SLIDER

pakar
Showing posts with label pakar. Show all posts

Susu Kambing Hebat Manfaatnya. Mari Amalkan !

12 Aug 2024

 



TIDAK ramai gemar minum susu kambing kerana baunya sedikit hamis yang boleh mencetuskan rasa loya kepada individu yang sensitif terhadap bau berkenaan.

Ini menyebabkan ramai lebih cenderung memilih susu lembu atau soya bagi mendapatkan sumber kalsium penting untuk kesihatan dan mengekalkan tulang yang kuat.

Susu juga kaya dengan sumber vitamin dan mineral yang diperlukan tubuh bagi kanak dan orang dewasa.

Neuroversiti mendedahkan khasiat susu kambing berdasarkan kajian dilakukan penyelidik dari University of Spain, Sepanyol pada 2007.

Perunding Kanan Malaysia Brain Academy, Dr Rizal Abu Bakar berkata, susu kambing mempunyai kalsium tinggi dan secawan susu itu membekalkan 327 miligram (mg) kalsium.

"Susu ini juga kaya dengan vitamin D iaitu satu nutrien yang membantu penyerapan kalsium dalam tubuh dan seterusnya membantu menguatkan tulang.

"Selain itu, ia mempunyai protein yang bertindak sebagai ejen antiosteoporosis dikenali sebagai CSN1S2.

"Dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal 'Molecule' pada 2014, susu kambing dapat menghalang berlakunya penyakit tulang rapuh (osteoporosis) terhadap pesakit yang mengidap artritis rheumatoid," katanya.

Dr Rizal berkata, kandungan 'conjugate linoleic acid' pada susu kambing membantu perkembangan otak.

"Kehadiran lipid dalam susu kambing pula dapat mengurangkan masalah kebimbangan," katanya.

Menurutnya, susu kambing turut bertindak sebagai ejen metabolik yang baik kerana mampu meningkatkan penggunaan metabolik mineral seperti zat besi, magnesium, kalsium dan fosforus.

"Ia mempunyai 'A2 beta-casein' (protein) iaitu lebih baik daripada 'A1 beta-casein' yang terdapat dalam susu lembu.

"A2 beta-casein adalah sejenis beta-casein yang lebih selamat berbanding 'A1 beta-casein', dipercayai boleh menyebabkan penyakit kencing manis tahap satu," katanya.

Kata Dr Rizal, A2 beta-casein dalam susu kambing menyamai susu ibu yang sangat baik untuk kesihatan manusia.

Ia turut mampu mengurangkan alahan selepas habis tempoh penyusuan ibu.

Dr Rizal berkata, khasiat susu kambing sangat baik untuk kesihatan jantung kerana kandungan magnesium dalam susu berkenaan.

"Ia (magnesium) seperti yang dilaporkan di dalam 'International Journal of Food Properties' tahun lalu, ia adalah mineral yang baik untuk jantung dan membantu mengekalkan denyutan normal serta menghalang pembentukan darah beku.

"Magnesium berfungsi bersama vitamin D adalah nutrisi penting untuk jantung.

"Asid lemak rantaian sederhana pada susu kambing pula lebih tinggi berbanding susu lembu. Ia membantu menurunkan tahap kolesterol dan bagus merawat penyakit koronari," katanya.

Jelas Dr Rizal, unsur kimia pada susu kambing iaitu asid lemak dan trigliserida berupaya meningkatkan kesihatan kulit.

Selain itu, ia kaya dengan vitamin A yang sangat diperlukan kulit.

"Pada masa yang sama, kandungan laktid asid dalam susu kambing dapat melembap dan mencerahkan kulit.

"Ditambah pula penggunaan susu kambing untuk mencuci muka dapat meningkatkan kesihatan kulit," katanya.

Kata Dr Rizal lagi, istimewanya susu kambing ialah ia mencetuskan tindak balas imun adaptif dan semula jadi yang berupaya menghalang keradangan dalam tubuh manusia.

"Ini kerana komponen oligosakarida pada susu kambing yang bersifat antiradangan dapat mengurangkan keradangan penyakit usus," katanya.

Beliau berkata, kandungan laktosa yang rendah menjadikan susu kambing sebagai pilihan baik bagi mereka yang mempunyai masalah intoleransi laktosa.

"Sifatnya mudah hadam menjadikan ia sesuai diminum bagi mereka yang mempunyai masalah perut sensitif.

"Sebaik-baiknya pastikan susu kambing yang dipilih tidak dicampur bahan perasa, pewarna dan pengawet bagi mengekalkan keaslian serta khasiat susu berkenaan," katanya.


