SLIDER

mangsa
Showing posts with label mangsa. Show all posts

Kesan Poligami Terhadap Anak-Anak: Antara Kebaikan dan Keburukan

2 Aug 2025



Poligami, satu amalan yang dibenarkan dalam Islam, sering menjadi perbincangan hangat dalam masyarakat. Fokus sering diletakkan pada hubungan antara suami dan isteri-isteri, namun satu aspek penting yang kadangkala terlepas pandang ialah kesan poligami terhadap anak-anak.

Bagaimana perasaan anak apabila ayah mereka berpoligami? Adakah mereka terkesan secara emosi, sosial dan psikologi? Atau mungkinkah ada nilai-nilai positif yang mereka pelajari daripada pengalaman ini?





APA ITU POLIGAMI

Poligami ialah perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada satu isteri dalam masa yang sama. Dalam Islam, ia dibenarkan dengan syarat lelaki tersebut mampu berlaku adil dari segi nafkah, masa, dan kasih sayang. Namun, keadilan yang dituntut bukan sahaja kepada isteri-isteri, tetapi juga kepada anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut.



KEBAIKAN POLIGAMI KEPADA ANAK-ANAK (JIKA DIURUS DENGAN BAIK)

Walaupun sering dikaitkan dengan kesan negatif, poligami juga berpotensi membawa manfaat tertentu kepada anak-anak, terutamanya jika ia dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan hikmah.

1. 🌱 Peluang Membesar Dalam Keluarga Besar

Anak-anak yang membesar dalam keluarga poligami berpeluang mengenali lebih ramai adik-beradik dan saudara tiri. Ini boleh memperkukuh kemahiran sosial, rasa kebersamaan, dan nilai kekeluargaan.

2. 🧠 Belajar Toleransi dan Empati

Melalui interaksi harian dalam keluarga besar, anak-anak berpeluang belajar toleransi, perkongsian, dan empati sejak kecil – nilai yang penting untuk hidup bermasyarakat.

3. 👨‍👩‍👧‍👦 Membentuk Jiwa Yang Matang

Cabaran yang wujud dalam keluarga poligami, jika ditangani dengan bimbingan yang betul, boleh menjadikan anak lebih matang, memahami realiti kehidupan, dan kuat dari segi emosi.

4. 📚 Peluang Pendidikan Luas

Dalam sesetengah kes, seorang ayah yang berpoligami mungkin mempunyai kemampuan ekonomi yang baik dan mampu menyediakan peluang pendidikan atau sumber sokongan tambahan untuk anak-anak daripada semua keluarga.



KEBURUKAN POLIGAMI KEPADA ANAK-ANAK (JIKA TIDAK DIURUS DENGAN BAIK)

Namun, dalam realiti masyarakat hari ini, keburukan poligami terhadap anak-anak lebih ketara, khususnya apabila berlaku pengabaian tanggungjawab dan ketidakadilan.

1. 💔 Rasa Terabai dan Kurang Kasih Sayang

Anak-anak mungkin merasa bahawa mereka dilayan tidak sama rata, terutama jika ayah lebih kerap berada di rumah isteri yang lain. Ini boleh menimbulkan rasa sedih, cemburu, dan tercabar dari sudut emosi.

2. ⚠️ Konflik Sesama Adik-Beradik Tiri

Jika tiada usaha membina hubungan yang sihat antara keluarga tiri, anak-anak boleh bermusuhan atau bersaing antara satu sama lain. Ini mewujudkan suasana yang tidak harmoni dalam keluarga.

3. 😔 Masalah Psikologi dan Keyakinan Diri

Anak-anak yang membesar dalam suasana tidak stabil mungkin mengalami:

  • Tekanan emosi

  • Kemurungan ringan atau berat

  • Kurang keyakinan diri

  • Masalah tingkah laku di sekolah atau masyarakat

4. ❓ Kekeliruan Identiti dan Nilai

Apabila anak melihat konflik antara ayah dan ibu-ibu, mereka mungkin mengalami kekeliruan tentang peranan keluarga, menyoal keadilan ayah, dan menyimpan perasaan negatif terhadap perkahwinan atau lelaki secara umum.

