SLIDER

soal jawab
Showing posts with label soal jawab. Show all posts

(Soal : Jawab) Mengeluarkan Air Mani Di Luar Rahim

26 Aug 2023



Soalan :  
Saya dan suami saya merancang keluarga dengan kaedah mengeluarkan air mani di luar rahim. Apakah ini tidak dianggap menolak kurniaan Allah, atau membunuh benih yang boleh menjadi anak?.

Jawapan: 
Perbuatan mengeluarkan air mani diluar rahim ketika melakukan persetubuhan dinamakan ‘azal. Ia biasanya dilakukan untuk mengelakkan dari mengandung. Hal ini berlaku sejak zaman Nabi s.a.w. 

Ini seperti kata seorang sahabah yang terkenal Jabir bin ‘Abd Allah:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ
“Kami melakukan ‘azal pada zaman Nabi s.a.w. dan Al-Quran sedang turun” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Maksud Jabir mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Nabi s.a.w iaitu masa al-Quran masih diturunkan tetapi mereka tidak pun dilarang oleh al-Quran. Maka dengan ini mengeluarkan air mani di luar rahim untuk mengelakkan mengandung adalah diharuskan. Sama dalam hal ini pil perancang untuk mengelakkan mengandung. Namun oleh kerana wujudnya hadith Muslim yang menamakan ‘azal sebagai al-wa`d al-khafi iaitu membunuh anak secara senyap, maka kebanyakan ulama memakruhkan perbuatan ini. 

Di samping itu, hadith yang lain riwayat Muslim juga menyatakan bahawa seseorang yang cuba melakukan ‘azal jika Allah kehendaki tetap akan mendapat anak. Ini mungkin kerana dia tidak dapat mengawal pancutan air mani sebelum dia mencabutnya. 

Perlu diingatkan, oleh kerana perbuatan ini boleh menyebabkan isteri hilang kelazatan persetubuhan, atau tidak sampai kemuncak kelazatannya (climax), maka suami yang ingin melakukannya hendaklah mendapat keizinan isteri. Ini kerana persetubuhan adalah hak bersama suami dan isteri. Demi keadilan dan hak isteri, maka izinnya perlunya perlu diminta. 

Inilah pendapat yang paling kuat kebanyakan ulama. Sehingga al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (wafat 463H) berkata: “Tiada khilaf di kalangan ulama bahawa tidak boleh dilakukan ‘azal dengan isteri yang merdeka melainkan setelah mendapat keizinannya. Ini kerana persetubuhan adalah daripada haknya” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 10/385, Beirut: Dar al-Fikr). 

Di samping perlu difahami, adapun hasrat mencegah kehamilan jika sebabkan bimbang kepapaan, atau kekurangan rezeki, atau kurang kemewahan adalah diharamkan kerana ianya menyamai perbuatan musyrikin dan tidak meyakini rezeki Allah. Jika disebabkan keadaan tertentu yang mendesak seperti kesihatan atau kesibukan maka ia diizinkan. 

Namun jika digunakan pencegah kehamilan secara berterusan tanpa sebab adalah diharamkan oleh para ulama. Ini jika dibiarkan akan mengurangkan jumlah umat Islam. Dinasihatkan agar kita memperbanyakkan zuriat, kerana ianya menambahkan kekuatan dan suara umat Islam dalam negara ini.  

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin


Suami Isteri, Fahami Hukumnya Sebelum Melakukan Hubungan Oral Seks. Ustaz Zaharuddin Menjelaskan Dengan Padat

15 Mar 2022



Soalan

Ustaz, apakah hukum ‘oral sex' ? atau dalam kata lainnya seks menggunakan mulut iaitu dengan menghisap atau menjilat kemaluan isteri atau mengulum kemaluan suami. Bagaimana pula jika ia dilakukan oleh pasangan kekasih yang belum berkahwin, adakah ia zina? Jika tertelan air mani suami pula ustaz, bagaimana ye?..Terima kasih atas jawapan ustaz.

- Anak Empat - 

Jawapan
Allah s.w.t menciptakan tubuh manusia dengan fungsi  masing-masing. Justeru Islam melarang dari mendatangi isteri dari ‘duburnya' dan juga semasa haid atau nifas, kesemua pengharaman ini mempunyai dalil dan nas yang khusus. Namun isu ‘oral seks' tidak mempunyai dalil khusus yang melarang, ini menyebabkan berlakunya perbezaan pendapat di kalangan ulama Islam. 

