Orang Bukan Islam Turut Berpuasa? Ikuti Pengalaman Mereka
Ibadah berpuasa yang merupakan rukun Islam ketiga ini adalah amalan
wajib bagi setiap individu yang beragama Islam dan harus dilaksanakan
selama sebulan pada bulan Ramadan.Namun siapa sangka, hidup dalam negara berbilang kaum seperti di
Malaysia, pengalaman menahan lapar dan dahaga sepanjang hari turut sama
dirasai oleh masyarakat dari agama lain. Ternyata bukan umat Islam
sahaja yang tertarik dengan amalan berpuasa pada bulan Ramadan, malah
orang bukan Islam juga dilihat turut terpesona dengan keindahan bulan
tersebut.
Menurut Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman, Eksekutif Kanan Unit Dakwah
& Pemasaran Sektor Swasta di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Kuala
Lumpur, “Dari pada asasnya orang bukan Islam tidak disyariatkan untuk
berpuasa atau apa-apa juga amalan dalam Islam kerana dari sudut
ganjaran, pahala memang tidak ada. Tetapi jika mereka ingin mencuba
belajar itu tidak menjadi masalah. Semoga dengan mengalami perasaan
berpuasa itu akan menyebabkan mereka tertarik kepada Islam.”
Gambar: Ustaz Ahmad Husni
Mereka turut berkongsi pengalaman mereka ketika berpuasa di bulan Ramadan:
Vincent Channel Omar, 25
Cerita unik berpuasa Vincent bermula sejak kecil lagi dimana dia
telah didedahkan dengan persekitaran teman-teman dan jiran-jirannya
beragama Islam. Dari situlah dia belajar serba sedikit tentang puasa
tetapi cuba bertahan selama dua hingga tiga hari sahaja. Tetapi memasuki
ke umur 18 tahun dan menyambung pengajiannya di Malaysia Institute of
Integrated Media (MIIM), teman-teman selalu berpesan bahawa puasa adalah
untuk menahan nafsu dan memperingati orang yang tidak bernasib baik.
"Atas galakan teman-teman, saya turut belajar berpuasa dan kemeriahan
cukup terasa sewaktu berbuka dan sahur. Bermula dari situ, saya belajar
untuk berpuasa penuh selama sebulan."
Mengakui dirinya kuat makan, Vincent berasa puas hati apabila dapat
mengawal nafsu makannya dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan
persahabatan. "Jika ke bazar Ramadan, menu kegemaran saya adalah nasi
kerabu, laksa, ayam percik dan kuih sago. Kalau air, saya cari air
katirah. Tapi pernah sekali saya dan teman-teman beragama Islam drive
sampai ke Melaka hanya untuk berbuka di rumah teman sebab si dia ni
beritahu masakan maknya terbaik. Memang seronok bulan Ramadan ni apabila
kita dapat berkongsi rezeki. Untuk anda yang mahu cuba berpuasa, cuba
untuk bangun sahur dan makan something serta minum air secukupnya. Tapi bila berbuka, jangan membazir duit dan makanan pula," tegas Vincent diakhir perbualan.
Prabanandan Ramachanderan, 28
Bagi seorang guru di Kolej Vokasional Gerik ini pula, dia mula belajar
berpuasa ketika di tingkatan enam kerana terlalu ramai kawan yang
beragama Islam. Apabila masuk universiti pula, pun ramai kenalannya juga
beragama Islam dan dia turut mengikut mereka berpuasa. "Kami sama-sama
akan ke bazar membeli juadah berbuka dan bangun sahur. Saya berasa
seronok apabila berpuasa dan tidak berasa lapar pun. Kini saya bergelar
seorang guru dan juga merangkap warden asrama, 99% daripada
pelajar saya beragama Islam dan saya turut puasa bersama mereka. Saya
akan ke bazar apabila ada masa lapang dan juadah berbuka yang menjadi
kegemaran saya adalah kuih tepung pelita."
Lebih dikenali sebagai Mr Praba di kalangan pelajarnya, Praba turut
memberikan pesanan epik kepada teman-teman yang bukan beragama Islam
yang ingin berpuasa: "Tiada salahnya jika anda ingin mencuba, kitakan
satu Malaysia."
Jillian Teh, 26
Gadis cantik yang merupakan seorang eksekutif jualan ini turut berpuasa
kerana sifat ingin tahu. Dia turut dikelilingi teman-teman beragama
Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan dan ini membuatkan dia ingin
mencuba. "Saya cuba berpuasa selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan
Ahad kerana saya banyak menghabiskan masa di rumah. Apabila berpuasa,
mampu mengawal rasa nak makan dan minum itu amat berkesan. Ketika
berpuasa, saya tidak bersahur seperti biasa. Tetapi apa yang
menggembirakan hati saya apabila saya menghadiri majlis berbuka puasa
anjuran tempat saya bekerja dan berpeluang berbuka puasa bersama
anak-anak yatim dan melihat mereka gembira serta mampu berpuasa
menceriakan hati saya."
Bersempena Ramadan juga dia turut ke bazar Ramadan untuk mencari
juadah kegemarannya iaitu nasi briyani dan ayam madu. Tambah Jillian
lagi, "Tinggal di dalam negara yang berbilang kaum membuatkan saya ingin
mencuba pelbagai adat, kebudayaan dan peraturan pelbagai bangsa. Anda
juga patut mencuba berpuasa kerana ia membuatkan anda lebih mengenali
teman-teman anda dan juga turut sama memberikan sokongan moral kepada
mereka."
