SLIDER

rahmat
Showing posts with label rahmat. Show all posts

Orang Bukan Islam Turut Berpuasa? Ikuti Pengalaman Mereka

29 May 2017












Ibadah berpuasa yang merupakan rukun Islam ketiga ini adalah amalan wajib bagi setiap individu yang beragama Islam dan harus dilaksanakan selama sebulan pada bulan Ramadan.Namun siapa sangka, hidup dalam negara berbilang kaum seperti di Malaysia, pengalaman menahan lapar dan dahaga sepanjang hari turut sama dirasai oleh masyarakat dari agama lain. Ternyata bukan umat Islam sahaja yang tertarik dengan amalan berpuasa pada bulan Ramadan, malah orang bukan Islam juga dilihat turut terpesona dengan keindahan bulan tersebut.

Menurut Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman, Eksekutif Kanan Unit Dakwah & Pemasaran Sektor Swasta di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Kuala Lumpur, “Dari pada asasnya orang bukan Islam tidak disyariatkan untuk berpuasa atau apa-apa juga amalan dalam Islam kerana dari sudut ganjaran, pahala memang tidak ada. Tetapi jika mereka ingin mencuba belajar itu tidak menjadi masalah. Semoga dengan mengalami perasaan berpuasa itu akan menyebabkan mereka tertarik kepada Islam.”

Gambar: Ustaz Ahmad Husni

Mereka turut berkongsi pengalaman mereka ketika berpuasa di bulan Ramadan:

Vincent Channel Omar, 25


Cerita unik berpuasa Vincent bermula sejak kecil lagi dimana dia telah didedahkan dengan persekitaran teman-teman dan jiran-jirannya beragama Islam. Dari situlah dia belajar serba sedikit tentang puasa tetapi cuba bertahan selama dua hingga tiga hari sahaja. Tetapi memasuki ke umur 18 tahun dan menyambung pengajiannya di Malaysia Institute of Integrated Media (MIIM), teman-teman selalu berpesan bahawa puasa adalah untuk menahan nafsu dan memperingati orang yang tidak bernasib baik. "Atas galakan teman-teman, saya turut belajar berpuasa dan kemeriahan cukup terasa sewaktu berbuka dan sahur. Bermula dari situ, saya belajar untuk berpuasa penuh selama sebulan."

Mengakui dirinya kuat makan, Vincent berasa puas hati apabila dapat mengawal nafsu makannya dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan. "Jika ke bazar Ramadan, menu kegemaran saya adalah nasi kerabu, laksa, ayam percik dan kuih sago. Kalau air, saya cari air katirah. Tapi pernah sekali saya dan teman-teman beragama Islam drive sampai ke Melaka hanya untuk berbuka di rumah teman sebab si dia ni beritahu masakan maknya terbaik. Memang seronok bulan Ramadan ni apabila kita dapat berkongsi rezeki. Untuk anda yang mahu cuba berpuasa, cuba untuk bangun sahur dan makan something serta minum air secukupnya. Tapi bila berbuka, jangan membazir duit dan makanan pula," tegas Vincent diakhir perbualan.

Prabanandan Ramachanderan, 28

Bagi seorang guru di Kolej Vokasional Gerik ini pula, dia mula belajar berpuasa ketika di tingkatan enam kerana terlalu ramai kawan yang beragama Islam. Apabila masuk universiti pula, pun ramai kenalannya juga beragama Islam dan dia turut mengikut mereka berpuasa. "Kami sama-sama akan ke bazar membeli juadah berbuka dan bangun sahur. Saya berasa seronok apabila berpuasa dan tidak berasa lapar pun. Kini saya bergelar seorang guru dan juga merangkap warden asrama, 99% daripada pelajar saya beragama Islam dan saya turut puasa bersama mereka. Saya akan ke bazar apabila ada masa lapang dan juadah berbuka yang menjadi kegemaran saya adalah kuih tepung pelita."

