Risiko Kanta Lekap
6 Jun 2024
Memakai kanta lekap bukan sahaja memudahkan rutin harian dilakukan tanpa gangguan, malah ia juga memberikan keselesaan kepada pengguna kerana tidak perlu lagi mengenakan kaca mata.
Sebab itu kanta lekap menjadi kegemaran bagi menggantikan pemakaian
kaca mata. Terdapat pelbagai jenis dan warna yang menjadi pilihan
terutama bagi remaja dan dewasa.
Namun, secara realitinya tidak ramai yang peka dan mempunyai
pengetahuan tentang penjagaan dan cara-cara memakai kanta lekap yang
betul.
Perunding Ophthalmologist, Dr. Saira Fairma Ismail Mokhtar berkata,
pengguna kanta lekap perlu berdisiplin dalam penjagaan terutama aspek
kebersihan.
Ini kerana, jika silap langkah atau kurang penjagaan, kanta lekap boleh memberi masalah kepada penggunanya.
Pengguna kanta lekap perlu mempunyai motivasi tinggi jika ingin
memakai kanta lekap. Sebelum kanta dipakai, tangan perlu di basuh dengan
sabun terlebih dahulu dan biarkan kering sebelum menyentuh kornea mata.
Elakkan daripada berkongsi kanta lekap dengan orang lain dan tidak
memakainya dalam tempoh terlalu lama sehingga melebihi lapan jam.
"Bekas kanta lekap digunakan perlu dicuci setiap kali sebelum pakai.
Seeloknya pemakaian juga perlu mengikuti bilangan jam tertentu setiap
hari dan tidak disarankan tidur bersama-sama kanta lekap kerana ditakuti
ada komplikasi," katanya.
Dr. Saira Fairma berkata. pengguna yang tidak menjaga kebersihan
ketika memakai kanta lekap dan mengambil sambil lewa rutin harian
tersebut berkemungkinan berhadapan dengan risiko jangkitan pada bahagian
kornea mata.
Antara yang perlu diberi perhatian ialah jika mata merah, sensitif,
kabur atau sakit. Jika keadaan ini berlaku segera berjumpa doktor untuk
mendapatkan rawatan
Individu yang tidur dengan kanta lekap berisiko lebih tinggi
mendapat ulser kornea kerana mata lebih mudah tercedera, kurang oksigen
dan memerangkap bakteria.
"Kanta lekap yang dipakai dalam tempoh lama menyebabkan mata menjadi
bukan toleransi kepada kanta lekap. Jika berlaku keadaan sedemikian,
mereka dinasihatkan berhenti dahulu selama beberapa bulan sebelum
kembali memakainya kembali apabila keadaan sudah baik.
Kebanyakan individu yang berdepan masalah ini ialah mereka yang
tidak mengikut cara penjagaan kanta lekap yang betul selain mungkin
menggunakan cecair pencuci, rendaman atau bilasan yang tamat tempoh atau
masih menggunakan bekas menyimpan atau merendam kanta lekap yang lama
dan kotor," katanya.
Menurut Dr. Saira Fairma lagi, pemakaian kanta lekap untuk tujuan
kosmetik juga tidak ada masalah melainkan pemakainya perlu menjaga
kebersihan semasa memakainya.
Penggunaan kanta lekap kosmetik juga sama kaedahnya dengan pemakaian kanta lekap untuk tujuan rawatan.
Kebanyakan kanta lekap kategori kosmetik adalah jenis lembut dan dijual dalam pelbagai warna pilihan.
Terdapat dua jenis kanta lekap yang dijual di pasaran untuk tujuan
rawatan iaitu jenis lembut dan keras. Kanta lekap paling digemari
pelanggan adalah jenis lembut kerana lebih selesa dan mudah untuk
menyerap cecair dalam mata.
"Permukaan yang lembut juga memudahkan oksigen diserap masuk pada
permukaan kornea mata dan membantu mengurangkan berlaku masalah
kekeringan. Kanta lekap jenis pakai buang dalam kategori lembut
mempunyai waktu tertentu untuk dipakai oleh pengguna.
Kanta lekap jenis keras pula boleh dipakai dalam jangka masa yang
lebih lama tetapi meninggalkan kesan ketidakselesaan kepada mata
pengguna. Kebanyakan kanta lekap untuk merawat rabun adalah warna
jernih," katanya.
Terang Saira Fairma, terdapat beberapa sebab yang menghalang individu
berkaitan menggunakan kanta lekap sebagai alternatif menggantikan kaca
mata biasa.
Mereka yang mempunyai masalah jangkitan kuman pada mata, mata kering dan alergi mata tidak digalakkan untuk memakai kanta lekap
Individu yang sentiasa berada dalam persekitaran yang tidak bersih
dan kotor seperti debu perlu mengelakkan daripada memakai kanta lekap
kerana ditakuti memberi kesan kepada kesihatan mata," katanya.
Ujar beliau lagi, seeloknya pengguna dinasihatkan berjumpa pakar di
klinik sebelum mengambil keputusan menggunakan kanta lekap supaya kanta
yang akan dipakai sesuai dengan lengkungan kornea mata iaitu tidak
terlalu ketat dan tidak terlalu longgar.
Kanta lekap yang dibeli di kedai Optometri yang diluluskan dan
mempunyai pengesahan lebih selamat digunakan berbanding hanya membelinya
di kedai-kedai biasa.