SLIDER

pencegahan
Showing posts with label pencegahan. Show all posts

Waspada Child Sexual Grooming. Apa itu Sexual Grooming?

10 Jun 2025

 


Sexual grroming adalah proses di mana seorang pemangsa (biasanya orang dewasa) membina kepercayaan dengan kanak-kanak dan keluarga mereka untuk mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual. Ini boleh berlaku secara bersemuka atau dalam talian melalui media sosial, aplikasi pesanan, atau platform permainan.

Bagaimana Grooming Berlaku?
Pemangsa biasanya memulakan proses dengan membuat kanak-kanak merasa istimewa dan penting. Mereka mungkin memberi hadiah, pujian, atau perhatian yang luar biasa. Sedikit demi sedikit, mereka akan memanipulasi kanak-kanak untuk mematuhi permintaan yang tidak wajar, seperti berkongsi gambar peribadi atau melakukan tindakan yang tidak sesuai. Dalam kes yang lebih teruk, pemangsa mungkin berusaha untuk bertemu dengan kanak-kanak tersebut secara bersemuka.

Tanda-tanda Grooming Seksual
Sebagai ibu bapa atau penjaga, penting untuk peka terhadap perubahan dalam tingkah laku anak anda. Antara tanda-tanda grooming termasuk:

1. Berahsia dengan peranti elektronik
Kanak-kanak mungkin mula merahsiakan penggunaan telefon bimbit atau komputer mereka.

2. Berinteraksi dengan rakan baru yang tidak dikenali
Jika anak anda mula bercakap tentang "rakan" baru yang anda tidak kenal, ini boleh menjadi tanda bahaya.

3. Perubahan emosi atau kelakuan
Kanak-kanak yang sedang digrooming mungkin menunjukkan tanda-tanda kebimbangan, kemurungan, atau kemarahan yang tidak dapat dijelaskan.

4. Hadiah yang tidak diketahui sumbernya
Jika anak anda menerima hadiah daripada seseorang yang tidak dikenali, ia mungkin usaha untuk memanipulasi mereka.

Langkah Pencegahan

1. Pantau Aktiviti Dalam Talian
Pastikan anda tahu dengan siapa anak anda berkomunikasi dalam talian dan hadkan interaksi dengan orang yang tidak dikenali.

2. Bincangkan Risiko Grooming
Bercakap secara terbuka dengan anak anda tentang bahaya grooming seksual dan mengajar mereka untuk mengenali taktik pemangsa.

3. Tetapkan Had Yang Jelas
Ajar anak anda untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dengan sesiapa dalam talian tanpa kebenaran anda.

4. Sentiasa Berkomunikasi
Kekalkan komunikasi yang baik dengan anak anda supaya mereka merasa selamat untuk berkongsi apa-apa yang mengganggu mereka.

Sexual grooming kanak-kanak adalah ancaman yang serius dan perlu diambil perhatian oleh semua ibu bapa. Dengan kesedaran dan langkah-langkah pencegahan yang betul, kita boleh melindungi anak-anak kita daripada bahaya ini. Sentiasa berwaspada dan peka terhadap tanda-tanda grooming, kerana langkah awal boleh menyelamatkan masa depan mereka.

Kredit :
Dr Firdaus Haris

Pahit Tetapi Untuk Diabetes, Sangat Bermanfaat Ini Khasiat Peria Katak Yang Anda Tidak Tahu !

13 Oct 2024




Peria katak adalah merupakan salah satu sayuran yang cukup terkenal dengan rasa pahitnya dan rasanya akan menjadi semakin pahit apabila semakin ranum. Saiznya lebih kecil berbanding peria biasa. 

Nama saintifik peria katak ialah Momordica charantia. Ia juga dikenali sebagai ‘bitter gourd’ atau ‘bitter melon’. Walaupun mempunyai rasa yang pahit, peria katak amat kaya dengan pelbagai khasiat. Jadi, sejauh manakah kebaikan peria katak untuk kesihatan? 
Mari kita baca khasiat peria katak dibawah satu persatu. 

Khasiat Peria Katak

1. Kaya Dengan Pelbagai Nutrisi
Peria katak kaya dengan pelbagai nutrisi seperti zat besi, kalsium, fosforus, magnesium, folat, zink, vitamin dan lain-lain. Bahkan kandungan nutrisinya dua kali ganda lebih berbanding brokoli!
Maka, dengan itu peria katak mempunyai pelbagai kebaikan berdasarkan nutrisi-nutrisi yang terkandung di dalamnya. 


