Anak Autisme Boleh Jalani Hidup Normal
22 Jun 2021
JUJUR
saya katakan, pada awalnya saya tidak mempercayai anak saya didiagnos
dengan autisme, tetapi dalam tempoh setahun sebelum saya dan suami
mendapatkan pandangan kedua daripada doktor lain, kami perlahan-lahan
sudah boleh menerima keadaan Dzarif,” ujar Dr. Hazlita Mohd. Isa apabila diminta bercerita mengenai pengalamannya mempunyai anak autisme.
Didiagnos ketika anaknya itu
berusia setahun lapan bulan, Dr. Hazlita menjelaskan, segalanya
terbongkar apabila Mohammad Dzarif Ahmad Hakimi dijangkiti demam campak
dan tidak mahu bercakap sebaik pulih. Menyedari perubahan yang berlaku kepada
anak bongsunya itu, Dr. Hazlita dan suami meminta pihak doktor membuat
pemeriksaan lanjut.
Ketika kejadian, Dr. Hazlita dan suami
berada di United Kingdom. Sudah menjadi prosedur hospital di sana untuk
membuat pemeriksaan berkaitan autisme terlebih dahulu sekiranya ada yang
tidak kena dengan kanak-kanak tersebut. Dalam
tempoh itu, Dr. Hazlita tidak hanya duduk diam, dia dan suami mengambil
pendekatan mencari maklumat mengenai masalah yang dihidapi anaknya.
Hasil rujukannya mendapati, ciri-ciri
autisme ada pada Mohammad Dzarif sejak dari kecil yang tidak disedari
Dr. Hazlita dan suami. “Apa yang berlaku terhadap Dzarif bukan
disebabkan kami tidak mengambil kisah mengenai perkembangannya tetapi
kami tidak perasan kerana merasakan Dzarif seperti kanak-kanak normal
lain.
“Selepas Dzarif didiagnos untuk kali kedua,
kami lebih bersikap terbuka menerima keadaannya dan mula terfikir
mengenai masa depannya.
“Ini termasuk pendidikan yang seharusnya Dzarif terima sebaik sahaja umurnya mencecah tujuh tahun.“Pelbagai persoalan timbul seperti bolehkah
Dzarif bersekolah di sekolah rendah seperti kanak-kanak normal yang
lain?” beritahunya. Ingin melihat Mohammad Dzarif mendapat
pendidikan formal seperti kanak-kanak normal, ibu kepada empat cahaya
mata ini mengumpulkan pelbagai maklumat mengenai persekolahan di
Malaysia.
Bagaimanapun, Dr. Hazlita kecewa apabila
sekolah-sekolah rendah di negara ini tidak dapat menerima Mohammad
Dzarif untuk bersekolah seperti kanak-kanak normal. Begitupun, impian doktor mata ini termakbul
apabila Sekolah Antarabangsa Taylor, Kuala Lumpur, menerima anak-anak
autisme belajar di situ. Hari ini, setelah dua tahun menjalani
kehidupan sebagai pelajar biasa di sekolah tersebut, Mohammad Dzarif
membuktikan kanak-kanak autisme boleh pulih, walaupun mungkin mereka
berhadapan masalah untuk bersosial dengan orang lain.
Kata Dr. Hazlita, dalam hal ini, ibu bapa
serta masyarakat perlu memberi peluang kepada kanak-kanak ini kerana
masih ada harapan untuk mereka, sekiranya keluarga dan guru yang
terlibat secara langsung memberikan komitmen sepenuhnya. Tambahnya, sindrom kanak-kanak autisme mempunyai tahap-tahap tertentu dan tidak semuanya sama. Begitu juga dengan Mohammad Dzarif, yang
dahulunya dikategorikan pada tahap sederhana dengan kelakuan yang sukar
dijangka, tetapi setelah diberikan pendidikan awal dan terapi berterusan
di Early Autism Project (EAP), kanak-kanak ini sudah pulih daripada
masalah tersebut dan kini dikategorikan pada tahap rendah.
Dihantar ke EAP seawal usia tiga tahun,
hari ini, walaupun masih memerlukan perhatian dan terapi,
sekurang-kurangnya usaha yang dilakukan Dr. Hazlita dan suami,
membolehkan anak mereka dapat bersekolah di sekolah biasa dan bukannya
di sekolah pendidikan khas. “Sebenarnya bukan mudah mendidik anak
autisme tanpa ilmu, kerana anak-anak ini tidak akan belajar dengan ibu
mereka, sebaliknya akan melawan dan membentak kerana enggan memberi
komitmen untuk belajar.
“Oleh itu, program latihan awal amat
penting untuk kanak-kanak autisme dan sekiranya dapat berkomunikasi pada
awal usia, masalah tingkah laku boleh dikurangkan. “Berhadapan dengan mereka sebenarnya memang
menuntut kesabaran yang tinggi selain perlu memahami sepenuhnya masalah
yang dihidapi anak-anak ini,” tuturnya lanjut. Ramai yang berpendapat, anak-anak autisme
perlu dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku dan
keupayaan anak-anak ini kerana mereka sendiri tiada ilmu untuk mendidik
golongan berkenaan.
Jelas apa yang berlaku kepada Mohammad
Dzarif membuktikan anak-anak autisme ini mampu bersekolah bersama-sama
kanak-kanak normal lain sekiranya dibantu dari awal.
Kredit : UtusanMalaysia