Hospital Terkejut, Saya dilahirkan Dengan 2 Alat Sulit — NUR SAJAT Pasrah dicipta Sebagai KHUNSA
Sejurus selepas dia
dilahirkan, pihak hospital terperanjat kerana mendapati dia memiliki dua
alat sulit. Bagaimana takdir Allah itu harus ditangani?
BIAR apa jua gelaran diberi seperti pondan diva, Ratu Mak Nyah dan sebagainya; Nur Sajat
tetap utuh berdiri melebarkan sayap perniagaannya. Tidak mudah melatah,
dia optimis hanya berpegang kepada pendirian positif; ia bisa mengubah
segalanya. Sering kali diasak mengenai status dirinya dahulu, kini
pemikirannya jauh berbeza.
Perkenalkan diri Sajat kepada pembaca InTrend?
Saya berasal dari Sitiawan, Perak. Bapa saya dahulunya adalah pegawai
Tentera Laut Diraja Malaysia tetapi sudah bersara awal. Emak saya pula
pernah bekerja sebagai pembantu makmal di sekolah, juga kini telah
bersara. Saya adalah anak keempat daripada tujuh adik-beradik. Keluarga saya biasa sahaja, sederhana semuanya. Bapa
saya bersara awal dan kemudiannya berniaga kain di pasar malam sekitar
Manjung, Lumut dan Sitiawan untuk menampung perbelanjaan kami
sekeluarga.
Sejak bila dan bagaimana Sajat menyedari dilahirkan sebagai khunsa?
Tanggal 23 Februari 1985 di Hospital Lumut, tarikh keramat inilah
yang telah membongkarkan segalanya. Pada peringkat awalnya, ia dianggap
sebagai rahsia keluarga saya. Untungnya dahulu, pegawai tentera
mempunyai kelebihan dalam mencuba kelengkapan atau peralatan perubatan
yang dianggap canggih. Umpamanya mereka diberi peluang untuk mencuba
terlebih dahulu berbanding orang awam.
Dan ketika awal kehamilan emak saya, hasil ujian imbasan kandungan
bayi mendapati jantina saya adalah perempuan. Malah nama asal saya
adalah Nur Sajadiah binti Kamarulzaman. Selepas dilahirkan, Menurut emak
dan ayah; baik mereka juga pihak hospital terkejut melihat saya kerana
mempunyai dua alat sulit. Mungkin pandangan serta nalurinya berpendapat
saya lebih cenderung ke arah lelaki, maka saya dibesarkan sebagai anak
lelaki.
Nama saya juga ditukar kepada nama lelaki serta cara saya dibentuk
juga berubah. Yalah, ayah seorang yang tegas. Maka segala keputusan
terletak di tangannya. Namun demikian, emak dan ayah mula melihat
perubahan pada diri saya ketika saya berumur dalam lingkungan enam tahun
(tadika). Menurut emak, ketika kecil saya lebih menggemari permainan
kanak-kanak perempuan seperti bermain anak patung dan bukannya bermain
alat permainan yang sinonim dengan kanak-kanak lelaki.
Memandangkan
saya masih kecil, maka saya tidak tahu- menahu jauh sekali memikirkan
apa yang akan saya tempuhi dalam jangka masa panjang. Dalam
sijil kelahiran juga tertera nama saya lelaki dan selepas apa yang
berlaku, ayah mahu menukar semula nama saya kepada nama perempuan. Dan
pihak berwajib memerlukan dokumen-dokumen lain sebagai sumber rujukan.
Namun malangnya, ditakdirkan rumah kami di Taman Sri Lekir terlibat
dalam satu kebakaran yang mengakibatkan pelbagai kemusnahan harta-benda
termasuk dokumen-dokumen penting, segala butiran dan kerja ayah sebelum
ini hangus dijilat api. Peristiwa itu berlaku sekitar 1989 atau awal
1990. Rentetan itu kami menghadapi pelbagai kesukaran untuk meneruskan
hidup ketika itu.
Maklum sahajalah, ketika zaman itu kita tidak mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk melakukan back-up dalam urusan dokumentasi dan lain- lain. Malah ketika dahulu juga
istilah perlindungan insurans masih tidak meluas seperti zaman sekarang.
Justeru, segala kemusnahan dan kerosakan dokumen gagal diperoleh
semula.
Bagaimana Sajat menyedari atau mula menyukai semua yang menjurus ke arah kewanitaan?