2. Baik Untuk Kesihatan Kulit 
Tahukah anda, 94 gram peria mampu membekalkan sehingga 94% jumlah vitamin C yang diperlukan dalam sehari.
Vitamin C adalah merupakan salah satu nutrisi penting untuk kesihatan kulit. Selain mencerahkan wajah, ia juga membantu untuk menyihatkan kulit agar sentiasa kelihatan segar, bermaya dan awet muda. 
Bukan itu sahaja, kandungan vitamin C yang tinggi dalam peria katak juga bermanfaat untuk tubuh badan bagi melawan penyakit dan menyembuhkan luka dengan cepat.


3. Baik Untuk Mata

Selain vitamin C, peria juga diperkaya dengan vitamin A. Ia dipercayai dapat membekalkan sehingga 44% jumlah vitamin A yang diperlukan dalam sehari. Vitamin A adalah nutrisi yang sangat penting dalam penghasilan sel kulit baru serta melindungi kesihatan mata.



4. Membantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan keberkesanan pengambilan peria untuk membantu menstabilkan paras gula dalam darah dengan baik dengan menggalakkan penghasilan insulin.


Buah peria mengandungi kandungan hypoglycemic atau insulin semula jadi di dalamnya. Justeru, ia menghasilkan plantinsulin yang berfungsi menurunkan kadar gula dalam darah dan air kencing pesakit diabetes secara semula jadi. Alternatif yang mudah dan berkesan dalam merawat diabetes menggunakan buah peria dengan menjadikan buah peria sebagai jus minuman dan diamalkan sekurangnya sebanyak empat atau lima biji buah peria setiap pagi. Tetapi, bijinya dihancurkan terlebih dahulu dan boleh dicampurkan dalam makanan. Jika anda tidak gemar untuk mengambil dalam bentuk jus, anda boleh juga merebus buah peria tersebut dan amalkan air rebusan tersebut atau anda boleh jadikan ia dalam bentuk serbuk.

Anda sangatlah disyorkan untuk membuat sendiri jus peria katak berbanding membeli produk jus yang dijual pasaran. Hal ini kerana, ia dikhuatiri mengandungi pelbagai campuran lain yang boleh membahayakan kesihatan dan tidak memaksimumkan khasiat peria katak tersebut. 
 

5. Membantu Mengawal Kadar Kolesterol Dalam Badan

Kadar kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung dan strok. Ini kerana, paras kolesterol yang tidak terkawal dalam badan boleh menyebabkan pembentukan plak pada arteri (saluran darah).


Pengambilan peria katak dipercayai dapat menurunkan kadar kolesterol jahat iaitu LDL kolesterol serta trigliserida. Semakin tinggi ekstrak peria katak, semakin tinggi kadar penurunan kolesterol yang boleh berlaku. Walau bagaimanapun, kajian masih lagi perlu dilakukan untuk betul-betul membuktikan keberkesanannya.



6. Kaya Dengan Serat
Apabila bercakap mengenai serat, ia mempunyai pelbagai kebaikan dan manfaatnya untuk tubuh. Seperti sayur dan buah-buahan yang lain, peria katak juga amat tinggi kandungan seratnya. Dengan kadar kalori yang cukup rendah dan kandungan serat yang tinggi, peria didapati sangat sesuai untuk diamalkan sekiranya anda berhajat ingin menurunkan berat badan.

Hal ini kerana, serat dapat membantu anda berasa kenyang dengan lebih lama sekaligus membantu dalam mengurangkan selera makan.

Bukan itu sahaja, kandungan serat yang tinggi juga sangat baik untuk mengatasi masalah berkaitan sistem penghadaman, contohnya seperti sembelit atau sakit perut, serta penyakit usus atau ‘Irritable Bowel Disease’ (IBS).


Kesimpulan
Terdapat banyak lagi khasiat peria katak yang lain seperti merawat asma dan sebagainya. Namun begitu, pengambilan peria katak haruslah secara sederhana kerana ia mempunyai kesan sampingan seperti boleh menyebabkan penyakit seperti sakit perut ringan, cirit-birit dan muntah.
Untuk individu yang mempunyai penyakit seperti diabetes dan lain-lain, pastikan anda dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum mula mengamalkan peria katak. 


