SLIDER

jiwa
Showing posts with label jiwa. Show all posts

Abah Aku Kejam,Orang Tua Tak Sedar Diri,Tak Layak Jadi LELAKI !

24 Nov 2021



Tak tahu nak mula dari mana sebab ia sudah berakhir. Tetapi aku rasa aku perlu kongsi sesuatu yang sehingga ke hari ini aku tak boleh hadam apa yang terjadi pada mak aku. 

Pada aku, mak masih muda, umur baru 43 tahun, ada 6 anak. Dia selalu meluah perasaan pada aku sebab aku anak yang dah mula mengerti apa kesedihan yang mama aku hadapi. 

Umur aku? baru 18 tahun. Orang lain bergelut soal pakwe makwe, kerja, study. Aku? Bergelut isu keluarga yang tak pernah sudah kerana jantan bernama ayah. Hati aku dah keras asyik dihidangkan drama realiti playboy tua tak sedar diri. Tambahan pula aku anak perempuan sulung.

Pengajaran pada perempuan yang mungkin mengeluh belum bertemu jodoh, bersabarlah. Jangan jadi terdesak sehingga kita tak tahu dengan siapa yang kita akan tinggal serumah, sebantal dan segalanya. Kedua, jangan jadi perempuan bangang dan percaya bulat-bulat pada lelaki yang sudah beristeri. Tambahan anak ramai pula kononnya dia tidak bahagia. Bullshit itu semua. Maaf jika sepanjang perkongsian yang panjang berjela ini akan membuatkan korang annoyed and bosan.

1. Mak, sekolah tak habis. Last Tingkatan 1. Erti kata lain, dia jenis yang memang tidak terbuka pergaulan. tak pandai cakap banyak-banyak. Apa yang ada, dia terima saja. Berkahwin pada usia yang muda dengan suami yang berasal dari kampung yang sama. Rumah mak dan abah dekat, sampai boleh nampak bumbung rumah. Abah aku askar, yang jenis masuk hutan jarang balik. Maklah yang menguruskan anak dari A-Z dengan apa saja yang ada. Adik-adik aku Alhamdulillah, sangat memahami dan berdikari.

2. Semua bermula 7 tahun lepas semasa kami tinggal di utara Malaysia. Kami semua dapat tahu abah kahwin lain di Siam dengan anak dara. Entah mana dia kena. Fuh, time itu aku rasa macam Wau! Adik bongsu, 1 tahun, makan nasi dengan telur setiap hari, duit sekolah pun dicatu.

"Kau boleh menikah lain? Duit elaun isteri yang tentera potong itu saja yang kau tinggalkan pada kami 7 beranak untuk hidup?"
Abah dah mula angkat tangan dan kaki pada mak masa ini.

3. Episod kejam berterusan bilamana betina itu asyik merengek nak perhatian. Biasalah, isteri muda. Bila abah keluar hutan, dia nak masa dengan abah. Huhu.. Dasar tua ganyut, lupa anak isteri yang ada di rumah. Aku rasa abah aku itu bodoh sampai level langit bila dia bawa perempuan itu datang rumah kami. Rumah kami kecil saja, rumah sewa.

Malam itu, masa aku nak tidur di ruang tamu (kami memang tidur di ruang tamu saja), bentang toto, dan abah beritahu mak suruh dia tidur dengan anak-anak.

"Kau pergi tidur di luar dengan anak-anak. Madu kau nak tidur dalam bilik!"

Aku ingat sampai bila-bila kebodohan jantan itu. Mak aku tidur luar bilik, aku dengar dia menangis. Sampainya hati, Ya Allah. Oh ya, sepanjang 17 tahun kahwin, katil tak pernah ada, kelengkapan rumah seadanya saja. Oh jantan, aku benci dia!

4. Isteri baru ini ada kereta dan bekerja. Mak selalu kata,
"Dia nak tumpang senang dengan isteri itu kot, mak kan tak kerja"
Fuh, aku sedih gila time itu. Tempoh 2 tahun perkahwinan tersebut, kami selalu berhubung dan dikunjungi oleh madu dia. Madu itu pun dah ada rumah sewa berdekatan dengan rumah kami. Cuma mama tak tahu dan tak pernah dibawa ke sana. Aku tak diizin campur hal tersebut. Nak pergi sana naik apa? 

