SLIDER

hipokrit
Showing posts with label hipokrit. Show all posts

Kahwin Dengan Student Sendiri ? Sanggup Ke Harungi Cabarannya

25 Nov 2021


`` Man, Man pilih la student tahun akhir, ambil tahu tentang pelajaran dia, kira take care. Bila mereka dah keluar dan dapat kerja, dan lepas tu bolehlah kawin, ramai yang cantik-cantik’’.Hampir terkeluar donat yang saya makan, saya bulatkan mata dan pandang ke arahnya. Dahlan (nama bukan sebenar) tersengeh-sengeh. Saya terharu dengan saranan dia tadi tapi saya bukanlah lapar sangat nak berbini.

Lagipun itu hal peribadi, saya tidak suka ditimbulkan semasa saya makan, nanti hilang selera.Saya memang selalu tengok pelajar perempuan saya. Saya mengajar pelajar semestre 5. Pada ketika pelajar lelaki saya masih lagi nampak mentah, kebudakan dan tidak serius, pelajar perempuan saya tengah sedang-sedang mekar hebat.Perkara yang paling menarik dan tertonjol ialah mereka pandai bergaya. Jauh jika nak bandingkan dengan kawan-kawan perempuan saya yang rata-rata selamba sahaja penampilannya, berbaju kurung.

Kalau dinner kat hotel-hotel jangan cakaplah. Baju RM3 ribu macam artis nak jalan atas karpet merah. Saya tengok sahaja apa yang tertonjol dan ditonjolkan. Mungkin zaman sekarang tidak seperti dahulu, semua orang nak menonjolkan diri, nak buat statements.Tapi penulisan kali ini mengenai pensyarah yang kawin dengan student, bukan mengenai pakaian atau pun pelajar perempuan saya yang cantik-cantik. Semakin saya menuju tua, cantik sahaja tidak menjadi keutamaan lagi.

Selain cantik ada element lain yang tidak kurang pentingnya.Semasa berjumpa dengan salah seorang kawan perempuan saya, saya ada bertanya `eh apa pendapat awak kalau pensyarah kawin dengan studentnya?’. Dia jawab pendek sahaja `ok’.Saya teringat pulak komen ayah saya dalam hal ni. Katanya tidak beretika. Dia jawab tak panjang dan huraiannya macam biasa, saya la yang kena cari sendiri. Mungkin agak tidak betul atau tidak selesa jika kita juga pada masa yang sama mengajar dia.

Kita mungkin bias, dan biasalah kan,…kita ni bukannya profesional sangat, kadang-kadang attendent student pun kita terlupa bawak ke dalam kelas, he he he. Sebelum kawin tentulah bercinta. Dan kalau bercinta tahu sajalah kan... Tak payah kita nak jadi hipokrit. Ada juga kawan saya yang berkahwin dengan student dan melaluinya dengan tabah. Kata kawan saya tu kita kena sangat pandai jaga diri kita sebab pertamanya kita tidak boleh bersama dengan mereka. Di mana-mana pun hatta 100km daripada tempat kita kerja.

Dia banyak juga meluahkan yang dia tidak seperti pasangan lain yang boleh selalu bersama dan berjumpa. Kena banyak berkorban. Perhubungan adalah seminima mungkin dan sulit lagi menyulitkan. Ini untuk untuk menghindari fitnah. tak bolehlah nak gi mana bersama-sama.Kalu kita jenis suka menanyangkan kehebatan pasangan kita maka janganlah bercinta dengan student. Sebab buruk padahnya. Contohnya apa kata kawan-kawannya yang juga pelajar kita. Apa kata kawan-kawannya terutama yang muka seposen? Ya lah kan kita pun tak kan nak ambik yang tak cantik, yang hati tak berkenan…

Katakanlah kita dalam masa yang sama mengajar dia. Jantung kita tentu berdegup kencang atau tiba-tiba je rasa syahdu. Di sini ada alur-alur etika yang terganggu dalam proses pengajaran kita.Saya tak naklah cakap kalau dah jodoh tak ke mana. Atau kalau dah jodoh nak buat apa?. Saya tak nak jawab begitu nampak sangat kita lebih suka menerima je daripada memirkan apa hikmah di sebaliknya, kita simpan otak kita dalam stor.Cinta dalam mana bentuk pun amat bodoh dan membahayakan kepada diri dan orang lain (terutama di sekeliling), kecuali dipandu dengan bijak ia akan membawa kemuliaan.

