SLIDER

hamba
Showing posts with label hamba. Show all posts

Nama-Nama Ajaran Sesat Dan Kenali Bentuk Serta Ciri-Ciri AJARAN SESAT

27 Sept 2024



Hari ini ajaran sesat telah menjadi satu perkara yang sangat membimbangkan dan ia perlu di hapuskan sehingga tiada lagi saki baki fahaman tersebut, malah tidak boleh diberi ruang serta peluang untuk ajaran tersebut muncul kembali.



KONFLIK MASYARAKAT BERKAITAN PEMAHAMAN AJARAN SESAT

Terdapat segelintir masyarakat yang masih keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan ajaran sesat, bahaya dan ciri-cirinya kepada umat Islam terutamanya kepada golongan muda.

Takrif ajaran sesat yang diguna pakai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada masa ini adalah “sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah (iaitu Hadith sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”.


Mengikut kata-kata bekas Mufti Mesir Syeikh Ali Jumuah bahawasanya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah itu ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup baginda dan para sahabat terutamanya khulafa ar-Rasyidin mengenai akidah, syariah serta akhlak yang dibawa sejak zaman Nabi SAW dan sahabat baginda.

KETAHUILAH BENTUK DAN CIRI-CIRI AJARAN SESAT

Terdapat ajaran, fahaman dan penafsiran yang jelas menyalahi Syariat Islamdalil-dalil agama yang jelas, serta menyalahi metodologi serta kaedah-kaedah yang disepakati ulama’ muktabar. Sebagai panduan umum berkaitan ciri-ciri ajaran sesat, terdapat beberapa ciri utama yang ada pada ajaran sesat yang perlu didedahkan kepada masyarakat agar mereka lebih cakna dan sentiasa berwaspada dengan ajaran-ajaran yang menyesatkan ini. Berikut adalah perinciannya:



CIRI-CIRI UTAMA AJARAN SESAT IALAH :

  1. Ajaran ini akan mudah mempersenda, menghina, mengubah, menambah, meminda serta menafikan keaslian al-Quran yang sedia ada dan ingkar dengan isi kandungan al-Quran serta menafsirkan daripada mana-mana ayat al-Quran dengan sendiri.
  2. Terdapat unsur-unsur mempersenda, menghina dan ingkar serta menidakkan syariat Nabi Muhammad SAW sama ada melalui percakapan dan perbuatan serta i’tikad di dalam hati.
  3. Mencela dan mengkafirkan ahli keluarga serta sahabat – sahabat Rasulullah SAW.
  4. Berselindung di sebalik ayat-ayat suci al-Quran dan hadis yang akhirnya menyebabkan ramai orang terkeliru tentang perkara-perkara ghaib.
  5. Terdapat ketua kumpulan yang akan memperdaya dan mempergunakan pengikut agar mengumpul serta menyerahkan semua harta seperti kereta, rumah, wang ringgit sehinggakan sanggup menyerahkan diri, keluarga dan membayar zakat kepada ketua kumpulan.
  6. Ketua ajaran mengaku sebagai Imam Mahdi dengan mengaitkan wujud persamaan di antara ciri-ciri Imam Mahdi dengan diri ketua ajaran tersebut.
  7. Sentiasa mendakwa bahawa terdapat persamaan dari sudut pengamalan di antara agama Islam dengan agama lain, dengan mendakwa tiada bezanya agama Islam dan agama selain Islam.
  8. Menjadikan amalan tarekat sebagai salah satu modus operandi dalam mencari pengikut dan pengaruh bagi mengaburi mata masyarakat dan mengamalkan wirid-wirid tertentu untuk mencapai maqam tertentu. Ternyata perbuatan ini adalah sebagai satu muslihat bagi mempengaruhi mangsa.


Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini tercabar kerana wujudnya pengaruh yang   cuba memesongkan akidah umat Islam. Perkara ini berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW  hinggalah kepada zaman kini dan umat Islam tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu  penyelewengan akidah dan penyebaran ajaran sesat. Penyebaran ajaran sesat mungkin dapat  dikekang jika  setiap  individu  Muslim  berwaspada  dan meningkatkan  pengetahuan  agama  serta mengetahui ciri-ciri ajaran sesat itu sendiri menerusi cara yang betul serta  mengelak diri daripada   dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang  kebanyakannya mempunyai agenda peribadi. Allah SWT menyebut melalui firman-NYA :

                      يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ

Maksudnya : Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darajat.

(Surah al-Mujadalah : 11)


Justeru, marilah kita bersama-sama memenuhkan dada dengan ilmu yang benar agar segala kejahatan berkaitan ajaran sesat ini dapat dielakkan dan kehidupan kita mendapat eredhaan Allah SWT.

Kerjasama masyarakat  amat diharapkan untuk menyalurkan maklumat dan apa-apa  aktiviti yang mencurigakan melalui saluran rasmi hotline 24 jam, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor 1 800 88 2424.



Kredit : MAIS.gov.my

Sejarah Ringkas Ashaari Al-Arqam Dan Mengapa Aurad Muhammadiah Diharamkan?