5. 🧍‍♀️ Ibu yang Tertekan, Anak yang Menderita

Dalam banyak kes, anak-anak menyerap emosi dan tekanan ibu mereka. Jika si ibu sering bersedih atau bercakap negatif tentang ayah atau madu, anak-anak akan mudah terpengaruh secara emosi dan pemikiran.



PERANAN AYAH DAN IBU DALAM MENGURANGKAN KESAN NEGATIF

Bagi ayah yang memilih untuk berpoligami, tanggungjawab bukan sekadar berlaku adil terhadap isteri-isteri, tetapi juga:

  • Memberi masa dan perhatian yang seimbang kepada semua anak

  • Menjadi pendengar dan pendidik emosi kepada anak-anak

  • Menjaga kestabilan hubungan antara anak-anak dan ibu mereka

  • Tidak menunjukkan pilih kasih secara terbuka

Bagi ibu pula, walaupun berada dalam tekanan emosi, penting untuk:

  • Tidak memindahkan rasa kecewa kepada anak

  • Membina hubungan harmoni dengan isteri lain demi kesejahteraan anak

  • Fokus pada didikan dan pembangunan anak-anak, bukan konflik



TIPS PRAKTIKAL UNTUK IBU BAPA DALAM KELUARGA POLIGAMI

Komunikasi




Ajak anak berbual tentang perasaan mereka. Dengarkan tanpa menghakimi.
Masa BerkualitiWujudkan masa eksklusif antara ayah dan anak-anak tanpa gangguan.
Pendidikan EmosiAjar anak cara mengurus emosi seperti marah, cemburu, atau kecewa.
Hubungan Antara Ibu Tiri dan AnakGalakkan hubungan hormat dan terbuka – bukan bermusuh.
Sokongan KaunselingPertimbangkan kaunseling keluarga jika ada tekanan berpanjangan.



MEMBINA KELUARGA POLIGAMI YANG SIHAT ADALAH TIDAK MUSTAHIL

Poligami itu sendiri bukanlah punca utama kepada masalah dalam keluarga. Yang lebih penting ialah bagaimana ia diurus. Jika ibu bapa bertindak dengan hikmah, adil, sabar dan berprinsip, anak-anak masih boleh membesar dalam suasana yang positif dan penuh kasih sayang.

Namun, jika poligami disertai dengan pengabaian, kezaliman emosi, dan konflik berpanjangan, maka bukan sahaja rumah tangga akan rosak, tetapi anak-anak turut menjadi mangsa jangka panjang.

Poligami adalah satu amanah besar. Ia bukan hanya soal hak lelaki, tetapi soal masa depan generasi yang dibesarkan dalam perkahwinan tersebut.

Waspada Child Sexual Grooming. Apa itu Sexual Grooming?

10 Jun 2025

 


Sexual grroming adalah proses di mana seorang pemangsa (biasanya orang dewasa) membina kepercayaan dengan kanak-kanak dan keluarga mereka untuk mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual. Ini boleh berlaku secara bersemuka atau dalam talian melalui media sosial, aplikasi pesanan, atau platform permainan.

Bagaimana Grooming Berlaku?
Pemangsa biasanya memulakan proses dengan membuat kanak-kanak merasa istimewa dan penting. Mereka mungkin memberi hadiah, pujian, atau perhatian yang luar biasa. Sedikit demi sedikit, mereka akan memanipulasi kanak-kanak untuk mematuhi permintaan yang tidak wajar, seperti berkongsi gambar peribadi atau melakukan tindakan yang tidak sesuai. Dalam kes yang lebih teruk, pemangsa mungkin berusaha untuk bertemu dengan kanak-kanak tersebut secara bersemuka.

Tanda-tanda Grooming Seksual
Sebagai ibu bapa atau penjaga, penting untuk peka terhadap perubahan dalam tingkah laku anak anda. Antara tanda-tanda grooming termasuk:

1. Berahsia dengan peranti elektronik
Kanak-kanak mungkin mula merahsiakan penggunaan telefon bimbit atau komputer mereka.

2. Berinteraksi dengan rakan baru yang tidak dikenali
Jika anak anda mula bercakap tentang "rakan" baru yang anda tidak kenal, ini boleh menjadi tanda bahaya.

