Harta Pusaka, Niat Yang Baik Di Katakan Tamak
PENGALAMAN pahit yang saya lalui ini rasanya banyak berlaku dalam
masyarakat kita, tetapi kita sering mengambil mudah dan menyifatkannya
perkara itu betul, sedangkan ia tidak betul dan menyalahi hukum.
''Lebih malang lagi apabila kita ingin memperbetulkannya dan cuba
menerangkan apa yang sepatutnya dilakukan kita pula dipersalahkan, dan
dituduh mahu membolot harta pusaka yang dimilikinya.'' Demikian cerita
Shazleena ketika ditemui baru-baru ini.
''Ramai kalangan anak-anak tidak mahu bertindak takut dituduh anak
durhaka. Ayah saya sudah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu, waktu itu
saya dan tiga orang kakak dan abang saya telahpun berkahwin tinggal dua
orang masih belajar.
''Hidup emak tidaklah susah sebab ayah tinggalkan sebuah rumah untuk
emak dan adik-adik tinggal, emak dapat pencen ayah serta ada pendapatan
dari dua buah rumah sewa di atas tanah pusaka yang ayah miliki.
''Waktu itu saya masih muda tak banyak tahu tentang proses harta
pusaka dan sebagainya jadi saya tak ambil kisah. Lagi pun kami rasa
sudah selesa mempunyai rumah sendiri, ada suami dan anak-anak kami rasa
tak ada apa yang patut kami fikirkan.
''Sementara emak kalau pun makan hasil duit rumah sewa peninggalan
ayah itu biarkan itu kerana harta peninggalan ayah itu memang sudah
menjadi milik emak. Malah kami bantu emak setiap bulan sekadar yang
termampu supaya emak boleh terus hidup senang walaupun ayah sudah tidak
ada lagi.
''Kini, setelah lebih 20 tahun ayah meninggal, dan umur kami semakin
meningkat sementara keadaan emak yang sering sakit, ditambah pula dengan
masalah dari rumah sewa pusaka ayah di atas tanah pusaka yang dimikili
ayah membuatkan saya sedar dan rasa keadaan dan kesilapan ini perlu
diperbetulkan.
''Malangnya bila saya cuba berterus terang, dan menceritakan kepada
emak apa yang sepatutnya dilakukan tentang harta pusaka ayah, emak sudah
salah sangka terhadap saya, adik saya pulak yang selama ini menguruskan
duit rumah sewa pun mula berbunyi menyalahkan saya, konon nak bolot
harta emak.
''Masalah itu tidak di situ sahaja, malah adik cuba menarik perhatian
adik-beradik yang lain dengan cerita salah. Akhirnya kakak saya
bertanya apa hal saya cuba menyakiti hati emak. Setelah saya terangkan
keadaan sebenar barulah mereka faham.
kehidupan
''Saya beri contoh atas apa yang berlaku dalam keluarga sepupu saya
barulah mereka faham. Contoh mudahnya, setelah sepupu kami meninggal
dunia, kehidupan anak-anaknya terbiar bila balunya kahwin lain. Ramai
yang bercakap pasal hak anak-anak yatim yang tinggal kerana balunya
lebih banyak menyenangkan hidup suami barunya daripada anak-anak
sendiri. Sedangkan dia dapat pencen, insuran arwah suaminya.
''Selepas tiga tahun menjadi balu dia kahwin lain dan membeli kereta
baru untuk suami barunya, sementara anak-anak yang masih bersekolah
rendah sering mengadu tak berduit kepada neneknya. Nenek yang susah
bertambah susah.
''Apa yang saya ingin ceritakan kepada mereka bahawa setelah ayah
meninggal bukan semua harta pusaka yang ditinggalkan oleh ayah menjadi
milik emak, sebaliknya lebih banyak kepada anak-anak, emak dapat satu
perlapan sahaja. Tetapi apa yang berlaku dulu bukan bermakna emak makan
harta yang tak betul, harta anak yatim, tetapi waktu itu kita tak tahu.
Sementara emak melakukan seperti apa yang dilakukan oleh kaum wanita
sebelumnya, nenek moyangnya dahulu. Dan kita anak-anak tak pernah
salahkan emak sebaliknya membantu emak.
''Tetapi setelah kita tahu hokum hakamnya sekarang maka kita wajib
betulkan. Sebab ditakdirkan emak meninggal dunia nanti, ia akan lebih
memudahkan lagi pembahagian pusaka kepada anak-anak.