Yelah, kami cuma ada motosikal buruk, lesen pun tak ada. Naik moto angkut kami adik-beradik pergi balik sekolah sesi pagi dan sesi petang. Adik kecil aku selalu cakap yang madu itu selalu cakap anak-anak itu kotor dan pakai tak up to date. Sedihnya aku, pastinya mak hanya memendam rasa. Budak nak membesar dan baju pakai yg mana ada ja. itu pun sebab dia bukan peduli keperluan kami.

5. Suatu hari, entah ini satu sinaran baru atau ujian. Aku tengok abah balik tiap-tiap minggu pada dia, tak melekat dengan handphone seperti biasa, spent time dengan anak-anak. Seolah-olah abah dah tak ada bersama dengan perempuan itu. Mak cakap perempuan itu pun dah tak datang rumah dah. Baiknya mak aku, siap cuba telefon madu itu pun tak dapat dihubungi. Jadi mak assume madu dia sudah diceraikan. Aku buat hal aku, malas nak peduli. Janji aku jadi anak mak yang baik, tak susahkan dia.

6. Dalam masa terdekat itu, datang satu lori perabot ke rumah kami. Mak tak berani tanya dari mana datang perabot itu sebab mak dah diajar kaki dan tangan. Jadi sekali lagi, kami assume, perabot itu datang dari rumah bekas isteri kedua abah sebab ada bekas perabot yang digunakan. Meja makan, almari, katil, TV, kabinet dapur dan serba engkap semuanya. 

Aku nampak mak happy bila dia dapat semua itu. Suami yang selalu ada di depan mata dan kelengkapan rumah yang tak pernah ada. walaupun perabut itu milik bekas madu dia punya yang berkahwin tak sampai 2 tahun. Tapi mak, dah hampir 20 tahun kahwin baru nak merasa.

7. Ya, benar. Ini bukan pengakhiran indah apabila lelaki itu katanya berkursus di selatan selama sebulan. Balik dari situ, mak cakap dia dapat rasa yang abah mula buat perangai lama. Entah kali ini kahwin atau tidak. Tapi mak aku dijauhi dan diboikot. Perkara ini berlarutan sehingga mak dan abah tak bercakap selama 5 bulan. Dia hanya bercakap dengan adik-adik aku yang bongsu. Kami 4 beradik ke atas diabaikan sepenuhnya.

Abah balik pada perangai lamanya, melekat pada handphone. Di depan mata aku, mak tanya abah nak makan ke tak. Tapi abah diam saja. Mak sendukkan nasi dan letak di depan baah di depan TV. Kalau dia makan, dia akan makanlah. kalau dia tak nak makan, nasi itu akan dibiar sepi. Mak akan angkat nasi itu dan disimpan di dapur. Meluat aku tengok keadaan itu. Tapi aku takleh nak marah mak sebab dia memang macam itu.

Mungkin aku panggil ini sinaran even ia adalah dugaan. Suatu malam, aku tengah baring di dalam bilik, aku terdengar abah mengamuk. Aku keluar dan lihat, abah sedang cekik mak. Adik bongsu aku menangis. Abah tak berhenti dan masih jelas ayat yang aku anggap pengakhiran semua derita kami selama ini.

"Malam ini aku ceraikan kau!"

Rumah sepi. Cengkaman tangan dilepaskan dan mak terbatuk-batuk, mungkin sakit dicekik. Abah keluar dari rumah, mak bangun dan suruh kami semua tidur. Ayat tenang, tapi muka mak takkan aku lupa. Kami menurut dan masuk ke bilik.

Urusan penceraian sedang berjalan. Mak naik teksi saja pergi ke pejabat agama untuk buat aduan penceraian. Aku rasa kosong, kami keluar dari rumah yang banyak membawa duka ini. Mulakan hidup di kampung mak sejak awal tahun ni. Aku nak bergerak pun rasa tak boleh. Nak sambung belajar, kasihan dengan mak,

Akhirnya aku kerja di sebuah CC untuk aku mencari wang untuk adik-adik sekolah. Mak jual nasi lemak. Dari aku kerja di sini, aku jumpa group Kisah Rumah Tangga. Aku rasa aku muda untuk harungi semua ini. Tapi aku tahu, mak aku lagi sedih. Matilah lelaki dalam hidup aku, selain adik beradik aku. 




