Suami Berlebih-lebihan Memanjakan Adik Ipar
28 Sept 2011
SAYA pasti setiap isteri mengharapkan suami akan
memberi sepenuh kasih sayang dan perlindungan kepadanya dalam melayari hidup
berumah tangga.Namun kadang kala suami alpa akan perkara ini dan meletakkan
isteri di tempat kedua dengan melebihkan orang lain dalam banyak perkara.
Akibatnya, isteri kecewa, merajuk hati dan merasakan dia tidak dipeduli
lantaran suami terlampau mengambil berat perihal adik kandungnya. Itulah luahan
perasaan Hani (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun kepada saya dalam
pertemuan baru-baru ini.
Begini cerita Hani.
Saya baru setahun berkahwin dengan suami,
Rizal (bukan nama sebenar), seorang eksekutif di sebuah bank. Kami bernikah atas dasar suka sama
suka setelah empat tahun bercinta di kampus. Suami mempunyai seorang adik
lelaki dan yang bongsu seorang perempuan, Zila (bukan nama sebenar), dua tahun
lebih muda daripada saya. Secara kebetulan setelah kami bernikah, Zila
tinggal bersama kami kerana dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian
tinggi.
Saya tidak kisah tentang adiknya yang
menumpang di rumah kami, sebab saya tahu tanggungjawab seorang abang menjaga
kebajikan adiknya. Saya juga tidak ada masalah dengan ipar saya itu. Apa yang saya terkilan adalah sikap
suami yang terlalu mengambil berat diri adiknya. Saya menyifatkan tindakannya
itu sudah melampau sehingga saya merasakan diri saya diabaikan. Sebagai contoh, setiap hari, saya
memandu sendiri ke pejabat walaupun pejabat kami berdekatan sebab suami
terpaksa menghantarnya dahulu ke kampus.
Petang, dia bergegas lagi ke kampus menjemput
adiknya. Jika adiknya itu hendak ke mana-mana, dia juga akan menghantar dan
menjemputnya. Setiap hari saya akan tiba dahulu di rumah,
sedangkan suami balik lewat. Saya faham tanggungjawab suami melindungi adiknya
tetapi berpada-padalah. Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Pada
mulanya saya sangka ia hanya untuk sementara tetapi nampaknya keadaan tetap
begitu juga walaupun telah setahun kami menjadi suami isteri.
Pernah juga saya lontarkan rasa tidak puas
hati saya kepada suami, tetapi dia kata saya cemburu. Katanya lagi, tidak salah
kalau dia memberi perlindungan kepada adiknya sebab dia perempuan, bimbang
berlaku apa-apa. Saya faham tanggungjawabnya dan saya tidak
cemburu. Saya kadang-kadang hendak juga ke pejabat bersama suami seperti orang
lain, dihantar dan dijemput sesekali. Ini tidak, hujung minggu jika saya ajak
ke mana-mana, dia akan beritahu sudah ada rancangan lain dengan adiknya. Siapa
yang tidak kecewa dan sakit hati?
Yang saya pelik, adiknya itu tidak pula rasa
segan dan menghormati hak saya sebagai isteri kepada abangnya. Apa salah sekurang-kurangnya beritahu
saya dahulu atau minta izin dan sebagainya. Kata orang manis mulut, sejuk sikit
hati saya. Pernah juga sekali dua saya sindir-sindir tetapi tidak menjadi kudis
langsung kepadanya. Saya tidak salahkan dia. Dia bertuah kerana ada abang yang
sayang dan mengambil berat tentang dirinya.
Sekarang ini bulan Ramadan. Baru tiga kali
saya berbuka dengan suami, selebihnya dia berbuka bersama adiknya, alasan tidak
sempat tiba di rumah. Memandangkan ini tahun pertama menyambut
Ramadan sebagai suami isteri, tentu saya mahu selalu di samping suami, bersolat
jemaah dan bertarawih bersama. Tapi impian saya tidak kesampaian sebab sikap
suami. Saya juga pernah bercerita tentang perkara ini dengan ibu saya, nasihat
dia supaya saya bersabar. Kata ibu, itu masalah kecil sahaja dan boleh diatasi.
Pesan ibu lagi, ini baru permulaan dugaan dalam rumah tangga. Setiap hari ada
ujian Allah untuk kita dalam rumah tangga.
Kata-kata ibu memberi saya kekuatan untuk
menghadapi masalah ini dengan tabah. Saya sebenarnya tidak tahu apa perasaan
saya sekarang. Marah atau cemburu?Mungkin sebab saya belum menyelami
suami secara mendalam setelah kami bernikah. Lagipun saya akui kami tidak ada
privasi di rumah sebab ada Zila. Dia pula di mana ada abangnya, di situ dia
ada. Sikit-sikit abang, sikit-sikit abang sehinggakan kadang kala saya naik
menyampah. Saya bukan sengaja berkongsi cerita ini dengan
pembaca tetapi saya yakin ramai yang berdepan masalah ini di luar sana.
Kepada suami dan adik ipar saya, jika terbaca
catatan ini, fikir-fikirkan perasaan orang lain juga. Jangan ingat apabila
seseorang itu berdiam masalah telah selesai. Doa dan pinta saya, yang dahulu
didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Saya berharap suami sedar sikapnya
yang melukakan hati saya dan berubah untuk kebahagiaan masjid yang baru kami
bina, Hani menamatkan ceritanya. Begitulah masalah
dalam rumah tangga, sentiasa menguji kesabaran seorang isteri.
Saya harap Hani bersabar dengan apa yang
dilaluinya, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Semua ini asam
garam rumah tangga. Cadangan saya, ajak suami berunding dari hati ke hati. Jika
perlu ajak sama keluarga kedua-dua pihak untuk memberi pandangan, juga adik
ipar anda itu. Pendekatan yang boleh digunakan, buang yang keruh ambil yang
jernih. Kata sepakat perlu agar tidak berlaku perkara lain yang boleh
merenggangkan hubungan anda berdua.
Mengakhiri catatan pesanan saya, bertindaklah
dengan bijaksana, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus
dan tepung pula tidak berselerak. Doa saya semoga semua akan kembali tenang
dalam masa terdekat.
Selamat berpuasa!