3. Perubahan emosi atau kelakuan
Kanak-kanak yang sedang digrooming mungkin menunjukkan tanda-tanda kebimbangan, kemurungan, atau kemarahan yang tidak dapat dijelaskan.

4. Hadiah yang tidak diketahui sumbernya
Jika anak anda menerima hadiah daripada seseorang yang tidak dikenali, ia mungkin usaha untuk memanipulasi mereka.

Langkah Pencegahan

1. Pantau Aktiviti Dalam Talian
Pastikan anda tahu dengan siapa anak anda berkomunikasi dalam talian dan hadkan interaksi dengan orang yang tidak dikenali.

2. Bincangkan Risiko Grooming
Bercakap secara terbuka dengan anak anda tentang bahaya grooming seksual dan mengajar mereka untuk mengenali taktik pemangsa.

3. Tetapkan Had Yang Jelas
Ajar anak anda untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dengan sesiapa dalam talian tanpa kebenaran anda.

4. Sentiasa Berkomunikasi
Kekalkan komunikasi yang baik dengan anak anda supaya mereka merasa selamat untuk berkongsi apa-apa yang mengganggu mereka.

Sexual grooming kanak-kanak adalah ancaman yang serius dan perlu diambil perhatian oleh semua ibu bapa. Dengan kesedaran dan langkah-langkah pencegahan yang betul, kita boleh melindungi anak-anak kita daripada bahaya ini. Sentiasa berwaspada dan peka terhadap tanda-tanda grooming, kerana langkah awal boleh menyelamatkan masa depan mereka.

Kredit :
Dr Firdaus Haris

Wanita Bujang Bila Terjebak Bercinta Dengan Suami Orang, Susah Nak ‘Patah Balik’

3 Oct 2024

 


Hubungan percintaan antara wanita bujang dengan suami orang. Tidak dapat dinafikan, ramai wanita bujang yang terjebak dalam cinta begini. Kalau sudah terjebak, memang susah hendak ‘berpatah balik.’

Alasan yang diberikan biasanya dikatakan jodoh dan rasa kasih dan sayang pada lelaki yang berstatus suami orang. Bercinta dengan suami orang melibatkan banyak perkara terutama soal hati dan juga perasaan.

Wanita Bujang Bila Terjebak Berkawan Dengan Suami Orang

Melalui satu hantaran dilaman Facaebook, Firdaus Shakirin melontarkan pandangannya tentang mengapa wanita bujang perlu mengelakkan diri daripada menjalinkan hubungan dengan suami orang.

“Berkawan” dengan suami orang: Kalau boleh elak tu, elaklah…

Bila dah tersuka, bila dah dilamun cinta, terus dikatakan jodoh…nak buat macam mana kan…ketentuan ALLAH SWT…tapi pokok pangkal asal hubungan tu adalah sebab tidak pandai jaga pergaulan dan tidak tahu batas bila bergaul…

Bukan tidak tahu dia itu suami orang, tapi melayan juga…dari sekadar “cuma kawan”, sehinggalah terbinanya “satu hubungan.”

Susah Nak ‘Patah Balik’

TIGA SEBAB KENAPA PERLU ELAK BERKAWAN DENGAN SUAMI ORANG: 

1. Bukan semuanya mampu

Kita bukan hendak menidakkan perkara yang halal dan boleh untuk orang lelaki buat tapi syarat utama yang membolehkan dia untuk buat pilihan itu ialah mampu. Boleh dikatakan ramai lelaki yang bergelar suami pada hari ini, tidak mampu. Kalau dia betul-betul mampu, maka isteri dia tidak membantu langsung bab kewangan. Dari A to Z dia sediakan, semua hutang dia bayarkan siap ada pakej duit belanja yang fixed lagi setiap bulan untuk isteri.

Kalau bulanan pun, isteri bayar hutang, isteri top up perbelanjaan, keluar makan isteri bayar, minyak kereta isteri penuhkan, maka di mana “kemampuan” dia untuk beristeri lebih dari satu? Kalau dia teruskan juga niat dan perbuatan itu, maka penganiayaan akan berlaku disebabkan dia tidak mampu.

2. Niat nak test market, main-main, tak serius

Bukan semua yang menyentuh hati anda itu, membuatkan anda jatuh cinta dengannya ada nawaitu ingin menghalalkan anda, ada yang saja-saja test market, sekadar suka-suka, main-main. Dia tidak mahu ke peringkat seterusnya sebab dia tiada keinginan pun untuk ke peringkat itu.

Hubungan itu sekadar mengisi masa lapang, memenuhkan masa terbuang. Dia akan mengelak daripada membicarakan soal serius ke tidak, nak berkahwin ke tidak dan sebagainya. Dia akan berjanji sahaja sepanjang masa tapi dia langsung tidak mengotakan apa yang dijanjinya. Lebih teruk lagi, dia dapat “habuan”, dia blah dan memutuskan hubungan begitu sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Dia yang untung dan dia tak rugi apa-apa dalam hubungan yang macam ini.

3. Jangan menambahkan bilangan ibu tunggal

Biasalah, adat mula-mula hendak menumpang kasih. Bila kasih sudah ditumpang, maka mula tamak dan mahu ianya jadi hak milik seorang.

Yang pertama sudah mula rasa kurang senang, yang pertama sudah mula rasa diabaikan, yang pertama tak boleh terima diduakan, maka yang pertama pun “lebih rela” untuk bergelar ibu tunggal.

Ada suami yang sebelum bercinta dengan orang lain, sebelum berkenalan dengan orang lain, dia baik-baik sahaja dengan isterinya. Apabila berjumpa orang baru, dia jadi haru biru. Kewajipan sudah ke laut, nafkah sudah mula tak tunai. Anak isteri tak dihiraukan lagi  dek kerana keasyikan dilamun cinta baru.

Ditegur tak guna, dinasihat sia-sia. Maka putus asa dan redalah si isteri dalam mempertahankan rumah tangga asbab kemunculan orang ketiga. Si suami yang asalnya hendak membantu janda, telah menjandakan pula isteri sendiri.

Sebagai suami, jagalah pergaulan dan fahamilah batas-batas pergaulan. Kita keluar mencari nafkah untuk keluarga, bukan jodoh kedua. Tengok cermin, tengok atas bawah, sedarilah kemampuan kita dan ingatlah pengorbanan yang telah isteri kita lakukan.

Kepada ‘orang ketiga’ andai rosak sesebuah rumah tangga kerana perbuatan anda, maka bertanggungjawablah untuk menjawab soalan di akhirat sana. Allah Maha Adil dan Saksama.

Kredit : https://www.facebook.com/firdausshakirin.25/

Memerangi Pedofilia Tanggungjawab Semua

30 Sept 2024

 


Pedofilia dan pornografi kanak-kanak bukan isu enteng sebaliknya memerlukan perhatian kritikal. Dalam dunia serba moden ini, teknologi Internet dan gajet pintar menjadikan manusia semakin tenggelam dalam arus maklumat tanpa sempadan. Ledakan ini secara sedar memberi ruang cukup luas kepada industri pornografi untuk berkembang pesat.

Realitinya, tidak kira di mana anak muda kita berada ketika ini, akses pornografi melalui Internet dan telefon pintar menjadi sumber yang teramat sukar dikawal. Membandingkan pulangan industri ini dengan syarikat terkemuka dunia tiga tahun lalu, pornografi dilaporkan membawa keuntungan lebih besar daripada Google, Microsoft, Apple mahupun Amazon.

Tidak hairan jika dikhabarkan 12 peratus daripada seluruh laman web di dunia ini menjadi jaringan pornografi. Namun yang lebih menakutkan apabila statistik Google Trends melaporkan Malaysia menduduki tangga kelapan sebagai negara paling banyak pencari maklumat berkaitan pornografi!

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, pedofilia dan pornografi kanak-kanak adalah bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Kelompok ini sepatutnya disayangi dan dilindungi, bukan didera atau dieksploitasi secara fizikal, mental mahupun seksual.

“Kita pernah dikejutkan dengan berita mengenai Nur Fitri Azmeer Nordin, seorang penuntut jurusan Matematik di Imperial College yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah di London selepas didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah kanak-kanak, termasuk 601 imej ‘kategori A’ yang menggambarkan hubungan seks dengan kelompok bawah umur.

