Sejarah Ringkas Ashaari Al-Arqam Dan Mengapa Aurad Muhammadiah Diharamkan?
Pihak berkuasa telah menemui pelbagai jenis cetakan buku Zikir Agung atau Aurad Muhammadiah yang diharamkan sejak 1986. Buku-buku wirid ini masih berada di premis GISBH yang diserbu disertakan dengan jadual bacaannya sekali. Mungkin ramai yang bertanya, apakah itu Aurad Muhammadiah?
Aurad Muhammadiyah adalah wirid-wirid yang disusunkan oleh Kiyai Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi dan diamalkan oleh kumpulan tarekat Muhammadiyah.
Menurut Manaqib Sheikh Suhaimi, Sheikh Suhaimi mendakwa menerima ijazah wirid Aurad Muhammadiah dari Rasulullah di dalam Kaabah. Dia mendakwa Rasulullah menjelma di hadapannya dan mengajarnya bacaaan Aurad tersebut.
Pengikut Sheikh Suhaimi menyakini bahawa Sheikh Suhaimi ialah wali besar dan Imam Mahdi. Kepercayaan ini juga diwarisi kepada ajaran Al-Arqam, bahkan Al-Arqam menokok tambah lagi dengan pelbagai dakwaan lain menjadikan ia lebih menyimpang.
Sejarah Ringkas
Ashaari Muhammad lahir pada 1937 di kampung Pilin, Negeri Sembilan (12 tahun selepas kematian Sheikh Suhaimi). Ashaari Muhammad kali pertama Ashaari menerima (ijazah) Aurad Muhammadiah adalah daripada Lebai Ibrahim bin Alias (bapa saudaranya).
Manakala Lebai Ibrahim mempelajari Aurad Muhammadiah daripada Sheikh Suhaimi sekitar tahun 1915 di Kampung Sungai Udang, Teluk Pulai, Kelang iaitu sepuluh tahun sebelum Sheikh Suhaimi meninggal dunia (1925). Lebai Ibrahim berkawan rapat dengan Muhammad Khairullah bin Muhammad al-Suhaimi (anak Sheikh Suhaimi). Muhammad Khairullah juga merupakan guru yang mengijazahkan Aurad Muhammad kepada Lebai Ibrahim.
Ketika Ashaari menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, Lebai Ibrahim berpesan kepadanya supaya mengamalkan aurad ini setiap kali selepas menunaikan solat fardu.
Pada tahun 1956, Ashaari berkenalan dengan Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah, cucu Sheikh Suhaimi di Kampung Sungai Udang, Kelang, perhubungan rapat Ashaari dengan Muhammad Abdullah lebih kurang selama dua tahun. Dalam tempoh ini, Muhammad Abdullah menceritakan kepada Ashaari tentang sejarah Aurad Muhammadiah, perkara karomah yang ada pada Sheikh Suhaimi dan kepercayaan dia bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi.
Pada pertengahan tahun 1958, Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah mengijazahkan Aurad Muhammadiah kepada Ashaari atas permintaan Ashaari sendiri. Walaupun Ashaari telah menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, tetapi dia menerima Aurad Muhammadiah daripada Muhammad Abdullah untuk kali kedua atas dua sebab, iaitu
Pertama, terdapat perbezaan dalam isi kandungan Aurad Muhammadiah. Aurad Muhammadiah yang diterima daripada Lebai Ibrahim tidak terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi” sebelum perkataan “Khalifah Rasulillah” sedangkan dalam pengijazahan kedua yang diterima daripada Muhammad Abdullah terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi”.
Kedua, Ashaari beriman bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi berdasarkan cerita-cerita karomah yang telah disampaikan oleh cucu Sheikh Suhaimi.
Pada tahun 1968, Ashaari mula menyebar ajaran Aurad Muhammadiah melalui organisasi pertamanya iaitu Rumah Putih di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Setelah itu berubah menjadi jemaah Darul Arqam atau Al-Arqam.
Ashaari juga telah melakukan tokok tambah ke atas ajaran Aurad Muhammadiah dengan beberapa lafaz bacaan dan kepercayaan. Antaranya kepercayaan mereka Sheikh Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ashaari, Sheikh Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Tindakan Ashaari yang mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir. Mereka menggelarkan Sheikh Suhaimi dengan panggilan “Sayidi”.
Dalam Aurad Muhammad Al-Arqam, Ashaari juga telah menambah lafaz selepas “Ila hadhratin naby”:
“Kepada Abuya Sheikh Imam Ashaari bin Muhammad At-Tamimi, dan kepada Lebai Ibrahim dan khasnya kepada Sayidi Syeikh Muhammad As-Suhaimim Imamul Mahdi”
Yang mana lafaz ini tidak ada pada amalan Aurad Muhammadiah versi selain Al-Arqam.
Atas beberapa kepercayaan sesat yang penuh dengan pembohongan ini akhirnya Aurad ini telah diharamkan pada tahun 1986. Setelah itu kerajaan Malaysia telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam pada tahun 1994.
Walaupun Ashaari telah isytihar taubat secara terbuka, namun ahli Al-Arqam percaya itu hanya ucapan taqiyyah Ashaari kerana kononnya dia diancam dan dipaksa untuk membuat pengakuan taubat tersebut. Natijahnya taubat Ashaari itu tidak bernilai di sisi majoriti ahli Al-Arqam dan mereka terus mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.