Ulama sepakat bahawa jika sekadar menyentuh atau menggosok kemaluan suami dan isteri tanpa ‘oral seks', adalah dibenarkan menurut para ulama Islam kerana ia tergolong dalam bentuk aktiviti menaikkan syahwat antara suami isteri yang diharuskan. 

Berkenaan isu oral seks, ulama terbahagi kepada dua kumpulan :- 

Yang mengharuskan :
Dr Syeikh Yusof Al-Qaradawi (rujuk www.islamonline.net)  berfatwa harus untuk mencium kemaluan isteri atau suami dengan syarat tidak menghisap atau menelan apa jua cecair yang keluar darinya. Menelan atau menghisap sebegini adalah MAKRUH disisi Islam kerana ia salah satu bentuk perlakuan zalim (meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya) dan melampaui batas dalam hubungan seksual.
Apa yang pasti diharamkan menurut beliau adalah ‘anal sex' atau seks melalui lubang dubur, kerana terdapat nas yang jelas mengharamkannya, adapun ‘oral seks' tiada sebarang nas jelas dari Al-Quran dan hadis yang melarangnya. 

Pandangan ‘harus' atau boleh dilakukan ini dikongsi oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Al-Jumaah dan juga Dr. Sabri `Abdul Ra'ouf (Prof Fiqh di Univ Al-Azhar) apabila mereka menegaskan, tindakan ini harus selagi mana ianya benar-benar dirasakan perlu bagi menghadirkan kepuasan kepada pasangan suami dan isteri, terutamanya jika ia dapat menghindarkan pasangan ini dari ketidakpuasan yang boleh membawa mereka ke lembah zina kelak. 

Perbincangan ringkas
Namun begitu, saya kira kesemua mereka yang mengharuskan termasuk Syeikh Yusof Al-Qaradawi tidak pula menghuraikan satu isu yang mungkin boleh dipanjangkan perbahasannya, iaitu bab kenajisan air mazi dan air mani. 

Justeru, saya mengira fatwa beliau mungkin boleh digunakan jika dalam keadaan tiada sebarang cecair dikeluarkan semasa aktiviti oral sex ini dilakukan. Namun keadaan ini dikira sukar berlaku kerana bagi seseorang yang normal, nafsu yang meningkat pastinya akan mengeluarkan cecair pelincir iaitu mazi. 

Air mani lelaki dan wanita dianggap najis menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Mazhab Syafie dan Hanbali pula mengganggapnya suci. 

Namun semua ulama bersetuju air mazi adalah najis. Hasilnya, majoriti pandangan ulama yang menyatakan menelan dan hisap termasuk cecair mazi ini adalah haram atau makruh berat. Beberapa ulama kontemporari menegaskan perlu membasuh dengan segera jika terkena mazi tadi. 

Mazi ibarat najis lain yang dianggap kotor dalam Islam, justeru haram memakan tahi, meminum air kencing dan termasuk juga air mazi ini. Bukan sekadar haram memakan najis malah ulama empat mazhab juga memfatwakan haram menjual najis (kecuali diketika wujudnya teknologi untuk menggunakannya sebagai baja), apatah lagi untuk menjilat, hisap dan menelannya. Sudah tentulah ia lebih lagi diharamkan. 

Selain itu, menurut undang-undang Malaysia juga ia adalah satu perara yang tidak normal, khusus buat orang yang agak luar biasa nafsunya

"Oral seks" juga tergolong dalam kategori perlakuan seks luar tabie, ia adalah salah menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebat dan 20 tahun penjara. 

Justeru, mana-mana pasangan kekasih yang melakukan perkara ini, boleh dilaporkan dan diambil tindakan oleh undang-undang Malaysia. Dari sudut undang-undang Islam, ia dikira berdosa besar dan bolehlah dijadikan sebat dan 20 tahun penjara tadi sebagai peruntukan ta'zir di dalam Islam bagi mereka yang sabit bersalah. 