Pada saya ia berlaku secara semula jadi tanpa saya menyedarinya. Saya
tidak ingat bagaimana atau apakah perkara yang mencetuskannya. Tetapi
ketika berumur enam tahun, saya lebih suka bermain anak patung. Tiada
langsung ciri-ciri ke arah lelaki. Malah adik- beradik saya (kakak
sulung dan dua abang) maklum mengenai apa yang berlaku pada saya yakni
mempunyai dua kemaluan. Mereka melihat sendiri perkara dan segala peristiwa yang berlaku.
Reaksi masyarakat terutamanya jiran sekeliling berhubung isu ini?
Emak dan ayah kadangkala cuba menyembunyikan soal ini daripada
pengetahuan jiran sekeliling. Namun mulut orang, mana mungkin kita bisa
mendiamkan mereka. Jika mulut tempayan masih boleh ditutup, tetapi mulut
manusia? Malah emak dan ayah juga menanggung malu kerana minda
masyarakat ketika itu tidak memahami isu ini. Jiran-jiran keliling juga
tidak henti- henti mencemuh.
Selalu bertanyakan mengenai saya, “Eh... anak kamu itu macam mana?”
Kata mereka, saya ini anak yang cacat. Maklum sajalah, isu ini tidak
pernah timbul dalam kalangan masyarakat jauh sekali didedahkan oleh
mana-mana media ketika zaman itu. Justeru, masyarakat tidak terbuka
dalam soal ini. Selepas saya dilahirkan, kebetulan ayah menerima arahan
untuk ditukarkan ke Sarawak.
Ayah
membuat rayuan untuk menangguhkan pertukaran tetapi dek kerana
memikirkan kecaman yang perlu dihadapi, bimbang mengenai keadaan emak
saya yang perlu menjaga empat orang anak yang masih kecil; maka ayah
memilih untuk bersara awal dan kami berpindah dari kawasan pangkalan
tentera laut. Itulah pengorbanan besar ayah. Biarpun berpangkat tetapi soal maruah dan kepentingan keluarga mendahului segalanya.
Bagaimana penerimaan keluarga terhadap pendirian Sajat yang memilih untuk tampil dengan imej seperti kini?
Saya tidak mempunyai masalah daripada segi sokongan keluarga kerana
mereka memahami keadaan dan tahu segala butir cerita mengenai kisah
kelahiran saya. Cuma pada mulanya saya tidak menafikan ada masanya saya
melalui tempoh sukar apabila berhadapan dengan ayah. Tetapi
lama-kelamaan ayah boleh menerima semuanya.
Pada saya penerimaan kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga dan keluarga terdekat lebih penting.
Kerana merekalah yang menjadi tulang belakang kepada apa yang saya
lakukan hari ini. Apatah lagi apabila mendengarkan kata-kata emak, “Mak
hari-hari doakan anak-anak Mak supaya Allah ampunkan dosa-dosa anak-
anak Mak.”
Dan kepada saya itu sudah memadai untuk memberi kekuatan pada saya
bagi mengharungi setiap apa yang menanti di hadapan saya kelak. Kalau
orang lain tidak boleh menerima atau mengatakan saya cacat atau apa jua
panggilan sekalipun saya tidak ambil pusing. Kerana pada hemat saya,
jika ibu bapa boleh menerima diri kita seadanya, takkanlah pula diri
sendiri tidak boleh menerima ketentuan takdir bukan?
Jiwa memberontak apabila disogok dengan kerja-kerja yang lebih kasar dan bersifat maskulin?
Tidak terlalu ketara kerana pada mulanya saya banyak bertanya dengan
emak dan ayah mengapa saya dilahirkan seperti ini. Saya mempertikaikan
mengapa tidak diletakkan sahaja nama saya sebagai kanak-kanak perempuan
dan seumpama dengannya. Tetapi lama-kelamaan selepas diterangkan satu
persatu, barulah saya faham.
Tiada gunanya menyalahkan kedua-dua ibu bapa kerana mereka sendiri
tidak tahu bagaimana perlu menanganinya. Ia berlaku di luar kawalan
mereka. Keluarga terdekat dan ahli keluarga saya semuanya maklum
mengenai isu ini.
Malah kata ayah kepada adik-beradik saya yang lain, “Kalau apa- apa, tengokkan Sajat.” Mungkin
kerana mereka maklum mengenai isu ini maka perhatian itu kadangkala
lebih tertumpu kepada saya. Mereka tidak pernah berhenti menyokong dan
memberi kata semangat untuk saya bertahan hingga kini.
