(Soal : Jawab) Mengeluarkan Air Mani Di Luar Rahim
26 Aug 2023
Saya dan suami
saya merancang keluarga dengan kaedah mengeluarkan air mani di luar
rahim. Apakah ini tidak dianggap menolak kurniaan Allah, atau membunuh
benih yang boleh menjadi anak?.
Jawapan:
Perbuatan mengeluarkan
air mani diluar rahim ketika melakukan persetubuhan dinamakan ‘azal. Ia
biasanya dilakukan untuk mengelakkan dari mengandung. Hal ini berlaku
sejak zaman Nabi s.a.w.
Ini seperti kata seorang sahabah yang terkenal
Jabir bin ‘Abd Allah:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ
“Kami melakukan ‘azal pada zaman Nabi s.a.w. dan Al-Quran sedang turun” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maksud Jabir mereka melakukan perkara
tersebut pada zaman Nabi s.a.w iaitu masa al-Quran masih diturunkan
tetapi mereka tidak pun dilarang oleh al-Quran. Maka dengan ini
mengeluarkan air mani di luar rahim untuk mengelakkan mengandung adalah
diharuskan. Sama dalam hal ini pil perancang untuk mengelakkan
mengandung. Namun oleh kerana wujudnya hadith Muslim yang menamakan
‘azal sebagai al-wa`d al-khafi iaitu membunuh anak secara senyap, maka
kebanyakan ulama memakruhkan perbuatan ini.
Di samping itu, hadith yang lain riwayat
Muslim juga menyatakan bahawa seseorang yang cuba melakukan ‘azal jika
Allah kehendaki tetap akan mendapat anak. Ini mungkin kerana dia tidak
dapat mengawal pancutan air mani sebelum dia mencabutnya.
Perlu diingatkan, oleh kerana perbuatan
ini boleh menyebabkan isteri hilang kelazatan persetubuhan, atau tidak
sampai kemuncak kelazatannya (climax), maka suami yang ingin
melakukannya hendaklah mendapat keizinan isteri. Ini kerana persetubuhan
adalah hak bersama suami dan isteri. Demi keadilan dan hak isteri, maka
izinnya perlunya perlu diminta.
Inilah pendapat yang paling kuat
kebanyakan ulama. Sehingga al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (wafat 463H)
berkata: “Tiada khilaf di kalangan ulama bahawa tidak boleh dilakukan
‘azal dengan isteri yang merdeka melainkan setelah mendapat keizinannya.
Ini kerana persetubuhan adalah daripada haknya” (Ibn Hajar
al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 10/385, Beirut: Dar al-Fikr).
Di samping perlu difahami, adapun hasrat
mencegah kehamilan jika sebabkan bimbang kepapaan, atau kekurangan
rezeki, atau kurang kemewahan adalah diharamkan kerana ianya menyamai
perbuatan musyrikin dan tidak meyakini rezeki Allah. Jika disebabkan
keadaan tertentu yang mendesak seperti kesihatan atau kesibukan maka ia
diizinkan.
Namun jika digunakan pencegah kehamilan secara berterusan
tanpa sebab adalah diharamkan oleh para ulama. Ini jika dibiarkan akan
mengurangkan jumlah umat Islam. Dinasihatkan agar kita memperbanyakkan
zuriat, kerana ianya menambahkan kekuatan dan suara umat Islam dalam
negara ini.
Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin