SLIDER

harta pusaka
Showing posts with label harta pusaka. Show all posts

Harta Pusaka, Niat Yang Baik Di Katakan Tamak

11 Jan 2022


PENGALAMAN pahit yang saya lalui ini rasanya banyak berlaku dalam masyarakat kita, tetapi kita sering mengambil mudah dan menyifatkannya perkara itu betul, sedangkan ia tidak betul dan menyalahi hukum.

''Lebih malang lagi apabila kita ingin memperbetulkannya dan cuba menerangkan apa yang sepatutnya dilakukan kita pula dipersalahkan, dan dituduh mahu membolot harta pusaka yang dimilikinya.'' Demikian cerita Shazleena ketika ditemui baru-baru ini.

''Ramai kalangan anak-anak tidak mahu bertindak takut dituduh anak durhaka. Ayah saya sudah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu, waktu itu saya dan tiga orang kakak dan abang saya telahpun berkahwin tinggal dua orang masih belajar.

''Hidup emak tidaklah susah sebab ayah tinggalkan sebuah rumah untuk emak dan adik-adik tinggal, emak dapat pencen ayah serta ada pendapatan dari dua buah rumah sewa di atas tanah pusaka yang ayah miliki. 

''Waktu itu saya masih muda tak banyak tahu tentang proses harta pusaka dan sebagainya jadi saya tak ambil kisah. Lagi pun kami rasa sudah selesa mempunyai rumah sendiri, ada suami dan anak-anak kami rasa tak ada apa yang patut kami fikirkan.

''Sementara emak kalau pun makan hasil duit rumah sewa peninggalan ayah itu biarkan itu kerana harta peninggalan ayah itu memang sudah menjadi milik emak. Malah kami bantu emak setiap bulan sekadar yang termampu supaya emak boleh terus hidup senang walaupun ayah sudah tidak ada lagi.

''Kini, setelah lebih 20 tahun ayah meninggal, dan umur kami semakin meningkat sementara keadaan emak yang sering sakit, ditambah pula dengan masalah dari rumah sewa pusaka ayah di atas tanah pusaka yang dimikili ayah membuatkan saya sedar dan rasa keadaan dan kesilapan ini perlu diperbetulkan.

''Malangnya bila saya cuba berterus terang, dan menceritakan kepada emak apa yang sepatutnya dilakukan tentang harta pusaka ayah, emak sudah salah sangka terhadap saya, adik saya pulak yang selama ini menguruskan duit rumah sewa pun mula berbunyi menyalahkan saya, konon nak bolot harta emak.

''Masalah itu tidak di situ sahaja, malah adik cuba menarik perhatian adik-beradik yang lain dengan cerita salah. Akhirnya kakak saya bertanya apa hal saya cuba menyakiti hati emak. Setelah saya terangkan keadaan sebenar barulah mereka faham.
kehidupan

''Saya beri contoh atas apa yang berlaku dalam keluarga sepupu saya barulah mereka faham. Contoh mudahnya, setelah sepupu kami meninggal dunia, kehidupan anak-anaknya terbiar bila balunya kahwin lain. Ramai yang bercakap pasal hak anak-anak yatim yang tinggal kerana balunya lebih banyak menyenangkan hidup suami barunya daripada anak-anak sendiri. Sedangkan dia dapat pencen, insuran arwah suaminya.

''Selepas tiga tahun menjadi balu dia kahwin lain dan membeli kereta baru untuk suami barunya, sementara anak-anak yang masih bersekolah rendah sering mengadu tak berduit kepada neneknya. Nenek yang susah bertambah susah.

''Apa yang saya ingin ceritakan kepada mereka bahawa setelah ayah meninggal bukan semua harta pusaka yang ditinggalkan oleh ayah menjadi milik emak, sebaliknya lebih banyak kepada anak-anak, emak dapat satu perlapan sahaja. Tetapi apa yang berlaku dulu bukan bermakna emak makan harta yang tak betul, harta anak yatim, tetapi waktu itu kita tak tahu. Sementara emak melakukan seperti apa yang dilakukan oleh kaum wanita sebelumnya, nenek moyangnya dahulu. Dan kita anak-anak tak pernah salahkan emak sebaliknya membantu emak.

