Keluarga Ipar Cemburu Dan Suka Campur Urusan Keluarga
Campur tangan keluarga dalam sebuah
perhubungan selalunya makin merosakkan keadaan. Inilah yang terjadi pada
seorang isteri yang disiarkan kisahnya minggu ini. Sikap keluarga suaminya yang
suka masuk campur urusan rumah tangga menyebabkan mereka pernah bercerai namun
kembali rujuk. Akan tetapi hal yang sama masih lagi terjadi. Semoga kisahnya
dijadikan tauladan buat semua.
Saya dan suami berkahwin sejak setahun lalu.
Sekali pun masih baru tetapi pelbagai masalah berlaku dalam perhubungan kami
berdua. Kami pernah bercerai semasa ikatan perkahwinan baru berusia beberapa
bulan. Masalah yang berlaku semuanya berpunca dari
keluarga mentua yang terlalu suka masuk campur hubungan kami suami isteri.
Bayangkan, kakak ipar pernah datang ke rumah dan dia meminta kami mengubah
susun atur perabot di dalam rumah. Dia mengarahkan agar kami mengikut
kehendaknya sedangkan susur atur itu sudah kami tetapkan suami isteri.
Bila kami membeli peralatan elektrik seperti
peti ais dan TV yang agak besar, keluarga mentua akan menelefon suami dan
memarahinya sedangkan menjadi hal kami untuk memilih yang terbaik. Saya jadi
tertekan dengan sikap mereka dan saya suarakan kemarahan kepada suami. Saya
meminta agar keluarganya tidak masuk campur atau mempertikaikan hal sebegini. Begitu juga ketika suami balik kerja, dia
wajib singgah di rumah kakaknya. Jika tidak berbuat demikian, kakaknya akan
menelefon bertanya. Bukan itu saja, setiap kali dia memasak makanan kesukaan
suami, dia pasti minta suami singgah tidak kira siang atau pun malam. Namun
yang diajak hanya suami sahaja, bukannya saya.
Begitu juga kalau jika berdepan masalah, dia
akan menelefon suami tanpa mengira masa sedangkan dia sudah punya suami. Ada
masanya suami baru saja balik tetapi kakaknya akan meminta suami saya datang ke
rumahnya. Malah perkara kecil seperti lampu rosak telefon atau gantung bingkai
gambar itu pun dia minta bantuan suami sedangkan dia ada suami. Tidak habis dengan kerenah kakak ipar, adik
ipar perempuan saya juga sama. Adik ipar tidak mahu menegur saya dan hanya
tersenyum bila ditanya. Puas saya mencari jawapan tetapi sebulan berkahwin,
sikapnya tetap begitu.
Dia juga selalu meminta suami saya pergi ke
hostelnya tempatnya bekerja dan minta suami menemaninya membeli belah. Bukan
itu saja, dia kerap mengajak suami keluar makan. Namun sebelum keluar dia akan
bertanya sama ada saya ikut atau tidak. Ada ketikanya saya menegur sikap suami
kerana mengabaikan saya. Saya hanya suri rumah dan hanya pada suami tempat saya
bercerita. Dalam hal ini, kami kerap bergaduh dan akhirnya bercerai. Suami minta rujuk kembali tetapi masalah tetap
sama berulang.
Baru-baru ini kami berpindah ke sebuah negeri
lain. Suami membeli TV baru dan bila adiknya tahu, dia terus menghantar SMS
marah-marah. Katanya tindakan suami hanya menghabiskan duit sahaja. Saya jadi
terkilan dan terkejut kerana rumah kami tiada TV selepas yang lama rosak. Tidak habis dengan sikap itu, kalau kami naik
kereta, adiknya akan berebut mahu tempat duduk di depan. Kalau sekali dua tidak
mengapa tetapi sudah terlalu kerap. Suami hanya melihat saja sikap adiknya
tanpa mahu menegur.