Pengalaman Isteri Mengalami Penyakit Meroyan .... Bukan Sesuatu Yang Boleh Dipandang Remeh Oleh Para Suami

23 Nov 2021


Berikut adalah catatan peribadi isteri saya. Puan Najwa Abdul Rahman yang sedang berubat baru-baru ini. Puas dia pujuk saya suruh tulis dan kongsikan kepada anda. Katanya, ramai orang di sana yang memerlukan sokongan seperti ini. 

Saya pun teringat. Ketika melahirkan anak pertama kami, Dr. Mashitah (salah seorang doktor pakar melayu yang bermastautin di Arab Saudi) telah membisikkan kepada saya, 

"Lutfi, jaga Najwa. Bantu dia. Jangan bagi meroyan. Dia ada simptom tersebut," sejurus keluar daripada menziarahi isteri saya dari bilik di Kota Makkah. 

Meroyan? itu adalah kali pertama saya mendengar kalimah tersebut dan saya tidak sangka ia tersangat serius.
..... 

Bismillah. 

Hi. Saya Najwa. Ini adalah catatan saya ketika terkena penyakit yang disifatkan meroyan. Apa yang saya kongsikan di sini adalah pengalaman saya. Tujuan saya kongsikan adalah kerana di luar sana, saya tahu bukan saya sendiri sahaja yang mengalaminya. Ramai lagi orang lain yang kena juga penyakit ini namun tidak tahu merujuk kepada siapa. Ada yang meroyan bertahun lamanya. Ada yang pulih. Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat membantu mereka yang mengalami masalah sama dengan saya. Anda tidak keseorangan. Kita masih mempunyai harapan. Sinar cahaya masih ada di hadapan. Jangan putus asa. 

Meroyan ada banyak jenis. Apa yang Najwa alami sekarang adalah 'meroyan angin' dan 'meroyan darah'. Najwa tertekan dengan kehidupan, dengan anak menangis, suami tiada di sisi ketika melahirkan anak, sakit buasir ketika pantang, pantang tak boleh makan makanan yang biasa kita makan dan paling utama adalah tertekan dengan orang kata-kata orang yang datang ziarah ketika pantang (sebab Najwa beranak caeser). 

Perlahan-lahan Najwa cuba berubah. Sampai bila Najwa nak hidup seperti ini. Pasti di sana ada jalan yang boleh memulihkan diri Najwa. Amalan najwa berubat sekarang ialah baca Al Quran setiap hari (sekurang-kurangnya 10 mukasurat ), baca istighfar, baca saidul istighfar (boleh Google) setiap hari dan amalan-amalan lain lagi contoh masuk bilik air baca doa, masuk rumah baca doa dan lain-lain. Najwa jugaf berubat cara tradisional (seperti minum akar kayu Merbu). 

Simptom meroyan yang Najwa alami:

1. Apabila baca Al Quran ada bisikan datang suruh buang Al Quran dalam tandas atau pijak. Astaghfirullah kalau Najwa tak ada asas agama mungkin dah lama tewas. Bila datang bisikan macam tu terus Najwa istighfar banyak-banyak dan cuba sedaya-upaya untuk lawan. 

2. Kadang-kadang datang bisikan pasal anak-anak. Suruh buang anak, bagi orang je anak ini, anak ini adalah beban dan mendatangkan malang. Astaghfirullah. Najwa sendiri hairan kenapa aku ni macam ni? Sekali lagi, kalau Najwa tak ada asas agama, tak tahu lah apa dah jadi dengan anak-anak Najwa semua ini. Alhamdulillah, Najwa lawan dan tak ikut apa yang bisikan tu suruh. 

3. Bila stress lagi lah bertambah bisikan tu dan Najwa tak ada ubat melainkan baca Al Quran dan Azkar (himpunan doa sunnah). 

4. Sensitif tidak bertempat. Contohnya, kalau Najwa beli coklat dan anak-anak makan coklat Najwa itu, Najwa akan menangis dengan sungguh-sungguh. 

