SLIDER

Baik Dan Buruk WhatsApp: 7 Jenis Group WhatsApp Paling Lazim

13 Feb 2023



Di zaman teknologi maklumat ini, kebolehan untuk berkomunikasi dengan pantas dan mudah memang sudah menjadi satu keperluan. Satu aplikasi popular di kalangan pengguna adalah WhatsApp, yang dimiliki oleh Facebook sejak awal 2014. Dianggarkan 1 bilion orang menggunakan aplikasi ini, menjadikannya aplikasi pesanan ringkas paling popular di dunia. Lebih 30 bilion mesej WhatsApp dihantar setiap hari. Pentingnya WhatsApp dalam kehidupan seharian boleh dinilai dari reaksi pengguna apabila operasi aplikasi ini terganggu, walaupun untuk seketika.

Selain daripada komunikasi antara individu, satu kegunaan WhatsApp adalah membentuk kumpulan yang membolehkan kita boleh berbual-bual dengan ramai orang pada waktu yang sama. Memang tidak dinafikan, jika digunakan tanpa sebarang pengawasan, WhatsApp boleh mendatangkan impak yang negatif. Banyak group WhatsApp yang kita ‘mute’ kerana hari-hari membincangkan perkara yang tidak berfaedah, malahan dijadikan ruang untuk menyebarkan fitnah. Namun begitu, kita harus meneliti konteks yang lebih besar di mana WhatsApp ternyata memudahkan hidup kita.
Perniagaan melalui WhatsApp mahupun penyebaran maklumat penting dalam kelompok besar antara contoh terbaik mengapa aplikasi ini begitu popular. Untuk membantu kita menilai kebaikan dan keburukan Whatsapp dari aspek kehidupan seharian, mari kita lihat 7 'group' WhatsApp yang paling lazim.



1) Group Bekas Rakan Sekolah

Pada asalnya group ini diwujudkan atas dasar nostalgia, di mana kita boleh kembali bertemu dengan rakan di sekolah dahulu seperti majlis ’reunion‘.
Di majlis tersebut, topik perbualan yang popular adalah “Kerja di mana?“, “Dah kahwin ke?” mahupun “Eh dah kurus ya awak”. Group ini berbual dengan topik yang serupa setiap hari kerana ada ramai ahli maka kita kena tahu semua pekerjaan mereka.

Apabila dah tahu status perkahwinan semua orang, group ini mula hilang arah. Ahli-ahli mula berkongsi jenaka-jenaka yang diambil daripada Facebook ataupun Twitter.

Kadang-kadang bila isteri kita ternampak gambar gadis yang mendedahkan aurat berat di telefon kita, kita tahu group inilah yang harus dipersalahkan.



2) Group Taska

Selepas kita menghantar anak ke taska mahupun tadika, selalunya kita akan dimasukkan ke dalam satu group bersama ibu bapa yang lain.

Di sini kita boleh melihat guru tadika menghantar gambar aktiviti harian anak-anak sebelum ibu bapa memberi komen-komen bangga terhadap anak mereka.

Selebihnya, group ini dijadikan medium pesanan kepada guru agar tidak lupa beri anak sedut Ventolin, memulangkan botol susu yang tertukar, mahupun memberitahu kita ambil anak lambat sebab jalan sesak.



3) Group Jiran Tetangga

Dulu-dulu terbau aroma nasi goreng yang dimasak jiran boleh terus datang bawa pinggan sambil menyanyi keriangan macam iklan Adabi, tetapi generasi muda-mudi mungkin  perlu pendekatan berbeza dalam membentuk komuniti kejiranan yang sihat.

Group WhatsApp Jiran Tetangga ini memang bermanfaat kerana dapat melangkaui jurang usia dan status sesama jiran.

Antara perkara yang sering dibincangkan di sini adalah berkenaan yuran pengawal keselamatan, jemputan ke kenduri khatan anak, mahupun bagaimana mengatasi masalah denggi yang semakin meruncing di kawasan perumahan.



4) Group Perniagaan

Group Perniagaan ini sebenarnya ada banyak nama, ada juga yang panggil group #2Kerja.