Tetapi tak ramai yang bijak kan, he he he, ampun...Walaupun cinta hak masing-masing dan tak ada orang yang boleh masuk campur tetapi yang paling penting siapa pensyarah itu? Maksud saya adakah dia baik atau buruk perangainya? Dan bagaimana dia handlenya? bagaimana dia mencipta dunia percintaannya?Kata la saya ni bercinta dengan student (selisih malaikat 46). Saya rasa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan sebab saya ni bukannya suami orang dan student itu bukannya isteri orang. Dan budak tu pun bukannya bawah umur.

Namun saya aci kerat ibu jari (jari anak patung anak sedara saya) yang akan ada isu-isu yang timbul. Oleh itu saya akan berhati-hatilah… tapi setakat mana? Secermat mana ya?.Kawin dengan student? Saya rasa ramai orang mempunyai pendapat yang berbeza. Saya di sini pun bukannya memberi pandangan saya. Saya hanya menimbulkan topic supaya kita sama-sama berfikir, ok ke tak.Dan jawapan ok ke tak tu pun memang bergantung kepada siapa kita. Maksud saya kalau kita seorang ayah tentu kita suka sebab daripada anak kita bercinta dengan entah sapa-sapa kat kolej/universiti itu.

Baiklah dia bercinta dengan pensyarah, sekurang-kurangnya dapat membantu beri semangat dalam pembelajaran.(walaupun pensyarah itu hanya pakai Myvi? he he he no komen).Namun kalau kita seorang pensyarah perempuan yang ekstrim ranum mungkin kita akan bertanya? Kenapa pilih student? Aku kan ada? Apa kurangnya aku? Ah memang lelaki!Dan kalau kita pemilik institusi pendidikan seperti kolej/universiti mungkin kita bimbang akan jadi satu fenomena. Institusi kita bukannya agensi mencari jodoh. Kita bayar gaji suruh mereka mengajar bukan mengajar cinta!.Dan kalau kita lah yang akan kahwin dengan pelajar tersebut kita mungkin menyatakan dalam hati.

Apa salahnya kalau dah jodoh, asal kita mengikuti landasan yang betul. Jodoh di tangan kita. Yang paling penting kita tak menyusahkan orang lain. Ini soal hati...Maka kesimpulannya saya tidak tahu nak beri pendapat dalam hal ini, kalau saya ditakdirkan berkahwin dengan student saya tak tolak, namanya dah takdir, he he he. Tetapi kalau boleh... dan sebenarnya saya tidak pernah berusaha untuk jadikan pelajar perempuan saya sebagai bini saya. Kalu takdir?

Jangkaulu: Entahlah…emmm, huh! Kita selalu bila kena batang hidung kita-kita kata takdir-takdir-takdir, jodoh-jodoh-jodoh. Suratan la dan macam-macam lagi. Bila kena batang hidung orang? he he he.

Disantau Rakan-rakan Perniagaan yang Cemburu Dengan Kejayaan Diri

7 Jul 2017



Bismillah, dengan ini saya nak share pengalaman saya kena santau dan disihir. Cerita ini tidak dituju kepada siapa siapa tapi sekadar memperingati semua orang disamping menyucikan hati masing masing. Mohon doa bagi saya. Sedikit panjang, moga moga bermanfaat.

Sebelum ini saya hanyalah biasa biasa saja, student medic yang tiada apa apa. Akhir tahun 2015 saya mula melibatkan diri secara serius dalam bidang perniagaan. Saya bangunkan brand kecantikan sendiri, FURAIHA. Allah bagi rezeki kepada saya Alhamdulillah produk FURAIHA cepat mendapat tempat di hati pengguna. Brand dan team kami tersebar dengan sangat cepat, Allah bantu Alhamdulillah, tapi tak ramai yang senang hati.

Awal tahun 2016, saya pulang ke Mesir untuk ambil exam medic yang saya dah pending lama. Masa ni semua orang tegur saya, Fara kenapa muka burn hitam. Nak fikirkan logik, tak patut jadi hitam sebab saya berniqab. Lama lama saya perasan, muka saya jadi macam hangus walaupun bahagian kulit lain putih. Tak logik, tapi saya tak fikir pelik pelik.

