SLIDER

mitos
Showing posts with label mitos. Show all posts

Busung 24 Bulan ! Jangan Terlewat Membuat Rawatan. Elak Kepercayaan Karut.

5 Apr 2022


Salam,

Suatu waktu dahulu, ketika perubatan moden tidak tercapai dek tangan kerana masalah infrastruktur, kewangan dan logistik, maka rawatan tradisional dipilih sebagai rawatan utama. Ia merangkumi rawatan herba dan akar kayu, petua, jampi serapah ataupun dengan bantuan jin.

Bomoh, pawang dan dukun menjadi pendukung utama di dalam kampung-kampung. Ada waktunya, pemimpin harus dengar cakap mereka dan pendapat mereka perlu dituruti kerana ilmu dan pengalaman mereka tentang kedukunan dan juga amalan firasat.

Namun kini, peranan mereka sudah semakin kurang. Ini kerana, perkhidmatan kesihatan sudah semakin meluas ke ceruk pendalaman. Jika tidak pun, rakyat boleh keluar mencari perkhidmatan perubatan moden walaupun terpaksa menelusi pelbagai rintangan di dalam perjalanan.

Pada waktu 2009 ini, kita mungkin sangka bahawa mereka yang duduk di kawasan pendalaman sahaja yang menolak rawatan moden dan hanya mahukan rawatan tradisional ini secara total.

Itu tidak benar.

2 minggu lepas, saya terjumpa dengan seorang wanita di dalam usia 40-an. Beliau datang dengan perut yang besar dan badan yang sangat kurus. Wajahnya cekung. Mungkin dia menyangka dengan memakai jubah labuh dan lengan yang panjang itu dapat menutup perutnya yang besar sseperti 9 bulan mengandung itu. Cumanya, perutnya bukan membusung 9 bulan tetapi 24 bulan!

Beliau secara terbuka memberitahu bahawa beliau didiagnosis menghidapi fibroid oleh pakar sakit puan 2 tahun lalu. Tetapi beliau buat tidak endah dan hanya mahu berubat secara tradisional. Sudah bermacam tempat dia telah pergi dan pelbagai rawatan tradisional dia telah terima namun "belum ada rezeki" lagi.

Saya terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia bertugas di sebuah hospital universiti yang terkenal di Kuala Lumpur. Malah dia kata dia kenal pakar sakit puan si polan dan si polan (yang saya juga kenal) kerana pernah bekerja dengan mereka.

Saya tanya kenapa beliau tidak mahu menerima rawatan dari pakar sakit puan. Wanita berpendapat bahawa beliau lebih serasi dengan rawatan tradisional. Mungkin sedikit segan dengan pakar di tempat beliau bertugas. Tetapi beliau percaya bahawa rawatan tradisional itu boleh membantunya.

Rupa-rupanya beliau pergi ke hospital ini kerana beliau telah berjumpa dengan seorang "pakar" tradisional yang memberitahu bahawa perutnya penuh air. "Pakar" itu mahukan beliau menjalani ujian CT scan supaya air tersebut dapat dikenal pasti dan dibuang. Bagaimana cara ia akan dibuang saya tidak tahu. Mungkin melalui cara batin.

Saya memberitahunya, kalau ketumbuhan ini adalah fibroid, ia bukan lah sejenis air yang terkumpul tetapi sejenis ketumbuhan dari rahim. Kita tidak boleh buang air begitu sahaja sedangkan masalahnya ialah sejenis ketumbuhan berasal dari tisu. Ia perlu dibedah.

Sebelum ini pun banyak sudah cerita tentang fibroid yang banyak dibuang sehingga berkilo-kilo beratnya. Ia boleh dilakukan dan selamat. Asalkan ia bukan kanser.

Beliau tetap dengan pendiriannya untuk menerima rawatan tradisional walaupun beliau mengaku bahawa selama 2 tahun beliau menerima rawatan tersebut, tidak ada perubahan yang berlaku malah ketumbuhan semakin membesar. Dan beliau semakin kurus.

