SLIDER

kecelaruan
Showing posts with label kecelaruan. Show all posts

Kisah susuk Dan Satu Penyesalan

1 Apr 2022


Salam,

Saya ingin berkongsi dengan anda tentang pengalaman saya berjumpa pesakit yang memakai susuk. Mungkin artikel ini agak santai. Sesuai dengan fikiran saya yang serabut dua-tiga minggu ni kerana nak uruskan kuih raya.

Tuan-puan, kalau anda fikir susuk itu benda yang terlalu ajaib. Ia mungkin betul.

Tetapi pada pandangan seorang doktor marhaen seperti saya, ia tak ubah dari sejenis alat bendasing (foreign body) yang dimasukkan ke bawah kulit.

Niat seseorang yang memakai susuk itu, adalah urusan di antara dia dengan Allah. Yang pentingnya, ada yang ingin bertaubat dan datang untuk membuangnya.

Kisah pertama saya adalah ketika saya bertugas di Hospital Kuala Lumpur dahulu.

Ketika itu seorang lelaki yang sudah berumur datang berjumpa pakar di klinik saya bertugas. Apabila diambil x-ray, maka nampaklah susuk-susuk yang melekat-lekat di sekeliling tengkoraknya.

Beliau sebenarnya ingin menunaikan haji dan berharap pakar tersebut dapat membuang susuk tersebut. Beliau dengan nada sedih dan akhirnya menangis teresak-esak kerana terasa sangat -sangat menyesal dengan keadaan itu.

Beliau telah berjumpa dengan dukun-dukun susuk dan ustaz-ustaz pakar untuk cuba membuangnya, namun ia tetap di situ dan masih kelihatan di dalam x-ray. Dukun yang memasukkan susuk tersebut telah pun meninggal dunia.

Beliau sendiri berharap susuk itu dapat dibuang sebelum beliau meninggal dunia.

Dia dalam keadaan susuk yang banyak dan berselirat itu, mustahil pakar bedah dapat membuangnya. Lagipun x-ray muka adalah gambar 2 dimensi. Oleh itu kedalaman yang sebenar, susuk tersebut terbenam di dalam kulit tidak dapat diukur. Ini merumitkan walau hanya ingin membuang hanya satu susuk sahaja. Ia boleh mengambil masa berjam-jam..!

Di dalam keadaan pesakit tersebut yang menangis, pakar menasihati agar berdoa kepada Allah dan mohon Allah ampunkan dosa. InsyaAllah Allah akan menerima taubat hambanya yang sedar dan insaf.

Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada pakcik itu selepas berjumpa dengan pakar. Saya doakan beliau selamat pulang daripada haji. Lagipun ini cerita 3 tahun dulu.

Cerita kedua kisah seorang lelaki Indonesia yang datang dengan sakit perut. Daripada ceritanya kemungkinan besar beliau mengalami batu karang.

Apabila x-ray buah pinggang dan pundi kencing diambil untuk mengesahkan batu karang, kelihatan susuk yang berselirat di kawasan abdomennya.

Apabila ditanya kepada saudara mara, seorang pun tidak mengetahui. Akhirnya pesakit sendiri mengaku bahawa meliau memakai susuk. Rahsia yang disimpan bertahun-tahun terbongkar apabila diambil x-ray.

Apapun susuk bukan menjadi masalah utamanya sekarang kerana beliau sedang sakit kerana batu karang di pundi kencingnya. Saya ada mengambil gambar x-ray nya tetapi tidak dapat memuatkannya di dalam blog ini... maaf lah.

Susuk adalah manifestasi seseorang yang tiada keyakinan diri. Mereka mempercayai bahawa dengan bantuan kuasa ghaib yang diposesi oleh susuk itu, maka impian dan tujuan seseorang itu akan tercapai. Pedulikan segala jenis amalan khurafat dan syirik asalkan apa yang dihajatnya itu termakbul.

Seseorang yang mempunyai keyakinan bahawa Allah adalah tempat memohon perlindungan dan memohon hajat tidak akan memakai susuk.

Sekiranya anda berhasrat memakai susuk, maka fikirlah implikasi yang akan berlaku sekiranya anda sudah tua dan susuk tersebut dibawa bersama mayat anda ke liang lahad.

Wallahu Alam.



Kredit : drazwan



Apakah Ini Gambaran Kehidupan Kita Sekarang. Penuh Tekanan Dan Kecelaruan. Mari Muhasabah

17 Jan 2022


Melalui gambar-gambar ini artis Mesir Muna Abdurrahman memutuskan untuk menggambarkan kebenaran sedih dan keras dalam kehidupan seharian kita. Kita hidup dalam dunia yang maju bahawa prangkaian Google menjawab kami ke mana hendak pergi dan  menjawab hampir semua soalan kami.