Kredit : mySihat.com

https://www.healthline.com/nutrition/bitter-melon
https://kosass.upm.edu.my/artikel/peria_katak-47405

Memerangi Pedofilia Tanggungjawab Semua

30 Sept 2024

 


Pedofilia dan pornografi kanak-kanak bukan isu enteng sebaliknya memerlukan perhatian kritikal. Dalam dunia serba moden ini, teknologi Internet dan gajet pintar menjadikan manusia semakin tenggelam dalam arus maklumat tanpa sempadan. Ledakan ini secara sedar memberi ruang cukup luas kepada industri pornografi untuk berkembang pesat.

Realitinya, tidak kira di mana anak muda kita berada ketika ini, akses pornografi melalui Internet dan telefon pintar menjadi sumber yang teramat sukar dikawal. Membandingkan pulangan industri ini dengan syarikat terkemuka dunia tiga tahun lalu, pornografi dilaporkan membawa keuntungan lebih besar daripada Google, Microsoft, Apple mahupun Amazon.

Tidak hairan jika dikhabarkan 12 peratus daripada seluruh laman web di dunia ini menjadi jaringan pornografi. Namun yang lebih menakutkan apabila statistik Google Trends melaporkan Malaysia menduduki tangga kelapan sebagai negara paling banyak pencari maklumat berkaitan pornografi!

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, pedofilia dan pornografi kanak-kanak adalah bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Kelompok ini sepatutnya disayangi dan dilindungi, bukan didera atau dieksploitasi secara fizikal, mental mahupun seksual.

“Kita pernah dikejutkan dengan berita mengenai Nur Fitri Azmeer Nordin, seorang penuntut jurusan Matematik di Imperial College yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah di London selepas didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah kanak-kanak, termasuk 601 imej ‘kategori A’ yang menggambarkan hubungan seks dengan kelompok bawah umur.

“Kita juga pernah berdepan kes pedofilia membabitkan warga Britain, Richard Huckle yang didakwa melakukan jenayah seksual terhadap 23 kanak-kanak dan bayi Malaysia serta Kemboja berusia enam bulan hingga 12 tahun. Dia juga didakwa mencabul sehingga 200 kanak-kanak, kebanyakannya daripada masyarakat miskin di Kuala Lumpur dari 2006 hingga 2014.

“Kes sebeginilah yang menimbulkan kerisauan, sekali gus menggesa IKRAM untuk mengambil tindakan dengan cepat dan tepat. Ini perlu ditangani berikutan ancaman yang semakin menular, merentasi sempadan dunia melalui kemudahan Internet dan pelbagai bentuk teknologi maklumat kini. Apa yang kita paling risau adalah kesan pornografi itu sendiri kepada keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita.

“Mereka ini anugerah Allah SWT untuk dijaga, dibelai, dilindungi dan dididik dengan sebaiknya. Merekalah aset bernilai buat agama dan negara. Generasi baru ini berhak untuk mendapatkan kehidupan yang selamat dan sejahtera,” katanya.

Pedofilia

Menurut Che Asmah, pedofilia merujuk kepada mereka yang mempunyai kecenderungan seksual kepada kanak-kanak. Ia adalah penyakit psikologi dan boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Bagaimanapun, mereka ini sukar dikesan kerana kelihatan normal dan sangat mesra dengan kanak-kanak.

“Dunia tanpa sempadan hari ini membuka ruang besar untuk kanak-kanak menggali maklumat. Tanpa kawalan ibu bapa, kelebihan ini sebenarnya boleh membawa risiko besar yang mungkin menjejaskan kesejahteraan dan kebajikan anak pada masa akan datang.

“Ini kerana kes pedofilia sangat berkait rapat dengan penyalahgunaan Internet. Mereka mengeksploitasi kanak-kanak yang belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi. Sebab itulah bimbingan dan pengawasan ibu bapa, penjaga dan guru sangat penting. Setiap pihak perlu merancang strategi efektif untuk menyelesaikan isu ini.

“Ibu bapa dan guru umpamanya, mereka perlu mempunyai kesedaran dan ilmu jelas mengenai pedofilia. Mereka harus tahu risiko serta ancamannya kepada kanak-kanak. Pengetahuan yang baik mengenai isu ini akan memberi lebih kefahaman kepada kita mengenai punca berlakunya pedofilia, kaedah penyelesaian, kesan gangguan seksual serta cara efektif untuk mengawal serta mencegah masalah ini.

“Paling penting, sebagai ibu bapa, kita harus komited untuk mengambil tahu dan mendalami isu ini kerana setiap anak-anak kita terdedah kepada ancaman pedofilia ini, tidak kira sebagai mangsa atau pemangsa,” katanya.