Adik ipar juga seolah cemburu dengan hubungan
saya dan suami. Jika suami memegang tangan saya ketika berjalan, dia akan tarik
muka masam. Jika suami mahu merasa makanannya, dia akan suapkan seolah-olah
mereka pasangan kekasih. Begitu juga kalau bergambar dengan suami, seolah-olah
pasangan kekasih dan ia menyakitkan mata saya melihatnya. Saya ada
menegur suami tetapi suami meminta saya tidak terlalu cemburu sedangkan saya
sebenarnya saya sudah muak melihat aksi mereka.
Tidak habis di situ, baru-baru ini saya ada
meletakkan status di Facebook dengan ayat romantik. Bila adik ipar dia
membuat onar. Dia kembali memuat naikkan gambarnya dengan suami saya dan menulis
ayat-ayat romantik, rindu dan sebagainya. Tolonglah saya Prof? Saya tidak faham
dengan apa yang terjadi dan ketika menulis ini, saya dalam pantang selepas
keguguran. Suami memulaukan saya kerana saya menegur adiknya perihal TV yang
kami beli.
Sudah puas saya ambil hati keluarga. Saya akui
ibu dan ayah mentua baik tetapi adik-beradiknya tidak begitu. Suami juga
seolah-olah berat sebelah, banyak kali saya menegur tapi tiada tindakan
darinya. Saya sayangkan rumah tangga saya dan tak mahu
berlaku perceraian. Untuk makluman, adik beradik suami ramai perempuan dan
setahu saya, suami anak emas keluarga. Apa harus saya lakukan?
******************************************************
SARANAN OLEH PROF DR
NOORAZNIZA ISHAK
Assalamualaikum WRT,
Puan yang dimuliakan,
Personaliti lelaki
dan perempuan dijadikan berbeza-beza mengikut beberapa faktor yang menyumbang
kepada penampilan dalaman dan tingkah laku yang dipamerkan. Antara faktor yang
menyumbang kepada pembentukan personaliti ini adalah persekitaran keluarga,
persekitaran pendidikan, persekitaran pekerjaan , pergaulan, dan sangat sedikit
berkaitan dengan aspek keturunan. Itulah keajaiban
yang dicipta Allah SWT terhadap makhluk yang amat istimewa iaitu manusia.
Pembentukan tingkah laku lelaki dikaitkan dengan aspek sangat sederhana, logik,
fokus kepada perkara yang mudah, telus dan “direct”.
Manakala tingkah
laku perempuan pula dikaitkan sebagai ingin tahu semua perkara dan ingin buat
semua perkara, fokus kepada perkara yang kecil dan kompleks, kabur dan
kadang-kadang beremosi. Alam perkahwinan
telah menyatukan individu, keluarga dan cara hidup mereka. Penyesuaian kepada
cara hidup ini kadang-kadang memerlukan masa yang lama tambahan pula jika cara
hidup kedua-dua pasangan yang berkahwin sangat berbeza.
Perbezaan merangkumi
cara berkomunikasi, cara menerima, cara melayan, cara menghormati, cara
menghargai dan berbagai situasi yang kadang-kadang menemui jalan buntu untuk
difahami dan dipraktikkan. Pasangan yang
ditemukan dengan cara hidup yang berbeza mungkin boleh “survive” jika tiada
campur tangan ahli keluarga, namun jika ada pengaruh dari ahli keluarga mungkin
setiap individu akan lebih percaya, terpengaruh, membela ahli keluarga mereka
sendiri kerana jangka masa bersama keluarga lebih lama berbanding dari usia
perkahwinan.
Maka tidak hairanlah
jika pasangan yang baru berkahwin boleh bercerai akibat daripada perselisihan
cara hidup serta tidak mencapai harapan dan jangkaan perkahwinan yang
dilakarkan. Ini yang berlaku
pada perkahwinan puan yang bercerai seawal empat bulan perkahwinan dan
mengalami jalan buntu sehingga kini hasil dari penglibatan keluarga dalam rumah
tangga puan.