Pernahkah anda tertanya-tanya di mana perkara dunia menuju? Saya cukup yakin bahawa kebanyakan orang telah memberikan pemikiran ini pada satu masa. Tetapi adakah anda mendapat jawapan? Semuanya pada asasnya di hujung jari kita.

Cukup fikirkan berapa kali anda telah keluar dengan kawan atau orang tersayang dan tidak memeriksa telefon anda sekali pun. Tidak pernah berlaku! Marilah kita memilih otak anda seminit. Pernahkah anda tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh teknologi ini kepada kami sebagai manusia? Ia telah jelas membantu kami menyusun kehidupan kami tetapi pada masa yang sama, ia telah menjadikannya lebih rumit.

1. Orang lebih berminat dalam kehidupan sosialnya daripada satu sama lain.


2. Orang tidak akan berpuas hati dengan apa yang mereka ada!


3. Telefon canggih kini telah mengambil alih cara gantikan buku tradisional sebagai rujukan utama.


4. Televisyen telah “mencuci otak” kita


5. Berfikir sebelum bercakap


6. Sosial Media Telah Mengawal Kehidupan Kita

 
7. Fungsi kehidupan kita pada jumlah “suka”yang kita dapat dan bukan pada berapa banyak orang sebenarnya “suka” dan peduli terhadap kita.


8.All yang kita fikirkan adalah wang dan kehidupan kita selesai.



9.Kami tidak peduli lagi antara satu sama lain



10.Tidak ada cinta yang tersisa. Kita semua terlibat dalam dunia kecil kita sendiri.

11. Kebenaran yang sedih dunia sekarang ini.


12. Ketidakpedulian kita kepada “dunia” yang terjadi sekarang..


13.Menjadi berbeza dari orang ramai kini menjadi perkara yang unik.


14.Kebebasan bersuara atau tidak?
 

15.Semua yang kita boleh fikirkan adalah dunia kecil dalam media sosial yang kita buat sendiri.


16.Facebook ambil dan memakan semua waktu berharga.


17. Kasih Sayang “Ibu”


18. Gadjet sebagai “kawan baik”


19. Hidup kita kini berkisar tentang telefon pintar!


20. Orang lebih suka saksi dan rakam perkara yang terjadi.


Sumber : shalini



Apa Itu Obsessive-compulsive disorder (OCD)

2 Jan 2022




Apa itu OCD ? Admin sering tertanya - tanya apa itu ocd. Sebelum ni memang tak tahu, tapi bila ada beberapa rakan yang mengalami penyakit ini baru admin tahu ia adalah satu penyakit. Kasihan juga orang-orang yang mengalami ocd ni ye. Kadang-kala tengok tak boleh nak control. Kadang-kadang membuatkan orang sekeliling tak selesa. Tapi tak boleh salahkan penghidap penyakit ni juga. Di sini admin ada kongsikan artikel yang bagus mengenai OCD ni. Mungkin kita boleh bantu untuk lebih memahami mereka untuk mengurangkan simptom-simptomnya.

-Admin-



"
Obsessive-compulsive disorder (OCD) ialah sejenis penyakit kecelaruan mental, yang timbul disebabkan kewujudan pemikiran-pemikiran yang menghasilkan kebimbangan. Kebimbangan itu kemudiannya menuntut tindak balas yang berulang-ulang bertujuan mengurangkannya. Atau dengan kata lain, penyakit ini adalah gabungan pemikiran ketaksuban (English-obsession) dalam perlakuan, dan sikap ke atasnya (English-compulsion) yang berulang-ulang . Tanda-tanda kecelaruan yang membimbangkan ini wujud pada seringan-ringan perkara seperti membasuh tangan berulang-ulang. Selain itu, berlaku halangan meluas dalam menumpukan otak ketika menerima impuls daripada hubungan kelamin, amalan agama dan serangan luar. Tanda-tanda ini boleh merenggangkan hubungan sosial dan membuang masa. Ia juga seringkali menyebabkan kesan buruk kepada emosi dan pengurusan diri penghidapnya. Selain kelakuan pesakit-pesakit OCD mungkin kadangkala nampak gila dan kurang siuman, penghidapnya juga kerapkali mempercayai bahawa pemikiran dan tindakan susulan sesuatu perkara yang dilakukan sebagai tidak wajar, dan mereka akan berasa lebih tertekan selepas menyedari perkara tersebut.

OCD adalah penyakit mental keempat paling kerap dilaporkan dan dikesan sekerap penyakit lelah dan kencing manis. Di Amerika Syarikat, satu daripada 50 orang dewasa menghidapi OCD. Frasa ‘obsessive-compulsive’ telah menjadi sebahagian daripada kosa kata Inggeris, dan biasanya digunakan secara tidak rasmi atau secara karikatur bagi menerangkan seorang yang berhati-hati, pencari kesempurnaan atau ‘perfectionist’, teliti dalam mencari punca sesuatu perkara, dan terikat dengan seseorang atau suatu perkara. Walaupun ciri-ciri ini biasa berlaku dalam OCD, mereka yang mengalaminya tidak semestinya menghidap OCD. Mereka mungkin menghidap ‘obsessive-compulsive personality disorder’ (OCPD), sejenis kecelaruan dalam juzuk autisme. 

