SLIDER

lalai
Showing posts with label lalai. Show all posts

Orang Kampung Buka Puasa di Hotel Mewah

12 Jun 2017



Saya orang kampung. Rakyat marhaen biasa. Semalam sahabat baik saya seorang VIP menjemput saya berbuka puasa dengan beliau. Barangkali beliau ingin meraikan saya yang berada di KL sehari dua ini. Beliau mengajak saya berbuka puasa di sebuah hotel dengan hidangan yang mewah. Atas dasar meraikan jemputan sahabat maka saya pun hadir bersama dua orang yang mengiringi saya. Saya lihat ramai yang berbuka puasa di situ. Terdapat yang hadir atas belanja sendiri dan ramai juga atas syarikat masing-masing.

Saya sebenarnya kurang biasa berbuka di hotel dengan hidangan semewah itu. Semasa berbuka semalam, saya tidak bangun pun mengambil makanan-makanan hebat yang disediakan. Pertamanya saya rasa berat sedikit kerana nanti mengganggu orang ramai yang akan bertegur sapa dengan saya. Mungkin menggangu tumpuan mereka untuk mengambil makanan. Satu lagi, saya rasa tidak selesa apabila ada yang nak bergambar kerana latar makanan yang begitu ‘hebat’ nanti disalah fahami. 

Maka, saya hanya makan apa yang sahabat-sahabat lain ambil untuk meja kami. Itupun alhamdulillah, pelbagai jenis juga. Namun saya rasa kadar yang saya dapat makan dari hidangan itu tidak lebih dari 10 peratus harga berbuka puasa yang dibayar oleh sahabat saya itu. Saya terlebih dahulu berterima kasih kepada sahabat saya yang menjamu kami berbuka. Mungkin dia ingin berikan yang terbaik untuk saya. Semoga Allah berikan pahala untuk beliau. 

Kepadanya saya ucapkan seperti ucapan Nabi yang diriwayatkan oleh Anas r.a.: 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ إِلَى سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ فَجَاءَ بِخُبْزٍ وَزَيْتٍ فَأَكَلَ ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الْأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلَائِكَةُ


“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Sa`ad bin `Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: “Telah berbuka puasa disisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat”.(Riwayat Abu Daud. sahih).


Juga ucapan seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w: 

جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا


Namun, di sini sebagai orang kampung marhaen, saya ingin melontarkan sedikit pandangan tentang berbuka puasa di hotel mewah seperti itu;


1. Bunyian muzik semasa berbuka tidak membantu merealisasi suasana berdoa semasa berbuka. Terdapat pelbagai riwayat hadis yang menunjukkan galakan berdoa semasa iftar. Puasa melunakkan jiwa kita. Bunyi-bunyian yang berlebihan itu boleh memadam kekusyukan dan kehalusan rohani.

2. Pembaziran yang mungkin terjadi disebabkan tidak mungkin dapat dihabiskan makanan sepadan dengan harga yang dibayar. Kita semua tahu Islam melarang pembaziran.

3. Mungkin akan ada yang cuba makan berlebihan supaya sepadan dengan harga yang dibayar. Maka akan berlaku berlebihan dalam berbuka dan membawa kepada berat dan malas untuk solat dan ibadah yang lain selepas itu.

Nabi s.a.w. menyebut: 

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ


“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan. (Riwayat al-Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan).


4. Waktu selepas berbuka jika tidak dikawal akan berlarutan di meja makan, padahal kita sepatutnya selepas selesai urusan berbuka menumpukan kepada urusan ibadah di masjid. Ramadan hanya sebulan. Kita sepatutnya memberikan ruang waktu untuk ibadah khususnya solat qiyam Ramadan ataupun tarawih yang hanya ada pada malam-malam Ramadan.

Mohon maaf, ini sekadar pandangan orang kampong seperti saya ini. Namun, jika perkara-perkara yang disebutkan di atas dapat diatasi maka tidak menjadi masalah untuk berbuka di mana sahaja termasuk di hotel mewah sekalipun. 

Ramadan terhad. Kedatangannya hanya sebulan dalam setahun. Ia merupakan peluang yang Allah buka untuk kita meningkatkan pahala. Tahun hadapan belum pasti kita bertemu lagi dengan Ramadan. Semoga kita mengambil kesempatan dari Ramadan ini. 