“Kita juga pernah berdepan kes pedofilia membabitkan warga Britain, Richard Huckle yang didakwa melakukan jenayah seksual terhadap 23 kanak-kanak dan bayi Malaysia serta Kemboja berusia enam bulan hingga 12 tahun. Dia juga didakwa mencabul sehingga 200 kanak-kanak, kebanyakannya daripada masyarakat miskin di Kuala Lumpur dari 2006 hingga 2014.

“Kes sebeginilah yang menimbulkan kerisauan, sekali gus menggesa IKRAM untuk mengambil tindakan dengan cepat dan tepat. Ini perlu ditangani berikutan ancaman yang semakin menular, merentasi sempadan dunia melalui kemudahan Internet dan pelbagai bentuk teknologi maklumat kini. Apa yang kita paling risau adalah kesan pornografi itu sendiri kepada keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita.

“Mereka ini anugerah Allah SWT untuk dijaga, dibelai, dilindungi dan dididik dengan sebaiknya. Merekalah aset bernilai buat agama dan negara. Generasi baru ini berhak untuk mendapatkan kehidupan yang selamat dan sejahtera,” katanya.

Pedofilia

Menurut Che Asmah, pedofilia merujuk kepada mereka yang mempunyai kecenderungan seksual kepada kanak-kanak. Ia adalah penyakit psikologi dan boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Bagaimanapun, mereka ini sukar dikesan kerana kelihatan normal dan sangat mesra dengan kanak-kanak.

“Dunia tanpa sempadan hari ini membuka ruang besar untuk kanak-kanak menggali maklumat. Tanpa kawalan ibu bapa, kelebihan ini sebenarnya boleh membawa risiko besar yang mungkin menjejaskan kesejahteraan dan kebajikan anak pada masa akan datang.

“Ini kerana kes pedofilia sangat berkait rapat dengan penyalahgunaan Internet. Mereka mengeksploitasi kanak-kanak yang belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi. Sebab itulah bimbingan dan pengawasan ibu bapa, penjaga dan guru sangat penting. Setiap pihak perlu merancang strategi efektif untuk menyelesaikan isu ini.

“Ibu bapa dan guru umpamanya, mereka perlu mempunyai kesedaran dan ilmu jelas mengenai pedofilia. Mereka harus tahu risiko serta ancamannya kepada kanak-kanak. Pengetahuan yang baik mengenai isu ini akan memberi lebih kefahaman kepada kita mengenai punca berlakunya pedofilia, kaedah penyelesaian, kesan gangguan seksual serta cara efektif untuk mengawal serta mencegah masalah ini.

“Paling penting, sebagai ibu bapa, kita harus komited untuk mengambil tahu dan mendalami isu ini kerana setiap anak-anak kita terdedah kepada ancaman pedofilia ini, tidak kira sebagai mangsa atau pemangsa,” katanya.

Memetik satu kajian di Amerika Syarikat, Che Asmah berkata, kira-kira tiga peratus daripada rakyat negara itu dijangka mempunyai masalah berkaitan pedofilia dan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Pengamal pedofilia ini dikenalpasti pakar psikiatri sebagai kelompok yang mengalami gangguan seksual dalam kehidupannya. Mereka tertarik melihat kanak-kanak sebagai objek seksual disebabkan pelbagai faktor, antaranya, naluri seks kepada kanak-kanak yang mudah dimanipulasi, tidak yakin untuk bersama wanita dewasa dan masalah hubungan yang terbantut.

“Kebanyakan pedofilia akan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian ibu bapa dan mudah percaya kepada orang asing. Sebab itu kita galakkan ibu bapa supaya sentiasa memberi tumpuan dan perhatian kepada si manja. Usah berkompromi dalam isu hubungan dan kasih-sayang kerana ia boleh mempengaruhi psikologi kanak-kanak ketika mereka membesar,” katanya.

Mendidik anak

Sekalipun berat, namun ibu bapa tetap perlu menerima hakikat bahawa pendidikan seks harus diterap di setiap peringkat umur kanak-kanak kerana ia membabitkan pembelajaran sepanjang hayat.