Tak lama lepastu kulit muka saya macam allergik dalam satu malam, naik macam macam. Takde tempat yang bersih, semua macam rashes. Semua orang tegur kenapa muka saya macamtu, padahal dulu licin bersih putih. Owner produk kot, takkan muka camtu. Okay, saya layan je lagi sebab saya seorang yang positif.

Disebabkan saya berniqab, saya minta adik saya jadi face of FURAIHA. Kulit muka adik saya Erin, MasyaAllah memang cantik tanpa sebarang cela. Tapi lepas dua tiga bulan produk kami meletup, muka dia start naik macam macam. Sampai satu tahap dah macam berulat walau bahagian kulit lain cantik je.

Saya dah istighfar, saya tak expect santau tapi saya cuma anggap itu ain sahaja. Mula mula masih dalam denial state, saya ingatkan adik saya allergik seafood ke apa kan, rupanya santau. Allah. Saya balik Malaysia bulan 3, jalani hidup macam biasa. Sehinggalah waktu kemuncak bulan 8 saya dah tak tahu apa yang kena dengan diri saya.

Saya dah macam tak terurus. Nafsu saya hanya nak tidur sahaja. Hidup saya tak terurus. Saya tak boleh makan, nafsu saya diikat, walau lapar gila saya hanya mampu makan 2,3 mulut sahaja. Sedih. Saya lost weight sangat drastik. Berpuluh kilo. Muka saya takde seri, macam ada sesuatu yang halang di muka.

Waktu ni saya dah mula sakit teruk tapi saya masih belum tahu yang saya disantau. Saya dah mula lupa macam macam, otak saya dah affected. Biasalah sihir, macam virus lama lama dia makan ingatan. Sebabtu ada tahap boleh jadi gila jika kita biarkan. Waktu ni saya dah tak ingat hari apa, saya tak tahu ini siang ke malam. Sebab saya tidur pun kadang kadang sampai 2-3 hari straight. Tak makan tak apa.

Bahkan saya nak congak kira 5+5 pun saya terpaksa pakai kalkulator. Fikiran saya dah tak berfungsi normal. Tapi rezeki kan, Allah murahkan rezeki saya. Duit dalam akaun tak terjejas bahkan makin bertambah. Bisnes saya stay Alhamdulillah, cuma saya sahaja berperang bagai nak mati. Sehinggalah satu hari, saya post jari saya pakai cincin cantik sangat di fb. Masa ni saya dah kurus gila. Saya terima satu pm dari seorang ustaz perawat. Dia bagitau yang saya sakit dan minta saya segera berubat. Saya masih tak percaya dan minta dia jelaskan.

Bila saja dah ada orang suruh saya berubat, jin jin ni dah mula marah dan mula appear depan kita. By times, saya lihat kain kapan terbang, orang main guli, pocong dll. You name it semua dah tengok. Saya jumpa paku, saya jumpa macam macam benda pelik. Saya terima kiriman pelik pelik dari courier. Masa ni saya sangat sakit, setiap selepas asar dorang tikam tikam bahu dan rahim saya. Pinggang sakit gila macam nak patah. Kepala dorang buat sakit sampai makan panadol sepapan pun takde kesan.

Saya tidur dengan air mata, sakitnya terlampau. Tak boleh nak cerita, derita sangat. Satu hari tengah saya duduk bersila, dorang tarik kaki saya ke atas dan patahkan sampai bunyi 'krukk'. Dan di sendi sendi dan lutut dorang duduk dan tinggal. Sakit sangat, akhirnya berbulan saya tak boleh jalan sebab dorang dah berumah dalam tu. Nak bagi lumpuh. Saja dorang attack kaki supaya saya tak boleh kerja dan pending segala urusan. Dorang hidup di setiap sendi dalam badan.

Kalau nak berjalan tak boleh berdiri sebab tumit ni bagai kena tusuk paku, jarum dan pisau. Sakit gila, muntah santau angin, muntah kaca. Sebijik macam mayat hidup. Sampai satu tahap, rumah saya yang 3 tingkat banyak bilik. Kami sekeluarga hanya tinggal dan duduk sebilik sahaja. Semua tidur sebilik dan lain lain semua dibiarkan kosong.