Ulama Yang Mengharamkan
Kebanyakan ulama Saudi mengharamkan perbuatan ini, ini dapat dilihat dari fatwa-fatwa berikut [1] :- 

Mufti Saudi Arabia bahagian Selatan, Asy-Syaikh Al`Allamah Ahmad bin Yahya An-Najmi menjawab sebagai berikut, 

"Adapun hisapan isteri terhadap kemaluan suaminya (oral sex), maka ini adalah haram, tidak dibolehkan. Ini Kerana ia (kemaluan suami) dapat memancarkan mani, mazi dan lain-lain. Kalau memancar, maka akan keluar darinya air mazi yang ia najis menurut kesepakatan (ulama'). Apabila (air mazi itu) masuk ke dalam mulutnya lalu ke perutnya maka boleh jadi akan menyebabkan penyakit baginya. 

Melalui pandangan ini, kita dapat melihat satu point yang penting, iaitu sejauh mana tindakan ini boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan pasangan. Menurut pembacaan saya, ulama yang membolehkan perilaku ini juga bersetuju untuk mengganggapnya haram jika dapat dipastikan dan dibuktikan dari sudut saintifik, ia boleh membawa bakteria dan menyebabkan penyakit yang serius. 

Saya teringat pakar sakit puan, Dr Ismail Thambi pernah menyatakan bahawa bakteria yang berada di mulut adalah sangat banyak berbanding di kemaluan, justeru beliau menyatakan tindakan ‘oral sex' dibimbangi boleh membawa penyakit kemaluan disebabkan bahagian mulut pasangan yang mempunyai banyak bakteria dan kuman. 

Selain itu, seorang lagi ilmuan Islam iaitu Syeikh Nasiruddin Albani berkata :- 

"Ini adalah perbuatan sebahagian binatang, seperti anjing. Dan kita mempunyai dasar umum bahawa di dalam banyak hadits, Ar-Rasul melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) haiwan-haiwan, seperti larangan beliau turun (sujud) seperti turunnya unta, dan menoleh seperti tolehan serigala dan mematuk seperti patukan burung gagak. Dan telah dimaklumi pula bahawa Nabi Shallallahu `alahi wa sallam telah melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) dengan orang kafir, maka diambil juga daripada makna larangan tersebut pelarangan tasyabbuh dengan haiwan-haiwan-sebagai penguat yang telah lalu, apalagi haiwan yang telah diketahui keburukan tabiatnya. Maka sewajarnya seorang muslim - dan keadaannya seperti ini - merasa tinggi untuk menyerupai haiwan-haiwan" 

Namun, pendapat peribadi saya mendapati pandangan dan dalil yang digunapakai oleh Syeikh Albani ini adalah tidak begitu kukuh, namun saya tidak berhasrat untuk membincangkannya dengan panjang lebar di ruang ini. 

Tindakan men‘generalize' semua jenis persamaan (tasyyabbuh) sebagai haram secara total juga boleh didebatkan kesohihannya. Demikian juga menyamakannya dengan perilaku binatang, benarkah binatang melakukan ‘oral seks'?, jika sekadar menjilat mungkin ye, namun menghisap kemaluan si jantan?  Adakah binatang yang melakukannya?. Saya tidak pasti. Bagaimana pula binatang ada juga yang mencium dan memeluk pasangannya. Adakah mencium dan memeluk juga diharamkan kerana menyerupai binatang.?  Sudah tentu tidak.

KESIMPULAN
Melalui perbincangan dan pendedahan ringkas di atas, jelas kepada kita perbezaan dua kumpulan ulama ini. Dari hasil penelitian terhadap pendapat mereka bolehlah saya rumuskan bahawa :- 

1) Elok dijauhi aktiviti ini dan menghadkan kepada perilaku seks yang lebih sihat bersama pasangan. Ini bagi menjauhi perklara khilaf. 

2) Harus bagi suami isteri untuk mencumbu kemaluan pasangan mereka dengan syarat tidak menghisap, jilat dan menelan apa jua cecair. Ia juga dituntut untuk membersihkan mulut dan kemaluan mereka sebelum melakukan aktiviti ini sebaik mungkin bagai meninimakan kemungkinan penyakit. Namun ia makruh yang cenderung kepada haram (makruh tahrimi) jika perbuatan ini sengaja untuk meniru-meniru perbuatan aksi seks melampau golongan bukan Islam dan juga binatang. 