Apa yang boleh saya katakan. Saya berasa sedikit kesal tapi saya yakin itu adalah keputusannya dan kita sebagai perawat harus menghormati kehendak pesakit kita. Apatah lagi beliau tidak jahil dan faham akan penyakitnya.

Cuma mungkin saya boleh berkongsi cerita yang saya terbaca di dalam email.

Kisah seorang perempuan tua yang tinggal seorang diri ketika hujan lebat. Hujan tidak berhenti dan air mula semakin naik ke dalam rumah. Semakin lama semakin tinggi banjir itu sehingga beliau terpaksa naik ke atas meja.

Apabila skuad penyelamat tiba, dan mahu membawanya ke dalam bot beliau menolaknya. beliau berkata, pergilah, Tuhan akan menolong aku. Beliau pun terus berdoa.

Apabila air naik lagi, beliau terpaksa naik ke loteng. Skuad penyelamat pun tiba lagi untuk membawanya pergi. Beliau menolak dan berkata, pergilah, Tuhan akan menolong aku. Wanita itu terus berdoa dengan lebih kuat lagi.

Apabila air nak lagi, beliau naik ke atas atap. Pasukan penyelamat pun tiba lagi buat kali ketiga. Beliau dengan sikap degilnya berkata, pergilah. Tuhan pasti menyelamatkan aku.

Akhirnya wanita tua itu mati tenggelam.

Apabila dia menemui Tuhannya, Tuhan bertanya kepadanya, kenapa engkau membiarkan dirimu tenggelam?

Wanita itu menjawab, Aku menunggu pertolongan dari Mu Tuhan yang tidak kunjung sampai.

Tuhan menjawab, Bukankah aku telah membantumu dengan menghantar pasukan penyelamat ke rumah mu? Bukan sekali tetapi 3 kali!

(p.s. Cerita ini perlu dianggap sebagai sekadar cerita sahaja)

Kadang-kadang Allah memberi pertolongan melalui pelbagai cara. Ia di hadapan mata kita, tetapi kadangkala kita selalu terlepas pandang.

Perubatan Islam bukan hanya memakan herba-herba dan jampi sahaja. Ia juga merangkumi ilmu-ilmu yang baik, yang dijalankan secara teratur, penelitian melalui sistem empirikal dan macam-macam lagi. Malah, sekiranya terdapat unsur menyerah diri kepada kekuasaan Allah, menggunakan ubat-ubatan yang jelas tidak haram kecuali darurat, menggunakan pendekatan islam seperti adab dan sebagainya, Maka perubatan moden sekarang adalah perubatan Islam yang paling berkesan.

Wallahu A'lam.

Kredit : drazwan


 

Garisan Hitam Di Perut Ibu Hamil, Jangan Percaya MITOS. Ini Adalah Sebabnya

15 Mar 2022



“Sejak perut makin membesar ni, makin jelas garis hitam di perut. Orang kata kalau ada garisan jelas macam ni, dapat anak lelaki, ye ke?”

Garisan hitam atau berwarna gelap yang menegak dari kawasan bawah pusat hingga ke bahagian kemaluan ini amat sinonim dengan wanita hamil. Ia biasanya muncul pada usia kehamilan 23 minggu atau trimester kedua.

Sebenarnya garisan ini memang ada pada setiap orang dan dikenali sebagai linea alba. Apabila linea alba ini menjadi semakin jelas dan berubah menjadi warna gelap, ia dikenali sebagai linea nigra.


5 PERKARA TENTANG GARIS HITAM DI PERUT IBU MENGANDUNG


1. BUKAN PENENTU JANTINA BAYI DALAM KANDUNGAN

Orang lama rajin mengaitkan garis hitam di perut ibu hamil ini sebagai cara menentukan jantina bayi dalam kandungan.

Menurut telahan mereka, kalau garisan ini berhenti sampai pusat maksudnya anak dalam kandungan adalah anak perempuan. Sebaliknya apabila garis hitam tersebut sampai ke atas perut (hingga ke abdomen) maksudnya anak dalam kandungan itu lelaki. Ada juga bidan-bidan kampung yang kata perempuan yang ada garisan yang ketara maksudnya dia akan mudah bersalin nanti.