Kenapa? Sebab rumah dah macam rumah hantu. Macam macam ada, dengan macam macam bunyi dan rupa. Bunyi burung gagak dan macam macam. Macam macam yang saya jumpa, macam macam mimpi yang datang dan bermacam benda dah jumpa, bola api dan lain lain. Ianya satu dunia, beyond normal. Saya berubat dengan tak tahu berapa ramai ustaz dah. Habis dah berpuluh ribu. Sampaikan ustaz ustaz yang rawat saya kebanyakkan angkat bendera putih, give up. Sebab kes saya ni terlalu berat. Tak padan dengan dorang, kalau dorang bantu juga nanti sakit dorang dan family.

Ustaz ustaz cakap saya berada di skala 9.5 daripada 10. Biasanya kalau 10 orang tu dah mati huhu. Tapi Allah masih bagi panjang umur sehingga hari ini. Tujuan orang orang yang buat saya cuma nak saya mati, bisnes saya lingkup dan saya hilang terus dari dunia. Bukan sorang yang buat saya tapi sangat ramai. Setiap dari mereka saya tahu siapa. Allah bukakan bila lama lama kita ikhlas beramal, Allah zahirkan. Semuanya perempuan. Hamba Allah. Biasanya orang yang tak puas hati dengan kita adalah orang yang rapat dengan kita, tahu financial kita, tahu keadaan kita.

Bila saya tahu siapa, saya frust. Sebab saya sangat baik dengan dorang, dorang ni orang dihormati, orang hebat, naik hotseat, ada pengikut dan saya tak pernah buat jahat dengan dorang. Saya frust sebab tak sangka sampai tahap ni orang nak saya lingkup dan mati. Mereka berhabisan bukan sikit malah cecah sampai ratus ribu dengan main sihir. Muka dorang pun cantik sebab susuk, produk nak laju main pelaris. Tak semua macam ni, masih ada yang berbisnes patuh syariah dan takutkan Allah.

Rambut saya gugur sangat banyak, muka saya berubah warna setiap hari. Sekejap hitam, sekejap biru, sekejap pucat macam mayat, sekejap kuning macam sami. Dorang nak buat saya jadi buruk supaya siapa yang jumpa saya akan fikir, ehhh ini ke founder produk. Mereka ini orang yang tidak percayakan rezeki dan sanggup syirik dengan Allah demi dunia yang sementara. Jangan ingat kedai je ada pelaris, produk pun ada pelaris, muka boleh pakai susuk dan nak jadi public figure nak orang tunduk pun boleh.

Sebelum saya mula bisnes dan waktu saya minta izin Syeikh saya, dan kasyafnya syeikh dah cakap ini akan berlaku. Perempuan ni sangat emosi jadi mereka senang hasad. Dalam neraka pun sangat banyak perempuan.Kalau lelaki jarang hasad sebab dorang rasional. Cuma lelaki ni masalah satu je bila dia nak seseorang perempuan tu, dorang sanggup buat apa pun.

Macam saya selain dari sebab bisnes, saya kena juga guna guna dan pengasih dari lelaki entah dari mana mana. Cumanya sihir dorang tenggelam dari kuatnya sihir yang datang dari sebab bisnes. Tapi you all ni cerita lamalah. Sekarang ni dorang ada lain tapi tak boleh masuk dalam diri sebab pendinding sangat kuat. Dorang main main kat luar je, datang dekat takut hahaha.

Back up belakang kita ada syeikh saya, ustaz ustaz yang masih sampai hari ini bantu saya Alhamdulillah semua dengan izin Allah. Dan diri sendiri kena ada pendinding sangat kuat nak hadap hasad dan dengki orang. Alhamdulillah sudah sihat sekarang, muka dah balik asal cumanya berat je tak naik naik lagi. Ada nak sponsor susu gemuk tak? Hahaha. Kalau perasan saya banyak ke majlis zikir dan maulid kan.

