Jodoh Untuk Wanita Yang Tidak Cantik
Bukan
sedikit anak gadis yang resah menunggu kehadiran jodoh mereka, lebih-lebih lagi
apabila umur semakin meningkat. Ketika tumpuan kepada pembelajaran telah
beralih kepada pekerjaan, ketika alam belajar berubah ke alam bekerja, perasaan
resah itu kian menjadi-jadi. Lazimnya, yang paling terhimpit dengan keresahan
seperti ini adalah dari kalangan wanita yang tidak mempunyai kelebihan dari
segi rupa paras. Bahasa mudahnya, tidak cantik.
Ada
atau tidak jodoh untuk mereka? Itu persoalan yang seringkali menghantui hidup
mereka. Apatah lagi apabila melihat teman-teman seusia mereka seorang demi
seorang melangkah ke alam rumahtangga. Alangkah bertuahnya mereka, sedangkan
diri sendiri semakin hari terasa semakin sunyi. Drama, filem dan novel tidak
mampu menyelami perasaan dan hati mereka. Ketika mereka menangis menonton filem
dan kisah cinta, mereka sedar yang mereka hanya layak menjadi pemuja, bukan
‘pemilik’ cinta itu. Perasaan iri hati kian hebat menekan jiwa dan sensitiviti
mereka.
Akhirnya
timbullah persoalan. Sampai bila harus menunggu? Apa yang perlu dibuat untuk
mendapatkan jodoh? Kerana diri juga mahu dimiliki, disayangi. Mahu juga
bergelar isteri kepada suami dan ibu kepada putra putri yang comel. Soalnya,
bagaimana?
Ini
masalah besar atau kecil? Bagi yang memandang mungkin kecil, tetapi bagi yang
menanggung, itulah masalah mereka yang paling besar.
KEYAKINAN
DAN PERSEPSI
Sebenarnya,
asas penyelesaiannya cukup mudah. Sebagai seorang muslim yang percaya dengan
Allah, kita juga percaya dengan segala ketentuan dan kerja Allah. Jodoh, rezeki
dan ajal kita telah sekian lama ditetapkan oleh Allah sebelum kita menjejak
kaki ke bumi lagi. Saya fikir, semua orang maklum tentang pernyataan ini.
Namun,
untuk meyakinkan hati supaya percaya, bukan perkara yang mudah. Lemahnya iman
kepada Allah membawa kepada lemahnya keyakinan kepada percaturan Allah. Kita
boleh yakin malam ini ada rezeki untuk kita, tetapi kita sukar untuk yakin
suatu hari nanti akan ada lelaki datang melamar kita.
Ia
soal kepercayaan.
DILEMA
” AKU TAK CANTIK “
Pertama
sekali, apabila didatangi bisikan-bisikan hati yang mencetus keraguan, anda
harus segera ‘memeriksa’ bisikan tersebut terlebih dahulu dan jangan terus
percaya.
Umpamanya,
bisikan tentang kemungkinan tidak akan ada calon suami untuk anda. Kemungkinan
anda akan kahwin tua, menjadi anak dara tua. Anda tidak cantik. Tiada orang
yang mahu menjadikan anda isteri. Dan pelbagai lagi bisikan lain.
Analisa
dahulu dan jangan terus percaya.
Contoh
: Aku
tak cantik, siapalah yang hendak kat aku ni.
Ini
keraguan dan bisikan yang paling banyak mengacau gadis dan wanita di luar sana.
Sekiranya tidak ditapis, semua bisikan itu akan memberi kesan tidak baik kepada
diri anda sendiri. Jadi analisa semula ; benarkah anda tidak cantik?
Benarkah
anda sehodoh dan seburuk itu? Benarkah anda tidak laku dan tiada lelaki yang
mahu?
Jawapannya
: TIDAK.
Jika
anda tidak percaya, lihatlah sekeliling anda. Berjuta-juta manusia yang tidak
cantik sedang bergelar isteri dan ibu kepada anak-anak mereka. Jika tidak
cantik itu menjadi penghalang kepada jodoh, mustahil mereka boleh merasai
nikmat berumahtangga.
Kadangkala,
anda boleh lihat dengan mata kepala anda sendiri, seorang lelaki yang hensem
dan kacak tetapi beristerikan seorang perempuan yang tidak cantik, dan mereka
bahagia. Tidak cantik bukanlah bermaksud hodoh seperti hantu. Apa yang saya
maksudkan di sini adalah bukan dalam kategori cantik rupawan. Bukan dalam
kategori yang mudah menarik perhatian lelaki hidung belang.