Lebih dikenali sebagai Mr Praba di kalangan pelajarnya, Praba turut memberikan pesanan epik kepada teman-teman yang bukan beragama Islam yang ingin berpuasa: "Tiada salahnya jika anda ingin mencuba, kitakan satu Malaysia."

Jillian Teh, 26

Gadis cantik yang merupakan seorang eksekutif jualan ini turut berpuasa kerana sifat ingin tahu. Dia turut dikelilingi teman-teman beragama Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan dan ini membuatkan dia ingin mencuba. "Saya cuba berpuasa selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad kerana saya banyak menghabiskan masa di rumah. Apabila berpuasa, mampu mengawal rasa nak makan dan minum itu amat berkesan. Ketika berpuasa, saya tidak bersahur seperti biasa. Tetapi apa yang menggembirakan hati saya apabila saya menghadiri majlis berbuka puasa anjuran tempat saya bekerja dan berpeluang berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan melihat mereka gembira serta mampu berpuasa menceriakan hati saya."

Bersempena Ramadan juga dia turut ke bazar Ramadan untuk mencari juadah kegemarannya iaitu nasi briyani dan ayam madu. Tambah Jillian lagi, "Tinggal di dalam negara yang berbilang kaum membuatkan saya ingin mencuba pelbagai adat, kebudayaan dan peraturan pelbagai bangsa. Anda juga patut mencuba berpuasa kerana ia membuatkan anda lebih mengenali teman-teman anda dan juga turut sama memberikan sokongan moral kepada mereka."

Howell Gunner, 32

Bagi Penyelaras Seni Bina yang berasal dari Kiulu, Sabah ini, dia pernah belajar berpuasa ketika menuntut di istitusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Kata Howell, "Pada waktu itu saya menetap bersama dengan teman serumah yang beragama Islam. Sahur, saya akan bangun dan kebiasaannya saya akan makan roti. Cubaan nak berpuasa masa itu konon macam nak diet dan kecilkan perut. Hari pertama berpuasa, saya mampu bertahan sehingga ke waktu berbuka dan rasa cukup gembira kerana berjaya menahan lapar dahaga. Namun masuk hari ketiga, keempat dan kelima, saya mulai lemah, tak tahan dan tak boleh fokus pada pelajaran."

Memiliki teman serumah yang memahami, ada teman serumahnya berpesan, tak perlulah nak berpuasa dan jangan risau kalau nak makan di dalam rumah tanpa rasa bersalah. "Pada saya, apabila saya turut belajar berpuasa ini, ia banyak mengajar tentang hormat diantara satu sama lain. Kita dapat rasa apa yang kawan-kawan beragama Islam rasa sedikit sebanyak dan ia juga mengeratkan persahabatan. Sampai ke hari ini, saya ada juga singgah ke bazar Ramadan berdekatan rumah kerana kegemaran saya adalah kuih pulut panggang, kuih koci dan juga lemang".

Suresh Raman, 45

Bagi pengurus jualan ini, pengalamannya berpuasa memberikan banyak kenangan manis. "Saya pernah berpuasa ketika zaman bujang dan tinggal bersama teman serumah. Kebetulan teman serumah pada waktu itu beragama Islam jadi saya nak cuba untuk berpuasa. Selain nak cuba, saya nak mencabar diri saya untuk menahan lapar dan dahaga selama 15 jam itu. Saya bertahan berpuasa selama seminggu."

Bercerita lanjut mengenai perkara yang paling seronok semasa bulan Ramadan,"kenangan paling best, apabila saya pergi keluar membeli juadah berbuka bersama teman serumah, beli barangan basah untuk dimasak ketika sahur dan saya masih ingat kami bangun jam tiga pagi untuk memasak juadah sahur. Pada saya, ini satu pengalaman yang menarik dan setiap orang perlu cuba. No harm trying."