Tambahan pula adik
beradik suami puan ramai perempuan berbanding lelaki maka pergantungan kepada
suami puan sebagai “wira” dalam keluarga serta rasa “ memiliki” bagi adik dan
kakak ipar puan terhadap suami puan telah mencorakkan situasi “ rejection
kepada puan. uan juga dianggap
sebagai penghalang kepada kemesraan antara keluarga mereka kerana kehadiran
puan merupakan persaingan terhadap kemesraan dan perhatian suami puan kepada
mereka. Oleh itu puan perlu nilai keadaan ini dengan beberapa alternatif.
Pertama, puan perlu
semak semula cara penerimaan keluarga suami puan kepada orang luar termasuk
kehadiran puan. Fahami dan pelajari cara- cara untuk menyesuaikan diri dengan
keadaan keluarga suami puan. Perkara yang paling
mudah adalah nilai diri puan dan buat penyesuaian dan perubahan. Belajar untuk
menerima dan diterima oleh mereka. Kadang-kadang sikap “beralah” dan menerima
dengan positif akan membantu puan dan mereka untuk berubah.
Sikap yang positif
hanya boleh dipupuk jika pemikiran puan positif. Oleh itu jangan cepat
berprasangka buruk terhadap apa yang mereka katakan. Selagi apa yang puan buat
mendapat restu daripada suami dan hasil perbincangan bersama maka pandangan
orang lain tidak begitu penting untuk difikirkan. Seterusnya semak juga
personaliti dan cara puan berinteraksi dengan mereka agar puan boleh
selaraskan dan boleh diterima oleh semua.
Kedua, puan perlu
berbincang dengan suami untuk membantu penerimaan keluarganya terhadap puan.
Yakinlah bahawa jodoh yang telah ditentukan ini adalah pilihan Allah SWT
terhadap puan dan suami, maka cari keredhaan terhadap hubungan ini. Keredhaan dalam diri
puan bermula setelah puan yak n dan menerima suami serta keluarganya seadanya,
bukan memikirkan tentang kelemahan mereka dan menggunakan situasi ini untuk
membentuk alas an ketidakbahagiaan puan dalam berumah tangga.
Yakinlah bahawa apa
yang puan harapkan tidak sama dengan rutin kehidupan mereka, oleh itu jika
menunggu perubahan mereka agar mengikut jangkaan dan harapan yang puan gariskan
mungkin sangat sukar untuk dicapai. Oleh itu belajar untuk redha dengan
pemberian Allah ini, serta tidak fokus kepada perkara yang akan mencacatkan
hubungan keluarga. Ketiga, puan perlu
belajar untuk tidak mempedulikan perkara yang bukan prioriti dalam hubungan.
Dengan kata lain, tidak perlu terlalu terasa hati dengan perkataan-perkataan
yang dilontarkan mereka. Belajar untuk memberi perhatian kepada perkara yang
perlu dan berfaedah sahaja.
Keempat, puan perlu
menghormati “boundary” atau sempadan keluarga yang telah dibina dalam keluarga
suami puan yang telah mereka bina sebelum kehadiran puan. Keadaan ini menjadi
semakin serius kerana suami puan adalah tempat mereka berlindung. Oleh itu
berusaha untuk menjadi sebahagian daripada mereka , bukan meminta mereka
mengikut puan. Puan yang dihormati,
melakukan apa yang kita suka adalah lebih senang daripada melakukan apa
yang orang lain suka kerana kita tidak dapat membaca apa yang orang lain suka
sehingga kita betul-betuk rapat dengan mereka.
Dalam keadaan puan
yang masih dalam berpantang ini biasanya sangat beremosi dan tidak stabil .
Adalah lebih baik jika puan fokuskan kepada kesihatan puan dan berusaha untuk
cepat sembuh. Oleh itu masalah
penyesuaian sering berlaku sekiranya individu tidak mengambil inisiatif untuk
mengetahui, memahami, mempelajari serta melaksanakan apa yang disukai oleh
orang lain bagi membantu hubungan yang stabil dan berkesan. Semua keadaan ini
hanya boleh dimulakan dengan diri puan bukan orang lain.
Ulasan yang jelas dan padat oleh Prof. Dr.
Noorazniza Ishak.
No comments
Post a Comment