Setelah Ashaari meninggal dunia pada tahun 2010. Jemaah mereka pada waktu itu Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) melalui Ummu Jah telah mendakwa Abuya tidak mati, tetapi hanya ghaib seperti ghaibnya Sheikh Suhaimi (Sayidi). Lalu Ummu Jah mendakwa roh Abuya telah bergabung dengan roh Sayidi (Sheikh Suhaimi) dan roh Rasulullah. Dari situ muncul istilah Rasulullah Sayidi Abuya atau R.S.A.
Jelas bahawa ajaran asas yang dipegang oleh Al-Arqam ini penuh dengan penyelewengan. Ia bermula dari dakwaan pengikut Sheikh Suhaimi bertemu dengan nabi dan nabi mengajar bacaan Aurad tersebut di dalam Kaabah. Ini merupakan penipuan yang sangat jelas, menipu atas nama nabi dan menipu orang ramai. Wirid itu hanyalah rekaan Sheikh Suhaimi dan bukannya datang dari Nabi.
Ditambah pula dengan dakwaan kesesatan Abuya Ashaari mengatakan Sheikh Suhaimi tidak mati tetapi hanya ghaib. Selepas itu ditambah pula dengan dakwaan isteri Abuya, Ummu Jah setelah Abuya meninggal dia mengulangi dakwaan yang sama iaitu Abuya tidak mati tetapi hanya ghaib.
Begitulah kesesatan ke atas kesesatan yang semakin parah di dalam jemaah ini. Sehingga kini, amalan dan kepercayaan ini masih wujud di dalam kelompok GISBH. Bacaan dan ajaran Aurad Muhammadiah masih diteruskan. Pihak berkuasa juga telah menemui buku-buku Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan ini digunakan sehingga sekarang.
Selama mana lagi umat Islam perlu berdepan dengan taqiyyah jemaah ini?
Kepercayaan Disebalik Bulu Abuya Faktor Janggut & Rambutnya Dicukur Sewaktu Tahanan ISA
Pada tahun 1994, negara telah digemparkan dengan berita pengharaman Al-Arqam dan penangkapan pemimpin Al-Arqam. Mereka dikenakan tahanan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ketika tahanan itu, Abuya Ashaari ditampilkan ke khalayak ramai dengan keadaan janggut, misai dan rambutnya yang telah dicukur. Pada masa yang sama Abuya mengucapkan pengakuan taubatnya dengan berjanji akan meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah dan sebarang fahaman menyeleweng.
Terdapat faktor penting mengapa pihak berkuasa memotong janggut dan rambut Abuya Ashaari pada ketika itu. Itu merupakan satu cara pihak berkuasa memecahkan kepercayaan karut dan penipuan yang berlaku dalam jemaah tersebut.
Ini kerana dalam jemaah Al-Arqam pada ketika itu mempercayai bahawa Abuya tidak akan ditangkap dan disentuh oleh musuh walau sehelai bulu romanya.
Kepercayaan ini muncul disebalik pembohongan yang direka oleh Azura Mohd Yusof isteri kepada Nasiruddin Ali. pada waktu itu, Azura mengaku dia telah yaqazah dengan Nabi Muhammad pada setiap malam bersama dengan Abuya. Kononnya dia menjadi perantaraan dan dirasuk roh Nabi Muhammad ke dalam jasadnya lalu bercakap dengan Abuya Ashaari mewakili pihak Nabi Muhammad.
Melalui pembohongan percakapan Azura dalam majlis yaqazah itu telah muncul ramalan-ramalan akan datang bahawa Abuya akan memimpin nusantara dan menjadi tentera Imam Mahdi melalui cara akan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia dan sekaligus presiden Indonesia.
Pada masa sama, Azura mengatakan “Abuya tidak akan ditangkap dan disentuh (diusik) oleh musuh walau sehelai bulu roma.”
Oleh itu, pihak berkuasa mengambil tindakan untuk mencukur bulu Abuya bukan tujuan untuk mengambil berkat, tetapi kerana kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menghancurkan kepercayaan dan pegangan karut jemaah Al-Arqam pada waktu itu. Hasil perbuatan itu, ia berjaya membuatkan ramai ahli Al-Arqam meninggalkan jemaah kerana merasa tertipu dengan pembohongan yang dibuat atas nama agama. Ini kerana bukan sahaja Abuya ditangkap malah bulunya juga dicukur.
Untuk kes GISBH yang terkini, terdapat beberapa tindakan seperti ini perlu dilakukan selain perlu menjalani istitabah untuk pemulihan. Antaranya perlu buktikan bahawa GISBH tidak lagi beriman dengan dakwaan Ummu Jah untuk menjadikan kedua anak perempuannya iaitu Fatimah dan Fathiyyah sebagai bakal isteri Imam Mahdi dan Nabi Isa. Perlu segara kahwinkan mereka berdua dan rombak kepercayaan kemahdian Sheikh Suhaimi.
Kedua, buang gelaran At-Tamimi pada semua keluarga Abuya Ashaari. Jika nama gelaran itu telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, mohon agar dibenarkan pertukaran nama untuk membuang gelaran tersebut. Ini kerana keluarga Abuya bukan keturunan bani Tamim dan nasab itu direka secara palsu untuk mensabitkan dirinya sebagai kabilah keluarga yang akan menjadi tentera Imam Mahdi. Gelaran At-Tamimi pada dirinya itu merupakan doktrin ajaran sesat yang dibawa oleh Abuya selama ini. Jika benar mereka bertaubat, maka hapuskan gelaran ini dan tidak boleh kaitkan keluarga mereka dengan bani Tamim.
Dua perkara ini melibatkan kepercayaan sesat yang diwarisi sejak dulu lagi. Oleh itu, ia perlu dipecahkan agar tidak lagi diwarisi pada masa akan datang.


No comments
Post a Comment