5. Pemikiran tidak stabil. Masa tu di rumah emak. Rumah bawah. Terasa nak bunuh diri dan tamatkan hidup ini. Namun, terfikir juga berdosa apa yang Najwa buat ini dan sakit juga kalau kena batu. Lagi pula, rumah ni atas tanah. Bukan bangunan 40 tingkat. Nak terjun macam mana. Itulah kali pertama dan terakhir datang bisikan seperti itu. Masa itu pula dalam pantang anak kembar. Namun, Alhamdulillah. Asas agama adalah benteng pertahanan diri kita. 

6. Rasa putus asa, rasa bersalah, rasa sunyi, rasa letih, selalu menangis, rasa diri tidak berguna, rasa keseorangan, rasa sedih dan murung. 

Itulah perkara yang Najwa alami. Semua orang tak nampak. Orang tak percaya. Hanya diri kita sahaja yang tahu. 

Kepada mereka yang mempunyai simptom di atas, cepat-cepatlah berubat kerana jika terlambat boleh jadi gila. Ada yang terlalu berat sehingga membunuh diri dan orang yang disayangi. Meroyan bukan hanya dalam pantang sahaja ya. Ia boleh berlarutan seumur hidup jika tidak berubat. 


Paling penting, sokongan keluarga. Suami yang sentiasa ada di sisi. Suami yang melihat perkara ini dan membantu dalam perubatan. Membantu meringankan isteri. Menguruskan anak-anak. Mengemas rumah. Membasuh baju. Memberikan masa untuk Najwa bersendirian. Membantu ingatkan tentang solat dan bacaan Al Quran. Itu antara faktor penting dalam perubatan dan perubahan diri. Ia kembali kepada minda kita. Kekuatan minda yang diperlukan melalui amalan-amalan yang disebut di atas. 

Insya Allah. Allah tidak akan sia-siakan hambaNya. Diberinya cubaan dan akan diberikan ganjaran dalam pelbagai bentuk buat kita. Percayalah. Kita mampu untuk menanggungnya dan menguruskannya. Kerana kita adalah makhluk paling sempurna Allah ciptakan. 

Silakan kongsi. Semoga bermanfaat buat anda semua. Juga rujukan bagi bakal suami isteri. 

Salam sayang, 

Najwa Abdul Rahman.


Kredit : Fb Lutfi Lokman 



Dilema Seorang Lelaki Kacak

28 Jul 2017


Aku dilahirkan sebagai seorang lelaki yang cukup sifat malahan mempunyai banyak kelebihan berbanding lelaki lain... Ya!! Aku dilahirkan sebagai seorang lelaki kacak... bukan sekadar kacak malahan mempunyai kebijaksanaan yang ekstrem... . Ujian IQ aku menunjukkan aku seorang lelaki kacak yang mempunyai markah IQ sebanyak 160.

Berkulit sawo matang, berdada bidang, berketinggian yang sesuai dan berhidung agak mancung... Aku kelihatan agak garang dengan misai melintang,tetapi kerana sifat ceria semulajadiku, aku disenangi kawan danawek-awek tak kira yang cun atau tak cun. Semasa aku menunggu keputusan SPM, aku bekerja di kilang papan, kerja berat ini menyebabkan badan akumenjadi tough dan wings ototku menyerlah sekalipun aku pakai baju longgar.

Selepas tamat pengajian aku di sebuah universiti terkemuka dunia, aku bekerja yang agak glamer... Berkereta mewah,sekali pun milik agensiku, tapi sudah cukup untuk memikat hati gadis yang cantik dan tak cantik, malahan.. ramai lelaki tak hensem iri hati dengan kehebatan dan kekacakanku... Aku sering mengayakan imej ranggi,berkasut kulit ala koboi (siap ngan rantai tu), berjaket kulit hitam mengantikan kot, mengenakan neck tie berimejkan metallica, jam rantai tembaga, serta berkepala talipinggang yang lebih besar dari pelempang kebanyakkan awek yang aku kenali. Aku cukup agresif di pejabatku,sehinggakan pegawai atasanku jua dengki dan jaki terhadapku.

Kejakian mereka tidak hanya terhadap penampilan dan mutu kerja yang cemerlang sahaja. Aku sering digossipkan sebagai lelaki gigolo, jantan kabaret,lelaki jalang malahan, aku juga digossipkan sebagai lelaki gay bilamana aku tak melayan cinta beberapa awek... . Bila aku dilihat minum bersamaawek yang tak cun... aku dituduh gigolo dan pisau cukur... Jika aku keluar dengan awek cun pula, aku dituduh mengeksploitasikan kekacakanaku untuk memikat gadis jelita... Jika aku dilihat berhemah dan bersantun dengan wanita-wanita tua yang kebanyakkan bergelar datin,mereka menuduhku sedang memasarkan khidmat gigoloku... .

