SLIDER

Apabila Suami Di Goda Jiran

11 Apr 2018


KISAH minggu ini untuk kita baca dan cermin diri sendiri. Benarkah ‘wanita adalah musuh besar kaum wanita sendiri?’ Sebab terdapat sesetengah wanita suka menggoda suami kaum sejenisnya lantas menghancurkan masa depan mahupun kehidupan keluarga wanita itu sendiri. Demikian e-mel Ros kepada penulis dua kali selepas surat dari seberang laut yang dihantar tidak sampai ke tangan penulis. Ketika kami berbual tiga kali melalui telefon, Ros memberitahu, dia sudah lama berhasrat menghubungi penulis tetapi keadaan tidak mengizinkan. Cuma baru-baru ini apabila keadaan sudah tidak dapat dikawal lagi beliau berusaha hingga berjaya menghubungi penulis minggu lalu.

Ros tidak lagi tinggal di Malaysia, setelah bersara awal dari perkhidmatan kerajaan dua tahun lalu. Beliau mengikut suaminya yang tinggal di seberang laut. Menurut Ros, walaupun masalah yang dihadapinya masalah biasa, tetapi sebagai wanita dan isteri yang terlalu sayangkan rumah tangganya, beliau ingin menyelamatkan perkahwinannya dari menghadapi keruntuhan dan berharap wanita yang mengganggu hidupnya itu membaca kisah ini dan insaflah bahawa perbuatannya bukan sahaja salah, malah berdosa besar. ‘‘Tujuan saya memaparkan masalah ini bukan untuk mencerca, sebaliknya mengharapkan wanita tersebut cepat berubah, jangan lagi mengganggu suami saya, sebaliknya layani dan sayangilah suaminya. 

‘‘Seperkara lagi tolonglah jangan menghasut anak-anak anda membenci saya dan bertindak keterlaluan merosakkan rumah yang saya tinggalkan, begitu juga pada jiran-jiran, jangan terus berbohong menegakkan benang basah, di samping menyembunyikan perbuatan keji yang dilakukan. ‘‘Masalah saya ini bermula kira-kira tiga tahun lalu setelah hampir 10 tahun berkahwin dengan warga negara asing bernama Zaky yang kebetulan ketika itu berkhidmat beberapa tahun di negara ini. ‘‘Perkahwinan kami melalui perkenalan oleh seorang kawan baik. Ketika itu Zaky seorang duda. Bekas isterinya sudah pulang ke negara asal sementara anak-anak tinggal di rumah beliau di negaranya.

‘‘Setelah tamat perkhidmatan Zaky kembali ke negaranya. Tinggallah saya sendirian. Sebulan atau dua minggu sekali beliau akan datang menemui saya di utara Malaysia. Di situlah bermula segala-galanya. Kerana setelah berhenti kerja dia sering berada di rumah, dia berbaik-baik dengan jiran tetangga. Tetapi jiran sebelah rumah kami yang seorang ini, Masni namanya lain sikit, sikap dan perbuatan beliau berbeza sekali. ‘‘Sebagai contoh dia hanya berbual dan berkawan dengan Zaky tidak dengan saya, bila nampak saya balik kerja, dia terus masuk rumah dan tidak mahu menegur saya. Kalau saya tegur, dia tak jawab. Memang sombong sejak dulu, kami yang tinggal setaman dah kenal perangai beliau. 

Dia merasakan dirinya orang berada, kaya, ayahnya orang ternama dan suaminya ada kilang. Kelebihannya dia cantik, jadi kami jiran setaman tak layak dibuat kawan. ‘‘Kerana suka berbual dengan Zaky, beliau sering mengajak Zaky makan dan minum petang di rumahnya. Semua itu tidak menjadi masalah kalau suami beliau ada bersama. Tapi masalahnya, suaminya strok dan terlentang tak boleh bangun dibiarkan di bilik atas banglonya. Sementara tiga anaknya tidak tinggal bersama kerana seorang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, dua orang lagi menuntut di IPTA.