Terbukti,
yang tidak cantik itu ada jodohnya, bahkan kadangkala hidup mereka jauh lebih
bahagia dari si cantik.
AWASI
BISIKAN SYAITAN
Maka
langkah pertama yang saya sarankan di atas adalah jangan mudah percaya dengan
bisikan dan cetusan negatif dari hati anda sendiri. Anda perlu sedar, bahawa
apa yang sedang dibincangkan ini sangat berkait rapat dengan soal KEIMANAN
kepada Allah. Iman ertinya percaya dengan yakin. Jodoh juga termasuk
dalam soal ini. Kepercayaan dan keyakinan kepada Penguasa seluruh alam, iaitu
Allah.
Hendak
yakin seperti itu, hati kita kenalah bersih. Kerana iman itu letaknya di dalam
hati. Jika sinaran iman kita lemah, pergantungan dengan Allah kurang, maka
senanglah syaitan masuk ke dalam hati kita. Syaitan akan berusaha merajai dan
mengawal hati kita dengan harapan kita akan berputus asa dari rahmat Allah. Ini
memang kerja syaitan sehingga hari kiamat, sepertimana janjinya kepada Allah.
Jika
anda berjaya membersihkan hati, dengan cara memperbanyakkan zikir, solat dan
membaca Al-Quran, bisikan-bisikan itu tidak akan berjaya mengambil tempat di
hati anda. Keyakinan anda kepada Allah akan bertambah kuat. Ketika anda
mengharap hadirnya seorang lelaki yang baik untuk anda, pengharapan itu anda
sandarkan kepada Allah. Bukan lagi kepada manusia.
Maka
dengan itu, insyaAllah anda akan menjadi tenang.
USAHA
Baik,
selepas anda melaksanakan step di atas dengan baik dan berusaha keras menjaga
hati dari bisikan-bisikan negatif, timbul pula persoalan bagaimana untuk anda
berusaha. Benar, sebagai manusia kita tidak boleh hanya bertawakkal semata-mata
bahkan perlu disertakan juga dengan usaha. Umpamanya mahu makan nasi. Kita
tidak akan kenyang jika hanya duduk bersila di atas katil tanpa membuat apa-apa
. Maka di samping keyakinan kita bahawa adanya rezeki untuk kita, keyakinan itu
perlulah disertakan dengan tindakan kita keluar bekerja dan mencari rezeki.
Begitu
juga dengan jodoh.
Jangan
mengharap jodoh akan datang bergolek depan pintu, sedangkan anda berkurung
sahaja di dalam rumah. Sebagai wanita, ada caranya untuk anda berusaha bagi
mendapatkan jodoh. Lebih-lebih lagi jika anda tidak mempunyai kelebihan dari
segi rupa paras dan anda lebih sukar untuk menarik perhatian lelaki.
Wanita
cantik, mungkin berbeza keadaannya. Ramai yang beratur untuk mencuba nasib.
Maka
dalam soal berusaha ini, anda sebenarnya boleh menggunakan apa sahaja cara dan
strategi yang difikirkan perlu, dengan syarat ; ia tidak bercanggah dengan
syariat Islam . Antaranya :
1-
PERIGI CARI TIMBA
Memalukan.
Ini reaksi biasa yang diterima apabila solusi seperti ini cuba diutarakan.
Minda masyarakat kita tidak boleh menerima risikan seorang wanita ke atas
lelaki. Lelaki yang perlu pergi kepada wanita sebaliknya wanita hanya perlu
menunggu kehadiran lelaki.
Sebenarnya,
walaupun pihak wanita yang datang merisik pihak lelaki, ini bukanlah suatu
keaiban di sisi Islam. Ia cuma dilihat menyalahi adat sahaja. Namun perlu diingat,
dalam Islam kita tidak diajar untuk menyusahkan diri dengan karenah birokrasi
yang tidak perlu. Maka ambillah adat itu sekadarnya sahaja.
Maka
jika pihak wanita yang memulakan terlebih dahulu pun, ia boleh dikira termasuk
dalam kategori berusaha dan ia dibolehkan di sisi syarak.