Kredit : Harian Metro


Risiko Kanta Lekap

6 Jun 2024


Memakai kanta lekap bukan sahaja memudahkan rutin harian dilakukan tanpa gangguan, malah ia juga memberikan keselesaan kepada pengguna kerana tidak perlu lagi mengenakan kaca mata.

Sebab itu kanta lekap menjadi kegemaran bagi menggantikan pemakaian kaca mata. Terdapat pelbagai jenis dan warna yang menjadi pilihan terutama bagi remaja dan dewasa.

Namun, secara realitinya tidak ramai yang peka dan mempunyai pengetahuan tentang penjagaan dan cara-cara memakai kanta lekap yang betul.

Perunding Ophthalmologist, Dr. Saira Fairma Ismail Mokhtar berkata, pengguna kanta lekap perlu berdisiplin dalam penjagaan terutama aspek kebersihan.

“Ini kerana, jika silap langkah atau kurang penjagaan, kanta lekap boleh memberi masalah kepada penggunanya.

“Pengguna kanta lekap perlu mempunyai motivasi tinggi jika ingin memakai kanta lekap. Sebelum kanta dipakai, tangan perlu di basuh dengan sabun terlebih dahulu dan biarkan kering sebelum menyentuh kornea mata.

“Elakkan daripada berkongsi kanta lekap dengan orang lain dan tidak memakainya dalam tempoh terlalu lama sehingga melebihi lapan jam. 

"Bekas kanta lekap digunakan perlu dicuci setiap kali sebelum pakai. Seeloknya pemakaian juga perlu mengikuti bilangan jam tertentu setiap hari dan tidak disarankan tidur bersama-sama kanta lekap kerana ditakuti ada komplikasi," katanya.

Dr. Saira Fairma berkata. pengguna yang tidak menjaga kebersihan ketika memakai kanta lekap dan mengambil sambil lewa rutin harian tersebut berkemungkinan berhadapan dengan risiko jangkitan pada bahagian kornea mata.

“Antara yang perlu diberi perhatian ialah jika mata merah, sensitif, kabur atau sakit. Jika keadaan ini berlaku segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan

“Individu yang tidur dengan kanta lekap berisiko lebih tinggi mendapat ulser kornea kerana mata lebih mudah tercedera, kurang oksigen dan memerangkap bakteria. 

"Kanta lekap yang dipakai dalam tempoh lama menyebabkan mata menjadi bukan toleransi kepada kanta lekap. Jika berlaku keadaan sedemikian, mereka dinasihatkan berhenti dahulu selama beberapa bulan sebelum kembali memakainya kembali apabila keadaan sudah baik.

“Kebanyakan individu yang berdepan masalah ini ialah mereka yang tidak mengikut cara penjagaan kanta lekap yang betul selain mungkin menggunakan cecair pencuci, rendaman atau bilasan yang tamat tempoh atau masih menggunakan bekas menyimpan atau merendam kanta lekap yang lama dan kotor," katanya.

Menurut Dr. Saira Fairma lagi, pemakaian kanta lekap untuk tujuan kosmetik juga tidak ada masalah melainkan pemakainya perlu menjaga kebersihan semasa memakainya.

Penggunaan kanta lekap kosmetik juga sama kaedahnya dengan pemakaian kanta lekap untuk tujuan rawatan.

Kebanyakan kanta lekap kategori kosmetik adalah jenis lembut dan dijual dalam pelbagai warna pilihan. 

“Terdapat dua jenis kanta lekap yang dijual di pasaran untuk tujuan rawatan iaitu jenis lembut dan keras. Kanta lekap paling digemari pelanggan adalah jenis lembut kerana lebih selesa dan mudah untuk menyerap cecair dalam mata. 

"Permukaan yang lembut juga memudahkan oksigen diserap masuk pada permukaan kornea mata dan membantu mengurangkan berlaku masalah kekeringan. Kanta lekap jenis pakai buang dalam kategori lembut mempunyai waktu tertentu untuk dipakai oleh pengguna.

“Kanta lekap jenis keras pula boleh dipakai dalam jangka masa yang lebih lama tetapi meninggalkan kesan ketidakselesaan kepada mata pengguna. Kebanyakan kanta lekap untuk merawat rabun adalah warna jernih," katanya.

Terang Saira Fairma, terdapat beberapa sebab yang menghalang individu berkaitan menggunakan kanta lekap sebagai alternatif menggantikan kaca mata biasa.

“Mereka yang mempunyai masalah jangkitan kuman pada mata, mata kering dan alergi mata tidak digalakkan untuk memakai kanta lekap

“Individu yang sentiasa berada dalam persekitaran yang tidak bersih dan kotor seperti debu perlu mengelakkan daripada memakai kanta lekap kerana ditakuti memberi kesan kepada kesihatan mata," katanya.

Ujar beliau lagi, seeloknya pengguna dinasihatkan berjumpa pakar di klinik sebelum mengambil keputusan menggunakan kanta lekap supaya kanta yang akan dipakai sesuai dengan lengkungan kornea mata iaitu tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar.

Kanta lekap yang dibeli di kedai Optometri yang diluluskan dan mempunyai pengesahan lebih selamat digunakan berbanding hanya membelinya di kedai-kedai biasa.

Tension Headache Paling Kerap Dialami Rakyat Malaysia... Pakar Kata Boleh Jadi Punca Tumor Otak!

15 Jun 2022

 


SAKIT kepala boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor namun sesetengah individu mungkin akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti harian apabila kesakitan dialami semakin serius termasuklah migrain.

Tension headache merupakan sejenis sakit kepala paling kerap dialami rakyat Malaysia iaitu sebanyak 26.5 peratus, diikuti migrain (9 peratus) serta pelbagai jenis sakit kepala lain (28.2 peratus).

Untuk rekod Tension headache adalah sakit kepala tegang yang rasa sakitnya biasanya menyebar di sekitar dahi, bahagian belakang serta leher.

Pakar Perunding Perubatan dan Neurologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Kok Chin Yong berkata, tension headache dan migrain boleh bertukar menjadi sakit kepala kronik dengan kajian menunjukkan bahawa dua peratus daripada pesakit migrain bertukar menjadi pesakit migrain kronik setiap tahun.

"Sakit kepala kronik boleh diklasifikasikan sebagai sakit kepala yang berlaku selama 15 hari atau lebih dalam tempoh sebulan, selama tiga bulan atau lebih.

"Walaupun ia tidak semestinya menjadi petanda kepada satu penyakit yang lebih serius, sakit kepala kronik tidak boleh dipandang ringan.

"Anda perlu dapatkan rawatan perubatan jika sakit kepala yang dialami disertai dengan simptom lain seperti rasa kebas, lemah badan, sukar bercakap dan berjalan, gangguan penglihatan, demam dan penurunan berat badan," jelasnya.

Punca Sakit Kepala Dan Cara Merawat

Dr Kok berkata, kebanyakan pesakit mengalami sakit kepala berepisod yang datang dan pergi, di mana sesetengah daripada mereka memerlukan sedikit atau tidak memerlukan sebarang ubat.

Sesetengah daripada pesakit juga menderita daripada medication overuse headache (MOH) yang sebahagian besarnya kurang didiagnos namun masih boleh dirawat dengan menggunakan ubat tahan sakit secara terkawal untuk mengurangkan tahap keseriusannya.

"Migrain boleh mengehadkan serta mempengaruhi kualiti kehidupan dan kerja seseorang. Ia boleh menjadi semakin teruk selepas melakukan aktiviti fizikal lalu mempengaruhi konsentrasi dan fokus yang seterusnya mengurangkan tahap kecekapan mereka di tempat kerja.

"Sakit kepala berepisod pula boleh dihindarkan daripada menjadi migrain kronik melalui pengambilan ubat pencegahan dan membuat perubahan gaya hidup," jelasnya.

Perubahan gaya hidup ini kata Dr Kok, termasuklah melakukan senaman secara kerap, menguruskan tekanan dengan baik dan mendapatkan tidur yang mencukupi.

Plan rawatan alternatif yang tidak menggunakan ubat juga adalah penting menurut Dr Kok kerana ia boleh mencetus atau menambahkan lagi sakit migrain, menerusi;

1. Mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh jam tidur yang berkualiti

2. Jangan mengambil alkohol atau minuman berkafein selepas pukul 3 petang kerana ia boleh mengganggu kualiti tidur

3. Elak menatap skrin telefon atau komputer terlalu lama kerana ia boleh mencetuskan migrain terutamanya dalam kalangan orang muda kerana golongan umur ini lebih sensitif terhadap cahaya dan bunyi.

"Kunci utama untuk mengelak migrain adalah keteraturan. Pesakit yang menghidapi migrain perlu mempunyai jadual makan dan tidur yang teratur.

"Jika seseorang itu kerap mendapat serangan migrain, mereka harus tahu bahawa terdapat ubat-ubatan pencegah yang sememangnya baik dan berkesan untuk mengurangkan beban sakit yang dialami mereka.

"Sesetengah daripada ubat-ubatan pencegah ini hadir dalam bentuk pil dan sesetengahnya pula dalam bentuk suntikan. Ubat pencegah dalam bentuk suntikan lebih mudah untuk diawasi dan boleh mengurangkan kekerapan dan keseriusan serangan migrain," katanya.