Namun begitu saya ingin fokus kepada salah satu cabang ‘perniagaan‘ iaitu MLM. Kadang-kadang rakan sekolah yang kita jarang bertegur sapa tiba-tiba memberi salam dan menambah kita dalam group ini.

Kadang-kadang kita nak terus keluar group tetapi tak sampai hati kerana nak jaga hati kawan.

Bagi mereka yang membuat keputusan untuk terus kekal di dalam group ini, rakan kita tadi yang selama ini pendiam akan memberi kata-kata semangat seperti "Sampai bila nak makan gaji?" dan "Taknak hantar mak pergi haji?" agar kita terus berusaha mencari mangsa, maksud saya pelabur lain.



5) Group Saudara Mara

Ini adalah group yang anda tidak boleh keluar sesuka hati, kerana apabila anda balik kampung ketika hari raya nanti, pasti Mak Ngah anda akan mengungkit "Amir Rashidi, kenapa kau keluar daripada group? Kau dah tak sayang Mak Ngah ya?".

Group ini pasti ada ramai ahli kerana semua orang, dari sekecil-kecil sepupu baru darjah satu, hinggalah ke nenek saudara yang sudah veteran, semuanya memiliki telefon pintar.

Perbualan selalunya berkisar tentang perbandingan keputusan peperiksaan, dapat masuk sekolah asrama ataupun tidak, mahupun perkongsian resepi  Ayam Masak Lemak.



6) Group Tazkirah

Semasa di zaman universiti dahulu, apabila ada geng tabligh yang mengetuk pintu, kita dengan berat hati akan memakai seluar panjang dan dengan tabah mendengar ilmu agama yang disampaikan mereka.

Samalah macam group tazkirah, kalau ada orang dah masukkan anda, memang rasa berdosa untuk keluar daripada group.

Maka setiap kali ada orang berkongsi ilmu tajwid ataupun menyuruh anda boikot barangan Yahudi, anda hanya membalas dengan emoji ibu jari sebanyak tiga kali.

Sesekali kakak atau abang tazkirah senior akan berkongsi klip video nasyid ’Kasih Kekasih‘ yang memberi mesej bercinta selepas kahwin.



7) Group Majikan

Group ini selalunya dicipta oleh bos sebagai tempat untuk menyampaikan amanat pengurusan kepada anak buah mereka.

Ahli-ahli di dalam group ini mengamalkan gaya percakapan yang profesional dengan gaya tatabahasa yang betul kerana tidak mahu mengguris hati majikan, sekaligus mempengaruhi KPI mereka.

Namun begitu pasti wujud satu kumpulan berhaluan kiri yang terdiri daripada ahli-ahli Group Majikan, tidak termasuk bos itu sendiri kerana ingin mengumpat dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan.



Adakah anda merupakan ahli group WhatsApp yang disebut di atas?

Ataupun anda lebih rindukan zaman sebelum WhatsApp di mana semua orang duduk bersemuka, bebas daripada kekangan telefon pintar untuk membincangkan isu semasa?




*  Faizal Rosly adalah seorang pemerhati media sosial dan juga peminat tegar Liverpool FC. Tweet @ijaicool atau ikuti blog beliau.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

Oleh : Faizal Rosly
Kredit : AstroAwani

Isteri Tidak Pernah Di Sentuh Suami Sehingga Usia Perkahwinan Setahun Lebih

2 Feb 2023




Ada sesuatu tentang dia yang gagal saya kesan meski pun telah berkenalan bertahun-tahun lamanya. Zahirnya perkahwinan kami nampak bahagia di pandangan keluarga dan sahabat handai.

Tapi di sebalik senyuman manis dan kebahagiaAn itu, terselit duka yang akhirnya membawa kepada penceraian.

Sukar dinyatakan puncanya, perkahwinan yang berusia setahun lebih yang cuba dipertahankan akhirnya kecundang jua.

Saya dan suami membina hubungan atas dasar cinta yang membawa kami ke gerbang perkahwinan.

Namun, saya tidak menyangka suami tidak dapat menjalankan kewajipan dengan sempurna.

Sebagai isterinya yang sah saya tidak pernah menerima hak batin yang sepatutnya dia berikan.
Kesibukan tugas si suami sering kali diberikan alasan, dan hampir enam bulan berumah tangga, saya masih belum disentuhnya.

