“Dadah hampir
membunuh diri saya. Suatu ketika, ia menjahanamkan hampir keseluruhan
hidup saya,” itulah kata-kata Mamat pada pertemuan dengan Mega baru-baru
ini.Dalam temu bual Mega bersamanya,
memang jelas kelihatan betapa sesalnya Mamat kerana pernah menjadi hamba
yang ‘gigih’ terhadap najis itu. Seorang artis yang bakatnya mula
mencuri perhatian masyarakat semenjak usia kecil lagi, penyanyi Untukmu
Ibu ini sendiri memusnahkan masa depannya gara-gara tersilap langkah.
Bak kata orang badi dadah ini sukar untuk
dipisahkan jika tidak dilakukan dengan kesungguhan hati. Bagi Mamat atau
Mohd. Ali Kamarudin, 36, yang pernah terjerumus, belum terlewat
untuknya kembali ke pangkal jalan. “Kalau diberi pilihan untuk kembali ke masa
lampau, pasti saya mahu melakukannya bagi menebus segala dosa yang
pernah saya lakukan akibat leka dengan khayalan benda jahanam itu. Tapi
seperti kata pepatah, semuanya sudah terlambat tetapi saya yakin belum
terlewat untuk saya mencorak kehidupan baharu.
“Sebagai orang yang pernah terjebak dalam
dunia gelap itu, saya benar-benar menyesal kerana dadah membuatkan saya
hilang segala-galanya yang berharga, terutamanya keluarga. Rumah tangga
saya berkecai, isteri dan anak-anak entah ke mana. Sewaktu saya khayal
dengan dadah, insan tersayang sering saya abaikan. Sekarang ini kalau
menangis air mata darah sekalipun, tak mungkin saya dapat menebus apa
yang telah berlaku,” katanya penuh sebak.
Biarpun ada yang berpandangan sinis
terhadap azam Mamat, penyanyi itu tidak kisah kerana sebagai insan dia
juga mahu diberi peluang kedua untuk membina hidup baharu. “Kalau saya tidak mengambil dadah, sudah
pasti haluan kerjaya saya akan berbeza. Mungkin saya sudah kaya raya,
macam kawan-kawan yang lain. Barangkali, saya sedang berbahagia dengan
keluarga dan hanya meneruskan kerjaya sebagai penyanyi, macam dahulu
kala.
“Sebaliknya, dadah mengganggu dan
menghilangkan semua impian dan cita-cita besar saya. Tidak keterlaluan
jika dikatakan, karier saya sebagai penyanyi seolah-olah terhenti terus,
hampir bernokhtah kerana terlalu asyik dengan dunia khayalan,”
jelasnya. Meneruskan kisahnya, Mamat berkata, kesan
dadah ini tidak sama seperti makan gula-gula. Bila sudah ambil sekali,
nescaya akan terikat untuk mengambilnya lagi. Sehebat mana sekalipun
kerjaya seseorang itu, sekali dah terlibat dengan dadah pasti masa depan
akan gelap gelita jika tiada keinsafan awal.
“Bila sudah mula terjebak menghisap dadah,
kita tidak akan ada masa hendak ingat kerja, keluarga atau anak-anak.
Semua terbengkalai, lupa diri, lupa tanggungjawab. Apa yang difikirkan
ketika itu adalah hanya untuk memuaskan diri sahaja, syok, khayal dengan
benda itu. Kesan dadah memang teruk, memusnahkan hidup,” jelasnya. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya
jatuh ke tanah jua. Mamat tidak pernah terlepas daripada disabitkan
kesalahan kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Mamat ditahan pada penghujung 2011 dan
dipenjara di Penjara Kluang, Johor serta diletakkan di bawah pengawasan
polis selama dua tahun. Dia ditahan kerana mengambil dadah jenis Meth
atau Methamphetamine. Kini, bermula hujung 2013, Mamat mengaku
tidak lagi mengambil dadah. Walaupun kadang-kadang dia merasa terkilan
kerana ada yang masih mengaitkan dia dengan dadah, dia pasrah dan rela
terus dicerca seandainya itu menyenangkan hati manusia lain.
“Saya tahu, ramai yang masih berkata belakang terhadap diri saya. Mengeji saya atas kesilapan saya sebelum ini. “Ada juga terasa hati tetapi itu yang perlu
dihadapi. Saya anggap segala kata-kata negatif itu satu peringatan buat
saya untuk elakkan diri daripada aktiviti yang tidak bermoral,”
jelasnya. Bila mengenang kembali semua kesilapannya sebelum ini yang berpunca daripada dadah, ujar Mamat, dia pernah menangis kerananya.