Ketaksuban pemikiran dalam OCD boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:

a) Was-was
b) Kebersihan
c) Kewaspadaan (melakukan sesuatu dengan perlahan-lahan-slowness)

Kebiasaannya penghidap juga akan menghadapi simptom-simptom seperti kemurungan, sedih, kurang selesa, cepat letih, penurunan berat badan, cepat marah dan tidak menghiraukan aspek pengurusan diri seperti kebersihan atau kecantikan. Simptom OCD akan menjadi lebih teruk jika penghidapnya menghadapi masalah dalam kehidupan seharian. Bagaimanapun, sekiranya masalah yang dihadapi berjaya diatasi dengan baik, simptom-simptom ini akan berkurangan.

Risiko untuk menghidap penyakit ini bergantung kepada:

a) genetik keturunan- risiko tinggi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapinya
b) personaliti si penghidap- seperti terlalu berhati-hati, cerewet, terlalu patuh pada peraturan.
c) masalah organ dan saraf- kecederaan di bahagian tertentu otak. Masalah saraf seperti meningitis dan enkefalitis juga boleh menjadi punca.
d) pengalaman lalu-kemalangan ngeri yang menimbulkan fobia dan seterusnya OCD
e) konflik- masalah hidup seperti kerja, rumah tangga dan sebagainya.


Bagaimana tindakan berulang (compulsions) boleh terjadi dan berkembang?

Model pemikiran-sikap (English-cognitive-behavoral model) menyatakan bahawa sikap bertindak secara berulang-ulang dilakukan bagi menghilangkan pemikiran yang datang menimbulkan gangguan. Malangnya ia hanya memberikan kelegaan sementara kerana pemikiran tersebut akan datang sekali lagi. Setiap kali pemikiran yang mengganggu ini berlaku, ia secara songsang diperkuatkan oleh perasaan lega daripada gangguan tersebut, lalu menjelaskan bagaimana aktiviti luar biasa pesakit OCD bertambah dari masa ke semasa. Sebagai contoh, selepas memegang tombol pintu, seseorang pesakit akan memikirkan dia akan mendapat penyakit daripada kotoran pada tombol pintu. Dia kemudian berasa kurang senang, di mana dia hanya akan berasa lega setelah membasuh tangannya. Ia akan diikuti dengan pemikiran “ adakah aku telah membasuhnya dengan betul?” lalu menyebabkan pertambahan rasa kurang senang, lalu membasuh tangannya sekali lagi bagi menghilangkan rasa tersebut. Kitaran ini diulang-ulang jika pemikiran tentang rasa tercemar ini berlaku sekali lagi. Pemikiran seperti ini akan merebak kepada kebimbangan pencemaran pada objek lain, sebagai contoh kerusi. (dia mungkin juga akan memegang kerusi setelah memegang tombol pintu tersebut).

‘Pure-O’

OCD kadangkala berlaku tanpa tindakan berulang yang ketara. OCD jenis ini atau dikenali dengan nama ‘Pure-O’, berlaku dari 50 peratus hingga 60 peratus daripada kes OCD yang dilaporkan. Berbanding dengan melakukan tindakan berulang, seseorang dengan ‘Pure-O’ akan lebih berselindung, atau berasa terarah untuk mengelak daripada situasi-situasi yang boleh mendatangkan gangguan. Akibat daripada pengelakan ini, seseorang mungkin terpaksa bekerja keras untuk menyelesaikan peranan umum dan diri, walaupun mereka meletakkan nilai yang tinggi dalam peranan tersebut dan walaupun mereka telah menyelesaikannya dengan baik pada masa lepas. Dengan kata lain, penyakit OCD jenis ini timbul disebabkan pengelakan yang keterlaluan terhadap simptom-simptom OCD yang timbul. ‘Pure-O’ boleh menyebabkan bercambahnya sikap sambil lewa dalam pengurusan rumah tangga dan kerjaya. Apa yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kesannya ialah dengan bersederhana dalam menangani simptom-simptom OCD.

Penyebab biologi.

OCD dikatakan berpunca daripada ketidaknormalan paras serotonin dalam otak. Serotonin berperanan mengawal perasaan kurang senang atau perkara-perkara yang menimbulkan gangguan. Pesakit OCD menghadapi masalah di mana reseptor serotonin kurang dirangsang. Mereka diberikan ubat SSRi (English-selective serotonin reuptake inhibitor) untuk meningkatkan paras serotonin. 

Keputusan penyelidikan terbaru pula menyatakan bahawa mutasi juga boleh menyebabkan OCD. Penyelidikan yang dibiayai oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (AS), menyatakan terdapat mutasi pada gen pengangkutan serotonin manusia yang menghidap OCD. Namun, penyelidikan lanjut dalam aspek-aspek yang lain masih dijalankan dan keputusannya masih dalam perbincangan.