Awek cun merasakan aku terlalu hebat untuk mereka, awek tak cun pula mengatakan aku jual mahal... Suami-suami pula sering menjeling tajam bini-binimereka takut bini terpikat ngan aku... dan mak-mak bapak yang ada anakperempuan sering menyorokan anak mereka bila aku bertandang ke rumahmereka... takut anak mereka lari ikut aku... Yang ada anak-anak dara sunti pula menjerit-jerit suruh masuk ke rumah bila melihat akumemerhatikan anak-anak mereka bermain di laman... mungkin mereka takut aku seorang lelaki kacak yang gila seks ganas dan sadis seperti pembunuh nurin.

Oh dunia!!!! Salahkah aku menjadi lelaki kacakyang hebat.  Apa yang harus aku lakukan sekarang. Usiaku sedangmemanjat tangga ketuaan, umurku telah lama melepasi zaman remaja.. Tapi aku masih di sini... kekal sebagai lelaki kacak yang hebat... seorang diri... berkelana di rimba kehidupan nista dan fitnah dunia... .

Miskin Tapi Jiwa Mulia

16 Jun 2017


Ketika saya singgah untuk membeli makanan sahur, saya melihat kakak yang berniaga sendirian di hadapan Bank Islam Kangar tadi. Dia berniaga kerepek dan buah mempelam sala. Saya terharu melihatnya kerana jam sudah hampir 11 malam.

Saya singgah bertanya hal keadaan beliau. Beliau memberitahu beliau dari Simpang Empat Sanglang. Telah lama berniaga. Beliau ada suami dan anak istimewa. Zakat MAIPs memang ada membantu beliau namun dalam masa yang sama beliau juga ingin berusaha sendiri. Jiwa saya tersentuh mendengar cerita beliau. Saya membeli sedikit jualannya sebagai penghormatan kepada usaha beliau, kemudian menghulurkan sedikit bantuan. 

Beliau tidak meminta pun dari saya. Saya suruh isteri saya mengajak beliau makan di restoran berdekatan. Beliau menolak kerana katanya sudah makan masa bukan puasa tadi. Semasa saya hendak ke kereta beliau memberikan kepada saya buah mempelam. Saya menolak. Namun beliau tetap ingin berikan. Saya rasa serba salah. Barangkali beliau ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan kecil tadi. Jiwanya mulia. Saya tersentuh.

Sebenarnya saya sampai ke Perlis dari Mekah jam 1 pagi tadi. Pukul 8 pagi saya kena mempengerusikan mesyuarat KUIPs selama 2 jam lebih. Kemudian pukul 11 pagi mesyuarat kedua saya iaitu JK Mesyuarat Kewangan MAIPs. Walaupun amat letih pagi tadi, namun saya agak bersemangat apabila membincangkan masalah terdapat asnaf fakir miskin yang suka terus miskin agar mereka terus menerima bantuan. Mereka enggan berusaha sekalipun sihat kerana selesa mendapat bantuan setiap bulan tanpa usaha. Kami bincang langkah-langkah mengatasi masalah itu. Saya amat dukacita apabila memikirkan zakat tidak membangunkan sekelompok masyarakat bahkan menjadikan mereka malas berusaha.

Malam ini, rezeki Allah saya berjumpa dengan kakak ini. Sekalipun masih letih, melihat sikap beliau memberikan saya semangat. Semoga ramai orang sepertinya. Kita semua mesti membantu orang yang mempunyai sikap yang baik ini. Mari kita doakan agar Allah memudahkan rezeki orang yang seperti ini.

Nabi s.a.w bersabda :
لأن يَحتطبَ أحدُكم حُزمَةً على ظهرِه ، خيرٌ من أن يَسألَ أَحَدًا ، فيُعطيَه أو يمنعَه

"Jika seseorang kamu mencari satu ikatan kayu api di atas belakangnya (untuk dijual) lebih baik dari dia meminta daripada orang lain, samada orang itu memberi atau tidak" (Riwayat al-Bukhari).

