama.
5.   Perbincangan antara kedua belah pihak – jadikan kebiasaan untuk suami isteri berbincang akan hal rumahtangga bersama-sama dan tidak menyerahkan segala keputusan pada ibu.
6.  Belajar berdikari dan matang – cubalah untuk berdiri diatas kaki sendiri dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Jangan risau dengan keputusan yang di ambil, jika salah; belajar dari kesilapan tersebut.

Rujukan:
1.  Maccoby, E.E. (1992). The Role Of Parents In The Socialization of Children: An Historical Overview. Developmental Psychology, 28, 1006-1017
2. Ustazlove (2011). Soal Jawab: Antara Ibu dan Isteri. Retrieved November 4, 2014, from http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/”>http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/
3.   Jaya, Dr.Juanda (2011, Oktober 6). Rumah Tangga: Suami Anak Emak, Lupa Hak Isteri. Retrieved November 5, 2014, from http://www.drjuanda.com/?p=572″>www.drjuanda.com/?p=572
4.    Naim, Muhammad (2013). Renungan Mukmin: Apa Pandangan Anda Mengenai Lelaki Anak Emak?. Retrieved November 6, 2014, from http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/”>http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/
5.    Narayanan, Jagatheswary (2010, May 2010).  Pesona: Melayan Suami ‘Anak Emak’. Akhbar KOSMO. Retrieved from http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Semakan Akhir
:
6 Januari 2017
Penulis
:
Fauzie bin Musa
Akreditor
:
Ruhana binti Mahmod

Kredit : PortalMyHealth



Apa Hukumnya Menyalahkan Takdir Yang Berlaku Dalam Hidup Kita

2 Dec 2021



Soalan

Assalamualaikum. Bolehkah kita salahkan takdir dengan apa yang dah berlaku dalam hidup kita sebelum ini. Pernahkah takdir hidup yang kita hadapi ini salah. Setahu saya Allah telah aturkan segala perjalanan hidup seorang manusia. Mohon penjelasan Dato’ Mufti

Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Takdir (Qadha’ dan qadar)

Beriman dengan qadha’ dan qadar merupakan usul bagi kesempurnaan Iman. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab RA, Jibril AS bertanya kepada Nabi SAW, Beritahu akan aku berkenaan dengan Iman. Lalu Baginda SAW bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: Beriman kepada Allah SWT, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk

40 Hadis Nawawi (2)

Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran, setiap perkara yang berlaku di dalam kehidupan merupakan ketentuan Allah SWT, ini seperti firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)

(Surah al-Qamar, 49)

Dalam syarahan tafsir al-Sa’di menyatakan, ayat ini merangkumi ke semua makhluk termasuk yang berada di atas muka bumi atau di dalamnya. Sesungguhnya Allah SWT maha pencipta dan tiada yang selain daripadaya. Begitu juga setiap perkara yang berlaku dibawah pengetahuan dan pantauannya. (Lihat: Tafsir al-Sa’di, 1/827)

Menyalahkan Takdir

Menyalahkan takdir supaya dapat melepaskan diri daripada melakukan maksiat dan meletakkan kesalahan itu kepada takdir Allah SWT. Alasan ini telah sekian lama digunakan oleh golongan musyrikin seperti yang terdapat di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

سَيَقُولُ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّـهُ مَا أَشْرَكْنَا وَلَا آبَاؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَيْءٍ 

Maksudnya: Orang-orang musyrik akan mengatakan: "Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun".

(Surah al-An’am, 148)

Lalu Allah SWT menjawab persoalan yang dilontarkan Musyrikin dalam ayat yang sama, firman Allah SWT:

كَذَٰلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ حَتَّىٰ ذَاقُوا بَأْسَنَا ۗ قُلْ هَلْ عِندَكُم مِّنْ عِلْمٍ فَتُخْرِجُوهُ لَنَا ۖ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَخْرُصُونَ

Maksudnya: “Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta".

(Surah al-An’am, 148)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan: “Mereka menyangkakan pembohongan mereka itu dapat melepaskan diri mereka. Akan tetapi pembohongan mereka itu tidak berasas sama ada dari segi ilmu atau akal, ini disebabkan mereka membohongi Rasul. Allah SWT tetap juga akan membalas dengan azab dan siksa. Oleh kerana sifat Allah SWT yang maha adil dan disebabkan iktiar mereka serta usaha mereka ke arah kekufuran”. (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 1/623)

Bersangka Baik Terhadap Allah SWT

Bersangka baik kepada Allah SWT merupakan satu perintah yang wajib dipatuhi. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA, sabda Nabi SAW:

لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah SWT

(Hadis riwayat Muslim, 2877)

Kewajipan seseorang mukmin itu bersangka baik kepada Allah SWT. Serta memperbanyakkan lagi bersangka baik kepadaNya ketika ditimpa musibah dan ujian. Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis berkenaan bersangka baik kepada Allah SWT dengan menyatakan, “Para Ulama’ berpendapat makna bersangka baik kepada Allah SWT dengan percaya Allah SWT maha penyayang dan maha pengampun” (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim 17/210)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan serta nas-nas yang didatangkan, dapat disimpulkan di sini bahawa percaya kepada takdir merupakan salah satu daripada rukun Iman yang wajib dipercayai oleh setiap manusia. Selain itu Baginda SAW melarang hambanya merungut dan menyalahi takdir yang di tetapkan Allah SWT. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَىْءٌ فَلاَ تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا ‏.‏ وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ

Maksudnya: Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan “kalaulah aku melakukan itu dan ini”. Akan tetapi katakanlah “takdir (ketentuan) Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi.

(Hadis riwayat sahih Muslim, 2664)

Sebaiknya bersangka baik kepada Allah SWT serta bersabar dengan ujian dan musibah yang dihadapi. Firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah al-Sajadah: 24)

Oleh itu disarankan supaya memperbanyakkan berdoa agar diberi kekuatan iman. Serta mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan tentang agama dan akidah supaya dapat memahami dan menambah keyakinan terhadap Allah SWT.


Kredit: muftiwp


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.