2-
MEMBINA KARISMA DIRI
Saya
lebih cenderung mencadangkan usaha ini kepada mana-mana wanita yang keresahan
memikirkan tentang jodoh. Saya pernah menulis satu artikel bertajuk cantik
pada nilaian lelaki yang mana tujuannya lebih kurang sama ; iaitu untuk
memberi motivasi kepada wanita di luar sana yang merasakan diri mereka ‘tak
cantik’.
Jangan
terlalu sugul memikirkan tentang jodoh. Jangan terlalu risau lambat bertemu
dengan jodoh. Jangan terlalu dihantui rasa rendah diri, sehingga anda hilang
diri anda sendiri! Ini yang paling saya tegaskan.
Anda
wajib percaya, bahawa pada sekujur tubuh anda itu, ada seribu satu kelebihan
yang Allah berikan pada anda. Cuma, mungkin anda tidak mengetahui
kelebihan-kelebihan tersebut kerana anda sendiri tidak kenal diri anda sendiri.
Saya ulang, anda TIDAK KENAL diri anda sendiri.
Saya
pernah menulis bahawa bagi lelaki, cantik rupa paras itu bukan perkara nombor
satu selepas berkahwin. Ini hakikat dalam alam rumahtangga. Maka sepatutnya,
isu cantik atau tidak itu jangan anda perbesarkan, sehingga ‘kecantikan’ lain
dalam diri anda gagal untuk digilap.
Suatu
hakikat yang perlu anda tahu tentang lelaki adalah ; lelaki suka wanita yang
karismatik.
Lelaki
mudah tertarik kepada wanita yang berani, mampu berdikari, bijak, cerdik,
matang, boleh menjadi kawan ketawa dan kawan menangis, memahami, berpandangan
jauh, prihatin, pandai memberi sokongan dan pelbagai lagi.
Dan
suatu lagi hakikat yang perlu anda segera sedar adalah ; kesemua sifat di atas
tidak wujud HANYA pada wanita yang cantik sahaja! Adakah anda sedar?
Anda
mungkin tidak sedar jika anda adalah seorang yang sangat suka berangan, gemar
menonton cerita cinta Korea dan gila membaca beratus-ratus buah novel cinta.
Kenapa? Kerana di dalam ‘dunia’ itu, anda hanya akan melihat watak heroin yang perfect,
bahkan very
perfect.
Heroin
itu seorang yang cantik menawan. Kemudian dia juga seorang yang berbakat,
cerdik, pintar, matang, berkarisma, berkaliber dan seribu satu kelebihan yang
lain. Manakala kawan kepada si heroin pula biasa-biasa sahaja. Tidak cantik dan
tidak banyak kelebihan yang ada.
Watak-watak
khayalan inilah yang sedang membutakan anda, dan juga telah berjaya membutakan
ramai ‘calon suami’ anda di luar sana. Apabila mahu berumahtangga, ciri-ciri
yang dicari pada seorang wanita itu mestilah cantik dan menawan. Kalau tidak,
dia akan merasa ‘kalah’ dengan watak di dalam drama dan filem.
Anda
juga mungkin begitu jika terlalu percaya dengan cerita yang anda baca atau
tonton.
Anda
harus segera sedar, bahawa watak dalam filem atau drama itu adalah diri anda.
Anda mampu untuk bahagia seperti watak itu. Anda layak untuk didampingi lelaki
yang baik, seperti watak itu. WALAUPUN anda tidak secantik heroin dalam filem.
Maka
dari situ, anda akan segera bertindak membina karisma dalam diri anda. Jika
anda seorang pelajar, anda akan menjadi seorang pelajar yang tip top,
bukan yang biasa-biasa. Pencapaian dalam akademik nombor satu. Penampilan anda
kemas dan terjaga. Perilaku anda sangat tertib dan menyenangkan siapa sahaja.
Penglibatan dalam persatuan, program dan aktiviti sangat cemerlang. Jika dalam
program anda adalah pengarah, maka anda dilihat sebagai pengarah yang sangat
professional. Jika anda seorang penyelaras program, anda dilihat sebagai
seorang yang teliti dan bijak berstrategi. Jika anda di alam pekerjaan pula,
anda dikenali sebagai pekerja yang penuh dengan komitmen, bijak mengutarakn
idea baru yang bernas, konsisten dalam melaksanakan kerja dan paling utama,
akhlak anda menyenangkan semua rakan sekerja.