Yes dulu memang saya banyak ke majlis majlis macamni tapi bila dah bisnes saya jadi busy gila. Akhirnya Allah datangkan ujian macamni kepada saya supaya balik kembali kepada majlis dan jalan bersama ulama. Oh ya setiap kali ke majlis zikir muka saya akan jadi sangat cerah macam spotlight tau, sebab semua yang ada dekat saya waktu ni akan terbakar dan hangus. Dorang tak tahan sebabtu dorang blah. Selepas baik dari sakit Alhamdulillah Allah bagi sangat banyak. Dengan amalan yang kita amal untuk benteng diri, Allah bagi macam macam. Kalau orang hasad dan benci kita, cakap belakang kita Allah bagi lintasan hati tahu.

Orang main cara kotor, pakai susuk, pakai pelaris, ada kena santau dan sihir, Allah zahirkan dan bagi kita nampak. Orang yang berniat jahat dengan kita terang terang Allah buka depan kita supaya kita tak go further dengan mereka. Begitulah, Allah ini baik. Allah bagi kita melebihi apa kita nak. Saya tak pernah balas orang yang buat saya bahkan mereka masih gigih sampai sekarang walaupun mereka sedang membakar duit mereka dan membakar diri sendiri.

Mereka tak senang sampai sekarang, tak kaya sampai sekarang, tak bahagia sampai sekarang. Saya mendoakan mereka diberi hidayah, kesian dengan suami dan anak anak mereka. Rezeki Allah luas, percayalah. Bila mereka dah tak dapat attack saya sebab sakit, mereka attack yang berdekatan dengan saya. Terutamanya family saya, tapi dengan sebab inilah kita lebih kuat beramal dan bantu family kita. Bukan niat nak jadi perawat pun, taknak pun.

Biasa je saya pasang radio kecik ruqyah tu sepanjang masa, tiba tiba dia akan tutup sendiri. Kita bukak lagi dia akan tukar kepada lagu pula. Dan saya bukak lagi, dia akan buat bunyi radio rosak pula zzz...zzz..zzz haha. Bila saya di bilik air tingkat dua time maghrib dia akan mai dekat tingkap cakap, 'Assalamualaikum fara, bukakla pintu. Nak masuk, nak masuk.' Dia tak boleh masuk sebab rumah semua dah berpagar. Kalau ada izin kita baru boleh masuk.

Waktu saya baca selawat dan wirid macam macam akan datang mengzahirkan diri bila Allah nak tunjuk supaya kita boleh mengelak dari terkena sihir lagi. Waze memang dia selalu kacau, peralatan office memang dia selalu kacau. Actually keluarga saya orang bisnes dan masing masing ada pesaing, macam macam yang datang tapi Alhamdulillah Allah selamatkan. Jangan risau bagi mereka yang terkena sihir dan santau. Sihir pemisah suami isteri ke dll. Percayalah, satu masa benda ni semua akan expired dan pulang balik kepada tuannya. Akan makan diri mereka balik. Tugas kita hanya perlu beramal sahaja dan serahkan kebergantungan kepada Allah.

Tiada siapa mampu bantu kita melainkan Allah. Ingat Allah dah janji, yang hak akan menang mengatasi yang batil. Biar orang buat kita jangan kita yang buat orang. Yang jahat takkan senang selamanya dan yang baik takkan susah selamanya. Allah ada, Allah bersama anda, Rasulullah cintakan anda. Saya faham sakit dan perit anda, moga dengan sakit ini kita lebih rapat dan cintakan Rasulullah. Syeikh saya pesan, bila orang buat jahat dengan kita biarkan. Itu akhlak mereka, biar mereka jawab sendiri dengan Allah. Akhlak kita tetap sentiasa kena berbuat baik dengan orang.

Sharelah kepada rakan anda, tag yang berkenan. Saya nak kongsikan amalan yang saya amal di post seterusnya. Moga bertebaran manfaat kita bersama untuk saham akhirat sana InsyaAllah. Saya tahu post ini akan menerima berbagai reaksi tapi kepada Allah lah kita sandarkan segalanya dan berlindung. Yang tak pernah melalui tak akan faham.

Saya balikkan segalanya kepada Allah moga penulisan ini bermanfaat dan kita lebih berjaga-jaga. Ini baru sahaja mengenai hasad dengki orang, belum lagi tentang khianat, fitnah yang bertebaran. Saya tulis ini dengan air mata berguguran. Saya tidak ada apa apa yang menyebabkan anda sanggup hilang Tuhan. Semua ini hanyalah ujian untuk dinaikkan maqam dan martabat kita bila kita sabar. Saya mendoakan mereka semua mendapat hidayah Allah dan bertaubat sebelum mati.