25 Sept 2024


Pihak berkuasa telah menemui pelbagai jenis cetakan buku Zikir Agung atau Aurad Muhammadiah yang diharamkan sejak 1986. Buku-buku wirid ini masih berada di premis GISBH yang diserbu disertakan dengan jadual bacaannya sekali. Mungkin ramai yang bertanya, apakah itu Aurad Muhammadiah?
Aurad Muhammadiyah adalah wirid-wirid yang disusunkan oleh Kiyai Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi dan diamalkan oleh kumpulan tarekat Muhammadiyah.
Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi berasal Wonosobo, Jawa Tengah dan dia meninggal dunia di Kelang pada tahun 1925.
Menurut Manaqib Sheikh Suhaimi, Sheikh Suhaimi mendakwa menerima ijazah wirid Aurad Muhammadiah dari Rasulullah di dalam Kaabah. Dia mendakwa Rasulullah menjelma di hadapannya dan mengajarnya bacaaan Aurad tersebut.
Pengikut Sheikh Suhaimi menyakini bahawa Sheikh Suhaimi ialah wali besar dan Imam Mahdi. Kepercayaan ini juga diwarisi kepada ajaran Al-Arqam, bahkan Al-Arqam menokok tambah lagi dengan pelbagai dakwaan lain menjadikan ia lebih menyimpang.
Sejarah Ringkas
Ashaari Muhammad lahir pada 1937 di kampung Pilin, Negeri Sembilan (12 tahun selepas kematian Sheikh Suhaimi). Ashaari Muhammad kali pertama Ashaari menerima (ijazah) Aurad Muhammadiah adalah daripada Lebai Ibrahim bin Alias (bapa saudaranya).
Manakala Lebai Ibrahim mempelajari Aurad Muhammadiah daripada Sheikh Suhaimi sekitar tahun 1915 di Kampung Sungai Udang, Teluk Pulai, Kelang iaitu sepuluh tahun sebelum Sheikh Suhaimi meninggal dunia (1925). Lebai Ibrahim berkawan rapat dengan Muhammad Khairullah bin Muhammad al-Suhaimi (anak Sheikh Suhaimi). Muhammad Khairullah juga merupakan guru yang mengijazahkan Aurad Muhammad kepada Lebai Ibrahim.
Ketika Ashaari menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, Lebai Ibrahim berpesan kepadanya supaya mengamalkan aurad ini setiap kali selepas menunaikan solat fardu.
Pada tahun 1956, Ashaari berkenalan dengan Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah, cucu Sheikh Suhaimi di Kampung Sungai Udang, Kelang, perhubungan rapat Ashaari dengan Muhammad Abdullah lebih kurang selama dua tahun. Dalam tempoh ini, Muhammad Abdullah menceritakan kepada Ashaari tentang sejarah Aurad Muhammadiah, perkara karomah yang ada pada Sheikh Suhaimi dan kepercayaan dia bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi.
Pada pertengahan tahun 1958, Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah mengijazahkan Aurad Muhammadiah kepada Ashaari atas permintaan Ashaari sendiri. Walaupun Ashaari telah menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, tetapi dia menerima Aurad Muhammadiah daripada Muhammad Abdullah untuk kali kedua atas dua sebab, iaitu
Pertama, terdapat perbezaan dalam isi kandungan Aurad Muhammadiah. Aurad Muhammadiah yang diterima daripada Lebai Ibrahim tidak terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi” sebelum perkataan “Khalifah Rasulillah” sedangkan dalam pengijazahan kedua yang diterima daripada Muhammad Abdullah terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi”.
Kedua, Ashaari beriman bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi berdasarkan cerita-cerita karomah yang telah disampaikan oleh cucu Sheikh Suhaimi.
Pada tahun 1968, Ashaari mula menyebar ajaran Aurad Muhammadiah melalui organisasi pertamanya iaitu Rumah Putih di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Setelah itu berubah menjadi jemaah Darul Arqam atau Al-Arqam.
Ashaari juga telah melakukan tokok tambah ke atas ajaran Aurad Muhammadiah dengan beberapa lafaz bacaan dan kepercayaan. Antaranya kepercayaan mereka Sheikh Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ashaari, Sheikh Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Tindakan Ashaari yang mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir. Mereka menggelarkan Sheikh Suhaimi dengan panggilan “Sayidi”.
Dalam Aurad Muhammad Al-Arqam, Ashaari juga telah menambah lafaz selepas “Ila hadhratin naby”:
“Kepada Abuya Sheikh Imam Ashaari bin Muhammad At-Tamimi, dan kepada Lebai Ibrahim dan khasnya kepada Sayidi Syeikh Muhammad As-Suhaimim Imamul Mahdi”
Yang mana lafaz ini tidak ada pada amalan Aurad Muhammadiah versi selain Al-Arqam.
Atas beberapa kepercayaan sesat yang penuh dengan pembohongan ini akhirnya Aurad ini telah diharamkan pada tahun 1986. Setelah itu kerajaan Malaysia telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam pada tahun 1994.
Walaupun Ashaari telah isytihar taubat secara terbuka, namun ahli Al-Arqam percaya itu hanya ucapan taqiyyah Ashaari kerana kononnya dia diancam dan dipaksa untuk membuat pengakuan taubat tersebut. Natijahnya taubat Ashaari itu tidak bernilai di sisi majoriti ahli Al-Arqam dan mereka terus mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.
Setelah Ashaari meninggal dunia pada tahun 2010. Jemaah mereka pada waktu itu Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) melalui Ummu Jah telah mendakwa Abuya tidak mati, tetapi hanya ghaib seperti ghaibnya Sheikh Suhaimi (Sayidi). Lalu Ummu Jah mendakwa roh Abuya telah bergabung dengan roh Sayidi (Sheikh Suhaimi) dan roh Rasulullah. Dari situ muncul istilah Rasulullah Sayidi Abuya atau R.S.A.
Jelas bahawa ajaran asas yang dipegang oleh Al-Arqam ini penuh dengan penyelewengan. Ia bermula dari dakwaan pengikut Sheikh Suhaimi bertemu dengan nabi dan nabi mengajar bacaan Aurad tersebut di dalam Kaabah. Ini merupakan penipuan yang sangat jelas, menipu atas nama nabi dan menipu orang ramai. Wirid itu hanyalah rekaan Sheikh Suhaimi dan bukannya datang dari Nabi.
Ditambah pula dengan dakwaan kesesatan Abuya Ashaari mengatakan Sheikh Suhaimi tidak mati tetapi hanya ghaib. Selepas itu ditambah pula dengan dakwaan isteri Abuya, Ummu Jah setelah Abuya meninggal dia mengulangi dakwaan yang sama iaitu Abuya tidak mati tetapi hanya ghaib.
Begitulah kesesatan ke atas kesesatan yang semakin parah di dalam jemaah ini. Sehingga kini, amalan dan kepercayaan ini masih wujud di dalam kelompok GISBH. Bacaan dan ajaran Aurad Muhammadiah masih diteruskan. Pihak berkuasa juga telah menemui buku-buku Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan ini digunakan sehingga sekarang.
Selama mana lagi umat Islam perlu berdepan dengan taqiyyah jemaah ini?