‘‘Jadi pada siang hari mudahlah mereka berbual dan bertandang kerana tidak ada siapa yang menegur dan menghalang. Mulanya saya tidak ambil pusing, sebab saya bekerja tentulah Zaky memerlukan teman berbual. Tetapi layanan Masni lain sikit. ‘‘Hubungan sulit mereka terbongkar apabila satu hari Zaky melahirkan resahnya sambil berkata, adalah tidak adil bagi suami Masni tidak ceraikan isterinya, sedangkan dia tidak boleh berfungsi sebagai suami. Bila saya tanya maksudnya, katanya, dia kesian dengan Masni sudah beberapa tahun tidak mendapat layanan batin.

‘‘Rasa kasihan yang agak pelik ini membuat saya bertanya bagaimana dia tahu perasaan Masni. Katanya, Masni selalu memberitahu masalah batinnya. Kemudian saya tanya kembali Zaky apa perasaannya kalau ditakdirkan dia strok patutkah saya minta cerai? Sudah tentu dia kecil hati. Kata saya, adalah menjadi tanggungjawab isteri menjaga suami yang sakit, bukan saja semasa sihat dan senangnya. Bukankah perkahwinan ini mengharapkan kesetiaan hingga ke akhir hayat, sama-sama susah dan senang. Zaky terdiam.

‘‘Peliknya Masni tidak pernah menceritakan masalahnya pada saya. Saya hairan mengapa dia lebih percaya dan dekat sekali dengan Zaky? Pada mulanya saya percayakan Zaky kerana dia memang alim tetapi perbuatannya suka bertandang ke rumah Masni membuatkan saya jadi curiga. ‘‘Untuk memastikan dia di rumah, saya sering telefon Zaky pagi dan petang, memang Zaky tak jawab. Bila saya tanya, katanya, dia ada di rumah dan tak dengar bunyi telefon. Memang pelik. Jadi ke mana dia pergi kalau tidak ke rumah Masni? 

‘‘Isteri manakah yang dapat menutup mata, hati dan perasaan terhadap suami yang kian berubah? Walaupun dia sering berang kalau saya tanya hubungannya dengan Masni, namun saya tetap bertanya. Dan dia menafikan ada hubungan dengan Masni. ‘‘Kerana Zaky lekas baran, saya jumpa Masni satu hari dengan harapan dia sedar perbuatan kejinya itu. Tetapi Masni menafikan dan tidak mahu bersumpah dengan al-Quran. Bila saya kata, perbuatannya berdua-duaan dengan suami saya itu berdosa dia memberitahu, dia cuma berbincang dan hanya meminta nasihat Zaky. Kalau nak bincang mengapa tak tanya saya atau kadi mengapa minta nasihat orang lelaki, dan mengapa dia suka melarikan diri setiap kali saya balik kerja atau ketika bersua muka dan mengapa dia tidak menjawab bila saya tegur. Dia membisu tidak menjawab.

‘‘Sebagai usaha untuk meredakan keadaan, saya minta Zaky tidak datang ke Malaysia tetapi saya akan menemuinya, walaupun itu bermakna saya akan menghabiskan ribuan ringgit dan cuti kerana berulang alik ke negerinya. ‘‘Malangnya tindakan saya itu juga tidak berjaya kerana mereka masih berhubung melalui telefon, Internet dan berjumpa. Ketika anak-anaknya cuti semester dan saya ada di Malaysia kerana bekerja, saya lihat Masni tidak ada di rumah, kata anak-anaknya ibunya ke rumah datuk. Dan logikkah alasan Masni bertandang ke rumah besan, sedangkan anak menantunya disuruh jaga suaminya di rumah. Tindakannya menimbulkan prasangka mungkinkah dia menemui suami saya di luar negara?