Semasa dalam kereta saya ambil gambar kakak ini. Gambar samar sahaja. Harap status ini tidak menyusahkan beliau. Terfikir dalam jiwa saya betapa orang sepertinya lebih mulia di sisi Allah dibandingkan saya ini. Dengan ujian Allah terhadapnya, dia berusaha sedayanya. Sementara saya dengan sedikit ujian nikmat ini, mampukah saya bersyukur kepadaNYA dalam erti yang mendalam sebagai seorang hamba Allah?!! 

Ya Allah! Ampunilah.

Kredit :  Fb DrMaza



Drama Andainya Takdir Sinopsis Kisah Benar Pesakit Mental Othello Sindrome

13 Jun 2017



Drama Andainya Takdir

"Sindrom Othello"

Fatihah dan Airil sudah berkahwin hampir 5 tahun. Telah dikurniakan seorang anak bernama Aleeya. Kehidupan mereka sekeluarga tiada yang abnormal dari keluarga biasa, kecuali sifat Airil.

Airil begitu sayangkan isterinya Fatihah, namun sayang yang ditunjukan Airil terhadap Fatihah bukan sayang yang biasa kita lihat.

Cemburu buta itu sisi buruk Airil.
Fatihah seorang isteri dan ibu yang bekerjaya. Bekerja di pejabat yang mempunyai pelbagai jantina (bukan banyak, lelaki dan perempuan).

Setiap jam Fatihah perlu 'update' dan 'report' setiap tingkahlakunya dan bersama siapa kepada Airil. Lewat seminit boleh mencetuskan kerisauan dan cubaan untuk mejadi sawan kepada Airil.

Mungkin di dalam benak Fatihah terngiang-ngian bait rangkap 'sukar tapi aku cuba' dalam rap Malique.

Jangan katakan menumpang kawan lelaki untuk balik ke rumah jika kereta Fatihah mengalami kerosakan malahan jika ada seorang lelaki berpangkat datuk (datuk cucu) cuba ditolong Fatihah melintas jalan boleh mendatangkan sakit mental terhadap sifat cemburu Airil.

Sifat cemburu Airil telah beberapa kali menyebabkan muka dan badan Fatihah menerima signal reseptor sakit menuju ke otak sudah berkali-kali, dalam bahasa mudah sudah banyak kali Fatihah dilanyak dan di tampar disulami tendangan kerana beberapa situasi tidak sengaja Fatihah bersama lelaki tidak dikenali. Dihangatkan pula oleh (bukan hotfm) dengan sifat ego ibunya di kampung yang selalu membuat perangai yang mungkin ala-ala mintak selipar bersaiz 10 di muka oleh orang ramai, sawan Airil bertambah.

Pernah terjadi apabila ada seorang lelaki 'tersalah nombor' menelefon telefon bimbit Fatihah yang sebenarnya ingin menelefon teman wanitanya, Airil yang mengangkat telefon terbabit tanpa sebarang amaran dari kerajaan Malaysia terus menerpa dan melakukan aksi sawan memukul dan menganiaya Fatihah sehingga Aleeya, anak mereka, turut mendapat tempias pukulan seorang sawan.

Bagi mereka yang baharu sahaja memiliki dekoder myfreeview tv mungkin akan rasa drama ini boleh diklasifikasikan 18SG kerana sudah memiliki siaran digital yang membolehkan lubang roma yang berdarah nampak realiti.

Memandangkan kisah di atas adalah sinopsis kepada sebuah naskah drama bulan puasa, Andainya takdir yang ditayangkan di TV3 setiap malam isnin hingga rabu 10 malam, namun kes sebegini memang bermula dengan kisah benar. Pada pandangan penulis, Fatihah minta fasakh dan habis cerita, namun demi anaknya Fatihah bertahan sebagaimana bait lirik malique dan dayang nurfahizah, pejamkan mata, mata yang lesu itu..yeaah

Cemburu tanda sayang, tapi sampai tahap menjadi sawan itu bukan sayang tapi bangang. Watak Airil dalam lakonan diatas merupakan salah satu penyakit psikologi dalam bahasa mudahnya salah satu simptom penyakit mental yang diberi nama Othello Sindrome.