Kepercayaan Disebalik Bulu Abuya Faktor Janggut & Rambutnya Dicukur Sewaktu Tahanan ISA
Pada tahun 1994, negara telah digemparkan dengan berita pengharaman Al-Arqam dan penangkapan pemimpin Al-Arqam. Mereka dikenakan tahanan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ketika tahanan itu, Abuya Ashaari ditampilkan ke khalayak ramai dengan keadaan janggut, misai dan rambutnya yang telah dicukur. Pada masa yang sama Abuya mengucapkan pengakuan taubatnya dengan berjanji akan meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah dan sebarang fahaman menyeleweng.
Terdapat faktor penting mengapa pihak berkuasa memotong janggut dan rambut Abuya Ashaari pada ketika itu. Itu merupakan satu cara pihak berkuasa memecahkan kepercayaan karut dan penipuan yang berlaku dalam jemaah tersebut.
Ini kerana dalam jemaah Al-Arqam pada ketika itu mempercayai bahawa Abuya tidak akan ditangkap dan disentuh oleh musuh walau sehelai bulu romanya.
Kepercayaan ini muncul disebalik pembohongan yang direka oleh Azura Mohd Yusof isteri kepada Nasiruddin Ali. pada waktu itu, Azura mengaku dia telah yaqazah dengan Nabi Muhammad pada setiap malam bersama dengan Abuya. Kononnya dia menjadi perantaraan dan dirasuk roh Nabi Muhammad ke dalam jasadnya lalu bercakap dengan Abuya Ashaari mewakili pihak Nabi Muhammad.
Melalui pembohongan percakapan Azura dalam majlis yaqazah itu telah muncul ramalan-ramalan akan datang bahawa Abuya akan memimpin nusantara dan menjadi tentera Imam Mahdi melalui cara akan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia dan sekaligus presiden Indonesia.
Pada masa sama, Azura mengatakan “Abuya tidak akan ditangkap dan disentuh (diusik) oleh musuh walau sehelai bulu roma.”
Oleh itu, pihak berkuasa mengambil tindakan untuk mencukur bulu Abuya bukan tujuan untuk mengambil berkat, tetapi kerana kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menghancurkan kepercayaan dan pegangan karut jemaah Al-Arqam pada waktu itu. Hasil perbuatan itu, ia berjaya membuatkan ramai ahli Al-Arqam meninggalkan jemaah kerana merasa tertipu dengan pembohongan yang dibuat atas nama agama. Ini kerana bukan sahaja Abuya ditangkap malah bulunya juga dicukur.
Untuk kes GISBH yang terkini, terdapat beberapa tindakan seperti ini perlu dilakukan selain perlu menjalani istitabah untuk pemulihan. Antaranya perlu buktikan bahawa GISBH tidak lagi beriman dengan dakwaan Ummu Jah untuk menjadikan kedua anak perempuannya iaitu Fatimah dan Fathiyyah sebagai bakal isteri Imam Mahdi dan Nabi Isa. Perlu segara kahwinkan mereka berdua dan rombak kepercayaan kemahdian Sheikh Suhaimi.
Kedua, buang gelaran At-Tamimi pada semua keluarga Abuya Ashaari. Jika nama gelaran itu telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, mohon agar dibenarkan pertukaran nama untuk membuang gelaran tersebut. Ini kerana keluarga Abuya bukan keturunan bani Tamim dan nasab itu direka secara palsu untuk mensabitkan dirinya sebagai kabilah keluarga yang akan menjadi tentera Imam Mahdi. Gelaran At-Tamimi pada dirinya itu merupakan doktrin ajaran sesat yang dibawa oleh Abuya selama ini. Jika benar mereka bertaubat, maka hapuskan gelaran ini dan tidak boleh kaitkan keluarga mereka dengan bani Tamim.
Dua perkara ini melibatkan kepercayaan sesat yang diwarisi sejak dulu lagi. Oleh itu, ia perlu dipecahkan agar tidak lagi diwarisi pada masa akan datang.
Kita doakan agar Allah memberikan taufiq dan hidayahNya kepada mereka agar dapat terhindar daripada kesesatan yang berulang.

Kredit : PUKAS-1
Kredit : PUKAS-2

Kronologi GISBH Sehingga 21 September 2024

21 Sept 2024

 



Berikut kronologi kes itu setakat hari ini :


16 Ogos – Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku dalam GISBH.

6 Sept – Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman rasmi Facebooknya membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang dikaitkan dengan GISBH yang memerlukan siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.

11 Sept – Polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media di Kuantan, Pahang, berhubung operasi pada awal pagi itu.

Beliau mendedahkan keseluruhan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas saringan dibuat.

Baki 392 menjalani ujian saringan kesihatan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

GISBH mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan menyatakan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak.

12 Sept – Proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan diteruskan di Pulapol Kuala Lumpur.

Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISBH. Tertuduh mengaku tidak bersalah.

13 Sept – Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media kedua berhubung kes itu dan mendedahkan sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISBH diterima sejak 2011 hingga September tahun ini.

Seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran reman, selebihnya di bawah umur tiada keperluan disiasat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal akidah, salah guna kuasa dan agama serta penderaan kanak-kanak perkara serius yang perlu ditangani segera.

14 Sept – Sidang media ketiga Ketua Polis Negara yang menyatakan serbuan terhadap 20 rumah amal melalui Op Global itu adalah hasil risikan dan siasatan polis selama enam bulan.

Siasatan terhadap syarikat itu bagaimanapun telah dijalankan sejak 2011 dan polis telah bertemu dengan wakil PUKAS enam bulan lepas.

15 Sept – Polis mengesahkan 483 individu telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, saksi, mangsa dan suspek.

Seramai 384 kanak-kanak dan remaja selesai menjalani saringan kesihatan dan hasil saringan itu mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan.

17 Sept – Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 96 akaun milik GISBH dibekukan, serta empat akaun ditutup melibatkan aset bernilai lebih RM581,000.

Keseluruhan 392 mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global selesai jalani saringan kesihatan, elemen jenayah fizikal dan emosi dikesan.

Tiga kertas siasatan berhubung Op Global dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

18 Sept – Seorang ahli perniagaan yang juga anggota GISBH, Mohamad Riza Makar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 Sept lepas.

19 Sept – 19 individu termasuk pengurusan tertingggi, isteri serta beberapa pemimpin GISBH direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah, yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023. Mereka mengaku tidak bersalah.

20 Sept – Tujuh lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang. Mereka termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad yang merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH.

Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban dan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

21 Sept – Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi yang disertai JAKIM itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.