Petanda Masalah Kesihatan Yang Lebih Serius

Sementara itu, Pakar Bedah Neuro SMCV, Dr Gerard Arvind Martin pula berkata, pesakit dengan sakit kepala yang berlarutan atau semakin teruk kadangkala boleh membawa kepada penyakit saraf yang mengancam nyawa dan, jika tidak dirawat, boleh membawa maut.

Dr Gerard menjelaskan sesetengah sakit kepala boleh menjadi petanda tumor yang mengakibatkan sakit kepala di seluruh bahagian atau di sesetengah bahagian kepala.

Dr Gerard juga memberitahu sawan yang berlaku sebelum, semasa atau selepas sakit kepala juga boleh dijadikan petanda tumor otak.

"Apabila pesakit datang ke hospital dengan beberapa atau kesemua simptom ini, ujian imbasan CT akan dilakukan sebagai ujian saringan awal dan ujian MRI akan dilakukan bergantung kepada hasil ujian imbasan CT serta plan rawatan yang disyorkan kepada pesakit," katanya.

Namun begitu, Dr Gerard menekankan bahawa bukan semua sakit kepala boleh menjadi petanda kepada penyakit saraf yang merbahaya.

Sebaliknya kata Dr Gerard, sakit kepala sebenarnya boleh berlaku disebabkan oleh anggota kepala yang lain seperti mata, telinga, leher, sinus atau gigi.

Oleh itu, pesakit perlu mengambil kira keadaan di bahagian tersebut dahulu dan beritahu doktor semasa menjalani konsultasi pertama.

"Ada kes di mana sakit kepala dialami pesakit disebabkan oleh tumor atau keadaan vaskular seperti aneurysm yang boleh menjejaskan kawasan tertentu dengan cara menekan atau berkembang dalam otak.

"Tumor ini boleh membesar secara perlahan atau cepat dengan menekan otak dan menyebabkan bahagian itu memberi reaksi kepada tisu tumor tersebut, lalu pembengkakan otak dan sakit kepala berlaku," jelasnya.

Selain daripada sakit kepala, pesakit juga boleh memerhatikan fungsi neurologi lain sama ada terjejas atau pun tidak seperti kemerosotan dalam membuat keputusan, pemikiran dan daya ingatan.


Kredit : Mstar



Ketahui Bagaimana Kuman Pemakan Daging (Necrotizing Fasciitis) Mengakibatkan Kulit Dan Isi Hilang Di Mamah

15 Apr 2022

 




Necrotizing fasciitis juga dikenali sebagai penyakit pemakan daging atau bakteria pemakan daging adalah satu jangkitan yang jarang-jarang berlaku yang melibatkan kulit dalam. Ia merebak merentasi tisu fascia di bawah kulit dan kulit dalam.  

Ia sangat cepat merebak terutama kepada pesakit kencing manis dan kanser. Pesakit ini biasanya lemah ketahanan badan dan tidak mempunyai imun untuk melawan penyakit. Oleh kerana ia sangat merbahaya dan cepat merebak, kebiasaannya ia dirawat menggunakan antibiotik dengan dos yang tinggi dan kaedah pembedahan. 

Gejala dan Tanda

Penyakit ini jarang terkena kepada pesakit yang sihat. 70% daripada kes pesakit yang direkodkan adalah mereka yang merupakan penghidap kencing manis, masalah imun yang rendah kerana memakan ubat seperti ubat kanser, pesakit kanser dan penderita penyakit kronik. 

Pada awalnya, kawasan yang terkena jangkitan mungkin bermula dari luka kecil. Walaupun luka yang kecil, pesakit merasakan kesakitan yang teramat sangat. 

Sebenarnya kedudukan bakteria yang berada bawah di  dasar kulit menyebabkan kulit kelihatan seperti tidak ada apa-apa. Dalam tempoh beberapa jam, tisu semakin membengkak dan merah. Ini kerana bakteria semakin merebak ke sekitar kawasan sekeliling. Kulit mula bertukar warna menjadi kebiruan dan keunguan. Blister atau pelepuhan mula kelihatan dan kulit dan sel bawah kulit mengalami kematian (necrosis). 

Pesakit yang mengalami necrotising fasciitis biasanya mengalami demam dan kelihatan sangat lemah dan tidak sihat. Kadangkala pesakit muntah dan cirit birit. Sekiranya tidak dirawat 73% daripada penghidap boleh membawa maut. 


Pathofisiologi

Bakteria pemakan daging ialah satu misnomer. Bakteria tersebut sebenarnya tidak memakan daging itu. Apa yang bakteria itu lakukan ialah ia merosakkan kulit dan otot dengan merembeskan satu toksin. Toksin ini yang menyebabkan kerosakan kepada sel tubuh. Nama bakteria itu ialah Streptococcus pyogenes.