3) Haram hukumnya menelan mazi dan mani pasangan kerana Islam mengharamkan umatnya dari melakukan perkara kotor sebegini, sama juga seperti diharamkan menjual najis (kecuali baja yang akan diproses melalui dengan bahagian kimia) 

4) Hukumnya menjadi harus berdasarkan keringanan khusus yang diberi oleh Islam atau disebut ‘rukhshah' kepada pasangan yang amat perlukannya bagi mengelakkan ketidakpuasan dan membawa masalah besar rumah tangga atau lebih dahsyat lagi, zina secara rambang diluar rumah. 

5) Hukum melakukannya bersama pasangan kekasih atau mana-mana pasangan sebelum nikah yang sah adalah haram, dosa besar dan boleh didakwa dengan hukuman 20 tahun penjara di Malaysia. Namun ia tidak dianggap berzina dalam erti kata dan takrif zina yang disebut di dalam kitab-kitab Fiqh Islam. Ia hanya dianggap sebagai muqaddimah zina atau perdahuluan zina. Dalam kaedah fiqh Islam, "Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram jua" 

Sebagai akhirnya, selain dari membincangkan soal hukum, kita mesti jelas bahawa hukum Islam sentiasa ingin melahirkan keutuhan rumah tangga dan masyarakat. Kita mesti sedar dan berfikir samada tindakan oral seks ini benar-benar membawa sesuatu yang berharga buat keharmonian rumahtangga kita, dan apa pula kesannya kepada nafsu diri. Adakah ia semakin mampu dikawal atau semakin buas sebenarnya. 

Kita bimbang, tindakan ini boleh membawa kepada keinginan nafsu yang semakin membara dan tidak terkawal sehingga membhayakan diri dan masyaarakat di sekeliling kita disebabkan nafsu buas dan luar biasa yang sentiasa dilayan ini. Layanlah nafsu secara berpada-pada agar tidak ditawan olehnya kelak. 

Fikirkan...
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
19 Muharram 1429 H
28 Januari 2008

(Soal : Jawab) Upah Dari Google Adsense & Nuffnang : Haruskah? Apakah Hukumnya ?

27 Sept 2017


Salam ustaz, saya nak bertanya pasal satu advertisement blog yg bernama nuffnang ni. kalau kita letakkan subscribe nuffnang dan google adsense di blog, kita akan dapat duit upah kerana telah mengiklankan sesuatu produk. Soalan saya ialah, boleh ke kita ambil duit yang diberi dan apakah status duit tersebut? Harap UZAR dapat ulas. terima kasih 

JAWAPAN
Saya tidak pernah meneliti perjanjian yang diletakkan oleh pihak Nufnang dan Google Adsense, justeru saya sukar untuk saya memberikan jawapan yang tepat dan specifik kepada kedua-dua penyedia ruang iklan tersebut. 

Namun untuk tidak mengecewakan pihak yang bertanya, saya akan memberikan jawapan umum yang berupa panduan ringkas untuk menyemak status hukum dalam hal-hal yang melibatkan iklan dan bayaran darinya. 

Sefaham saya, isu utama dalam hal ini adalah upah yang diberi kerana membenarkan ruang web atau blog kita digunakan bagi tujuan pengiklanan oleh pihak nuffnang dan google adsense, hasil dari kemudahan yang diberikan itu, kedua pihak tadi akan memberikan upah tertentu menurut cara tertentu. 

Dari sudut aqad atau kontrak, susbstance atau inti utama kontrak sebegini jatuh dalam kategori aqad ‘menjadi wakil dengan tawaran upah tertentu' atau  wakalah bil ujr. Atau lebih tepat, dalam hal ini pemilik web menjadi wakil memanjangkan iklan syarikat-syarikat dan produk yang tersenarai dalam senarai panjang google dan nuffnang (kerana biasanya bukanlah google dan nuffnang mengiklan barangan mereka sendiri tetapi barangan dan produk pihak lain) 

Dalam konteks ini, kita selaku pemilik web dan blog dikira menjadi wakil pihak nuffnang and google untuk menyebarluaskan iklan mereka, sebagai timbal balas, ganjaran akan diberikan kepda pemilik web atau blog, berdasarkan formula kiraan tertentu sama ada berdasarkan jumlah klik dan sebagainya. 

