SLIDER

niat
Showing posts with label niat. Show all posts

Puasa Sunat Arafah : NIAT, TATA CARA, WAKTU, KEUTAMAAN, KELEBIHAN

30 Jun 2022

 


TARIKH HARI ARAFAH 2022, KELEBIHAN & NIAT PUASA SUNAT

Esok kita akan sampai ke bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam. Terdapat beberapa amalan yang sunnah dapat kita lakukan di dalam bulan Zulhijjah yang istimewa ini.

Istimewanya Bulan Zulhijjah

Antaranya adalah puasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah. Tiada kelebihan khusus dari hari 1 hingga 8 Zulhijjah namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah kerana pada hari tersebut merupakan Hari Arafah dimana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Seterusnya melaksanakan ibadah Korban pada Hari Raya AidilAdha atau pada hari Tasyriq. Bagi sesiapa yang berkemampuan, hendaklah mereka merebut peluang ini kerana ganjarannya amatlah besar disisi Allah SWT.

Dan yang terakhir, kita digalakkan mengagungkan kebesaran Allah dengan berzikir melalui bertahmid, bertasbih, bertahlil dan bertakbir.

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

[HR al-Bukhari, hadis sahih]

Tarikh Hari Arafah Di Malaysia 2022

Hari Arafah jatuh pada 9 Zulhijjah iaitu bersamaan dengan 9 Julai 2022 bagi umat Islam di Malaysia.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai 2022, menurut pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 29 Jun 2022.

Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah adalah hari di mana Allah Taala sendiri mendekati hamba-hambanya.

Perkara ini disebutkan dalam hadis yang sahih. Sabda Rasulullah ﷺ:

ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة، وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة فيقول: ما أراد هؤلاء؟

“Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya dari neraka seperti Hari Arafah. Pada hari tersebut Allah mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hambanya) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (Sahih Muslim)

Kelebihan Puasa Sunat Arafah

Antara kelebihan puasa Arafah adalah:

  1. Puasa Arafah adalah satu jalan / ruang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar.
  2. Peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadat haji supaya mereka merebut fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
  3. Hari 9 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dikerjakan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding apabila dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
  4. Digalakkan juga perbanyakkan doa menurut riwayat Imam Malik, Rasulullah bersabda : “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

“Puasa hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya.”

(Sunan al-Tirmizi, no. 680, hadis hasan)

Niat Puasa Sunat Hari ‘Arafah

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى

“Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.”

Waktu Berdoa

Timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?

Nabi S.A.W bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah..”

Jika diteliti hadis Nabi s.a.w ini, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.

Bilakah hari Arafah?

Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.

Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.

Sabda Nabi s.a.w:

الحج عرفة

Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”

Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.

Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.

Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.

Nabi S.A.W bersabda:

ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..

Maksudnya: ” Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”

Kesimpulannya, tidak perlulah kita bersusah payah untuk menyesuaikan atau convert waktu wukuf di padang Arafah dengan waktu di Malaysia kerana masing-masing ada keistimewaan masing-masing.

Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.

Kredit : ecentral


Sudah Hujung Tahun, Jangan Lupa Tunaikan Zakat Harta

26 Dec 2021



MASYARAKAT Islam kini berada pada penghujung tahun 2021. Sudah sampai masanya ibadah zakat diberi perhatian terutamanya bagi individu yang menjadikan bulan Disember sebagai tempoh penuh dalam pengiraan zakat mereka.

Menyoroti Rukun Islam keempat itu, zakat dikelaskan kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan harta. Zakat fitrah wajib ditunaikan oleh semua masyarakat Islam sebelum 1 Syawal setiap tahun.

Bagi zakat harta pula, ia diwajibkan kepada individu yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Antara lain adalah cukup haul (tahun), sempurna milik, cukup nisab (melepasi paras minimum) dan harta yang disifatkan al-nama (berkembang).

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis zakat harta. Ia termasuklah hasil perniagaan, pertanian dan ternakan, harta ma’adin (galian), harta rikaz (temuan atau karun), emas, perak serta mata wang, hasil pendapatan, wang simpanan, hasil pelaburan dan saham.