Sukar menerima hakikat ini?
Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa. Semuanya sudah tertulis dalam
qada’ dan qadar saya. Semua orang berbeza perjalanan hidupnya. Saya suka
melihat contoh dan menjadikan Dato’ Siti Nurhaliza sebagai sumber
kekuatan dalam soal ujian hidup.
Lihat saja padanya, biarpun dia memiliki segalanya namun Allah masih
menguji kekuatan dirinya dalam soal zuriat. Ini sudah cukup membuktikan,
bahawa biarpun kita dilahirkan sempurna serba- serbi (tiada kecacatan
anggota) namun masih belum lengkap dan jauh daripada kesempurnaan hidup
kita.
Bagaimana menempuhi dugaan ini ketika zaman kecil, sekolah dan seterusnya apabila meningkat dewasa?
Ketika masih kecil, saya tidak tahu apa jua kesan dan permasalahan
yang akan timbul. Sementelah masih kecil, maka hanya fikirkan
keseronokan sahaja. Bermain dan bermain tanpa memikirkan masa depan atau
apa yang akan terjadi. Tambahan pula saya tidak banyak bersosial atau
bergaul dengan rakan- rakan seusia.
Memandangkan keluarga kami besar, tujuh orang kesemuanya maka
pergaulan saya hanya dengan adik-beradik sahaja. Misalnya jika ada rakan
sekolah yang mengejek, saya akan maklumkan kepada dua orang abang saya.
Mereka yang selalu back up dari belakang. Ketika mahu melangkah ke
sekolah menengah barulah saya rasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Berkata
pada diri, “Eh, macam pelik aje aku ni.” Emak dan ayah yang banyak
memujuk dan menerangkan duduk sebenar perihal ini. Kata emak, sewaktu
mengandungkan saya wajahnya jauh lebih berseri dan nampak lain
berbanding ketika mengandungkan adik-beradik yang lain. Pada
saya itulah kelebihan yang mungkin Allah mahu tunjukkan sesuatu. Apa
sebab di sebaliknya, saya sendiri tidak pasti dan mempunyai jawapan
kukuh mengenainya.
Sering menerima cemuhan, dijadikan bahan ejekan, dikutuk; apa yang Sajat boleh katakan?
Hanya sejak kebelakangan ini saya sering menjadi sasaran atau bahan
ejekan, cemuhan dan kecaman. Pada saya, tiada gunanya jika mahu
memikirkan soal ini dengan mendalam. Lihat saja selebriti, usahawan
terkenal misalnya. Mereka juga tidak terlepas daripada menerima
kritikan, orang mengata, mengutuk dan sebagainya.
Selain itu, pada hemat saya; biarpun kita tidak mempunyai niat
untuk mengeji dan mengutuk orang tertentu, tetapi apabila ia telah
diluahkan bimbang nanti ia tidak berlaku kepada si polan. Sebaliknya
kelak akan berlaku kepada keturunan kita, anak cucu kita. Siapa tahu
bukan? Justeru berwaspadalah jika anda mahu mengumpat atau mengata.
Jika tidak kena pada orang yang menjadi sasaran, kelak pasti akan
terkena kepada saudara-mara anda. Berhati-hati dalam menyusun kata dan
perihal ini juga untuk peringatan saya juga buat anda semua.
Bagaimana Sajat kumpul kekuatan untuk berhadapan dengan pandangan serong masyarakat?
Orang akan sentiasa mencari dan memperkatakan tentang kesilapan kita.
Justeru, ketahanan daripada aspek mental dan pemikiran perlu kuat untuk
mendepani semua ini. Nobody is perfect! Setiap daripada kita pasti ada
kekurangan dan kelemahan. Itu lumrah dan fitrah seorang manusia. Tetapi
saya tidak menafikan ada masanya saya rasa lemah, tidak yakin pada diri
sendiri dan tertekan.
Rentetan itu, saya lebih suka melihat sesuatu daripada sudut yang
positif juga bergaul dengan mereka yang positif kerana individu inilah
yang memahami dan sering memberikan sokongan kepada saya supaya lebih
positif ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran mendatang. Hingga
apabila sampai satu peringkat, saya tidak mahu terlalu memikirkannya
kerana jika berbuat demikian, boleh naik gila pula! Selagi anda tidak
menyentuh soal keluarga, saya masih boleh terima.