“Dalam zaman serba canggih ini, ibu bapa harus menguasai ilmu teknologi dan berusaha membimbing anak-anak melayari Internet secara sihat supaya tidak terjebak dalam gejala pornografi dan terdedah kepada ancaman pedofilia.

“Mereka perlu proaktif mendidik anak. Contohnya, ibu bapa di rumah perlu mengamalkan komunikasi terbuka dan asertif untuk menyampaikan maklumat, mengambil kira perwatakan dan kematangan anak-anak. Rangkalah satu jawapan yang baik, jelas dan sesuai dengan usia anak sekiranya mereka bertanyakan soal seks.

“Dalam Islam, pendidikan seks seharusnya bermula dari rumah. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad fil Islam menulis secara terperinci mengenai pendidikan seksual ini mengikut empat tahap umur iaitu mumayyiz (7-10 tahun) yang mana mereka diasingkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan dan diajar adab melihat juga adab meminta izin apabila ingin masuk ke bilik ibu bapa.

“Tahap kedua ialah prabaligh iaitu murahiqah (10-13 tahun). Meraka dididik mengenai perubahan diri juga diawasi daripada perkara yang boleh merangsang nafsu seks. Tahap ketiga umur akil baligh iaitu 14 hingga 16 tahun. Mereka diajar adab berhubungan antara lelaki dan perempuan dan tahap terakhir pada usia 17 tahun ke atas. Mereka ini diberi kefahaman mengenai tanggungjawab reproduksi dan dididik dengan adab menjaga maruah serta kehormatan diri,” katanya.

Jelas Che Asmah, di pusat pendidikan prasekolah dan sekolah rendah kini kanak-kanak seawal usia enam tahun sudah diajar solat dan wuduk. Justeru, tidak salah jika mereka turut diberi penjelasan mengenai haid dan air mani yang membatalkan wuduk.

“Ini bukanlah perkara tabu yang tidak boleh dibincangkan dan diterangkan kepada anak, bahkan ia satu keperluan bagi mereka untuk memahami sistem tubuh dan kepentingan untuk menjaganya.

“Pada era teknologi pesat ini, sekiranya kita tidak proaktif mendidik anak perihal ini, mereka sendiri akan mendapatkan informasi dari sumber Internet yang lebih cepat atau daripada rakan sebaya yang mana kita khuatiri ianya tidak tepat dan tidak sihat.

“Pada usia muda beginilah sebaiknya anak diberi pendedahan mengenai bahaya ancaman jenayah seksual oleh pelaku pedofilia. Bukan saja ibu, malah bapa turut berperanan membimbing mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat daripada orang asing. Ini antara bahagian paling penting dalam pendidikan seksual kanak-kanak kerana kegagalan kita memberi kefahaman sewajarnya kepada mereka akan menyebabkan kes seumpama itu tidak dilaporkan.

“Selain itu, kanak-kanak juga perlu diajar untuk sensitif dan berhati-hati dengan persekitaran, dipersiapkan dengan kemahiran melindungi diri dan dibimbing cara bertindak untuk mencegah perkara buruk. Kekalkan komunikasi baik dengan anak-anak dan galakkan mereka berinteraksi mengenai rutin harian,” katanya.

Beliau berkata, komunikasi berkualiti antara ibu bapa dan anak akan mencipta telepati kuat antara mereka. Dengan cara ini, ibu bapa biasanya akan memiliki gerak hati jika ada sesuatu perkara yang kurang baik berlaku atau perubahan negatif pada anak.

“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk keyakinan diri anak-anak supaya berani bersuara dan berkomunikasi sekiranya dibuli atau didera oleh salah seorang daripada pelaku jenayah seksual. Dalam masa sama, ibu bapa juga perlu sentiasa bersedia untuk mendengar, mempercayai dan menyiasat setiap aduan dari anak-anak walaupun membabitkan ahli keluarga terdekat dan orang yang dipercayai,” katanya.


