Jangan Buang Bayi....Berikan Kepada Saya
31 Jul 2010
SAYA amat tertarik membaca luahan Wan Baling, Kedah yang
merayu agar remaja yang hamil anak luar nikah menyerahkan bayi mereka kepadanya
untuk dijaga dan tidak membuang bayi yang tidak bersalah itu ke dalam tong
sampah dan sebagainya. Untuk pengetahuan pembaca, saya sebenarnya mempunyai kisah
yang agak menarik berkaitan anak "istimewa" ini. Saya dan suami telah mendirikan rumah tangga sejak September
2002. Malangnya sehingga menjelang ulang tahun perkahwinan kami keenam saya
masih belum pernah sekalipun mengandung.
Pelbagai cara juga telah kami lakukan. Malahan usaha terakhir
saya di salah sebuah hospital swasta popular telah dikhabarkan bahawa saya yang
sebenarnya mempunyai masalah iaitu ovum @ telur yang saya hasilkan terlalu
kecil dan kerana itu ia sukar untuk bersenyawa dengan sperma suami. Akhirnya
kami pasrah. Pada 1 Syawal tahun 2008, ketika pulang beraya di kampung,
kami dikhabarkan oleh pakcik saya bahawa terdapat seorang gadis telah
melahirkan seorang bayi perempuan yang tidak berbapa.
Gadis ini bercadang untuk memberikan anak tersebut kepada
orang lain untuk dijaga. Tanpa berfikir panjang, saya dan suami segera bersetuju
dan menelefon pihak yang mengenali gadis tersebut untuk memaklumkannya. Pada masa itu, sepupu saya yang juga hampir sebaya usia
perkahwinannya dengan saya turut mahukan bayi ini kerana dia juga tidak pernah
sekalipun mengandung sepanjang usia perkahwinannya (tetapi telah mengambil
seorang anak angkat lelaki). Akhirnya kata putus dibuat dan sepupu mengalah untuk
membiarkan saya dan suami yang mengambil dan memelihara anak tersebut.
Malangnya, semenjak dilahirkan anak itu terus ditahan di wad
hospital kerana telah lemas di dalam perut ibu akibat lewat dibawa ke hospital.
Tanpa jemu dan putus asa, saya dan sepupu berulang-alik melawat bayi itu di
hospital yang terletak di Pantai Timur sedangkan kami tinggal di Lembah Kelang. Akhirnya, selepas 40 hari, barulah anak itu dapat dibawa
keluar dari hospital dan diserahkan kepada kami beserta dengan dokumen
perubatan dan temujanji doktor yang tidak kurang banyaknya.
Pada mulanya, saya yang tiada pengalaman menganggap ini
hanyalah kebiasaan pada bayi yang baru lahir. Tetapi, setelah beberapa minggu,
barulah saya perasan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada anak itu. Selepas dirujuk kepada doktor dan ditambah dengan temujanji
yang dibuat dengan doktor pakar di hospital tempat kelahirannya, barulah kami
jelas bahawa anak ini sebenarnya telah mengalami masalah akibat kemalangan yang
dihadapi di saat dia dilahirkan dulu. Telinga kiri anak perempuan saya itu tidak dapat mendengar.
Malahan tangan dan kaki kirinya juga tidak dapat berfungsi dengan sempurna
(akibat dari lemas ketika kelahiran, otak kanannya terjejas dan merosakkan
fungsi organ kiri). Untuk itu, kami perlu membawanya untuk menghadiri sesi
fisioterapi dan sebagainya.
Tetapi, sedikitpun anak ini tidak memberi masalah atau
memberi beban kepada kami. Kehadirannya cukup menceriakan seisi rumah malahan
dia menjadi perhatian semua ahli keluarga saya termasuk menjadi kesayangan
sepupu saya tadi. Tambah istimewa, hanya selepas menjaganya dua bulan dan pada
usia anak perempuan saya ini menjangkau umur tiga bulan, saya sendiri telah
disahkan hamil. Makin bertambah kasih kami kepada anak ini kerana mungkin
berkat kehadirannya dalam hidup kami suami isteri, hormon di dalam badan saya
semakin aktif dan akhirnya saya disahkan mengandung.