Hanya doa dan air mata, penguat semangat. Kehidupan kami sebagai suami isteri seolah-olah ‘berpura-pura’.

Kelihatan bahagia di depan orang, sedangkan asing di rumah sendiri. Sering kali apabila ditanya, bila akan menimang zuriat saya hanya tersenyum kelat.

Saya hanya mampu memberikan jawapan, rezeki belum tiba lagi. Hanya ALLAH SWT memahami apa yang saya rasakan. Kepada keluarga kedua belah pihak, saya cuba rahsiakan. Bimbang mengaibkan suami.

Pada awalnya, saya memikirkan yang suami mempunyai masalah kesihatan dan sebab itu dia seringkali mengelak dengan memberi pelbagai alasan. Oleh sebab itu, saya cuba mencari alternatif sendiri dengan mendapatkan khidmat ustaz yang boleh merawat.

Saya juga berusaha membawa suami mendapatkan nasihat doktor pakar. Namun, ikhtiar saya mendapat reaksi negatif suami.

Pelbagai alasan diberikan. Akhirnya, segala usaha hanya sia-sia. Suami mula berubah tingkah laku. Dia tidak pulang ke rumah dengan alasan kerja lebih masa.

Pembohongan demi pembohongan, katanya kursus sana sini. Alasan yang kadang kala tidak masuk akal. Saya mula hilang sabar.

Penat dengan kerenah dia yang tidak cuba menyelesaikan masalah, sebaliknya mengusutkan lagi keadaan kami.

Setahun lebih memandam perasaan, saya nekad ke pejabat agama. Sesi kaunseling antara kami diharapkan dapat menyelamatkan hubungan.

Sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya, dia bernafsu terhadap lelaki. Saya akhirnya redha. Puas saya berusaha, tapi ini balasannya. Mungkin perkahwinan ini tiada ertinya bagi dia lagi.

Akhirnya saya nekad bercerai. Jika diteruskan lagi, hidup saya akan lebih derita.


Mia, 30, Selangor


APA KATA PAKAR,
Datuk Amli Embong, Peguam Syarie

Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah.

Tuntutan-tuntutan itu ialah, tuntutan mutaah, tuntutan nafkah eddah, tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak), tuntuan nafkah anak, tuntutan harta sepencarian dan tunggakan hutang.

Bagaimanapun, tuntutan tuntutan ini tertakluk kepada syarat dan kebenaran Mahkamah Syariah selepas melalui prosedur tertentu yang ditetapkan mahkamah.

Si isteri boleh membuat rujukan kepada pihak-pihak sepatutnya untuk mendapatkan maklumat dan prosedur permohonan, sama ada menerusi lantikan peguam atau ke pejabat ugama berdekatan.

Dalam hal puan tadi, yang mana mempunyai suami yang cenderung kepada lelaki dan tidak mampu memberikan nafkah batin kepada si isteri, isteri wajar meminta cerai.

Sekiranya suami setuju cerai cara biasa tidak ada masalah bagi kedua-dua pihak. Namun, sekiranya suami tidak setuju menceraikan isteri, isteri boleh membuat permohonan fasakh di mahkamah.

Dan alasan itu (suami tidak pernah sentuh) adalah alasan kukuh untuk mahkamah membenarkan permohonan cerai.

Dari segi tuntutan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira mengenai tuntutan apakah yang boleh dibuat isteri.

Dalam kes ini, isteri yang tidak disentuh suami bererti masih anak dara. Oleh yang demikian isteri tidak mempunyai tempoh edah ketika bercerai.

Isteri tidak perlu menjalani edah selama tempoh tiga bulan seperti disyariatkan agama sebaliknya bebas dinikahi pada bila-bila masa selepas bercerai.

Isteri boleh membuat tuntutan mutaah atau saguhati perkahwinan daripada suami. Dan sekiranya dalam tempoh selama perkahwinan suami tidak pernah memberi nafkah kepada isteri, isteri boleh menuntut nafkah tertunggak daripada bekas suami melalui mahkamah.

Begitu juga dengan soal harta sepencarian. Isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian daripada suami.


Kredit : sinarharian

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.