''Tetapi setelah kita tahu hokum hakamnya sekarang maka kita wajib betulkan. Sebab ditakdirkan emak meninggal dunia nanti, ia akan lebih memudahkan lagi pembahagian pusaka kepada anak-anak.

''Keadaan lebih teruk lagi kerana rumah sewa yang ayah tinggalkan di bina di atas tanah pusaka peninggalan ayahnya, yang kemudian diberikan kepada ayah dan kemudian ditinggalkan kepada kami.

''Masalahnya sekarang tanah yang dulunya tidak berharga kini menjadi amat berharga setelah kerajaan membina lebuh raya bersebelahan. Cucu cicit mula mempersoalkan hak mereka. Mereka memang berhak tetapi siapa yang boleh menguruskan perkiraan pembahagian harta pusaka itu cara yang betul, sebab anak dan cucu moyang semuanya telah meninggal dunia, kini yang tinggal cuma cicit-cicitnya sahaja.

''Lebih malang lagi dalam geran tanah tersebut tidak tersebut nama datuk apalagi nama ayah kami atau adik-beradik datuk yang lain. Yang ada cuma nama moyang kami. Takke parah itu! Menurut cerita moyang banyak tanah sudah diberikan kepada enam orang anaknya, yang ada sekarang hak datuk kami seorang yang kemudian diberikan pada anak-anaknya termasuk ayah kami.

''Tetapi disebabkan tidak ada nama datuk dalam geran yang usang itu, maka adik- beradik datuk yang lain, mengikut lojiknya juga berhak atas tanah tersebut. Bayangkan datuk ada enam beradik, setiap seorang ada beberapa orang anak, kemudian anak-anak tersebut telah mempunyai beberapa orang anak cucu. Parah! Memang parah!

''Sekarang macam mana kami boleh menolak tuntutan sepupu, dua pupu dan tiga pupu kami yang lain ke atas tanah yang ayah telah bina rumah sewanya. Kerana selama ini ayah beritahu, tanah seekar di hilir itu miliknya pemberian ayahnya, selebihnya seluas 5 ekar lagi adalah milik adik-adik ayah yang lain, setiap seorang dapat seeker.

''Zaman dulu orang tua-tua berikan tanah berdasarkan kepercayaan siayah kepada anak-anaknya. Zaman sekarang orang mahu lihat nama siapa yang tertera. Tak ada nama sesiapa pun boleh tuntut. ''Jadi siapa di kalangan cucu cicit arwah moyang kami yang mahu berusaha memecahkan kebuntuan ini. Mencari siapa yang lebih berhak supaya tidak ada pergaduhan, perbahalan dan rasa kecil hati? Manalah tahu ada yang marah bakar rumah sewa ayah. 

''Kerana itulah juga saya tak mahu masalah berlaku dalam keluarga kami. Sekarang emak suruh adik kutip duit sewa rumah, ditakdirkan emak tak ada nanti kita tak mahu adik mengambil semuanya, kerana bukan haknya, kita tak mahu dia makan duit haram. Biarpun sedikit ia mesti diberi secara saksama dan dalam pengetahuan waris. Kecuali kita berikan hak kita kepadanya, kerana kesiankan dia.

''Rumah peninggalan ayah pun bukan milik emak sepenuhnya, ia juga menjadi milik kami anak-anak semua, jadi kami mesti mendapat pembahagian sewajarnya. Kalau pun adik mahukan rumah tersebut, ia mesti dinilai harganya kemudian dibahagi lima beradik. Baru betul! Saya bukan tamak tetapi menegakkan kebenaran supaya tak ada sesiapa yang berdosa memakan harta yang bukan miliknya. 