Kredit : Hmetro

Kisah Tragis Wanita Dipaksa Kahwin Dengan Perogol Merupakan Abang Ipar Sendiri

9 Apr 2022


Kes wanita dirogol dan dipaksa berkawin dengan perogol sebagai mengambil ‘tanggungjawab’ dan menutup tindakan yang lakukan adalah amat tidak wajar. Trauma dan derita kisah hitam yang dihadapi pasti dapat dirasakan seumur hidup. Selebriti dan aktivis masyarakat Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 40 ada kongsikan posting didalam laman instagram beliau kisah tragis wanita yang terpaksa berkahwin dengan perogolnya sendiri. Semoga menjadi panduan terutama buat mak-mak, agar simpan sedikit perasaan ‘curiga’ pada walaupun pada ahli keluarga sendiri. Kena percaya dengan apa yang diluahkan oleh anak-anak sendiri dan jangan pandang remeh dengan luahan mereka.

Berikut merupakan posting yang dikongsikan Farrah Adeeba; Ini salah satu kisah #stopperogoldalamrumah #stoprapistinthehouse yang paling tragis. Kisahnya lebih panjang tapi saya kongsikan ringkasannya.

Apa yang saya pelajari ialah, ibu-ibu harus akrab dan sentiasa percaya kepada anak sekiranya mereka meluahkan yang mereka dianiaya, didera atau dirogol. Wanita ini lalui apa yang dia lalui kerana tidak dipercayai. Hampir kesemua kisah yang DM Farrah mengatakan mereka berdiam diri kerana takut tidak dipercayai. Anak anak harus tahu yang kita sebagai ibu akan percaya dan mempertakankan hak mereka. Akhir sekali saya yakin dengan maklumat kita mampu memberdayakan anak anak kita untuk berani. Ini antara usaha kempen ini. Kepada sesiapa yang setuju dengan cadangan kahwinkan mangsa dengan perogol, sila hadamkan kisah ini.

Berikut antara perkongsian kisah wanita tersebut; 

Salam Farrah, saya ada cerita dirogol abang ipar semasa saya di Tingkatan 3. Tapi saya tak berani beritahu keluarga sebab dia abang ipar kesayangan dan keluarga saya sangat percayakan dia. Saya trauma sampai sekarang umur 46 tahun.Kisah saya agak rumit Farrah. Saya kena tinggalkan rumah dan sekolah sebab macam-macam fitnah. Kakak saya bercerai dengan abang ipar. 

Saya terpaksa berkahwin dengan abang ipar sendiri sebab dia dah rosakkan saya.Semua orang termasuk keluarga sendiri fikir saya yang goda abang ipar. Mereka fikir saya yang jahat. Sekarang walaupun dah ada anak dengan abang ipar, saya masih rasa sakit hati dengan perbuatan dia sebab dia tak pernah rasa bersalah apa dia buat pada saya dan keluarga.Lebih lagi dia abaikan tanggungjawab pada saya.Semua waktu muda saya habis disebabkan kejahatan seorang abang ipar.


ADAKAH AWAK MASIH BERKAHWIN DENGAN DIA

Ya. Dan saya benci dia sepenuh hati. 


SUBHANNA ALLAH. AWAK MESTI BERITAHU KELUARGA.

Tak boleh. Saya ingin beritahu anak-anak ada perkara yang mereka perlu tahu mengenai ayah mereka. Tapi anak-anak tak nak dengar apa-apa perkara yang buruk mengenai ayah mereka. Saya minta tolong farrah untuk sampaikan pesanan ini kepada ibu bapa. Tolong nasihatkan ibu-ibu supaya jalinkan hubungan yang rapat dengan anak-anak terutama anak-anak perempuan.Jangan jadi macam saya. Bila benda ini jadi pada saya, Saya takut nak cakap dengan mak saya dan ahli keluarga yang lain.Sebab abang ipar orang yang sangat mereka sayang dan percaya. Saya minta sangat supaya ibu-ibu lain nasihatkan anak-anak baik-baik dan berlemah lembut supaya anak-anak percaya pada kita.Jangan terlalu berkeras dan suka membebel marah-marah.

Dekatkan diri kita dan rasa hormat pada anak-anak.Untuk diri saya sendiri saya serahkan nasib pada Allah SWT. Anak-anak saya sedang remaja.Jiwa mereka yang sangat sensitif.Ada yang nak SPM tahun ni. Saya mengadu pada tuhan.Kalau tak hak saya dapat di dunia Insya Allah akan ada diakhirat nanti. 