Secara ringkasnya, bagi menentukan hukum dalam hal ini beberapa perkara perlu diambil kira iaitu:-
 
  • 1) Autoriti : Autoriti pihak yang menyediakan tawaran, dalam konteks ini adalah Nuffnang dan Google. Jika telah disemak dan dipastikan kedua-dua pihak mempunyai kredibiliti untuk melunaskan janji dan tawarannya, satu peringkat semakan hukum telah lulus. Peringkat ini penting bagi memastikan tiada unsur gharar dalam penawaran mereka. 
  • 2) Upah dan cara kiraan : Jumlah upah dan cara pengiraannya MESTILAH diberitahu dengan jelas dan boleh difahami oleh pihak pelanggan (kita). Jika perkara ini telah berjaya dipastikan dan difahami sebaiknya, tatkala itu lulus peringkat kedua semakan Shariah.
  • 3) Kandungan iklan : Kandungan iklan yang dipaparkan. Jika sekiranya kandungan yang terbit di ruangan iklan yang disediakan untuk google dan nuffnang itu memaparkan iklan yang TIDAK HALAL, seperti gambar wanita tidak menutup aurat, permainan berunsur judi, iklan forex trading, bank riba dan pinjaman riba dan apa sahaja iklan yang tidak halal, tatkala itu upah yang diterima kerana mengiklankannya juga turut haram sebagaimana kandungan iklan tersebut.
  • Prinsip Islam jelas dalam hal ini, setiap promosi produk dan iklan yang haram adalah haram juga mempromosikannya, maka setiap upah atas promosi sesuatu yang haram juga jatuh di dalam kategori haram. Dalilnya terlalu banyak antaranya adalah laknat nabi terhadap setiap golongan yang terlibat dengan arak, demikian juga riba. Juga firman Allah yang melarang kerjasama dalam hal yang membawa dosa dan permusuhan.
  • Saya difahamkan bahawa terdapat fungsi ‘filter' atau pemilihan iklan yang boleh kita benarkan terpapar di web kita. Namun begitu, masih terdapat juga iklan-iklan yang tidak sewajarnya tersiar dan di luar kawalan pemilik web. Justeru, dalam menentukan keharusan penggunaan kedua-dua Nuffnang dan Adsense, hal seperti ini mestilah terlebih dahulu dipastikan terkawal dengan sempurna.
  • 4) Cara pembayaran ; Hal ini mestilah juga disemak dengan teliti bagi memastikan tiada unsur penipuan dan gharar.
 
KESIMPULAN 
 
Jika keempat-empat peringkat iaitu semua lulus dan berjaya mematuhi hukum Islam, tatkala itu upah yang kita perolehi juga turut halal, demikian juga sebaliknya. 

Perlu diingat sekali lagi, tulisan saya ini TIDAK MEMBERIKAN SEBARANG PENGESAHAN terhadap penggunaan google adsense dan Nuffnang, ia hanya memaklumkan garis panduan yang perlu diambil kira oleh sesiapa yang ingin menyediakan ruang iklan kepada kedua pengendali iklan terbabit. 

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

1 April 2010

(Soal : Jawab) Syahwat Terangsang Tika Puasa : Gadis Keliru Antara Mani dan Mazi


Assalamualaikum W.B.K ..

Al-Fadhil ustaz,

Saya seorang gadis berusia awal 20-an dan belum berkahwin. Sebelum ini saya tidak tahu untuk membezakan antara mazi dan mani. Tetapi, alhamdulillah baru-baru ini setelah saya terbaca ruangan ini, saya tidak ragu-ragu lagi untuk membezakan antara kedua "cecair" tersebut.

Bagaimanapun, saya ingin meminta pendapat.. Oleh kerana awal Ramadhan tempoh hari saya masih "jahil" mengenai mazi dan mani, apabila saya terangsang, saya menganggap cecair yang keluar ialah MANI. 

Tetapi, jauh disudut hati saya mengatakan ianya bukanlah mani, jadi saya tetap teruskan berpuasa.

Setelah berbuka puasa, saya mandi wajib untuk keluar dari belenggu ragu-ragu. Perkara ini berlanjutan sehinggalah beberapa hari. Siangnya saya berpuasa, apabila keluar "sesuatu" saya menganggapnnya mani dan mengambil keputusan untuk mandi wajib setiap kali selepas berbuka.