Para saintis di Duke University Medical Centre di AS pula mengesyaki striatum, sejenis bahagian otak sebagai penyebab OCD. Striatum ialah bahagian otak yang merancang dan memulakan tindakan-tindakan yang bersesuaian. Mereka telah mengubah secara genetik striatum dalam otak tikus dan mendapati bahawa tikus tersebut membersihkan bulunya tiga kali lebih lama berbanding tikus normal yang lain, sehinggakan bulu-bulu di badan mereka tertanggal.


Dalam bukunya, Brain Lock, Jeffrey M. Schwartz mencadangkan bahawa OCD disebabkan oleh bahagian otak yang bertanggungjawab menterjemahkan niat yang kompleks kepada tindakan-tindakan asas. (sebagai contoh menterjemahkan “saya akan mengambil cawan ini” kepada “gerakkan lengan ke depan, putarkan tangan 15 darjah, dan sebagainya”) dan gagal menyampaikan mesej kimia bahawa tindakan itu telah selesai. Ia dipercayai sebagai perasaan ragu-ragu dan ketidaksempurnaan, di mana ia akan membawa seseorang kepada berusaha secara sedar untuk meleraikan tindakan mereka yang sebelumnya - sebuah proses yang menimbulkan gangguan dan rasa kurang senang pada manusia, walaupun tidak menghidap OCD.

Terdapat berbagai-bagai lagi punca OCD yang masih dalam penyelidikan para saintis dan masih belum dipastikan lagi akan kesahihan keputusannya.

Rawatan dan ubat-ubatan.

Dalam proses soal selidik, doktor akan mengambil kira latar belakang dan sejarah pesakit termasuklah:-
• Tempoh berlakunya masalah tersebut
• Punca sebenar tercetusnya masalah
• Tempat simptom OCD sama ada lebih ketara di rumah atau di pejabat
• Keseriusan simptom sekiranya penderita menghadapi masalah.
• Peringkat keterukan yang dihadapi.


Sekiranya pesakit menghadapi konflik atau tragedi yang serius, jangkaan pemulihan mereka biasanya lebih baik berbanding individu yang tidak diketahui punca penyebabnya. Doktor perlu menentukan sama ada penyakit atau simptom OCD yang dialami pesakit bersifat tersendiri atau kesan penyakit mental yang lain. 

Biasanya doktor akan memberi ubat anti-obsesif seperti chlomipramine dan fluxomine bagi membantu menenangkan pesakit. Ubat-ubatan ini juga berpotensi menghapuskan fikiran obsesional atau ketaksuban pesakit. Adakalanya pesakit terpaksa mengamalkan ubat-ubatan ini dalam tempoh yang agak lama seperti dua hingga tiga tahun bergantung kepada tindakbalas. 

Pendekatan psikologi yang merangkumi terapi cara berfikir dan terapi tingkahlaku:-

a. Terapi cara berfikir - pesakit akan dibantu mengatasi masalah ini melalui cadangan dan perbincangan berdasarkan pemikiran yang rasional.
b. Terapi tingkah laku - terapi ini lebih bercorak kepada pendedahan dan tindakan pencegahan yang berperingkat-peringkat.


Bagaimanapun, sembuh atau tidak seseorang pesakit bergantung kepada:-

• Keseriusan masalah yang dihadapi
• Kerjasama terhadap rawatan yang diberi
• Sokongan individu yang hampir seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau teman.
• Tempoh mengidap penyakit tersebut.


Pesakit juga perlu dibantu mengatasi masalah yang mereka hadapi sama ada masalah kewangan, perkahwinan, hubungan sosial atau sebagainya.

OCD dalam konteks hidup beragama.

Dalam konteks umat Islam, penyakit OCD ini biasanya menyerang dalam amalan keagamaan atau ibadah. Jika penyakit ini berada pada tahap yang tidak genting, maka ia bukanlah OCD, sebaliknya penyakit was-was biasa yang berlaku dalam menjalani ibadah. Namun, jika penyakit was-was ini dilayan dan dibiarkan berterusan tanpa ada sebarang usaha bagi memulihkannya, ia boleh berubah tahap menjadi teruk dari masa ke semasa, dan akhirnya sampai ke tahap OCD. 

Was-was muncul kerana rasa taksub dalam mencari kesempurnaan dalam menunaikan sesuatu ibadat. Penyakit ini biasanya berlaku ketika hendak berniat. Seorang pesakit akan taksub atau obses mencari niat yang sempurna lafaznya. Oleh itu, sebarang kesilapan kecil dalam lafaz akan menimbulkan rasa kurang senang, lantas mendorong untuk mengulanginya sehinggalah rasa kurang senang itu dirasakan benar-benar hilang.

