SLIDER

ofis
Showing posts with label ofis. Show all posts

Elakkan Tekanan Kerja Melampau

28 Oct 2018

Ramai antara kita yang tidak menyedari bahawa tekanan kerja sebenarnya merupakan sebahagian daripada penyakit epidemik yang sedang menyerang kita semua. 


TUNTUTAN dunia kerjaya memerlukan perhatian dan kesungguhan walaupun adakalanya kita merungut tentang beban tugas, kekangan waktu dan persekitaran tempat bekerja.
Bagaimanapun, janganlah pula kita terlalu asyik dengan kerja sehingga mengabaikan kesihatan diri.
Walaupun pekerjaan memberikan kita kebahagiaan, kajian-kajian yang dibuat jelas menunjukkan bahawa pekerjaan juga 'menyumbangkan' pelbagai jenis penyakit kepada manusia, baik bersifat psikologikal atau fizikal.

Tekanan kerja yang melampau misalnya, bukan sekadar menyebabkan manusia terpaksa mengharungi kebimbangan, masalah tidur, penyakit fizikal seperti serangan jantung dan darah tinggi, malah ada yang sampai membawa ke tahap kematian.

Asia merupakan satu-satunya rantau yang memaksa manusia bekerja dengan sangat teruk.
Walaupun jumlah jam kerja ideal yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) hanyalah 40 jam seminggu, didapati secara puratanya para pekerja di Asia bekerja lebih daripada 60 jam seminggu, bahkan ada yang mencecah 90 jam seminggu.

Bunuh diri dan kematian yang berpunca daripada pekerjaan mungkin sesuatu yang janggal dalam budaya kita. Bagaimanapun, harus diingat statistik menunjukkan pekerja di Asia sedang mengalami masalah serius.

Mati akibat kerja

Secara global, dianggarkan seramai 2.5 juta manusia telah membunuh diri kerana kerja dan 60 peratus daripada kes membunuh diri berlaku di Asia.
Di Jepun sahaja, yang terkenal dengan simptom karoshi (kematian akibat terlalu teruk bekerja), dianggarkan 10,000 pekerja mati kerana pekerjaan setiap tahun.

Trend itu nampaknya sedang merebak ke beberapa negara lain di Asia. Semua ini bermula dengan jumlah masa bekerja yang mencapai tahap optimum. Mereka mengalami burnout dan kemurungan teruk yang kemudiannya memaksa mereka mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.
Sebenarnya, negara kita juga sedang menghadapi masalah yang sama. Laporan Kementerian Kesihatan misalnya menunjukkan kadar prevalen kemurungan dalam kalangan golongan dewasa mencapai 1.8 peratus.
Walaupun ia mungkin diakibatkan oleh pelbagai sebab, tetapi salah satunya mungkin berpunca oleh pekerjaan.
Malangnya, dalam konteks budaya kita, aspek kesihatan psikologikal ini tidak dianggap sebagai isu besar.

Apabila berlaku tekanan kerja seperti kemurungan, rasa cemas dan tidak dapat tidur malam misalnya, banyak daripada kita mengambil jalan mudah dengan membuat kesimpulan bahawa individu tertentu terkena gangguan makhluk halus atau buatan orang.
Jarang yang cuba berfikir bahawa mereka mungkin sedang mengalami gangguan yang berpunca daripada bebanan pekerjaan.

Ini menjadikan, ramai antara kita yang tidak menyedari bahawa tekanan kerja sebenarnya merupakan sebahagian daripada penyakit epidemik yang sedang menyerang kita semua.
Sekiranya tidak diatasi, ia akan menyebabkan penyakit yang lain termasuklah darah tinggi, serangan jantung atau penyakit fizikal yang lain.
Kajian-kajian juga merumuskan bahawa pekerjaan adakalanya menyebabkan rumah tangga terganggu, khususnya apabila emosi negatif yang timbul akibat oleh pekerjaan dibawa pulang ke rumah.

Perasaan marah atau tekanan yang berlaku di tempat kerja kemudiannya telah menyebabkan keluarga dan anak-anak menjadi mangsa.
Salah satunya ialah melalui contagion effects. Sindrom ini berlaku apabila seseorang mengalami perasaan negatif seperti murung dan perasaan kemudiannya dipindahkan kepada pasangan atau keluarga mereka di rumah.

Pergilah bercuti 

Salah satu langkah yang boleh diambil termasuklah bercuti. Hal ini kerana bercuti didapati mampu menghindar kita semua daripada diserang pelbagai penyakit psikologikal termasuklah kepenatan dan kemurungan.
Salah satu teori yang selalu dikemukakan bagi mengupas isu berkenaan ialah Conservation of Resources Theory.

Teori itu menerangkan mengenai pekerjaan yang menyebabkan manusia mengalami pengurangan 'tenaga' psikologikal dalam diri. Ia mencetuskan tekanan kerana manusia tersebut perlu berjuang untuk mendapatkan tenaga yang hilang.

Bagaimanapun, dengan bercuti, ia mampu mengembalikan tenaga psikologikal tersebut.
Semoga kita sentiasa menghargai peluang bercuti apabila tiba waktunya. Kesempatan tersebut melupakan kita seketika dengan kesibukan dunia pekerjaan dan memulihkan semula tenaga kita untuk menghadapi dunia pekerjaan.

Kredit : kosmo


 

Sibuk Dengan Side Income, Kerja Sendiri Diabaikan

19 Sept 2017



salam semua pembaca IIUMC. Terima kasih kepada admin seandainya coretan aku ini diketengahkan untuk tatapan. Ambil lah pengajaran yang baik dari penulisan ini. Seandainya tidak bersetuju dengan apa yang dicoretkan, terpulanglah. Itu hak masing masing. Selamilah hati nurani, carilah kebenaran yang hak dan hakiki. 