 

Lester Calvin Miol, 30

Bagi pengurus program stesen radio Kupi-Kupi FM di Kota Kinabalu ini, dia mengambil kesempatan bulan puasa untuk turut serta berpuasa. Menurut Lester, pada awalnya memang agak kurang bertenaga sebab tak biasa tapi lama-kelamaan dia boleh bertahan. "Sudah empat hari berpuasa di bulan Ramadan tahun ini. Saya menganggap puasa adalah suatu yang cukup indah. Saya merasakan teman-teman yang bukan Islam seharusnya cuba berpuasa walaupun sehari kerana puasa ini ibarat detox, sesuai untuk mencuci bahagian dalaman badan."

Menjadikan bazar Ramadan Kem Askar Lok Kawi sebagai lokasi pilihan, Lester amat gemarkan nasi dagang sebagai juadah berbuka di bulan puasa. Tambah Lester, "Maklumlah di Kota Kinabalu ni susah nak dapat nasi dagang pada hari-hari biasa dan selalunya ada banyak pada bulan Ramadan."

Joshua Nicholas, 27

Menurut Joshua, pengalaman berpuasa adalah sesuatu yang sangat menarik! Kata eksekutif jualan di CtrlShift ini, "Dah lama saya ingin cuba berpuasa tapi timing selalu tak kena. Jadi apabila tiba Ramadan saya ambil kesempatan bulan ini dengan turut berpuasa bersama. Cuba berpuasa selama sebulan, kadang-kala ia sangat menduga. Dalam masa sebulan tu, tidaklah saya berpuasa seperti teman-teman beragama Islam dimana ada ketikanya saya minum kerana terlalu dahaga. Jadi apabila tiba waktu berbuka, saya akan mengajak teman-teman yang bukan Islam untuk berbuka puasa disamping mereka menikmati makan malam."

Joshua mengakui dia bukanlah jenis yang suka ke bazar Ramadan kerana bazar terletak jauh dari rumah. "Pesanan saya buat teman-teman bukan Islam untuk cuba merasai pengalaman berpuasa, elakkan lalu di tepi kedai Famous Amos kerana aroma biskutnya sangat menusuk kalbu dikala anda cuba menahan lapar dan dahaga. Cubalah sesuatu yang baru, yang tidak pernah anda lakukan selama ini dan saya pasti anda juga akan teruja," katanya.

Jadi kesimpulannya, tidak salah untuk anda yang bukan beragama Islam yang ingin cuba berpuasa untuk merasai sendiri kemeriahan dan ketenangan bulan Ramadan. Hidup di dalam negara yang berbilang kaum ini seharusnya menjadi kelebihan buat kita sama-sama berkongsi adat dan kebudayaan. 

Oleh : Azwa Rahman
Kredit : RojakDaily 

Jangan Buang Bayi....Berikan Kepada Saya

31 Jul 2010


SAYA amat tertarik membaca luahan Wan Baling, Kedah yang merayu agar remaja yang hamil anak luar nikah menyerahkan bayi mereka kepadanya untuk dijaga dan tidak membuang bayi yang tidak bersalah itu ke dalam tong sampah dan sebagainya. Untuk pengetahuan pembaca, saya sebenarnya mempunyai kisah yang agak menarik berkaitan anak "istimewa" ini. Saya dan suami telah mendirikan rumah tangga sejak September 2002. Malangnya sehingga menjelang ulang tahun perkahwinan kami keenam saya masih belum pernah sekalipun mengandung.

Pelbagai cara juga telah kami lakukan. Malahan usaha terakhir saya di salah sebuah hospital swasta popular telah dikhabarkan bahawa saya yang sebenarnya mempunyai masalah iaitu ovum @ telur yang saya hasilkan terlalu kecil dan kerana itu ia sukar untuk bersenyawa dengan sperma suami. Akhirnya kami pasrah. Pada 1 Syawal tahun 2008, ketika pulang beraya di kampung, kami dikhabarkan oleh pakcik saya bahawa terdapat seorang gadis telah melahirkan seorang bayi perempuan yang tidak berbapa.