Rasa taksub mencari kesempurnaan ini didorong oleh perasaan takut kalau-kalau amalan yang dilakukan tidak diterima Tuhan. Dari satu sudut, perasaan ini mungkin menampakkan suatu petanda yang baik kerana menunjukkan bahawa seseorang itu bertakwa dan takut kepada Tuhan kalau-kalau amalannya tidak diterima. Namun dari satu sudut lain, perasaan ini nampaknya menimbulkan fitnah dalam beribadat. Ini kerana salah satu kriteria penerimaan ibadat adalah khusyuk. Jika kita asyik berwas-was sahaja, bagaimana mungkin kita akan khusyuk? Selain itu, berlaku pembaziran dalam menggunakan sumber air. Tuhan juga membenci pembaziran. Maka tidak wajarlah ketaqwaan kepada Tuhan dijadikan alasan untuk kita terus melayan rasa was-was ini.

Maka di sinilah Islam menggesa umatnya mengambil jalan pertengahan. Ini kerana terlalu jahil dalam beragama boleh membawa kepada kekufuran, manakala terlalu fanatik atau taksub dalam beragama pula boleh membawa kepada fitnah-fitnah yang boleh menyebabkan amalan kita langsung tidak diterima.


Di sini saya memetik kata-kata Ibn Qayyim tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan niat:

“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).

Semoga mendapat ilmu berguna daripada pelayaran internet anda walaupun sedikit.

Wallahualam.


sumber: 

http://www.mentalhealth.org.my/index.cfm?menuid=25&parentid=9
en.wikipedia.org/wiki/Obsessive–compulsive_disorder
http://drmaza.com/home/?p=704
"

Pengalaman Menyayat Hati Zarina Zainuddin Mengasuh Anak Kembar Autistik Buka Mata Rakyat Malaysia

30 May 2017


Admin sangat respect dan bangga dengan ketabahan, kesabaran dan kecekalan yang dimiliki oleh Puan Zarina dalam membesarkan dua anak kembar autistik. Bukan mudah ye, untuk mendidik anak istimewa ini untuk lebih berdikari dan pandai menguruskan diri. Di harap perkongsian ini dapat membuka mata semua masyarakat tentang anak-anak autistik. Dan juga kepada keluarga dan ibu bapa diluar sana yang mempunyai anak-anak autistik, agar kisah ini dapat dijadikan sumber kekuatan dalam membesarkan anak-anak ini. Dan Allah telah menjanjikan pahala yang berganda-ganda dalam kita memelihara mereka. Walau sukar di dunia, Insya Allah di akhirat kelak, anak-anak syurga ini jua yang akan membantu kita. Kita ikuti perkongsian kisah ini, 

-Admin Laman Qaseh-

MUHAMMAD Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai – boleh Zarina kongsikan, apakah kelebihan dan keterbatasan masing-masing? Bagaimana Zarina lihat pasangan kembar autisme ini saling melengkapi?

Ya, meski kedua-duanya anak Autisme, saya bersyukur, Tuhan tetap mengurniai beberapa kelebihan tidak tersangka. Muhammad Raizal Azrai (Azal) ini berdikari orangnya, pandai membawa diri, rajin bangun pagi, rajin juga bersolat Subuh.

Kalau di set penggambaran, Azal akan menunaikan solat apabila tiba waktunya, tidak perlu disuruh-suruh. Skrip lakonan saya, dialah yang menandanya. Bangun pagi-pagi, dia pasti mengetuk pintu kamar tidur saya lantas berteriak, “Ibu, ibu, shooting ibu pukul berapa? Ibu sudah solatkah? Mana skrip ibu? Apa lagi barang yang ibu nak bawa ke tempat shooting?” 

Azal anak yang prihatin, hatinya penyayang. Dialah orangnya yang menyuapkan ubat kepada abangnya selalu. Abang pula, Muhammad Razil Azrai (Azil) masih bergantung kepada ubat, namun saya tidak lagi mengizinkan Azil mengambil ubat sekerap dulu. Meski arahan doktor menetapkan bahawa ubat perlu dimakan dua kali sehari (setiap pagi dan malam), tetapi sekarang saya membenarkan Azil mengambilnya separuh sahaja.

“Apa sebenarnya kesan ubat ini?” Itulah persoalan yang selalu berlegar dalam fikiran saya.

Takdir Allah yang Maha Mengetahui, yang mengerti betapa hebatnya firasat dan naluri keibuan saya yang meronta, memberontak, menggelepar mahu mencari jawapan. Maka hendak dijadikan cerita, suatu hari, abang dan adik kembar ini bergaduh dengan teruknya. Muka abang berdarah-darah kerana abang memukul-mukul, menumbuk-numbuk mukanya sendiri. Bajunya basah dilumuri darah.

