Krisis usia 40 - 65 tahun
PERNAHKAH anda mendengar frasa "life begins at
40?" Ia adalah fasa kehidupan yang menggambarkan tentang perubahan
tingkah laku dan emosi manusia apabila berada dalam lingkungan umur 40
ke 65 tahun. Fenomena berkenaan dikenali sebagai midlife crisis atau krisis pertengahan usia dalam istilah psikologi. Sesetengah lelaki akan menyedari fenomena ini semasa menyambut hari
jadi mereka pada umur tertentu atau pada kelahiran cucu pertama. Ada
yang menyedarinya setelah merasakan prestasi seksual mereka semakin
menurun akibat penurunan paras hormon testosteron.Bagi wanita pula, mereka biasanya lebih bersedia kerana mengalami simptom menopause sebagai tanda bermulanya fasa tersebut.
Individu dalam lingkungan umur ini amat mencemburui zaman. Mereka
sedar bahawa kecantikan dan kecergasan fizikal yang mereka ada satu
ketika dulu semakin pudar.Tanda-tanda penuaan seperti rambut yang ditumbuhi uban, penambahan
saiz pinggang, kedutan pada wajah dan pengurangan daya ingatan mulai
ketara. Mereka merasakan masa bergerak terlalu pantas. Ibu bapa baru tersedar bahawa mereka tidak sempat menikmati saat-saat
indah ketika membesarkan anak-anak. Kini anak-anak sudah dewasa, malah
ada yang telah berkahwin dan berpindah ke rumah sendiri. Ibu bapa di
kampung semakin uzur. Adik-beradik, sahabat handai dan saudara mara pula
ada yang telah meninggal dunia.
Bebanan kerja yang meningkat, masalah kewangan dan ketidakharmonian
keluarga pula menyebabkan mereka kerap berfikir adakah mereka telah
membuat pilihan yang tepat dalam hidup. Tempoh persaraan yang semakin
hampir dan kurangnya persediaan memburukkan lagi keadaan. Mereka yang gagal melalui tempoh midlife ini akan menunjukkan
perubahan tingkah laku dan emosi. Perubahan ini boleh berlaku dalam
tempoh yang singkat daripada seorang penyabar kepada panas baran,
penyayang kepada tidak bertanggungjawab atau ceria kepada pendiam.
Ada juga yang mengalami kemurungan dan hidup dalam penafian. Mereka
mula mencuba tabiat baru seperti merokok, berjudi, mengambil alkohol
atau menyalahgunakan dadah.Perbalahan suami isteri dan keganasan rumah tangga kadangkala
berakhir dengan perceraian. Ada yang menukar isteri kepada yang lebih
muda dan jelita untuk memenuhi tuntutan jiwa muda. Midlife crisis perlu ditangani. Setiap orang perlu melalui proses ini
dengan bijak. Anda tidak perlu musnahkan kehidupan sekarang untuk
kembali ke dunia remaja. Apa yang perlu dilakukan adalah belajar
cara-cara merangsang minda bagi mengembalikan semula perasaan indah
zaman tersebut. Di samping itu, pengambilan makanan seimbang, senaman berkala dan
rawatan hormon juga boleh dilakukan untuk membantu melambatkan proses
penuaan.
Apa yang perlu anda buat?Stres adalah masalah utama golongan ini. Kurangkan stres dan elakkan kerisauan melampau. Tidurlah secukupnya. Pastikan anda telah pun tidur dengan nyenyak
pada pukul 11 malam ke 2 pagi kerana waktu inilah badan anda melakukan
proses membaik pulih. Kurangkan mengomel tentang sebarang kekurangan pasangan dan banyakkan
melihat kelebihan yang ada. Kukuhkan ikatan kekeluargaan dengan
meluangkan lebih banyak masa bersama. Kebanyakan lelaki usia ini tidak ramai kawan rapat. Hubungi rakan
lama di sekolah dan jangan malu untuk beritahu yang anda telah berubah
sesuai dengan usia.
Kurangkan penglibatan dengan kumpulan berteraskan sosial atau
politik. Sertailah aktiviti kumpulan keagamaan setempat seperti masjid
dan surau. Senaraikan keutamaan hidup dan keluarkan mana yang tidak penting. Ini
akan mengurangkan komitmen masa dan wang anda. Betulkan hala tuju
kerjaya dengan meningkatkan kemahiran dan cuba teroka bidang baru
seperti kembali ke kolej atau universiti jika berpeluang. Mulakan semula hobi zaman remaja seperti menunggang motosikal,
menulis buku, menanam pokok bunga, bermain bola atau menonton wayang.
Ini akan mengembalikan semula perasaan gembira pada waktu tersebut. Luangkan masa dengan mereka yang boleh menggembirakan hati. Cari
peluang untuk ketawa seperti mengambil gambar aksi sendiri atau menonton
komedi.
Sentiasa ingat perkara-perkara yang pernah membuat anda gembira
seperti saat manis bercinta, kelahiran cahaya mata atau ketika anda
menikmati pemandangan indah.
No comments
Post a Comment