Berdasarkan historiografi, pensyariatan zakat sangat unik berbanding dengan ibadah-ibadah yang lain. Ini kerana kewajiban tersebut telah menggabungkan dua tanggungjawab iaitu terhadap ALLAH SWT dan juga manusia.

Justeru, maqasid (objektif) dan hikmah zakat terbahagi kepada dua iaitu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT berdasarkan ibadah mahdah (semata-mata) yang bersifat pengabdian.

Satu lagi ibadah yang termasuk dalam kategori sedekah wajib itu bermatlamat untuk memenuhi kehendak fakir dan miskin yang lebih dikenali sebagai ibadah maliyah (harta).

Hikmah pensyariatan

Sesungguhnya, perintah melaksanakan zakat terselit pelbagai maqasid dan hikmah bagi memastikan maslahah dipelihara dan mafsadah (kerosakan) dicegah daripada menimpa kehidupan manusia.

Antaranya seperti berikut:

i. Membentuk kepatuhan dan ketaatan manusia kepada ALLAH SWT.

Imam al-Ghazali berpandangan, objektif utama pensyariatan zakat adalah untuk membuktikan sepenuhnya kepatuhan, ketaatan, pengabdian diri dan keimanan kepada ALLAH SWT.

Masakan tidak, segala harta adalah hak milik mutlak ILAHI, manakala manusia hanyalah sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir harta di sekeliling dengan sebaiknya.

Sebagai bukti menzahirkan tanggungjawab tersebut, maka setiap insan diuji dengan kewajipan berzakat iaitu dengan mengeluarkan kadar tertentu daripada harta yang dikurniakan kepada mereka.

ii. Manifestasi kesyukuran seorang hamba.

Begitu besar imbalan bagi mereka yang berbuat demikian sehinggakan ALLAH SWT berjanji untuk menyuburkan harta dan menambah nikmat bagi orang yang bersyukur.

Firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan tambahi nikmat-KU kepada kamu…” (Surah Ibrahim, ayat 7)

iii. Menghapus dan membersihkan diri seseorang daripada dosa.

ALLAH SWT berfirman: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya ENGKAU membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)…” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Seterusnya, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menegaskan bahawa perbuatan mengeluarkan harta bertujuan untuk pembersihan daripada dosa.

Baginda SAW bersabda: “Sedekah itu memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

iv. Memupuk jiwa menjadi pemurah, melatih diri menunaikan amanah dan menyampaikan hak orang lain.

Secara tidak langsung, ibadah zakat dapat menghiasi akhlak dengan sifat dermawan dan pemurah, selain membuang sifat kikir dan kedekut kerana fitrah manusia sangat sayangkan harta benda.

v. Mewujudkan kesatuan masyarakat dan jaminan sosial.

Amalan zakat menjadi medium yang berperanan secara langsung kepada asas jaminan sosial. Harta yang terkumpul akan disalurkan untuk tujuan kebajikan dan keredaan ALLAH SWT sebagaimana yang terangkum dalam konsep jaminan sosial.
Ia adalah satu bentuk perkongsian menerusi kaedah mengambil harta daripada golongan kaya dan berada untuk diberikan kepada kelompok miskin, melarat serta melata termasuk mereka yang memerlukan.

Falsafah zakat juga menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam.

vi. Mewujudkan suasana aman dan tenteram dalam kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara.

Perkara itu boleh digambarkan melalui ketiadaan kes jenayah, rompakan dan sebagainya sekiranya golongan yang memerlukan kewangan dibantu dengan wang zakat.

Demikianlah manfaat zakat yang diperincikan dalam Islam agar seluruh umat Islam termotivasi dan cakna untuk melaksanakan kewajiban tersebut.

Sinergi institusi-institusi zakat di Malaysia yang berperanan dan bertanggungjawab dalam menguruskan zakat perlu lebih efektif dengan menjalankan kempen kutipan zakat.

Pada masa sama, bersedia membantu dan memberi khidmat terbaik kepada seluruh masyarakat Islam.

Kredit :

***Dr Azri Bhari ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.

SInarIslam


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.