Melihatkan Azil amuk tidak terkawal, Azal bertindak mahu menenangkan si abang, segera mengambil ubat lantas memaksa si abang menelannya. Biar abang lebih relaks, kata Azal. Mereka masih bertikam lidah. Keadaan bertambah gawat. Si adik dengan hasrat mahu merawat. Abang terus memberontak. Hati saya panas. Saya akhirnya mengambil keputusan.

“Azal, beginilah,” pancung saya, tegas,  “Awak tengok ubat ini?” Azal mengangguk. “Awak ambil satu, saya ambil satu. Kita makan sama-sama.”

Tidak sampai satu jam selepas menelan ubat penenang itu, saya terus lembik dan terbaring tak berdaya. Serasa satu badan lumpuh serta-merta. Kami saya lembik. Kepala saya berpusing. Mata saya terkatup. Gelap-gelita. Saya dalam keadaan sedar, ya, tetapi saya tak mampu berjalan walaupun setapak. Subhanallah! Ya Tuhan! Inikah kesan ubat kami paksa Azil telan setiap hari selama ini? Inikah ubat yang telah membisu, menuli dan membutakan segala pancaindera manusiawinya, sehingga dia tidak lemah selemahnya, tidak berdaya?

“Saya mengantuk ibu. Saya tak boleh berjalan…” Azal merintih, lalu dia pun terlelap. 

Semenjak peristiwa itu, saya menerangkan kepada Azal mengapa kami harus berhenti memaksa Azil mengambil ubat. “Tengoklah abang awak, Azal. Setiap hari kita paksa dia makan ubat. Tengoklah keadaan abang, selepas diberi ubat, dia terbaring, tidur, tak sedarkan diri, tidak peka lagi pada keadaan sekeliling. Awak tak kasihankah tengok keadaan abang awak macam itu, Azal?”

Ya, selepas peristiwa itu, kami kawal dan urus pemberian ubat Azil. Kalau hanya perlu sebiji, maka sebiji sajalah yang saya beri meski preskrepsi doktor menyarankan duit biji. Benarlah, kita sebagai ibu harus mengambil tahu apa yang kita suap ke dalam mulut anak-anak kita. Jika ia memudaratkan, saya mohon kepada Allah, jauhkanlah. Jika dia perlu menanggung sakit, saya berdoa kepada Allah, pindahkanlah kesakitan itu kepada saya, biar seksanya saya sahaja yang menanggung.
Memaksanya mematuhi rutin ubat-ubatan itu, membuat saya tersedar, betapa kami telah merampas waktu gembiranya. Betapa kami telah merentap waktu sedarnya. Kami zalimi saat bebasnya. Kami pejamkan matanya sewaktu dia masih mahu melihat.

Ya Allah, betapa lalainya kami kerana menzalimi anak yang tidak berdosa ini.

Kedua-duanya bersekolah seperti biasa?

Tidak, Azil tidak dapat dihantar ke sekolah kerana dia hiperaktif, sukar dikawal berbanding Azal. Saya sedih kerana pihak sekolah sendiri menolak untuk menerima Azil, maka Azal sahaja yang berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah. Tetapi semasa Azal berumur 18, saya mengambil keputusan untuk menghentikan persekolahannya. Keputusan drastik itu kami ambil setelah berlaku satu peristiwa yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Ia berlaku lebih kurang dua tahun dahulu, sewaktu Azal menyertai rombongan jamuan Hari Raya anjuran sekolah. Waktu Maghrib sudah masuk. Saya pulang sekejap untuk bersolat Maghrib terlebih dahulu kerana rombongan sekolah yang dijanjikan tiba sekitar jam enam lebih,  masih belum tiba-tiba.

Setibanya saya di sekolah untuk menjemputnya, cikgu dengan wajah selamba memberitahu, “Dia sudah balik dengan kawan dia, puan.”

Jantung saya seperti terputus dari tangkainya. Jatuh melesat ke kaki! Anak saya bukannya normal. Mengapakah cikgu tergamak melepaskan dia melangkah keluar dari pagar sekolah begitu sahaja? Saya melilau mencari Azal, separuh sasau rasanya. Bagaimana jika dia terjun ke tengah-tengah jalan raya? Dirempuh kereta? Digilis lori?

Takdir Allah, wartawan majalah Harmoni, Ros, terjumpa Azal di tepi kedai 7-Eleven sekitar jam sembilan malam, berbaju Melayu, dalam keadaan berpeluh-peluh dengan muka sesat keliru. Bayangkanlah, dia berjalan kaki dari Bandar Sunway dekat Petron, melintas jalan raya yang sibuk.

Ya Tuhan! Bagaimana kalau anak autisme ini dilanyak bas atau lori di tengah-tengah jalan? Maaf, bagi saya, ini bukan seputar soal meminta kemaafan. Ini adalah soal rasa tanggungjawab. Ini adalah soal amanah yang dikecaikan. Saya benar-benar kecewa. Selepas berbincang panjang, saya dan suami akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan sahaja persekolahan Azal.