Di Pulau Pinang, empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak dipercayai berkaitan dengan GISBH diserbu dan polis merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Di Melaka, sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran Al-Arqam termasuk gambar pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad yang turut dikenali sebagai Abuya ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISBH.

Di Kelantan,  tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISBH di Kampung Panji diserbu dan pelbagai jenis buku serta dokumen berkaitan GISBH ditemukan ditanam di tepi pinggir sungai selain ada yang turut dibakar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.



Kredit : Bernama

Kredit : MKN

Pukau Sebelum Dirogol

8 Mar 2023


Sedihnyer mbaca kisah nie.........prmpuan baik, dirosakkan lelaki jahat. Bila lelaki baik, prmpuan jahat pula menggoda. Ingatlah, Murka & laknat Allah akan sentiasa mengiringi mereka² yg menjahanamkn hidup org lain selagi mereka tidak meminta ampun dan bertaubat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Seperti mana yang diceritakan oleh Hana, 17, (bukan nama se­benar), seorang pelajar ting­katan lima dari sebuah sekolah di utara tanah air kepada warta­wan Warta Perdana, M Ilham Arief.


KALAU orang tak tahu cerita sebenar sudah tentu mereka tuduh saya anak yang tak tahu jaga maruah mak bapa. Sudah tentu mereka tuduh saya perempuan tidak bermaruah. Percayalah, apa yang berlaku ini bukan atas kehendak saya. Malah, saya sendiri tidak kenal lelaki bertopeng yang telah meragut kesucian saya. Terlalu berat hendak saya tanggung ujian ini, tapi apa boleh buat semuanya sudah ditakdirkan Allah.

Kalau ikutkan hati saya boleh jadi gila dibuatnya. Saya bersyukur kerana masih lagi memiliki iman yang kuat, walaupun apa yang saya alami ujian ini terlalu pahit untuk saya telan. Hanya air mata menjadi teman setia. Setiap malam saya menangis menge­nangkan apa yang berlaku. Mengapa Allah pilih saya menerima ujian ini?


Persoalan itu sering menerjah fikiran. Namun saya gagal mencari jawapannya. Akhirnya saya reda dengan apa yang berlaku. Mungkin ujian yang saya terima ini ada hikmah yang tersembunyi.Saya kini mengandung lapan bulan akibat perbuatan lelaki jahanam yang tidak dikenali.


Sebelum peristiwa hitam itu berlaku Oktober tahun lalu, saya menunggang motosikal bersendirian seperti biasa dari sekolah untuk pulang ke rumah. Rumah saya jauh di pedalaman dan saya terpaksa melalui belukar dan hutan kecil. Tiba di pertengahan jalan saya dihalang oleh seorang lelaki bertopeng. Dengan kasar dia mengarahkan saya memberhentikan motosikal. 


Mulanya saya tak endahkan arahannya. Saya cuba pecut motosikal, namun dia begitu sadis. Dengan berani dia meng­halang laluan. Sebaik saja memberhentikan motosikal fikiran saya terus melayang entah ke mana. Saya langsung tak ingat apa-apa.

Dalam keadaan fikiran yang bercelaru itu saya diheret lelaki jahanam itu ke dalam semak berdekatan. Mulanya saya melawan namun fikiran saya semakin tidak keruan. Penglihatan saya semakin kabur. Selepas itu saya langsung tidak sedar apa-apa.


Bila sedar, saya dapati tubuh saya dalam keadaan berbogel tanpa seurat benang. Semua pakaian sekolah saya berlonggok di sebelah saya.


Ya Allah… apa yang telah berlaku? Saya melihat sekeliling, namun tidak ada sesiapa selain belukar dan pohon kayu. Saya lantas menjerit meminta tolong, namun sia-sia. Hanya unggas dan serangga saja menyahut.


Barulah saya tahu, rupa-rupanya saya telah dipukau oleh lelaki bertopeng itu sebelum dia perkosa saya. Apa lagi yang mampu saya lakukan selain menangis semahu-mahunya sebelum memakai semula pakaian saya.


Walaupun telah dinodai, namun saya tetap merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan kedua ibu bapa. Lagipun saya yakin tidak akan mengandung dengan hanya sekali saja tubuh saya disentuh oleh lelaki. Saya meneruskan persekolahan seperti biasa, walaupun fikiran saya sentiasa tertekan dan sering mengasingkan diri daripada rakan-rakan.


Beberapa rakan perasan perubahan saya secara mendadak itu. Mereka tahu perangai saya sebelum ini tidak begitu. Sama ada di sekolah atau di rumah saya mulai menjadi seorang pendiam. Ibu, ayah serta adik-beradik lain hairan dengan perubahan saya.

Tanpa disangka setelah kandungan saya mencecah lima bulan perubahan fizikal saya berlaku secara mendadak. Barulah saya tahu rupa-rupanya saya sudah mengandung.


Ibu semakin pelik melihat perubahan pada tubuh saya. Akhirnya pada satu malam ibu menyoal saya kerana dia tidak puas hati melihat bentuk tubuh saya macam orang mengandung. Tanpa banyak soal, saya mengaku bahawa saya mengandung. Tapi saya tegaskan ia bukan atas kerelaan saya. Saya ceritakan peristiwa sebenar yang berlaku ke atas saya.


Ibu sungguh terkejut. Dia menangis teresak-esak kerana saya menerima padah atas perbuatan orang lain. Ibu percaya saya tak akan buat kerja gila itu kerana dia tahu saya seorang anak yang taat kepada suruhan Allah dan suka mengaji Quran.


Setelah kandungan mencecah enam bulan ibu dan bapa mengambil keputusan menghantar saya ke Kem Modal Insan Kewaja (KEWAJA) sebagai persiapan untuk bersalin. Perbuatan kejam lelaki durjana itu tidak akan saya lupa sehingga ke akhir hayat. Walaupun dia kini terlepas dari pembalasan dunia, tapi di akhirat kelak sudah pasti dia akan menerima azab pedih dari Allah.


Jika tidak kerana perbuatan lelaki durjana itu sudah tentu saya kini sibuk membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini.Selepas bersalin nanti saya tekad akan menyambung semula pelajaran. Anak yang bakal lahir ini akan dijaga oleh keluarga saya. Syukur, mereka setuju menjaganya.


Terima kasih mak, ayah kerana memahami kesengsaraan saya!”