“Saya seorang yang sangat susah menangis. Tapi bila mengenang kembali kesilapan lalu, saya menangis atas kesilapan saya. Bagaimana ketika itu saya lupa keluarga,
saya lupa anak-anak. Tetapi itulah, menangis seribu kali pun tak
berguna. Semuanya berpunca daripada saya dan itu yang buat saya mahu
berubah,” katanya. Selain Mamat, seorang lagi bekas vokalis
Exist yang turut terlibat dengan dadah adalah Ezad Lazim yang ditahan
pihak polis sekitar pukul 1.30 petang di kawasan kompleks beli belah,
Selayang Mall, pada 19 November lalu. Dia kemudiannya ditahan reman
selama beberapa hari, selain didapati positif dadah jenis Meth.
Gejala dadah melibatkan anak seni bukan
sesuatu yang baharu bagi industri kita mahupun antarabangsa. Malah, jika
dilihat di peringkat antarabangsa, sudah ramai anak seni yang
dilaporkan mati akibat pengambilan dadah yang berlebihan. Rasanya dalam
industri seni tempatan, belum ada lagi yang mati akibat dadah. Nama-nama besar dan cukup dikenali dalam
industri antaranya Datuk Jamal Abdillah dan penyanyi utama kumpulan
Iklim, Saleem antara yang pernah terlibat dengan najis dadah. Banyak
lagi jika disenaraikan antaranya Ameng Spring yang kini sedang menjalani
perintah penjara selama lapan tahun.
Vokalis kumpulan Spring, Ameng antara yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor atas kesalahan dadah. Tahun lalu, Ameng sempat berkongsi
pengalamannya setelah dia berada dalam penjara dan berkata, dia cukup
menyesal dengan apa yang terjadi atas dirinya. “Apabila dipenjarakan atas kesalahan yang lalu barulah saya sedar dan menyedari erti menjadi manusia yang sebenar. “Apa yang dibanggakan selama ini tidak
memberikan makna di sisi Allah S.W.T kecuali disertakan iman dan amalan
agama. Saya perlu berubah. Usah dikenangkan apa yang telah berlaku
tetapi kita beringat tentang apa yang akan berlaku,” katanya.
Jamal sebelum ini pernah memberitahu bahawa
jika dia tidak terlibat dengan gejala dadah, dia sudah boleh menjadi
jutawan pada usia yang muda, malah kedudukannya pasti lebih hebat
daripada apa yang digapai sekarang. Hampir 30 tahun dadah mempengaruhi
hidupnya, Jamal amat menyesal akan pilihan dirinya dahulu, meskipun ada
hikmah yang tersembunyi. Akur, bukan senang untuk membebaskan diri daripada dadah. Kini, bermula hujung 2013, Mamat mengaku
tidak lagi mengambil dadah. Walaupun kadang-kadang dia merasa terkilan
kerana ada yang masih mengaitkan dia dengan dadah, dia pasrah dan rela
terus dicerca seandainya itu menyenangkan hati manusia lain.
“Saya tahu, ramai yang masih berkata belakang terhadap diri saya. Mengeji saya atas kesilapan saya sebelum ini. “Ada juga terasa hati tetapi itu yang perlu
dihadapi. Saya anggap segala kata-kata negatif itu satu peringatan buat
saya untuk elakkan diri daripada aktiviti yang tidak bermoral,”
jelasnya. Bila mengenang kembali semua kesilapannya sebelum ini yang berpunca daripada dadah, ujar Mamat, dia pernah menangis kerananya. “Saya seorang yang sangat susah menangis. Tapi bila mengenang kembali kesilapan lalu, saya menangis atas kesilapan saya. “Bagaimana ketika itu saya lupa keluarga,
saya lupa anak-anak. Tetapi itulah, menangis seribu kali pun tak
berguna. Semuanya berpunca daripada saya dan itu yang buat saya mahu
berubah,” katanya.
Bagi Mamat, kemesraan dia bersama dengan
anak-anak sewaktu dulu sudah semakin menjauh daripada dirinya. Mengakui
begitu rindu untuk kembali bertemu setelah kali terakhir berjumpa pada
Mei lalu, Mamat sesekali menjadi malu untuk berhadapan dengan anak-anak
sendiri. “Jujurnya, sudah beberapa bulan saya tidak
dapat bertemu dengan anak-anak dan saya sebenarnya sangat rindu dengan
mereka. Kini, sudah tiba masanya untuk saya mencari sebuah rumah selesa
untuk saya sendiri, nanti anak-anak boleh datang,” katanya.