''Tapi yang payahnya fahaman emak sendiri yang merasakan bila suaminya mati semua harta jadi miliknya. Nasib emak tak kahwin lain. Kalau dia ada suami baru macam mana kalau suaminya mahu memiliki semua harta peninggalan ayah. Bukankah itu salah dan berdosa namanya. Malangnya kejadian seperti ini masih berlaku dalam masyarakat kita. Dan sukar dihapuskan, tujuan saya paparkan masalah ini, supaya kita sama ingat mengingatkan, jangan jadi macam saya, kini mula dipandang serong oleh adik beradik sedangkan saya mahu mereka mencari kebenaran.'' Demikian cerita Shazleena.

Memang sukar membetulkan keadaan yang sudah lama berakar berumbi dalam diri kita. Terutama bila ada isu bersangkut ringgit dan sen. Sedangkan kita ingin hidup mereka selamat di dunia dan akhirat. Jasad diterima oleh bumi dan diterima ke langit.

Kredit : UtusanMalaysia
ISTERI SAKIT HATI URUS HARTA PUSAKA SUAMI, AKHIRNYA TAK DAPAT SATU SEN PUN!

ISTERI SAKIT HATI URUS HARTA PUSAKA SUAMI, AKHIRNYA TAK DAPAT SATU SEN PUN!

16 Oct 2018


urus harta pusaka

1. Apabila berlaku sesuatu kematian, menjadi kebiasaan adat orang kita untuk mengadakan kenduri arwah sekurang-kurangnya 2 hari berturut-turut. Bayangkan, seorang isteri yang baru kematian suami, demi memenuhi adat ini, terpaksa bersusah-payah mengadakan kenduri dan menjemput kariah masjid dan sanak-saudara yang mengenali si suami. Awal-awal pun dah tak betul.

2. Mujurlah ramai yang datang melawat turut sama menguruskan kenduri tersebut. Terasa ringan beban si isteri. Syukur Alhamdulillah. Betullah orang kata, musibah boleh merapatkan silatulrahim.

3. Selepas 2-3 hari berlalu, adik-beradik si suami datang berjumpa si isteri. Si isteri berasa syukur kerana ipar-duai masih mengambil berat tentang dirinya dan anak-anaknya. Malangnya, kunjungan mereka mereka bukan untuk menziarahi keluarga tersebut, apatah lagi nak mengambil berat tentang mereka. Tetapi, mereka datang dengan niat untuk menuntut harta pusaka peninggalan arwah!

4. Tersentap rasa hati si isteri. Sakit jiwa! Tanah kubur arwah suami masih merah, rasa sedih pun belum hilang lagi. Terasa nak panggil sahaja si suami yang dah mati untuk bincang dengan mereka.

5. Ipar-duai mula bercerita bab faraid. Kata mereka, bahagian isteri hanya 1/8. Mereka terangkan secara panjang lebar. Biasalah, apabila bab harta pusaka, tiba-tiba ramai yang jadi pakar. Maklumlah, nak rebut bahagian masing-masing walaupun dalam banyak situasi, mereka tiada hak pun. Lebih teruk lagi, asyik bercerita tentang hak mereka, tapi kalau suruh jalankan tanggungjawab yang Allah berikan, tak mahu ikut pula.

6. Maka, bermulah drama perebutan harta pusaka si suami yang tiada kesudahan.
7. Si isteri mestilah tidak mahu mengalah. Iyalah, harta pusaka yang ditinggalkan si suami hendak digunakan untuk menyara hidup sendiri dan anak-anak. Nak harapkan waris-waris lain, memang tak boleh nak diharap. Asyik nak rebut bahagian sendiri. Jadi, ditinggalkanlah si isteri yang dipaksa menguruskan harta pusaka sendiri. Akhirnya, walaupun ada masalah kekangan masa, tenaga dan wang, si isteri terpaksa juga urus harta pusaka si suami seorang diri. Nak buat macam mana, fikir nasib anak-anak.