Disantau Rakan-rakan Perniagaan yang Cemburu Dengan Kejayaan Diri

7 Jul 2017



Bismillah, dengan ini saya nak share pengalaman saya kena santau dan disihir. Cerita ini tidak dituju kepada siapa siapa tapi sekadar memperingati semua orang disamping menyucikan hati masing masing. Mohon doa bagi saya. Sedikit panjang, moga moga bermanfaat.

Sebelum ini saya hanyalah biasa biasa saja, student medic yang tiada apa apa. Akhir tahun 2015 saya mula melibatkan diri secara serius dalam bidang perniagaan. Saya bangunkan brand kecantikan sendiri, FURAIHA. Allah bagi rezeki kepada saya Alhamdulillah produk FURAIHA cepat mendapat tempat di hati pengguna. Brand dan team kami tersebar dengan sangat cepat, Allah bantu Alhamdulillah, tapi tak ramai yang senang hati.

Awal tahun 2016, saya pulang ke Mesir untuk ambil exam medic yang saya dah pending lama. Masa ni semua orang tegur saya, Fara kenapa muka burn hitam. Nak fikirkan logik, tak patut jadi hitam sebab saya berniqab. Lama lama saya perasan, muka saya jadi macam hangus walaupun bahagian kulit lain putih. Tak logik, tapi saya tak fikir pelik pelik.

Tak lama lepastu kulit muka saya macam allergik dalam satu malam, naik macam macam. Takde tempat yang bersih, semua macam rashes. Semua orang tegur kenapa muka saya macamtu, padahal dulu licin bersih putih. Owner produk kot, takkan muka camtu. Okay, saya layan je lagi sebab saya seorang yang positif.

Disebabkan saya berniqab, saya minta adik saya jadi face of FURAIHA. Kulit muka adik saya Erin, MasyaAllah memang cantik tanpa sebarang cela. Tapi lepas dua tiga bulan produk kami meletup, muka dia start naik macam macam. Sampai satu tahap dah macam berulat walau bahagian kulit lain cantik je.

Saya dah istighfar, saya tak expect santau tapi saya cuma anggap itu ain sahaja. Mula mula masih dalam denial state, saya ingatkan adik saya allergik seafood ke apa kan, rupanya santau. Allah. Saya balik Malaysia bulan 3, jalani hidup macam biasa. Sehinggalah waktu kemuncak bulan 8 saya dah tak tahu apa yang kena dengan diri saya.

Saya dah macam tak terurus. Nafsu saya hanya nak tidur sahaja. Hidup saya tak terurus. Saya tak boleh makan, nafsu saya diikat, walau lapar gila saya hanya mampu makan 2,3 mulut sahaja. Sedih. Saya lost weight sangat drastik. Berpuluh kilo. Muka saya takde seri, macam ada sesuatu yang halang di muka.

Waktu ni saya dah mula sakit teruk tapi saya masih belum tahu yang saya disantau. Saya dah mula lupa macam macam, otak saya dah affected. Biasalah sihir, macam virus lama lama dia makan ingatan. Sebabtu ada tahap boleh jadi gila jika kita biarkan. Waktu ni saya dah tak ingat hari apa, saya tak tahu ini siang ke malam. Sebab saya tidur pun kadang kadang sampai 2-3 hari straight. Tak makan tak apa.

Bahkan saya nak congak kira 5+5 pun saya terpaksa pakai kalkulator. Fikiran saya dah tak berfungsi normal. Tapi rezeki kan, Allah murahkan rezeki saya. Duit dalam akaun tak terjejas bahkan makin bertambah. Bisnes saya stay Alhamdulillah, cuma saya sahaja berperang bagai nak mati. Sehinggalah satu hari, saya post jari saya pakai cincin cantik sangat di fb. Masa ni saya dah kurus gila. Saya terima satu pm dari seorang ustaz perawat. Dia bagitau yang saya sakit dan minta saya segera berubat. Saya masih tak percaya dan minta dia jelaskan.

Bila saja dah ada orang suruh saya berubat, jin jin ni dah mula marah dan mula appear depan kita. By times, saya lihat kain kapan terbang, orang main guli, pocong dll. You name it semua dah tengok. Saya jumpa paku, saya jumpa macam macam benda pelik. Saya terima kiriman pelik pelik dari courier. Masa ni saya sangat sakit, setiap selepas asar dorang tikam tikam bahu dan rahim saya. Pinggang sakit gila macam nak patah. Kepala dorang buat sakit sampai makan panadol sepapan pun takde kesan.

Saya tidur dengan air mata, sakitnya terlampau. Tak boleh nak cerita, derita sangat. Satu hari tengah saya duduk bersila, dorang tarik kaki saya ke atas dan patahkan sampai bunyi 'krukk'. Dan di sendi sendi dan lutut dorang duduk dan tinggal. Sakit sangat, akhirnya berbulan saya tak boleh jalan sebab dorang dah berumah dalam tu. Nak bagi lumpuh. Saja dorang attack kaki supaya saya tak boleh kerja dan pending segala urusan. Dorang hidup di setiap sendi dalam badan.

Kalau nak berjalan tak boleh berdiri sebab tumit ni bagai kena tusuk paku, jarum dan pisau. Sakit gila, muntah santau angin, muntah kaca. Sebijik macam mayat hidup. Sampai satu tahap, rumah saya yang 3 tingkat banyak bilik. Kami sekeluarga hanya tinggal dan duduk sebilik sahaja. Semua tidur sebilik dan lain lain semua dibiarkan kosong.

Kenapa? Sebab rumah dah macam rumah hantu. Macam macam ada, dengan macam macam bunyi dan rupa. Bunyi burung gagak dan macam macam. Macam macam yang saya jumpa, macam macam mimpi yang datang dan bermacam benda dah jumpa, bola api dan lain lain. Ianya satu dunia, beyond normal. Saya berubat dengan tak tahu berapa ramai ustaz dah. Habis dah berpuluh ribu. Sampaikan ustaz ustaz yang rawat saya kebanyakkan angkat bendera putih, give up. Sebab kes saya ni terlalu berat. Tak padan dengan dorang, kalau dorang bantu juga nanti sakit dorang dan family.

