Mangsa Kemalangan Sering Dirompak
PADA petang Sabtu, 21 Ogos lalu, satu kemalangan berlaku di
satu simpang empat berhampiran rumah saya di Batu Pahat. Kemalangan berlaku antara sebuah MPV Avanza dengan sebuah
motosikal. Ketika saya dan suami keluar untuk melihat kemalangan itu,
orang ramai telah mengerumuni mangsa iaitu seorang lelaki bersama anak
perempuannya. Lelaki dan anak perempuannya tidak sedarkan diri walaupun
masih kelihatan bernafas, anak perempuan mangsa mengalami luka di bahagian
kepala.
Oleh kerana ambulans tidak sampai-sampai, saya cadangkan
suami agar menghantar mangsa ke hospital. Sebelum itu saya telah bertanya
kepada salah seorang yang membantu mangsa di mana barang-barang berharga mangsa
seperti beg atau dompet, tapi dengan selamba lelaki itu memberitahu saya bahawa
barang-barang itu telah diambil oleh abang mangsa, sambil menunjukkan kepada
saya seorang lelaki yang berkemeja-T putih menaiki motosikal.
Ketika itu tidak terbayang saya akan kemungkinan sesuatu yang
tidak diingini akan berlaku kerana pada tanggapan saya semua orang yang berada
di tempat kejadian itu benar-benar ikhlas hendak membantu apa lagi di bulan
Ramadan ini. Namun kenyataannya ialah ketika sampai di hospital lelaki
yang menjadi mangsa kemalangan itu mula sedarkan diri dan bertanya kepada suami
saya di mana dompet duitnya. Nasib menyebelahi lelaki itu kerana telefon bimbitnya masih
ada di saku seluarnya dan baru hendak menghubungi keluarganya. Apa yang masih
menjadi tanda tanya ialah ke mana hilangnya dompet dan beg tangan anak
perempuan mangsa itu?
Namun saya masih berharap, 'abang' mangsa seperti yang
diberitahu kepada saya semasa berada di tempat kejadian akan muncul di Hospital
Daerah Batu Pahat, jika benar lelaki itu benar-benar abang mangsa. Suami hanya
menghantar mangsa dan pulang ke rumah selepas itu. Semalam, saya bercadang menziarahi mangsa kemalangan itu di
hospital, namun apa yang menyedihkan ialah mangsa telah meninggal dunia pada
pukul 5.30 petang semalam kerana kecederaan dalaman sementara anak perempuannya
masih berada di hospital kerana patah paha.
Suami menziarahi anak mangsa dan menurutnya, rantai leher
yang dipakainya juga hilang, selain daripada dompet duit Allahyarham ayahnya
dan beg tangan kepunyaannya. Apa yang ingin saya kongsikan ialah mengapa ada manusia yang
sanggup melakukan perkara seperti itu, memberi bantuan tetapi dalam masa yang
sama menggunakan kesempatan dengan 'merompak' orang-orang yang tidak berdaya
seperti mangsa kemalangan tersebut.
Saya merayu sangat-sangat kepada yang telah melakukan
'rompakan' tersebut, sedarlah di bulan Ramadan ini orang lain berebut-rebut
untuk memperbanyakkan amal jariah dan pahala tetapi anda pula sebaliknya. Sesungguhnya Allah melihat apa-apa yang kamu kerjakan dan
ingatlah walau sebesar zarah pun perbuatan baik yang kita lakukan akan Allah
balas apa lagi jika kita melakukan dosa sebesar itu.
AISAH
Batu Pahat
Kredit : SuaraHati
No comments
Post a Comment