Howell Gunner, 32
Bagi Penyelaras Seni Bina yang berasal dari Kiulu, Sabah ini, dia pernah
belajar berpuasa ketika menuntut di istitusi pengajian tinggi di Kuala
Lumpur. Kata Howell, "Pada waktu itu saya menetap bersama dengan teman
serumah yang beragama Islam. Sahur, saya akan bangun dan kebiasaannya
saya akan makan roti. Cubaan nak berpuasa masa itu konon macam nak diet
dan kecilkan perut. Hari pertama berpuasa, saya mampu bertahan sehingga
ke waktu berbuka dan rasa cukup gembira kerana berjaya menahan lapar
dahaga. Namun masuk hari ketiga, keempat dan kelima, saya mulai lemah,
tak tahan dan tak boleh fokus pada pelajaran."
Memiliki teman serumah yang memahami, ada teman serumahnya berpesan,
tak perlulah nak berpuasa dan jangan risau kalau nak makan di dalam
rumah tanpa rasa bersalah. "Pada saya, apabila saya turut belajar
berpuasa ini, ia banyak mengajar tentang hormat diantara satu sama lain.
Kita dapat rasa apa yang kawan-kawan beragama Islam rasa sedikit
sebanyak dan ia juga mengeratkan persahabatan. Sampai ke hari ini, saya
ada juga singgah ke bazar Ramadan berdekatan rumah kerana kegemaran saya
adalah kuih pulut panggang, kuih koci dan juga lemang".
Suresh Raman, 45
Bagi pengurus jualan ini, pengalamannya berpuasa memberikan banyak
kenangan manis. "Saya pernah berpuasa ketika zaman bujang dan tinggal
bersama teman serumah. Kebetulan teman serumah pada waktu itu beragama
Islam jadi saya nak cuba untuk berpuasa. Selain nak cuba, saya nak
mencabar diri saya untuk menahan lapar dan dahaga selama 15 jam itu.
Saya bertahan berpuasa selama seminggu."
Bercerita lanjut mengenai perkara yang paling seronok semasa bulan Ramadan,"kenangan paling best,
apabila saya pergi keluar membeli juadah berbuka bersama teman serumah,
beli barangan basah untuk dimasak ketika sahur dan saya masih ingat
kami bangun jam tiga pagi untuk memasak juadah sahur. Pada saya, ini
satu pengalaman yang menarik dan setiap orang perlu cuba. No harm trying."
Lester Calvin Miol, 30
Bagi pengurus program stesen radio Kupi-Kupi FM di Kota Kinabalu ini,
dia mengambil kesempatan bulan puasa untuk turut serta berpuasa. Menurut
Lester, pada awalnya memang agak kurang bertenaga sebab tak biasa tapi
lama-kelamaan dia boleh bertahan. "Sudah empat hari berpuasa di bulan
Ramadan tahun ini. Saya menganggap puasa adalah suatu yang cukup indah.
Saya merasakan teman-teman yang bukan Islam seharusnya cuba berpuasa
walaupun sehari kerana puasa ini ibarat detox, sesuai untuk mencuci bahagian dalaman badan."
Menjadikan bazar Ramadan Kem Askar Lok Kawi sebagai lokasi pilihan,
Lester amat gemarkan nasi dagang sebagai juadah berbuka di bulan puasa.
Tambah Lester, "Maklumlah di Kota Kinabalu ni susah nak dapat nasi
dagang pada hari-hari biasa dan selalunya ada banyak pada bulan
Ramadan."
Joshua Nicholas, 27
Menurut Joshua, pengalaman berpuasa adalah sesuatu yang sangat menarik!
Kata eksekutif jualan di CtrlShift ini, "Dah lama saya ingin cuba
berpuasa tapi timing selalu tak kena. Jadi apabila tiba Ramadan
saya ambil kesempatan bulan ini dengan turut berpuasa bersama. Cuba
berpuasa selama sebulan, kadang-kala ia sangat menduga. Dalam masa
sebulan tu, tidaklah saya berpuasa seperti teman-teman beragama Islam
dimana ada ketikanya saya minum kerana terlalu dahaga. Jadi apabila tiba
waktu berbuka, saya akan mengajak teman-teman yang bukan Islam untuk
berbuka puasa disamping mereka menikmati makan malam."
Joshua mengakui dia bukanlah jenis yang suka ke bazar Ramadan kerana
bazar terletak jauh dari rumah. "Pesanan saya buat teman-teman bukan
Islam untuk cuba merasai pengalaman berpuasa, elakkan lalu di tepi kedai
Famous Amos kerana aroma biskutnya sangat menusuk kalbu dikala anda
cuba menahan lapar dan dahaga. Cubalah sesuatu yang baru, yang tidak
pernah anda lakukan selama ini dan saya pasti anda juga akan teruja,"
katanya.
Jadi kesimpulannya, tidak salah untuk anda yang bukan beragama Islam
yang ingin cuba berpuasa untuk merasai sendiri kemeriahan dan ketenangan
bulan Ramadan. Hidup di dalam negara yang berbilang kaum ini seharusnya
menjadi kelebihan buat kita sama-sama berkongsi adat dan kebudayaan.
Oleh : Azwa Rahman
Kredit : RojakDaily
Oleh : Azwa Rahman
Kredit : RojakDaily
No comments
Post a Comment