Walaupun kadangkala ianya tepat, namun sehingga kini tiada fakta saintifik yang dapat mengesahkan kenyataan tersebut.


2. GARIS HITAM TERJADI AKIBAT PERUBAHAN HORMON

Hampir semua ibu yang mengandungkan anak pertama akan mengalami perubahan pada kulit. Hormon yang aktif semasa mengandung bukan sahaja berperanan menyokong perkembangan bayi serta penghasilan susu badan, ia juga menyebabkan perubahan fizikal.

Dalam kes ini, hormon estrogen yang hadir merangsang sejenis hormon lain untuk dihasilkan iaitu hormon ‘melanocyte-stimulating hormone’. Hormon ini berperanan untuk menghasilkan pigmen pada sel yang mengandungi melanosit dan seterusnya membuatkan kulit kelihatan lebih gelap. Bukan garisan ini saja yang ketara, malah anda pasti perasan yang terdapat bahagian lain menjadi semakin gelap ketika mengandung seperti leher, pelipat dan kawasan sekitar areola.

Sesetengah wanita sensitif dengan perubahan hormon ini dan ada yang tidak. Oleh sebab itu, tidak semua wanita akan mendapati perubahan yang ketara pada kulitnya.


3. MUNGKIN PETANDA KURANG ASID FOLIK

Sebuah kajian yang dilaporkan dalam Journal of Family Medicine and Primary Care mendapati antara punca munculnya linea nigra ini ada kaitannya dengan kekurangan asid folik dalam tubuh.

Oleh itu, jangan mengabaikan pengambilan vitamin asid folik yang dipreskripsikan oleh doktor. Selain itu, anda juga boleh menambahkan sumber asid folik dalam diet harian dengan memakan sayuran berdaun hijau serta bijirin penuh.

Asid folik amat penting untuk perkembangan janin, mengelakkan anemia, mencegah kecacatan bayi dalam kandungan, serta menjaga kondisi kulit ibu hamil.


4. BILAKAH GARISAN HITAM INI AKAN MENGHILANG?

Mungkin sesetengah ibu hamil merasakan penampilan mereka kurang menarik dengan kemunculan linea nigra ini. Namun para ibu tidak perlu risau kerana garisan serta pigmentasi tersebut lazimnya bersifat sementara. Ia dijangka akan memudar dan hilang beberapa bulan selepas melahirkan bayi.

Walaubagaimanapun bagi sesetengah wanita, garis hitam ini mungkin tidak akan hilang sepenuhnya.


5. CARA MENGHILANGKAN GARIS HITAM PADA PERUT

Linea nigra bukanlah boleh dihilangkan dengan mudah. Sungguhpun begitu, garisan tersebut boleh menjadi kurang ketara dengan melakukan beberapa cara.

Anda boleh cuba gel atau krim yang berasaskan sumber semulajadi seperti cocoa butter atau gel vitamin E. Amalan ini bukan sahaja dapat mengurangkan garisan pada perut, malah dapat membantu mengurangkan strech mark pada kulit perut.

Selain itu, banyakkan makan makanan yang kaya dengan folat seperti buah-buahan serta sayuran hijau serta amalkan supplemen asid folik seperti yang disarankan oleh doktor.


JANGAN PERCAYA MITOS

Jadi sekarang anda dah tahu kan apa sebenarnya maksud garis hitam di perut ibu mengandung. Tanggapan bahawa ia mempengaruhi jantina bayi adalah mitos semata-mata. Jika ianya betul, itu hanyalah kebetulan saja.

Linea nigra bukanlah sesuatu yang perlu anda risaukan, bahkan ia menandakan perkembangan yang baik dalam tempoh kehamilan serta perubahan hormon yang sihat dan progresif untuk kesihatan anda dan bayi.

Jadi, tak ada apa yang perlu anda risaukan ya!


Kredit : SirapLimau


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.