Biarlah apa yang mahu diperkatakan orang kerana hakikatnya kita
sebagai manusia tidak mampu memuaskan hati semua orang. Apa yang lebih
penting adalah sokongan keluarga. Emak dan ayah tidak pernah jemu dan
henti-henti memberi semangat kepada saya sejak kecil lagi. Merekalah
sumber kekuatan juga adik-beradik saya yang sentiasa memahami keadaan
saya.
Pernah terdetik menyalahkan takdir hidup?
Dahulu pernah. Tetapi lama-kelamaan saya dapat menerimanya peringkat
demi peringkat. Dan kerana itulah saya suka berdamping dan didampingi
dengan orang yang positif. Saya berjumpa dengan alim ulama’, ustaz dan
sebagainya. Mereka faham apa yang saya alami. Hingga pernah mereka
berkata,
“Walaupun awak ini dua alam, tapi apa yang awak selesa, macam mana
cara awak berhadapan dengan Allah; itu antara awak dengan Allah. Apa
yang penting, awak ikhlas. Kalau awak nak solat dengan cara perempuan,
awak selesa dengan berpakaian perempuan itu semua soal antara awak
dengan Allah. Bukan awak dengan masyarakat.”
Saya berpegang kepada perihal ini sahaja, bahawa sesungguhnya tiada
yang sempurna dalam kehidupan kita. Biarpun saya maklum saya tidak boleh
berkahwin apatah lagi melahirkan zuriat sendiri, saya tetap menerimanya
dengan reda.
Lihat sahaja di luar sana, ramai wanita yang cantik rupa paras
fizikalnya, mewah kehidupannya tetapi Allah uji dengan masalah
keruntuhan rumahtangga sehingga menyebabkan perceraian dan sebagainya.
Perkara seperti inilah yang kita tidak jangka sebenarnya yang sudahpun
tertulis dalam qada’ dan qadar. Mahu atau tidak kita perlu menerimanya
dengan reda.
Kecaman paling teruk yang pernah Sajat alami?
Apabila diasak dengan pertanyaan mengenai status saya, itu antara
kecaman yang paling teruk pernah saya alami. Ada juga ketikanya saya
tertekan dan kecewa serta dalam masa sama sedih. Tetapi saya bingkas
bangun agar tidak terus hanyut dibuai perasaan. Daripada perspektif
lain, saya berpendapat apabila saya sering kali dikecam, dijadikan bahan
kritikan dan seumpama dengannya bermaksud segala tindak- tanduk dan
perilaku saya diperhati. Ada sahaja yang ingin mengambil tahu.
Tidak kiralah sama ada dalam sudut positif atau negatif. Bagi saya
golongan ini mudah sekali menghukum, mencerca dan menghina tanpa usul
periksa. Dan saya lebih senang sekadar ‘block’ akaun palsu misalnya atau
komen-komen negatif yang dilemparkan. Kadangkala saya akan mendiamkan
diri tetapi ia tidak bermakna saya beralah cuma saya tidak mahu
mengeruhkan lagi keadaan. Biarlah apa yang mereka nak katakan. Selagi
tidak menyentuh soal maruah keluarga, anak- anak atau mengganggu periuk
nasi saya; ia tidak memberikan apa-apa kesan pada saya.
Pernah berhadapan dengan konflik keluarga susulan isu ini?
Alhamdulillah, saya tidak pernah mengalaminya. Mungkin ada segelintir
daripada rakan-rakan lain yang pernah lari dari rumah, berhadapan
dengan tekanan hidup atau dibuang keluarga; tetapi peristiwa sedemikian
tidak berlaku kepada saya. Kerana pada pandangan saya, pokok pangkalnya
adalah restu ibu bapa. Jika kita tidak memohon atau memperoleh restu
mereka, hidup kita tidak akan ke mana.
Saya percaya dan berpegang kepada prinsip ini. Doa mereka yang
membuatkan semuanya berjalan dengan mudah. Mungkin juga kerana ikatan
kekeluargaan kami akrab, maka tidak timbul soal ini. Setiap permasalahan
yang berbangkit, kami akan duduk berbincang dan kerana itu jualah
hubungan dan pertalian sesama kami bertambah erat.
