SLIDER

usia
Showing posts with label usia. Show all posts

Suamiku Si Miang Keladi

12 Sept 2017


Bagaimanakah perasaan seorang isteri sekiranya berhadapan dengan suami yang terkenal dengan sifat ‘nakal’. malah perlakuannya itu kadangkala boleh menimbulkan masalah bukan sahaja pada diri sendiri malah orang sekeliling?  


Ini yang terjadi terhadap Salmah, 49, yang rata-rata ramai mengenali sikap suaminya, bukan kerana jasa-jasa atau sikap tawaduk lelaki itu, sebalikya kerana perangai ‘miang-miang keladi’ sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang.

Salmah sendiri tidak tahu bila perangai suaminya itu akan berubah kerana semakin umur meningkat, semakin menjadi-jadi pula perangai miangnya.

Kalau hendak diperkatakan tentang rasa malu, sudah tebal muka Salmah menahan rasa malu dengan jiran sekeliling apabila sering dikaitkan dengan perangai suaminya. Malah dia pernah mengurung diri dalam rumah bagi mengelak dicemuh masyarakat setempat.

Bukan sekali dua dia mendengar aduan dan umpatan jiran-jiran mengenai tingkah laku suaminya yang ‘mencolok’ rasa itu, tetapi apa lagi yang dia dapat buat, nasihat semua sudah diberi. 

Kalau hendak ikutkan rasa merajuk, memang sudah puas dia lakukan tetapi suaminya masih juga dengan dengan sikapnya. Hendak merajuk lama-lama fikir Salmah, akhirnya tiada siapa hendak memujuk,  

“Dahulu, ketika dia muda, tidaklah ketara sangat perangai miangnya itu. Paling ‘busuk’ pun dia hanya mengenyit mata kepada gadis-gadis cantik yang lalu lalang di pejabatnya. 

“Sesekali, kalau kami keluar makan berdua, memang bola matanya ligat mengerling gadis-gadis cantik yang lalu-lalang. Apabila aku merajuk kerana cemburu, dia berhenti sekejap tetapi di belakang aku dia buat lagi. 

“Sekarang, bukan sahaja setakat mengenyit mata, siap bersiul dan mengajak anak-anak dara di kawasan itu minum di kedai kopi. Ada juga anak dara yang melayan dan mulalah mereka berbual berjam-jam lamanya. 

“Entah anak siapa yang diajak dia tidak kisah, yang pelik anak-anak gadis ini menurut pula. Mahu pula mereka duduk bersama suami aku itu di kedai kopi sambil menjamu selera, ramai-ramai satu meja. 

“Aku tahu, anak-anak gadis tersebut orang luar bukan dari kawasan tempat tinggal kami. Mereka mungkin seronok apabila dipelawa suami aku, masakan tidak makan dan minum percuma.  

“Setahu aku, dalam ramai lelaki di kawasan kami, dia seorang sahaja yang sudah berumur berperangai begitu. Selalu aku kata, rambut sudah beruban, perut pun sudah membuncit, sepatutnya dalam usia-usia selepas bersara ini semakin rajin ke masjid, tingkatkan amalan, bukannya berpeleseran macam lelaki muda.  

“Ini tidak, asyik bermotosikal ke sana sini, hon sana sini, menyakat anak dara orang sana sini. Apabila perut lapar tahu pula balik ke rumah.  

“Yang paling aku rasa menyampah apabila mengetahui, suamiku dicop sebagai muka tembok oleh masyarakat setempat kerana sentiasa berada di simpang jalan, duduk di situ memetik gitar sambil memanggil nama-nama gadis yang dikenali ketika mereka turun dari bas.  

“Apabila aku tanya mengapa perangainya masih suka menyakat anak-anak dara yang boleh dianggap anak sendiri, mudah sahaja dia menjawab, sekadar suka-suka dan tidak menganggap sebagai satu perkara yang membawa kepada mudarat besar,” kata Salmah panjang lebar. 

Salmah berkata, suaminya memberitahu dia hanya mahu seronok-seronok sahaja dan tidak pernah terlintas di fikiran hendak menjadikan anak-anak gadis itu sebagai kekasih hati.

Apa yang dia lakukan umpama hobi kerana gemar berpeleseran sebagaimana dia waktu muda dahulu. Salmah pula memberitahu, biarpun suaminya bersikap begitu, pada malam hari dia tidak pula keluar dari rumah. Kalau tidak, sekiranya ada kejadian rogol, pasti suaminya akan dilibatkan sama. 


Masalahnya, menurut Salmah, dia tidak mahu satu hari nanti orang di kawasan itu jelak dengan sikap suaminya dan membuat aduan kepada polis atas dasar gangguan seksual. Setakat ini Salmah hanya mampu berdoa agar suaminya tidaklah sampai difitnah atas kesalahan mengganggu anak-anak gadis tersebut keterlaluan. 

Mendengar luahan daripada Salmah, seperti rasa tidak percaya suaminya bersikap begitu. Hendak ketawa juga ada kerana terasa lucu dengan kisah berkenaan.  