Biarlah, jika tiada orang yang sudi menjaga Azal sebaiknya, biarlah ibu sahaja yang berkorban menjaga Azal.

“Hei, tak tahu jaga anakkah? Apa wo, minum orang punya air???”

Begitu saya pernah dimarah pengunjung restoran kerana abang minum minuman orang lain, di meja orang lain. Ini bukan situasi ganjil buat saya, dimarah pelanggan kedai adalah perkara biasa, maka adalah tanggungjawab saya merendah diri memohon maaf atas kekhilafan dan tingkah lepas laku anak saya. Jauh di sudut hati, saya rasa hiba, kerana mereka tidak tahu inilah takdir dan nasib seorang anak autistik. 

Jadi Zarina mengambil risiko, mengurus Azil tanpa bantuan ubat-ubatan? 

Ya, walaupun keadaan tidak mudah. Pintu saya berlubang. Pecah dan ranap. Puuuung, paaanngg, puuuung, paaanngg. Bayangkan, dia melompat, menggelinjang, menggelenyar, malah ‘terbang’ di atas katil! Katil abang sudah dua kali pecah dan roboh. Tapi apa boleh buat?

Pernah juga berlaku, dia terjun ke laman rumah dari tingkat dua. Jika tantrumnya datang, dia akan menghantuk-hantukkan kepalanya ke tingkap kereta sehingga cermin kereta pecah dan mukanya berlumur darah. Ini cuma sebahagian drama air mata dan pahit-getir yang orang tidak nampak. 
Tetapi saya tabah, saya cekal, saya belajar untuk mengurus dan menangani tantrumnya dengan sabar. Saya lebih rela melihat dia sihat dan berjalan sana-sini seperti biasa daripada seluruh sistem badannya ‘dilumpuhkan’ dengan ubat. Selepas katilnya ranap beberapa kali, sekarang Azil tidur di lantai saja.

Tak mengapalah. Jika itu yang buat abang gembira, saya gembira.

Cabaran lain mengemudi hidup sebagai ibu anak-anak autistik ini?

Saya melihat cabaran itu bukan seputar mengasuh anak-anak autistik ini semata-mata. Tetapi ia menuntut pemerhatian dan keadilan saya dalam berbahagi-bahagi sayang dan perhatian. Mungkin ada waktunya saya terlepas pandang. Anak-anak yang berdua lagi (Muhammad Naim Azrai, 13, dan Muhammad Adam Azrai, 10) seperti terkesan dengan perhatian istimewa yang saya curahkan kepada si abang. Sehingga pernah terluah dari mulut Adam: “Ibu, mereka (para wartawan) tak tahukah yang ibu ada empat orang anak? Kenapa saya diketepikan? Saya tengok saja ibu posing dengan anak ibu yang istimewa. Dia anak istimewa, dah tentu dia masuk syurga, ibu. Syurga saya pula, macam mana ibu?”

Saya lihat mata Zarina berkaca-kaca. Tiba-tiba Adam muncul di hadapan kami, sesegera itu saya menghentikan rakaman perbualan kami di iPad.

“Sudah banyak kali ibu, sudah banyak kali. Bila ada apa-apa photo shoot, saya dan Naim mesti diketepikan,” tiba-tiba Adam mencelah, bunyinya hiba sekali. “Saya tahu abang istimewa. Tetapi ibu tak boleh buat buat begini. Saya ini pun anak ibu, tapi saya tak rasa ibu beri kasih sayang pada saya. Sikit-sikit ibu lebihkan abang. Sikit-sikit ibu bawa abang keluar. Saya yang bongsu, tapi kenapa saya tak dapat semua tu, ibu?”

Saya terpempan. Rasa bersalah bukan kepalang. Aduh, ini mungkin bukan masa yang baik untuk meneruskan temu bual dengan Zarina, bisik hati saya.
 
Allah, apa harus saya lakukan?
 
“Adam,” saya memegang bahunya, mengumpul kekuatan menolak sebak untuk bersuara, “Auntie janji, Auntie akan muat naik foto Adam bersama ibu, foto yang paling cantik, siap dengan ucapan istimewa Adam untuk ibu. Auntie mahu Adam karang sendiri ucapan Adam untuk ibu, can you promise me?”
 
“Apa yang awak nak luahkan?” Zarina menyoal kembali, lembut. Dengan wajah paling manis.
 
“Saya harap ibu tak lupa yang ibu juga ada dua orang anak yang lain selain Abang Azil dan Abang Azal. Saya rasa diri saya diketepikan.”
 
Air mata saya mahu menitik. Saya menahannya.

Sejauh mana anak-anak Zarina diajar berdikari?

Meski kami punya pembantu, saya selalu mengingatkan anak-anak agar sentiasa sedar diri, jangan ambil mudah. Seperti Naim, sewaktu kami berkonfrontasi tidak lama dahulu, saya katakan kepadanya, “Naim tidak malukah melihat kawan-kawan lain cemerlang dalam pelajaran? Naim tidak sedihkah orang mengeji ibu? Orang mengejek Naim, orang menghina ibu, tengoklah, anak artis, memanglah begitu.”