Ustaz ustaz cakap saya berada di skala 9.5 daripada 10. Biasanya kalau 10 orang tu dah mati huhu. Tapi Allah masih bagi panjang umur sehingga hari ini. Tujuan orang orang yang buat saya cuma nak saya mati, bisnes saya lingkup dan saya hilang terus dari dunia. Bukan sorang yang buat saya tapi sangat ramai. Setiap dari mereka saya tahu siapa. Allah bukakan bila lama lama kita ikhlas beramal, Allah zahirkan. Semuanya perempuan. Hamba Allah. Biasanya orang yang tak puas hati dengan kita adalah orang yang rapat dengan kita, tahu financial kita, tahu keadaan kita.

Bila saya tahu siapa, saya frust. Sebab saya sangat baik dengan dorang, dorang ni orang dihormati, orang hebat, naik hotseat, ada pengikut dan saya tak pernah buat jahat dengan dorang. Saya frust sebab tak sangka sampai tahap ni orang nak saya lingkup dan mati. Mereka berhabisan bukan sikit malah cecah sampai ratus ribu dengan main sihir. Muka dorang pun cantik sebab susuk, produk nak laju main pelaris. Tak semua macam ni, masih ada yang berbisnes patuh syariah dan takutkan Allah.

Rambut saya gugur sangat banyak, muka saya berubah warna setiap hari. Sekejap hitam, sekejap biru, sekejap pucat macam mayat, sekejap kuning macam sami. Dorang nak buat saya jadi buruk supaya siapa yang jumpa saya akan fikir, ehhh ini ke founder produk. Mereka ini orang yang tidak percayakan rezeki dan sanggup syirik dengan Allah demi dunia yang sementara. Jangan ingat kedai je ada pelaris, produk pun ada pelaris, muka boleh pakai susuk dan nak jadi public figure nak orang tunduk pun boleh.

Sebelum saya mula bisnes dan waktu saya minta izin Syeikh saya, dan kasyafnya syeikh dah cakap ini akan berlaku. Perempuan ni sangat emosi jadi mereka senang hasad. Dalam neraka pun sangat banyak perempuan.Kalau lelaki jarang hasad sebab dorang rasional. Cuma lelaki ni masalah satu je bila dia nak seseorang perempuan tu, dorang sanggup buat apa pun.

Macam saya selain dari sebab bisnes, saya kena juga guna guna dan pengasih dari lelaki entah dari mana mana. Cumanya sihir dorang tenggelam dari kuatnya sihir yang datang dari sebab bisnes. Tapi you all ni cerita lamalah. Sekarang ni dorang ada lain tapi tak boleh masuk dalam diri sebab pendinding sangat kuat. Dorang main main kat luar je, datang dekat takut hahaha.

Back up belakang kita ada syeikh saya, ustaz ustaz yang masih sampai hari ini bantu saya Alhamdulillah semua dengan izin Allah. Dan diri sendiri kena ada pendinding sangat kuat nak hadap hasad dan dengki orang. Alhamdulillah sudah sihat sekarang, muka dah balik asal cumanya berat je tak naik naik lagi. Ada nak sponsor susu gemuk tak? Hahaha. Kalau perasan saya banyak ke majlis zikir dan maulid kan.

Yes dulu memang saya banyak ke majlis majlis macamni tapi bila dah bisnes saya jadi busy gila. Akhirnya Allah datangkan ujian macamni kepada saya supaya balik kembali kepada majlis dan jalan bersama ulama. Oh ya setiap kali ke majlis zikir muka saya akan jadi sangat cerah macam spotlight tau, sebab semua yang ada dekat saya waktu ni akan terbakar dan hangus. Dorang tak tahan sebabtu dorang blah. Selepas baik dari sakit Alhamdulillah Allah bagi sangat banyak. Dengan amalan yang kita amal untuk benteng diri, Allah bagi macam macam. Kalau orang hasad dan benci kita, cakap belakang kita Allah bagi lintasan hati tahu.

Orang main cara kotor, pakai susuk, pakai pelaris, ada kena santau dan sihir, Allah zahirkan dan bagi kita nampak. Orang yang berniat jahat dengan kita terang terang Allah buka depan kita supaya kita tak go further dengan mereka. Begitulah, Allah ini baik. Allah bagi kita melebihi apa kita nak. Saya tak pernah balas orang yang buat saya bahkan mereka masih gigih sampai sekarang walaupun mereka sedang membakar duit mereka dan membakar diri sendiri.

Mereka tak senang sampai sekarang, tak kaya sampai sekarang, tak bahagia sampai sekarang. Saya mendoakan mereka diberi hidayah, kesian dengan suami dan anak anak mereka. Rezeki Allah luas, percayalah. Bila mereka dah tak dapat attack saya sebab sakit, mereka attack yang berdekatan dengan saya. Terutamanya family saya, tapi dengan sebab inilah kita lebih kuat beramal dan bantu family kita. Bukan niat nak jadi perawat pun, taknak pun.

Biasa je saya pasang radio kecik ruqyah tu sepanjang masa, tiba tiba dia akan tutup sendiri. Kita bukak lagi dia akan tukar kepada lagu pula. Dan saya bukak lagi, dia akan buat bunyi radio rosak pula zzz...zzz..zzz haha. Bila saya di bilik air tingkat dua time maghrib dia akan mai dekat tingkap cakap, 'Assalamualaikum fara, bukakla pintu. Nak masuk, nak masuk.' Dia tak boleh masuk sebab rumah semua dah berpagar. Kalau ada izin kita baru boleh masuk.

Waktu saya baca selawat dan wirid macam macam akan datang mengzahirkan diri bila Allah nak tunjuk supaya kita boleh mengelak dari terkena sihir lagi. Waze memang dia selalu kacau, peralatan office memang dia selalu kacau. Actually keluarga saya orang bisnes dan masing masing ada pesaing, macam macam yang datang tapi Alhamdulillah Allah selamatkan. Jangan risau bagi mereka yang terkena sihir dan santau. Sihir pemisah suami isteri ke dll. Percayalah, satu masa benda ni semua akan expired dan pulang balik kepada tuannya. Akan makan diri mereka balik. Tugas kita hanya perlu beramal sahaja dan serahkan kebergantungan kepada Allah.