Mencari sumber pendapatan tambahan adalah satu perkara yang bagus. Malahan ianya merupakan salah satu kaedah untuk meneruskan survival kita di dalam ekonomi yang teruk sekarang. Ramai yang merasakan betapa sempitnya hidup dengan hanya mempunyai satu sumber pendapatan untuk keluarga. 

Aku sangat menyokong, malahan kagum dengan keazaman mereka untuk meningkatkan ekonomi hidup mereka. 

AKAN TETAPI 

Aku tidak bersetuju dengan pendekatan yang mereka lakukan untuk mencapai azam mereka. Setakat dari apa yang aku nampak berlaku di kalangan rakan sepejabat aku, itulah yang berlaku sekarang. 

APA DIA???
“SIKAP KURANG MENGENDAHKAN KERJA HAKIKI TETAPI DALAM MASA YANG SAMA MENGUTAMAKAN KERJA – KERJA TEPI” 

Dapat gambarkan apa yang aku cuba sampaikan?? Konsep dia mudah je. Kerja pejabat kau lengah lengahkan tapi kerja tepi kau dahulukan. 

Macam mana aku tahu? Sebab semuanya berlaku di depan mata aku sendiri. Sebelum ada antara kamu yang berkata “alahai…buat apa bising kat sini IIUMC ni. Baik kau cakap dengan diorang face to face terus. Kau tulis kat sini pun bukannya diorang baca”.. 

Aku bukan bebal. Aku dah face to face dan nasihat mereka one by one. Tujuan aku tulis di IIUMC ni adalah sekadar perkongsian, dan juga untuk menegur mereka yang berperangai sama di luar sana. Siapa yang makan cili dia yang terasa kepedasannya, betul tak? 

Modus operandi mereka bagaikan skrip. Semuanya sama lebih kurang. Di dalam pejabat, dengan jelas aku boleh saksikan apa yang mereka lakukan, walaupun mereka cuba untuk menyorokkan perbuatan mereka itu. 

Contohnya:
Pekerja A merupakan seorang kerani. Pada hujung minggu beliau juga merupakan seorang jurugambar perkahwinan. Agak terkenal lah jugak namanya di daerah tempat aku tinggal ni. Sebagai seorang kerani sudah pastinya akan ada dokumen dokumen rasmi yang perlu diselesaikan. Dan selalunya dokumen dokumen itu akan melibatkan aku. Setiap kali tiba masanya aku minta untuk semakan, pastinya akan ada saja alasan. 

“Belum siap lagi” atau “Tengah difinalisekan” atau “Nak siapkan laporan lain dahulu” 

Sedangkan dalam masa yang sama aku lihat dari jauh si A khusyuk mengedit gambar2 pengantin dengan Photoshop saban hari menggunakan komputer pejabat. Macam mana nak siap laporan / dokumen kalau kamu sibuk mengedit gambar pengantin sepanjang masa?? 

Pekerja A dah ditegur oleh aku dan diberi amaran.
Pekerja B pula merupakan seorang ustaz di pejabat kami. Dalam masa yang sama pada waktu malam, beliau akan mengadakan kelas tusyen Bahasa Inggeris. Hebat ustaz ni. Bila bersembang tak lepas dari selitan tazkirah. Ramai yang kagum. 

Masalahnya, beliau rupanya selalu gunakan masa bekerja untuk membangunkan modul modul tusyennya. Sedangkan dalam masa yang sama, kerja kerja hakiki beliau di lengah – lengahkan. Bila dikejar dateline baru terkejar kejar. Kalau masa meeting selalu pula “berjaya” melarikan diri. Bila diberi tugasan adhoc ada saja alasan untuk menepis. Sangkaan awal mungkin kerana beliau benar benar sibuk tetapi ternyata tembelangnya sudah pecah. 

Ustaz ini juga dah ditegur oleh aku dan diberi amaran. 

Itulah contoh yang boleh aku berikan. Ada beberapa lagi yang wujud di dalam pejabat aku tapi tak perlulah aku tulis semuanya. Kamu semua pun boleh bayangkan macam mana kisahnya. Yang jual tudunglah, yang MLM lah, Public Mutual lah…macam macam. Ada yang bijak mengurus masa. Tapi ramai juga yang melakukan aktiviti kerja tepi pada waktu pejabat tanpa sekelumit rasa bersalah timbul di hati. 

Guna waktu pejabat untuk bukak system online bisnes mereka sebagai contoh. Semuanya aku dah jumpa dan nasihatkan. Mereka nak dengar, dengarlah. Siapa lagi yang nak menegur kalau bukan kawan sendiri. 

Kenapa jadi macam ni ya? Itu kan amanah yang telah diberi kepada kita. Adakah kerana terlalu selesa dan yakin bahawa kerja tetap itu setiap bulan gajinya masuk? Maka tak kisahlah kalau tak perform pun? Tidakkah kamu terfikir akan keberkatan gaji tersebut? Ingatlah bahawa PEMECATAN itu benar belaka saudara dan saudari, pakcik dan makcik. Jangan disalahkan majikan jika itu berlaku. Tidak mustahil. Tiada majikan yang akan membiarkan wujudnya kanser didalam organisasi. 

Akhir kata, tak salah untuk mencari sumber pendapatan sampingan. Asalkan jangan sampai mengganggu fokus kamu pada kerja yang hakiki. Kerja itu dituntut haknya dari kamu dengan setiap sen yang dibayar. Jangan buta hati kerana duit. Beringatlah. 

p/s: Aku yakin tindakan aku ini akan dibenci. Lantak pi lah. Aku dah jalankan tanggungjawab.

– Sang Pemerhati.

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.