Memetik satu kajian di Amerika Syarikat, Che Asmah berkata, kira-kira tiga peratus daripada rakyat negara itu dijangka mempunyai masalah berkaitan pedofilia dan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Pengamal pedofilia ini dikenalpasti pakar psikiatri sebagai kelompok yang mengalami gangguan seksual dalam kehidupannya. Mereka tertarik melihat kanak-kanak sebagai objek seksual disebabkan pelbagai faktor, antaranya, naluri seks kepada kanak-kanak yang mudah dimanipulasi, tidak yakin untuk bersama wanita dewasa dan masalah hubungan yang terbantut.

“Kebanyakan pedofilia akan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian ibu bapa dan mudah percaya kepada orang asing. Sebab itu kita galakkan ibu bapa supaya sentiasa memberi tumpuan dan perhatian kepada si manja. Usah berkompromi dalam isu hubungan dan kasih-sayang kerana ia boleh mempengaruhi psikologi kanak-kanak ketika mereka membesar,” katanya.

Mendidik anak

Sekalipun berat, namun ibu bapa tetap perlu menerima hakikat bahawa pendidikan seks harus diterap di setiap peringkat umur kanak-kanak kerana ia membabitkan pembelajaran sepanjang hayat.

“Dalam zaman serba canggih ini, ibu bapa harus menguasai ilmu teknologi dan berusaha membimbing anak-anak melayari Internet secara sihat supaya tidak terjebak dalam gejala pornografi dan terdedah kepada ancaman pedofilia.

“Mereka perlu proaktif mendidik anak. Contohnya, ibu bapa di rumah perlu mengamalkan komunikasi terbuka dan asertif untuk menyampaikan maklumat, mengambil kira perwatakan dan kematangan anak-anak. Rangkalah satu jawapan yang baik, jelas dan sesuai dengan usia anak sekiranya mereka bertanyakan soal seks.

“Dalam Islam, pendidikan seks seharusnya bermula dari rumah. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad fil Islam menulis secara terperinci mengenai pendidikan seksual ini mengikut empat tahap umur iaitu mumayyiz (7-10 tahun) yang mana mereka diasingkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan dan diajar adab melihat juga adab meminta izin apabila ingin masuk ke bilik ibu bapa.

“Tahap kedua ialah prabaligh iaitu murahiqah (10-13 tahun). Meraka dididik mengenai perubahan diri juga diawasi daripada perkara yang boleh merangsang nafsu seks. Tahap ketiga umur akil baligh iaitu 14 hingga 16 tahun. Mereka diajar adab berhubungan antara lelaki dan perempuan dan tahap terakhir pada usia 17 tahun ke atas. Mereka ini diberi kefahaman mengenai tanggungjawab reproduksi dan dididik dengan adab menjaga maruah serta kehormatan diri,” katanya.

Jelas Che Asmah, di pusat pendidikan prasekolah dan sekolah rendah kini kanak-kanak seawal usia enam tahun sudah diajar solat dan wuduk. Justeru, tidak salah jika mereka turut diberi penjelasan mengenai haid dan air mani yang membatalkan wuduk.

“Ini bukanlah perkara tabu yang tidak boleh dibincangkan dan diterangkan kepada anak, bahkan ia satu keperluan bagi mereka untuk memahami sistem tubuh dan kepentingan untuk menjaganya.

“Pada era teknologi pesat ini, sekiranya kita tidak proaktif mendidik anak perihal ini, mereka sendiri akan mendapatkan informasi dari sumber Internet yang lebih cepat atau daripada rakan sebaya yang mana kita khuatiri ianya tidak tepat dan tidak sihat.

“Pada usia muda beginilah sebaiknya anak diberi pendedahan mengenai bahaya ancaman jenayah seksual oleh pelaku pedofilia. Bukan saja ibu, malah bapa turut berperanan membimbing mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat daripada orang asing. Ini antara bahagian paling penting dalam pendidikan seksual kanak-kanak kerana kegagalan kita memberi kefahaman sewajarnya kepada mereka akan menyebabkan kes seumpama itu tidak dilaporkan.

“Selain itu, kanak-kanak juga perlu diajar untuk sensitif dan berhati-hati dengan persekitaran, dipersiapkan dengan kemahiran melindungi diri dan dibimbing cara bertindak untuk mencegah perkara buruk. Kekalkan komunikasi baik dengan anak-anak dan galakkan mereka berinteraksi mengenai rutin harian,” katanya.