Gadis ini bercadang untuk memberikan anak tersebut kepada orang lain untuk dijaga. Tanpa berfikir panjang, saya dan suami segera bersetuju dan menelefon pihak yang mengenali gadis tersebut untuk memaklumkannya. Pada masa itu, sepupu saya yang juga hampir sebaya usia perkahwinannya dengan saya turut mahukan bayi ini kerana dia juga tidak pernah sekalipun mengandung sepanjang usia perkahwinannya (tetapi telah mengambil seorang anak angkat lelaki). Akhirnya kata putus dibuat dan sepupu mengalah untuk membiarkan saya dan suami yang mengambil dan memelihara anak tersebut.

Malangnya, semenjak dilahirkan anak itu terus ditahan di wad hospital kerana telah lemas di dalam perut ibu akibat lewat dibawa ke hospital. Tanpa jemu dan putus asa, saya dan sepupu berulang-alik melawat bayi itu di hospital yang terletak di Pantai Timur sedangkan kami tinggal di Lembah Kelang. Akhirnya, selepas 40 hari, barulah anak itu dapat dibawa keluar dari hospital dan diserahkan kepada kami beserta dengan dokumen perubatan dan temujanji doktor yang tidak kurang banyaknya.

Pada mulanya, saya yang tiada pengalaman menganggap ini hanyalah kebiasaan pada bayi yang baru lahir. Tetapi, setelah beberapa minggu, barulah saya perasan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada anak itu. Selepas dirujuk kepada doktor dan ditambah dengan temujanji yang dibuat dengan doktor pakar di hospital tempat kelahirannya, barulah kami jelas bahawa anak ini sebenarnya telah mengalami masalah akibat kemalangan yang dihadapi di saat dia dilahirkan dulu. Telinga kiri anak perempuan saya itu tidak dapat mendengar. Malahan tangan dan kaki kirinya juga tidak dapat berfungsi dengan sempurna (akibat dari lemas ketika kelahiran, otak kanannya terjejas dan merosakkan fungsi organ kiri). Untuk itu, kami perlu membawanya untuk menghadiri sesi fisioterapi dan sebagainya.

Tetapi, sedikitpun anak ini tidak memberi masalah atau memberi beban kepada kami. Kehadirannya cukup menceriakan seisi rumah malahan dia menjadi perhatian semua ahli keluarga saya termasuk menjadi kesayangan sepupu saya tadi. Tambah istimewa, hanya selepas menjaganya dua bulan dan pada usia anak perempuan saya ini menjangkau umur tiga bulan, saya sendiri telah disahkan hamil. Makin bertambah kasih kami kepada anak ini kerana mungkin berkat kehadirannya dalam hidup kami suami isteri, hormon di dalam badan saya semakin aktif dan akhirnya saya disahkan mengandung.

Kini, hampir 2 tahun berlalu dan saya sekarang menjadi ibu kepada sepasang anak perempuan dan lelaki yang cukup comel dan keletah. Kasih sayang kami kepada kedua-duanya tidak pernah berbelah bahagi. Malahan, tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa ahli keluarga saya lebih menyayangi anak "istimewa" saya ini berbanding adik lelakinya memandangkan dia merupakan seorang anak perempuan yang bijak, comel dan cukup cerdik walaupun ada sedikit kekurangan. Sebagai tambahan kepada surat dari Wan Baling, Kedah tadi, apa yang hendak saya kongsikan di sini ialah beberapa situasi yang saya alami sepanjang menjaga anak perempuan saya ini. Memandangkan saya dan suami berkulit hitam manis, anak lelaki kami juga mewarisi warna kulit yang sama.