Perkara ini membuatkan saya betul-betul tertekan apatah lagi bila memikirkan jumlah puasa yang perlu saya GANTI @ QADA' yang semakin meningkat HANYA kerana perasaan ragu-ragu tersebut.

Jadi, saya terdetik untuk "mencari jawapan" kepada masalah saya ini sehinggalah saya terbaca PERBEZAAN ANTARA MAZI & MANI yang terdapat dalam ruangan ini.

Sekarang saya yakin sedikit untuk membezakan antara keduanya. Hasil pembacaan dan pemahaman saya, saya dapati cecair yang keluar pada awal Ramadhan dahulu bukanlah mani, tetapi hanya mazi.

Soalan saya, apakah saya perlu mengQada' puasa-puasa yang saya ragui tempoh hari  ? Bagaimana pula jika sekarang saya sudah PASTI yang keluar ketika itu memang bukan mani??  Saya harapkan jawapan.. Tolonglah.. Terima kasih !!!

- Soalan Melalui Ruangan Komentar -


Jawapan

Wa'alaikumussalam,

1) Puasa anda adalah sah dan tidak perlu di qadha ( ganti) kerana ia tidak batal hanya kerana keluar air mazi akibat terangsang.

2) Walaubagaimanapun, pahala puasa sdri sudah tentu tergugat dan berkurangan jika  air mazi itu keluar akibat rangsangan syahwat. Jika seseorang terangsang sehingga keluar mazi, ini bermakna dia sedang melakukan satu dosa (kecualilah jika di antara suami dan isteri), kerana menurut kebiasaannya sesorang tidak boleh terangsang tanpa sebab, sudah tentu rangsangan itu datang sama ada kerana melihat gambar lucah atau bersembang dengan lelaki melalui telefon, berdepan atau 'chatting' secara bersyahwat... 

Untuk makluman, AIR MAZI adalah sejenis cecair jernih sedikit melekit dan kurang berbau yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita setiap kali ada rangsangan syahwat. Ia berbeza dengan AIR MANI pula cecair melekit dan berbau kuat seperti klorok, yang keluar hanya di kemuncak syahwat semasa persetubuhan atau ia juga boleh keluar di kemuncak syahwat apabila seseorang melakukan kesalahan mastubarsi (onani). 

Air MANI adalah sejenis cecair pekat, yang biasanya keluar dengan rasa kenikmatan. Berbeza dengan AIR MAZI yang keluar tanpa sedar, hasil peningkatan syahwat. Air mazi adalah najis dan perlu dibasuh untuk menunaikan AIR MANI, pula berbeza kerana jika keluar, seseorang itu perlu mandi hadas ( MANDI WAJIB)  untuk kembali menyucikan diri bagi melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan membaca al-Quran. 

Kembali kepada kes yang bertanya, jika benar ia adalah air mazi yang keluar disebabkan syahwat dari aktiviti tidak elok, tidak syak lagi ia adalah satu dosa dan apabila ia berlaku dalam bulan mulia ini, sudah tentulah kesannya amat besar. 

Allah s.w.t menyebut dalam hadis Qudsi :-
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ من أَجْلِي الصِّيَامُ لي وأنا أَجْزِي
Ertinya : "Dia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya hanya kerana Ku ( Allah ), sesungguhnya puasanya adalah untuk Ku dan Aku lah yang akan membalasnya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795, 2/670 )

Amat jelas lagi terang Allah s.w.t inginkan dari puasa kita penahanan dari 3 aspek fizikal iaitu tahan  makan minum dan keinginan syahwat iaitu seksual.

Dalam hal di atas, jika rangsangan benar kerana syahwat, ia menunjukkan sdri telah melakukan suatu dosa sehingga tidak dapat menjaga syahwat dengan baik sehingga keluarnya mazi semasa berpuasa. Kaffarah yang berat bagi mereka yang bersetubuh di siang hari Ramadhan sudah cukup membuktikan kemurkaan Allah s.w.t bagi mereka yang melanggar displin syahwat tatkala berpuasa. 

Jika syahwat antara suami isteri pun perlu dikawal, apatah lagi dengan lelaki atau wanita luar yang bukan mahram.  