Saya beri kata dua kepada Naim. Jika Naim tidak minat belajar, enggan bertoleransi sesama adik-beradik, maka saya akan menghantarnya jauh ke sekolah tahfiz. Kata saya, di sana nanti, belajarlah membasuh baju sendiri, tiada siapa akan menghidangkan nasi dan lauk-pauk panas di meja, tiada siapa akan membancuhkan Milo ais atau susu kocak untuknya. Kalau di rumah, anak-anak ini hanya tahu melaung memanggil pembantu, “Bedaaahhhh… nak baju. Bedaaaaahhhh… nak makan.” Ya, Naim berubah selepas itu, dia memperolehi 4A dalam UPSR, jadilah... saya sangat bersyukur.

Saya mahu anak-anak saya juga belajar susah. Saya dulu sangat berdikari. Semua perkara saya buat sendiri. Saya juga bukan orang senang. Saya cuma ada sehelai baju sekolah. Selesai pakai dua hari, saya cepat-cepat cuci, keringkan dan pakai keesokannya. Anak-anak zaman sekarang tak belajar erti susah.

Nasihat Zarina kepada wanita di luar sana yang mengurus anak-anak Autistik?

Ada beberapa panduan boleh saya kongsikan di sini berdasarkan pengalaman peribadi yang tidak seberapa ini. Ingatlah, anak-anak Autistik amat selesa dan akrab dengan rutinisasi. Variasi yang cuba kita bawa ke dalam rutin mereka, perlulah dibuat dengan hati-hati, kerana ia boleh gelisahkan mereka. Mereka juga berdepan kesukaran dalam aktiviti motorik. Kerana itu, janganlah kecewa jika anak-anak autistik kita tak mampu bergiat cergas dalam sukan-sukan atletik (yang memerlukan koordinasi gerakan tubuh tertentu). Janganlah memaksanya melakukan sesuatu yang dia tak mampu. 

Banyakkan bersabar. Kesabaran yang saya maksudkan ini adalah kesabaran paling ikhlas. Ia tidak mungkin dapat anda pelajari dari mana-mana kamar kuliah sekalipun. Ia tidak mungkin dapat anda kuasai daripada ijazah yang tercetak cop mohor Harvard sekalipun. Mengendalikan anak-anak autistik, harus datang bersama kita, kesabaran, kebijakan, rasa reda, tawaduk, berserah dan pasrah atas pemberian Allah.

Seperti Azal dan Azil, mereka tiada keupayaan mengendalikan emosi mereka. Kalau boleh saya sebutkan di sini, kadang-kadang, mereka sendiri rasa terperanjat dengan emosi mereka, sehingga mereka amuk dan tantrum sedahsyat puting-beliung. 

Saya tidak malu mengakui, hingga saat ini, saya masih terus belajar memperbaiki interpersonal skill saya dalam mengurus Azal dan Azil. Saya bersyukur, saya diberi kesempatan untuk terus menatap dua anak istimewa ini, melatih mereka mengendali emosi, sosial dan intelektual. Biar mereka terus belajar menjadi manusia yang mandiri, yang tidak menyusahkan orang lain andai kata saya tiada lagi di dunia ini suatu hari nanti.  
Saya telah dipilih Allah untuk menghamili mereka, menyusukan mereka dengan tetes susu saya sendiri, maka saya pasrah dan berserah pada qada dan qadar ini. Tidak dapat saya membayangkan, bagaimanakah kehidupan Azal dan Azil selepas ini jika saya pergi dulu?

Mampukah kebajikan mereka dijaga, mampukah tantrum mereka dijinakkan kesabaran orang lain yang menjaganya selepas ini? 

Temu bual kami berakhir jam 9.35 malam. Di muka pintu kayu agam, saya mendakap Zarina rapat ke dada, mengharapkan semoga keteguhan semangat dan hatinya yang paling jernih itu meresapi atma saya. Di fikiran saya, adalah artikel yang harus saya tukangi segera, surat perlantikan menjadi pengawas sekolah yang baru ditunjukkan Adam kepada Zarina di meja makan sebelum saya memulakan temu bual, rintihan Adam menagih belas perhatian ibu — juga suara Azal yang baru bertempik membelah sunyi malam kerana cuba meleraikan pertengkaran kecil Adam dan Naim.

Semuanya mencakar-cakar hati saya.

Saya harus pulang segera, saya harus pulang segera, melimpahkan pusar perasaan ini ke skrin komputer. Semoga Allah merahmati seluruh isi rumah besar ini, bisik hati saya. 

Betapa besar rumah yang saya tinggalkan ini, besar lagi hati seorang wanita yang mendiaminya.

Kredit : Intrend
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.