#founderFURAIHA
#FURAIHA




Isteri Malu Suami Bermulut Celupar

20 Jun 2017


MULUT becok atau mulut murai selalunya dilabelkan kepada kaum Hawa kerana fitrah wanita kebanyakannya suka membebel. Ada juga yang jenis berat mulut, sepatah kita bertanya sepatah juga dijawabnya.
Kerana mulut juga badan akan binasa, maruah tergadai dan segala kebaikan musnah dalam sekelip mata. Mulut tempayan boleh ditutup tetapi mulut manusia tidak, segala rahsia akan terbongkar dan tersebarlah cerita tidak kira positif atau sebaliknya.
Itu cerita orang perempuan, bagaimana jika lelaki pula yang ada tabiat buruk seperti itu? Tentu pelik bukan?
Inilah masalah yang dipanjangkan kepada saya oleh Puan Hana (bukan nama sebenar) dengan mulut celupar suaminya, Suffian (bukan nama sebenar).
Kita ikuti kisah Hana selanjutnya.
"Saya telah 15 tahun bernikah dengan suami dan dikurniakan tiga orang anak yang masih bersekolah.
"Hubungan kami amat mesra, malah suami seorang yang penyayang.
"Di sebalik sikapnya yang penyayang itu, rupa-rupanya ada juga sikap buruknya yang amat memalukan saya. Dia suka komen, merungut dan menegur apa sahaja perkara yang tidak berkenan di hatinya.
"Apabila ke majlis, saya selalu malu dengan kawan-kawannya dan isteri mereka. Mana tidaknya, semua perkara dia komen sehinggakan tidak ada satu yang betul. Semua salah, dia sahaja yang betul.
"Kalau orang sedang asyik makan dan menonton persembahan di pentas, mulut dia tidak berhenti mengomel, entah apa yang dia komen, saya tidak tahu. Keadaan itu menjadikan rakan-rakan semeja tidak selesa dan bangun meninggalkan meja kami.
"Suami pula langsung tidak sensitif pada suasana keliling. Kalau dia tidak suka, dia terus saja cakap tanpa memikirkan sensitiviti orang keliling. Ada kalanya dia sampai memaki hamun kerana tidak puas hati dengan sesuatu yang dilihatnya.
"Itu kisah dalam majlis-majlis yang dihadiri. Di pejabat lain pula adegannya. Kebetulan sepupu saya bertugas satu bumbung dengannya. Pernah sepupu saya memaklumkan kepada saya, suami saya seorang yang celupar mulutnya.
"Kebanyakan staf tersinggung dengan kata-katanya. Ada yang merajuk dan boikot dia. Ada juga yang mengata dia di belakang sebab terlalu geram dengan perangainya.
"Bagaimanapun tidak ada sesiapa berani menegurnya, sebab jika ditegur dia akan melenting, lagipun suami berjawatan tinggi di pejabat tersebut.
"Satu ketika sepupu saya memberitahu, pernah suami saya bercerita tentang seorang staf wanita dengan menyentuh hal-hal peribadinya. Sekali dua, orang boleh bersabar dan berdiam diri, tetapi sampai bila boleh bertahan.
"Kita manusia biasa bukan robot yang boleh dikawal.
Kerana mulut celuparnya itu, suami dicop sebagai "Cik Suffi". Sebagai isteri, saya amat sedih dan malu. Tetapi saya tidak berdaya menegurnya sebab jika berbuat demikian maka akan meletus perang dunia ketiga.
"Akan tetapi sebagai isteri, tentu saya susah hati apabila orang mengata suami saya. Saya hanya mampu berdoa agar suami akan sedar dan berubah sikapnya.
"Saya amat berharap doa saya ini akan dimakbulkan Allah sebab saya sudah tidak larat lagi hendak tanggung perasaan malu ini.
"Apabila mendapat tahu staf suami memanggilnya "Cik Suffi", saya amat sedih. Kata sepupu saya apabila suami bercuti, mereka semua cukup gembira dan berkata sesama sendiri, "Cik Suffi" bercuti hari ini.
"Satu hari nak dijadikan cerita, suami terdengar sindiran tersebut dan dia terasa yang kata-kata itu ditujukan kepadanya. Tapi dia langsung tidak tunjuk malu, buat muka selamba sahaja. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