Ada juga sesetengah perkara yang jika mereka sifatkan tidak patut
saya lakukan; mereka akan tegur. Adat orang tua, pasti mereka akan
berleter itu dan ini. Dan cara saya melihatnya, mereka melakukannya
kerana mengambil berat dan menyayangi kita. Jika tidak, pasti mereka
akan biarkan kita terus hanyut tanpa menegur, memberi nasihat dan
sebagainya. Anggap sahaja leteran itu tanda mereka sayang kepada kita.
Mengambil dua orang anak angkat, bagaimana Sajat boleh terdetik mahu menjaga dan membesarkan mereka?
Sebenarnyasayatidakpernahmempunyai perancangan mahu mengambil anak
angkat. Secara kebetulan, tahun lalu ibu angkat saya menelefon sewaktu
saya dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur. Katanya, “Kau
nak ambil anak angkat tak?” Mulanya saya terpinga-pinga tetapi entah
mengapa saya bersetuju untuk mengambilnya.
Kata ibu angkat saya lagi, bayi tersebut baru sahaja dilahirkan di
Kuala Lumpur. Bayi tersebut adalah sepasang kembar – lelaki dan
perempuan. Syukur kerana segala urusan dipermudahkan. Saya hanya
membayar kos rawatan perubatan dan sedikit sumbangan peribadi kepada ibu
bayi kembar tersebut. Selebihnya, prosedur rasmi dengan Jabatan
Kebajikan Masyarakat juga dipermudahkan.
Kebetulan, salah seorang pegawai yang menyelia kes pengambilan anak
angkat adalah salah seorang klien saya. Maka segala urusan mengikut
prosedur walaupun saya bujang dan tidak pernah memohon untuk mengambil
anak angkat. Saya anggap ia sebagai satu keajaiban yang indah sepanjang
hidup saya.
Kini saya terhibur dengan keletah mereka, Nur Syaza Sajidah dan
Muhammad Syamin berusia setahun setengah. Sudah pandai bercakap dan
bermacam-macam lagi kerenah mereka yang membuatkan hari- hari saya lebih
bermakna. Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur.
Pandangan Sajat jika ada
golongan transgender menjadikan khunsa sebagai ‘alasan selamat’ untuk
memuaskan hati mereka memilih jalan ini?
Saya tidak boleh memberikan komen lanjut berhubung soalan ini. Tidak
mengeyakan atau menidakkan. Pada saya ia terlalu subjektif. Ya, saya
memahami mereka kerana saya berkawan selain mempunyai klien yang terdiri
daripada semua golongan misalnya tomboy, pengkid, pondan, biseksual,
homoseksual dan sebagainya.
Ada yang keliru dan mempunyai kecelaruan identiti lantas memilih
jalan ini. Masing-masing mempunyai kisah tersendiri. Selebihnya itu
terpulang kepada pendirian masing- masing. Tepuk dada, tanya selera.
Sajat kini dikenali dan segala gerak-geri sering diperhati. Senang dengan perubahan ini?
Saya tidak menyangka sama sekali akan melalui detik perjalanan
hidup seperti ini. Tidak kiralah apa orang nak mengata, sama ada saya
dikenali kerana gelaran pondan diva, ratu mak nyah dan sebagainya itu
semua tidak mendatangkan masalah kepada saya. Jika dahulunya, saya cuma
fikirkan perjalanan hidup saya biasa-biasa sahaja. Dan simboliknya, hari
ini begini pula perjalanan hidup saya.
Apatah lagi kini menceburi bidang perniagaan, pelbagai perkara harus
saya teliti dan sentiasa berhati-hati. Bukan apa, bimbang juga jika
sekiranya ada musuh dalam selimut atau sesiapa yang tidak saya kenali
ingin menghentam atau menjatuhkan perniagaan saya menerusi media sosial,
siapa tahu bukan? Saya tidak menafikan media sosial banyak membantu
meluaskan perniagaan saya dalam tempoh yang singkat. Rentetan itu, ada
juga yang tertanya-tanya mengenai siapa saya sebenarnya, apakah yang
saya lakukan sehingga berada pada tahap ini dan sebagainya.
Seboleh
mungkin ‘mereka’ akan cuba mengorek apa jua yang berlaku dalam rutin
harian saya. Biarpun ada yang mengutuk, mengata dan sebagainya tetapi
masih ada sekelompok lain yang masih sibuk dan ingin tahu mengenai diri
saya. “Eh, siapa dia ni sebenarnya? Apa yang dia buat sampai
laris produk bengkung tu? Eh, buah dada dia ni bukan ori lah!” dan
pelbagai lagi andaian orang terhadap saya.