Rawatan

Pesakit akan dibedah sekiranya pesakit didiagnos dengan penyakit necrotizing fasciitis. Tisu-tisu yang dijangkiti akan dibuang secara agressif .Pembedahan adalah pilihan rawatan yang paling utama kerana membiarkan tisu yang dijangkiti akan menyebabkan toksin merebak ke tempat lain pula. dalam masa yang sama antibiotik ke dalam saluran darah vena juga akan diberikan. 

Setelah banyak tisu kulit dibuang ia akan menyebabkan luka yang besar terbuka di kawasan pembedahan. Luka yang besar ini akan ditutup dengan kulit yang diambil daripada kawasan badan yang lain. Kebiasaannya pesakit akan di rawat di kawasan rawatan rapi dan sangat ketat kawalannya untuk mengelakkan jangkitan. 

Sekiranya masalah itu sangat ekstrim, amputasi organ mungkin menjadi pilihan. Selain daripada itu rawatan hyperbaric oxygen boleh membantu pesakit namun tidak banyak hospital yang menawarkan kaedah ini.




Busung 24 Bulan ! Jangan Terlewat Membuat Rawatan. Elak Kepercayaan Karut.

5 Apr 2022


Salam,

Suatu waktu dahulu, ketika perubatan moden tidak tercapai dek tangan kerana masalah infrastruktur, kewangan dan logistik, maka rawatan tradisional dipilih sebagai rawatan utama. Ia merangkumi rawatan herba dan akar kayu, petua, jampi serapah ataupun dengan bantuan jin.

Bomoh, pawang dan dukun menjadi pendukung utama di dalam kampung-kampung. Ada waktunya, pemimpin harus dengar cakap mereka dan pendapat mereka perlu dituruti kerana ilmu dan pengalaman mereka tentang kedukunan dan juga amalan firasat.

Namun kini, peranan mereka sudah semakin kurang. Ini kerana, perkhidmatan kesihatan sudah semakin meluas ke ceruk pendalaman. Jika tidak pun, rakyat boleh keluar mencari perkhidmatan perubatan moden walaupun terpaksa menelusi pelbagai rintangan di dalam perjalanan.

Pada waktu 2009 ini, kita mungkin sangka bahawa mereka yang duduk di kawasan pendalaman sahaja yang menolak rawatan moden dan hanya mahukan rawatan tradisional ini secara total.

Itu tidak benar.

2 minggu lepas, saya terjumpa dengan seorang wanita di dalam usia 40-an. Beliau datang dengan perut yang besar dan badan yang sangat kurus. Wajahnya cekung. Mungkin dia menyangka dengan memakai jubah labuh dan lengan yang panjang itu dapat menutup perutnya yang besar sseperti 9 bulan mengandung itu. Cumanya, perutnya bukan membusung 9 bulan tetapi 24 bulan!

Beliau secara terbuka memberitahu bahawa beliau didiagnosis menghidapi fibroid oleh pakar sakit puan 2 tahun lalu. Tetapi beliau buat tidak endah dan hanya mahu berubat secara tradisional. Sudah bermacam tempat dia telah pergi dan pelbagai rawatan tradisional dia telah terima namun "belum ada rezeki" lagi.

Saya terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia bertugas di sebuah hospital universiti yang terkenal di Kuala Lumpur. Malah dia kata dia kenal pakar sakit puan si polan dan si polan (yang saya juga kenal) kerana pernah bekerja dengan mereka.

Saya tanya kenapa beliau tidak mahu menerima rawatan dari pakar sakit puan. Wanita berpendapat bahawa beliau lebih serasi dengan rawatan tradisional. Mungkin sedikit segan dengan pakar di tempat beliau bertugas. Tetapi beliau percaya bahawa rawatan tradisional itu boleh membantunya.

Rupa-rupanya beliau pergi ke hospital ini kerana beliau telah berjumpa dengan seorang "pakar" tradisional yang memberitahu bahawa perutnya penuh air. "Pakar" itu mahukan beliau menjalani ujian CT scan supaya air tersebut dapat dikenal pasti dan dibuang. Bagaimana cara ia akan dibuang saya tidak tahu. Mungkin melalui cara batin.

Saya memberitahunya, kalau ketumbuhan ini adalah fibroid, ia bukan lah sejenis air yang terkumpul tetapi sejenis ketumbuhan dari rahim. Kita tidak boleh buang air begitu sahaja sedangkan masalahnya ialah sejenis ketumbuhan berasal dari tisu. Ia perlu dibedah.

Sebelum ini pun banyak sudah cerita tentang fibroid yang banyak dibuang sehingga berkilo-kilo beratnya. Ia boleh dilakukan dan selamat. Asalkan ia bukan kanser.