Namun kesimpulannya, mungkin ini disebabkan faktor usia dan hormon dalam diri seseorang lelaki itu apabila sudah semakin tua, perangai tetap tidak berubah. Mungkin juga dia bosan kerana tiada anak melayaninya. Apa pun itu bukan satu alasan untuk dia bersikap demikian.

Krisis usia 40 - 65 tahun

19 Jul 2013




PERNAHKAH anda mendengar frasa "life begins at 40?" Ia adalah fasa kehidupan yang menggambarkan tentang perubahan tingkah laku dan emosi manusia apabila berada dalam lingkungan umur 40 ke 65 tahun. Fenomena berkenaan dikenali sebagai midlife crisis atau krisis pertengahan usia dalam istilah psikologi. Sesetengah lelaki akan menyedari fenomena ini semasa menyambut hari jadi mereka pada umur tertentu atau pada kelahiran cucu pertama. Ada yang menyedarinya setelah merasakan prestasi seksual mereka semakin menurun akibat penurunan paras hormon testosteron.Bagi wanita pula, mereka biasanya lebih bersedia kerana mengalami simptom menopause sebagai tanda bermulanya fasa tersebut.

Individu dalam lingkungan umur ini amat mencemburui zaman. Mereka sedar bahawa kecantikan dan kecergasan fizikal yang mereka ada satu ketika dulu semakin pudar.Tanda-tanda penuaan seperti rambut yang ditumbuhi uban, penambahan saiz pinggang, kedutan pada wajah dan pengurangan daya ingatan mulai ketara. Mereka merasakan masa bergerak terlalu pantas. Ibu bapa baru tersedar bahawa mereka tidak sempat menikmati saat-saat indah ketika membesarkan anak-anak. Kini anak-anak sudah dewasa, malah ada yang telah berkahwin dan berpindah ke rumah sendiri. Ibu bapa di kampung semakin uzur. Adik-beradik, sahabat handai dan saudara mara pula ada yang telah meninggal dunia.

Bebanan kerja yang meningkat, masalah kewangan dan ketidakharmonian keluarga pula menyebabkan mereka kerap berfikir adakah mereka telah membuat pilihan yang tepat dalam hidup. Tempoh persaraan yang semakin hampir dan kurangnya persediaan memburukkan lagi keadaan. Mereka yang gagal melalui tempoh midlife ini akan menunjukkan perubahan tingkah laku dan emosi. Perubahan ini boleh berlaku dalam tempoh yang singkat daripada seorang penyabar kepada panas baran, penyayang kepada tidak bertanggungjawab atau ceria kepada pendiam.

Ada juga yang mengalami kemurungan dan hidup dalam penafian. Mereka mula mencuba tabiat baru seperti merokok, berjudi, mengambil alkohol atau menyalahgunakan dadah.Perbalahan suami isteri dan keganasan rumah tangga kadangkala berakhir dengan perceraian. Ada yang menukar isteri kepada yang lebih muda dan jelita untuk memenuhi tuntutan jiwa muda. Midlife crisis perlu ditangani. Setiap orang perlu melalui proses ini dengan bijak. Anda tidak perlu musnahkan kehidupan sekarang untuk kembali ke dunia remaja. Apa yang perlu dilakukan adalah belajar cara-cara merangsang minda bagi mengembalikan semula perasaan indah zaman tersebut. Di samping itu, pengambilan makanan seimbang, senaman berkala dan rawatan hormon juga boleh dilakukan untuk membantu melambatkan proses penuaan.

Apa yang perlu anda buat?Stres adalah masalah utama golongan ini. Kurangkan stres dan elakkan kerisauan melampau. Tidurlah secukupnya. Pastikan anda telah pun tidur dengan nyenyak pada pukul 11 malam ke 2 pagi kerana waktu inilah badan anda melakukan proses membaik pulih. Kurangkan mengomel tentang sebarang kekurangan pasangan dan banyakkan melihat kelebihan yang ada. Kukuhkan ikatan kekeluargaan dengan meluangkan lebih banyak masa bersama. Kebanyakan lelaki usia ini tidak ramai kawan rapat. Hubungi rakan lama di sekolah dan jangan malu untuk beritahu yang anda telah berubah sesuai dengan usia.

Kurangkan penglibatan dengan kumpulan berteraskan sosial atau politik. Sertailah aktiviti kumpulan keagamaan setempat seperti masjid dan surau. Senaraikan keutamaan hidup dan keluarkan mana yang tidak penting. Ini akan mengurangkan komitmen masa dan wang anda. Betulkan hala tuju kerjaya dengan meningkatkan kemahiran dan cuba teroka bidang baru seperti kembali ke kolej atau universiti jika berpeluang. Mulakan semula hobi zaman remaja seperti menunggang motosikal, menulis buku, menanam pokok bunga, bermain bola atau menonton wayang. Ini akan mengembalikan semula perasaan gembira pada waktu tersebut. Luangkan masa dengan mereka yang boleh menggembirakan hati. Cari peluang untuk ketawa seperti mengambil gambar aksi sendiri atau menonton komedi. 

Sentiasa ingat perkara-perkara yang pernah membuat anda gembira seperti saat manis bercinta, kelahiran cahaya mata atau ketika anda menikmati pemandangan indah.

© Utusan Melayu (M) Bhd
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.