Definisi

"Othello Syndrome is a type of delusional jealousy, marked by suspecting a faithful partner of infidelity, with accompanying jealousy, attempts at monitoring and control, and sometimes violence. The problem is named for Shakespeare’s Othello, who murdered his beautiful wife Desdemona because he believed her unfaithful." 
- neuroanthropology.org

Othello sindrome, juga dikenali sebagai 'morbid jealousy' merupakan contoh masalah berkaitan mental yang berasaskan kurang yakin atau mudah 'suspicious' dengan pasangan.

Simptom

Antara tanda-tanda pesakit Sindrom Othello adalah:


1. Suka menuduh pasangan suka mencari dan memberi perhatian kepada orang lain.
2. Mempersoalkan setiap gerak geri pasangan
3. Menyoal siasat segala panggilan telefon, termasuklah kes salah nombor, atau tertekan 'dial' kepada orang lain dan sesuatu yang berkaitan telefon, mesej atau whatsapp.
4. Tidak membenarkan pasangan memiliki atau menggunakan media sosial seperti Facebook, dan twitter apa lagi instagram.
5. Menyelongkar segala barangan pasangan
6. Sentiasa menayakan tempat, dengan siapa, pasangan sedang buat jika berada berjauhan.
7. Mengelakkan pasangan dari berjumpa atau pergi kepada keluarga dan kawan-kawan
8. Tidak membenarkan pasangan memiliki hobi atau keinginan yang membabitkan kawasan luar dari rumah
9. Menjadikan alasan pasangan yang ingin mengelak (selepas diberi keganasan) sebagai pasangan sudah berubah
10. Menafikan bahawa pesakit cemburu meskipun memang cemburu
11. Mengugut untuk mencederkan orang lain dan diri sendiri
12. Menyerang dari segi percakapan dan perbuatan terhadap pasangan atau orang ketika yang menyebabkan cemburu.
13. Banyak menyalahkan pasangan apabila perasaan cemburu pesakit mula timbul.

Penyakit mental seperti ini biasanya picu atau 'trigger' untuk menyebabkan adalah dalam pelbagai bentuk, dari persekitaran, pengalaman, emosi yang lemah, mungkin juga hasil pengambilan ubatan atau dadah tertentu.

Golongan ini merasakan diri kurang yakin dan merasakan mudah untuk kehilangan sesuatu. Delusi atau mudah berkhayal senang untuk mencetuskan 'sawan' cemburu ini ditambah lagi dengan hasutan persekitaran.

Dalam contoh kes Airil di atas, ibunya merupakan faktor pencetus kepada ketidakstabilan emosi Airil selain hasutan dari ahli keluarga yang lain.

Rawatan

Penyakit mental bukan seperti penyakit jangkitan biasa yang mampu dirawat apabila dirawat oleh doktor di klinik. Pesakit sindrom ini perlu mendapat rawatan psikiatri selain dari dadah yang dibernarkan bagi mengelakkan situasi yang lebih serius dari penderaan iaitu muncul kematian tidak kira terhadap pasangan mahupun orang sekekliling.
Rawatan penyakit othello biasanya memerlukan tiga kriteria ini, secara medikal (ubatan), psikologi (terapi) dan sosial (sokongan masyarakat).

Anda fikir anda tahu Drama Andainya Takdir Sinopsis Kisah Benar Pesakit Mental Othello Sindrome ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Kredit : belangtarung



Hinakah Menjadi Ibu Tunggal ?


Assalamualaikum,

Orang selalu memandang hina pada wanita yang berstatus ibu tunggal atau janda. Janda kematian suami lebih bernasib baik kerana mereka dipandang mulia oleh masyarakat. Tapi mereka yang bercerai hidup selalu dipandang hina oleh masyarakat. Mereka dihukum seolah2 mereka manusia paling hina, paling jahat, paling tidak berguna dan paling tidak ada harga diri

Ramai manusia yang berlagak seperti TUHAN. mereka fikir mereka tahu apa yang berlaku di sebalik langsir jiran mereka. Ramai yang mencemuh, "itulah, tak pandai jaga laki, dah kena cerai. itulah, garang sangat, mana tak kena cerai." Dalam tak sedar, kita telah berlagak seperti TUHAN. Walhal, kita tidak pernah tahu sudah berapa banyak airmata yang tumpah kerana terlalu takut untuk menjadi janda atau ibu tunggal. Ada yang membiarkan diri menjadi punchbag hanya kerana takut menjadi janda. 