Beliau tetap dengan pendiriannya untuk menerima rawatan tradisional walaupun beliau mengaku bahawa selama 2 tahun beliau menerima rawatan tersebut, tidak ada perubahan yang berlaku malah ketumbuhan semakin membesar. Dan beliau semakin kurus.

Apa yang boleh saya katakan. Saya berasa sedikit kesal tapi saya yakin itu adalah keputusannya dan kita sebagai perawat harus menghormati kehendak pesakit kita. Apatah lagi beliau tidak jahil dan faham akan penyakitnya.

Cuma mungkin saya boleh berkongsi cerita yang saya terbaca di dalam email.

Kisah seorang perempuan tua yang tinggal seorang diri ketika hujan lebat. Hujan tidak berhenti dan air mula semakin naik ke dalam rumah. Semakin lama semakin tinggi banjir itu sehingga beliau terpaksa naik ke atas meja.

Apabila skuad penyelamat tiba, dan mahu membawanya ke dalam bot beliau menolaknya. beliau berkata, pergilah, Tuhan akan menolong aku. Beliau pun terus berdoa.

Apabila air naik lagi, beliau terpaksa naik ke loteng. Skuad penyelamat pun tiba lagi untuk membawanya pergi. Beliau menolak dan berkata, pergilah, Tuhan akan menolong aku. Wanita itu terus berdoa dengan lebih kuat lagi.

Apabila air nak lagi, beliau naik ke atas atap. Pasukan penyelamat pun tiba lagi buat kali ketiga. Beliau dengan sikap degilnya berkata, pergilah. Tuhan pasti menyelamatkan aku.

Akhirnya wanita tua itu mati tenggelam.

Apabila dia menemui Tuhannya, Tuhan bertanya kepadanya, kenapa engkau membiarkan dirimu tenggelam?

Wanita itu menjawab, Aku menunggu pertolongan dari Mu Tuhan yang tidak kunjung sampai.

Tuhan menjawab, Bukankah aku telah membantumu dengan menghantar pasukan penyelamat ke rumah mu? Bukan sekali tetapi 3 kali!

(p.s. Cerita ini perlu dianggap sebagai sekadar cerita sahaja)

Kadang-kadang Allah memberi pertolongan melalui pelbagai cara. Ia di hadapan mata kita, tetapi kadangkala kita selalu terlepas pandang.

Perubatan Islam bukan hanya memakan herba-herba dan jampi sahaja. Ia juga merangkumi ilmu-ilmu yang baik, yang dijalankan secara teratur, penelitian melalui sistem empirikal dan macam-macam lagi. Malah, sekiranya terdapat unsur menyerah diri kepada kekuasaan Allah, menggunakan ubat-ubatan yang jelas tidak haram kecuali darurat, menggunakan pendekatan islam seperti adab dan sebagainya, Maka perubatan moden sekarang adalah perubatan Islam yang paling berkesan.

Wallahu A'lam.

Kredit : drazwan


 

Mencegah Kehamilan Menggunakan IUD Boleh , Tapi AWASS ! Ada Risiko Mengandung Luar Rahim. ALERT

18 Mar 2022



Alat kontraseptif dalam rahim (IUD) merupakan salah satu kaedah kontrasepsi yang sering digunkan oleh wanita untuk cegah kehamilan.

Walaupun alat tersebut berkesan untuk mencegah kehamilan, ia bukan 100% efektif.  Berbanding dengan kaedah kontrasepsi yang lain, alat kontraseptif dalam rahim mempunyai tahap keberkesanan yang sangat tinggi.

Dalam tempoh 1 tahun penggunaan, nisbah kegagalan wanita yang menggunakan kaedah kontrasepsi ini adalah 1:100.  Ini bermakna, dalam kalangan 100 wanita yang menggunakannya, pemakaian oleh 1 individu gagal untuk cegah kehamilan.

Secara teorinya, alat kontraseptif dalam rahim mempunyai keberkesanan pada kadar 99%. Persoalannya di sini, apakah faktor yang menyebabkan kegagalan fungsi alat kontraseptif dalam rahim?

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.


Bukan Semua Wanita Berjaya Cegah Kehamilan Menggunakan IUD

Jika ingin dibandingkan dengan kaedah kontrasepsi yang lain, IUD merupakan satu alternatif yang mudah. Secara idealnya, tiada kesilapan daripada pihak pengguna memandangkan ia bukanlah seperti pil yang perlu diambil setiap hariBergantung kepada model IUD, pengguna berupaya untuk cegah kehamilan selama 5 tahun sebelum tamat tarikh luputnya. IUD merupakan salah satu daripada kaedah kawalan kehamilan sementara yang banyak disarankan kepada wanita yang ingin merancang kehamilanWalau bagaimanapun, menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit, model IUD yang berbeza mempunyai kadar kegagalan yang berlainan. IUD yang diperbuat daripada tembaga mempunyai kadar kegagalan setinggi 0.8% manakala IUD hormon, levonorgestrel mempunyai kadar kegagalan di antara 0.1% hingga 0.4%.