‘‘Pada zaman syarikat penerbangan MAS mempunyai penerbangan terus dua tiga kali seminggu ke negara suami saya memang mudah untuk Masni ke sana walaupun dua tiga hari bagi melepaskan rindu. ‘‘Sebenarnya saya tak sangka niat baik saya mengizin dan membenarkan Zaky pergi menjenguk suami Masni yang strok pada mulanya dulu telah membawa padah kepada hubungan kami suami isteri.‘‘Saya benar-benar tidak menyangka Masni sanggup membelakangkan suaminya sedangkan suaminya memberikan segala-galanya. Depan suami saya, Masni sanggup mengutuk dan memanggil suaminya dayus kerana tidak menceraikannya. Sedangkan dia tidak pernah minta cerai.

‘‘Masni bukan muda lagi, usianya sudah menjangkau 50-an tahun dan sudah ada cucu, tetapi sanggup menduakan suaminya. Untuk menutup perbuatan maksiatnya, beliau memburukkan saya pada jiran-jiran dan anak-anaknya. Kalau dulu dia tak suka berbaik dengan jiran, tetapi sejak saya bercerita dengan jiran baik saya tentang perbuatannya yang kurang manis itu beliau telah berbaik dengan jiran lain menafikan cerita saya sambil memburuk-burukkan saya. ‘‘Akibatnya saya dipandang serong oleh jiran-jiran. Pada sangkaan mereka takkanlah wanita kaya, cantik, dari keluarga berada itu sanggup bertindak serong. 

Dan anak-anaknya yang masih menuntut di IPTA pula dihasut memusuhi saya, hingga mereka sanggup merosakkan pokok-pokok tanaman saya. Bukan setakat potong dan gunting pokok pagar saya, malah meracunnya sampai mati.‘‘Kalaulah jiran-jiran boleh merenung sejenak, apakah perasaan mereka jika suami mereka digoda oleh jiran, tentu mereka faham perasaan saya. Jangan sangka wanita kaya, cantik, anak orang kaya serta lembut, pijak semut tak mati itu baik dan tak pandai goda suami orang. ‘‘Namun ada juga jiran yang percaya dan menjauhkan diri dari saya. 

Saya juga nasihatkan Masni supaya jangan goda suami saya lagi dengan mempamerkan tubuhnya dengan berpakaian malam yang tipis di belakang rumah, supaya Zaky dapat melihatnya dari rumah kami. Dia dah lama buat hal ni. Satu hari dia terperangkap apabila saya yang keluar di pintu belakang.‘‘Kerana termalu sebab itulah dia hasut anak-anaknya racun pokok pagar saya sampai mati, supaya dia boleh buat free show untuk suami saya. Saya cuba jumpa dia secara empat mata tetapi dia mengelak.

‘‘Saya pernah perangkap suami saya dan Masni dengan balik rumah dari pejabat lebih awal dari biasa. Puas saya ketuk pintu Zaky lambat buka. Bila saya jenguk belakang rumah, saya nampak kelibat Masni berlari balik ke rumahnya. ‘‘Zaky juga menyimpan gambar Masni dalam komputernya. Saya juga jumpa bukti Masni datang ke rumah Zaky di sini (di luar negara) setiap kali saya balik ke Malaysia. Saya nampak butiran batu manik tudung yang berkilat di atas karpet dan katil, sedangkan saya tidak ada tudung dan baju berbatu manik seumpama itu. Lagipun Zaky tidak suka. Hanya Masni suka pakai tudung dan baju berbatu manik. Dan rumah kami tidak pernah dikunjungi orang Malaysia. Jadi siapa lagi yang datang?

‘‘Kalau anak-anaknya pandai mereka boleh perangkap ke mana sebenarnya ibu mereka pergi. Setiap kali ibunya mendakwa ke rumah datuk, mereka boleh pergi cari atau telefon bertanya apakah cerita ibunya benar atau tidak. Tapi Masni memang pandai, dia yang sering telefon anak-anaknya konon bertanyakan suaminya. ‘‘Satu lagi bukti, pernah terjadi satu hari saya ajak Zaky singgah membeli-belah di sebuah kompleks yang baru dibuka. Zaky berkata berapa kali lagi saya nak pergi ke kompleks itu. Sedangkan saya tak pernah pergi, bila saya beritahu Zaky saya tak pernah pergi dan dengan siapa dia pergi, Zaky tergamam kerana terperangkap bahawa dia pernah pergi dengan Masni.