Tiada siapa mampu bantu kita melainkan Allah. Ingat Allah dah janji, yang hak akan menang mengatasi yang batil. Biar orang buat kita jangan kita yang buat orang. Yang jahat takkan senang selamanya dan yang baik takkan susah selamanya. Allah ada, Allah bersama anda, Rasulullah cintakan anda. Saya faham sakit dan perit anda, moga dengan sakit ini kita lebih rapat dan cintakan Rasulullah. Syeikh saya pesan, bila orang buat jahat dengan kita biarkan. Itu akhlak mereka, biar mereka jawab sendiri dengan Allah. Akhlak kita tetap sentiasa kena berbuat baik dengan orang.

Sharelah kepada rakan anda, tag yang berkenan. Saya nak kongsikan amalan yang saya amal di post seterusnya. Moga bertebaran manfaat kita bersama untuk saham akhirat sana InsyaAllah. Saya tahu post ini akan menerima berbagai reaksi tapi kepada Allah lah kita sandarkan segalanya dan berlindung. Yang tak pernah melalui tak akan faham.

Saya balikkan segalanya kepada Allah moga penulisan ini bermanfaat dan kita lebih berjaga-jaga. Ini baru sahaja mengenai hasad dengki orang, belum lagi tentang khianat, fitnah yang bertebaran. Saya tulis ini dengan air mata berguguran. Saya tidak ada apa apa yang menyebabkan anda sanggup hilang Tuhan. Semua ini hanyalah ujian untuk dinaikkan maqam dan martabat kita bila kita sabar. Saya mendoakan mereka semua mendapat hidayah Allah dan bertaubat sebelum mati.

#founderFURAIHA
#FURAIHA




Lebih Baik Bercerai Dari Mati Perlahan-lahan Bersuamikan Lelaki Panas Baran

5 Jul 2017


Nama saya Zainab Mai Pampo, 26 tahun. Saya ingin berkongsi diari perceraian saya dengan anda semua. Saya berkahwin dengan sepupu jauh saya, Abdul Samad, ketika tahun pertama saya berada di universiti. Secara jujur, saya tidak begitu mengenalinya. Kami dipadukan oleh ibu bapa kami. Ramai yang kata saya bertuah dan dia merupakan seorang lelaki yang baik, soleh dan tinggi pengetahuan agamanya. Selain itu, dia juga mempunyai pendidikan yang tinggi dan kerjaya yang bagus di industri minyak dan gas.

Sebelum ini, dia pernah berhasrat mengahwini gadis pilihannya sendiri, namun ditentang oleh keluarga. Si ibu mahu anak tunggalnya itu berkahwin dengan perempuan dari keturunan yang baik dan menolak hasrat Abdul untuk berkahwin dengan gadis pilihannya.

Disebabkan itu juga, ibunya keluar mencari perempuan yang sesuai untuk dijadikan sebagai isteri kepada anaknya dan begitulah ceritanya saya dipilih menjadi isteri kepada Abdul Samad.  Saya tidak tahu yang ibu Abdul dengan ibu saya telah bersetuju untuk menyatukan kami. Saya sendiri tidak tahu yang saya akan bertunang dengannya.

Sebelum itu, saya pulang ke kampung untuk menziarahi datuk dan nenek di Macina. Bila saya pulang, keluarga saya telah menerima pinangan dari keluarga Abdul tanpa pengetahuan saya. Dan begitulah ceritanya saya bertunang dengan lelaki itu.Tarikh pernikahan kami ditetapkan enam bulan kemudian bermula dari tarikh kami bertunang.Dan dalam tempoh itu juga kami diberi peluang untuk mengenali hati budi masing-masing.Saya benar-benar terkejut dengan sikap Abdul yang sebenarnya seorang lelaki panas baran. Pernah beberapa kali saya mengadu perkara itu kepada ibu saudara saya tetapi mereka semua berkata,“Bila awak jadi isteri dia kelak, awak akan mampu mengubah perangainya. Dia akan berubah demi awak.” atau,“Bersabar sajalah dan dia pasti akan berubah selepas berkahwin.”

Selepas berkahwin, saya sedar bahawa suami saya bukanlah seperti yang dikatakan sebelum ini. Selepas berkahwin, dia paksa saya berhenti dari universiti. Ibu bapa saya tahu akan perkara ini sebab saya memberitahu mereka tetapi mereka nasihatkan saya akur dan hormat pada kehendak suami. Saya akhirnya terpaksa akur, lagipun syurga di bawah telapak kaki suami.

Abdul berhenti sembahyang, malah sebelum kahwin lagi dia sering mengingatkan saya agar jangan tinggalkan lima waktu. Tetapi dia sendiri benci bersembahyang.Kami pernah bergaduh sebab saya kejutkan dia untuk bangun solat subuh. Dia sangat marah kerana saya kejutkan dia untuk bangun sehingga saya ditampar dua kali dan diberi amaran agar tidak mengulanginya lagi. Saya menggigil ketakutan. Saya tak pernah ditampar di muka sejak dari kecil, walaupun ibu bapa saya sendiri.


Sejak dari hari itu, suami saya kerap memukul, menampar dan menendang saya. Pada mulanya saya menyangka dia mempunyai masalah di tempat kerja sehingga menyebabkan dia menghadapi tekanan. Tetapi bulan berganti bulan sehinggalah setahun dia kerap membelasah saya dengan lebih teruk dan ganas.
Adakalanya dia akan memukul saya menggunakan tangan sahaja. Jika dia tiada mood, dia akan gunakan tali pinggang, alat pengecas dan lampu untuk memukul saya.Dia seolah-olah begitu benci melihat saya. Tidak cukup dengan menyeksa saya, dia akan kerap memuji kelebihan bekas kekasihnya di depan muka saya. Adakalanya dia akan berbual dengan perempuan itu dan sengaja membiarkan saya mendengar perbualan mereka.

Tidak cukup dengan itu, dia juga mengkritik yang badan saya tidak setanding dengan bekas teman wanitanya.“Awak ni hodoh macam bxxi, pergunakan ibu bapa saya untuk mendapatkan saya. Menjijikkan!” kata Abdul pada saya.Satu hari, saya mengadu pada ibunya dan menyangka wanita itu akan melindungi saya tetapi saya silap besar. Ibu mertua saya hanya ketawa dan berkata, “Awak ini betul-betul perempuan degil. Macam mana dia tak pukul awak kalau awak tak provok dia? Isteri yang bijak akan tahu bagaimana menangani mood suami mereka. Atau awak sebenarnya suka dipukul oleh dia?” kata ibu mertua.