Mereka yang menggunakan kaedah ini berisiko untuk gagal cegah kehamilan terutamanya jika hubungan seksual dilakukan dalam tempoh 7 hari selepas pemasangan. IUD yang dipasang boleh beralih daripada kedudukan yang sepatutnya menyebabkan fungsinya terganggu. Walaupun keadaan tersebut dianggap jarang berlaku, namun menurut the American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), risiko untuk alat kontraseptif dalam rahim itu beralih adalah di antara 2 hingga 10% dalam tempoh 1 tahun. Mereka yang menyusu badan atau baru lepas bersalin mempunyai risiko yang tinggi untuk alat kontraseptif dalam rahim mereka beralih. Ini meningkatkan kadar kegagalan langkah kontrasepsi untuk cegah kehamilan.

Antara gejala dan simptom yang boleh dialami oleh wanita yang mempunyai masalah ini adalah seperti berikut:

  • ~Benang IUD yang keluar dari faraj kelihatan pendek daripada biasa
  • ~Pendarahan yang banyak
  • ~Kram perut luar biasa
  • ~Lendiran faraj yang banyak

Gagal Cegah Kehamilan Sebabkan Kehamilan Biasa @ Luar Rahim

Bagi wanita yang mengalami kegagalan fungsi IUD, mereka berisiko untuk mendapat komplikasi kehamilan luar rahim. Keadaan ini berlaku apabila embrio yang sepatutnya ditanam pada dinding rahim berada di kawasan luar rahim seperti:

  • ~Tiub falopian
  • ~Ovari
  • ~Ruang abdomen
  • ~Serviks

Menurut ACOG, komplikasi akibat kegagalan alat kontraseptif dalam rahim untuk cegah kehamilan boleh menyebabkan simptom seperti berikut:

  • ~Sakit belakang pada bahagian bawah
  • ~Sakit abdomen atau pada bahagian pinggul
  • ~Pendarahan faraj tidak normal
  • ~Kram pada salah satu bahagian pinggul

Jika mereka yang mengalami keadaan ini tidak dirawat dengan kadar segera, simptom yang lebih serius boleh timbul. Antaranya adalah:

  • ~Sakit teruk pada bahagian abdomen atau pinggul
  • ~Kelesuan dan lemah badan
  • ~Pening kepala dan pengsan
  • ~Sakit pada bahagian bahu

Jika anda atau pasangan mempunyai simptom seperti yang dinyatakan, rawatan perlu diberikan dengan kadar segera. Mereka yang mengalami kehamilan luar rahim berisiko untuk mati akibat pendarahan dalaman.

Pilihan Bagi Yang Gagal Cegah Kehamilan

Jika anda mengalami simptom kehamilan, anda perlu membuat ujian kehamilan atau hadir ke klinik terdekat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Antara simptom yang menunjukkan anda gagal untuk cegah kehamilan:

  • ~Mabuk hamil (muntah dan loya)
  • ~Sakit pada bahagian payudara
  • ~Mengidam
  • ~Perubahan pada mood
  • ~Kelesuan
  • ~Tidak datang haid

Lebih penting lagi jika anda mengalami gejala yang menunjukkan anda mungkin hamil di luar rahim. Jika ragu, pergi ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan pengesahan. Jika anda mengalami komplikasi hamil luar rahim, prosedur pembedahan laparoskopik akan dilakukan bagi mengeluarkan janin pada kawasan bukan rahim.

Bagaimana pula jika kegagalan untuk cegah kehamilan menyebabkan wanita tersebut hamil biasa? Pilihan yang akan diberikan kepada pasangan suami isteri bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya adalah:

  • ~Usia kandungan
  • ~Kedudukan IUD
  • ~Akses kepada benang IUD
  • ~Permintaan daripada wanita itu sendiri

Sekiranya wanita tersebut membuat keputusan untuk meneruskan kehamilan, pemeriksaan akan dibuat. Jika benang IUD tidak kelihatan di luar faraj, doktor akan menggunakan mesin ultrasound bagi menentukan kedudukannya.

  • ~Jika IUD tidak kelihatan, ujian x-ray akan dibuat bagi mengesan kedudukan alat tersebut
  • ~Sekiranya IUD berada pada serviks, doktor akan menarik keluar IUD tersebut
  • ~Jika IUD berada di atas serviks, doktor akan menasihatkan perihal komplikasi dan risiko yang boleh dialami sekiranya kehamilan ingin diteruskan.