''Keadaan lebih teruk lagi kerana rumah sewa yang ayah tinggalkan di
bina di atas tanah pusaka peninggalan ayahnya, yang kemudian diberikan
kepada ayah dan kemudian ditinggalkan kepada kami.
''Masalahnya sekarang tanah yang dulunya tidak berharga kini menjadi
amat berharga setelah kerajaan membina lebuh raya bersebelahan. Cucu
cicit mula mempersoalkan hak mereka. Mereka memang berhak tetapi siapa
yang boleh menguruskan perkiraan pembahagian harta pusaka itu cara yang
betul, sebab anak dan cucu moyang semuanya telah meninggal dunia, kini
yang tinggal cuma cicit-cicitnya sahaja.
''Lebih malang lagi dalam geran tanah tersebut tidak tersebut nama
datuk apalagi nama ayah kami atau adik-beradik datuk yang lain. Yang ada
cuma nama moyang kami. Takke parah itu! Menurut cerita moyang banyak
tanah sudah diberikan kepada enam orang anaknya, yang ada sekarang hak
datuk kami seorang yang kemudian diberikan pada anak-anaknya termasuk
ayah kami.
''Tetapi disebabkan tidak ada nama datuk dalam geran yang usang itu,
maka adik- beradik datuk yang lain, mengikut lojiknya juga berhak atas
tanah tersebut. Bayangkan datuk ada enam beradik, setiap seorang ada
beberapa orang anak, kemudian anak-anak tersebut telah mempunyai
beberapa orang anak cucu. Parah! Memang parah!
''Sekarang macam mana kami boleh menolak tuntutan sepupu, dua pupu
dan tiga pupu kami yang lain ke atas tanah yang ayah telah bina rumah
sewanya. Kerana selama ini ayah beritahu, tanah seekar di hilir itu
miliknya pemberian ayahnya, selebihnya seluas 5 ekar lagi adalah milik
adik-adik ayah yang lain, setiap seorang dapat seeker.
''Zaman dulu orang tua-tua berikan tanah berdasarkan kepercayaan
siayah kepada anak-anaknya. Zaman sekarang orang mahu lihat nama siapa
yang tertera. Tak ada nama sesiapa pun boleh tuntut. ''Jadi siapa di kalangan cucu cicit arwah moyang kami yang mahu
berusaha memecahkan kebuntuan ini. Mencari siapa yang lebih berhak
supaya tidak ada pergaduhan, perbahalan dan rasa kecil hati? Manalah
tahu ada yang marah bakar rumah sewa ayah.
''Kerana itulah juga saya tak mahu masalah berlaku dalam keluarga
kami. Sekarang emak suruh adik kutip duit sewa rumah, ditakdirkan emak
tak ada nanti kita tak mahu adik mengambil semuanya, kerana bukan
haknya, kita tak mahu dia makan duit haram. Biarpun sedikit ia mesti
diberi secara saksama dan dalam pengetahuan waris. Kecuali kita berikan
hak kita kepadanya, kerana kesiankan dia.
''Rumah peninggalan ayah pun bukan milik emak sepenuhnya, ia juga
menjadi milik kami anak-anak semua, jadi kami mesti mendapat pembahagian
sewajarnya. Kalau pun adik mahukan rumah tersebut, ia mesti dinilai
harganya kemudian dibahagi lima beradik. Baru betul! Saya bukan tamak
tetapi menegakkan kebenaran supaya tak ada sesiapa yang berdosa memakan
harta yang bukan miliknya.
''Tapi yang payahnya fahaman emak sendiri yang merasakan bila
suaminya mati semua harta jadi miliknya. Nasib emak tak kahwin lain.
Kalau dia ada suami baru macam mana kalau suaminya mahu memiliki semua
harta peninggalan ayah. Bukankah itu salah dan berdosa namanya.
Malangnya kejadian seperti ini masih berlaku dalam masyarakat kita. Dan
sukar dihapuskan, tujuan saya paparkan masalah ini, supaya kita sama
ingat mengingatkan, jangan jadi macam saya, kini mula dipandang serong
oleh adik beradik sedangkan saya mahu mereka mencari kebenaran.''
Demikian cerita Shazleena.
Memang sukar membetulkan keadaan yang sudah lama berakar berumbi
dalam diri kita. Terutama bila ada isu bersangkut ringgit dan sen.
Sedangkan kita ingin hidup mereka selamat di dunia dan akhirat. Jasad
diterima oleh bumi dan diterima ke langit.
No comments
Post a Comment