Akan tetapi, anak perempuan saya ini putih dan cerah kulitnya. Ditambah pula dengan beza umur mereka yang agak rapat (jarak umur hanya 9 bulan dan tumbesaran hampir sama besar), jadi seringkali, saat berjalan sekeluarga anak-anak ini akan mendapat perhatian ramai. Pada yang tidak ambil pusing, mereka hanya akan berbicara sesama sendiri dan menganggap anak-anak saya ini kembar. Tetapi pada mereka yang berani dan lebih prihatin, persoalan yang bersarang di kepala biasanya akan terus diajukan kepada kami suami isteri. "Kembar ke? Umur berapa? Beza ye kulit mereka? Yang perempuan putih ikut siapa?" Itu antara soalan perangkap yang sering kami terima.

Pada insan yang hanya selisih di jalanan, mungkin jawapan mudah seperti "Iye, kembar" sudah memadai. Tetapi bagi mereka yang berjam-jam akan berada berada di tepi kita (saat menanti temujanji doktor, saat menghadiri kenduri kendara), jawapan sebenar tidak dapat dielakkan. Tetapi, tidak bermakna bila saya mengaku bahawa anak perempuan saya itu hanyalah anak angkat, adalah tanda bahawa saya tidak menghargainya atau membezakan mereka dua beradik. Seringkali cerita tentang kehadiran anak perempuan saya ini dan kemudian kisah saya hamil selepas kehadirannya akan turut saya ceritakan juga. Reaksi yang saya terima itulah yang ingin saya kongsi di sini.

Dari situ saya dapat kesimpulan bahawa terlalu ramai orang di luar sana yang tidak berpeluang untuk mengandung tetapi mahukan anak. Untuk mengambil anak angkat melalui saluran yang betul (Jabatan Kebajikan contohnya) kami sering dicerita dengan prosedur yang rumit dan susah sehingga menyebabkan anak-anak tanpa status inilah yang menjadi pilihan ramai sebenarnya. Oleh itu, kepada remaja di luar sana, andainya anda sudah tiada tempat untuk mengadu dan tidak mampu menjaga anak yang sembilan bulan anda kandungkan, berilah kepada orang lain.

Janganlah dibuang begitu sahaja. Jangan tambah dosa yang telah anda buat. Cuba dapatkan pula pahala apabila kami insan yang memerlukan ini mengucapkan terima kasih kepada anda atas anugerah "anak istimewa" ini dan juga terima kasih kerana anda tidak menjadi pembunuh. Sedikit nasihat untuk remaja terlanjur di luar sana. Atas pengalaman saya, ibu kepada anak yang saya pelihara ini tidak didakwa walaupun dia melahirkan anak luar nikah di hospital kerajaan. Ini kerana, melahirkan bukanlah satu kesalahan walaupun ia merupakan dosa besar kerana melahirkan anak luar nikah.

Menyorokkan kelahiran, membuang anak dan membunuh bayi yang tidak berdosa itu yang salah dan perlu dihukum oleh undang-undang dunia sebelum dihukum di akhirat kelak. Oleh itu, carilah pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak kerana rasanya bukan sahaja Wan Baling Kedah yang sanggup menjaga anda ibu terlanjur sehingga selamat melahirkan, tetapi ramai lagi pasangan yang sanggup berbuat demikian demi untuk memastikan anak-anak yang tidak berdosa juga dapat peluang untuk hidup seperti manusia yang lainnya.

Sebelum saya mengundur diri, tidak juga saya lupakan untuk bercerita sedikit tentang ibu kandung anak perempuan saya ini. Gadis tersebut yang telah insaf, kini telah pun berbahagia bersama suami dan anak perempuannya yang baru. Malahan hubungan kami sekeluarga dengan mereka juga terjalin dengan baik. Tidak ada apa yang perlu dirahsiakan dan dimalukan. Yang lepas biarlah lepas.

NOOR

Semenyih

Kredit : SuaraHati

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.