"Sebagai ketua, suami sepatutnya mengawasi situasi di pejabat, bukannya sibuk dengan hal yang remeh-temeh. Petugasnya amat hairan dengan sikapnya yang lebih suka mengambil berat hal-hal peribadi daripada tugas hakiki di pejabat.
"Jika dia terdengar sesuatu perkara peribadi seseorang yang kurang enak untuk didengar, maka itulah yang akan dibualkannya berhari-hari. Dia memang suka bercerita aib orang tetapi aib sendiri, simpan dalam peti besi!.
"Cik Suffi" akan memulakan tugasan harian dengan bertanyakan hal-hal peribadi sesiapa yang pada pandangannya kurang 'sempurna'. Ada sahaja yang akan dijadikan topik perbincangan.
"Maka bermula sesi kata mengata, hina menghina. Yang gemuk dilabel kuat makan, yang bujang terlajak akan dilabel andartu tak laku, yang bergaya lebih sikit daripada dia, akan dikatakan nak melaram. Pendek kata, ada sahaja yang tidak kena di matanya.
"Pasangan yang bercinta adalah perkara biasa, itu fitrah manusia, asalkan tidak melakukan dosa, sesiapa pun tiada hak untuk menghalang. Lain pula dengan "Cik Suffi" yang akan mengadakan skrip untuk dicanangkan.
"Pasangan tersebut tidak sepadanlah, syok sendirilah, bertepuk sebelah tangan dan ada sahaja yang tidak kena di mata dia, dan tidak berkenan di hatinya. Pendek kata komennya mengalahkan juri pertandingan!. Agaknya jika dilantik menjadi juri pasti sukar untuk mencari pemenang.
"Keselesaan "Cik Suffi" tergugat apabila dia 'diserang' oleh seseorang yang kurang senang dengan mulut celuparnya yang tidak bertempat. Berlakulah perang mulut antara mereka. Ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Mulai dari itu "Cik Suffi" telah bertukar menjadi dirinya yang sebenar, lelaki sejati kurang bercakap dan lebihkan bekerja.
"Kini tidak lagi terdengar ayat-ayat yang pedih cuping telinga dan suami saya, Suffian kini telah berubah sedikit demi sedikit. Dia semakin menghormati para pekerjanya dan tidak lagi merungut yang bukan-bukan serta mengaibkan orang.
"Tidak ada manusia yang sempurna, kita belajar dan memperbaiki diri daripada kesalahan. Ada ketikanya teguran itu perlu, jika dibiarkan mungkin akan wujud persekitaran yang tidak selesa.
"Sebagai isteri, saya amat bersyukur dengan perubahan suami. Ramai yang hairan apabila melihat gayanya yang serius sekarang. Itulah suami idaman saya. Saya tidak berkecil hati dengan teguran kenalannya itu, sebaliknya saya gembira dengan perubahan diri suami.
"Sekurang-kurangnya saya bangga dengan perubahan suami setelah muhasabah dari. Saya percaya dia telah mendapat pengajaran yang baik daripada apa yang telah berlaku terhadapnya. Semoga dia terus begitu untuk selamanya.
"Syukur doa saya Allah makbulkan,'' kata Hana menutup cerita.
Saya mengucapkan syabas kepada Hana kerana begitu sabar dengan kerenah suami dan kesabaran itu sudah nampak hasilnya apabila doa Hana Allah makbulkan apabila suaminya kini berubah.
Kesabaran yang sama, saya harap ada pada isteri-isteri di luar sana yang menghadapi masalah dengan suami.
Sabar, berdoa dan pada masa yang sama saling tegur menegur agar kekeliruan dapat diatasi. Saya akhiri catatan minggu ini dengan kata-kata, "Orang yang jiwanya tidak ada keindahan, tidak akan nampak keindahan di alam maya ini, sekali gus memudarkan ketenangan hidupnya."
Salam.

Kredit : UtusanMalaysia



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.