Beliau berkata, komunikasi berkualiti antara ibu bapa dan anak akan mencipta telepati kuat antara mereka. Dengan cara ini, ibu bapa biasanya akan memiliki gerak hati jika ada sesuatu perkara yang kurang baik berlaku atau perubahan negatif pada anak.

“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk keyakinan diri anak-anak supaya berani bersuara dan berkomunikasi sekiranya dibuli atau didera oleh salah seorang daripada pelaku jenayah seksual. Dalam masa sama, ibu bapa juga perlu sentiasa bersedia untuk mendengar, mempercayai dan menyiasat setiap aduan dari anak-anak walaupun membabitkan ahli keluarga terdekat dan orang yang dipercayai,” katanya.


Kredit : Hmetro

Risiko Pasangan Pembawa Talassemia Berkahwin, Kesannya Pada Anak Nanti!

25 Jul 2023



RUPANYA bagi pasangan pembawa talassemia apabila berkahwin ia berisiko dan beri kesan pada anak yang akan dilahirkan nanti. Sebaiknya sebelum meneruskan hasrat untuk berkahwin, lakukan ujian saringan talassemia terlebih dahulu.

Untuk faham lebih lanjut penyakit talassemia ini dan risikonya, baca perkongsian daripada Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini.

Apabila tular kisah sepasang kekasih yang mengambil keputusan untuk putus hubungan setelah mengetahui kedua-duanya adalah pembawa talassemia, maka penyakit ini menjadi topik bualan netizen. 
Antara persoalan yang timbul: Kenapa mereka perlu putuskan hubungan? Kalau kahwin juga, apa bakal terjadi? Macam mana mereka boleh dapat penyakit talasemia?
Saya cuba ringkaskan agar mudah difahami.
1. Thalassemia (talasemia) adalah penyakit genetik (keturunan) yang berbahaya. Ia menjejaskan penghasilan darah, sehingga ia tidak mencukupi untuk kehidupan yang normal.
2. Terdapat beberapa jenis talasemia, antaranya talasemia alfa dan talasemia beta. Setiap satunya ada pecahan masing-masing. Kita akan fokus perbincangan kita kepada talasemia beta.
3. Talasemia beta terbagi kepada 2:
Talasemia major Talasemia minor
* Terdapat juga: talasemia intermedia (pertengahan).
4. Individu yang mempunyai talasemia major dipanggil pesakit talasemia. Pesakit talasemia mempunyai gejala: cepat letih, pucat, sesak nafas, perkembangan fizikal terjejas, dan lain-lain.
5. Individu yang mempunyai talasemia minor dipanggil pembawa. Pembawa talasemia lazimnya tidak bergejala dan hanya menunjukkan tanda-tanda dalam keadaan tertentu.
6. Apabila dua pembawa talasemia berkahwin, maka :
25% risiko anak = pesakit (major) 50% risiko anak = pembawa (minor) 25% anak = normal
7. Mengapa kita perlu khuatir dengan risiko anak menjadi pesakit talasemia (major)? Kerana rawatannya panjang, rumit dan memerlukan kos yang tinggi. Ia juga menjejaskan kualiti hidup mereka.
8. Rawatan talasemia major:
Transfusi darah 2 hingga 4 minggu sekali Terapi chelation (buang zat besi terkumpul) Splenectomy (buang limpa: jika perlu)
9. Rawatan hanya boleh dihentikan sekiranya pesakit menjalani pemindahan sum-sum tulang. Itupun ada tidak semuanya berjaya. Jika gagal, transfusi dan chelation dilakukan sepanjang hayat.
10. Oleh kerana rawatannya rumit, talasemia perlu dicegah. Caranya, adalah dengan menyaring pasangan yang ingin berkahwin, untuk menilai sama ada mereka ada genetik talasemia atau tidak.
11. Saringan talasemia dibuat dengan melakukan ujian darah. Ia disaring pada semua kerana pembawa biasanya tiada gejala. Jadi pengecaman melalui pantauan gejala tidak mencukupi.
12. Jika kedua-dua pasangan didapati adalah pembawa talasemia, maka pasangan akan diberi konsultasi tentang penyakit ini, diterangkan risiko berkenaan zuriat, dan sebagainya.
13. Pasangan tidak akan dipaksa putuskan hubungan. Malah pasangan akan membuat keputusan berdasarkan informasi yang telah diberi dan hasil perbincangan mereka sendiri.
14. Keputusan yang boleh dibuat oleh pasangan.
Tidak berkahwin Kahwin, rancang tiada anak (biological) Kahwin, dapatkan anak, dan sedia hadapi risiko.
15. Kempen kesedaran tentang talasemia kini giat dijalankan. Saringannya juga bukan sahaja dibuat kepada pasangan yang hendak berkahwin sahaja, malah telah dibuat di sekolah.
Semoga bermanfaat!
Kredit : Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kredit : MingguanWanita

Kenapa Payudara Sakit Sebelum Datang Bulan?