Konklusi

Penggunaan IUD untuk cegah kehamilan digalakkan terutamanya kepada ibu yang baru sahaja lepas bersalin.

Perkara ini penting bagi memastikan si ibu mempunyai ruang masa untuk menjaga bayi yang baru lahir sebelum cuba untuk hamil sekali lagi.

Jika anda ingin menggunakan IUD atau menghadapi masalah berkaitan dengan penggunaannya, hadirkan diri anda ke pusat kesihatan terdekat.

Kredit : Hello Doktor


Kenapa Payudara Sakit Sebelum Datang Bulan?

4 Feb 2022


Anda perasan tak rasa payudara sakit sebelum haid? Bila hampir saja waktu nak datang bulan, mulalah payudara ini rasa membengkak dan seakan sangat sensitif dengan sentuhan! Kadangkala, payudara sakit sebelum haid itu rasa biasa-biasa saja namun ada juga masa di mana ia agak ketara dan memeritkan. Pernahkah anda terfikir mengapa ia terjadi? Kami akan berkongsikan dengan anda penerangannya menurut sains.


Payudara sakit sebelum haid kerana perubahan hormon 

Adalah menjadi rutin kita para wanita untuk mengalami perubahan hormon tanpa henti dalam badan. Kadangkala, kita tidak sedar tentangnya. Namun, apabila terasa saja sakit-sakit pada payudara, ketahuilah bahawa itu salah satu petanda yang hormon sedang berfungsi dalam badan kita!

Pada bahagian kitaran haid kedua iaitu di antara hari ke 14 sehingga hari 28, akan ada 2 hormon yang meningkat, iaitu estrogen dan progesteron. Selepas haid habis, tahap estrogen dalam badan wanita selalunya akan mula meningkat dan memuncak pada hari ke 14. Pada waktu ini, hormon estrogen akan menyediakan badan kita untuk proses ovulasi iaitu proses mengeluarkan telur dari ovari untuk persenyawaan. Kesan daripada peningkatan estrogen dalam badan kita, saluran payudara (breast ducts) akan membesar dan terasa padat. Sebab itulah pada waktu ini, payudara anda akan berasa tidak selesa sedikit.


Hormon progesteron menyediakan payudara untuk menyusu bayi jika anda hamil 

Yang keduanya, payudara sakit sebelum haid adalah disebabkan oleh hormon progesteron yang mula ‘bertugas’ selepas proses ovulasi. Hormon progesteron akan membesarkan saluran susu payudara. Ia bagi menyediakan payudara untuk menghasil dan menyalurkan susu sekiranya anda hamil selepas ovulasi. Disebabkan proses ini, maka anda akan mula mengalami payudara yang sensitif. Ia akan berasa sakit-sakit. Tetapi, ia tidak sepatutnya mengganggu anda menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Selalunya, rasa sakit ini akan hilang sedikit demi sedikit sehingga haid anda datang.


Payudara sakit sebelum haid mungkin petanda anda hamil!

Lagi satu sebab kenapa payudara sakit sebelum datang bulan adalah kerana kemungkinan kita hamil! Apabila badan mula mengesan yang kita mengandung, hormon progesteron akan terus dihasilkan bagi memulakan proses penghasilan susu badan. Maka, ia akan terus menyebabkan payudara anda membesar, sakit-sakit dan sangat peka pada sentuhan. Ia akan berterusan sehinggalah akhir tempoh mengandung! Jadi, kalau selepas ini anda perasan yang payudara anda mula sakit-sakit, jangan risau. Ia adalah satu proses biasa –sebahagian daripada kesan PMS (premenstrual syndrome). Hampir 70% wanita akan merasainya setiap bulan. Dan, ia juga boleh menjadi tanda yang anda mengandung! Kadangkala, wanita berusia yang hampir menopause juga akan merasai rasa sakit sebegini pada bahagian dada mereka.


Bila anda perlu risau jika merasai payudara sakit?

Namun, jika payudara anda kerap sakit dan salah satu daripada perkara berikut terjadi pada payudara anda, anda perlu segera membuat pemeriksaan di hospital: Ada ketulan luar biasa pada payudara Keluarnya cecair dari puting payudara, terutamanya jika warna merah atau coklat Rasa sakit yang keterlaluan sehingga menyukarkan anda menjalani kehidupan harian seperti biasa Jika anda ada tanda-tanda sakit pada payudara seperti di atas, maka pada waktu ini, anda perlu risau! Takut-takut ia adalah simptom kepada penyakit yang lebih serius seperti contoh, kanser payudara. 


Kredit : AsianParent



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.