Nasihatkan juga ibu-ibu supaya ajar anak-anak hal-hal agama dari usia kecil. Baik anak lelaki mahupun perempuan. Supaya anak-anak tahu dosa, pahala dan aurat mereka antara ahli keluarga sendiri. Jadi buat mak-mak, mohon sangat jadikan kisah ini sebagai satu iktibar dan pengajaran. Dengarlah luahan anak-anak dan bina hubungan rapat dengan mereka. Tanamkan rasa kepercayaan pada mereka dan terbitkan sedikit rasa tidak mudah percaya dengan orang sekeliling walaupun ahli keluarga sendiri.


Kredit : Farrah Adeeba  ,  MingguanWanita


Mangsa Kemalangan Sering Dirompak

22 Aug 2010


PADA petang Sabtu, 21 Ogos lalu, satu kemalangan berlaku di satu simpang empat berhampiran rumah saya di Batu Pahat. Kemalangan berlaku antara sebuah MPV Avanza dengan sebuah motosikal. Ketika saya dan suami keluar untuk melihat kemalangan itu, orang ramai telah mengerumuni mangsa iaitu seorang lelaki bersama anak perempuannya. Lelaki dan anak perempuannya tidak sedarkan diri walaupun masih kelihatan bernafas, anak perempuan mangsa mengalami luka di bahagian kepala.

Oleh kerana ambulans tidak sampai-sampai, saya cadangkan suami agar menghantar mangsa ke hospital. Sebelum itu saya telah bertanya kepada salah seorang yang membantu mangsa di mana barang-barang berharga mangsa seperti beg atau dompet, tapi dengan selamba lelaki itu memberitahu saya bahawa barang-barang itu telah diambil oleh abang mangsa, sambil menunjukkan kepada saya seorang lelaki yang berkemeja-T putih menaiki motosikal.

Ketika itu tidak terbayang saya akan kemungkinan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kerana pada tanggapan saya semua orang yang berada di tempat kejadian itu benar-benar ikhlas hendak membantu apa lagi di bulan Ramadan ini. Namun kenyataannya ialah ketika sampai di hospital lelaki yang menjadi mangsa kemalangan itu mula sedarkan diri dan bertanya kepada suami saya di mana dompet duitnya. Nasib menyebelahi lelaki itu kerana telefon bimbitnya masih ada di saku seluarnya dan baru hendak menghubungi keluarganya. Apa yang masih menjadi tanda tanya ialah ke mana hilangnya dompet dan beg tangan anak perempuan mangsa itu?

Namun saya masih berharap, 'abang' mangsa seperti yang diberitahu kepada saya semasa berada di tempat kejadian akan muncul di Hospital Daerah Batu Pahat, jika benar lelaki itu benar-benar abang mangsa. Suami hanya menghantar mangsa dan pulang ke rumah selepas itu. Semalam, saya bercadang menziarahi mangsa kemalangan itu di hospital, namun apa yang menyedihkan ialah mangsa telah meninggal dunia pada pukul 5.30 petang semalam kerana kecederaan dalaman sementara anak perempuannya masih berada di hospital kerana patah paha.

Suami menziarahi anak mangsa dan menurutnya, rantai leher yang dipakainya juga hilang, selain daripada dompet duit Allahyarham ayahnya dan beg tangan kepunyaannya. Apa yang ingin saya kongsikan ialah mengapa ada manusia yang sanggup melakukan perkara seperti itu, memberi bantuan tetapi dalam masa yang sama menggunakan kesempatan dengan 'merompak' orang-orang yang tidak berdaya seperti mangsa kemalangan tersebut.

Saya merayu sangat-sangat kepada yang telah melakukan 'rompakan' tersebut, sedarlah di bulan Ramadan ini orang lain berebut-rebut untuk memperbanyakkan amal jariah dan pahala tetapi anda pula sebaliknya. Sesungguhnya Allah melihat apa-apa yang kamu kerjakan dan ingatlah walau sebesar zarah pun perbuatan baik yang kita lakukan akan Allah balas apa lagi jika kita melakukan dosa sebesar itu.

AISAH

Batu Pahat

Kredit : SuaraHati
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.