Tambah Mamat, dia tahu bahawa anak-anaknya
sedar yang bapa mereka mengambil dadah kerana fikiran mereka kini sudah
semakin matang. “Dahulu waktu ambil dadah, saya anggap anak-anak tidak tahu apa-apa hinggakan saya pernah mengambil dadah di hadapan mereka. “Waktu itu saya sudah bercerai dan saya
ambil dadah boleh dikatakan setiap hari. Masa itu anak-anak masih kecil
dan saya fikir ketika itu hanya mahu puaskan nafsu mengambil dadah.
Sekarang baru sedar, tetapi masa ambil kita memang tidak sedar. Kalau
dikenang balik, memang saya malu sendiri,” jelasnya.
Semua rentetan peristiwa yang berlaku itu
membuatkan dia sedar dan menjadi titik tolak untuk dia kembali
menjernihkan diri daripada gejala dadah. Hari ini, Mamat dengan azam yang kuat tidak
mahu lagi mendekatkan diri dengan mereka yang hidup dalam dunia
khayalan. Kerjaya seninya juga sudah mula menampakkan tapak yang kembali
jelas dan dia tidak mahu mensia-siakan lagi kehidupan mendatang. “Rezeki sudah semakin datang, saya juga
mahu kembali rapat dengan anak-anak, sama seperti dulu. Cukup-cukuplah
dengan kesilapan saya sebelum ini,” katanya mengakhiri perbualan.
Satu perkara yang cukup memberi kesan buat
Mamat hasil pengambilan dadah adalah bagaimana dia akhirnya bercerai
dengan isterinya. Jelas Mamat, salah satu kesan daripada
dadah adalah bagaimana kita boleh sesat arah, lupa diri, yang akhirnya
membuat kita lupa pada keluarga dan anak-anak. Perpisahan dengan bekas isterinya, Marshila Mustapa, 30, didakwa berlaku pada 29 Oktober 2009 di rumah mereka di Kuala Lumpur. Mamat terdahulu bernikah dengan Marshila
pada tanggal 2001 dan mempunyai tiga orang iaitu Aleeya Mysara kini
berusia 12 tahun, Muhammad Eiki Daniell, 10, dan Dylea Mysara, 8 tahun.
“Masa saya sudah berkeluarga dan mempunyai
anak-anak, saya aktif menghisap dadah. Boleh kata setiap hari saya
keluar, saya akan ambil. Masa itu isteri saya tidak tahu. Keluar rumah
saya hisap, balik saya buat seperti tiada apa-apa yang berlaku. “Tetapi sebagai artis, perkara jahat yang
kita buat pasti akan dihidu oleh masyarakat hinggalah perkara ini sampai
ke pengetahuan keluarga,” jelasnya. Mamat mengakui, sebab penceraian adalah
kerana dirinya yang leka mencari keseronokan kesan daripada pengambilan
dadah, sehingga mengabaikan insan tersayang.
“Ketika itu saya tengah sedap ambil dadah,
mana boleh faham perasaan anak dan isteri? Memang langsung tidak pernah
fikir tentang keluarga atau anak-anak, hendak seronok sahaja, puaskan
diri sendiri. “Jauh sekali untuk fikir tentang pelajaran dan masa hadapan anak-anak, saya memang teruk masa itu,” katanya, dengan penuh kesal. Namun, dalam kelekaan itu, keputusan untuk bercerai dibuat yang akhirnya memberi padah pada Mamat. “Bila saya ambil keputusan untuk bercerai,
macam-macam perkara yang saya terpaksa hadapi selepas itu. Saya hidup
keseorangan, akhirnya membuat saya semakin parah. Kesan daripada buat
keputusan bodoh itu membuatkan saya sampai sekarang masih lagi takut
untuk buat keputusan sendiri dan perlukan orang lain,” jelasnya.
Usai penceraian, bekas isteri membawa
haluan sendiri bersama anak-anak mereka dan Mamat kembali ke rumah
keluarganya di Johor. Malangnya, usaha untuk berubah tidak menjadi
kenyataan apabila Mamat terjebak kembali dengan dadah. Tekanan akibat
penceraian dan kehidupan membujang membuatkan dia kembali menjadi hamba
dadah. Malah, kerana dadah juga, titik tolak yang
menjadi punca hubungan antara dia dan anak-anak yang dulu mesra, ketika
itu semakin renggang.