Roh Tidak Kembali Ke Dunia
RAMADAN
datang lagi. Kemuliaan dan kelebihannya dirasakan tidak perlu lagi dihuraikan
kerana majoriti umat Islam arif tentangnya. Pasang surut ‘kemeriahannya’ secara
asasnya terbahagi kepada tiga fasa - 10 hari pertama saf masjid dan surau
meriah dengan jemaah, 10 hari kedua semakin berkurangan dan 10 hari terakhir
yang tinggal hanya imam serta beberapa penunggu setia masjid sahaja.
Masuknya
Ramadan, antara topik popular dalam laman sosial ialah tentang isu pulangnya
roh untuk meninjau dan mengutip pahala daripada anak-anak serta saudara-mara
mereka yang masih hidup.
Maka
ramailah yang akan berkongsi maklumat ini tanpa terlebih dahulu memperinci
kesahihannya. Alasan lazim yang diberikan, “aku dengar ada ustaz kata begitu.
Guru agama aku pun cakap benda sama...,”.
Perlu
diperbetul bahawa kesahihan mengenai isu agama bukannya berdasarkan kepada nama
individu tetapi wajib bersandarkan kepada sumber asal agama iaitu al-Quran,
sunnah yang sahih, ijmak dan kias.
Fokus
kali ini merupakan hasil susunan jawapan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk
Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri dan beberapa tokoh agama lain mengenai isu
pulangnya roh orang mati.
HAKIKAT
ROH
Sebenarnya
pengetahuan manusia mengenai roh terlalu sedikit. Firman Allah, “Dan mereka
bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan
Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja,”
(al-Isra’: 85)
Syeikh
Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman:
ayat itu menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara
mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah
memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan
menyerahkan urusannya kepada Allah.
Mereka
yang meninggal dunia, roh mereka tidak mungkin kembali semula ke dunia, sama
ada untuk menziarahi ahli keluarga atau membalas dendam.
Antara
dalil-dalil:
1.
“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah
aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah
kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam
barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan
semula (pada hari kiamat).” (al-Mu’minuun: 100)
l
Imam Ibn Jarir al-Tabari menukilkan riwayat Mujahid Rahimahullah (tabiin dan
juga anak murid kepada Ibn Abbas r.a.) bahawa barzakh di dalam ayat itu ialah
hijab (seperti tembok penghalang) antara orang yang telah mati untuk pulang ke
dunia.
2.
“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu
jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajal semasa matinya, dan jiwa
orang yang tidak mati dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang
Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga
sampai ajal yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk
memahaminya).” (al-Zumaar: 42)
Ayat
di atas menunjukkan bahawa roh orang mati tidak akan kembali, bahkan Allah yang
berkuasa menahannya daripada kembali ke dunia. Ini seperti riwayat daripada
Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabiin dan juga anak murid kepada Ibn Abbas
r.a.) yang mengatakan bahawa telah dikumpulkan antara roh-roh orang yang hidup
dan mati (di dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang mati dan melepaskan
roh orang yang hidup kepada jasadnya semula.
3.
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam musnadnya
daripada Jabir r.a.:
“Telah
berkata kepadaku Rasulullah SAW: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui
bahawa Allah SWT telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah
kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku
terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku
telah memutuskan bahawa mereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke
dunia.”
KESIMPULAN
Berdasarkan
kepada nas dan pendapat para ulama, kami (Irsyad al-Fatwa) nyatakan bahawa roh
tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ia berada di satu alam yang dinamakan
barzakh.
Nas
yang sahih lagi jelas seperti yang terdapat pada hadis Jabir r.a menjadi
pemutus dan penghukum di samping tafsiran para mufassirin mengenai ayat-ayat
al-Quran yang berkaitan dalam isu ini, yang mana menunjukkan bahawa roh tidak
dapat kembali ke dunia.
KEBIASAANNYA
pada zaman dahulu menjelang penghujung Ramadan, kebanyakan rumah di kampung
mula dihias dengan pelita minyak tanah, terutama di sepanjang jalan masuk ke
kawasan halaman rumah.
Selain
bagi menimbulkan suasana menjelang Aidilfitri, dikatakan bahawa tradisi itu
kononnya bertujuan meraikan kepulangan roh-roh keluarga untuk melihat
waris-waris yang ditinggalkan. Roh yang baik peluangnya amat tinggi untuk
dibenarkan ‘turun’ ke dunia, manakala bagi yang kurang amalannya hanya mampu
‘menggigit jari’.
Kononnya
apabila roh pulang, perkara pertama yang bakal dilakukan ialah kembali ke kubur
untuk melihat jasad mereka sebelum meneruskan perjalanan ke rumah pusaka,
anak-anak dan rumah orang yang selalu mendoakan mereka.
Roh
ini akan kembali ke Luh Mahfuz pada malam 1 Syawal bersama ‘poket’ yang sarat
dengan amalan-amalan yang disedekahkan oleh waris-warisnya.
Sementara
itu, Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam yang juga pengasas Pusat
Rawatan Islam Darussyifa, Datuk Dr. Haron Din turut mengulas mengenai
isu ini.
Antara
penjelasan beliau:
1.
Orang meninggal dunia bermaksud rohnya berpindah ke alam baqa’ yang bermula
dari kubur.
-
Hadis Nabi SAW menyebut (yang bermaksud), “Alam kubur itu adalah suatu tempat
tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui,
menuju ke alam akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh,
maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari
kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia,”
2.Barzakh
bermaksud pemisah atau penghalang seumpama sebuah tembok kukuh yang memisahkan
antara dua alam.
-
“Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang
yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.” (Surah
az-Zumar, ayat 42)
3.Banyak
ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa roh si mati berada dalam suatu
kepungan barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Alam barzakh
adalah suatu alam yang ditutup rapat.
4.
Logiknya, jika roh boleh kembali ke dunia, melakukan pelbagai perkara, sudah
tentu orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada
balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Haron
mengakui terdapat tanggapan segelintir bahawa roh kembali ke dunia dan meminjam
jasad-jasad tertentu. Berdasarkan kepada pengalamannya, ada yang mendakwa dirinya
Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya serta mampu
mengubat orang melalui ilmu yang diperoleh daripada orang telah mati.
“Semuanya
tidak benar dan ditolak oleh Islam. Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan
roh, dalam istilah Arab disebut ‘tanasuthil arwah’ - reincarnation. Elemen ini
wujud dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada
semua fahaman ini.
“Umat
Islam mesti beriman bahawa roh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh
masuk ke dalam diri orang lain. Satu jasad satu roh, apabila dipisahkan, jasad
akan tinggal di alam dunia, roh kembali ke alam barzakh.
“Apabila
tiba hari Kiamat, jasad akan dijadikan semula dan roh akan mencarinya untuk
dihisabkan oleh Allah SWT,” katanya.
Jawapan
ini boleh dirujuk melalui:
www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/945-irsyad-al-fatwa-ke-112-bolehkah-roh-orang-yang-telah-mati-kembali-ke-dunia
No comments
Post a Comment