Sedar
atau tidak, anda sedang menjadi perhatian ramai lelaki yang sedang mencari
teman hidup mereka. Dan lelaki-lelaki ini, sudah tentu bukan jenis yang hidung
belang atau jenis buaya, kerana lelaki jenis itu hanya mementingkan aspek
kecantikan rupa paras dalam hidup mereka. Lelaki yang baik akan semakin
menghampiri anda, dan semakin anda kelihatan ‘tegas’ dan ‘cemerlang’ , maka
semakin tinggilah saham anda di depan mereka.
3-
MENJADI DIRI SENDIRI
Tahukah
anda, bahawa menjadi diri sendiri itu suatu bentuk usaha? Ramai orang tersilap
langkah. Resah memikirkan jodoh yang tidak kunjung tiba, dia berubah menjadi
orang lain. Biasanya, mereka ini akan berusaha untuk meningkatkan aspek
kecantikan diri, dengan harapan lelaki akan menghampiri mereka.
Daripada
seorang anak dara yang tidak pandai bermake-up, dia menjadi anak dara yang make-up
nya setebal tiga inci. Bulu kening dinipiskan. Baju yang longgar semakin
diketatkan. Tudung yang labuh semakin disingkatkan. Gambar pelbagai pose di upload
dan ditayang di blog dan facebook. Segalanya dibuat semata-mata untuk
melayakkan dirinya menjadi gadis terhangat di pasaran.
Ini
mengarut.
Jadilah
diri anda sendiri. Anda perlu faham bahawa pada diri anda itu ada benda yang
boleh diubah dan ada benda yang tidak boleh diubah. Perkara ini perlu difahami
sebelum anda meletakkan prinsip : Lelaki perlu terima aku seadanya.
Contoh
yang tidak boleh diubah adalah benda-benda yang bersifat fizikal. Ketinggian,
warna kulit, bentuk hidung dan sebagainya. Semua ini tidak perlulah anda ubah
atau perbaiki. Terimalah itu sebagai diri anda dan lelaki yang baik akan
menerima anda seadanya.
Tetapi
benda yang boleh diubah perlulah anda ubah. Contohnya cara anda berjalan, cara
ketawa, tabiat, sikap negatif dan termasuk juga berat badan (jika anda ada
masalah kegemukan). Kesemua ini jika anda enggan ubah, maka janganlah anda
sewenang-wenangnya mengharapkan lelaki masuk meminang dan kemudian menerima
anda seadanya. Itu sukar.
Anda
jenis yang ketawa berdekah-dekah. Ini buruk pada pandangan lelaki. Anda perlu
ubah. Anda seorang yang tabiat suka tergedik-gedik atau melatah yang
bukan-bukan. Ini perlu diubah. Berat badan juga begitu. Anda tidak menjaga
pemakanan dan tidak suka bersenam. Ketika berat badan anda bertambah dan
semakin membulat, anda berdegil untuk tidak berusaha mengurangkan berat badan
dengan alasan ‘ ini diri aku dan lelaki perlu terima aku seadanya’. Itu konsep
yang silap.
Maka,
jadilah diri anda sendiri pada perkara-perkara yang haram diubah. Sebaliknya
yang wajib diubah, anda perlu terus ubah. Itu tidak dinamakan hipokrit, itu
namanya berusaha memperbaiki diri sendiri ke arah yang lebih baik.
KESIMPULAN
Jodoh
untuk manusia adalah suatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah. Dalam hal
ini, perkara terbaik yang perlu diusahakan adalah meningkatkan keimanan,
keyakinan dan pergantungan kepada Allah sepertimana diterangkan di awal artikel
ini. Kemudian, janganlah terlalu memikirkan perkara negatif serta kelemahan
diri, sebaliknya berusahalah untuk memperoleh jodoh dengan cara-cara yang
disarankan seperti di atas.
Sebagai
hamba, usaha itu perlu. Biarlah Allah yang menilai keikhlasan kita dalam usaha
tersebut. Sampai masa, DIA akan hadirkan lelaki yang terbaik untuk kita. Dengan
syarat, kita benar-benar percaya dan yakin dengan Allah ta’ala, dan dalam masa
yang sama kita benar-benar konsisten dengan semua usaha yang kita lakukan.
Buat
akhirnya, renungilah suatu hadith Nabi s.a.w :
Sekian.
No comments
Post a Comment