Jika benar, ia adalah mazi yang ekluar dengan syahwat, saya nasihatkan saudari agar segera berhenti dan menjauhkan diri dari semua perbincangan dan perbuatan yang boleh menaikkan syahwat kerana ia kelak boleh menjatuhkan seseorang dalam kumpulan hina iaitu penzina yang tidak bertawbat. 

Semoga diampuni Allah s.w.t di bulan pengampunan ini. 

BEZA MAZI DENGAN KEPUTIHAN
Jika cecair yang keluar itu tidak keluar disebabkan syahwat, maka ia mungkin pula adalah cecair keputihan yang kerap berlaku kepada beberapa kumpulan wanita. Cecair jenis ini adalah najis dan perlu dibasuh sebelum solat, namun ia tidak membatalkan puasa. Tiada dosa juga atas keluarnya cecair tersebut.Tetapi cecair jenis ini TIDAK keluar kerana syahwat terangsang. Ia keluar pada waktu-waktu biasa. 

Cecair 'keputihan' ini biasanya keluar dengan sedikit kekuningan atau mempunyai bau yang busuk, berbeza dengan air mazi yang tidak berbau. Justeru, saudari perlu tentukan cecair apakah yang dimaksudkan. Jalan mudah adalah dengan bertanya kepada ibu saudari. Harapnya sang ibu mempunyai kejelasan fikiran tentang perbezaaannya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
28 September 2007
16 Ramadhan 1428 H

(Soal : Jawab) Apa Hukumnya Bersetubuh Sebelum Mandi Wajib Akibat Haid

13 Jul 2017


Assalamualaikum wbt,
Saya sudah berkahwin. Sewaktu isteri saya selesai tempoh haid, saya terus melakukan hubungan seksual dengannya tanpa menunggunya mandi wajib terlebih dahulu. Adakah saya berdosa? Saya adukan hal ini kepada sebahagian pihak dan mereka menjawab saya wajib membayar kafarah. Benarkah hal itu? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Waalaikumussalam wbt.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Adapun berkenaan dengan soalan yang ditanyakan, di dalam mazhab Imam al-Syafie, haram hukumnya seorang suami menyetubuhi isterinya dalam keadaan haid, atau dalam keadaan sudah terhentinya darah haid tetapi belum mandi. Ini berdalilkan firman Allah Taala:
وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.
(Surah al-Baqarah, 222)

Maka hukumnya berdosa besar bagi seseorang lelaki menyetubuhi isteri ketika haid, secara sengaja, mengetahui hukum haramnya, dan tanpa lupa dan dipaksa. Maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat. Suami juga disunatkan membayar kaffarah kepada golongan faqir atau miskin menggunakan matawang Islam, iaitu emas tulen.

Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas r.a.:
إِذَا وَاقَعَ الرَّجُلُ أَهْلَهُ وَهِيَ حَائِضٌ إِن كَانَ دَمًا أَحْمَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِدِينَارٍ وَإِن كَانَ أَصْفَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِنصْفِ دِيْنَارٍ
Maksudnya: Jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya sedangkan dia sedang haid, jika darahnya berwarna merah maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar dan jika darahnya kekuningan maka hendaklah dia bersedekah dengan separuh dinar
Riwayat Abu Daud. Al-Hakim mensahihkannya.

Bayaran itu hendaklah dibayar oleh si suami dan bukan si isteri kerana lelaki itu yang menyetubuh. Begitu juga jika dia bersetubuh apabila berhentinya darah haid tetapi belum mandi, maka keadaan wanita itu dianggap sama seperti yang keluar darah kekuningan. Ertinya, sunat dibayar denda separuh harga dinar.

Rujuk al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (146-147)
Satu dinar adalah 4.25 gram emas dan separuh dinar adalah 2.125 gram. Manakala jenis emas yang mempunyai ketulenan yang tinggi adalah 24 karat (24k).

Justeru dalam kes di atas, hendaklah si suami bertaubat nasuha atas kesilapan yang dilakukan. Sunat dilakukan solat sunat taubat dan juga membayar kafarah separuh dinar emas kepada faqir dan miskin, walaupun kepada seorang.

Semoga Allah menerima taubat kita dan memperbaiki urusan kita.
Wallahua’lam.

Sumber :muftiwp

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.