Tetapi saya masih boleh bertahan hingga hari ini. Saya anggap ia
sebagai angin sepintas lalu. Rahsia yang tersurat dan tersirat semuanya
sudah tertulis. Rezeki yang saya peroleh hari ini bagaimana, dikenali
orang dan sebagainya semuanya pementasan di dunia sahaja. Sesungguhnya
di akhirat kelak segala titik penentu dalam setiap tindak-tanduk kita.
Itu sahaja yang menjadi pegangan saya.
Kongsikan cerita bagaimana bermulanya sejarah produk kecantikan dan label Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd?
Mulanya saya membuka perniagaan berasaskan hiburan iaitu kumpulan
penari. Saya pernah bekerja di Macau selama tiga tahun sebagai penari
dan pulang ke sini, saya menubuhkan sebuah syarikat produksi bersama
rakan kongsi. Namun dek kerana mempunyai masalah, perniagaan tersebut
ditutup. Biarpun terpaksa menanggung kerugian wang ringgit, saya cuba
pula bidang lain.
Saya bermula dengan dropship sebuah produk kecantikan kulit.
Bermodalkan RM500.00 kemudian saya beralih kepada agen pula hingga
berdikit-dikit saya kumpul untuk tampil dengan produk sendiri. Syukur
berkat usaha dan kerja keras, saya berjaya meraih pendapatan bersih
bulan pertama sebanyak RM12,000.00 sebulan.
Dan menerusi Instagram saya belajar bagaimana untuk meluaskan
rangkaian perniagaan hingga hari ini. Dari situ saya buka spa kecantikan
pertama di Galaxy Ampang. Syukur perjalanan perniagaan kini semakin
berkembang berdasarkan sokongan dan kepercayaan klien juga kekuatan
daripada staf juga keluarga.
Mengapa memilih bidang kecantikan sebagai cabang perniagaan?
Pada saya semua orang mahu kelihatan cantik. Luaran adalah pandangan
pertama apabila melihat kita. Dan kerana itu, kita harus menjaga
kecantikan diri. Pengalaman peribadi saya, kali pertama orang akan
melihat saya mereka akan pandang sekali imbas.
Kemudian mereka akan lihat pula gerak-geri. Pada saya tidak kisah
jika mereka memandang itu dari sudut yang positif atau negatif. Kerana
pandangan pertama itu membuktikan ada sesuatu yang istimewa pada diri
kita yang membuatkan orang menoleh kali kedua lantas mahu terus melihat
kita.
Daripada perspektif pekerjaan umpamanya, jika anda mempunyai
penampilan menarik, berpakaian cantik dan kemas, memiliki kulit yang
bersih sekali gus anda akan menarik perhatian orang juga membuatkan
orang lain selesa dengan anda. Dan kerana itulah saya melihat aspek
kecantikan sebagai kunci utama dalam memberi tarikan kepada sesiapa. It’s all about how you present yourself.
Rajin bersedekah dan melakukan kerja-kerja amal. Apa mesej yang Sajat ingin sampaikan?
Ia lebih kepada berkongsi rezeki sebenarnya. Saya turut memberi
wakaf, sumbangan derma serta bersedekah kepada surau-surau, rumah
anak-anak yatim, anak-anak tahfiz, golongan gelandangan dan mereka yang
kurang berkemampuan. Sejak mula menceburi perniagaan (2014) saya sudah
mula melakukan kerja-kerja amal.
Melihat
golongan yang kurang berkemampuan, baik daripada mereka yang kurang
upaya benar-benar menginsafkan saya. Benar, saya tidak sempurna tetapi
saya memahami apa yang mereka lalui. Justeru, saya bantu
sekadar yang mampu. Saya merasakan ada tanggungjawab yang perlu saya
lunaskan sebagai manusia maka dengan itu saya bantu mereka.
Dari situ juga saya banyak belajar tentang erti penerimaan dalam
kehidupan kerana sebagai manusia kita sendiri tidak pasti bagaimanakah
pengakhiran hidup kita nanti. Apa itu erti keikhlasan dan sebagainya
banyak mengajar saya agar lebih matang dalam tindakan.
Oleh: Huda Hussain
Kredit : InTrend
Oleh: Huda Hussain
Kredit : InTrend
No comments
Post a Comment