Ada wanita yang terpaksa menyembunyikan status diri mereka sebagai ibu tunggal atau janda kerana takut dipandang serong oleh masyarakat. takut dihina oleh masyarakat, takut dikatakan perempuan gatal yang akan menggoda suami orang, takut dikatakan nak merampas suami orang. bermacam2 ketakutan termsuklah ingin menjaga nama baik bekas suami yang mungkin dipandang hebat oleh masyarakat. mungkin untuk menjaga nama baik tempat kerja suami. Tapi sampai bila kita nak bersembunyi di sebalik tabir. Kita nak menjaga nama bekas suami, dan bekas suami sedang berbahagia dengan isteri barunya. Apakah kita tidak berhak untuk mencari kebahagiaan yang dihalalkan oleh Allah?

Hina sangatkah kalau seorang ibu tunggal atau janda ingin bernikah semula? Hina sangatkah seorang janda yang inginkan seorang pelindung untuknya dan anak2? Adakah seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya adalah orang yang gagal? Adakah seorang wanita yang meminta cerai dari suaminya adalah sampah masyarakat?

Wahai semua ibu tunggal atau janda yang telah mendapat title ini kerana sebab2 yang munasabah dan dibenarkan oleh Syarak....bangunlah dari kesedihan silam. Kita berhak mencari kebahagiaan dan merasai kebahagiaan yang halal. Tak perlu takut lagi dengan ayat, "nanti apa orang kata"..tapi selalulah tanya ayat ini, "Apa Allah dan Rasul kata." saya bukan mengajar orang untuk bercerai, tapi seperti yang selalu saya katakan, bersabarlah selagi mamapu, sebab sabar itu indah. tapi jangan sampai sabar itu menjadi dosa.

Kepada mereka yang mendapat title ibu tunggal dan janda hanya kerana ingin keredhaan Allah, bangunlah dari kesedihan silam. binalah hidup yang bahagia bersama anak2 kita. dan kalau ada jodoh terimalah selepas kita beristikharah dan bermunajat memohon petunjukNYA. 

Dr fauziah bolehlah cakap pandai?

MEMANG DR FAUZIAH CAKAP PANDAI, SEBAB DR FAUZIAH JUGA ADALAH IBU TUNGGAL SEJAK 4HB JULAI 2011. HUKUMLAH SAYA SEBAGAI WANITA YANG GAGAL JIKA ITU DAPAT MENGGEMBIRAKAN ANDA. TAPI DEMI ALLAH, SAYA LEBIH BAHAGIA DAN TENANG SELEPAS BERGELAR IBU TUNGGAL . SAYA MENDAPAT HAK UNTUK HIDUP DENGAN TENANG DAN BAHAGIA SELEPAS MENJADI JANDA ANAK 5. DAN SAYA AKAN BERNIKAH SEKALI LAGI DENGAN INSAN YANG AMAT ISTIMEWA DI MATA SAYA WALAUPUN DIA CUMA SPM HOLDER. BIAR TIDAK SEKUFU' DARIPADA SEGI PENDIDIKAN, ASALKAN SAJA SEKUFU DARIPADA SEGI PEMIKIRAN DAN TUJUAN HIDUP.

LAYAKKAH SEORANG WANITA BERGELAR IBU TUNGGAL DAN JANDA INI MEMBERIKAN NASIHAT KEPADA ANDA? TEPUK DADA, TANYA IMAN DAN JAWABLAH DENGAN IKHLAS. ADAKAH ANDA AKAN TERUS MENYAYANGI DR/MADAM FAUZIAH YANG BERGELAR IBU TUNGGAL INI?

UNTUK ANAK2 IBU, MAAFKAN IBU KERANA MUNGKIN TELAH MENCONTENG ARANG DI MUKA KALIAN HARI INI, TAPI IBU SUDAH TIDAK TERDAYA MENANGGUNG SEMUA INI. IZINKANLAH IBU BERKONGSI KESEDIHAN DAN KEDUKAAN DENGAN MEREKA YANG SENASIB DENGAN IBU. MAAFKAN IBU SEKALI LAGI.

WASSALAM
Dr fauziah/madam fauziah

Kredit : fauziahmohdnoor



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.