Kini, hampir 2 tahun berlalu dan saya sekarang menjadi ibu
kepada sepasang anak perempuan dan lelaki yang cukup comel dan keletah. Kasih
sayang kami kepada kedua-duanya tidak pernah berbelah bahagi. Malahan, tidak
keterlaluan kalau saya katakan bahawa ahli keluarga saya lebih menyayangi anak
"istimewa" saya ini berbanding adik lelakinya memandangkan dia
merupakan seorang anak perempuan yang bijak, comel dan cukup cerdik walaupun
ada sedikit kekurangan. Sebagai tambahan kepada surat dari Wan Baling, Kedah tadi,
apa yang hendak saya kongsikan di sini ialah beberapa situasi yang saya alami
sepanjang menjaga anak perempuan saya ini. Memandangkan saya dan suami berkulit hitam manis, anak lelaki
kami juga mewarisi warna kulit yang sama.
Akan tetapi, anak perempuan saya ini putih dan cerah
kulitnya. Ditambah pula dengan beza umur mereka yang agak rapat (jarak umur
hanya 9 bulan dan tumbesaran hampir sama besar), jadi seringkali, saat berjalan
sekeluarga anak-anak ini akan mendapat perhatian ramai. Pada yang tidak ambil
pusing, mereka hanya akan berbicara sesama sendiri dan menganggap anak-anak
saya ini kembar. Tetapi pada mereka yang berani dan lebih prihatin, persoalan
yang bersarang di kepala biasanya akan terus diajukan kepada kami suami isteri.
"Kembar ke? Umur berapa? Beza ye kulit mereka? Yang perempuan putih ikut
siapa?" Itu antara soalan perangkap yang sering kami terima.
Pada insan yang hanya selisih di jalanan, mungkin jawapan
mudah seperti "Iye, kembar" sudah memadai. Tetapi bagi mereka yang
berjam-jam akan berada berada di tepi kita (saat menanti temujanji doktor, saat
menghadiri kenduri kendara), jawapan sebenar tidak dapat dielakkan. Tetapi, tidak bermakna bila saya mengaku bahawa anak
perempuan saya itu hanyalah anak angkat, adalah tanda bahawa saya tidak
menghargainya atau membezakan mereka dua beradik. Seringkali cerita tentang
kehadiran anak perempuan saya ini dan kemudian kisah saya hamil selepas
kehadirannya akan turut saya ceritakan juga. Reaksi yang saya terima itulah
yang ingin saya kongsi di sini.
Dari situ saya dapat kesimpulan bahawa terlalu ramai orang di
luar sana yang tidak berpeluang untuk mengandung tetapi mahukan anak. Untuk mengambil
anak angkat melalui saluran yang betul (Jabatan Kebajikan contohnya) kami
sering dicerita dengan prosedur yang rumit dan susah sehingga menyebabkan
anak-anak tanpa status inilah yang menjadi pilihan ramai sebenarnya. Oleh itu, kepada remaja di luar sana, andainya anda sudah
tiada tempat untuk mengadu dan tidak mampu menjaga anak yang sembilan bulan
anda kandungkan, berilah kepada orang lain.
Janganlah dibuang begitu sahaja. Jangan tambah dosa yang
telah anda buat. Cuba dapatkan pula pahala apabila kami insan yang memerlukan
ini mengucapkan terima kasih kepada anda atas anugerah "anak
istimewa" ini dan juga terima kasih kerana anda tidak menjadi pembunuh. Sedikit nasihat untuk remaja terlanjur di luar sana. Atas
pengalaman saya, ibu kepada anak yang saya pelihara ini tidak didakwa walaupun
dia melahirkan anak luar nikah di hospital kerajaan. Ini kerana, melahirkan
bukanlah satu kesalahan walaupun ia merupakan dosa besar kerana melahirkan anak
luar nikah.
Menyorokkan kelahiran, membuang anak dan membunuh bayi yang
tidak berdosa itu yang salah dan perlu dihukum oleh undang-undang dunia sebelum
dihukum di akhirat kelak. Oleh itu, carilah pasangan suami isteri yang tidak mempunyai
anak kerana rasanya bukan sahaja Wan Baling Kedah yang sanggup menjaga anda ibu
terlanjur sehingga selamat melahirkan, tetapi ramai lagi pasangan yang sanggup
berbuat demikian demi untuk memastikan anak-anak yang tidak berdosa juga dapat
peluang untuk hidup seperti manusia yang lainnya.
Sebelum saya mengundur diri, tidak juga saya lupakan untuk
bercerita sedikit tentang ibu kandung anak perempuan saya ini. Gadis tersebut
yang telah insaf, kini telah pun berbahagia bersama suami dan anak perempuannya
yang baru. Malahan hubungan kami sekeluarga dengan mereka juga terjalin dengan
baik. Tidak ada apa yang perlu dirahsiakan dan dimalukan. Yang lepas biarlah
lepas.
NOOR