Kepada Allah kita pohon keampunan.

Kredit : Fb DrMaza




Sekarang Ini Zaman Pelik, Walau Duduk Satu Meja, Masing-masing Leka Tengok Smartphone

17 May 2017

Komunikasi sekarang ini tak ada batasan. walau sorang di London, sorang di Malaysia, jarak tak lagi satu kejauhan. Rasa dekat macam ada di sebelah. Hairannya, yang dekat depan mata pula terasa jauh. Sebab dipisahkan oleh satu alat yang dinamakan smartphone. Duduk sebelah menyebelah, jiwa kosong terasa sepi, tiada suara cuma cahaya telefon menerangi suasana. Ini luahan hati Nik Mohd Iznan.

Inilah Realitinya

Selesai solat Isyak di Masjid Sultan Salahuddin, saya berjalan kaki ke kedai mamak. Saya pesan air oren segar dan sedikit nasi. Tadi pergi masjid dengan kawan. Tapi hendak balik tidak jumpa. Jadi saya pulang seorang diri. Sambil makan saya memerhati gelagat warga kota.

Yang meja di depan, 3 orang. Seorang leka dengan telefon bimbit. Dua orang lagi pun begitu. Semuanya bermain telefon bimbit.
Yang di sebelah. Satu keluarga saya fikir. Termasuk seorang kanak-kanak umur sekitar 6 tahun. Pun semuanya pegang telefon bimbit.

Selang beberapa meja di sebelah kanan. Saya fikir sepasang kekasih. Masing-masing sedang bercinta dengan telefon bimbit. Seolah-olah muka masing-masing mahu masuk ke dalam skrin. Barangkali itulah harga yang perlu dibayar untuk bercinta dalam konteks dunia siber sekarang ini.

Kadang-kadang pelik. Duduk di rumah ber-Whatapps dengan kawan-kawan yang berada di restoran. Duduk di restoran ber-Whatapps dengan dengan keluarga di rumah.

Entah apa hendak jadi.

Saya melihat sekeliling. Boleh dikatakan satu restoran. Semuanya dengan telefon bimbit. Kita di zaman pelik. Zaman masing-masing yang dekat semakin jauh. Yang jauh semakin dekat. Macam mana tidak leka. Grup Whatapps pun 56. Grup Telegram pula 37. Facebook ada dua akaun. Pelik. Dulu tidak ada boleh sahaja.

Sekali lagi saya berasa risau dengan gelagat manusia. Di kedai mamak. Yang semuanya dengan telefon bimbit. Hanya saya seorang sahaja yang tidak memegang telefon bimbit.

Sejenak saya tersedar.

Sedar kerana apa. Sedar kerana saya menjadi pemerhati segar sebab telefon sendiri sudah kehabisan bateri. Kalau bateri masih ada rasanya saya pun dua kali lima. Demikianlah. Kita sering nampak kesalahan orang. Sehingga kita terlupa yang kita pun begitu juga.

 

Ini Peraturannya

1. Kena letak satu peraturan. Bila bersama pasangan di kedai makan, telefon kena tinggal dalam kereta. Walaupun bunyinya kelakar, tapi cara ini memang menjadi. Nak tak nak, kita akan kembali bercakap dengan pasangan.

2. Ketika di rumah, berikan waktu untuk beronline. Balik rumah, selesaikan urusan dengan anak-anak dan hal rumah, barulah tengok telefon. Susah.. memang susah.. kalau tak cuba memang tak jadi.

3. Kalau ke majlis kenduri, cuma perlu pegang smartphone waktu hendak ambil gambar. Sebaik sampai, berbuallah dengan saudara mara itu. Bukan bergosip, tapi bertanya khabar sepupu sepapat yang lama dah tak jumpa.

4. Anak-anak jangan beri smartphone ketika belum cecah usia remaja. Biar mereka belajar bermain, berbual dengan adik-adik. Bergaduh manja apa salahnya. Mak ayah cubalah leraikan pertelingkahan anak-anak dengan kelembutan.


Oleh:Netty Ah Hiyer

            : MingguanWanita

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.