Saya terdiam dan tidak percaya yang ibu mertua berkata sedemikian.“Kalau awak nak hubungan rumah tangga awak berjaya, awak perlu belajar menguruskan suami awak, jadi tiadalah perempuan lain yang akan datang menghampirinya.“Awak juga perlu bijak menjaga imej suami.

Jika awak beritahu kepada orang lain mengenai apa yang awak beritahu pada saya, awak fikir orang lain akan hormat pada suami awak terutamanya ahli keluarga dan kawan-kawan?” katanya lagi.Saya termenung seketika, apakah betul apa yang diperkatakan oleh ibu mertua? Saya dibelasah sebab saya tidak pandai menguruskan suami? Mungkin saya perlu belajar menjadi isteri yang lebih baik.

Jadi, saya berubah dengan memasak makanan yang sedap, kerap senyum dan elakkan diri dari mendengar perbualan dia dengan bekas kekasihnya. Saya cuba untuk banyak berdiam diri ketika di rumah hampir seminggu dan berjaya. Tetapi, dia sekali lagi memukul saya dengan lebih teruk. Parut di badan bertambah-tambah.

Sejak awal perkahwinan, kami tidur di bilik berasingan dan dia sudah mula memecahkan pintu bilik saya pada waktu malam untuk memaksa saya …. dan adakalanya dia akan merayu pada saya. Saya tidak dapat berbuat apa atau berkata apa, saya rasa sungguh tidak berdaya.Pernah cuba untuk melawan dan keluar dari rumah tetapi kerap teringat kata-kata ibu mertua yang mahukan saya menelan segala kepahitan itu.

Saya mahu menjadi isteri yang baik, yang boleh dibanggakan oleh suami. Saya cuba berusaha tetapi keadaan menjadi semakin buruk.Satu hari, saya dibelasah dengan teruk dan hampir mati kerana dia berang makanan yang dihidangkan telah basi. Saya baru mahu memohon maaf tetapi ditampar dan terjatuh ke lantai, sebelum ditendang dan dipukul bertubi-tubi.Pada masa itu, saya baru mengandung beberapa bulan.

Saya gunakan seluruh kekuatan yang ada untuk melindungi kandungan ini menyebabkan dia semakin galak menendang saya.Saya sudah puas mengalami keguguran. Saya takkan biarkan dia bunuh kandungan ini. Tidak sama sekali! Tiba-tiba saya kumpulkan seluruh tenaga dan menolak badannya.

Dia terkejut dan tergamam seketika. Saya terus berlari keluar dari rumah menuju ke jalan besar seperti orang gila dengan keadaan rambut terurai, pakaian terkoyak sehingga menampakkan baju dalam, muka lebam, mata lebam.

Orang ramai hanya memandang saya dan tiada seorang pun yang menegur saya melainkan memandang sahaja. Saya lari sejauh yang mungkin tanpa sebarang hala tuju. Saya hanya ingin mati dan mengakhiri segala penderitaan ini dan bebas dari Abdul Samad. Saya lari dan lari sehinggalah sampai di pintu hospital dan pengsan.Beberapa jam kemudian, saya tersedar di katil hospital.

Saya dimaklumkan saya mengalami keguguran. Saya sedih, saya keguguran kerana saya mahu belajar ‘menguruskan’ suami saya.Saya berada di hospital selama 10 hari dan suami saya langsung tidak datang melawat. Hanya ibu mertua yang datang melawat pada hari ketujuh dan membawa surat perceraian anak lelakinya itu.


“Saya ceraikan awak dengan talak satu kerana tidak balik ke rumah dan keluar dari rumah tanpa kebenaran.“Saya akan menerima awak kembali jika awak mengaku menyesal dengan perbuatan awak dan meminta kemaafan dari saya dan ibu saya,” tulisnya dalam surat tersebut.Saya hampir tergelak membaca ayat terakhir itu. Boleh bayangkan?

Ibu mertua bayar kos perubatan dan memberi saya sedikit wang untuk pulang ke rumah ibu bapa saya. Ibu bapa saya pada awalnya menyangka saya yang bersalah dalam hal ini dan memberi teguran pada saya. Namun selepas 8 bulan, Abdul atau keluarganya langsung tidak menunjukkan sebarang bayangan untuk datang dan barulah ibu bapa saya sedar dan mula percaya dengan apa yang saya beritahu mereka selama ini.

Ahli keluarga yang lain masih menyalahkan saya di atas perceraian itu. Parut masih berbekas di badan dan mengingatkan saya akan penderitaan yang lalu setiap kali melihatnya.  Saya bersyukur pada Allah yang membawa saya keluar dari perkahwinan itu. Meninggalkan lelaki itu adalah satu perasaan lega yang tidak terkata.

Kepada mana-mana wanita yang membaca diari saya ini dan jika anda berada di situasi yang sama, tolong selamatkan diri anda. Tiada gunanya bertahan kerana lelaki seperti itu tidak menghormati anda dan dia tidak akan berhenti melakukan perbuatan ganas tersebut. Lebih baik bercerai dari mati secara perlahan-lahan dipukul oleh lelaki seperti itu. Terima kasih kerana sudi baca diari saya.

Mencari Ketenangan Hati

28 Apr 2010


Dalam hidup ini siapa yang mahu hatinya tidak tenang. Hidupnya gundah gulana. Sedih, kecewa, tekanan...setiap hati yang terluka itu pasti ada puncanya, pasti berlaku selagi hayat kita di dunia ini. Dunia ini medan ujian. Adakala kita diuji dengan kesedihan dan kelukaan yang berat. Ujian sebegini mudah menjadikan kita seorang insan yang lemah. Maka, bagaimana cara harus kita merawat hati yang tidak tenang. Persoalannya bagaimana merawat hati dengan kebergantungan kepada Yang Maha Esa. Di bawah admin kongsikan artikel yang sangat bagus, bagaimana menenangkan hati melalui zikrullah. 

-Admin-

Kredit : GentaRasa

"
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

·         Dimensi kata, rasa dan tindakan

Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8

Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!  
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

·         Rasa kehambaan.
·         Rasa bertuhan.
·         Memahami maksud takdir.
·         Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

·         Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun.

Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

·         Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.

Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

·         Memahami maksud takdir Allah.

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:

“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

·         Mendapat hikmah bila diuji.

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.

Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.

Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas.

Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

 "
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.