‘‘Saya telah berkorban berhenti kerja lebih awal mengikut Zaky demi kebahagiaan kami, tapi sia-sia. Mereka tetap berhubung. Saya berdoa agar Masni akan berasa akibatnya. Apa perasaannya kalau menantunya curang dan menggoda suami orang. Kerana saya yakin setiap perbuatan kita sama ada baik atau buruk akan ada pembalasannya dari Allah. Dan fikirlah juga apa hukumnya kalau menduakan suami terutama suami yang sedang sakit. Bertaubatlah Masni,’’ demikian cerita Ros. Katanya, dia tidak menyangka skandal wanita di bandar kecil juga hebat bukan setakat di KL saja.

Inilah dunia, dan inilah manusia. Yang membezakan sikap manusia antara satu sama lain cuma akal, jika akal tidak digunakan dengan baik, tanpa disokong dengan didikan agama semua perkara buruk boleh berlaku. Tak kira di mana mereka berada. Semoga doa Ros agar rumah tangganya kembali aman dimakbulkan Allah.

Kredit : UtusanMalaysia

Jangan Hina Minah Kilang , Mat Kilang

10 Apr 2018


Nama aku Ana, aku berumur 25 tahun dan sudah bekerja di Sebuah kilang di Utara Tanah Air. Aku bukan graduan dari IIUM , tapi aku tergerak hati nak share satu cerita dengan korang semua.

Dulu masa aku habis SPM, aku duduk rumah sahaja tengok tv dan tunggu keputusan UPU keluar. Aku contact kawan-kawan aku masa sekolah dulu tanya khabar mereka, ternyata mereka baik-baik sahaja dan sementara menunggu tawaran sambung belajar; kebanyakan mereka bekerja di kilang-kilang dan pasaraya. Aku tak tahu apa yang merasuk fikiran, lantas mempersendakan mereka dalam hati aku. selamba sahaja aku cakap mereka tiada masa depan. Ya aku tahu, teruk nya aku.

Tak lama selepas itu, selang beberapa bulan, aku dapat tawaran masuk ke sebuah universiti Swasta di Selangor. Uni aku tu agak well known lah jugak. Di sana , aku ambil program Asasi setahun. Selesai sahaja program asasi aku itu, aku balik bercuti di rumah selama 3 bulan. Mak aku bising-bising sebab aku duduk sahaja, menghabiskan beras katanya. haha. lalu aku pun mengambil keputusan untuk bekerja.

Merata aku cari kerja, tapi semua reject aku atas alasan aku nak bekerja sekejap sahaja. Memang lah, aku cuma mahu kerja untuk 3 bulan sahaja. Aku hampa, tetapi masih lagi mahu mencari duit poket. Sekurang-kurangnya ada jugak la benda nak dibuat.

Satu petang, aku balik rumah dan mak cakap kat aku , “kilang tempat siti anak pak cik mail tu ada nak pakai operator.. cuba kamu mintak situ.. dapat la jugak duit untuk topup handphone..”

aku pun macam.. “eh… kilang?? apa kelas kerja kilang??” . Lalu mak aku berikan jelingan menusuk kalbu dia tu. aku pun pasrah je lah. Esoknya aku pergi ke kilang tu. Tak jauh dari rumah aku, 5 KM sahaja. Lalu aku jumpa siti di pondok guard, dan siti bawa aku menuju ke HR. di sini bermula cerita aku.

