Keperitan 10 Tahun Jadi Perempuan Simpanan
26 Apr 2011
BERCINTA dengan suami orang memang banyak manisnya, maklum
orang ada pengalaman, pandai ambil hati dan memang pakar memujuk rayu. Ini
cerita dari pengalaman Ainesofia dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang
di telefon baru-baru ini. ‘‘Biar apa pun orang kata tentang keburukannya, saya tidak
percaya, selagi tidak terkena batang hidung sendiri, baru saya tahu betapa
jahatnya hati lelaki bergelar suami orang ini. Dia bukan saja menganiaya saya,
malah hati dan puluhan ribu ringgit duit isterinya sendiri. Tapi semua itu dia
tidak peduli asalkan hajati tercapai.
‘‘Lebih sepuluh tahun saya jadi kekasih gelapnya. Biarpun
kami tinggal berjauhan saya di utara dia di Terengganu, tetapi saya sering
dibawa menemaninya di hotel apabila dia bermesyuarat. Tak kiralah betul-betul
mesyuarat atau pembohongannya. Tetapi yang pasti saya jadi “isterinya” selama
dua atau tiga hari. Samada di utara, KL, Perak atau di mana saja. ‘‘Saya berusia hampir 40 tahun ketika mengenalinya, kebetulan
tengah kesunyian selepas kematian suami, jadi komputerlah tempat saya
mencurahkan isi hati melalui laman chatting. Di situ saya kenal Emjay yang
ketika itu berusia lebih 40 tahun yang bertugas di sebuah pusat pengajian
tinggi di Dungun.
‘‘Bermula dengan menasihatkan saya kerana saya ada dua orang
anak. Akhirnya saya jatuh cinta dengan kebaikan dan kelembutannya pandai
memujuk rayu apabila bertemu. Orangnya pemalu dan pendiam, tak banyak cakap
kecuali menasihat. Namun Emjay pandai ambil hati saya. Sesiapa yang pernah
kenal dan berjumpa dengannya tidak akan percaya dia buruk perangai kerana wajah
syurga dan sentiasa senyum. ‘‘Saya rasa isterinya pun mungkin tidak tahu perangainya
sebenar, kalau tidak takkan dia sanggup membiayai perbelanjaan Emjay belajar
ambil diploma hinggalah dapat ijazah. Isterinya juga jadi penjamin dia buat
pinjaman Bank Rakyat.
‘‘Tentu pembaca bertanya mengapa saya sanggup menunggu begitu
lama? Sebenarnya sudah banyak kali saya nak tinggalkan dia kerana tak sanggup
menunggu lama janji nak berkahwin tetapi tak jadi. Tetapi dia memujuk dan
merayu, lepas dapat diploma dan naik pangkat nanti dia akan ambil saya jadi
isteri. ‘‘Namun lepas diploma dia minta tangguh lagi katanya nak
ambil ijazah pula. Begitulah dia bodohkan saya supaya tunggu dia. Hingga saya
tolak lamaran lelaki lain. ‘‘Saya dah penat menunggu dan melayan nafsunya. Anak-anak
yang dulu cuma bersekolah menengah kini dah habis universiti dan bekerja. Saya
jadi malu pada diri sendiri dan anak-anak untuk jadi teman tidurnya. Biarpun
anak-anak tak tahu saya pergi jumpa dia. Tapi saya malu dan takut kepada Allah
tambahan usia dah dekat 50 tahun.
‘‘Perubahan itu saya mula sedar kerana dia tak mahu chatting
dan telefon saya lagi. Dunia saya sunyi dan saya tertanya-tanya apa dah jadi.
Tidak menjawab panggilan saya, bukan perkara biasa, dia tak pernah hampakan
saya. Setelah beberapa hari mencuba akhirnya dia jawab. Dia minta maaf tak
dapat kahwin dengan saya. ‘‘Keraguan saya akhirnya terjawab. Dia mahu putuskan
hubungan. Alasannya dia bencikan saya kerana suka mendesak dia ajak kahwin. Dia
bosan, dia tidak bersedia berpoligami, dan dia tidak mahu saya hubungai dia
lagi. ‘‘Bayangkan hubungan kami lebih sepuluh tahun jadi kekasih
gelapnya terputus begitu sahaja semata-mata kerana saya menolak tidak mahu
melayan nafsu buasnya. Muka saja macam orang baik-baik tapi hati dan perangai
macam setan.
‘‘Secara peribadi saya memang sedih. Saya dibuang macam
sampah semata-mata kerana dia dah jumpa orang baru. Rupanya semasa kami
berkawan pun dia ada beberapa teman wanita lain. Sebab itulah dia mengelak
setiap kali saya ajak kahwin. Dulu kata ambil diploma, lepas tu ijazah sekarang
sibuk nak ambil PhD. Dan setiap kali dia kata sambung belajar dia suruh saya
tunggu lepas lulus baru kahwin. ‘‘Dalam Internet dia guna banyak nama samaran seperti Emjay,
deeface, irzafr... itu nama-nama yang dapat saya kesan dari bacaan saya tentang
tulisannya. Maklum kami dah kawan lebih sepuluh tahun, saya tahu gaya
bahasanya, dan cara penipuannya. Dengan nama samaran itulah dia menggoda
beberapa orang wanita.
‘‘Mulanya saya tak sedar dia menyamar dalam Internet
hinggalah saya ditinggalkan. Bila saya cari dia baru saya nampak nama-nama
tersebut setelah saya baca dan ikuti lenggok bahasanya. Dan saya tahu dia
sedang mengayat dua orang wanita sekali gus. ‘‘Saya sendiri setelah ditinggalkan baru sedar dibohongi.
Dulu apa juga katanya saya percaya, kerana dia pandai memujuk dan merayu. Tapi
dia mengelak setiap kali saya ajak kahwin. Dia pernah ajak saya nikah di
Thailand, bila saya setuju setelah saya bertanya cara yang betul dan apa patut
saya buat setelah nikah di sempadan dengan pejabat agama, dia pula gelabah. Dia
minta tangguh lagi sampai dapat naik pangkat lagi besar.
‘‘Emjay memang panjang akal kalau tidak masakan dia boleh
tipu isterinya, tanpa rasa malu pada anak-anak yang telah dewasa, sudah
bekerja, dan akan berkahwin. Dia sanggup tipu isterinya beribu-ribu ringgit
semata-mata untuk memuaskan nafsu dengan wanita lain. Sedangkan isterinya
berhempas pulas memerah tenaga mencari wang untuk dia dan tanggung anak-anak. ‘‘Kepada isteri Emjay yang sibuk bisnes, saya mohon maaf
selama lebih sepuluh tahun bersama suami anda. Kepada isteri yang sibuk
bekerja, pantau kegilaann suami anda. Biasanya suami sibuk dengan laptop bila
isteri sibuk bekerja, tiada di rumah atau sedang nyenyak tidur. Ini pengalaman
saya.’’ Demikian cerita Ainesofia tentang percintaannya dengan suami orang.
Kredit : SuaraHati