8. Si isteri teringat pesan si suami, duit yang ditinggalkan dalam bank boleh digunakan untuk belanja keperluan. Jadi, si isteri pergilah ke bank, jumpa dengan pegawai bank, minta nak keluarkan duit daripada akaun si suami. Malangnya, akaun si suami dah kena block. Bank minta surat kuasa terlebih dahulu sebelum duit boleh dikeluarkan. Terpinga-pinga si isteri sebab tak tahu prosedur urus harta pusaka. Jadi, terpaksalah tanya tentang prosedur yang perlu dibuat. Mujur ada yang membantu.

9. Dengan perasaan pilu, si isteri terpaksa ke Pejabat Pusaka Kecil di Pejabat Tanah bagi mendapatkan surat kuasa tadbir. Kena isi borang Bicara Kuasa atau Borang A. Maklumat si mati, harta si mati serta maklumat waris-waris si mati; semua maklumat ini perlu dilengkapkan. Salinan IC setiap waris, salinan maklumat harta dan surat pengesahan kematian juga turut diperlukan.

10. Maka, bermulalah satu lagi drama untuk memenuhi semua keperluan ini. Setelah setiap salinan disediakan, si isteri perlu mendapatkan tandatangan setiap ahli waris. Aduh, memang satu masalah. Selagi semua ahli waris tidak turunkan tandatangan, proses perbicaraan harta pusaka tidak boleh dimulakan. Tambah pening, ada ahli waris yang sengaja tidak hadir ke mahkamah untuk melambatkan proses perbicaraan harta pusaka. Sebabnya, tak puas hati dengan si isteri.

11. Tambah parah lagi, si isteri dapat tahu yang adik-beradik suami juga mempunyai hak dalam harta pusaka si suami. Jadi, banyak benda perlu diambil kira. Fuhhh, bukan senang nak urus harta pusaka kalau si mati tidak membuat perancangan harta lebih awal.

12. Tiba-tiba, ayah/ibu si mati pula tidak mahu beri kerjasama akibat termakan hasutan ipar. Bayangkanlah, si isteri terpaksa menghadapi semua masalah ini serentak. Rasa sedih kehilangan suami pun masih belum hilang, nak fikir uruskan anak-anak lagi. Memang cukup stress bagi si isteri untuk uruskan semua perkara ini.

13. Tambah satu lagi masalah. Tiba-tiba, ahli waris yang lain desak si isteri dan anak-anak untuk melepaskan bahagian faraid. Alasan mereka, harta pusaka si suami adalah harta warisan keluarga mereka sahaja.

14. Si isteri juga didesak membayar bahagian faraid bagi rumah jika mahu terus tinggal dirumah pusaka suami. Masalah, mana nak cari RM200K tunai?

15. Akhirnya, akibat tidak tahan lagi, si isteri dan dan anak-anak terpaksa keluar sehelai sepinggang. Biarlah tidak dapat harta pusaka, janji hidup tenang dengan anak-anak.

16. Ingatkan masalah dah selesai, rupanya belum lagi. Baru saja nak mulakan kehidupan baru, tiba-tiba datang seorang hamba Allah mendakwa yang si suami ada berhutang dengannya puluhan ribu ringgit atas urusan bisnes. Masalah lagi, siapa yang kena tanggung hutang si mati? Nak guna harta pusaka si suami untuk bayar hutang, dah dibolot ahli waris lain. Nak suruh mereka bayarkan, jangan harap.