4 Feb 2022


Anda perasan tak rasa payudara sakit sebelum haid? Bila hampir saja waktu nak datang bulan, mulalah payudara ini rasa membengkak dan seakan sangat sensitif dengan sentuhan! Kadangkala, payudara sakit sebelum haid itu rasa biasa-biasa saja namun ada juga masa di mana ia agak ketara dan memeritkan. Pernahkah anda terfikir mengapa ia terjadi? Kami akan berkongsikan dengan anda penerangannya menurut sains.


Payudara sakit sebelum haid kerana perubahan hormon 

Adalah menjadi rutin kita para wanita untuk mengalami perubahan hormon tanpa henti dalam badan. Kadangkala, kita tidak sedar tentangnya. Namun, apabila terasa saja sakit-sakit pada payudara, ketahuilah bahawa itu salah satu petanda yang hormon sedang berfungsi dalam badan kita!

Pada bahagian kitaran haid kedua iaitu di antara hari ke 14 sehingga hari 28, akan ada 2 hormon yang meningkat, iaitu estrogen dan progesteron. Selepas haid habis, tahap estrogen dalam badan wanita selalunya akan mula meningkat dan memuncak pada hari ke 14. Pada waktu ini, hormon estrogen akan menyediakan badan kita untuk proses ovulasi iaitu proses mengeluarkan telur dari ovari untuk persenyawaan. Kesan daripada peningkatan estrogen dalam badan kita, saluran payudara (breast ducts) akan membesar dan terasa padat. Sebab itulah pada waktu ini, payudara anda akan berasa tidak selesa sedikit.


Hormon progesteron menyediakan payudara untuk menyusu bayi jika anda hamil 

Yang keduanya, payudara sakit sebelum haid adalah disebabkan oleh hormon progesteron yang mula ‘bertugas’ selepas proses ovulasi. Hormon progesteron akan membesarkan saluran susu payudara. Ia bagi menyediakan payudara untuk menghasil dan menyalurkan susu sekiranya anda hamil selepas ovulasi. Disebabkan proses ini, maka anda akan mula mengalami payudara yang sensitif. Ia akan berasa sakit-sakit. Tetapi, ia tidak sepatutnya mengganggu anda menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Selalunya, rasa sakit ini akan hilang sedikit demi sedikit sehingga haid anda datang.


Payudara sakit sebelum haid mungkin petanda anda hamil!

Lagi satu sebab kenapa payudara sakit sebelum datang bulan adalah kerana kemungkinan kita hamil! Apabila badan mula mengesan yang kita mengandung, hormon progesteron akan terus dihasilkan bagi memulakan proses penghasilan susu badan. Maka, ia akan terus menyebabkan payudara anda membesar, sakit-sakit dan sangat peka pada sentuhan. Ia akan berterusan sehinggalah akhir tempoh mengandung! Jadi, kalau selepas ini anda perasan yang payudara anda mula sakit-sakit, jangan risau. Ia adalah satu proses biasa –sebahagian daripada kesan PMS (premenstrual syndrome). Hampir 70% wanita akan merasainya setiap bulan. Dan, ia juga boleh menjadi tanda yang anda mengandung! Kadangkala, wanita berusia yang hampir menopause juga akan merasai rasa sakit sebegini pada bahagian dada mereka.


Bila anda perlu risau jika merasai payudara sakit?

Namun, jika payudara anda kerap sakit dan salah satu daripada perkara berikut terjadi pada payudara anda, anda perlu segera membuat pemeriksaan di hospital: Ada ketulan luar biasa pada payudara Keluarnya cecair dari puting payudara, terutamanya jika warna merah atau coklat Rasa sakit yang keterlaluan sehingga menyukarkan anda menjalani kehidupan harian seperti biasa Jika anda ada tanda-tanda sakit pada payudara seperti di atas, maka pada waktu ini, anda perlu risau! Takut-takut ia adalah simptom kepada penyakit yang lebih serius seperti contoh, kanser payudara. 


Kredit : AsianParent



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.