Aku perhati mereka yang duduk di dalam ofis, semua berpakaian segak. cantik. Mata masing-masing menghadap skrin monitor dan tangan ligat menaip tanpa peduli siapa pun yang lalu lalang. tak apa, ini baru first impression sahaja.

ketika di-interview, aku ditanya sama ada mahu bekerja sekejap sahaja atau lama ; dan pelbagai soalan diajukan. Selesai interview dan ujian . aku dibawa turun ke shopfloor. tempat dimana semua operator bekerja. Untung nasib aku kerana kilang aku ni ambil semua orang melayu bekerja, tiada satu pun orang asing. kebanyakannya Makcik-makcik.

aku dihantar ke Leader untuk dilatih selama 3 hari. Oh, kilang aku ni kilang automotif. selesai 3 hari latihan, baru aku dimasukkan ke dalam Team aku yang diketuai oleh En Nizam (supervisor aku) . Team aku ni ramai orang muda. katanya orang muda ini rajin dan cepat tangkap apa yang diajar. So aku rasa selesa lah.

Sepanjang bekerja di sana, aku berkenalan dengan beberapa orang kawan baru. Kebanyakan mereka graduan yang sedang menganggur dan menunggu pekerjaan tetap. kos mereka di universiti bukan biasa-biasa, ada yang civil engineering, medic, account, dan beberapa kos lagi aku tak ingat. dah mereka baru sahaja habis belajar. kebanyakan makcik2 dalam tu pulak saja je nak kerja sebab boring duduk rumah, anak takde ; masuk poli , Uni, etc.

3 bulan aku kerja kilang, hidup aku berubah 360. kalau selama ni aku pandang rendah kat orang, Tuhan warning aku. Dia jadikan aku dikalangan orang-orang yang aku pandang rendah tu. Hebat Allah Taala. 3 Bulan berlalu, aku berhenti kerja, sambung belajar masuk Degree. Lepas habis degree, setahun aku menganggur. cari kerja sana sini tak dapat-dapat. last-last aku buat keputusan untuk masuk balik dalam industri kilang-kilang ni.

Alhamdulillah, rezeki aku diterima masuk company sekarang ni. aku antara eksekutif termuda la dalam kilang ni. Umur 24 (2016). eksekutif lain2 semua macam berusia sikit. hehe. Team aku, bawah aku ada 40 orang perempuan Malaysia yg kerja dengan aku. 30 orang daripadanya budak-budak lepasan SPM. baru-baru ini, kan result SPM keluar. so Team aku terpaksa tutup kedai lah sebab 30 orang cuti hari result keluar tu. 

dan teka apabenda. 

esoknya diorang datang kerja, muka berseri je masing-masing. aku tanya apahal senyum-senyum ni. nak kahwin dah ker?? lepas tu diorang bagitahu lah result SPM diorang kat aku. mostly 4 A keatas wei. hahahah. apsal lah engkorang ni kerja kilang. diorang macam aku lah masa muda-muda dulu. kerja sebab nak cari duit poket je. bukan nak komited sangat pun.

Ternyata tanggapan aku terhadap pekerja kilang yang muda-muda ini bodoh belaka Tu SALAH SEKALI. tidak. mereka tidak bodoh. Mencari duit poket itu tidak bodoh. aku yang bodoh kerana terlalu awal judge diorang. Mungkin ini mindset yang orang2 tua selalu terapkan pada anak-anak yang kalau kau kerja kilang = kau bodoh. Pesan aku pada semua orang, tolong sangat-sangat jangan pandang rendah pada pekerja-pekerja kilang ni. Ya betul tempat kerja diorang tak se-Gah tempat kerja korang, tapi apa beza kau dengan dia? Makhluk Tuhan jugak.

coretan ni untuk motivasi semua pelajar lepasan SPM, penganggur dan pekerja kilang. aku pun pekerja kilang, tak ada apa yang dimalukan. Aku pernah jadi orang bawah, dan juga orang atas. Rezeki itu Tuhan yang tentukan. Usaha lebih, bersyukur, nanti Tuhan bagi lebih. insyaAllah. aku doakan semua pekerja (tak kisah la kerja apa pun) semoga terus sukses dan kental hidup di zaman Najib ni…

Assalamualaikum.

– Ana

Kredit : IIUMC



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.