17. Dalam tengah fikir cara nak selesaikan hutang si suami, tiba-tiba teringat pesan suami dulu supaya gunakan duit dalam Tabung Haji / KWSP / ASB / Takaful untuk bayar hutang. Apabila pergi semak, penama atas nama ibu mertua pula. Masalah, sebab dah dihasut ahli waris lain, si ibu mertua tak nak lepaskan duit tersebut. Katanya, sebab dia adalah penama, duit tersebut adalah miliknya. Ini memang kefahaman biasa dalam masyarakat kita. Penama adalah pemilik, walhal ini adalah salah. Sebab malas nak gaduh lagi, akhirnya, si isteri jugalah yang terpaksa bekerja siang malam untuk bayar hutang yang ditinggalkan si suami.

Haa, macam mana?

Nampak bagaimana kesulitan yang boleh dialami untuk urus harta pusaka?
Bayangkan kalau diri anda sendiri yang alami, atau pasangan anda.
Kalau tak buat perancangan pengurusan harta pusaka lebih awal, memang akan menyusahkan waris kita nanti.

Jadi, bagaimana nak mudahkan urusan ini?

Tak mahulah nanti waris yang ditinggalkan menderita nak dapatkan harta pusaka untuk meneruskan kehidupan.

Kredit :  jomurusduit


Ada cara penyelesaiannya.
urus harta pusaka 

Antara yang boleh dilakukan:
1. Si suami boleh mengisytiharkan sebahagian harta miliknya kepada isteri sebagai harta sepencarian di dalam wasiat. Tak kisah sama ada dalam bentuk rumah, kereta atau wang ringgit. Bukan masalah sikit atau banyak, yang penting isytiharkan sahaja bahagian harta sepencarian tersebut. Senang, terus jadi milik is isteri selepas si suami mati. Kalau dah mati dan si isteri baru nak tuntut harta sepencarian, memang rumit dan panjang cerita. Jadi, lebih baik buat ketika masih hidup.

2. Si suami melantik wasi atau pentadbir yang mahir, adil dan amanah bagi menguruskan kesemua harta miliknya. Tanpa wasi, si isteri akan terpaksa uruskan sendiri harta pusaka yang ditinggalkan. Ini sudah tentu akan menyusahkan pasangan kerana baru kematian suami, nak fikir pasal anak lagi. Jika ada bisnes, nak uruskan bisnes lagi. Tolong jangan rumitkan lagi masalah kepada orang tersayang. Melantik wasi dalam wasiat akan memudahkan pengurusan harta pusaka.
3. Menyerahkan sebahagian harta miliknya melalui hibah sama ada hibah biasa atau hibah bersyarat. Tidak salah untuk buat hibah, jika harta masih berhutang buat hibah bersyarat. Jika hanya ada satu rumah, tidak salah hibahkan kepada orang tersayang (isteri), sekurang-kurangnya ada tempat tinggal untuk pasangan. Harta yang dihibah tidak perlu dibahagikan mengikut faraid, jadi ahli waris lain tidak dapat rebut.

4. Si suami menyediakan hibah tunai sebanyak setahun pendapatan atau lebih bagi menampung kos sara hidup. Maklumlah, dulu gaji 2 orang, tiba-tiba jadi seorang. Bukan mudah untuk lalui pada peringkat awal. Oleh itu, sediakan hibah tunai bagi mengurangkan beban orang yang ditinggalkan.

Lihat, bagaimana perancangan pengurusan harta pusaka yang dilakukan dengan baik akan memudahkan waris yang ditinggalkan nanti.

Si isteri tidak perlu bersusah-payah urus harta pusaka bersendirian. harta dapat ditinggalkan kepada isteri dan anak-anak untuk meneruskan kehidupan, tidak perlu berebut-rebut dengan ahli waris yang lain kerana mereka pun akan dapat bahagian yang akan kita tetapkan nanti.

Jadi, beringat-ingatlah untuk merancang pembahagian harta pusaka semasa masih hidup, ya.

Oh ya, sebelum mengakhiri artikel kali ini, saya nak kongsikan satu ebook percuma untuk anda semua.

Jika berminat, boleh klik pada pautan di bawah untuk muat turun.

Kredit :  jomurusduit



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.