SLIDER

Sakit Gastrik di Bulan Puasa – Dr. Ruhi Fadzlyana

27 Jun 2016



Apa itu penyakit gastrik ?
Gastritis atau penyakit gastrik yang dikenali umum adalah satu penyakit yang seringkali dikaitkan dengan pedih atau sakit pada bahagian perut atau ulu hati . Mengikut ilmu kedoktoran, penyakit gastrik adalah keradangan yang berlaku di lapisan permukaan perut. Penyakit ini boleh disebabkan oleh jangkitan kuman seperti Helicobacter Pylori, alergi, merokok atau ubat-ubatan (khususnya ubat tahan sakit, aspirin dan ubat tradisional yang mempunyai kandungan steroid).

Prostaglandin adalah sejenis bahan kimia seakan hormon yang bertanggungjawab untuk melindungi lapisan perut daripada tindakan hakisan asid gastrik (asid yang dirembeskan oleh sel di dalam perut).  Apa yang terjadi pada pesakit gastritis adalah disebabkan oleh ketidak seimbangan antara 2 faktor iaitu faktor yang melindungi dan faktor agresif yang menyebabkan keradangan pada lapisan permukaan perut.

Apakah tanda-tanda penyakit gastrik?
Antara tanda-tanda penyakit gastrik adalah :
  • sakit di bahagian ulu hati
  • perut kembung
  • sendawa yang kerap
  • loya dan muntah
  • muntah darah atau najis bewarna hitam

Apa yang doktor akan lakukan?
Jika anda mengalami tanda-tanda penyakit seperti yang disebut diatas, sila kunjungi doktor yang terdekat untuk mendapatkan rawatan dan pengesahan penyakit. Doktor akan bertanyakan lebih lanjut untuk mengenalpasti punca penyakit serta faktor-faktor yang melaratkan sakit itu. Pemeriksaan dibahagian abdomen akan dijalankan untuk memastikan lokasi punca sakit.

Setelah itu, satu pemeriksaan endoskopi iaitu ‘OGDS’ (esophagogastroduodenoscopy) mungkin akan dijalankan. Ini adalah satu pemeriksaan kamera untuk melihat lapisan dalam perut serta duodenum (bahagian pertama usus kecil yang bersambung dengan perut). Prosedur ini membenarkan doktor untuk melihat di dalam perut pesakit serta membolehkan ujian biopsi untuk bakteria Helicobacter Pylori dijalankan. Selain daripada endoskopi, bakteria Helicobacter Pylori juga boleh dikenalpasti melalui ujian pernafasan yang dinamakan Urea Breath Test (UBT) dan ujian darah H.Pylori antibodi.

Setelah pengesahan penyakit serta punca penyakit gastrik dikenalpasti, pesakit akan diberikan ubat sebagai rawatan. Beberapa jenis ubat yang diberikan untuk rawatan penyakit gastrik contohnya sirap magnesium trisilicate (dikenali dengan ubat kapur putih dikalangan pesakit), gelusil, ‘histamine-blocker’ (ranitidine, cimetidine) atau proton pump inhibitor (esomeprazole, pantoprazole).

Apakah yang perlu saya lakukan?
Cara pemakanan yang tidak teratur seringkali menyebabkan penyakit gastrik menyerang. Oleh yang demikian pesakit dinasihatkan supaya makan mengikut jadual dan makan dalam kuantiti yang sedikit tapi dalam jangka waktu yang singkat (kerap makan). Kenalpasti faktor yang menyebabkan sakit berlarutan, sebagai contoh: minuman bergas, merokok atau tabiat lewat makan. Kemudian, elakkan daripada faktor penyebab penyakit itu.

Satu budaya yang selalu disalahanggap oleh pesakit gastrik adalah, pengambilan ubat tahan sakit boleh mengurangkan penyakit gastrik. Orang awam harus sedari bahawa sesetangah ubat tahan sakit mempunyai satu bahan kimia yang boleh mengurangkan penghasilan prostaglandin; seterusnya menyebabkan lapisan perut mudah terhakis oleh ‘gastric acid’. Selain daripada ubat tahan sakit, ubatan tradisional juga mempunyai komponen bahan kimia yang boleh menyebabkan produksi prostaglandin di perut terbantut. Pengambilan kedua-dua jenis ubatan ini boleh menyebabkan penyakit gastrik bertambah teruk.

Apakah yang perlu diamalkan oleh pesakit gastrik ketika Ramadhan?

Elakkan :
  • Makanan bergoreng
  • Makanan di dalam tin – kerana kandungan asid yang tinggi
  • Minuman bergas
  • Makanan yang mempunyai asid tinggi – contohnya limau, oren, tomato
  • Merokok
  • Minuman yang tinggi kandungan kafein seperti teh, kopi
  • Tidur sebaik sahaja selesai sahur atau berbuka
  • Berbuka dengan kuantiti yang banyak
Amalkan
  • Berbuka puasa dalam kuantiti yang sederhana, dan jarakkan pengambilan pemakanan. Contohnya berbuka dengan buah kurma dan segelas air seterusnya solat maghrib dahulu. Kemudian makan nasi separuh pinggan, ikan stim beserta sayuran dan buah-buahan. Selesai terawikh, makan buah-buahan, biskut oat atau roti.
  • Menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur; seperti yang diriwayatkan di dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إنا معاشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا

“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.” (Majma’ az-Zawa’id, no. 2609. Kata al-Haitsami, “Hadis riwayat ath-Thabrani dalam al-Kabir dan para perawinya perawi kitab Shahih.”)
‘Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)
  • Pesakit adalah dinasihatkan untuk mengambil ubat yang diberikan sewaktu sahur; jika diberikan sekali sehari. Sewaktu berbuka dan sahur; untuk ubatan dua kali sehari.
  • Makan makanan yang dipanggang lebih baik daripada yang digoreng.
  • Minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter sepanjang malam di waktu Ramadhan.
  • Minum air susu atau air buahan yang tidak berasid contohnya pisang sewaktu sahur.
  • Banyakkan makanan karbohidrat kompleks seperti beras perang, kekacang badam, oat.
Berjaga-jaga
  • Jika anda kelihatan letih, lesu dan pucat. Kerana komplikasi gastritis adalah pendarahan dalam perut serta kekurangan zat besi untuk pembentukan hemoglobin (darah merah).
  • Kajian menunjukkan kandungan asid paling tinggi pada waktu tengahhari. Oleh itu, jika anda mengalami sakit ulu hati yang teruk, sila dapatkan pandangan doktor kerana puasa mungkin akan memudaratkan. Namun demikian ianya tidak harus dijadikan alasan untuk tidak berpuasa sepanjang Ramadhan jika perkara yang diamalkan dan dielakkan seperti yang dibincangkan di atas tidak dipatuhi.

Dr. Ruhi Fadzlyana adalah seorang pakar bedah yang sedang bekerja di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan pensyarah di universiti tempatan.
Rujukan :

Isteri Malas Solat

13 Jun 2016




Saya sudah berkahwin hampir 6 tahun . Kami mempunyai 3 org anak. Saya berkenalan dengan isteri saya sewaktu kami menjalani kursus di luar. Isteri saya memang cantik orangnya dan pandai bergaya. Dari segi penampilan memang nampak dia seorang wanita yg berkerjaya. Saya jatuh cinta dengan dia kerana sikap dia . Walaupun dia sibuk dengan kerjaya tapi dia seorang yang lemah lembut dan pandai mengambil hati orang tua saya. Sepanjang saya berkenalan dgn dia, saya juga kenal dengan keluarga dia. Dari perkenalan inilah saya sudah nampak isteri saya selalu ponteng solat. Lagi-lagi bila dia sangat sibuk , selalu juga akan tinggal solat. 

Namun atas dasar cinta, saya teruskan perhubungan ini. Dalam hati saya berkata, saya nekad , saya akan cuba bimbing dia ikut apa yang Islam ajar. Saya nak isteri saya cantik luar dan dalam. Kami ambil keputusan untuk berkahwin. Setahun pertama perkahwinan kami , isteri saya ok menjalankan tanggungjawab dia sebagai isteri sambil dibimbing oleh saya. Saya sentiasa memberi semangat kepada dia, untuk jangan tinggalkan solat walaupun sangat sibuk. Kerana rezeki semua adalah dari Allah.

Tapi, sejak akhir-akhir ini, selepas dia dinaikkan pangkat menjadi pengurus projek, bebanan kerja isteri saya semakin banyak. Bila balik rumah dah penat. Kadang-kadang terus tidur tanpa solat terlebih dahulu. Saya tanya juga mcm mana keadaan di ofis, dia solat ke tidak. Isteri saya mendiamkan diri shaja. Kalau saya tanya lebih-lebih, dia macam marah-marah. Dulu , bila saya tegur , dia boleh terima, sekarang sikapnya jauh mahu terima nasihat malah menuduh saya tak pernah memahami keadaan dia yg sangat sibuk dan penat bekerja mencari wang. Isteri saya kata, yang saya ni suka membebel dan membuatkan dia bertambah pening.

Beberapa kali saya memberi nasihat kepada isteri dengan cara yang halus, lembut dan baik. Saya tak pernah meninggikan suara, jauh sekali nak memaksa atau menengking. Saya cuma jelaskan pada isteri akan tanggungjawab sebagai orang Islam, tak boleh tinggalkan solat. Bila mood dia ok, dia akan solat. Kalau balik ke kampung dia akan solat dihadapan orang tua saya. Anak-anak pun sering bertanya, kenapa ibu mereka sekejap solat, sekejap tak solat. Dah habis alasan saya terpaksa bagitahu anak-anak untuk tidak memalukan ibu mereka. Bila saya ajak solat berjemaah bersama anak-anak, isteri akan cakap die penat dan akan solat sendiri kemudiannya,tapi bila saya lihat kat bilik, isteri dah terlelap tidur kepenatan.

Saya tidak mahu isteri bersikap begini dan berterusan menanggung dosa. Saya juga tak mahu dihimpit rasa bersalah. Saya tak mahu jadi suami yang gagal. Sebab saya sayang isteri dan anak-anak saya. Sudi kiranya ada rakan diluar sana dpt kongsikan cara bagaimana lagi saya perlu beri nasihat kepada isteri saya dengan cara yg berkesan.

-Suami Prihatin-
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.